ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

berusaha dan berpahala
Soalan Penonton – Warga Emas, Wasatiyah & Peranan Dakwah

SOALAN PENONTON

Soalan 1

Assalamualaikum ustaz dan dai. Dalam konteks masyarakat moden, apakah peranan baru yang boleh dimainkan oleh warga emas dalam ruang dakwah dan kemasyarakatan? Adakah pencen dan bersara bermaksud telah tamat tanggungjawab untuk berkhidmat kepada agama dan masyarakat?

Soalan ini sangat penting dan relevan dalam realiti masyarakat kita hari ini yang sedang menua secara demografi.

Berdasarkan statistik:

  • 2024: Kategori 60+ menjangkau 11.6%–11.8% daripada jumlah populasi 35 juta rakyat Malaysia.
  • 2023: Terdapat kira-kira 4 juta warga emas (≥ 60 tahun).
  • Diramalkan akan mencapai >15% menjelang 2030.

Warga emas seringkali disalahfahami sebagai golongan yang telah "selesai" daripada tanggungjawab sosial dan dakwah.

Realitinya, dalam Islam, selagi nyawa dikandung badan, tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat tetap wujud.

Bersara bukanlah tanda tamat peranan, tetapi satu peluang kedua untuk berbakti dalam bentuk yang berbeza, lebih matang dan strategik. Sebagai contoh:

  • Menjadi "Living Role Model" kepada generasi muda.
  • Dalam masyarakat moden yang dilanda krisis teladan, mereka boleh menjadi qudwah hasanah yang hidup.
  • Sesuai dengan pepatah “Banyak makan garam”, warga emas boleh menunjuk ajar golongan muda yang bersemangat untuk dipandu dengan hikmah dari pengalaman hidup mereka.
  • Mereka adalah penyimpan memori masyarakat, menghubungkan generasi muda dengan akar tradisi ilmu, akhlak, dan perjuangan.

Imam al-Suyuthi dalam kitabnya menulis, Nabi SAW bersabda:

الْبَرَكَةُ مَعَ أَكَابِرِكم

Maksudnya: “Keberkatan itu bersama orang tua di kalangan kamu.” [al-Jami’ al-Kabir, jil. 3, hlm. 589]

Menyelami Konsep Khidmat Berterusan.

Islam tidak pernah mensyaratkan umur untuk beramal.

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: "Apabila anak Adam mati, terputuslah amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya." [HR Muslim, 1631]

Jika seseorang warga emas masih mampu berkongsi ilmu, membina jaringan kebaikan, atau mendidik cucu dan masyarakat, maka itu adalah amal yang mengalir baginya.

Cadangan peranan yang boleh diambil oleh warga emas di kalangan komuniti:

  • Menjadi guru al-Quran sukarelawan di surau atau pusat komuniti.
  • Menyertai kumpulan nasihat komuniti (panel penasihat masjid, NGO).
  • Menjadi sukarelawan kebajikan, seperti membantu agihan zakat, lawatan hospital, dan bimbingan mualaf.
  • Menjadi moderator atau penyampai ilmu dalam platform TikTok atau YouTube — tidak semestinya berceramah, tapi berkongsi kisah dan hikmah hidup (Contoh: Tuan Hutan, ZRA Strim, Ikhtiar Rawatan dll).
  • Menerbitkan memoir, pengalaman hidup atau nota pengajian untuk generasi muda.

Kesimpulannya, bersara hanyalah daripada kerjaya, bukan daripada dakwah dan amal soleh. Dalam masyarakat moden yang rencam dan keliru arah, warga emas adalah kompas moral dan penyambung sanad nilai.

Peranan mereka tidak semakin kecil, malah semakin besar kerana kematangan, hikmah dan keikhlasan mereka sangat diperlukan untuk membantu generasi muda yang terdedah kepada pelbagai cabaran baru.


Soalan 2

Assalamualaikum ustaz dan dai. Dari sudut pandangan Islam, bila seseorang itu sudah berusia, mana satu lebih utama untuknya? Fokus pada ibadah di masjid dan jaga diri sendiri, atau tetap aktif melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan agama?

Islam tidak pernah menerapkan konsep ghuluw (berlebihan dan melampau) dalam sesuatu perkara. Islam menekankan konsep wasatiyah (sederhana, pertengahan, seimbang) dalam setiap perkara. Petimbangan sederhana dan pertengahan itu pula bukanlah dinilai secara semberono dan mengikut perasaan sahaja.

Fahami makna wasatiyah (pertengahan,sederhana) disisi agama:

Antara pandangan sebahagian mufassirin wasatiyah bermaksud adil. Adil membawa mesej meletakkan sesuatu pada tempat dan nilainya.

Hal ini juga turut diperincikan di dalam Tafsir al-Razi oleh Imam Fakhrudin al-Razi bahawa antara pandangan bagi makna ‘ummatan wasata’ dalam ayat 143 Surah al-Baqarah ialah:

أحَدُها: أنَّ الوَسَطَ حَقِيقَةٌ في البُعْدِ عَنِ الطَّرَفَيْنِ ولا شَكَّ أنَّ طَرَفَيِ الإفْراطِ والتَّفْرِيطِ رَدِيئانِ فالمُتَوَسِّطُ في الأخْلاقِ يَكُونُ بَعِيدًا عَنِ الطَّرَفَيْنِ فَكانَ مُعْتَدِلًا فاضِلًا
وثانِيها: إنَّما سُمِّيَ العَدْلُ وسَطًا لِأنَّهُ لا يَمِيلُ إلى أحَدِ الخَصْمَيْنِ، والعَدْلُ هو المُعْتَدِلُ الَّذِي لا يَمِيلُ إلى أحَدِ الطَّرَفَيْنِ

Maksudnya:

Bahawa sifat pertengahan secara hakikatnya bermaksud berada jauh daripada perkara yang ekstrem (tafrit dan ifrat). Tiada keraguan bahawa kedua-dua sisi keterlaluan (melampau dan pengabaian adalah tercela, maka sesiapa yang berada di tengah-tengah dalam akhlak adalah orang yang menjauhi kedua-dua sisi itu, lalu ia menjadi seorang yang seimbang dan mulia.

Bahawa keadilan dinamakan sebagai pertengahan kerana ia tidak condong kepada mana-mana pihak yang bersengketa. Dan keadilan itu ialah keadaan yang seimbang, yang tidak berpihak kepada mana-mana bahagian.

Berdasarkan konsep wasatiyah (pertengahan) yang diajarkan oleh Islam, kita fahami ia terpakai dalam semua aspek kehidupan, termasuk menguruskan tindakan harian kita. Begitu juga dalam menentukan apa yang ingin kita lakukan dalam kehidupan.

Bagi situasi seseorang yang sudah mencapai umur yang lanjut, kedua-dua ibadah khusus dan kerja kemasyarakatan adalah penting dan tidak semestinya perlu saling mengecualikan. Namun, keutamaan antara keduanya bergantung kepada:

  • Keadaan kesihatan fizikal dan mental individu.
  • Kepakaran dan pengalaman yang dimiliki.
  • Keperluan masyarakat sekeliling.
  • Niat dan matlamat amal itu sendiri.

Ibadah khusus seorang hamba kepada Allah bukanlah satu pilihan bahkan terdapat sebahagian ibadah itu merupakan satu kewajipan. Tambahan, apabila seseorang itu semakin meningkat umur, kesedaran untuk menambah amal dan merasa dekat dengan kematian itu ialah perkara biasa. Maka hal sebegitu semestinya menambah semangat seseorang itu terus memperbanyak ibadah kepada Allah.

Bahkan, ianya juga satu bentuk keterlaluan jika seseorang itu sibuk melakukan kerja kemasyarakatan sehingga melupakan tanggungjawab ibadah khususnya kepada Allah.

Hakikatnya ibadah khusus ialah sumber kekuatan seseorang untuk dia turut serta dalam melakukan ibadah umum (kerja kemasyarakatan). Kerana ibadah khusus merupakan senjata dalam menghubungkan seseorang itu dengan Allah, sehingga akhirnya Allah memberikan pertolongan dan kemudahan kepadanya untuk berupaya melakukan kerja kemasyarakatan.

Jika seseorang itu berkemampuan melakukan kerja kemasyarakatan (kesihatan yang baik, kelapangan masa dan harta) maka sebaiknya untuk dia melibatkan diri dan tidak menjadikan ibadah khusus atau jaga diri sendiri sebagai alasan.

Kerana hakikatnya menjadi manfaat dan memberi manfaat kepada masyarakat, saling membantu ialah salah satu perkara yang diperintah Allah. Firman Allah SWT:

ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” [Surah al-Maidah, ayat 2]

Bahkan, sebaiknya untuk kita tidak bersikap selektif dalam memahami ibadah, dan hanya menganggap ibadah itu hanyalah solat, berzikir di masjid, dan menganggap selain dari itu seperti kerja kemasyarakatan bukan satu bentuk ibadah. Semua perkara dikira ibadah sekiranya ia dilakukan ikhlas dan menepati syariat.

Maka ukur dan nilailah dengan adil dalam menguruskan keutamaan ibadah yang kita ingin lakukan kepada Allah dengan memberikan sepenuh keikhlasan dan upaya kita dalam mengabdikan diri kepada Allah.


Soalan 3

Assalamualaikum ustaz dan dai. Zaman terus berubah dan anak muda semakin berbeza dalam cara fikir serta gaya hidup. Dalam mendekatkan mereka kepada agama, sejauh manakah pentingnya peranan golongan yang lebih berusia? Bagaimanakah peranan ini dapat dilihat melalui sirah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda?

Dalam era yang dipenuhi dengan pelbagai cara fikir dan gaya hidup yang lazimnya dipopularkan oleh golongan muda, satu perkara yang kekal relevan ialah keperluan mendekatkan mereka kepada agama.

Golongan yang berusia memainkan peranan penting dalam membimbing golongan muda supaya terarah dan terpandu urusan mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara yang boleh membawa kemudaratan pada agama mereka.

Rasulullah SAW bersabda:

الْبَرَكَةُ مَعَ أَكَابِرِكُمْ

Maksudnya: “Keberkatan itu bersama orang-orang tua kamu.” [HR al-Tabarani, 8991]

Ini kerana golongan berusia merupakan pewaris kepada hikmah dan ilmu yang bernilai.

Mereka memelihara memori perjuangan agama, kisah-kisah kebenaran, serta nilai-nilai akhlak dan adab yang semakin terhakis dalam dunia digital yang serba pantas.

Allah SWT berfirman:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak.” [Surah al-Baqarah, ayat 269]

Imam Tantawi berkata: “Hikmah itu bermaksud mencapai kebenaran dalam perkataan dan perbuatan, atau ia adalah ilmu yang bermanfaat yang disertai dengan amalan berdasarkan ilmu tersebut” [Al-Tafsir al-Wasit, jld. 1, hlm. 619]

Ini adalah kualiti yang umumnya dimiliki golongan berusia.

Golongan berusia juga mampu memberi keteladanan yang hidup dan ikutan yang nyata.

Golongan muda yang lazim dengan dunia digital yang banyak menyajikan trend dan idea yang pelbagai, perlukan sosok yang boleh dilihat dan berinteraksi secara nyata untuk dicontohi.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ دَلَّ على خير فله مثل أجر فاعله

Maksudnya: “Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka baginya pahala seperti orang yang melakukannya.” [HR Muslim, 1893]

Ini kerana kecenderungan golongan muda untuk mengikut insan yang lebih berpengalaman dan lebih ‘makan garam’.

Rasulullah SAW mendidik sahabat-sahabat muda seperti Ali bin Abi Talib, Zubair bin al-’Awwam dan Zaid bin Harithah RA sehingga menjadi insan yang hebat.

Umar bin Abi Salamah RA berkata:

كُنْتُ غُلَامًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللهِ ﷺ وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللهِ ﷺ: يَا غُلَامُ، سَمِّ اللهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ. فَمَا زَالَتْ تِلْكَ طِعْمَتِي بَعْدُ

Maksudnya: “Aku seorang yang muda yang berada di sisi Rasulullah SAW, dan tanganku bergerak di dalam piring makanan. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadaku: “Wahai anak muda, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah dari makanan yang ada di dekatmu.” Sejak itu, makananku tidak pernah lagi tercicir.” [HR al-Bukhari, 5376]

Rasulullah SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ؛ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai sekalian pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu (untuk berkahwin), maka hendaklah dia berkahwin. Dan sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu akan menjadi penahan baginya.” [HR al-Bukhari, 5065]

Hakikatnya, golongan muda tidak lari daripada agama. Namun mereka memerlukan panduan daripada golongan yang telah lebih lama pengalaman dan usianya agar dapat dipandu dengan kebijaksanaan dan tidak hanyut dengan arus dunia.


Soalan 4

Assalamualaikum ustaz dan dai. Dalam masyarakat hari ini, apakah cabaran utama yang menghalang warga emas daripada terus menyumbang? Kenapa sesetengah warga emas lebih cenderung menyendiri daripada terus aktif?

Lumrah manusia apabila sudah tiba masanya, maka dia akan menjadi lemah, mata mula kabur, pendengaran mula berkurang, rambut makin putih dan tubuh makin lemah.

Allah SWT berfirman:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً

Maksudnya: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban.” [Surah al-Rum, ayat 54]

Antara cabaran yang dihadapi oleh warga emas sehingga menghalang mereka untuk menyumbang ialah:

Masalah kesihatan fizikal dan mental

  • Mereka sering menghadapi pelbagai penyakit kronik seperti arthritis, diabetes, dan masalah jantung yang menghalang mereka untuk menyumbang secara fizikal.
  • Penyakit seperti demensia, Alzheimer, dan depresi turut memberi impak besar kepada kemampuan mereka untuk berfungsi secara sosial.

Stereotaip umur dan diskriminasi

  • Masyarakat cenderung melihat warga emas sebagai tidak produktif atau tidak mampu memberi sumbangan yang sama seperti golongan muda.
  • Mereka dipinggirkan dalam perbincangan atau perancangan penting, baik di tempat kerja, komuniti, atau dalam keluarga kerana dianggap tidak relevan.

Isolasi sosial

  • Ramai warga emas kehilangan pasangan hidup, rakan-rakan, atau keluarga, yang boleh menyebabkan mereka merasa kesunyian.
  • Mereka mungkin kehilangan peranan atau identiti yang mereka miliki semasa bekerja, menyebabkan mereka merasa tidak dihargai.

Halangan-halangan ini menyebabkan mereka tidak bersemangat malah berasa tidak dihargai dan terpinggir dalam masyarakat.

Mereka mungkin merasa bahawa sumbangan mereka tidak lagi diperlukan atau bahawa mereka tidak mampu memberikan apa-apa nilai kepada komuniti.

Mereka juga mengambil keputusan untuk menyendiri atas beberapa faktor:

Kehilangan kekuatan fizikal dan emosi

  • Jika mereka merasa terlalu lemah atau tidak mampu untuk bersosial atau menghadiri aktiviti, mereka mungkin lebih suka tinggal di rumah dan menghindari interaksi yang lebih luas.
  • Rasa malu akibat masalah fizikal (seperti kesukaran berjalan atau menggunakan alat bantuan) sering menyebabkan mereka enggan keluar dari rumah.

Pengecualian daripada komuniti atau aktiviti

  • Warga emas seringkali tidak dijemput untuk terlibat dalam aktiviti sosial atau tidak diberikan peranan aktif dalam komuniti.
  • Jika aktiviti-aktiviti yang ada tidak sesuai dengan keadaan mereka, seperti kurangnya aktiviti yang menenangkan atau mencabar secara mental, mereka mungkin merasa terasing.

Kekurangan sokongan sosial

  • Jika mereka tidak mempunyai hubungan rapat dengan ahli keluarga atau jiran, mereka lebih cenderung memilih untuk menyendiri.
  • Hubungan dengan anak-anak atau cucu-cucu yang sibuk dengan kehidupan mereka juga mengurangkan interaksi sosial, menyebabkan warga emas berasa lebih terpinggir.

Namun, ini tidak bermakna warga emas harus dipaksa untuk terlibat dalam aktiviti yang tidak sesuai dengan keadaan mereka.

Setiap individu perlu dihargai dan diberikan peluang untuk menyumbang mengikut kemampuan dan keinginan mereka.

Jika warga emas menyumbang nilai hikmah dan berkongsi pengalaman mereka, maka ramai daripada generasi muda dapat mengambil faedah dan menjadikannya ganjaran yang berantai sehingga ke akhirnya.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ دَلَّ على خير فله مثل أجر فاعله

Maksudnya: “Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka baginya pahala seperti orang yang melakukannya.” [HR Muslim, 1893]

Jadilah seperti Nabi Zakaria AS yang masih memikirkan masalah umat walaupun baginda sendiri telah lama kerana tua seperti dalam firmanNya:

قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُن بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا *‏ وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِن وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا

Maksudnya: “Ia (Nabi Zakaria AS) merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku, wahai Tuhanku, tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu. * Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.” [Surah Maryam, ayat 4-5]


Soalan 5

Assalamualaikum ustaz dan dai. Adakah wajar untuk meletakkan tanggungjawab menyumbang kepada agama dan masyarakat di bahu warga emas sahaja? Apa pengajaran dari kisah Abu Ayyub al-Ansari yang boleh dijadikan ikutan oleh warga yg berusia?

Tanggungjawab berjuang dan menyumbang kepada agama adalah wajib bagi setiap muslim tanpa mengira umur. Allah menjanjikan ganjaran lumayan melalui tawaran perniagaan yang menghindarkan diri dari azab neraka.

تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَ ⁠لِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَ ⁠لِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). [Surah aṣ-Ṣaff, ayat 11]

Terdapat banyak kisah sirah Nabi SAW yang menunjukkan penglibatan golongan tua dan muda yang membantu perjuangan islam terutamanya dalam aspek peperangan. Sebagai contoh kisah Abu Ayyub Al-Ansari yang masih sertai peperangan menawan kota Konstantinopel.

Motivasi dan disiplin Abu Ayyub Al-Ansari ini satu contoh yang patut dijadikan inspirasi kepada golongan muda kini bahawa umur hanyalah angka dan tanggungjawab mempertahankan islam itu satu komitmen yang patut digalas semua orang.

مَن ماتَ ولَمْ يَغْزُ، ولَمْ يُحَدِّثْ به نَفْسَهُ، ماتَ علَى شُعْبَةٍ مِن نِفاقٍ

Maksudnya: Barangsiapa yang mati dan dia tidak pernah berperang (di jalan Allah), dan tidak juga pernah berniat dalam hatinya untuk berperang, maka dia mati atas satu cabang daripada sifat munafik. [HR Muslim, 1910]

Begitu juga bagi golongan tua tidak boleh menjadikan umur sebagai alasan untuk bersara dari memberi sumbangan kepada islam. Lihatlah pejuang dan komander Palestin, As Syahid Yahya Sinwar yang masih berjuang ke titisan darah terakhir melawan Israel walaupun sudah berusia 60 tahun.

Nabi SAW telah mendidik para sahabatnya agar mewakafkan diri untuk masa depan islam sejak mereka muda lagi. Kisah Usamah bin Zaid yang masih muda dilantik oleh baginda SAW mengetuai Peperangan Mu’tah berdepan pasukan Romawi.

Oleh itu, tanggungjawab menyumbang kepada agama dan masyarakat adalah satu kewajipan tanpa mengenal umur, pangkat dan bangsa.


Soalan 6

Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana kematangan usia boleh mempengaruhi cara seseorang membuat keputusan dalam isu-isu agama dan masyarakat? Adakah terdapat contoh dalam sirah Nabawiyyah?

Kematangan usia menjadikan seseorang lebih luas pandangan dan mampu menimbang antara maslahat dan mafsadah dalam membuat keputusan, khususnya dalam isu agama dan kemasyarakatan.

Saat kewafatan Rasulullah SAW, seluruh Madinah diselubungi kesedihan. Ada dalam kalangan sahabat yang tidak sanggup menerima hakikat, malah ada yang menafikan Baginda telah wafat. Dalam suasana penuh goncang itu, Sayyidina Abu Bakar r.a. tampil dengan ketegasan seorang pemimpin dan jawapan yang sangat tuntas.

فَقَامَ أَبُو بَكْرٍ فَصَعِدَ الْمِنْبَرَ فَقَالَ مَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَىٌّ لَمْ يَمُتْ وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ ‏{وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ}

Maksudnya: Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul. Telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu akan berpaling ke belakang? Dan barangsiapa yang berpaling ke belakang, maka dia tidak akan memberi mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur. [Surah Ali 'Imran, ayat 144]

Rasulullah SAW melantik Amru bin al-‘As sebagai seorang yang berumur dan berpengalaman dalam urusan politik dan muslihat Romawi. Ini menunjukkan Nabi menilai kematangan dalam membina pelan strategik dan keputusan yang bijak.

Hal ini bertepatan dengan satu kata hikmah ulama iaitu kebijaksanaan golongan tua memandu semangat golongan muda dalam menentukan sesuatu keputusan.

Kesimpulannya, orang berusia cenderung mempertimbangkan kesan jangka panjang. Mereka tidak cepat menghukum atau terburu-buru. Sebenarnya ia lahir daripada pengalaman, ilmu yang mapan, dan cara berfikir yang lebih seimbang di antara idealisme dan realisme.


Soalan 7

Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana prinsip hidup yang dibina melalui pengalaman usia boleh menjadi kekuatan atau kelemahan dalam menyampaikan mesej agama kepada masyarakat?

Kebijaksanaan dalam Penyampaian Mesej: Pengalaman hidup membolehkan seseorang menyampaikan dakwah dengan lebih bijaksana, mengutamakan maslahat dan kesan jangka panjang. Al-Quran menyarankan berdakwah dengan hikmah:

وَدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: "Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik." [Surah An-Nahl, ayat 125]

Kebijaksanaan ini memastikan mesej agama sampai dengan cara yang lebih mudah diterima dan lebih berkesan.

Menjadi Teladan yang Baik: Orang berpengalaman dapat menjadi contoh teladan yang baik dalam mengamalkan agama. Rasulullah SAW sendiri menjadi contoh terbaik dalam hal ini, di mana beliau mengamalkan apa yang beliau dakwahkan, menjadikannya lebih mudah diterima oleh masyarakat. Allah berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu.” [Surah Al-Ahzab, ayat 21]

Kisah Sayyidina Abu Bakar RA setelah kewafatan Nabi SAW adalah contoh bagaimana beliau menunjukkan ketegasan dan kepimpinan yang baik. Beliau berkata:

مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ.

Maksudnya: "Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah wafat; barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah Maha Hidup dan tidak mati." [Riwayat Al-Bukhari, 3449]

Keengganan untuk Berubah: Terikat dengan cara lama dalam berdakwah boleh menyebabkan mesej agama tidak relevan dengan zaman moden. Al-Quran mengingatkan:

قَالَ نُوحٌ رَّبُّكُمْ عَامَلُوكُمْ فِي مَسْأَلَةٍ وَفِي إِرَادَتٍ جَدِيدَةٍ

Maksudnya: “Nuh berkata: ‘Wahai kaumku, apakah kamu terkejut kerana aku menyeru kamu kepada keselamatan?’” [Surah Al-A'raf, ayat 79]

Hal ini menunjukkan bahawa pengalaman hidup yang panjang boleh menyebabkan pendekatan dakwah tidak fleksibel, dan dakwah menjadi sukar diterima oleh golongan muda. Kisah Nabi Nuh AS menunjukkan bagaimana golongan yang keras kepala enggan berubah walaupun dipimpin oleh seorang Nabi yang penuh kebijaksanaan.

Risiko Kesombongan: Pengalaman yang panjang sering membuatkan seseorang berasa lebih yakin dengan ilmu dan pengalaman mereka, yang boleh menyebabkan kesombongan dan keengganan untuk menerima pandangan orang lain. Rasulullah SAW memberi amaran terhadap kesombongan dalam dakwah, sebagaimana sabda beliau:

مَنْ أَمِلَ بِعَمَلٍ مَفَاتِحِهُ فِي السَّاعَةِ فِي الْعَمَلِ فَفَصَادِهِ

Maksudnya: "Barangsiapa yang merasa sombong dengan amalannya, maka Allah akan menghinakan dia pada hari kiamat." [Hadis Riwayat Muslim, 3489]

Kisah Sayyidina Umar RA menunjukkan bagaimana beliau belajar untuk menundukkan egonya demi kebaikan umat. Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat tegas, tetapi sering menerima nasihat daripada sahabat lain apabila melihat kebijaksanaan dalam nasihat tersebut.

Kesimpulan: Pengalaman hidup boleh menjadi kekuatan dalam dakwah apabila seseorang itu mempunyai kebijaksanaan, kerendahan hati, dan kesediaan untuk menerima perubahan. Namun, apabila pengalaman membawa kepada keengganan untuk berubah atau kesombongan, ia boleh menjadi kelemahan dalam dakwah. Oleh itu, penting untuk terus merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup, sambil memastikan dakwah disampaikan dengan cara yang lebih relevan dan efektif dalam menghadapi cabaran semasa.

Hadis Nabi SAW mengingatkan kita agar tidak sombong dan sentiasa rendah hati dalam berdakwah:

إنَّ اللهَ لا يُحِبُّ كُلَّ جَزُورٍ فَخُورٍ

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan takabbur.” [Hadis Riwayat Al-Bukhari, 6086].

Scroll to Top