SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

FITNAH AKHIR ZAMAN

unnamed (1)
TANYALAH USTAZ: FITNAH AKHIR ZAMAN - DR HAFIZ HANEEFA

PENGENALAN

Dalam realiti masyarakat hari ini, kita dapat melihat pelbagai bentuk fitnah yang semakin mencabar iman dan akhlak manusia, di mana nilai agama sering terhakis oleh arus kehidupan moden. Maksiat bukan sahaja berlaku secara terbuka, malah ada yang dianggap perkara biasa atas nama kebebasan diri, hiburan dan kemajuan.

Apatah lagi di zaman hari ini di mana kita dikelilingi dengan teknologi yang membuka banyak ruang dan peluang untuk seseorang berbuat dosa dan menimbulkan kekeliruan yang dahsyat. Dalam suasana inilah, umat Islam berdepan keperluan mendesak untuk kembali menilai kedudukan iman dan akhlak diri.

DALIL / KISAH BERKAITAN

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ، وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ، وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ، حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمُ الْمَالُ فَيَفِيضُ
Maksudnya: “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga ilmu diangkat, gempa bumi menjadi banyak, masa menjadi singkat, terzahirnya fitnah-fitnah, al-harj menjadi banyak (iaitu pembunuhan, pembunuhan) sehingga harta menjadi banyak dalam kalangan kamu lalu melimpah.” [HR al-Bukhari, 1036]

Maksud kalimah “فتنة” (Fitnah):

Dalam kata mudah, fitnah ialah ujian yang menzahirkan keadaan manusia, sama ada baik atau buruk, dan berfungsi untuk menunjukkan hakikat iman, akhlak, dan pegangan seseorang, sama ada pada diri individu atau masyarakat.

بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ. يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا. أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كافرا. يبيع دينه بعرض من الدنيا
Maksudnya: “Bersegeralah melakukan amal-amal kerana fitnah itu seperti potongan malam yang gelap. Seseorang menjadi mukmin pada waktu pagi dan menjadi kafir pada waktu petang... Dia menjual agamanya dengan sedikit daripada dunia.” [HR Muslim, 118]

HIKMAH

  • Menzahirkan siapa yang teguh dan siapa yang lemah imannya.
  • Menguji kesabaran, ketabahan, dan keikhlasan manusia.
  • Membimbing mukmin untuk lebih berhati-hati dan memperkukuh akidah.
  • Mengingatkan pentingnya ilmu agama dan kefahaman yang sahih.

SOALAN & PERBINCANGAN

Soalan 1
Bagaimana media sosial hari ini mempengaruhi sikap dan tingkah laku masyarakat sehingga mencalar maruah dan adab?
JAWAPAN :

Media sosial menjadi medium untuk mengekspresikan keinginan dan kecenderungan tanpa had, dan kebebasan ini sering kali melangkaui batas yang ditetapkan. Nabi SAW mengingatkan:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ
Maksudnya: “Kamu akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu, sehasta demi sehasta dan sehasta demi sehasta, sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak, kamu akan mengikutinya...” [HR al-Bukhari, 3456]
Soalan 2
Bagaimana pendedahan berterusan kepada kandungan yang menyalahi syariat di skrin mempengaruhi persepsi kita tentang dosa dan halal haram?
JAWAPAN :

Pendedahan berterusan kepada kandungan yang menyalahi syariat boleh mengubah persepsi individu sehingga perbuatan yang salah mula dianggap normal (Normalisasi Dosa). Allah SWT berfirman:

وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” [Surah al-Baqarah, ayat 168]
Soalan 3
Apakah langkah praktikal dalam mengawal penggunaan media sosial agar tidak memberi pengaruh moral yang buruk?
JAWAPAN :
  1. Ihsan dan Muraqabah: Merasa sentiasa diawasi Allah.
  2. Tanggungjawab Akhirat: Setiap klik, share, dan komen akan dipersoal.
  3. Empati & Amanah: Letakkan diri dalam situasi penerima konten.
  4. Tapis Ikutan: Ubah persekitaran digital agar nafsu tidak diprovokasi.

KESIMPULAN

Segala kepincangan hari ini berpunca daripada kegagalan umat untuk "bernafas" dengan Al-Quran. Kita perlu menjiwai watak hamba yang benar-benar tunduk kepada wahyu untuk membentengi diri daripada penyelewengan akhir zaman.

Scroll to Top