ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

cintai sahabat nabi
Tanyalah Ustaz – Episod 13: Cintai Sahabat Nabi
TANYALAH USTAZ TV3/TV9
EPISOD 13

Cintai Sahabat Nabi

Tarikh: 22 Mei 2025 (Khamis)  |  Panel: Ustaz Muhammad Amin Badron Hisyam

SOALAN PENONTON

Soalan 1

Assalamualaikum ustaz dan dai. Apa sebab Sahabat Nabi dianggap yang paling terbaik di dalam urusan agama?

Sahabat Nabi SAW bukanlah semata-mata mereka yang pernah bertemu Nabi SAW. Tapi merekalah insan yang Allah SWT jadikan sebagai penyokong risalah kebenaran, memperakui kenabian baginda dan meneruskan legasi Islam sehingga tersebar ke seluruh alam.

Keistimewaan mereka tumbuh daripada iman yang tulus, pengorbanan yang tiada tolok bandingnya dan kefahaman agama yang murni lagi jernih.

Sahabat Nabi SAW dianggap sebagai yang paling terbaik kerana Allah SWT mengakui keimanan mereka dengan sebaik-baik pengiktirafan.

Allah SWT berfirman:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ
رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia.” [Surah al-Taubah, ayat 100]

Ini adalah pengiktirafan agung daripada Allah SWT kepada para sahabat yang gigih berjuang menegakkan iman dan saling membantu dan menyokong sesama saudara seiman. Sebuah penzahiran kepada kemantapan iman dan amal mereka dalam agama.

Tiada nikmat dan pengiktirafan yang lebih tinggi daripada mendapat reda Allah SWT seperti yang Dia firman:

وَرِضْوَانٌ مِّنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: “Serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya (daripada syurga). (Balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.” [Surah al-Taubah, ayat 72]

Mereka juga diiktiraf oleh Nabi SAW sebagai generasi terbaik bagi umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah generasiku (para sahabat), kemudian orang-orang yang mengikuti mereka, kemudian orang-orang yang mengikuti mereka.” [HR al-Bukhari, 6695]

Nabi SAW mengangkat darjat para sahabat sehingga memberi mereka gelaran sebaik-baik generasi kerana keimanan dan ketakwaan mereka, dan kefahaman agama mereka yang murni.

Mereka adalah perintis dalam menyebarkan Islam, berkorban harta, jiwa, dan nyawa demi mempertahankan agama Allah, termasuk melalui peperangan dan dakwah yang penuh kesungguhan.

Generasi selepas mereka (tabi’in dan tabi’ tabi’in) mendapat kelebihan kerana mereka belajar dan mencontohi para sahabat, tetapi kedudukan para sahabat tetap tidak tertandingi kerana mereka adalah sumber rujukan utama dalam pemahaman agama.

Mereka jugalah insan yang mewarisi wahyu secara langsung daripada Rasulullah SAW.

Para sahabat RA mendapat didikan langsung daripada Rasulullah SAW. Mereka melihat wahyu itu turun kepada baginda dan memahami sebab nuzul dan sebab wurud dengan sebenar-benarnya.

Tiada yang lebih layak untuk mentafsirkan al-Quran selepas Rasulullah SAW melainkan para sahabat. Mereka melihat sendiri bagaimana Rasulullah SAW mentafsirkan dan mengamalkannya. Mereka lebih mengetahui nasakh dan mansukh ayat al-Quran dan lebih memahami konteks ayat dengan.

Mereka tidak membaca sejarah wahyu. Bahkan merekalah yang menjadi sejarah wahyu itu. Sehingga setiap amalan dan perbuatan yang disyariatkan itu berpusatkan pada kehidupan mereka.

Malah, ketika berlaku khilaf antara para sahabat, mereka merujuk langsung kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan kefahaman yang sahih.

Setiap perbuatan, percakapan, akhlak, pengakuan dan tingkah laku dilihat oleh para sahabat dan mereka dapat memahami ruh syariat dengan sebenar-benarnya.

Maka, tidak hairanlah untuk mengangkat para sahabat sebagai insan yang paling baik dalam urusan agamanya. Bahkan kita dituntut untuk mempelajari dari sirah para sahabat untuk mendapatkan hikmah dalam bersyariat.


Soalan 2

Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana bentuk bukti kecintaan kita terhadap sahabat nabi dan bagaimana umat zaman sekarang boleh ikut jejak langkah mereka dalam kehidupan seharian?

Para sahabat Nabi SAW merupakan insan yang mantap iman mereka dan luar biasa pengorbanan mereka dalam menaikkan syiar Islam.

Sudah tentu kita dituntut untuk mencintai insan yang soleh dan baik dalam urusan agamanya, apatah lagi para sahabat yang telah menggalas legasi Islam selepas Rasulullah SAW sehingga kita dapat mengenal syahadah hari ini.

Pelbagai cara untuk kita menzahirkan rasa cinta kepada para sahabat:

Menghormati mereka dan tidak mencela mereka

Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا، مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu mencela sahabat-sahabatku. Sekiranya salah seorang daripada kamu membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud, nescaya ia tidak akan menyamai (pahala) satu mud (ukuran genggaman tangan) yang mereka infakkan, bahkan tidak juga separuhnya.” [HR al-Bukhari, 3673]

Penghormatan diberikan kepada mereka kerana kemuliaan dan ketinggian darjat mereka. Malah mereka terlebih dahulu memilih dan mempelajari Islam.

Mendoakan kebaikan untuk mereka

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.” [Surah al-Hasyr, ayat 10]

Inilah keistimewaan iman di mana orang-orang beriman saling mendoakan kepada saudaranya tanpa mengira batas waktu. Ia menyuburkan perasaan ukhuwah dan kasih sayang sesama saudara seiman.

Mengambil ibrah daripada kisah-kisah mereka.

Para sahabat merupakan sekumpulan manusia yang terhimpun pada mereka sifat-sifat manusiawi yang sesuai dijadikan teladan.

Ada sahabat yang lembut dalam berkata, ada yang tegas dalam perbuatannya, ada yang suka berhibur (dengan memberi lawak jenaka), ada yang pandai berniaga, ada yang pandai dalam berperang.

Kita mengiktiraf kehebatan mereka dan mempelajari bagaimana mereka menyulami syariat Islam dalam kehidupan mereka.

Di zaman kini, beberapa cara boleh kita laksanakan untuk mengikut jejak langkah para sahabat:

Memelihara akidah dan sunnah seperti mereka.

Para sahabat sentiasa berpegang teguh pada ajaran tauhid yang sebenar. Itulah asbab yang membentuk dan mengukuhkan ukhuwah antara mereka.

Bahkan, mereka juga sangat teliti dalam beramal dengan sunnah sehingga nabi mengiktiraf mereka:

فعليكُم بسنَّتي وسُنَّةِ الخُلفاءِ، المَهديِّينَ الرَّاشدينَ، تَمَسَّكوا بها وعَضُّوا عليها بالنَّواجذِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk dan lurus lagi terpimpin (al-khulafā’ al-rāshidīn al-mahdiyyīn). Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham.” [HR Abu Daud, 4607]

Berusaha dalam ilmu

Mereka bukan semata-mata mempelajari ilmu, bahkan mereka menjadi yang terbaik dalam ilmu sehingga mendapat perakuan daripada Nabi SAW tentang kemahiran mereka.

Rasulullah SAW memuji Ibnu Mas’ud RA dengan sabdanya:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَقْرَأَ الْقُرْآنَ غَضًّا كَمَا أُنْزِلَ، فَلْيَقْرَأْهُ عَلَى قِرَاءَةِ ابْنِ أُمِّ عَبْدٍ

Maksudnya: “Barang siapa yang ingin membaca al-Qur’an dalam keadaan segar (asli) sebagaimana ia diturunkan, maka hendaklah dia membacanya menurut bacaan Ibn Ummi ‘Abd (iaitu: Abdullah bin Mas‘ud).” [HR Ibn Majah, 138]

Nabi SAW juga memuji Mu’az bin Jabal RA:

وَأَعْلَمُهُمْ بِالْحَلَالِ وَالْحَرَامِ مُعَاذٌ

Maksudnya: “Dan orang yang paling tahu tentang halal dan haram di kalangan mereka ialah Mu‘az (bin Jabal)” [HR al-Baihaqi, 12187]


Soalan 3

Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimanakah gambaran semangat pengorbanan para sahabat dalam menyebarkan Islam. Bagaimana kita boleh mengikut jejak langkahnya?

Semangat pengorbanan para sahabat Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam adalah sesuatu yang luar biasa dan menjadi inspirasi sepanjang zaman.

Mereka menunjukkan tahap keimanan, keikhlasan, dan ketabahan yang tinggi demi menegakkan agama Allah.

Berikut adalah beberapa gambaran semangat pengorbanan mereka:

Pengorbanan Harta

  • Abu Bakar RA membawa semua harta bendanya yang ada tanpa meninggalkan sedikit pun untuk keluarganya melainkan Allah dan Rasul-Nya.
  • Jumlah harta yang dibawanya ialah empat ribu dirham.
  • Uthman bin Affan RA menyediakan sebanyak 200 ekor unta yang lengkap dengan pelana dan kain lapiknya, di samping mata wang sebanyak 200 uqiyah pada Perang Tabuk.
  • Beliau terus bersedekah sehingga kesemua sedekahnya berjumlah 9000 ekor unta dan 100 ekor kuda, tidak termasuk wang.
  • Abdul Rahman bin Auf membawa 200 uqiyah perak bai membantu islam di perang tabuk.

Pengorbanan Nyawa dan Keselamatan Diri

  • Musab bin Umair di Perang Uhud, membawa panji-panji Muslimin dan maju ke hadapan. Semasa peperangan tersebut, Ibn Khalaf menyerang Rasulullah SAW untuk membunuh baginda, namun serangannya disambut oleh Musab bin Umair, seterusnya dia dibunuh hina oleh Musab.
  • Kisah Rib’i ibn Amir ketika bertemu dengan Rustum memperlihatkan keberaniannya. Beliau berbicara di hadapan seorang pemimpin besar tanpa sedikit pun rasa gentar.:
اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، فَأَرْسَلَنَا بِدِينِهِ إِلَى خَلْقِهِ لِنَدْعُوَهُمْ إِلَيْهِ، فَمَنْ قَبِلَ ذَلِكَ قَبِلْنَا مِنْهُ وَرَجَعْنَا عَنْهُ، وَمَنْ أَبَى قَاتَلْنَاهُ أَبَدًا حَتَّى نُفْضِيَ إِلَى مَوْعُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka sesiapa yang menerima perkara tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi sesiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya sehinggalah kami berjaya memperoleh apa yang dijanjikan Allah SWT.” [Rujuk: Al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 7, hlm. 134]

Kesetiaan dan Ketabahan dalam Ujian

Kaum musyrikin biasa membawa Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anhu di tengah teriknya panas ke padang pasir Mekah yang membakar.

Mereka membaringkannya telentang di atas perutnya, lalu meletakkan batu-batu besar yang panas di punggungnya. Berkata tuannya kepada bilal:

لا نزيل عنك هذا العذاب حتى تكفر بمحمد

Maksudnya: “Kami tidak akan menghentikan siksaan ini kecuali jika engkau kufur kepada Muhammad.”[Rujuk: Durus lil-Syaikh Abdullah al-Jalali, jld. 53, hlm. 5]

  • - Bilal RA tetap berkata: “Ahad, Ahad, Ahad" (أحد، أحد، أحد). Ia membawa maksud “esa” yang mana merujuk kepada Allah SWT.

Pengorbanan para sahabat adalah lambang cinta mereka kepada Allah dan Rasul-Nya.

Bagaimana mana cara untuk mengikut jejak langkah mereka, berikut adalah caranya:

Tingkatkan Keimanan dan Ilmu

Salah satu cara utama untuk meningkatkan keimanan adalah dengan mendalami ajaran Islam, memahami al-Quran dan sunnah

Ilmu adalah asas kekuatan iman, dan dengan ilmu, kita lebih mampu memahami dan menghayati setiap perintah Allah, serta melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim.

Al-Quran juga telah menjelaskan peningkatan darjat bagi orang ada ilmu penegetahuan. Allah SWT berfirman:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” [Surah al-Mujadalah, ayat 11]

Bersabar dalam Ujian dan Istiqamah

Ujian adalah sebahagian daripada kehidupan seorang Muslim

Allah SWT berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” [Surah al-Baqarah, ayat 155-156]

Jangan mudah mengalah apabila diuji. Jadikan kisah sahabat sebagai motivasi.

Jaga Akhlak dan Menjadi Contoh

Sebagai umat Islam, kita diperintahkan untuk menjaga akhlak dan menjadi contoh yang baik dalam kehidupan seharian.

Nabi SAW bersabda:

إنَّ أحبَّكم إليَّ وأقربَكم منِّي في الآخرةِ محاسنُكم أخلاقًا

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan yang paling dekat denganku di akhirat nanti adalah orang-orang yang memiliki akhlak yang terbaik.” [HR Ahmad, 17732]

Kesimpulannya, kita harus menjadikan kisah pengorbanan para sahabat Nabi SAW sebagai inspirasi dan dorongan untuk berusaha mengikuti jejak langkah mereka.


Soalan 4

Assalamualaikum ustaz dan dai. Dari segi apakah sepatutnya kita mencontohi dan mengikuti Rasulullah SAW kerana segelintir menganggap terdapat perbezaan latar tempat dan masa dalam mengikuti ajaran nabi dan sahabat?

Mencontohi dan mengikuti Nabi SAW merupakan suatu tuntutan yang tidak terbatas kepada zaman atau tempat tertentu.

Walaupun terdapat perubahan zaman, latar budaya, dan kemajuan teknologi, prinsip serta ajaran Baginda kekal relevan untuk dijadikan panduan hidup.

Hal ini kerana Rasulullah SAW diutus sebagai contoh teladan yang sempurna kepada seluruh umat manusia, sebagaimana firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.” [Surah al-Ahzab, ayat 21]

Dalam aspek akhlak, Nabi SAW adalah lambang kesempurnaan. Baginda sentiasa bersifat jujur, sabar, lemah lembut, pemaaf dan adil.

Nilai-nilai akhlak ini bersifat sejagat dan tidak terikat dengan masa. Akhlak Nabi SAW bukan hanya untuk dicontohi oleh masyarakat Arab pada zamannya, bahkan ia menjadi pedoman untuk umat hingga akhir zaman. Aisyah RA pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah, lalu beliau menjawab:

كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ

Maksudnya: “Akhlak Baginda adalah al-Qur'an.”[HR Ahmad, 24601]

Dalam aspek ibadah, walaupun suasana dan keadaan masyarakat telah berubah, cara solat, puasa, zakat, dan haji tetap berdasarkan tuntunan Nabi SAW.

Ibadah-ibadah ini merupakan warisan yang tidak boleh diubah suai mengikut selera zaman kerana Nabi SAW.

Berkata Ibn Umar RA

إنَّ اللّهَ بعَث إلينا محمدًا صلى الله عليه وسلم ونحن لا نعلَمُ شيئًا، فإنَّما نفعلُ كما رأيناه يفعلُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengutus Muhammad SAW kepada kami sedangkan kami tidak mengetahui apa-apa. Maka kami hanya melakukan sebagaimana yang kami lihat Baginda lakukan.” [Rujuk: At-Tamhid, jld. 3, hlm. 532]

Dalam aspek kepimpinan, Baginda SAW berpaksikan keadilan, belas kasihan, musyawarah, ketegasan yang bijak, dan amanah.

Baginda tidak hanya memimpin dari atas, tetapi turun ke lapangan bersama para sahabat, menyelesaikan masalah dengan hikmah, dan sentiasa meletakkan kepentingan umat di hadapan diri sendiri.

Kesimpulannya, adapun perubahan zaman lebih banyak berlaku dalam urusan duniawi seperti muamalat, teknologi dan pentadbiran, namun prinsip-prinsip Islam tetap boleh diaplikasikan.


Soalan 5

Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah langkah-langkah yang patut diambil untuk memupuk rasa cinta terhadap para sahabat dalam kalangan anak-anak, dan jadikan sahabat nabi sebagai idola mereka?

Sahabat Nabi SAW merupakan di antara generasi yang terbaik kerana mereka hidup sezaman dengan Nabi SAW dan mereka juga dididik sendiri oleh Baginda SAW.

Hal ini diakui sendiri oleh Baginda SAW melalui sabdanya:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.” [HR al-Bukhari, 3651]

Selain itu juga, di dalam Al-Quran ada dinyatakan bahawa Allah SWT meredai para sahabat ini dan Allah SWT menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.” [Surah al-Taubah, ayat 100]

Berikut beberapa langkah praktikal yang boleh diambil oleh ibu bapa, guru atau pendidik untuk memupuk rasa cinta dan menjadikan sahabat Nabi Muhammad SAW sebagai idola dalam kalangan anak-anak:

Penceritaan Berunsur Hikmah

  • Ceritakan kisah-kisah menarik sahabat seperti Abu Bakar, Umar ibn al-Khattab, Ali ibn Abi Talib dan lain-lain secara bersiri.
  • Fokuskan pada nilai-nilai murni yang ditonjolkan: keberanian, kejujuran, kasih sayang dan pengorbanan.

Buku & Bahan Bacaan Sesuai Umur

  • Sediakan buku cerita bergambar atau komik Islami tentang kehidupan para sahabat.

Pengaplikasian Nilai dalam Kehidupan Seharian

  • Setiap minggu, pilih satu sahabat dan garap satu nilai (contoh: keikhlasan Umar).
  • Galakkan anak mencontohi nilai itu—misalnya, berani melawan tohmahan atau jujur walau sukar.

Lawatan Ke Tempat Bersejarah / Muzium

  • Jika berpeluang, bawa anak ziarah ke muzium Islamik atau tempat pameran berkaitan sejarah sahabat nabi.
  • Pengalaman visual dan fizikal akan mengukuhkan ingatan mereka.

Aktiviti Lakonan

  • Anjurkan sesi berlakon (drama pendek) di rumah atau di kelas di mana anak-anak memerankan peranan sahabat terpilih.
  • Melalui lakonan, mereka akan lebih memahami suasana dan nilai yang dihidupkan oleh sahabat.

Dengan pendekatan yang konsisten, kreatif dan interaktif, anak-anak bukan sahaja akan mengenali siapa para sahabat Nabi SAW, malah terdorong menjadikan mereka idola dalam meniti jalan kebaikan seharian.


Soalan 6

Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah punca utama sesetengah individu menghina sahabat Nabi dan bagaimana pendekatan berhemah boleh digunakan untuk menangani mereka?

Menghina atau mencela adalah suatu sifat yang keji.

Islam amat menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan-perkataan yang baik kepada saudaranya sama ada muslim atau bukan Islam.

Terdapat hadis mencegah kita daripada mencela atau mengejek saudara kita dengan ucapan seperti fasiq atau kafir.

لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالفُسُوقِ، وَلاَ يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ، إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ، إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu.” [HR al-Bukhari, 6045]

Hadis lain pula berbunyi:

وَمَنْ دَعَا رَجُلًا بِالْكُفْرِ، أَوْ قَالَ: عَدُوُّ اللهِ وَلَيْسَ كَذَلِكَ إِلَّا حَارَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang memanggil seseorang dengan kafir atau dengan berkata wahai musuh Allah sedangkan tidak sedemikian melainkan perkataan tersebut akan kembali kepadanya.” [HR Muslim, 112]

Kesemua hadis ini adalah larangan dan tegahan mencela dan menghina secara umum, apatahlagi jika ia ditujukan kepada para sahabat Rasulullah SAW.

Mereka lebih utama untuk dihormati dan disanjungi.

Keutamaan mereka adalah telah sedia diredai Allah:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.” [Surah al-Taubah, ayat 100]

Bahkan secara khusus baginda melarang mencela para sahabat:

لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ، ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلاَ نَصِيفَهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu menghina sahabatku, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfaqkan emas sebesar bukit Uhud, tidak akan menyamai satu cupak (pahala) seorang pun daripada mereka dan tidak juga separuh daripadanya.” [HR al-Bukhari, 3673]

Antara punca sesetengah orang mencela sahabat adalah kerana tidak sedar dan tahu akan jasa dan pengorbanan para sahabat menyambung legasi peninggalan Rasulullah SAW sehingga sampai kepada kita.

Selain itu, mereka mungkin terpengaruh kepada dakyah negatif yang ditujukan kepada para sahabat oleh orientalis mahupun golongan Syiah demi memburukkan para sahabat.

Dalam mendepani golongan ini, hendaklah jadikan asas syariat dalam berbahas iaitu dengan penuh hikmah:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” [Surah al-Nahl, ayat 125]

Berdasarkan prinsip ini, beberapa langkah berhemah yang boleh diambil:

Gunakan Bahasa yang Lemah Lembut dan Hormat

  • Mulakan perbualan dengan pujian atas kebaikan mereka (jika wajar), kemudian masuk ke inti perbincangan.
  • Elakkan nada mengecam atau menghakimi.

Rujuk Dalil Syar’i dan Sejarah Sahih

  • Paparkan hadis, atsar sahabat, dan riwayat sejarawan muktabar seperti al-Tabari, Ibn Hajar dan al-Waqidi.
  • Berikan contoh jasa-jasa sahabat (misalnya pengorbanan Abu Bakar al-Siddiq, keberanian ‘Umar ibn al-Khattab).

Tunjukkan Akhlak dan Teladan Sendiri

  • Amalkan adab dalam ucapan dan tingkah laku.
  • Jika mereka memperlekeh, balas dengan kesabaran dan doa.

Buka Ruang Diskusi dan Soal Jawab

  • Galakkan mereka bertanya soalan secara berhemah.
  • Sediakan sumber bacaan (artikel, buku, kuliah video yang diiktiraf).

Berdoa Agar Hati Mereka Terbuka

Mohon kepada Allah SWT agar meluruskan niat dan menyingkirkan syubhat.

Scroll to Top