ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
Soal & Jawab
- Penerbit : Adib
Apakah maksud muraqabah dan muhasabah, dan bagaimana kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk peribadi Muslim?
Muraqabah dan muhasabah adalah dua konsep penting dalam pembentukan peribadi Muslim yang saling melengkapi antara satu sama lain.
Dalam Islam, keduanya sangat diperlukan untuk memperbaiki diri, meningkatkan ketaatan, dan mencapai ketenangan jiwa.
Menurut Ibn Qayyim, makna muraqabah adalah:
دوام علم العبد وتيقُّنه باطِّلاع الحقِّ سبحانه على ظاهره وباطنه
Maksudnya: “Berterusan ilmu hamba dan keyakinannya bahawa Allah yang Maha Benar mengetahui segala sesuatu yang zahir dan batin.” [Rujuk: Madārij as-Sālikiīn fī Manāzil as-Sā'irīn, jld. 2, hlm. 305]
Seorang yang bermuraqabah akan merasa bahwa Allah sentiasa mengawasi dirinya dalam setiap tindakan. Ia adalah kesedaran bahawa setiap amalan yang dilakukan akan dihitung dan dipertanggungjawabkan oleh Allah. Allah SWT berfirman:
أَلَمْ يَعْلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ
Maksudnya: “Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah SWT melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)? [Surah al-Alaq, ayat 14]
Malaikat Jibril pernah bertanya Nabi SAW tentang Ihsan, dan Nabi SAW merespon kepada pertanyaan tersebut dan berkata:
أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كأَنَّكَ تَراهُ، فإِنْ لَمْ تَكُنْ تَراهُ فإِنَّهُ يَراكَ
Maksudnya: “Bahawa engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak dapat melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia melihatmu.” [HR Bukhari, 50]
Terdapat sebuah kisah dalam kitab Tazkiyah al-Nafs oleh Said Hawwa, mengenai seorang guru dan seorang anak murid muda yang sangat dihormati oleh guru tersebut. Sebahagian murid-murid bertanya kepada guru tersebut: “Kenapa engkau sangat menghormatinya padahal dia masih muda dan kami lebih tua?” Kemudian guru tadi meminta seekor burung dan sebilah pisau kepada setiap murid-muridnya yang bertanya dan berkata kepada mereka: “Setiap dari kamu hendaklah menyembelih burung di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa.” Kemudian dia pun menyerahkan burung dengan sebilah pisau kepada murid muda yang dihormatinya itu dan berkata kepadanya seperti perkataannya kepada murid-muridnya yang lain. Kemudian masing-masing pulang dan membawa burung yang telah disembelih kecuali murid muda yang dihormati tersebut. Lalu guru tersebut bertanya: “Mengapa engkau tidak menyembelihnya sebagaimana dilakukan oleh kawan-kawanmu?” Lalu murid muda itu menjawab: “Saya tidak menemui tempat di mana saya tidak dilihat oleh sesiapa pun, kerana Allah SWT sentiasa melihat aku disetiap tempat.” [Rujuk: Tazkiyah al-Nafs, hlm. 153]
Muraqabah akan mendorong seseorang untuk sentiasa menjaga perilaku dan tindakannya. Apabila seorang Muslim benar-benar yakin bahawa Allah mengawasinya, maka dia akan lebih berhati-hati dalam setiap perbuatannya. Muraqabah dalam ketaatan adalah dengan ikhlas, menyempurnakannya, menjaga adab dan memeliharanya daripada pelbagai kecacatan. Jika dia melakukan kemaksiatan, maka muraqabahnya adalah dengan bertaubat, menyesal, meninggalkan terus maksiat tersebut, rasa malu dan sibuk melakukan tafakkur. Jika dia berada dalam keadaan yang mubah (harus), maka muraqabahnya adalah dengan menjaga adab.
Menurut al-Mawardi, makna muhasabah adalah:
أن يتصفح الإنسان في ليله ما صدر من أفعال نهاره، فإن كان محمودًا أمضاه وأتبعه بما شاكله وضاهاه، وإن كان مذمومًا استدركه إن أمكن، وإن لم يمكن فيتبعها بالحسنات لتكفيرها وينتهي عن مثلها في المستقبل
Maksudnya: “Seorang manusia memeriksa kembali perbuatannya pada waktu malam apa yang telah dilakukan pada siangnya. Jika perbuatan itu baik, dia teruskan dan ikuti dengan perbuatan yang serupa dan sepadan dengannya. Jika perbuatan itu buruk, dia perbaiki jika mampu, dan jika tidak mampu, dia mengikutinya dengan amal baik untuk menghapuskan kesalahan itu, serta berusaha untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan." [Rujuk: Mawsu'ah Sharh Asma' Allah al-Husna, jld. 3, hlm. 59]
Muhasabah adalah langkah seterusnya yang memungkinkan seorang Muslim untuk melihat kembali amalan-amalan yang telah dilakukan.
Ia adalah peluang untuk menilai apakah amal yang dilakukan ikhlas kerana Allah, dan apakah ada kekurangan yang perlu diperbaiki. Allah SWT berfirman:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk esok (hari kiamat), dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Hasyr, ayat 18]
Kata as-Sadi di dalam tafsirnya:
وهذه الآية الكريمة أصل في محاسبة العبد نفسه، وأنه ينبغي له أن يتفقدها، فإن رأى زللًا تداركه بالإقلاع عنه والتوبة النصوح والإعراض عن الأسباب الموصلة إليه، وإن رأى نفسه مقصرًا في أمر من أوامر الله بذل جهده واستعان بربه في تتميمه وتكميله وإتقانه، ويقايس بين منن الله عليه وبين تقصيره هو في حق الله، فإن ذلك يوجب الحياء لا محالة
Maksudnya: “Ayat ini merupakan asas dalam muhasabah diri, bahawa seseorang itu seharusnya memeriksa dirinya, dan apabila dia melihat kekurangannya, dia segera berhenti dan bertaubat dan menjauhi sebab-sebab yang mengarahkannya kepada kesalahan tersebut. Jika dia mendapati dirinya lalai dalam satu perintah Allah, dia hendaklah berusaha dengan segala usaha untuk memperbaikinya, memohon pertolongan kepada Allah untuk melaksanakannya dengan sempurna dan hati-hati, serta membandingkan nikmat Allah kepadanya dengan kekurangannya terhadap hak Allah, kerana itu akan menimbulkan rasa malu.” [Rujuk: Tafsir as-Sadi, hlm. 853]
Dengan muhasabah, kita mengenali diri dan tidak terpedaya dengan keadaan. Seseorang yang tidak mengenal kelemahan dirinya, maka dia tidak akan mampu untuk memperbaikinya. Berkata Malik bin Dinar:
رحم الله عبدًا قال لنفسه: ألستِ صاحبة كذا؟ ألست صاحبة كذا؟ ألست صاحبة كذا؟ ثم ذمَّها، ثم خطمها، ثم ألزمها كتاب الله تَعَالَى فكان لها قائدًا
Maksudnya: “Semoga Allah merahmati seorang hamba yang berkata kepada dirinya: Bukankah engkau yang melakukan ini dan itu? Bukankah engkau yang melakukannya? Kemudian dia mencela dirinya, menahan dirinya, dan membimbingnya untuk mengikuti Kitab Allah sehingga menjadikannya sebagai petunjuk hidup.” [Rujuk: Mawsu'ah Sharh Asma' Allah al-Husna, jld. 3, hlm. 60]
Dengan muhasabah, seorang Muslim dapat memohon ampun atas kesalahan yang telah dilakukan dan berazam untuk memperbaiki diri, agar lebih taat kepada Allah dengan niat yang ikhlas kerana-Nya. Berkata Hasan al-Basri:
رحم الله عبدًا وقف عند همِّه، يحاسب، فإن كان لله مضى، وإن كان لغيره تأخر ولم يعمل
Maksudnya: “Semoga Allah merahmati seorang hamba yang berhenti sejenak merenung niatnya, lalu melakukan muhasabah. Jika niatnya kerana Allah, maka dia akan meneruskannya. Jika niatnya untuk selain Allah, maka dia akan menangguhkannya dan tidak melaksanakannya” [Rujuk: Mawsu'ah Sharh Asma' Allah al-Husna, jld. 3, hlm. 61]
Kaitan antara muraqabah dan muhasabah saling melengkapi. Muraqabah mengingatkan kita untuk sentiasa berhati-hati dan merasakan pengawasan Allah dalam segala perbuatan, sementara muhasabah adalah refleksi untuk menilai tindakan kita dan memperbaiki diri. Seorang yang bermuraqabah akan berjaga-jaga dalam melakukan sesuatu kerana ia sentiasa menyedari bahawa Allah melihatnya, dan selepas itu ia melakukan muhasabah untuk memastikan amalannya benar dan ikhlas. Kesimpulannya, muraqabah dan muhasabah adalah dua konsep yang sangat penting dalam pembentukan peribadi Muslim. Kedua-duanya saling melengkapi dan membimbing kita untuk hidup lebih baik di dunia dan akhirat. Oleh itu, setiap Muslim perlu mengamalkan muraqabah dan muhasabah dalam kehidupan seharian untuk memperbaiki hubungan dengan Allah dan mencapai kebaikan yang berterusan.
