ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

ujian tanda sayang
Soalan Penonton – Ujian, Musibah & Hikmah

SOALAN PENONTON

Soalan 1: Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana ujian boleh menjadi tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, atau sebenarnya dia adalah hukuman Allah SWT?

Apabila Allah SWT mencintai kepada seseorang yang beriman, Dia akan mengujinya. Ini kerana di sebalik ujian itu, tersembunyi kesudahan yang baik sebagai tanda kasih sayang dan keredhaan-Nya. Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sebuah kaum nescaya Dia akan memberikan ujian kepada mereka. Maka barangsiapa yang redha (dengan ketetapan Allah), maka Allah akan redha kepadanya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah pun tidak akan redha kepadanya.” [HR Tirmizi, 2320]

Ujian boleh menjadi tanda kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya kerana melalui ujian, Allah SWT mendidik, membersihkan, dan mendekatkan hamba-Nya kepada-Nya. Ia adalah cara Allah mengangkat darjat orang beriman serta menghapuskan dosa-dosa mereka. Nabi SAW bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً ، أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Maksudnya: “Tidaklah tusukan duri yang menimpa seorang Mukmin atau musibah lain yang lebih besar daripada itu; melainkan Allah akan meningkatkan darjatnya kerana musibah tersebut, atau mengampunkan satu dosanya.” [HR Muslim, 2572]

Ujian yang Allah berikan kepada hamba-Nya juga merupakan jalan untuk hamba itu meraih rahmat-Nya, tidak mungkin Allah menguji hamba-Nya untuk menghukum, sebaliknya ujian itu datang dengan rahmat dan hikmah yang tersembunyi. Allah SWT berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوْعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْاَمْوَالِ وَالْاَنْفُسِ وَالثَّمَرٰتِۗ وَبَشِّرِ الصّٰبِرِيْنَ (155) اَلَّذِيْنَ اِذَآ اَصَابَتْهُمْ مُّصِيْبَةٌۗ قَالُوْٓا اِنَّا لِلّٰهِ وَاِنَّآ اِلَيْهِ رٰجِعُوْنَۗ (156) اُولٰۤىِٕكَ عَلَيْهِمْ صَلَوٰتٌ مِّنْ رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُهْتَدُوْنَ (157)

Maksudnya: “Maksudnya: “Kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan dan kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah (wahai Nabi Muhammad,) kabar gembira kepada orang-orang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Innā lillāhi wa innā ilaihi rāji‘ūn” (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya hanya kepada-Nya kami akan kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Baqarah, ayat 155-157]

Namun, dalam keadaan tertentu, ujian juga boleh menjadi hukuman daripada Allah SWT. Ini berlaku apabila seseorang melakukan maksiat, berpaling daripada perintah Allah, dan tidak menunjukkan tanda-tanda taubat atau penyesalan. Dalam hal ini, ujian datang sebagai peringatan atau hukum terhadap perbuatan dosa mereka. Allah SWT berfirman:

‌وَلَقَدْ ‌أَهْلَكْنَا ‌الْقُرُونَ ‌مِنْ ‌قَبْلِكُمْ ‌لَمَّا ‌ظَلَمُوا ‌وَجاءَتْهُمْ ‌رُسُلُهُمْ ‌بِالْبَيِّناتِ وَما كانُوا لِيُؤْمِنُوا كَذلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat sebelum kamu ketika mereka berlaku zalim, padahal telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, tetapi mereka tidak juga beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.” [Surah yunus, ayat 13]

Di dalam at-Tafsir al-Muyassar memberitahu perihal ayat di atas:

‌لمَّا ‌أشركوا، ‌وجاءتهم ‌رسلهم ‌من ‌عند ‌الله ‌بالمعجزات ‌الواضحات والحجج yang تبين صدق مَن جاء بها، فلم تكن هذه الأمم التي أهلكناها لتصدق رسلها وتنقاد لها، فاستحقوا الهلاك

Maksudnya: “Apabila mereka telah melakukan syirik, dan telah datang kepada mereka para rasul dari sisi Allah dengan mukjizat-mukjizat yang jelas dan hujah-hujah yang membuktikan kebenaran orang yang membawanya, maka kaum-kaum yang telah Kami binasakan itu bukanlah golongan yang mahu mempercayai para rasul mereka dan tunduk kepada kebenaran, maka mereka pun berhak menerima kebinasaan (ujian).” [Rujuk: At-Tafsir al-Muyassar, jld. 1, hlm. 209]

Selain itu, Allah juga boleh menguji dengan nikmat sebagai bentuk istidraj, iaitu penangguhan azab melalui kesenangan dunia agar manusia terus lalai dan tenggelam dalam dosa. Allah SWT berfirman:

‌سَنَسْتَدْرِجُهُمْ ‌مِنْ ‌حَيْثُ ‌لا ‌يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” [Surah al-Qalam, ayat 44]

Imam at-Tabari menjelaskan perihal ayat ini

سنكيدهم من حيث لا يعلمون، وذلك بأن يمتعهم بمتاع الدنيا حتى يظنوا أنهم متعوا به بخير لهم عند الله، فيتمادوا في طغيانهم، ثم يأخذهم بغتة وهم لا يشعرون

Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke arah kebinasaan) dari arah yang mereka tidak sedari, iaitu dengan memberikan mereka kesenangan dunia sehingga mereka menyangka bahawa nikmat itu adalah kebaikan dari Allah untuk mereka. Lalu mereka terus-menerus dalam keangkuhan dan melampaui batas, kemudian Kami akan menyeksa mereka secara tiba-tiba sedangkan mereka tidak menyedarinya.” [Rujuk: Tafsir at-Tabari, jld. 23, hlm. 561]

Kesimpulannya, ia boleh menjadi tanda kasih sayang Allah untuk membersihkan, mendidik, dan mengangkat darjat hamba-Nya. Namun, jika seseorang dalam kemaksiatan dan tidak bertaubat, ujian boleh menjadi hukuman atau peringatan keras.

Soalan 2: Assalamualaikum ustaz dan dai. Adakah musibah membawa hikmah? Kenapa Allah menurunkan ujian seperti ketakutan, kelaparan, dan kehilangan kepada umat-Nya?

Ya, musibah dalam Islam boleh membawa banyak hikmah, asalkan seseorang menghadapinya dengan iman, sabar, dan redha. Antara hikmah daripada musibah adalah pengampunan dosa atau diangkat darjat seseorang. Nabi SAW bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً ، أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Maksudnya: “Tidaklah tusukan duri yang menimpa seorang Mukmin atau musibah lain yang lebih besar daripada itu; melainkan Allah akan meningkatkan darjatnya kerana musibah tersebut, atau mengampunkan satu dosanya.”[HR Muslim, 2572]

Seterusnya, antara hikmah daripada musibah ialah itu adalah tanda Allah SWT mencintai seseorang itu, Rasulullah SAW bersabda:

وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sebuah kaum nescaya Dia akan memberikan ujian kepada mereka.” [HR Tirmizi, 2320]

Ujian yang diberikan oleh Allah SWT sama sekali bukanlah sesuatu yang sia-sia. Setiap ujian pasti mengandungi hikmah dan sebab tertentu yang pada akhirnya akan membawa kebaikan serta keuntungan kepada hamba-Nya. Allah menurunkan ujian seperti ketakutan, kelaparan, dan kehilangan kepada umat-Nya sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat ini. Allah SWT berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوْعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْاَمْوَالِ وَالْاَنْفُسِ وَالثَّمَرٰتِۗ وَبَشِّرِ الصّٰبِرِيْنَ (155) اَلَّذِيْنَ اِذَآ اَصَابَتْهُمْ مُّصِيْبَةٌۗ قَالُوْٓا اِنَّا لِلّٰهِ وَاِنَّآ اِلَيْهِ رٰجِعُوْنَۗ (156) اُولٰۤىِٕكَ عَلَيْهِمْ صَلَوٰتٌ مِّنْ رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُهْتَدُوْنَ (157)

Maksudnya: “Kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan dan kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah (wahai Nabi Muhammad,) kabar gembira kepada orang-orang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Innā lillāhi wa innā ilaihi rāji‘ūn” (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya hanya kepada-Nya kami akan kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Baqarah, ayat 155-157]

Allah SWT menguji manusia dengan pelbagai bentuk ujian seperti ketakutan, kelaparan, kehilangan harta, nyawa, dan hasil tanaman. Namun, ujian ini juga mengandungi pesanan rohani dan janji Ilahi bagi mereka yang bersabar. Seseorang yang bersabar ketika menghadapi ujian berpeluang meraih ganjaran besar daripada Allah, termasuk pahala, rahmat, dan petunjuk. Kuncinya adalah kesabaran. Ayat ini mengajar kita bahawa ujian adalah lumrah dan pasti berlaku, namun orang yang bersabar akan diberi ganjaran yang besar. Maka, di sebalik ujian, tersembunyi kasih sayang dan rahmat Allah SWT.

Soalan 3: Assalamualaikum ustaz dan dai. Macam mana sabar masa kena musibah boleh tunjuk yang seseorang tu betul-betul bergantung pada Allah? Adakah terdapat kisah Nabi SAW ketika meneruskan jalan dakwah yang penuh dengan ujian untuk dijadikan teladan umat?

Dalam al-Quran terdapat beberapa tempat Allah telah menyatakan kebersamaan Allah bersama orang yang sabar. Kebersamaan ini ditafsirkan oleh ulama, antaranya ialah Imam Fakhrudin al-Razi, bahawa ia bermaksud al-Nasr (pertolongan). Sebagaimana firman Allah SWT:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱسۡتَعِینُوا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ

Maksudnya: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” [Surah al-Baqarah, ayat 153]

Allah memerintahkan kita untuk meminta pertolongan Allah dengan solat dan sabar, dan pertolongan Allah akan bersama orang-orang yang sabar. Sebagaimana Allah menjelaskan dalam ayat yang lain:

فَسَيَكْفِيكَهُمُ ٱللَّهُ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Maksudnya: “Oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah, ayat 137]

Berdasarkan beberapa ayat ini, menunjukkan bahawa keyakinan seseorang terhadap jaminan Allah akan menjadikan dia semakin kuat bersabar, kerana dia tahu bahawa semakin kuat bersabar, semakin dekat pertolongan Allah kepadanya, lantas menjadikan dirinya semakin kuat bergantung kepada Allah. Bahkan, keimanan terhadap qada’ dan qadar Allah dan meyakini setiap perkara yang berlaku mengandungi hikmah tersendiri, menjadikan seseorang semakin kuat bergantung kepada Allah. Sabar tidak bermaksud pasrah dengan ketentuan, tetapi sabar bermaksud berlapang dada dengan penuh keinsafan dan pengharapan kepada Allah.

Firman Allah SWT:

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍۢ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَآ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌۭ

Maksudnya: “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” [Surah al-Hadid, ayat 23]

Kisah yang paling dekat untuk diperhatikan ialah kisah dakwah Nabi di Taif. Nabi menerima penolakan ketika menyampaikan dakwah di sana, bahkan sehingga Nabi cedera kerana dibaling batu, Nabi juga dicaci dan dihina. Maka, ketika Nabi berehat di satu pokok, Nabi berdoa kepada Allah dengan penuh kesabaran dan kebergantungan kepada Allah:

اللَّهُمَّ إِلَيْكَ أَشْكُو ضَعْفَ قُوَّتِي وَقِلَّةَ حِيلَتِي وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، أَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِينَ وَأَنْتَ رَبِّي، إِلَى مَنْ تَكِلُنِي، إِلَى بِعِيدٍ يَتَجَهَّمُنِي، أَمْ إِلَى عَدُوٍّ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي، إِنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ غَضَبٌ عَلَيَّ فَلَا أُبَالِي، وَلَكِنَّ عَافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعُ لِي، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِكَ الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتُ، وَصَلَحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ يَنْزِلَ بِي غَضَبُكَ، أَوْ يَحِلَّ عَلَيَّ سَخَطُكَ، لَكَ الْعُتْبَى حَتَّى تَرْضَى، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu lemahnya aku ini, serta kurangnya daya upayaku serta hinanya aku dalam kalangan manusia. Wahai Yang Maha Pengasih di antara yang mengasihani, Engkau adalah Tuhan orang yang lemah, Engkau adalah Tuhanku, kepada siapa Engkau serahkan aku ini? Adakah kepada orang jauh yang mencari kesempatan untuk menyerangku? Atau adakah kepada musuh yang Engkau serahkan urusanku kepadanya? Jika engkau tidak memurkaiku, maka aku tidak akan mempedulikan, akan tetapi kesejahteraan daripada-Mu adalah lebih luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menerangi segala kegelapan serta menyebabkan urusan dunia dan akhirat ini menjadi baik, agar janganlah kemurkaan-Mu menimpa kepadaku atau Engkau menjadi murka kepadaku. Bagi-Mu keredaan sehingga Engkau benar-benar meredainya, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan pertolongan-Mu jua.” [HR al-Tabarani jld. 14, hlm. 139. Disebut dalam Tarikh Dimasyq oleh Ibn Asakir jld. 49, hlm. 152 dan Zad al-Ma’ad jld. 3, hlm. 28]

Sabar Nabi tidak menjadikan Nabi putus asa atau mendoakan yang tidak baik untuk penduduk Taif, tapi sabar Nabi menjadikan Nabi menyerahkan segalanya kepada Allah dan tidak peduli apa saja yang berlaku yang penting Nabi mendapat keredhaan Allah. Ternyata kekuatan sabar benar-benar menjadikan kita seseorang yang mampu berdiri kuat dengan harapan terkukuh iaitu harapan dan kebergantungan kepada Allah. Musibah yang datang tidak melemahkan dan tidak menjauhkan diri kita daripada Allah, bahkan meletakkan kita di kedudukan yang tinggi disisi Allah.

Soalan 4: Assalamualaikum ustaz dan dai. Apa maksud lafaz "Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un" dalam konteks ujian dan musibah? Kenapa orang beriman kena ingat yang semua benda dia ada cuma pinjaman dari Allah apabila ditimpa musibah?

Setiap insan yang beriman tidak akan terlepas daripada ujian dan dugaan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Ia menunjukkan kebenaran iman seseorang hamba. Allah SWT berfirman:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman" sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” [Surah al-Ankabut, ayat 2]

Apabila ujian atau musibah menimpa kita, Allah SWT menyuruh kita untuk kembali kepada-Nya seperti firmanNya:

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” [Surah al-Baqarah, ayat 156]

Imam al-Qurtubi menyatakan dalam tafsirnya, musibah ialah setiap perkara yang menimpa manusia dan menyakiti mereka. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 2/175]. Perlu difahami di sini bahawa lafaz istirja’ ini bukan hanya disunatkan untuk dilafazkan pada waktu berlakunya sesebuah kematian namun ia umum pada setiap perkara atau kejadian yang menimpa manusia apatah lagi menyakiti mereka.

Lafaz ‘inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’ atau dikenali sebagai istirja’ mempunyai kaitan yang rapat dengan ujian:

Ia merupakan pengakuan bahawa segalanya adalah milik Allah SWT dan ia mengajar kita untuk tidak sombong dan angkuh terhadap kurniaan Allah SWT. Ia menyedarkan kita bahawa segala-galanya adalah milik mutlak Allah SWT dan Dia berhak mengambilnya bila-bila masa yang Dia kehendaki. Imam Qurtubi berkata:

تَوْحِيدٌ وَإِقْرَارٌ بِالْعُبُودِيَّةِ وَالْمُلْكِ … إِقْرَارٌ بِالْهَلْكِ، عَلَى أَنْفُسِنَا وَالْبَعْثِ مِنْ قُبُورِنَا، وَالْيَقِينُ أَنَّ رُجُوعَ الْأَمْرِ كُلِّهِ إِلَيْهِ كَمَا هُوَ لَهُ

Maksudnya: “Ia adalah tauhid dan pengakuan terhadap pengabdian dan Dialah Pemilik segalanya… Ia adalah pengakuan tentang kebinasaan diri kita, serta kebangkitan kita dari kubur, dan satu keyakinan bahawa sesungguhnya segala urusan kembali kepada-Nya, sebagaimana segala urusan itu adalah milik-Nya” [Rujuk: Tafsir al-Qurtubi: jld. 2, hlm. 176]

Ia juga merupakan tanda penyerahan diri kepada Allah SWT. Seseorang yang ditimpa ujian tahu bahawa Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu termasuklah terhadap ujian yang menimpanya. Dia berharap dan berdoa kepada-Nya supaya dikeluarkan daripada musibah tersebut. Ini melatih sifat tawakal dan reda agar hanya bergantung harap kepadaNya.

Hakikatnya, istirja’ mempunyai hikmah yang besar dan manfaat yang tidak terhingga dalam kehidupan seorang mukmin ketika menghadapi ujian dan musibah. Istirja’ dapat membawa kepada ketenangan dan kesenangan dalam hati. Allah SWT berfirman:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia” [Surah al-Ra’d, ayat 28]

Dengan mengetahui dan menyedari bahawa Allah SWT mempunyai kuasa atas segala sesuatu dan Dia mampu untuk mengubah nasib hamba-hambaNya, maka hati berasa tenang kerana dia yakin tentang qada’ dan qadar Tuhannya. Istirja’ juga menjadi asbab pahala dan ganjaran daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ: مَا أَمَرَهُ اللَّهُ: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. اللَّهُمَّ! أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا - إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: “Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa musibah, lalu dia mengucapkan apa yang diperintahkan oleh Allah: Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. “Ya Allah! Berilah aku ganjaran dalam musibahku ini, dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya” melainkan Allah akan menggantikan untuknya dengan sesuatu yang lebih baik.” [HR Muslim, 918]

Dengan mengembalikan semuanya kepada Allah SWT, Allah memberi kebaikan kepada hamba itu dan memberinya ganjaran dengan sesuatu yang tidak disangkanya. Maka, istirja’ itu mengukuhkan hati dan iman seorang hamba kerana dia tahu bahawa segala-galanya milik Allah SWT dan Dia berhak mengambilnya semula. Dia jugalah yang berkuasa ke atas segala sesuatu.

Soalan 5: Assalamualaikum ustaz dan dai. Seseorang diuji dengan keadaan di mana ibu bapa seakan tidak peduli, terasa seperti tidak difahami dan hilang arah. Apa yang boleh dilakukan untuk menghadapinya?

Seorang anak pastinya inginkan perhatian dan tumpuan daripada ibu bapanya. Ia merupakan fitrah seorang anak yang melihat ibu bapanya sebagai insan yang mereka boleh percaya dan mampu memberikan kasih sayang. Namun, tidak boleh dinafikan bahawa ibu bapa juga merupakan manusia. Mereka tidak terlepas daripada kesilapan seperti tidak mempedulikan anak, tidak memberi sokongan emosi kepada mereka dan tidak berada di saat anak memerlukan mereka.

Dalam situasi ini, Islam mengajar kita beberapa perkara yang boleh diamalkan bagi menghadapinya: bersabar dengan ujian yang kita hadapi. Mempunyai ibu bapa yang bersikap tidak endah terhadap anak dapat meluluhkan hati anak itu. Apatah lagi jika selama ini segala usaha yang dilakukan tidak dipandang oleh mereka. Allah SWT menyuruh kita bersabar apabila ditimpa ujian dan musibah kerana di sana terdapat berita gembira dan ganjaran bagi mereka yang bersabar. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar” [Surah al-Baqarah, ayat 153]

Beradab mulia dengan ibu bapa. Islam menyuruh kita untuk melaksanakannya walaupun ibu bapa itu sendiri melakukan kesalahan dan tidak mentaati Allah SWT. Ia boleh menjadi asbab lembutnya hati mereka dan mengubah sikap mereka kepada lebih memandang dan memberi perhatian kepada anak. Allah SWT berfirman:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya)” [Surah Luqman, ayat 14]

Mencari rujukan dan sokongan luar seperti kaunselor bagi membantu kita Dengan adanya sokongan daripada orang lain, maka ia dapat memberi perspektif dan idea baharu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Ia juga dapat menenangkan hati kerana luahan anak dapat didengar oleh orang yang dipercayai dan mereka dapat membantunya untuk mendapatkan semula perhatian ibu bapa. Allah SWT berfirman:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” [Surah al-Nahl, ayat 43]

Berdoa dan meminta petunjuk daripada Allah SWT. Islam tidak mengajar kita semata-mata untuk bersabar ketika menghadapi ujian. Ia juga mengajar kita untuk memohon doa dan hidayah daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [Surah al-Mu’min, ayat 60]

Allah SWT memegang hati-hati manusia dan Dia jugalah yang mampu mengubahnya daripada hati yang keras dan tidak peduli kepada hati yang lembut dan selalu mengingati. Antara doa yang diajar oleh Allah SWT:

وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [Surah al-Isra’, ayat 24]

Maka, Islam tidak menyuruh untuk menentang ibu bapa dan bersikap buruk dengan mereka apabila dilupakan dan tidak diberi tumpuan oleh mereka. Bahkan, Islam menyuruh untuk membalas perbuatan tersebut dengan berdoa dan bersikap mulia agar Allah SWT membuka hati mereka dan berubah menjadi lebih baik.

Soalan 6: Assalamualaikum ustaz dan dai. Seorang suami diuji dengan isteri yang sakit kronik. Bagaimana ujian ini boleh menjadi ruang untuk membina cinta dan reda kepada Allah, dalam masa yang sama kesetiaan diuji?

Ujian seorang suami apabila isteri tercinta diuji dengan penyakit kronik sebenarnya adalah satu peluang besar untuk memperkukuh iman, mematangkan jiwa, dan mendekatkan diri kepada Allah. Allah SWT berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” [Surah al-Baqarah, ayat 155]

Ayat ini merupakan sebuah perkhabaran daripada Allah SWT buat pengikut-pengikut Nabi Muhammad SAW, bahawa Dia akan menguji mereka dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dan kehilangan harta benda, jiwa ataupun nyawa (misalnya pemergian para sahabat, kerabat dan orang-orang yang dicintai) serta hasil tanaman (seperti kebun dan sawah tidak dapat dikerjakan sebagaimana biasa).

Selain itu, hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sebuah kaum nescaya Dia akan memberikan ujian kepada mereka. Maka barangsiapa yang reda (dengan ketetapan Allah), maka Allah akan redha kepadanya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah pun tidak akan redha kepadanya.” [HR al-Tirmizi, 2320 dan Ibn Majah, 4021]

Antara cara menjadikan ujian ini ruang untuk membina cinta dan reda kepada-Nya, sambil mengekalkan kesetiaan:

Niat dan Pemurnian Ibadah — Mulakan dengan niat, setiap perbuatan menjaga dan merawat isteri di jalan Allah dianggap sebagai satu ibadah.

إِنَّمَا الْأَعْمَال بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat.” [HR al-Bukhari, 1]

Dengan menjernihkan niat kepada semata-mata kerana Allah, setiap lelah, tangisan, bahkan pengorbanan harta akan tercatit sebagai kebaikan di sisi-Nya.

Sabar dan Syukur — Sabar bukan bermakna berdiam diri tanpa usaha, tetapi sabar dalam merawat, mencari rawatan terbaik, dan menerima ketentuan Ilahi dengan hati yang tenang. Syukur di celah kesusahan adalah rahsia reda; semakin kita bersyukur atas nikmat iman, kasih sayang, dan peluang berbakti, semakin ringan ujian itu terasa. Allah SWT berfirman:

وَاِذۡ تَاَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕنۡ شَكَرۡتُمۡ لَاَزِيۡدَنَّـكُمۡ​ وَلَٮِٕنۡ كَفَرۡتُمۡ اِنَّ عَذَابِىۡ لَشَدِيۡدٌ‏

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” [Surah Ibrahim, ayat 7]

Memupuk Kasih Sayang Suami Isteri — Jangan biarkan ujian memecahbelahkan. Sebaliknya, jadikan ia ruang untuk lebih memahami erti sabar dan merendah hati.

وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sebuah kaum nescaya Dia akan memberikan ujian kepada mereka.” [HR al-Tirmizi, 2320]

Luangkan masa berkualiti bersama isteri: mendengar keluh kesah, membaca Al-Quran, atau berdoa bersama. Kata-kata penyemangat dan doa tulus daripada suami membekalkan kekuatan emosi kepadanya.

Kesetiaan Sebagai Amanah yang Mulia — Allah memerintahkan menjaga ikatan perkahwinan dan mengharamkan segala bentuk khianat (zina, kecurangan hati). Ini yang dikatakan kesetiaan sebenar iaitu setia dalam susah mahupun senang. Dalam apa jua keadaan, semuanya adalah baik; jika nikmat, syukur; jika ujian, sabar.

عَجَبًا لأَمْرِ المُؤْمِنِ، إنّ أمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وليسَ ذاكَ لأَحَدٍ إلّا لِلْمُؤْمِنِ، إنْ أصابَتْهُ سَرّاءُ شَكَرَ، فَكانَ خَيْرًا له، وإنْ أصابَتْهُ ضَرّاءُ، صَبَرَ فَكانَ خَيْرًا له

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” [HR Muslim, 7692]

Kekal setia bermakna menjaga pandangan, menundukkan nafsu, dan sentiasa memelihara hak isteri—bukan sekadar fizikal, tetapi juga hak emosi dan rohani.

Muhasabah — Jadikan ujian ini sebagai detik muhasabah diri: di manakah posisi kita dari segi kesabaran, cinta kepada Allah, dan keikhlasan dalam rumah tangga.

Soalan 7: Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah hikmah di sebalik Allah lambat memakbulkan doa seseorang walaupun baginya dia sudah berusaha meminta dan berdoa kepada Allah SWT? Adakah itu dikira ujian juga ustaz?

Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [Surah Ghafir, ayat 60]

Namun, penerimaan atau kemakbulan doa adalah dalam pelbagai cara. Daripada Abi Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.” [HR Ahmad, 11133]

Antara yang boleh difahami daripada hadith ini adalah ada tiga cara Allah SWT menerima doa hamba-Nya iaitu: Allah SWT akan memberikan kepada hamba-Nya di dunia sepertimana yang diingini oleh hamba tersebut. Adapun bagi cara ini boleh dibahagikan kepada kedua iaitu terus dimustajabkan permintaan tersebut dan juga ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu. Allah SWT akan menyimpan doa tersebut di Akhirat kelak kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hamba tersebut memerlukannya di sana. Allah SWT akan menjauhkan hamba tersebut daripada perkara yang buruk atau musibah yang berlaku kepadanya.

Oleh itu, penerimaan doa itu adalah suatu kepastian, namun ianya datang dalam pelbagai cara yang mungkin kita tidak sedar. Kesabaran dalam menanti kemakbulan itu juga boleh jadi sebagai suatu ujian keimanan kepada Tuhan. Sebab itu, Nabi SAW turut bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.” [HR al-Tirmizi, 3479]

Selain itu, kelewatan makbul doa - pada zahirnya - mungkin juga ujian dari sudut kelangsungan doa yang dipanjatkan, adakah seorang hamba itu terus menerus berdoa atau kecewa dan putus asa di tengah jalan. Sabda Nabi SAW:

يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي

Maksudnya: “Akan dikabulkan doa salah seorang diantara kalian selama ia tidak terburu-buru, maksud terburu-buru, ia berkata; aku telah berdoa namun tidak dikabulkan doaku.” [HR al-Tirmizi, 3309]

Maka, hendaklah sentiasa berdoa penuh pengharapan dan kesabaran yang menjadi kunci kemakbulan.

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut.” [Surah al-Anbiya’, ayat 90]

Scroll to Top