ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

teladani sifat al-faruq
Soalan Penonton – Umar al-Faruq

SOALAN PENONTON

1) Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah hikmah Allah SWT menganugerahkan gelaran al-Faruq kepada Umar al-Khattab R.A, dan bagaimana gelaran itu mencerminkan prinsip kepemimpinan Islam?

Gelaran al-Faruq yang diberikan kepada Umar bin al-Khattab RA adalah salah satu pengiktirafan besar dari Rasulullah SAW terhadap peranannya dalam Islam. Menurut Prof. Dr. Ali Muhammad Ash-Shalabi, Umar digelar al-Faruq kerana kemunculannya dalam Islam telah menjadi pembeza antara iman dan kufur, sehingga keislamannya memberi kekuatan dan keberanian untuk umat tampil secara terang-terangan. Dengan masuknya Umar ke dalam Islam, kaum Muslimin berhimpun di bawah kepimpinannya menuju Ka‘bah, sehingga orang Quraisy tidak lagi berani mengganggu. Dr. Mushtafa Murad pula menjelaskan bahawa Rasulullah SAW sendiri yang memberikan gelaran itu, kerana Umar mampu membezakan yang benar daripada yang batil. Dari sudut bahasa, al-Faruq membawa makna “pembeza” atau “pemisah”. Sayidina Umar RA dengan ketegasannya sering kali tampil mempertahankan kebenaran yang memisahkan di antara perkara hak dan batil. Di samping ketegasan dan kelantangan beliau mempertahankan islam. Bahkan dalam peperangan, Umar dikenali sebagai benteng Rasulullah SAW yang menggegar barisan musuh. Hikmah Allah menganugerahkan gelaran ini kepada Umar RA ialah supaya umat Islam memahami bahawa kepemimpinan bukan sekadar jawatan, tetapi amanah besar untuk menegakkan kebenaran.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّا اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supay segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerima dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil). Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.” [Surah al-Maidah, ayat 58]

Dalam konteks moden, gelaran al-Faruq mencerminkan prinsip kepemimpinan Islam yang perlu tegas berpegang dengan prinsip islam, menolak rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan bukan kerana undang-undang dunia semata-mata, tetapi kerana keyakinan bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Maka, pemimpin Islam hari ini wajar menjadikan al-Faruq sebagai teladan dalam menerajui dunia islam di persada dunia.

سَيَلِيكُمْ بَعْدِي ولاةٌ ، فَيَلِيكُمُ الْبَرُّ بِيرِهِ ، وَالْفَاجِرُ بِفُجُورِهِ ، فَاسْمَعُوا لَهُمْ وَأَطِيعُوا فِيمَا وافق الحق ، وَصَلُّوا وَرَاءَهُمْ فَإِنْ أَحْسَنُوا فَلَكُمْ وَلَهُمْ ، وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِم

Maksudnya : “Sepeninggalanku akan datang kepada kalian pemimpin-pemimpin, kemudian akan datang kepada kalian pemimpin yang baik dengan membawa kebaikannya. Kemudian datang kepada kalian pemimpin jahat yang membawa kejahatannya. Maka dengarkanlah mereka, dan taatilah apa sahaja yang sesuai dengan kebenaran. Jika mereka berbuat baik, maka kebaikan itu adalah untuk kalian dan mereka, dan jika berbuat jahat, maka kalian mendapat pahala dan mereka mendapat dosa.” [HR at-Tabrani, 6310]

2) Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana ketegasan Umar al-Khattab R.A dalam menegakkan kebenaran dapat diteladani dalam konteks kepimpinan moden, terutamanya dalam menangani isu rasuah atau salah guna kuasa?

Ketegasan Umar al-Khattab RA dalam menegakkan kebenaran berpaksikan iman yang kukuh, ilmu yang jelas, dan keberanian moral untuk berkata benar walaupun terhadap orang kuat atau rapat dengannya. Umar terkenal dengan prinsip bahawa kepimpinan adalah amanah, bukan kemuliaan untuk dibanggakan. Maka, dalam konteks moden, ketegasan ini boleh diteladani dengan memastikan kepimpinan tidak tunduk kepada kepentingan peribadi atau kelompok, sebaliknya teguh pada prinsip syariat dan keadilan.

ما مِن عَبْدٍ اسْتَرْعاهُ اللَّهُ رَعِيَّةً، فَلَمْ يَحُطْها بنَصِيحَةٍ، إلَّا لَمْ يَجِدْ رائِحَةَ الجَنَّةِ

Maksudnya : Tiada seorang hamba yang telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk menguruskan hal ehwal rakyat di bawah tanggungannya lalu tidak menunaikan amanah tersebut meskipun dengan hanya menyampaikan satu nasihat melainkan tidak dapat mencium haruman syurga. [HR Bukhari, 7150]

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 55 menunjukkan janji Allah bahawa negara akan mencapai keamanan dan kestabilan apabila pemimpin dan rakyat beriman serta beramal soleh.

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًۭا ۚ يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًۭٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. [Surah an-Nur, ayat 55]

Ketegasan Umar RA menjadi model bagaimana iman diterjemahkan dalam dasar pentadbiran. Sebagai contoh pemimpin tidak ragu-ragu menjatuhkan hukuman walau orang terdekatnya, kerana ketakutan kepada Allah lebih besar daripada kepentingan peribadi. Maka, dalam isu moden seperti rasuah atau salah guna kuasa, ketegasan ini bermaksud melaksanakan undang-undang tanpa pilih kasih, sama ada yang terlibat itu menteri, ahli keluarga, atau rakyat biasa.

Sejarah Islam juga menunjukkan prinsip pemisahan kuasa (separation of powers) telah pun dipraktikkan. Rasulullah SAW sendiri pernah menghadapi pertelingkahan dengan seorang Badwi dalam urusan jual beli. Walaupun Baginda ialah ketua negara dan pihak yang benar, Baginda tetap memilih jalan perbicaraan terbuka di hadapan khalayak tanpa menggunakan kedudukannya untuk memenangkan diri. Hal ini membuktikan bahawa dalam Islam, kehakiman berdiri bebas walaupun melibatkan ketua negara.

Khalifah Umar bin al-Khattab RA juga pernah dibawa ke mahkamah dalam perselisihan dengan seorang Badwi. Beliau kalah dalam kes tersebut kerana hujah rakyat lebih kuat, dan hakim Syuraih yang mengendalikan perbicaraan bukan sahaja bebas membuat keputusan, bahkan dinaikkan pangkat kerana keberaniannya menegakkan keadilan. Kisah ini satu contoh teladan yang hebat iaitu pemimpin bukan sahaja mesti bersih, malah bersedia tunduk kepada hukum, walaupun terhadap rakyat biasa. Inilah contoh kepimpinan berintegriti yang sepatutnya menjadi model dalam menangani rasuah dan salah guna kuasa hari ini.

Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-Hajj ayat 41 bahawa pemimpin yang diteguhkan kuasanya ialah mereka yang mendirikan solat, menunaikan zakat, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ

Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. [Surah al-Hajj, ayat 41]

Sayyidina Umar RA ialah cerminan ayat ini. Beliau mendisiplinkan gabenor, mengawal harta negara, serta memastikan hak rakyat ditunaikan. Maka, pemimpin moden yang meneladani beliau perlu berani menegakkan integriti, bukan sekadar dengan undang-undang keras, tetapi dengan membina budaya takutkan dosa dan yakin pada balasan akhirat.

وَاللَّهِ ‌لَيُتِمَّنَّ ‌اللَّهُ ‌هَذَا ‌الْأَمْرُ ‌حَتَّى ‌يَسِيرَ ‌الرَّاكِبُ ‌مِنْ ‌صَنْعَاءَ ‌إِلَى ‌حَضْرَمَوْتَ ‌لَا ‌يَخَافُ ‌إِلَّا ‌اللَّهَ ‌وَالذِّئْبَ ‌عَلَى ‌غَنَمِهِ ‌وَلَكِنَّكُمْ ‌تَسْتَعْجِلُونَ

Maksudnya : Demi Allah! Sesungguhnya, urusan agama Islam dapat disempurnakan (apabila berkuasa) sehingga orang musafir daripada Sana‘a di negeri Yaman hingga Hadhramaut tidak merasa takut lagi (kepada gangguan penjenayah), melainkan takut kepada Allah dan bahaya binatang seperti serigala yang menangkap kambing. [HR Bukhari, 3612]

Dalam dunia moden, hadith ini boleh diadaptasi sebagai negara yang bebas jenayah, aman daripada rasuah, dan pemimpinnya dikasihi kerana keadilan serta bukan ditakuti kerana zalim persis gaya machiavelli. Justeru, ketegasan Umar al-Khattab RA dan teladan Nabi SAW dalam isu kehakiman mengajar kita bahawa integriti kepimpinan Islam tidak boleh hanya bergantung kepada sistem dan undang-undang, tetapi mesti berakar pada iman. Apabila iman dijadikan pedoman, pemimpin akan menolak rasuah dan salah guna kuasa sama ada terang-terangan mahupun di belakang tabir kerana yakin bahawa Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.

3) Assalamualaikum ustaz dan dai. Saidina Umar R.A pernah berjalan malam untuk menyiasat keadaan rakyatnya. Apakah falsafah pemerintahan yang boleh kita fahami daripada peristiwa ini?

Saidina Umar al-Khattab RA, khalifah kedua umat Islam, dikenali sebagai pemimpin yang tegas, adil, dan sangat bertanggungjawab. Salah satu episod penting dalam sirah kepemimpinannya ialah beliau keluar pada waktu malam untuk menyiasat keadaan rakyatnya. Beliau tidak hanya bergantung kepada laporan pegawai, tetapi mahu melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat. Peristiwa ini menggambarkan falsafah pemerintahan Islam yang unik: pemimpin adalah penjaga amanah Allah yang perlu mendengar denyut nadi rakyat secara langsung, bukan sekadar menikmati kemewahan kuasa. Allah SWT berfirman:

﴿وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ﴾

Maksudnya: "Dan Kami jadikan mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar dan yakin dengan ayat-ayat Kami." [Surah al-Sajdah, ayat 24] Ayat ini menegaskan bahawa kepimpinan Islam bukan soal kuasa, tetapi bimbingan berlandaskan iman dan kesabaran.

Imam al-Ṭabarī meriwayatkan:

كَانَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ يَتَفَقَّدُ الرَّعِيَّةَ بِاللَّيْلِ، فَمَرَّ بِامْرَأَةٍ وَعِنْدَهَا صِبْيَةٌ يَبْكُونَ، وَقَدْ نَصَبَتْ قِدْرًا فِيهَا مَاءٌ، تُسَكِّنُهُمْ بِذَلِكَ، وَهُمْ يَظُنُّونَ أَنَّهُ طَعَامٌ، فَبَكَى عُمَرُ وَرَجَعَ إِلَى بَيْتِ الْمَالِ، فَحَمَلَ عَلَى ظَهْرِهِ جِرَابًا مِنْ دَقِيقٍ وَشَحْمٍ، فَقِيلَ لَهُ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ أَنَا أَحْمِلُهُ عَنْكَ، فَقَالَ: أَتَحْمِلُ عَنِّي ذُنُوبِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ؟

Maksudnya: Umar bin al-Khattab biasa memeriksa rakyat pada waktu malam. Suatu malam beliau melihat seorang wanita bersama anak-anaknya yang menangis kelaparan. Wanita itu meletakkan periuk berisi air semata-mata untuk menenangkan anak-anaknya yang menyangka ia makanan. Umar menangis, lalu kembali ke Baitul Mal, memikul sendiri guni tepung dan lemak di atas bahunya. Pegawainya menawarkan diri untuk membantu, tetapi Umar berkata: "Adakah engkau akan menanggung dosaku pada hari kiamat?" [Tārīkh al-Ṭabarī, Jilid 4, hlm. 301]

Ibn Kathīr dalam al-Bidāyah wa al-Nihāyah menukilkan kisah sama:

«إِنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَجَعَ بِالطَّعَامِ إِلَى الْمَرْأَةِ، فَجَعَلَ يَطْبُخُهُ بِيَدِهِ، ثُمَّ يَنْفُخُ فِي النَّارِ حَتَّى اسْوَدَّ وَجْهُهُ مِنْ دُخَانِهَا، ثُمَّ أَطْعَمَ الصِّبْيَةَ حَتَّى شَبِعُوا، وَقَالَ: لَا تَبْكِي يَا بُنَيَّةُ، قَدْ أَصْبَحَ لَكِ عِنْدَ عُمَرَ حَقٌّ»

Maksudnya: Umar sendiri memasak makanan itu dengan tangannya. Beliau meniup api sehingga mukanya hitam oleh asap. Setelah itu beliau memberi makan anak-anak hingga kenyang, lalu berkata: "Jangan menangis wahai anak kecil, mulai hari ini engkau ada hak di sisi Umar." [al-Bidāyah wa al-Nihāyah, Jilid 7, hlm. 132]

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Maksudnya: "Tidak ada seorang hamba yang diberi Allah amanah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan ke atasnya syurga." [HR al-Bukhari, 893] Hadis ini menjadi dasar kenapa Umar sangat takut mengabaikan rakyat, sehingga beliau sanggup memasak sendiri untuk anak-anak kecil.

Imam al-Rāzī berkata:

الإِمَامُ يُقْتَدَى بِهِ فِي فِعْلِهِ قَبْلَ قَوْلِهِ

Maksudnya: "Pemimpin itu lebih diikuti pada perbuatannya sebelum perkataannya." [Mafātīh al-Ghaib, Jilid 25, hlm. 142] Umar RA memberi contoh bahawa kepimpinan mesti disertai tindakan nyata, bukan sekadar arahan.

Falsafah pemerintahan daripada peristiwa ini

  • Amanah berat di hadapan Allah – Umar RA tidak mahu dosa rakyat lapar kerananya akan ditanggungnya di akhirat.
  • Kepimpinan ialah Tanggungjawab, bukan keistimewaan – beliau memasak sendiri, menolak bantuan pegawai.
  • Dekat dengan realiti rakyat – pemimpin mesti menyelami penderitaan rakyat, bukan hanya bergantung pada laporan.
  • Kepemimpinan dengan empati – pemimpin Islam mesti berjiwa hamba, penuh kasih sayang.
  • Precedent untuk kepimpinan moden – jika Umar RA, seorang khalifah agung, turun padang, pemimpin hari ini lebih patut mendekati rakyat di lapangan.

Kisah Umar RA berjalan malam menunjukkan bahawa politik dalam Islam adalah ibadah. Pemerintahan bukan ruang untuk berkuasa, tetapi ladang amanah yang akan dipersoalkan Allah di akhirat. Jika seorang khalifah agung seperti Umar merasa bersalah apabila ada rakyatnya kelaparan, maka pemimpin moden juga perlu mencontohi sikap ini — turun padang, merasai susah senang rakyat, dan memastikan tiada yang terpinggir.

4) Assalamualaikum ustaz dan dai. Umar R.A pernah berpendapat berbeza dengan Rasulullah SAW tetapi pandangannya kemudian disokong wahyu. Apakah ini menunjukkan nilai ijtihad dan critical thinking dalam Islam?

Saidina Umar al-Khattab RA adalah sahabat Nabi SAW yang terkenal dengan keberanian, kecerdasan, dan ketajaman fikirannya. Sejarah mencatat bahawa beberapa kali pandangan beliau pada awalnya berbeza dengan pandangan awal Rasulullah SAW, namun kemudian wahyu turun menguatkan pendapatnya. Fenomena ini tidak bermaksud Umar lebih benar daripada Nabi, kerana Nabi SAW itu ma‘ṣūm, tetapi ia membuktikan: Islam meraikan ijtihad sahabat. Islam mengiktiraf critical thinking dalam ruang syura. Kepelbagaian pandangan boleh membawa kepada keputusan lebih matang.

Maqām Ibrāhīm sebagai tempat solat

﴿وَاتَّخِذُوا مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى﴾

Maksudnya: “Dan jadikanlah maqām Ibrahim sebagai tempat solat.” [al-Baqarah, 2:125] Ayat ini turun setelah Umar R.A mengusulkan kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوِ اتَّخَذْنَا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

Maksudnya: (Wahai Rasulullah, alangkah baik jika kita jadikan maqam Ibrahim tempat solat). [HR al-Bukhārī, 402]

Ayat Hijab

﴿وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ ذَٰلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ﴾

Maksudnya: “Dan apabila kamu meminta sesuatu daripada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari balik tabir. Itu lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.” [Surah al-Aḥzāb, ayat 53] Ayat ini turun selepas cadangan Umar RA:

يَدْخُلُ عَلَى نِسَائِكَ الْبَرُّ وَالْفَاجِرُ، فَلَوْ أَمَرْتَهُنَّ يَحْتَجِبْنَ

Maksudnya: (Orang baik dan jahat masuk menemui isteri-isterimu, alangkah baik jika engkau perintahkan mereka berhijab). [HR al-Bukhārī, 4483]

Tawanan Perang Badar

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَكُونَ لَهُ أَسْرَىٰ حَتَّىٰ يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ

Maksudnya: “Tidak patut bagi seorang nabi mempunyai tawanan sebelum ia melumpuhkan musuh di muka bumi. Kamu menginginkan harta dunia, sedang Allah menghendaki akhirat.” [Surah al-Anfāl, ayat 67] Ayat ini turun setelah Umar berpendapat agar tawanan Badar dihukum tegas:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَكْفِئْ قُدُورَهُمْ، وَاضْرِبْ أَعْنَاقَهُمْ

Maksudnya: (Wahai Rasulullah, aku berpendapat agar kita penggallah leher mereka). [HR Muslim, 4588]

Peristiwa Hijab

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوِ اتَّخَذْتَ عَلَى نِسَائِكَ حِجَابًا فَإِنَّهُ يُكَلِّمُهُنَّ الْبَرُّ وَالْفَاجِرُ

Maksudnya: “Aku berkata: Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika engkau meletakkan hijab bagi isteri-isterimu, kerana mereka bercakap dengan orang yang baik dan orang yang jahat.” [HR al-Bukhārī, 4483]

Allah kemudian menurunkan ayat:

﴿ وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ﴾

Maksudnya: “Dan apabila kamu meminta sesuatu daripada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari balik tabir.” [Surah al-Aḥzāb, ayat 53] Wahyu mengiktiraf cadangan Umar demi menjaga maruah Ummul Mukminin.

Larangan Solat ke atas Munafiq

Ketika Rasulullah SAW ingin solat jenazah Abdullah bin Ubay, Umar berkata:

«أَتُصَلِّي عَلَى عَدُوِّ اللَّهِ؟»

Maksudnya: “Adakah engkau akan solat ke atas musuh Allah?” [HR Muslim, 2773]

Allah kemudian menurunkan ayat:

﴿وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ﴾

Maksudnya: “Dan janganlah engkau sekali-kali solat ke atas seorang pun daripada mereka (munafiq) yang mati, dan jangan berdiri di kuburnya.” [al-Tawbah, 9:84] Wahyu menyokong pandangan Umar bahawa kemunafikan adalah bahaya akidah, bukan sekadar isu politik.

إِنَّ اللَّهَ جَعَلَ الْحَقَّ عَلَى لِسَانِ عُمَرَ وَقَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjadikan kebenaran pada lidah Umar dan di hatinya.” [HR Tirmizī, 3682]

Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī berkata:

فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى فَضِيلَةِ عُمَرَ، وَأَنَّهُ كَانَ مُلْهَمًا يُصِيبُ الْحَقَّ

Maksudnya: “Hadis ini dalil akan keutamaan Umar, bahawa beliau seorang yang diberi ilham sehingga kata-katanya sering menepati kebenaran.” [Fatḥ al-Bārī, 8/67]

Analisis falsafah ijtihad & critical thinking

  • Ijtihad bukan bebas, tetapi berbingkai wahyu.
  • Umar berijtihad, namun tunduk kepada keputusan Rasulullah SAW dan pengesahan wahyu.
  • Perbezaan pendapat = tanda hidupnya syura.
  • Islam tidak menutup ruang berfikir. Bahkan, ijtihad sahabat menjadi contoh bahawa pandangan yang matang lahir daripada musyawarah.
  • Kritis demi maslahat, bukan ego.
  • Pandangan Umar lahir dari keprihatinan terhadap agama dan umat, bukan kepentingan diri.
  • Kepimpinan Islam meraikan intelektual.
  • Khalifah bukan diktator, tetapi pendengar, penilai, dan pengamal ijtihad.
  • Teladan moden. Umar mengajar umat Islam hari ini bahawa fikiran kritis mesti dipandu iman, bukan sekadar logik kosong.

Kesimpulan: Kisah Umar RA yang pandangannya diiktiraf wahyu dalam isu hijab, munafiq, maqām Ibrahim, dan tawanan Badar membuktikan bahawa Islam mengiktiraf ijtihad dan pemikiran kritis.
Refleksi buat umat Islam:
Gunakan akal secara kritis, tetapi berpandukan wahyu.
Berani menyuarakan pandangan dengan adab, sebagaimana Umar.
Pemimpin dan rakyat mesti memandang ijtihad sebagai amanah, bukan alasan untuk menentang syariat.

5) Assalamualaikum ustaz dan dai. Umar R.A memperkenalkan sistem pentadbiran yang tersusun. Bagaimana reformasi ekonomi beliau boleh dijadikan rujukan dalam membangunkan tadbir urus kewangan negara moden?

Umar al-Khattab RA dikenali sebagai pemimpin agung yang bukan sahaja tegas dalam menegakkan keadilan, tetapi juga bijaksana dalam menguruskan pentadbiran negara. Reformasi ekonomi yang beliau laksanakan telah membentuk sistem kewangan yang tersusun, telus dan berkeadilan pada zaman Khilafah Rasyidin. Prinsip inilah yang menjadikan umat Islam ketika itu mampu berkembang maju tanpa mengabaikan kebajikan rakyat. Dalam konteks dunia moden, reformasi Umar boleh dijadikan rujukan penting untuk membangunkan tadbir urus kewangan negara yang stabil, adil dan mampan.

Penubuhan Baitulmal sebagai institusi kewangan negara.

Baitulmal yang diasaskan oleh Umar berfungsi mengurus zakat, kharaj, jizyah dan harta rampasan perang secara telus. Ia memastikan pengagihan kekayaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” [Surah al-Nisa’, ayat 58]

Negara moden boleh mencontohi prinsip ini dengan mewujudkan institusi kewangan berpusat yang bebas daripada kepentingan politik, untuk mengurus dana rakyat dengan telus dan berintegriti. Contohnya, penubuhan dana kekayaan negara yang diaudit secara telus untuk kebajikan rakyat, bukan disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Pelaksanaan sistem cukai kharaj dan jizyah yang adil.

Umar memperkenalkan kharaj (cukai tanah) ke atas wilayah taklukan dan jizyah kepada non-Muslim sebagai bayaran perlindungan. Namun, beliau menekankan prinsip tidak menindas.

وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ

Maksudnya: “Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.” [Surah al-Rahman, ayat 9]

Prinsip ini boleh diadaptasi dalam sistem percukaian moden, iaitu cukai mesti telus, berpatutan, dan hasilnya kembali kepada pembangunan rakyat, bukan untuk segelintir elit. Contohnya, cukai hasil bumi seperti minyak dan gas diagihkan untuk membiayai pendidikan percuma atau bantuan kesihatan rakyat.

Pengurusan tanah yang mapan.

Umar tidak membahagikan tanah rampasan perang kepada tentera, sebaliknya mengekalkan hak milik penduduk asal dengan mengenakan kharaj. Ini mengelakkan monopoli dan menjamin kelangsungan pertanian.

وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.” [Surah al-A’raf, ayat 56]

Negara moden boleh mencontohi prinsip ini dengan menolak penguasaan korporat besar yang meminggirkan petani kecil, serta mengutamakan dasar tanah yang seimbang (dasar yang menjamin keseimbangan antara hak pemilik, kepentingan rakyat, dan pembangunan negara). Misalnya, dasar tanah yang memberi ruang kepada petani kecil untuk kekal bertani tanpa dirampas oleh syarikat besar.

Sistem gaji tetap dan birokrasi kewangan.

Umar memperkenalkan gaji bulanan kepada tentera dan pegawai, serta menubuhkan birokrasi kewangan bagi merekodkan kewangan negara. Inilah asas kepada sistem birokrasi kewangan moden yang memastikan ketelusan, akauntabiliti, dan rekod yang teratur. Contohnya, sistem perakaunan kerajaan yang diaudit secara bebas, memastikan gaji pegawai awam diagih secara teratur tanpa penyelewengan.

Keutamaan kepada kebajikan rakyat dan infrastruktur.

Umar membina terusan dan sistem pengairan, membantu rakyat miskin termasuk bukan Muslim, serta memastikan baitulmal digunakan untuk kebajikan rakyat. Tadbir urus kewangan moden mesti mengutamakan pembangunan rakyat seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur asas dan bukan pembaziran projek mewah yang tidak memberi manfaat. Contohnya, program bantuan rakyat seperti subsidi makanan, biasiswa pelajar, atau hospital awam yang dibiayai dengan hasil negara.

Reformasi ekonomi Umar al-Khattab RA terbukti menjadi model pengurusan kewangan yang berlandaskan prinsip Islam iaitu adil, telus, beramanah dan berpihak kepada kebajikan rakyat. Walaupun beliau hidup lebih 1,400 tahun lalu, gagasan beliau sangat relevan untuk negara moden yang berdepan isu penyelewengan, pembaziran dan ketidaksamarataan ekonomi. Jika prinsip yang dibawa Umar dijadikan asas tadbir urus kewangan, negara bukan sahaja akan stabil secara ekonomi, malah akan melahirkan masyarakat yang sejahtera, adil, dan makmur.

6) Assalamualaikum ustaz dan dai. Dalam konteks sosial hari ini, bagaimana sifat al-Faruq boleh diaplikasikan oleh individu Muslim biasa, bukan hanya pemimpin?

Gelaran al-Faruq diberikan kepada Umar al-Khattab RA kerana beliau sangat tegas membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Ketegasannya bukan semata-mata dalam memerintah, tetapi dalam prinsip hidup yang dizahirkan dalam keadilan, keberanian, dan kejujuran. Dalam dunia sosial hari ini, sifat al-Faruq bukan hanya milik pemimpin negara atau tokoh besar. Setiap Muslim biasa boleh menjiwainya dalam kehidupan seharian seperti di tempat kerja, keluarga, bahkan dalam interaksi maya di media sosial.

Beberapa cara seorang individu biasa mampu menzahirkan sifat al-Faruq dalam kehidupannya:

Ketegasan dalam menegakkan kebenaran

Umar al-Faruq dikenali kerana keberaniannya menyatakan yang benar, walaupun berdepan dengan tentangan. Dalam kehidupan harian, seorang Muslim biasa boleh mengamalkan sifat ini dengan berani menolak perbuatan salah, walau kecil.

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ، أَوْ أَمِيرٍ جَائِرٍ

Maksudnya: “Jihad yang paling utama ialah perkataan yang adil di sisi pemerintah yang zalim, atau pemimpin yang zalim.” [HR Abu Daud, 4344]

Contohnya, seorang pekerja pejabat yang menolak untuk menipu data laporan walaupun diarahkan oleh pihak atasan. Selain itu, dalam mesyuarat komuniti, seorang Muslim berani menolak cadangan yang tidak adil kepada golongan tertentu, walaupun semua orang lain bersetuju.

Keadilan dalam interaksi sosial

Umar RA masyhur dengan keadilannya. Prinsip ini boleh dibawa ke dalam masyarakat kita. Muslim biasa boleh berlaku adil dengan tidak memihak kepada kawan rapat semata-mata, atau tidak menindas orang lemah kerana ada kuasa atau kedudukan.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” [Surah al-Nisa’, ayat 58]

Misalnya, dalam urusan jual beli, peniaga yang menimbang betul, tidak menipu harga, walaupun boleh mengambil kesempatan atas ketidaktahuan pelanggan. Selain itu, dalam kes undang-undang, seorang Muslim tetap memberi keterangan yang jujur walaupun boleh merugikan saudaranya.

Tegas dalam menggalas tanggungjawab

Umar RA bukan sekadar berkata-kata, tetapi sanggup memikul beban rakyat. Beliau keluar malam memeriksa keadaan masyarakatnya. Nilai ini boleh diaplikasikan dengan mengambil tanggungjawab sosial dalam komuniti.

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” [HR al-Bukhari, 2409]

Contohnya, seorang Muslim yang menjadi sukarelawan menghulur bantuan kepada keluarga susah, atau seorang pelajar universiti yang menegur rakan bila leka, bukan hanya berdiam diri. Selain itu, seorang ketua pasukan kerja menolak cadangan pintas yang boleh merosakkan projek jangka panjang, walaupun ahli pasukan tidak setuju. Mereka yang bersikap tegas ini mungkin rugi dari segi kedudukan mahupun pada pandangan mata manusia, tetapi dia telah mencontohi al-Faruq dalam membezakan hak dan batil.

Sifat al-Faruq bukan hanya untuk dikenang dalam kitab sejarah, tetapi untuk dihidupkan dalam diri Muslim hari ini. Ketegasan menolak batil, keadilan dalam urusan, serta keberanian memikul tanggungjawab adalah nilai yang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja. Jika setiap individu Muslim menjiwai sifat ini, masyarakat akan menjadi lebih adil, berani, dan berprinsip. Ini sekaligus menjadikan kita umat yang benar-benar mencontohi warisan generasi terbaik.

7) Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah sifat Umar R.A yang paling kritikal untuk kita teladani dalam menghadapi cabaran kepimpinan umat Islam di era globalisasi?

Di zaman globalisasi kini, banyak cabaran kepimpinan umat Islam dari kepelbagaian agama dan budaya, dominasi global ekonomi dan teknologi, isu integriti, hingga pertarungan idea dan nilai. Dalam konteks itu, saya mendapati antara sifat Umar bin al-Khattab R.A yang paling kritikal untuk diteladani adalah amanah dan kejujuran dalam penggalasan tugas & Kepemimpinan. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, globalisasi adalah proses yang membolehkan sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan dsb) disebarkan atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia. Globalisasi membawa kemudahan dan cabaran: maklumat pantas, pertembungan budaya, kepelbagaian nilai, persaingan ekonomi-politik, pengaruh teknologi terhadap moral, serta dilema antara tradisi dan modeniti. Pemimpin umat Islam dalam era global mesti bukan sahaja cemerlang dari segi pengurusan dan visi, tetapi harus dipercayai oleh rakyat. Melaksanakan tugas dengan adil dan baik itu penting, tetapi seorang pemimpin juga mesti menjaga persepsi rakyat terhadap kepimpinannya. Seorang pemimpin harus peka terhadap sensitiviti rakyat kerana daripada situlah lahirnya persepsi yang boleh menentukan sokongan dan kepercayaan. Jika persepsi positif, rakyat lebih mudah memberi kerjasama walaupun dasar itu berat. Jika persepsi negatif, walau keputusan baik sekalipun, ia akan ditolak atau disalah tafsir. Maka kepemimpinan bukan hanya soal buat kerja dengan betul, tetapi juga soal bagaimana kerja itu dilihat dan difahami oleh rakyat.

Berikut huraian mengapa sifat amanah & kejujuran Umar R.A begitu kritikal dan bagaimana ia boleh diaplikasikan sekarang:

Amanah dalam konteks kepemimpinan bermaksud memegang tanggungjawab (terhadap Allah, terhadap rakyat, terhadap amanah jawatan) dengan penuh kejujuran, tanpa penyalahgunaan. Sidq (kejujuran) bermaksud berkata benar, bertindak benar, dan tidak menyembunyikan kebenaran, walaupun itu mungkin membawa kesukaran.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرً

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menetapkan dengan adil; sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa, ayat 58]

Ayat ini menyatukan amanah dan keadilan sebagai dua rukun dalam tindakan dan keputusan pemimpin Islam.

Contoh Umar R.A dalam Amanah & Kejujuran, antarnya:

Umar RA dan Abu Hurairah RA
Rasulullah SAW telah mengutus Abu Hurairah bersama al-‘Ala’ al-Hadrami ke Bahrain untuk menyebarkan Islam, memberi kefahaman agama dan mengajarkan umat tentang urusan agama mereka. Maka beliau meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW dan memberi fatwa kepada manusia. Menurut Muhammad ‘Ajjāj al-Khaṭīb, pada zaman pemerintahan Umar RA, beliau melantik Abu Hurairah sebagai gabenor di Bahrain. [Rujuk: Abū Hurayrah Rāwiyatu al-Islām, hlm. 86] Abu Hurairah kembali dengan membawa sepuluh ribu (dirham). Lalu Umar berkata kepadanya:

اسْتَأْثَرْتَ بِهَذِهِ الأَمْوَالِ يَا عَدُوَّ اللَّهِ، وَعَدُوَّ كِتَابِهِ؟

Maksudnya: “Engkau telah mengambil (untuk dirimu) harta ini, wahai musuh Allah dan musuh kitab-Nya?”

Abu Hurairah menjawab:

‌لَسْتُ ‌عَدُوَّ ‌اللَّهِ، ‌وَلَا ‌عَدُوَّ ‌كِتَابِهِ، وَلَكِنِّي عَدُوُّ مَنْ عَادَاهُمَا

Maksudnya: “Aku bukan musuh Allah, bukan pula musuh kitab-Nya, tetapi aku adalah musuh kepada sesiapa yang memusuhi keduanya.”

Umar bertanya: “ Dari mana engkau memperoleh harta ini?" Beliau menjawab:

خَيْلٌ لِي تَنَاتَجَتْ، وَغُلَّةُ رَقِيقٍ لِي، وَأُعْطِيَةٌ تَتَابَعَتْ عَلَيَّ

Maksudnya: “Kuda milikku beranak-pinak, hasil daripada hamba-hambaku, dan pemberian (hadiah) yang datang berturut-turut kepadaku.” Maka mereka pun menyiasat, dan mendapati ia sebagaimana yang dikatakan Abu Hurairah. [Rujuk: Siyar Aʿlām al-Nubalāʾ, jld. 2, hlm. 612]

Umar R.A meneliti harta gabenornya sebelum dan selepas jawatan mereka, untuk memastikan mereka tidak menyalahgunakan kedudukan mereka agar tidak wujud jurang besar antara pemimpin dan rakyat. Dalam riwayatkan yang lain, Umar bertanya: "Adakah engkau menzalimi sesiapa?. "Beliau menjawab: "Tidak." Umar bertanya lagi: "Apa yang engkau bawa untuk dirimu?" Beliau menjawab: "Dua puluh ribu." Umar bertanya: "Dari mana engkau mendapatnya?". Beliau menjawab: "Aku berniaga." Umar berkata:

‌انظر ‌رأس ‌مالك ‌ورزقك ‌فخذه ‌واجعل ‌الآخر ‌في ‌بيت ‌المال

Maksudnya: “Tentukan modal asalmu dan rezekimu, maka ambillah. Adapun selebihnya masukkan ke dalam baitulmal." [Rujuk: Siyar Aʿlām al-Nubalāʾ, jld. 4, hlm. 178]

Ini menunjukkan integriti seseoang pemimpin kerana persepsi rakyat sangatlah penting.

Mengapa amanah & kejujuran Sangat Kritikal di Era Globalisasi:

Krisis Kepercayaan:
Di banyak negara moden, rakyat semakin skeptikal terhadap pemimpin. Skandal korupsi, penyelewengan dana, rasuah, janji tidak ditepati. Pemimpin yang amanah membantu membina semula kepercayaan awam.

Ketelusan & Akauntabiliti:
Dengan teknologi dan media sosial, segala tindakan pemimpin diselongkar dan diperhati oleh rakyat. Jika pemimpin tidak benar dan amanah, kesilapan kecil boleh tersebar luas dan memusnahkan kredibiliti serta kestabilan negara.

Pertindihan Nilai Antarabangsa vs Lokal:
Globalisasi membawa nilai luar yang mungkin bertentangan dengan nilai setempat. Pemimpin yang bijak akan menilai mana baik/buruk, mana sesuai/tidak untuk diambil, dan membuat keputusan berdasarkan prinsip bukan hanya tekanan politik Itu akan meletakkan diri di kedudukan yang boleh menimbulkan tohmahan, dan pada ketika itu pemimpin tidak boleh salahkan rakyat berfaham sedemikian kerana dia yang menciptakan persepsi tersebut.

Abu Hamid al-Ghazali menukilkan perkataan Umar RA di dalam kitabnya:

‌مَنْ ‌أَقَامَ ‌نَفْسَهُ ‌مَقَامَ ‌التُّهَمِ ‌فَلَا ‌يَلُومَنَّ ‌مَنْ ‌أَسَاءَ ‌به ‌الظن

Maksudnya: “Sesiapa yang meletakkan dirinya di tempat yang menimbulkan. tuduhan , maka janganlah dia menyalahkan orang lain yang berburuk sangka terhadapnya.” [Rujuk: Iḥyāʾ ʿUlūm al-Dīn, jld. 2, hlm. 202]

Keadilan Sosial & Hak Rakyat:
Dalam dunia global, jurang kekayaan makin besar. Pemimpin mesti menjaga amanah dalam pembahagian sumber, pengagihan peluang, dan menjaga hak majoriti dan minoriti dengan adil.

Berikut beberapa langkah yang boleh diambil pemimpin atau bakal pemimpin Islam hari ini:

  • Mewujudkan mekanisme ketelusan seperti audit awam, laporan tahunan yang boleh diakses rakyat, penggunaan teknologi untuk perkongsian maklumat (open data).
  • Mendengar suara rakyat (shura), memberi ruang kepada maklum balas dan aduan, dan tidak memperkuat ego pemimpin.
  • Mengutamakan keadilan dalam pengagihan sumber, bantuan, peluang pendidikan dan ekonomi, tanpa mengira bangsa, agama, status sosial.
  • Menjadikan amanah terhadap rakyat sebagai tanggungjawab agama, bukan hanya politik.

Kesimpulannya, sifat amanah dan kejujuran yang diteladani oleh Umar R.A bukanlah satu nilai tambahan; ia adalah tiang utama kepimpinan Islam. Di era globalisasi yang penuh persaingan, di mana media, ekonomi, teknologi dan politik bergerak pantas, hanya pemimpin yang berintegriti, yang menepati amanah, dan jujur dalam tindakan dan keputusan akan mampu mengekalkan kepercayaan rakyat, menjamin keadilan sosial, dan meningkatkan kesejahteraan ummah secara menyeluruh.

Scroll to Top