MAQASID | DURASI MEMBACA: 6 MINIT

JANGAN PUTUS ASA: RAHMAT ALLAH SENTIASA TERBUKA

ISU EHATI

JANGAN PUTUS ASA: RAHMAT ALLAH SENTIASA TERBUKA

Manusia merupakan insan yang lemah dan sering terjerumus melakukan dosa dan kesilapan, — kadangkala besar, kadangkala kecil — terlalu ramai yang terjatuh ke dalam lubang maksiat yang sama berulang kali. Perasaan kecewa, putus harapan, sedih, dan ingin berubah sering menyesakkan dada para pendosa. Wahai anak Adam, keluarlah dari kegelapan dan kesempitan itu, datanglah kepada cahaya dan keluasan rahmat serta keampunan Al-Ghaffar (yang Maha Pengampun).

Dalam kajian dalaman oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), lebih 70% responden kaunseling agama menyatakan bahawa mereka pernah merasakan "dosa saya terlalu besar untuk diampunkan oleh Allah." Ini bukan sekadar angka, ia cerminan krisis spiritual yang sedang melanda masyarakat kita.

Putus asa terhadap rahmat Allah adalah sebuah kejayaan bagi syaitan kerana ia secara halus merosakkan harapan, melemahkan jiwa, dan memerangkap manusia di dalam kegelapan yang berlapis-lapis. Ia membunuh keinginan untuk berubah. Ia menjadikan seseorang merasa ‘tidak layak’ lagi untuk kembali kepada Tuhan, seolah-olah langit pengampunan telah tertutup buatnya.

Dalam kehidupan moden yang penuh tekanan, ramai antara kita memikul beban emosi akibat dosa lalu. Ada yang kecewa dengan kelemahan diri, ada yang terjerumus dalam kitaran maksiat yang berulang. Namun, berita gembira dari langit: Allah tidak pernah menutup pintu-Nya kepada mereka yang mahu kembali. Tidak kira sejauh mana seseorang telah tersasar, selagi hayat masih dikandung badan, ruang untuk kembali tetap terbuka.

KESILAPAN BUKAN PENAMAT

Hadis yang diriwayatkan Anas Bin Malik RA:

قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ ‏- صلى الله عليه وسلم كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya : Rasulullah SAW bersabda: "Setiap anak Adam itu berulang kali melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan berulang ialah mereka yang berulang kali juga bertaubat." [HR Tirmizi, 2499]

Hadis ini membawa mesej yang amat mendalam: kesalahan bukan titik noktah. Nilai seseorang di sisi Allah ditentukan oleh tindak balas selepas kesalahan, Adakah dia kembali kepada Allah, atau terus menjauh?

Dalam dunia pendidikan dan psikologi moden, pendekatan ini boleh diterjemahkan dengan prinsip pemikiran berkembang (growth mindset): bahawa kesalahan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran, bukan hukuman mutlak. Islam telah lama manifestasikan pemikiran ini, ia adalah jalan pulang kepada Allah yang tidak pernah tertutup.

Di Malaysia, laporan Kesihatan Mental Kebangsaan menunjukkan bahawa hampir 1 daripada 3 rakyat dewasa mengalami simptom kemurungan, keresahan, atau stress melampau (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2023). Banyak kes ini berpunca daripada rasa gagal, putus asa, dan tiada tujuan hidup. Justeru, mesej rahmat Allah yang sentiasa terbuka perlu disebarluaskan dan diajarkan kepada masyarakat.

KISAH PEMBUNUH BERSIRI YANG INGIN BERTAUBAT

Rasulullah SAW menceritakan kepada para sahabat RA tentang kisah seorang lelaki dari kalangan orang terdahulu yang telah membunuh 99 orang.

Sabda Nabi SAW:

…كانَ فِيمَن كانَ قَبلَكُم رَجُلٌ قَتَلَ تِسعَةً وَتِسعِينَ نَفسًا…

Maksudnya : "Dahulu ada seorang lelaki daripada kalangan umat sebelum kamu yang telah membunuh sembilan puluh sembilan orang… [HR Bukhari, 3470 dan Muslim, 2766]

(Ringkasan hadis) Pembunuh itu ingin berubah lalu dia bertanya, siapakah yang paling faham agama antara kamu semua? Lalu mereka menyuruh dia bertanya kepada seorang ahli ibadah, maka dia bertanya: "Masih adakah harapan untuk aku bertaubat?" Ahli ibadah itu menjawab: "Tidak, engkau telah terlalu banyak berdosa." Maka lelaki itu membunuhnya, menjadikan jumlah mangsanya 100 orang.

Namun rasa bersalahnya tidak padam. Dia terus mencari dan mereka menyuruh lelaki itu untuk bertanya pula kepada seorang ahli ilmu. Maka apabila ditanya soalan yang sama, alim itu menjawab: "Masih ada (ruang taubat), siapa yang menghalangmu daripada bertaubat? Pergilah ke negeri sekian, padanya sekumpulan manusia yang menyembah Allah, sembahlah Allah bersama mereka dan jangan pulang ke negerimu kerana negerimu penuh dengan kejahatan."

Lelaki itu pun pergi. Apabila sampai di pertengahan jalan, maut menjemputnya. Maka para malaikat rahmat dan malaikat azab pun bertelagah. Malaikat rahmat berkata: 'Dia datang dalam keadaan bertaubat, dengan hati yang cenderung kepada Allah.' Manakala malaikat azab berkata: 'Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit pun.'

ISU EHATI

Lalu datang kepada mereka seorang malaikat dalam rupa seorang lelaki. Mereka menjadikannya sebagai hakim. Dia berkata: 'Ukur jarak antara dua negeri itu. Kepada negeri mana dia lebih hampir, maka dia termasuk dalam golongan itu.' Mereka mengukurnya, dan mendapati dia lebih hampir kepada negeri yang baik. Maka malaikat rahmat mengambil rohnya." [HR Bukhari, 3470 dan Muslim, 2766]

Dalam kajian dalaman oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), lebih 70% responden kaunseling agama menyatakan bahawa mereka pernah merasakan "dosa saya terlalu besar untuk diampunkan oleh Allah." Ini bukan sekadar angka, ia cerminan krisis spiritual yang sedang melanda masyarakat kita.

Kisah ini mengajarkan kita bahawa niat yang ikhlas dan langkah pertama ke arah perubahan adalah amat berharga di sisi Allah, lebih bernilai daripada sejarah hitam yang silam.

Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang." [Surah al-Zumar, ayat 53]

ASBAB NUZUL: TIADA ALASAN BAGIMU

Menurut al-Imam al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan, ayat agung dalam Surah al-Zumar ayat 53 diturunkan kepada sekumpulan penduduk Mekah yang merasa ragu-ragu untuk memeluk Islam kerana sejarah hitam mereka. Mereka berkata: "Muhammad mendakwa bahawa siapa yang sembah selain Allah, membunuh jiwa yang diharamkan, dan berdoa kepada selain Allah tidak akan diampunkan. Maka bagaimana kami hendak berhijrah dan memeluk Islam, sedangkan kami telah melakukan semua itu?" [Tafsir al-Tabari, Jilid 21, Halaman 291]

Maka Allah SWT menjawab keraguan mereka dengan satu seruan yang lembut dan penuh harapan. Ayat ini merupakan pengisytiharan pengampunan ilahi secara total, dan disasarkan bukan hanya kepada orang Islam yang berdosa, tetapi kepada semua manusia yang pernah melampaui batas syariat, termasuk orang musyrik, pembunuh, penzina dan sebagainya — dengan syarat, mereka bertaubat dan berserah diri kepada Allah. Ia bukan sahaja membuka ruang untuk kembali, tetapi melenyapkan semua alasan untuk terus menjauh.

RAHMAT ALLAH MELEBIHI KASIH IBU

Sebuah kisah yang menggetarkan hati telah direkodkan oleh Umar RA:

قَدِمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَبْيٌ، فَإِذَا امْرَأَةٌ مِنَ السَّبْيِ تَسْعَى، إِذْ وَجَدَتْ صَبِيًّا فِي السَّبْيِ، أَخَذَتْهُ، فَأَلْصَقَتْهُ بِبَطْنِهَا، فَأَرْضَعَتْهُ، فَقَالَ لَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَتُرَوْنَ هَذِهِ طَارِحَةً وَلَدَهَا فِي النَّارِ؟ قُلْنَا: لَا وَاللَّهِ، وَهِيَ تَقْدِرُ أَنْ لَا تَطْرَحَهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَلَّهُ أَرْحَمُ بِعِبَادِهِ مِنْ هَذِهِ بِوَلَدِهَا

Maksudnya : "Tawanan perang dibawa ke hadapan Nabi SAW, lalu seorang wanita di kalangan mereka yang sedang mencari anaknya terlihat seorang bayi, maka dia terus mengambil bayi itu, memeluknya dan menyusukannya. Nabi SAW pun bertanya kepada kami: 'Adakah kamu sangka wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api?' Kami menjawab: 'Tidak, demi Allah! Sedangkan dia mampu untuk tidak melakukannya.' Maka Baginda SAW bersabda: 'Sesungguhnya Allah lebih penyayang terhadap hamba-hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.’" [HR Bukhari, 5999]

Hadis ini menyentuh hati dengan visual kasih ibu yang teramat dalam, seorang ibu yang hilang anaknya dalam kekacauan, mencarinya dengan cemas, dan apabila menemuinya, memeluk dan menyusuinya dengan penuh kasih. Lalu Nabi SAW gunakan situasi ini untuk menggambarkan rahmat Allah yang melangkaui rahmat seorang ibu kepada anaknya.

Perbandingan ini bukan sekadar pujuk rayu emosi, ia merupakan penegasan sifat Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sekaligus menjawab persoalan yang menyelubungi ramai para pendosa, “Allah masih sayangkah aku?” Jawapannya: Ya. Dan sayang-Nya lebih dalam daripada kasih ibu terhadap anak yang baru ditemui selepas kehilangannya.

ISU EHATI

PULANGLAH, TAUBATMU DINANTI-NANTI

Hadis Qudsi:

النبي صلى الله عليه وسلم قال:"يقولُ اللَّهُ تَعالَى: أنا عِندَ ظَنِّ عَبْدِي بي، وأنا معهُ إذا ذَكَرَنِي، فإنْ ذَكَرَنِي في نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ في نَفْسِي، وإنْ ذَكَرَنِي في مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ في مَلَإٍ خَيْرٍ منهمْ، وإنْ تَقَرَّبَ إلَيَّ بشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إلَيْهِ ذِراعًا، وإنْ تَقَرَّبَ إلَيَّ ذِراعًا تَقَرَّبْتُ إلَيْهِ باعًا، وإنْ أتانِي يَمْشِي أتَيْتُهُ هَرْوَلَةً."

Maksudnya :Nabi SAW bersabda: Allah SWT berfirman: "Aku adalah sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku akan bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku juga akan mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia mengingat-Ku di hadapan orang ramai, maka Aku akan mengingatnya di hadapan satu kelompok yang lebih baik daripada mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku akan mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan berlari. [Hadis Qudsi, HR Bukhari, 7405]

Ini bukan bermaksud Allah bergerak secara fizikal seperti makhluk, tetapi ia adalah perumpamaan agung untuk menunjukkan betapa Allah menunggu-nunggu kepulangan hambanya serta luasnya kasih Allah menyambut hamba-hambaNya yang bertaubat.

Hadis ini mengajar bahawa kasih Allah kepada kita berkali ganda lebih hebat dari kasih kita kepadaNya, namun hendaklah kita yang memulakan langkah ke arahNya walupun dengan sekecil-kecil langkah. Kerana Allah pasti menyahutnya dengan sebesar-besar langkah. Subhanallah.

ISTIQAMAH: ANUGERAH YANG DIPOHON DAN DIPELIHARA

Keazaman untuk berubah mesti disertai usaha untuk istiqamah. Namun istiqamah bukan semata-mata hasil kekuatan dalaman, sebaliknya ia adalah anugerah yang perlu sentiasa dipohon kepada Allah.

Doa Nabi SAW:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ بِوَلَدِهَا

Maksudnya : "Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu." [HR Tirmizi, 3522]

Allah dan Rasulnya telah mengajarkan kepada kita untuk membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat di dalam solat, dan ini merupakan doa yang amat kita perlukan:

Perbandingan ini bukan sekadar pujuk rayu emosi, ia merupakan penegasan sifat Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sekaligus menjawab persoalan yang menyelubungi ramai para pendosa, “Allah masih sayangkah aku?” Jawapannya: Ya. Dan sayang-Nya lebih dalam daripada kasih ibu terhadap anak yang baru ditemui selepas kehilangannya.

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَيمَ

Maksudnya : "Tunjukilah kami jalan yang lurus."[Surah al-Fātihah, ayat 6]

Allah tahu manusia mudah lalai, oleh itu Dia tidak meminta kesempurnaan, tetapi keikhlasan dalam meneruskan perjalanan.

Langkah-langkah Menjaga Istiqamah:

  1. Memperbanyakkan istighfar dan taubat yang konsisten.
    Menurut Imam al-Ghazali, istighfar ibarat mencuci karat dalam hati. Karat itu kecil pada awalnya, tetapi jika dibiarkan akan merosakkan seluruh jiwa.
  2. Menjaga amalan soleh walaupun sedikit tetapi berterusan.
    Nabi SAW bersabda bahawa amalan yang paling dicintai Allah adalah yang berterusan, walaupun sedikit.[HR Muslim, 783]
  3. Menghindari persekitaran yang buruk.
    Menurut kajian Institut Kesihatan Umum, lebih 40% remaja di Malaysia terdedah kepada pengaruh negatif melalui media sosial. Justeru, memilih ‘suasana’ digital juga penting.
  4. Bersahabat dengan orang soleh yang mengingatkan kita kepada Allah.
    Sering kali perubahan kekal lahir daripada sokongan rakan-rakan yang membina dan ikhlas menasihati.

KESIMPULAN

Perjalanan menuju Allah bukan jalan yang lurus tanpa cabaran. Ia adalah medan perjuangan rohani. Iman bertingkat-tingkat. Taubat sentiasa tersedia. Istiqamah adalah hadiah yang perlu dipohon dengan rendah hati.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَمَّا قَضَى اللَّهُ الْخَلْقَ، كَتَبَ عِندَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ: إِنَّ رَحْمَتِي سَبَقَتْ غَضَبِي

Maksudnya : "Tatkala Allah selesai mencipta seluruh makhluk, Dia menulis di sisi-Nya di atas Arasy: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku." [HR Bukhari, 7422 dan Muslim, 2751]

Jangan berputus asa. Teruslah melangkah, walau perlahan. Rahmat-Nya tidak pernah menjauh — hanya kita yang perlu kembali. Dalam tangisan malam, dalam kelam kesunyian, dalam detik-detik penyesalan yang paling sunyi — di situlah Allah menunggu dengan penuh cinta.

Scroll to Top