ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
Soal & Jawab
- Penerbit : Adib
SOALAN PENONTON
Soalan 1
Mengapa para salafus soleh begitu menantikan kedatangan Ramadan? Bagaimana mereka mempersiapkan diri untuk menyambut Ramadan dari segi fizikal dan spiritual?
JAWAPAN :
Para salafus soleh mempunyai cita-cita dan keinginan yang sangat tinggi untuk bertemu Ramadan, bahkan mempersiapkan diri dengan sebaik-baik persiapan untuk bertemu bulan Ramadan yang mulia.
Dalam kitab Lathaiful Maarif menjelaskan bahawa Al-Mu’alla ibn al-Fadhl mengatakan:
كانوا يدعون الله تعالى ستة أشهر أن يبلغهم رمضان يدعونه ستة أشهر أن يتقبل منهم
Maksudnya: “Mereka (para salaf) berdoa kepada Allah Ta'ala selama enam bulan agar Dia mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan, dan mereka berdoa selama enam bulan agar Allah menerima (amal ibadah) mereka.” [Rujuk: Lathaiful Maarif: hlm. 148]
Yuhya bin Abi Kathir berkata:
كان من دعائهم: اللهم سلمني إلى رمضان وسلم لي رمضان وتسلمه مني متقبلا
Maksudnya: “Di antara doa mereka adalah: Ya Allah, sampaikanlah aku kepada Ramadan, sampaikan Ramadan kepadaku, dan terimalah ia dariku dengan diterima (oleh-Mu).” [Rujuk: Lathaiful Maarif: hlm. 148]
Persediaan para salafus soleh dalam menyambut Ramadan ialah mengikut ajaran dan contoh Nabi dan para sahabat. Ibnu Qayyim didalam Zaadul Maad berkata:
(وكان من هديه صلى الله عليه وسلم في شهر رمضان الإكثار من أنواع العبادات , فكان جبريل عليه الصلاة والسلام يدارسه القرآن في رمضان ,وكان إذا لقيه جبريل أجود بالنحير من الريح المرسلة , وكان أجود الناس , وأجود ما يكون في رمضان , يكثر فيه من الصدقة والإحسان , وتلاوة القرآن والصلاة والذكر والاعتكاف. وكان يخص رمضان بالعبادة بما لا يخص غيره من الشهور)
Maksudnya: “Antara petunjuk Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan adalah memperbanyakkan pelbagai jenis ibadah. Jibril AS biasa bertadarus Al-Quran bersama Baginda dalam bulan Ramadan. Dan apabila Jibril menemuinya, Baginda menjadi lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang berhembus. Baginda adalah manusia yang paling dermawan, dan kemurahannya itu lebih terserlah dalam bulan Ramadan. Baginda memperbanyakkan sedekah, berbuat kebajikan, membaca Al-Quran, mendirikan solat, berzikir, dan beriktikaf. Baginda mengkhususkan bulan Ramadan dengan ibadah yang tidak dilakukannya sebanyak itu dalam bulan-bulan lain.” [Rujuk: Qabasat Min Hadi an-Nabi Fi Ramadan, hlm. 9]
Maka, para salafus soleh membuat persediaan dengan memperbanyak ibadah dan bersungguh-sungguh mempersiapkan momentum diri dalam meghidupkan Ramadan sebagai bulan memaksimakan ketaatan.
Terdapat beberapa contoh tindakan para salafus soleh dalam menyambut Ramadan:
Hubungan bersama al-Quran.
Uthman bin Affan mengkhatamkan al-Quran setiap hari, al-Aswad bin Yazid mengkhatamkan al-Quran pada setiap dua malam dalam Ramadan, Imam Syafii mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan.
Amru bin Qais memperuntukkan sepenuh masanya untuk membaca al-Quran. [Rujuk: Nida’ al-Rayyan fi Fiqh al-Saum wa Fadhl Ramadan, Sayyid al-‘Afani, hlm 480]
Memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban.
Nabi SAW bersabda:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Itulah bulan yang sering dilalaikan oleh manusia, iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan di mana amalan-amalan diangkat kepada Tuhan sekalian alam. Maka, aku suka agar amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.” [HR al-Nasaie, 2357]
Mendirikan malam.
Amalan qiamulail ialah rutin para solihin dan merupakan amalan bagi orang yang berjaya dan beruntung.
Imam Hasan al-Basri berkata: “Aku tidak mendapati sesuatu ibadah yang lebih berat (lebih besar keutamaannya) daripada solat di tengah malam.”
Memperbanyakkan sedekah.
Imam Syafii menjelaskan: “Aku menyukai seseorang untuk meningkatkan kemurahan hatinya (bersedekah) dalam bulan Ramadan, mencontohi Rasulullah SAW, kerana manusia lebih memerlukan bantuan dalam bulan ini, dan kerana ramai di antara mereka yang sibuk dengan puasa dan solat sehingga terhalang daripada mencari rezeki.”
Ibnu Umar pula tidak akan berbuka puasa melainkan bersama para fakir miskin.
Hakikatnya persediaan salafussoleh bagi menyambut Ramadan seperti menyambut orang yang sangat mereka cinta. Bahkan persediaan itu berterusan dengan amalan ketaatan. Serta penuh rasa berharap kepada Allah dan rasa risau sekiranya amal tidak diterima. Begitulah peribadi para salafussoleh.
Firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ يُؤْتُونَ مَآ ءَاتَوا۟ وَّقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَىٰ رَبِّهِمْ رَٰجِعُونَ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka;” [Surah al-Mukminun, ayat 60]
السلف في رمضان
Soalan 2
Mengapa bulan Ramadan digelar sebagai bulan Al-Quran? Bagaimana cara terbaik menjadikan Ramadan sebagai peluang menghayati isi kandung Al-Quran?
JAWAPAN :
Bulan Ramadan digelar sebagai bulan al-Quran kerana ia telah diturunkan pada bulan tersebut.
Allah SWT berfirman:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ
Maksudnya: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. [Surah al-Baqarah, ayat 185]
Al-quran tidak hanya turun sebagai hidayah semata-mata, ia juga turun sebagai bayyinat atau penerang kepada hidayah tersebut yang perlu dipelajari dan difahami.
Martabat ahli al-Quran:
Orang yang membaca al-Quran.
Orang yang menghafal al-Quran.
Orang yang memahami al-Quran.
Orang yang beramal dengan ajaran al-Quran.
Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, antara cara yang boleh dilakukan untuk tadabbur al-Quran:
Membaca dan mengulang al-Quran secara konsisten:
Tetapkan jadual harian agar anda dapat membaca bahagian tertentu setiap hari. Keutamaannya bukan khatam (kuantiti), tetapi tadabbur (kualiti).
Mengikuti kelas tafsir atau majlis ilmu:
Sertai kelas tafsir atau majlis ilmu yang membincangkan konteks dan maksud ayat-ayat Al-Quran.
Mengamalkan ajaran al-Quran:
Cuba aplikasikan pengajaran yang terdapat dalam al-Quran, seperti meningkatkan akhlak, bersikap jujur, dan berbuat baik kepada sesama manusia.
Memperdalam ibadah malam:
Selain solat Tarawih, luangkan masa untuk membaca al-Quran pada waktu malam. Suasana malam yang tenang dapat membantu anda lebih fokus dan menghayati setiap ayat yang dibaca.
Mengadakan kajian dan perbincangan:
Adakan sesi perbincangan atau kajian secara berkumpulan untuk saling bertukar pandangan mengenai tafsir dan penerapan ayat-ayat al-Quran.
Ini juga boleh membuka perspektif baru serta menguatkan lagi pemahaman bersama dengan syarat perlu dibimbing oleh ahli agama yang layak.
Soalan 3
bagaimana cara dan adab ketika beriktikaf di masjid? Adakah ketika beriktikaf tidak boleh membawa kanak-kanak kecil kerana bimbang akan ganggu orang lain beribadah.
JAWAPAN :
Iktikaf bermaksud menetap di dalam masjid dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang dilakukan oleh seorang muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan. [Nihayah al-Muhtaj, al-Ramli, Jld 3, hlm. 213]
Firman Allah SWT:
وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِ
Maksudnya: Dan janganlah kalian bermesra-mesraan dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid.” [Surah al-Baqarah, ayat 187]
Imam al-Nawawi Rahimahullah, hukum beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ianya disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut. Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi SAW dan mencari Lailatul Qadr. [Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi, Jld 2, hlm. 389]
Rukun dalam beriktikaf adalah :
Muktakif (orang yang melakukan iktikaf): Orang yang ingin beriktikaf adalah seorang Muslim, berakal dan suci dari hadas besar (junub, haid dan nifas).
Masjid: Iktikaf mestilah dilakukan di masjid.
Niat untuk menetap di masjid bagi tempoh tertentu bagi tujuan iktikaf.
Menetap di dalam masjid: Mesti dalam kadar tempoh menetap mengikut uruf (adat), dan melebihi tempoh tamakninah.
Antara adab yang dianjurkan untuk dilakukan sepanjang beriktikaf ialah:
Memakai minyak wangi.
Bercantik-cantik dalam berpakaian.
Melakukan amalan- amalan sunat serta melazimi zikrullah.
Bercakap perkara yang baik, dan menjauhi percakapan yang buruk.
Makan di dalam masjid. Yang lebih utama adalah makan di atas safrah (kain lapik).
Boleh berbekam di dalam masjid dengan syarat selamat dari sebarang percikan yang boleh mengotorkan masjid.
Bersungguh dalam membaca al-Quran dan mengulangkaji ilmu.
Isu membawa kanak-kanak ke masjid sering menjadi perbincangan. Namun, perkara utama yang perlu diberi perhatian bukanlah kehadiran mereka, tetapi bagaimana ibu bapa atau penjaga mengawal dan membimbing mereka agar tidak mengganggu jemaah lain. Suasana masjid perlu dipelihara untuk memastikan ketenangan dan kekhusyukan dalam ibadah.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak tentang adab di masjid serta memastikan mereka tidak menyebabkan gangguan yang boleh menjejaskan jemaah lain.
Sekiranya kanak-kanak masih terlalu kecil atau sukar dikawal, lebih baik mereka ditinggalkan di rumah ketika ibu bapa ingin beriktikaf. Ini bukan bermaksud menghalang mereka daripada hadir ke masjid, tetapi bagi menjaga kehormatan rumah Allah dan memberikan ruang kepada jemaah lain untuk beribadah dengan lebih fokus dan tenang.
Soalan 4
Bagaimana Islam mengajar keseimbangan dalam menikmati juadah berbuka tanpa berlebihan dalam menyediakannya? Bagaimana mengamalkan sunnah ketika berbuka untuk mengelakkan pembaziran?
JAWAPAN :
Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan dapatan yang amat merisaukan:
1 daripada 2 orang dewasa di Malaysia mengalami berlebihan berat badan dan kegemukan (ataupun obesiti).
1 daripada 6 dewasa di Malaysia mempunyai kencing manis (ataupun diabetes).
1 daripada 3 dewasa di Malaysia mempunyai tekanan darah tinggi (ataupun hipertensi).
Allah SWT berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِى ٱلْأَرْضِ حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌ
Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. [Surah al-Baqarah, ayat 168]
Selain Halal, Toyyiban atau baik itu juga merangkumi makanan yang:
Mencukupi dan tidak terlalu mengenyangkan.
Mempunyai nutrisi seimbang seperti karbohidrat, protein, gula dan vitamin.
Bersih dan selamat dari sebarang unsur najis atau kekotoran.
Antara sunnah berbuka:
Segera berbuka apabila masuk waktu, makruh melewatkan berbuka.
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ
Maksudnya: “Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa.” [HR al-Bukhari, 1957]
Sunnah berbuka puasa dengan rutab (kurma muda), tamar atau air.
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW berbuka puasa sebelum bersolat (Maghrib) dengan beberapa biji rutab (kurma muda), sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka baginda minum beberapa teguk air.” [HR Tirmizi, 696]
Berdoa ketika berbuka.
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak.” [HR Ibn Majah 1753]
Memberi juadah berbuka kepada orang yang berpuasa.
مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” [HR Ibn Majah, 1746 ]
Soalan 5
Apakah cara terbaik untuk mengekalkan momentum ibadah sehingga tamatnya Ramadan dan selepasnya seperti yg diamalkan salafusoleh?
JAWAPAN :
Dalam memahami bahawa buah dari ibadah puasa dan bulan Ramadan ialah takwa, maka kita perlu mencermati bagaimanakah caranya mencapai ketakwaan. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” [Surah al-Baqarah, ayat 183]
Kita sememangnya berdepan dengan cabaran untuk tetap konsisten melakukan ibadah setelah berlalunya Ramadan. Hal ini kerana, suasana dalam Ramadan itu sendiri mendokong diri kita untuk terus melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat. Namun, terdapat satu kalam hikmah yang menyebutkan:
كونوا ربانيين ولا تكونوا رمضانيين
Maksudnya: “Jadilah hamba yang Rabbaniah, dan janganlah jadi hamba yang Ramadaniah.”
Tuhan pada bulan Ramadan ialah Tuhan yang sama dalam bulan-bulan yang lain, iaitu Allah Azza wa Jalla. Tuhan yang menerima segala amal soleh pada bulan Ramadan ialah Tuhan yang sama yang menerima amal soleh pada bulan Syawal. Rabiul Awal dan seterusnya.
Kehidupan selepas Ramadan menuntut setiap Muslim untuk tetap istiqamah dalam melakukan amal soleh dan meninggalkan maksiat. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” [Surah Fussilat, 30]
Sabda Nabi SAW:
أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
Maksudnya: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan, walaupun sedikit.” [HR Muslim, 783]
Terdapat beberapa perkara yang boleh diusahakan berterusan selepas Ramadan:
Konsisten dengan amalan tilawah al-Quran. Sabda Nabi:
يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ : اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ ، كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا ، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا
Maksudnya: “Di akhirat kelak, ahli al-Quran akan dikatakan kepada mereka: “Bacalah (al-Quran) dan naiklah (ke syurga) serta tartilkanlah (bacaanmu) sebagaimana engkau membacanya secara tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya kedudukan dan tempat tinggalmu (di syurga) berdasarkan akhir ayat yang engkau baca” [HR Abu Daud, 1464]
Konsisten dengan amalan puasa sunat, misalnya puasa Isnin dan Khamis atau puasa 3 hari di setiap bulan:
كَانَ الرَّسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengambil berat tentang puasa pada hari Isnin dan Khamis.” [HR Tirmizi, 745]
Meneruskan amalan solat witir selepas Isyak. Daripada Aisyah RA:
كُلَّ اللَّيْلِ أَوْتَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَانْتَهَى وِتْرُهُ إِلَى السَّحَرِ
Maksudnya: “Setiap malam Rasulullah SAW akan menunaikan solat witir, dan berakhir masa witirnya sehingga sahur.” [HR al-Bukhari, 996]
Mulakanlah dengan beberapa amalan yang sedikit yang mampu dilakukan dengan berterusan, kemudian menambahnya sedikit demi sedikit sehingga ianya menjadi satu kebiasaan dan kita menganggapnya seperti keperluan, yang tidak mampu kita hidup tanpanya.
Sabda Nabi SAW:
أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
Maksudnya: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan, walaupun sedikit.” [HR Muslim, 783]
Dalam masa yang sama, carilah persekitaran yang baik yang mampu mendorong kita untuk melakukan kebaikan serta menjauhkan diri dari sesuatu yang membuat kita cenderung untuk melakukan maksiat. Persekitaran ialah hal terpenting dalam usaha untuk terus istiqamah.
Soalan 6
Ramadan adalah bulan keampunan. Soalan saya, adakah sepanjang masa di bulan ramadan adalah waktu mustajab berdoa?
JAWAPAN :
Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.
Di samping itu, di dalamnya tersedia berbagai jenis tawaran-tawaran dan keistimewaan yang perlu kita kecapi.
Asasnya, tidak ada dalil khusus menyatakan kemustajaban doa dalam bulan Ramadan.
Namun begitu, banyak dalil menyebutkan berkenaan kemustajaban doa orang yang berpuasa yang mana sinonim dengan Ramadan.
Antara dalil tersebut:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. [HR Ibn Majah, 1753]
Selain itu:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. [HR Ibn Majah, 1752]
Al-Sindi berkata: Lafaz ‘حَتَّى يُفْطِرَ’ (sehingga dia berbuka) menunjukkan bahawa doa orang yang berpuasa sepanjang hari itu adalah mustajab. [Hasyiyah al-Sindi, 1/533]
Hadis lain pula menyatakan secara spesifik waku mustajab adalah ketika hendak berbuka:
لِلصَّائِمِ عِنْدَ إِفْطَارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ
Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab”. [HR Abi Daud al-Thoyalisi, 2376]
Kesimpulannya, doa orang yang berpuasa adalah mustajab. Akhirnya, marilah sama-sama kita memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT terutama di bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini.
Soalan 7
Apakah keutamaan sahur ketika berpuasa dan bagaimana untuk istiqamah supaya tidak meninggalkannya?
JAWAPAN :
Pada asasnya, bersahur termasuk dalam perkara sunat yang digalakkan bagi sesiapa yang ingin berpuasa. Bahkan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa umat telah bersepakat bahawa sahur termasuk dalam perkara sunat dan digalakkan, serta tidak berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. [al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360]
Di samping itu, Nabi SAW sendiri menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya.
Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.” [HR al-Bukhari, 1923]
Selain itu juga, bersahur ini merupakan pembeza di antara puasa orang islam dan puasa ahli kitab.
Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-‘As R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ
Maksudnya: “Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.” [HR Muslim, 1096]
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah perbezaan yang paling ketara antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab adalah bersahur. Hal ini kerana mereka tidak bersahur, sedangkan orang Islam disunatkan untuk bersahur. [al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/207]
Istiqamah dalam menjaga sahur memerlukan niat yang kuat dan beberapa pendekatan tertentu:
Niat yang Ikhlas & Kesedaran Kepentingan Sahur
Fahami bahawa sahur adalah sunat yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Ingat bahawa sahur memberi tenaga sepanjang puasa dan mendapat keberkatan.
Tetapkan Waktu Tidur yang Cukup
Pastikan tidur lebih awal supaya mudah bangun sahur. Kurangkan penggunaan telefon atau aktiviti yang melambatkan tidur.
Persiapkan Makanan Sahur Lebih Awal
Sediakan makanan sebelum tidur supaya tidak terburu-buru. Pilih makanan yang mudah disediakan dan berkhasiat.
Biasakan Diri & Jadikan Rutin
Jika dilakukan secara konsisten, badan akan terbiasa bangun pada waktu sahur.
Anggap sahur sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.
Amalkan Doa & Zikir Sebelum Tidur
Berdoa supaya Allah mudahkan untuk bangun sahur.
Amalkan zikir dan tidur dalam keadaan berwuduk.
