FIQH DAN IBADAH | DURASI MEMBACA: 9 MINIT
TIPS MENYANTUNI IBU BAPA UZUR MENGIKUT ISLAM
- Penerbit : Benbadr
Kitaran Hidup: Lemah - Kuat - Lemah
Firman Allah SWT:
اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعْدِ ضَعْفٍۢ قُوَّةًۭ ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعْدِ قُوَّةٍۢ ضَعْفًۭا وَشَيْبَةً
Maksudnya : Allah jualah yang menciptakan kamu dari keadaan yang lemah, kemudian Dia menjadikan kamu selepas fasa lemah itu kuat, dan kemudian Dia menjadikan selepas fasa kekuatan itu lemah dan tua. [Surah ar-Rum, ayat 54]
Masa muda akan diganti dengan masa tua, yang kuat akan kembali lemah. Di seluruh dunia dan khususnya Malaysia, sebahagian besar warga emas pasti menghadapi kesukaran dalam menjalani aktiviti harian seperti berpakaian, mandi atau bergerak sendiri.
Kajian Malaysia Ageing and Retirement Survey (MARS, 2025) mendapati bahawa 15.7% warga emas mengalami kekangan dalam sekurang-kurangnya satu aktiviti asas harian, manakala 8.2% lagi yang dahulunya berdikari kini menjadi semakin bergantung. Selain itu, hampir 50% daripada warga emas memerlukan penjagaan berterusan, dan angka ini dijangka terus meningkat seiring dengan pertambahan jangka hayat penduduk negara (Sharif et al., 2025).
Sabar Adalah Tonggak Utama
Sabar terbahagi kepada tiga: Sabar dalam melakukan ketaatan, sabar dalam menjauhkan diri dari maksiat, dan sabar dengan ujian musibah dan kecelakaan. [Ihya' Ulum al-Din, Jld.2, bab al-Riqaq] Inilah realiti kehidupan seorang muslim di dunia ini. Berbakti kepada ibu bapa uzur merupakan salah satu medan ujian kesabaran serta peluang kita membalas kesabaran mereka membesarkan kita dahulu. Sesungguhnya segala pengorbanan ini pasti akan mengangkat darjat kita di sisi Allah SWT.
Antara ujian yang hebat sewaktu menjaga Ibu bapa yang uzur adalah apabila mereka mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati anak-anak. Perlu diingat, ini adalah berpunca dari keletihan fizikal dan mental mereka yang semakin lemah. Oleh itu, jangan ambil hati atau mudah tersinggung dengan kata-kata mereka. Sebaliknya, anggaplah segala yang dikatakan mereka, sebuah isyarat bahawa mereka inginkan lagi perhatian daripada anak-anak mereka.
Tip Pertama: Tapis Sebahagian Perkataan Ibu Bapa Uzur dan tidak perlu diambil terlalu serius
Pertama Allah, Kedua Rasul, Ketiga Ibu Bapa
Allah SWT berfirman:
۞ وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا (23) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (24) رَّبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا فِي نُفُوسِكُمْ ۚ إِن تَكُونُوا صَالِحِينَ فَإِنَّهُ كَانَ لِلْأَوَّابِينَ غَفُورًا (25)
Maksudnya : Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat sebaik-baiknya kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). {23} Dan rendahkanlah bagi mereka berdua sayap kehinaan yang lahir dari perasaan kasih (merendah diri kepada keduanya), dan katakanlah (doakanlah untuk mereka): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." {24} Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat {25}. [Surah Al-Isra, ayat 23–25]
Betapa tinggi martabat kedua orang tua diangkat oleh Allah swt. Tiga ayat ini merangkumi tanggungjawab seorang anak kepada orang tuanya. Pertama, susunan ayat ini menegaskan betapa mulianya kedudukan ibu bapa sehinggakan Allah meletakkan kedudukan hak mereka betul-betul selepas hak Allah SWT.
Allah memerintahkan agar anak-anak berbicara dengan ibu bapa yang uzur menggunakan perkataan dan nada yang lembut serta penuh kasih sayang. Perintah Allah wajib dilaksanakan maka sabarlah dalam mentaati perintahNya. Sekiranya kata-kata atau perbuatan mereka terlalu menyakitkan hati dan menusuk jiwa, bersabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan sia-siakan usaha mereka yang berusaha bersungguh-sungguh mentaatiNya dalam segala amalan.
Kajian di Malaysia mendapati bahawa 65% anak-anak yang menjaga ibu bapa uzur mengalami tekanan emosi dan fizikal yang tinggi [Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2023]. Walaupun begitu, mereka yang menjalankan tanggungjawab ini dengan sabar dan penuh kasih sayang sering melaporkan perasaan puas dan bahagia selepas pemergian ibu bapa mereka [Elderly Caregiving in Urban Malaysia: A Psychological Perspective, 2022].
Tip Kedua: Walau apapun berlaku, tahan lidah kita dan hanya keluarkan kata-kata yang lembut dan penuh kasih sayang
Bakti Paling Mulia: Bakti Di Waktu Mereka Uzur
Seterusnya, ayat tadi juga menyimpulkan bahawa hanya insan terpilih sahaja yang bakal menempuhi hari-hari bersama kedua orang tua. Ini adalah kerana, tidak semua orang dikurniakan peluang tersebut oleh Allah SWT. Maka anggaplah ia sebagai satu peluang yang dikurniakan Allah untuk menjamin kedudukan kita di syurga yang begitu mahal nilainya. Tahanlah diri daripada mengasari mereka dengan perkataan mahupun perbuatan. Betapa rugi dan celakanya jika kita yang diberikan peluang keemasan ini, namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Semoga Allah beri kekuatan kepada kita.
Ayat ini disambung dengan arahan Allah agar kita merendah diri dan buang keegoan kita bersama mereka serta sentiasa mendoakan mereka dengan sebaik-baik doa yang diajarkan oleh Allah SWT. Doa anak yang soleh merupakan hadiah terhebat dari seorang anak yang ingin membalas segala pengorbanan masa, tenaga, harta, dan kasih sayang yang pernah dilimpahkan kepada kita sewaktu kecil dahulu.
Sememangnya menjaga ibu bapa yang uzur adalah tugas yang sangat mencabar dan penuh ujian. Namun bergembiralah, kerana Allah SWT melihat setiap perbuatan baikmu serta amat menghargai hamba-hambanya yang menyantuni orang tua mereka. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.
Tip Ketiga: Sentiasa ingatkan diri bahawa ganjaran yang bakal diperolehi tiada bandingannya di akhirat nanti
Reverse Psychology Yang Disebut Oleh Rasulullah SAW
Nabi Muhammad SAW bersabda:
رَغِمَ أَنْفُهُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ، قِيلَ: مَنْ؟ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِندَ الْكِبَرِ، أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا، ثُمَّ لَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
Maksudnya : 'Celakalah dia, kemudian celakalah dia, kemudian celakalah dia, lalu ditanya: Siapa Ya Rasulullah? Dia yang sempat hidup bersama ibu bapanya yang sudah tua, salah seorang atau kedua-duanya, kemudian tetap tidak berjaya masuk ke dalam syurga.' [HR Muslim, 2551]
Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya berbakti kepada ibu bapa. Rasulullah SAW menggunakan ungkapan yang kuat untuk menekankan bahawa mereka yang berpeluang menjaga ibu bapa yang lanjut usia namun tidak memanfaatkannya untuk berbuat baik, berisiko tidak masuk syurga.
Terlalu banyak salah dan silap yang kita pernah lakukan kepada ibu bapa kita. Ambillah kesempatan ini untuk menebus semula kesalahan-kesalahan tersebut. Jangan sia-siakan peluang yang ada untuk berbakti kepada ibu bapa yang uzur kerana masa semakin suntuk, pintu rahmat dan keberkatan melalui ibu bapa akan tertutup sebaik sahaja mereka meninggalkan dunia ini. Oleh itu, rebutlah peluang keemasan dikurniakan Allah SWT ini kerana perginya tidak kembali lagi…
Tip Keempat: Bayangkan perasaan kita sekiranya mereka telah tiada, maka anggaplah ini peluang terakhir berbakti
Kisah Pada Zaman Khalifah Umar RA: Uwais Al-Qarni
Uwais Al-Qarni, nama yang sering kita dengar, dikenali ramai, merentasi zaman dan budaya, bukan kerana harta kekayaannya dan bukan kerana kehebatannya berjuang di medan jihad, tetapi kerana baktinya kepada sang ibu yang menyayanginya. Walaupun beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah SAW, baktinya diiktiraf oleh Allah SWT. Rasulullah SAW memberitahu para sahabat RA bahawa doa Uwais pasti dimakbulkan Allah SWT. Hadith mengenai Uwais Al-Qarni:
كانَ عُمَرُ بنُ الخَطَّابِ إذَا أَتَى عليه أَمْدَادُ أَهْلِ اليَمَنِ، سَأَلَهُمْ: أَفِيكُمْ أُوَيْسُ بنُ عَامِرٍ؟ حتَّى أَتَى علَى أُوَيْسٍ فَقالَ: أَنْتَ أُوَيْسُ بنُ عَامِرٍ؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: مِن مُرَادٍ ثُمَّ مِن قَرَنٍ؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: فَكانَ بكَ بَرَصٌ فَبَرَأْتَ منه إلَّا مَوْضِعَ دِرْهَمٍ؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: لكَ وَالِدَةٌ؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ يقولُ: يَأْتي علَيْكُم أُوَيْسُ بنُ عَامِرٍ مع أَمْدَادِ أَهْلِ اليَمَنِ، مِن مُرَادٍ، ثُمَّ مِن قَرَنٍ، كانَ به بَرَصٌ فَبَرَأَ منه إلَّا مَوْضِعَ دِرْهَمٍ، له وَالِدَةٌ هو بهَا بَرٌّ، لو أَقْسَمَ علَى اللهِ لَأَبَرَّهُ ، فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لكَ فَافْعَلْ، فَاسْتَغْفِرْ لِي، فَاسْتَغْفَرَ له.
Maksudnya : (Ketika zaman pemerintahan) Umar bin al-Khattab RA, setiap kali datang rombongan (pasukan ketenteraan) dari Yaman, beliau akan bertanya: “Adakah diantara kamu semua seorang yang bernama Uwais bin Amir?” (Beliau terus mencarinya) sehingga akhirnya beliau bertemu dengan Uwais, lalu bertanya: “Adakah engkau ini Uwais bin Amir?” Jawab Uwais: “Ya!” Umar bertanya lagi: “Dari Murad, kemudian dari Qaran (Adakah kamu berasal dari kaum Qaran dari kafilah Bani Murad)?” Uwais menjawab: “Ya!” Umar bertanya: “Adakah engkau pernah menghidap penyakit sopak, kemudian disembuhkan daripada penyakit itu kecuali sebahagian kecil sebesar saiz satu dirham?” Uwais menjawab: “Ya!” Umar bertanya lagi: “Adakah engkau mempunyai seorang ibu?” Uwais menjawab: “Ya!” Maka Umar berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang kepada kamu seorang lelaki bernama Uwais bin Amir bersama rombongan penduduk Yaman, dia berasal dari Murad kemudian dari Qaran. Dia pernah menghidap penyakit sopak lalu disembuhkan daripadanya kecuali (sebahagian kecil) sekecil syiling satu dirham. Dia memiliki seorang ibu dan dia bersungguh-sungguh berbakti kepada ibunya itu. Jika dia bersumpah (berdoa) atas nama Allah, Allah pasti akan memperkenankannya. Oleh itu, sekiranya engkau (berjaya menemuinya) dan mampu meminta dia agar mendoakan keampunan bagimu, maka lakukanlah.” (Umar berkata kepada Uwais) Justeru, mintalah keampunan untukku, Uwais pun memohonkan keampunan untuknya. [HR Muslim, 2542]
Mengambil ibrah dari kisah Uwais Al-Qarni, bukti bahawa Allah sanjung mereka yang berbakti pada orang tua walau tiada mata yang melihat. Kadangkala kita tidak dapat memenuhi semua harapan ibu bapa, tetapi kesungguhan kita dalam menjaga mereka adalah yang paling penting di sisi Allah.
Tip Kelima: Ingatlah bahawa Allah melihat setiap apa yang kita usahakan, segala pengorbanan tidak akan disia-siakan Allah.
Kerjasama Adik-Beradik Dalam Menjaga Ibu Bapa Uzur
Sesetengah keluarga direzekikan dengan adik-beradik yang ramai, maka kesatuan dan semangat bantu-membantu dalam menyantuni kedua orang tua uzur adalah keutamaan bagi seluruh ahli keluarga. Jangan jadikan kelebihan ini sebagai satu kekurangan dimana sesetengah adik beradik bersikap culas dan melepaskan tanggungjawab mereka. Lebih malang lagi apabila berlaku pergaduhan dan perpecahan sehingga menyebabkan hilang fokus sebenar iaitu menjaga kedua orang tua.
Kadangkala, punca pergaduhan adalah hasil daripada ibu bapa uzur sendiri yang gagal menahan emosisehingga akhirnya mengeluarkan kata-kata yang bersifat ‘melagakan’ di antara anak-anak mereka. Sebagai anak-anak, kita perlu fahami keadaan mental dan emosi mereka yang telah uzur, maka janganlah berpihak kepada mereka dan sebaliknya, berpihaklah kepada adik-beradik tanpa menyinggung perasaan orang tua.
Oleh itu, elakkan sebarang pergaduhan diantara adik-beradik dan letakkan sepenuh perhatian kepada berbakti pada ibu bapa yang semakin hari semakin uzur.
Tip Keenam: Bersatu teguh, bercerai roboh. Elakkan pergaduhan adik-beradik dan fokus pada keperluan ibu bapa uzur
Kesimpulan: Namamu Harum Di Kalangan Penduduk Langit
Menjaga ibu bapa yang uzur adalah satu bentuk pengorbanan yang sangat mulia di sisi Allah SWT. Sebagai anak, kita wajib berbuat baik kepada mereka dan lebih-lebih lagi ketika mereka sudah lanjut usia. Dengan mentaati perintah Allah SWT untuk berbakti kepada mereka, pastinya nama kita juga bakal harum sebagaimana harumnya nama Uwais al-Qarni di sisi Allah Azza Wa Jalla dan para malaikat. Semoga Allah golongkan kita bersama orang-orang yang soleh.
