ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
Soal & Jawab
- Penerbit : Adib
SOALAN PENONTON
Assalamualaikum Ustaz dan Dai. Ustaz, bagaimana kita nak bezakan antara memberi dengan ikhlas kerana Allah dan memberi sebab kita sebenarnya nak perhatian manusia?
Ikhlas adalah tunjang ibadah. Tanpa ikhlas, amal sebesar gunung sekalipun akan hancur di sisi Allah. Tetapi, penyakit hati seperti riya’ (menunjuk-nunjuk) dan ujub (kagum pada diri sendiri) sering menyelinap dalam amal.
Nabi SAW menegaskan bahawa setiap ibadah, sama ada kecil atau besar seperti jihad, mesti dilakukan dengan ikhlas kerana Allah. Pernah satu ketika, seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu bertanya: “Bagaimana pendapatmu tentang seorang lelaki yang pergi berperang, dia mencari ganjaran (pahala) tetapi juga mahukan sebutan (nama dan pujian manusia), apakah yang dia peroleh?”. Nabi SAW menjawab:
لَا شَيْءَ لَهُ. فَأَعَادَهَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، يَقُولُ لَهُ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: لَا شَيْءَ لَهُ. ثُمَّ قَالَ: إِنَّ اللهَ لَا يَقْبَلُ مِنَ الْعَمَلِ إِلَّا مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا، وَابْتُغِيَ بِهِ وَجْهُهُ
Maksudnya: “Maka Rasulullah SAW menjawab: “Tiada apa-apa (ganjaran) untuknya.” Baginda SAW mengulanginya sebanyak tiga kali, setiap kali lelaki itu bertanya, Baginda tetap menjawab:“Tiada apa-apa untuknya.” Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak menerima amalan melainkan yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana-Nya, dan yang diniatkan untuk mencari keredaan-Nya.” [HR Nasaie, 3140]
Di dalam kitab Mausu'ah Fiqh Qulub menghuraikan makna ikhlas:
هو إفراد الله تبارك وتعالى بالقصد في الطاعة، وتصفية العمل عن ملاحظة الخلق بدوام النظر إلى الخالق
Maksudnya: “Maksudnya: “Iaitu mengikhlaskan niat hanya kepada Allah Tabaraka wa Ta'ala dalam ketaatan, dan membersihkan amal daripada memerhati (atau mengharapkan) makhluk dengan sentiasa memandang kepada Sang Pencipta.” [Rujuk: Mausu'ah Fiqh Qulub, jld. 2, hlm 1844]
Ikhlas bermaksud menyingkirkan segala tujuan selain Allah sama ada pujian manusia, perhatian khalayak, kedudukan atau keuntungan.
Ikhlas datang daripada niat yang murni kepada Allah SWT, dan niat adalah garis pemisah. Niat yang ikhlas menjadikan amal bernilai, manakala niat yang bercampur menjadikan amal sia-sia.
Rasulullah SAW juga memperingatkan tentang golongan pertama yang akan dihumban ke neraka, antaranya ialah seorang yang bersedekah. Apabila ditanya oleh Allah mengapa dia bersedekah, dia menjawab: kerana-Mu ya Allah. Tetapi Allah berfirman:
كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Engkau berdusta! Tetapi engkau melakukannya supaya dikatakan: Dia seorang yang pemurah. Maka telah pun dikatakan demikian. Kemudian diperintahkan agar engkau diseret dengan muka (terjerumus) ke tanah, lalu engkau dilemparkan ke dalam neraka.” [HR Muslim, 152]
Hadis ini amat menakutkan kerana ia menunjukkan bahawa amal besar seperti sedekah pun boleh menjadi penyebab masuk neraka jika tercemar dengan riya’. Inilah garis halus yang membezakan amal ikhlas dengan amal yang tercemar.
Terdapat dua penyakit hati:
- Riya’ - Iaitu melakukan amal untuk dilihat manusia.
- Ujub - Iaitu berasa kagum dengan diri sendiri.
Bahaya Riya’:
Riya dikategorikan sebagai syirik kecil atau khafi, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكَ الْأَصْغَرُ
Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takut menimpa kamu ialah syirik kecil.”
Penyakit Riya’ ini merosakkan amal jika niat amal tersebut untuk mencari perhatian manusia, bukan kerana Allah. Ini adalah contoh penyakit hati yang sering berlaku tanpa kita sedari.
Kesimpulan:
Membezakan amal yang ikhlas dengan amal kerana manusia bukanlah dengan melihat bentuk amal, tetapi dengan menimbang hati. Orang yang ikhlas memberi kerana Allah tidak kisah sama ada orang tahu atau tidak, kerana matlamatnya hanyalah redha Allah. Orang yang riya’ pula lega bila dilihat manusia, tetapi kecewa bila tiada yang memuji. Sementara orang yang kagum pada dirinya sendiri akan merasa amal itu datang dari kekuatannya, bukan dari taufiq Allah.
Ikhlas itu jalan sukar, tetapi ia kunci untuk selamat di akhirat. Riya’ dan ‘ujub pula adalah talbis Iblis yang halus, merosakkan amal tanpa kita sedar.
