KRISIS EMPATI DALAM ERA DIGITAL
Tragedi yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya baru-baru ini mengejutkan seluruh negara seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam oleh pelajar lelaki berumur 14 tahun. Lebih mengerikan, selepas kejadian, suspek dikatakan berjalan tenang sambil memegang minuman, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Nota yang ditemui pula mengandungi istilah dunia digital seperti “NPC”, “Zero Day”, dan “I Win” — istilah yang biasa digunakan dalam dunia permainan video dan siber.
Tragedi ini bukan sekadar kes jenayah pelajar. Ia adalah amaran keras kepada masyarakat moden bahawa kita sedang berdepan krisis kehilangan empati dan kegagalan memahami jiwa generasi digital.
1. Bila Dunia Maya Menguasai Jiwa
Kita kini hidup dalam zaman di mana batas antara realiti dan dunia maya semakin kabur. Apabila anak-anak terlalu lama berada dalam alam digital berperang, menembak, dan melihat keganasan setiap hari, otak mereka mula menyesuaikan diri dengan rangsangan itu.
Kajian oleh American Psychological Association (APA) menunjukkan, pendedahan berlebihan kepada kandungan ganas boleh menyebabkan desensitisasi emosi iaitu penurunan rasa takut, bersalah dan simpati terhadap penderitaan manusia. Akhirnya, mereka tidak lagi melihat nyawa sebagai sesuatu yang bernilai, tetapi sekadar sebahagian daripada “misi” dalam dunia maya.
2. Ini Bukan Masalah Sekolah Sahaja
Kita tidak boleh hanya menuding kepada sistem pendidikan. Masalah ini jauh lebih besar ia berpunca daripada jurang komunikasi dan kekosongan jiwa yang melanda keluarga dan masyarakat. Sekolah menumpukan akademik, tetapi sering gagal menyediakan ruang untuk pembangunan emosi.
Sementara itu, ibu bapa yang sibuk menyerahkan anak kepada skrin tanpa sedar bahawa skrin itu kini menjadi “guru” utama mengajar cara berfikir, marah, dan berempati. Apabila emosi tidak dibimbing, dunia maya akan menjadi tempat anak belajar cara berasa dan itulah yang sedang berlaku.
3. Apa Kerajaan Boleh Lakukan
Kerajaan perlu memandang isu ini sebagai krisis sosial nasional. Langkah segera dan dasar jangka panjang diperlukan untuk menyeimbangkan pembangunan teknologi dengan kesihatan jiwa rakyat.
a) Dasar Kesejahteraan Digital Nasional
Gabungan antara Kementerian Pendidikan, Komunikasi dan Kesihatan perlu membentuk polisi menyeluruh untuk menghadkan pendedahan berlebihan terhadap kandungan ganas dan menggalakkan literasi digital beretika di sekolah.
b) Perkasakan Kaunseling Sekolah
Setiap sekolah perlu mempunyai kaunselor terlatih dalam psikologi remaja dan intervensi awal masalah emosi. Mereka mesti dilatih untuk mengesan tanda-tanda gangguan jiwa dan tekanan digital yang dialami pelajar.
c) Pusat Pemulihan Jiwa Digital (Digital Detox Centre)
Wujudkan pusat pemulihan remaja yang mengalami ketagihan gajet atau kehilangan keseimbangan antara realiti dan dunia maya. Ia boleh menjadi tempat remaja memulihkan hubungan sosial, spiritual dan emosi mereka. Hal ini sama konsepnya dengan ‘Hospital Henti Merokok’ yang dikendalikan oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan. Setakat ini terdapat 47 hospital dan klinik terpilih di seluruh negara menerapkan konsep ini untuk membantu perokok tegar dalam usaha berhenti dari tabiat merokok.
4. Peranan Sekolah: Didik Jiwa, Bukan Sekadar Disiplin
Sekolah perlu menjadi tempat membina manusia, bukan sekadar pelajar cemerlang akademik. Program kokurikulum harus disuntik dengan aktiviti kemanusiaan, kesukarelawanan dan experiential learning yang menanam nilai empati dan ihsan.
Guru juga perlu dilatih untuk mengenal corak tingkah laku pelajar yang menunjukkan tekanan emosi seperti melukis simbol pelik, menulis nota ganjil, atau terlibat dalam perbualan toksik di platform digital.
5. Peranan Ibu Bapa: Sembang Lebih, Scroll Kurang
Ibu bapa ialah benteng pertama dan terakhir. Anak-anak tidak lapar data, mereka lapar perhatian dan kasih sayang. Luangkan masa bertanya:
“Apa game kamu main?”
“Kenapa kamu suka watak tu?”
“Apa kamu rasa bila tengok benda tu?”
Ini bukan sekadar pantauan, tetapi penglibatan. Masuk ke dunia anak supaya kita tahu bila tiba masanya untuk menarik mereka kembali ke dunia sebenar. Dan tunjukkan bagaimana emosi diurus dengan tenang. Anak belajar bukan daripada nasihat kita, tetapi daripada bagaimana kita mengendalikan tekanan.
6. Peranan Masyarakat: Kembalikan Budaya Ihsan
Budaya internet hari ini terlalu cepat menormalisasi sinis, benci, dan jenaka ganas. Setiap perkongsian, komen dan video membentuk cara berfikir generasi muda. Kita perlu menghidupkan semula budaya ihsan digital dunia media sosial yang berempati, bukan menghukum. Apabila ada remaja kelihatan murung, jangan diam. Bila nampak kandungan toksik, jangan kongsi; laporkan. Perubahan kecil ini membentuk ekosistem jiwa yang lebih sihat.
7. Kesimpulan: Dari Tragedi ke Tindakan
Remaja 14 tahun itu tidak lahir untuk menjadi pembunuh. Tetapi dia hidup dalam dunia yang gagal mengajarnya erti nilai manusia. Satu tragedi ini cukup untuk menyedarkan kita bahawa jiwa remaja kita sedang tenat. Kita tidak perlukan lebih banyak undang-undang atau hukuman kita perlukan lebih banyak kasih, bimbingan, dan manusia yang benar-benar mendengar. Kerana anak-anak kita bukan haus “data plan”. Mereka haus kasih sayang, perhatian, dan empati. Dan selagi kita belum memulihkan jiwa mereka, tragedi seperti ini bukan yang terakhir.
