SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

KHURAFAT DALAM MASYARAKAT

Soalan & Jawapan: Petua dan Khurafat
Soalan 1
Assalamualaikum ustaz dan dai. Kadang bila kita minta nasihat daripada orang lain, ada yang bagi petua. Tapi ada orang kata itu khurafat. Jadi, macam mana sebenarnya nak bezakan antara petua dengan khurafat, ustaz?
JAWAPAN :

Dalam masyarakat kita, istilah petua dan khurafat sering digunakan secara bercampur-aduk. Asas dalam membezakan petua dan khurafat ialah dengan neraca akidah. Petua menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu ialah: "Nasihat, petunjuk, atau panduan yang berguna tentang cara melaksanakan sesuatu dengan berkesan."

Contoh Petua:

  • Kemam kulit kayu manis untuk hilangkan sakit gigi.
  • Minum rebusan pegaga, serai dan halia untuk hilangkan angin dalam badan.
  • Gunakan lidah buaya untuk dapatkan rambut lebat.
Ciri Petua Khurafat
Asas Pengalaman, logik atau adat berasas. Kepercayaan ghaib/mitos tanpa asas syarak.
Kebergantungan Ikhtiar dan tawakal kepada Allah. Bergantung kepada azimat, ritual, atau makhluk.
Kesan Akidah Menyokong kemaslahatan. Menjejaskan akidah dan menimbulkan takut melampau.

Hukum beramal dengan petua adalah dibolehkan dengan syarat: Tidak mempercayai petua itu memberi kesan secara hakikat (kerana hakikatnya dari Allah), tidak bercanggah dengan syarak, dan tidak melibatkan unsur tilikan atau ramalan nasib.

Soalan 2
Assalamualaikum ustaz dan dai. Dalam sirah Nabi, ada tak disebut tentang amalan khurafat zaman dulu? Kalau ada, boleh ustaz kongsikan?
JAWAPAN :

Dalam sirah, Rasulullah SAW banyak membetulkan kepercayaan karut kaum Jahiliyyah. Salah satunya ialah kepercayaan berkaitan gerhana matahari.

Apabila anak Baginda, Ibrahim, wafat, berlaku gerhana matahari. Orang ramai menyangka gerhana itu tanda kesedihan alam atas kematian Ibrahim. Namun Baginda bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ فَصَلُّوا وَادْعُوا اللهَ
Maksudnya: "Sesungguhnya matahari dan bulan tidak berlaku gerhana kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupannya. Maka apabila kamu melihatnya, maka dirikanlah solat dan berdoalah kepada Allah." [HR al-Bukhari, 1043]

Selain itu, Baginda melarang amalan menggantung tamimah (tangkal). Baginda bersabda:

مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَقَدْ أَشْرَكَ
Maksudnya: "Sesiapa yang menggantung tangkal, maka sesungguhnya dia telah berbuat syirik." [HR Ahmad, 17422]
Soalan 3
Assalamualaikum ustaz dan dai. Saya pernah dengar orang kata khurafat ni ada banyak bentuk. Boleh ustaz terangkan bentuk-bentuk khurafat yang biasa berlaku dalam masyarakat kita?
JAWAPAN :

Khurafat merujuk kepada kepercayaan yang bertentangan dengan tauhid. Antara bentuknya:

  • Kepercayaan kepada keramat: Percaya kubur, pokok, atau batu mempunyai kuasa ghaib memberi manfaat.
  • Kepercayaan kepada sial majal: Amalan mandi safar atau mandi buang sial.
  • Memohon pertolongan jin: Memuja kampung, memuja pantai, atau merenjis tepung tawar untuk perlindungan.
  • Memuja semangat: Memuja semangat padi atau membuang ancak di sungai untuk menambah rezeki.
  • Tiyarah (Sial pada burung/bunyi): Contohnya, tidak boleh keluar rumah bila gagak berbunyi kerana takut sial.
الطِّيَرَةُ شِرْكٌ، الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ثَلَاثًا
Maksudnya: "Percaya kepada burung sebagai petanda adalah syirik, bahkan syirik sebanyak tiga kali..." [HR Tirmizi, 1614]
Soalan 4
Assalamualaikum ustaz dan dai. Kalau khurafat ni benda yang direka dan tak betul, kenapa masih ramai orang suka cerita dan apa yang buat khurafat ni susah nak hilang?
JAWAPAN :

Khurafat sukar hilang kerana beberapa faktor:

  1. Keterikatan Adat: Ramai berpegang pada prinsip "Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya" [Surah al-Anbiya', 53].
  2. Faktor Psikologi: Manusia mencari rasa aman dan jalan pintas untuk menyelesaikan masalah kehidupan atau ketakutan terhadap masa depan.
  3. Kurang Ilmu Agama: Kefahaman yang cetek tentang akidah menyebabkan ramai tidak sedar amalan tersebut adalah syirik.
  4. Pengaruh Bomoh/Bidan Tradisional: Sesetengah pengamal perubatan tradisional masih menyelitkan unsur khurafat dalam petua mereka.
Soalan 5
Assalamualaikum ustaz dan dai. Kadang ada orang guna herba tertentu sebab ‘orang lama buat’ dan menjadi. Adakah itu dikira khurafat?
JAWAPAN :

Islam membezakan antara asbab ma'qulah (sebab yang diterima akal) dan kepercayaan batil. Menggunakan herba kerana kandungan kimianya terbukti merawat penyakit adalah harus.

Namun, ia menjadi khurafat jika:

  • Disandarkan kepada unsur ghaib tanpa dalil (Contoh: "Makan kulit buah ini boleh elak sihir").
  • Percaya benda itu sendiri yang memberi kesan, bukannya Allah.

Kaidah fiqh menyebut:

الأَسْبَابُ لا تَسْتَقِلُّ بِالتَّأْثِيرِ
Maksudnya: "Sebab tidak berdiri sendiri dalam memberi kesan." [Ibn Taymiyyah]
Soalan 6
Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang suka guna cerita khurafat atau kisah tak sahih untuk bagi orang insaf atau takut buat dosa. Adakah cara tu dibolehkan?
JAWAPAN :

Tidak dibolehkan. Matlamat tidak menghalalkan cara. Dakwah mesti berlandaskan kebenaran dan ilmu. Firman Allah:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ
Maksudnya: "Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai ilmu mengenainya..." [Surah al-Isra, 36]

Menyebarkan cerita palsu walaupun bertujuan baik tetap dilarang kerana ia mencemarkan integriti agama. Rasulullah SAW memberi amaran keras terhadap sesiapa yang berbohong atas nama Baginda.

Soalan 7
Assalamualaikum ustaz dan dai. Macam mana cara terbaik nak ubah persepsi masyarakat supaya tak terus percaya pada perkara yang salah ni, ustaz?
JAWAPAN :

Perubahan perlu dilakukan mengikut kaedah yang disebut dalam Surah al-Nahl, ayat 125:

  • Hikmah: Bijaksana dalam mendekati masyarakat tanpa terus menghukum.
  • Maw'izah Hasanah: Nasihat dan pengajaran yang baik.
  • Mujadalah: Berdialog dengan cara yang terbaik.

Langkah praktikal termasuklah membudayakan ilmu, memberikan contoh teladan yang benar (role model), serta sokongan daripada institusi agama (JAKIM/Majlis Agama Negeri) melalui kempen kesedaran akidah yang berterusan. Kita perlu memecahkan dogmatisme (ikut buta tuli) dengan menggalakkan masyarakat berfikir secara rasional berlandaskan wahyu.

Scroll to Top