ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
Soal & Jawab
- Penerbit : Adib
SOALAN PENONTON
Kemaafan & Akhlak Pemaaf
Soalan 1: Assalamualaikum ustaz dan dai. Bulan syawal terkenal dengan bulan saling menziarahi dan bermaafan sesama insan. Adakah dengan memaafkan itu dianggap sebagai salah satu bentuk kekuatan diri? Apakah terdapat ganjaran besar bagi mereka yang mudah memaafkan? Mohon penjelasan ustaz.
Memaafkan seseorang yang telah menyakiti dan menzalimi kita bukanlah perkara yang mudah kerana ia melibatkan penguasaan diri, keikhlasan dan kesabaran. Memaafkan adalah tanda kekuatan diri, kerana ia menunjukkan seseorang tidak terikat dengan dendam atau kebencian.
Memaafkan adalah tanda kekuatan diri kerana Nabi SAW bersabda:
لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِMaksudnya: “Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.”[HR Bukhari, 5763]
Allah SWT berfirman:
فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَMaksudnya: “Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.”[Surah al-Syura, ayat 40]
Kata Ibn Kathir di dalam tafsirnya:
"لا يضيع ذلك عند الله كما صحَّ ذلك في الحديث: "وما زاد الله تعالى عبدًا بعفو إلا عزًّا"
Maksudnya: “Segala perbuatan memaafkan dan mendamaikan tidak akan sia-sia di sisi Allah, seperti yang diriwayatkan dalam hadis "Tidaklah Allah menambah kepada seorang hamba dengan sifat memaafkan kecuali kemuliaan” [Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, jld. 6, hlm. 558]
Ganjaran terhadap orang yang memaafkan adalah pahala yang dijamin oleh Allah SWT, serta mencapai kemuliaan yang tinggi di sisi-Nya.
Soalan 2: Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah kaedah Nabi SAW dalam menangani penghinaan secara terbuka tanpa menanam dendam contohnya peristiwa di Taif? Bagaimana Rasulullah SAW menunjukkan akhlak pemaaf kepada orang yang menyakitinya?
Nabi Muhammad SAW menunjukkan kesabaran dan ketabahan luar biasa ketika dihina, dilontar batu, dan diusir oleh penduduk Taif, tetap tenang tanpa membalas dengan kemarahan.
Kaedah dan contoh Nabi SAW ini sangat bertepatan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَMaksudnya: ”Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”[Surah al-Baqarah, 153]
Dalam peristiwa di Taif, selepas dihina dan disakiti, Nabi SAW berdoa kepada Allah dengan penuh rasa rendah hati dan tawakkal.
Nabi SAW mengadu kepada Allah SWT dengan berkata:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَشْكُو إِلَيْكَ ضَعْفَ قُوَّتِي، وَقِلَّةَ حِيلَتِي، وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ، أَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ، أَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِينَ، وَأَنْتَ رَبِّي، إِلَى مَنْ تَكِلُنِي؟ إِلَى بِعِيدٍ يَتَجَهَّمُنِي أَوْ إِلَى عَدُوٍ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي؟، إِنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ عَلِيَّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي ولكن عافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعُ ليMaksudnya: “Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu kelemahanku, kurangnya kesanggupanku, dan hinanya aku di sisi manusia. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih di antara para pengasih. Engkaulah Pelindung bagi si lemah, dan Engkaulah Pelindungku. Kepada siapakah diriku hendak Engkau serahkan? Kepada orang yang jauh yang bermasam muka denganku, atau kepada musuh yang menguasai urusanku. Jika Engkau tidak marah kepadaku, maka aku tidak peduli.”[Rujuk: Tafsir Baghawi, jld.7, hlm. 265]
Nabi SAW menolak untuk membalas keburukan. Baginda memilih untuk tidak membalas keburukan dengan keburukan, sehingga Malaikat penjaga bukit berkata kepadanya:
يَا مُحَمَّدُ، ذلكَ فِيما شِئْتَ، إنْ شِئْتَ أنْ أُطْبِقَ عليهمُ الأخْشَبَيْنِMaksudnya: “Wahai Muhammad, aku hanya ikut sahaja kehendakmu. Jika engkau mahu, aku akan hempaskan dua gunung-ganang ini ke atas mereka semua! (yang menyakitimu).”[HR Bukhari, 3059]
Namun Baginda SAW memilih untuk terus optimis dan tidak bersifat menghukum kepada mereka yang mungkin tidak memahami, supaya satu hari nanti zuriat mereka memahami risalah Islam, Nabi SAW bersabda:
بَلْ أرْجُو أنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِن أصْلابِهِمْ مَن يَعْبُدُ اللَّهَ وحْدَهُ لا يُشْرِكُ به شيئًاMaksudnya: “Tidak, bahkan aku berharap agar Allah mengeluarkan daripada zuriat keturunan mereka suatu kaum yang menyembah Allah satu-satunya Dia sahaja dan tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apa pun.”[HR Bukhari, 3059]
Nabi SAW tidak gopoh dalam menangani cemuhan dan penghinaan terhadapnya serta tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan, melainkan mengambil masa untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah.
Selain peristiwa Taif, dengan mendoakan hidayah buat keturunan mereka. Dapat juga kita lihat, setelah Nabi SAW menguasai Kota Makkah (Fath Makkah) dalam keadaan aman dan penduduk Makkah berhimpun di hadapan Kaabah dan Rasulullah SAW mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai walaupun mereka memusuhi Nabi SAW sebelum ini. Nabi bersabda kepada mereka:
اذْهَبُوا فَأَنْتُمُ الطُّلَقَاءُMaksudnya: “Pergilah, kamu semula telah bebas.” [HR Baihaqi, 18276]
Abu Jahal sering menghinakan Nabi SAW dan menghalang dakwah Islam, namun Nabi SAW tidak pernah membalas cacian dan makian tersebut. Jika Nabi SAW bersikap pemaaf terhadap musuh, apatah lagi terhadap sahabat baginda.
Maka, begitulah sifat Nabi SAW yang perlu dicontohi oleh umat Islam agar kita dapat melatih sifat pemaaf dalam diri dengan sesama insan.
Soalan 3: Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah terdapat batasan atau limit dalam memberi maaf kepada seseorang yang telah berbuat salah secara terang-terangan dan berulang kali terhadap kita?
Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan, dan sebaik-baik manusia bukanlah yang tidak pernah berdosa tetapi sentiasa menginsafi kesilapan diri dan bertaubat.
Selain itu, memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu akhlak mulia yang perlu ditanamkan pada diri umat muslim.
Firman Allah SWT:
فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَMaksudnya: “Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” [Surah al-Syura, ayat 40]
Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT menyatakan bahawa sesiapa yang memafkan orang yang menyakitinya serta menganiayanya, dan dia memaafkannya dan dia tidak menghukumnya dalam keadaan dia mampu menghukumnya dengan tujuan untuk mencari keredhaan Allah, maka ganjaran kemaafan itu diberikan Allah, dan Allah sahaja yang boleh memberikan ganjaran pahala kepadanya. [Tafsir al-Tabari, 20/526]
Seorang muslim itu tidak wajib melakukan sesuatu melainkan ia diwajibkan oleh syariat, dan tidak ada nas atau dalil yang mewajibkan seseorang itu memaafkan kesalahan terhadap seseorang yang mengambil haknya secara zalim dan melampau kecuali syariat menggalakkan untuk kita memaafkan orang lain dengan ganjaran pahala yang besar.
Justeru, seseorang manusia mempunyai hak untuk tidak memaafkan dan menuntut kembali apa sahaja kezaliman yang dilakukan terhadapnya.
Namun, Allah SWT memuji manusia yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain walaupun dia sebenarnya boleh sahaja membalasnya dan tidak mahu memaafkannya.
Firman Allah SWT:
إِن تُبْدُوا خَيْرًا أَوْ تُخْفُوهُ أَوْ تَعْفُوا عَن سُوءٍ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا قَدِيرًا Maksudnya: “Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” [Surah al-Nisa’, ayat 149]
Ibn Jarir al-Tabari berkata: Maksudnya ialah Allah masih mengampuni hamba-Nya walaupun Dia berkuasa menghukum mereka kerana maksiat kepada-Nya, maka kamu juga wahai manusia, maafkanlah orang-orang yang zalim datang kepada kamu, dan janganlah kamu mencaci-maki-Nya dengan suara yang keras, sekalipun kamu mampu menyakiti dan membalasnya, sebagaimana Tuhanmu mengampuni kamu walaupun Dia berkuasa menghukum kamu sedangkan kamu menderhaka kepada-Nya dan melanggar perintah-Nya.” [Tafsir al-Tabari, 9/351]
Oleh itu, adalah hak seseorang yang dizalimi itu sama ada hendak memaafkan atau tidak kepada orang yang menzaliminya.
Jika dia berjiwa besar, maka dia boleh saja melepaskan hak menuntut pembelaan di akhirat kelak dengan memaafkan kesilapan di dunia lagi, sekalipun berulang-ulang kali.
Tiada had atau batasan dalam memaafkan kerana ia suatu sifat yang mulia lagi terpuji, bahkan dapat meraih keampunan Tuhan jua.
Soalan 4: Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana nak menghadapi situasi jika seseorang itu tertuduh melakukan kesalahan yang sebenarnya bukan dibuat olehnya malah dia diminta untuk meminta maaf?
Konsep yang masyhur disebutkan menerusi sebuah kaedah fiqah:
الأصْلُ بَرَاءةُ الذِّمَّةMaksudnya: “Hukum asal bagi seseorang adalah terlepas diri (bersih) dari sebarang tanggungan.”
Imam Ibn al-Munzir dalam ulasan beliau terhadap kaedah di atas menyebutkan:
أَجْمَعَ أَهْلُ الْعِلْمِ عَلَى أَنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِMaksudnya: “Para ahli ilmu telah berijmak bahawa bukti itu ke atas mereka yang mendakwa, dan sumpah itu ke atas mereka yang didakwa.” [al-Ijma’, hlm. 65]
Sebagai contohnya, sekiranya seseorang itu mendakwa bahawa ada seseorang yang telah melakukan kejahatan ke atas dirinya, maka hukum asalnya orang yang dituduh tadi terlepas dari tuduhan tersebut sehinggalah orang yang menuduh itu mendatangkan bukti terhadap kesahihan dakwaan tersebut.
Terdapat satu riwayat Ibn Abbas beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَMaksudnya: “Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya.” [HR al-Baihaqi dalam al-Sunan, 10/252]
Imam al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: Hadis ini merupakan satu kaedah yang besar daripada kaedah-kaedah hukum syarak. Padanya menunjukkan bahawa tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan tersebut. Bahkan ia (dakwaan) berhajat kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian (bersumpah). [Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim, 4/12]
Oleh itu, selagi tidak dibuktikan bersalah, maka dia tidak dianggap bersalah, apatah lagi perlu memohon maaf.
Soalan 5: Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana sebenarnya Islam membimbing hati manusia untuk tetap memilih jalan kemaafan sebagaimana nabi yusuf menunjukkan contoh pemaafan sejati kepada saudara-saudaranya?
Memaafkan kesalahan dan kezaliman orang lain terhadap diri kita merupakan sebuah sifat yang terpuji dan mulia di sisi Islam.
Ia merupakan bukti ketakwaan seseorang dan Allah menjanjikan keampunan dan syurga bagi mereka yang memaafkan orang lain.
Allah SWT berfirman:
الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُMaksud: “(Orang-orang yang bertakwa) iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang memerbuat perkara-perkara yang baik;” [Surah Ali ‘Imran, 134]
Nabi Yusuf AS memberi contoh dan ibrah yang terpuji ketika mana beliau bertemu semula dengan saudara-saudaranya yang telah membuangnya ke telaga sehingga dijual sebagai hamba di Mesir.
Allah SWT menceritakan perihal kemaafan Nabi Yusuf AS dalam kalamNya:
قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَMaksud: “Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.” [Surah Yusuf, 92]
Imam Ibnu Jarir al-Tabari berkata:
يقول: لا تعيير عليكم ولا إفساد لما بيني وبينكم من الحرمة وحقّ الأخوة، ولكن لكم عندي الصفح والعفوMaksud: “Yusuf berkata: Tiada celaan terhadap kamu, dan tiada kerosakan terhadap hubungan antara aku dan kamu daripada sudut kehormatan dan hak persaudaraan. Tetapi bagi kamu daripadaku ialah keampunan dan pemaafan” [Rujuk: Tafsir al-Tabari, jld. 16, hlm. 247]
Sebesar-besar kezaliman mereka terhadap Nabi Yusuf AS hasil daripada iri hati kepadanya sehingga merampas kehidupan Nabi Yusuf AS, baginda menyelesaikannya dengan bukan sahaja memaafkan mereka bahkan mendoakan kebaikan dan keampunan kepada mereka.
Ini menunjukkan Islam mengajar untuk kita memaafkan bukan sahaja dengan lisan tetapi dengan hati dan perbuatan.
Kita boleh contohi teladan Nabi Yusuf AS dalam memaafkan kezaliman orang lain dengan cara:
- Tidak mengungkit kesalahan lalu dan melupakannya agar tidak lagi menimbulkan kebencian dan merosakkan silaturrahim antara satu sama lain.
- Mendoakan orang yang menzalimi tersebut agar diampunkan dosa. Inilah sebaik-baik perbuatan dalam memaafkan kerana ia menunjukkan keperibadian mulia dan tidak mengharapkan keburukan ke atasnya.
Maka, berikanlah kemaafan kerana di dalamnya terdapat hikmah bagi hati selari dengan kata Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah:
وَفِي الصَّفْحِ وَالْعَفْوِ وَالْحِلْمِ مِنَ الْحَلَاوَةِ وَالطُّمَأْنِينَةِ وَالسَّكِينَةِ، وَشَرَفِ النَّفْسِMaksud: “Dan dalam pemaafan, kemaafan, dan kesabaran itu terdapat kemanisan, ketenangan, kedamaian, dan kemuliaan jiwa” [Rujuk: Madarij al-Salikin, jld. 2, hlm. 303]
Soalan 6: Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana nak maafkan kesalahan rogol seorang ayah terhadap anaknya sewaktu kanak2? Adakah ini yg dikatakan kemaafan suatu ujian hati apabila salah ayahnya terlalu besar dalam hidup seorang anak?
Dalam hal ini terdapat beberapa hal yang perlu kita perhatikan. Ianya bukanlah semudah menghukumi seorang anak perlu mengiyakan perbuatan tersebut dan menafikan haknya disebabkan dia ialah anak dan pelakunya ialah ayah.
Islam merupakan agama yang adil dan sentiasa meletakkan setiap perkara pada tempatnya. Setiap kesalahan dan maksiat tetap dikira satu kesalahan walaupun dilakukan oleh seseorang yang berkedudukan tinggi atau mulia.
Benar, secara asasnya Islam mengajar kita untuk menjadi seorang yang pemaaf dan menahan kemarahan serta tidak bersifat dendam terhadap kesilapan orang lain terhadap kita. Namun, Islam juga tidak menafikan kesan emosi kita disebabkan oleh perbuatan buruk orang lain.
Kemaafan bukan bererti menidakkan kesalahan tersebut dan membiarkan diri terus berada dalam kesengsaraan dan trauma atas perbuatan buruk tersebut. Khususnya kesalahan merogol itu sudah pasti meninggalkan kesan trauma dan kesakitan yang dalam.
Bahkan Islam juga menggalakkan agar seseorang mencari penyelesaian yang adil, dan juga memberi ruang untuk mencari keadilan melalui sistem perundangan, walaupun ianya melibatkan antara ahli keluarga.
Firman Allah:
۞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ بِٱلْقِسْطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمْ أَوِ ٱلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ ۚMaksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.” [Surah an-Nisa, ayat 135]
Kedudukan penting seorang ayah di sisi agama bukanlah satu lesen untuk berlepas diri dengan kesalahan yang dilakukan, bahkan ketaatan kepada ayah juga bukanlah merupakan ketaatan mutlak. Tiada ketaatan pada perkara maksiat.
Hakikatnya memaafkan bukanlah perkara yang mudah, lagi-lagi apabila ia melibatkan orang yang paling dekat dan penting buat kita, namun telah melakukan kejahatan terhadap kita. Namun, dari satu sisi yang lain, memaafkan adalah untuk melepaskan beban dalam hati dan bentuk pembebasan bagi diri kita sendiri. Ia membantu untuk mengurangkan kebencian dan dendam yang mengganggu ketenangan hati kita. Namun, ini adalah proses yang mengambil masa dan memerlukan sokongan dari keluarga, rakan, atau pakar psikologi.
Firman Allah:
وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذَٰلِكَ لَمِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِMaksudnya: “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” [Surah a-Syura, ayat 43]
Dengan masa yang berlalu, dengan pertolongan dan rahmat dari Allah kita berdoa agar Allah memberikan ketabahan dan kekuatan hati untuk tidak menyimpan dendam dan membalas keburukan tersebut dengan keburukan. Namun, ia tidak menghalang untuk kita menjauhkan diri dari ditimpa dengan kejahatan yang sama.
Ingatlah bahawa, doa ibu bapa yang sering kita bacakan memohon supaya dirahmati ibu bapa kita sebagaimana mereka menyayangi kita. Sebegitu jugalah sekiranya mereka membenci dan menzalimi anak, maka hanya Allah yang membalas dengan balasan yang setimpal sebagaimana mereka melakukan kezaliman.
Soalan 7: Assalamualaikum ustaz dan dai. Pasangan selalu ckp, “saya maafkan, tapi saya takkan lupakan”. Adakah itu benar-benar memaafkan? Bagaimana kita boleh membezakan antara memaafkan dengan melupakan kesalahan orang?
Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain merupakan perkara yang dituntut di dalam Islam, bahkan orang yang pemaaf termasuk daripada kalangan yang dijanjikan syurga Allah SWT kelak seperti menurut firman-Nya:
وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضِ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (١٣٣) ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَMaksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” [Surah Ali-Imran, ayat 133-134]
Syeikh Wahbah al-Zuhaili menjelaskan ayat ini tentang ciri-ciri ahli syurga, antaranya manusia-manusia yang memaafkan orang lain yang berbuat jahat terhadap mereka walaupun mereka sebenarnya boleh sahaja untuk membalas kembali perbuatan jahat tersebut. Keadaan ini menunjukkan kedudukan seseorang yang mempunyai akal yang cerdas, fikiran yang jitu, dan kekuatan mengawal emosi. Perbuatan ini juga lebih hebat daripada sekadar menahan marah, kerana orang yang menahan marah itu boleh jadi masih menyimpan perasaan dendam. [Tafsir al-Munir, (1991: Beirut), Cetakan Dar al-Maa’sir]
Islam mengajarkan agar tidak menyimpan dendam. Dengan memaafkan, seseorang boleh mengurangkan beban emosi dan meningkatkan kesejahteraan rohani. Memaafkan membantu dalam membina hubungan yang lebih harmoni dan mencegah konflik berlarutan.
Meskipun Islam menekankan pentingnya memaafkan, ia juga mengakui kepentingan mengambil iktibar daripada kesalahan yang berlaku. Ingatan terhadap kesalahan itu boleh menjadi pengajaran agar tidak diulangi, terutama dalam konteks hubungan yang memerlukan batasan agar tidak terjadi kerugian berulang.
Oleh itu, dalam membezakan antara kedua itu, memaafkan adalah proses dalaman di mana seseorang melepaskan perasaan marah, kecewa, dan dendam. Ini adalah usaha untuk mencapai kedamaian batin.
Manakala melupakan biasanya dianggap sebagai menghapuskan atau tidak mengingati apa yang telah berlaku.
Meskipun kita memaafkan, memori tentang kesalahan boleh dijadikan panduan agar kita lebih berhati-hati di masa hadapan. Ini penting dalam mengekalkan keadilan dan kesejahteraan hubungan.
