SOAL JAWAB| DURASI MEMBACA: 25 MINIT
ADAB BERSAHABAT
- Penerbit : Adib
SOALAN PENONTON
Assalamualaikum ustaz dan dai. Selalu kita dengar nasihat supaya memilih sahabat yang baik. Bagaimana sebenarnya kita nak faham maksud bersahabat dengan orang baik menurut Islam? Adakah mereka yang tak sempurna, berbeza latar belakang serta tidak alim ni kita tak boleh berkawan?
Dalam Islam, konsep bersahabat bukan sekadar hubungan sosial, tetapi suatu ikatan hati yang membentuk jalan menuju Allah menerusi nilai taqwa.
ٱلْأَخِلَّآءُ يَوْمَئِذٍۭ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا ٱلْمُتَّقِينَ
Maksudnya : “Para teman karib pada hari itu (kiamat) akan menjadi musuh antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertakwa.” [Surah az-Zukhruf, ayat 67]
Ayat ini menggambarkan bahawa persahabatan yang tidak berlandaskan takwa akan terlerai di akhirat, kerana hanya hubungan yang dibina kerana Allah dan menuju kebaikan yang akan kekal bernilai di sisi-Nya.
Bersahabat dengan orang baik bermakna memilih teman yang membawa kita lebih dekat kepada Allah, bukan sekadar mereka yang tampak sempurna secara zahir. Orang baik ialah mereka yang ikhlas, jujur, menasihati kita apabila salah, membawa kita ke arah kebaikan serta berkongsi iman dan ilmu.
وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَـٰهًۭا ۖ لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًۭا شَطَطًا
Maksudnya : “Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” [Surah al-Kahfi, ayat 14]
Jika kita bersahabat dengan orang yang baik, walaupun kita tidak menjadi sebaiknya sekalipun, kita tetap akan mendapat manfaat daripada kebaikan dan semerbak akhlaknya. Maka ukuran utama bukan pada status sosial, sijil akademik, atau darjat kedudukan, tetapi pada bagaimana sahabat itu meninggalkan kesan terhadap iman dan akhlak kita.
مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ، كَحَامِلِ المِسْكِ وَنَافِخِ الكِيرِ، فَحَامِلُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً
Maksudnya: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” [HR Muslim, 2628]
Namun begitu, Islam tidak menutup pintu untuk berkawan dengan orang yang belum sempurna atau berbeza latar belakang. Bahkan, persahabatan yang jujur dan penuh hikmah boleh menjadi jalan dakwah dan tarbiyah. Nabi SAW sendiri bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Namun Baginda tetap menjaga prinsip dan batas agama. Bersahabat dengan mereka yang berbeza taraf iman bukanlah salah, asalkan kita tidak terikut kepada kemungkaran dan masih mengekalkan nilai iman serta akhlak.
Kesimpulannya, bersahabat dengan orang baik menurut Islam bukan bermaksud menolak mereka yang lemah atau tidak alim, tetapi mencari teman yang hati dan tujuannya menuju Allah. Sahabat sejati ialah yang saling mengingatkan dalam kebaikan, menegur dengan kasih, dan tetap bersama walau diuji.
Assalamualaikum ustaz dan dai. Ramai orang pilih kawan sebab gaya hidup, keseronokan dan hobi yang sama. Salah ke kalau bersahabat sebab keserasian?
Dalam Islam, persahabatan bukan sekadar tentang keserasian duniawi, tetapi tentang bagaimana jalinan hubungan itu membawa jiwa menuju Allah.
كَىْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًۭا . وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu.” [Surah Taha, ayat 33-34]
Ini menggambarkan bahawa persahabatan yang diberkati ialah yang meningkatkan keimanan dan saling membantu dalam ketaatan, bukan sekadar keseronokan atau kesamaan minat. Maka, asas ukhuwah yang benar bukanlah “kita sama suka perkara yang sama,” tetapi “kita sama membina taqwa bersama.”
Bersahabat kerana keserasian tidak salah, selagi keserasian itu tidak menyingkirkan nilai taqwa. Nabi Musa dan Nabi Harun AS contohnya, dikurniakan persaudaraan bukan kerana minat atau sifat yang sama, tetapi kerana mereka saling menguatkan dalam tugas dakwah. Hubungan mereka mencontohkan bahawa sahabat seaspirasi iman bukan sekadar menyenangkan, tetapi memperkukuh misi hidup dan iman. Apabila persahabatan hanya berasaskan minat atau hiburan, ia mudah rapuh dan hilang bila minat berubah. Tetapi apabila ia disatukan dengan niat kerana Allah, keserasian itu akan menjadi wasilah untuk saling berkongsi iman, saling menegur, dan saling menegakkan kalimah Allah.
Namun Islam tidak melarang untuk bergembira atau berkongsi hobi bersama. Kegembiraan bersama sahabat ialah sebahagian dari rahmat ukhuwah, selagi ia tidak melalaikan. Rasulullah SAW sendiri berinteraksi dengan para sahabat dalam pelbagai cara. Ada masa Baginda bergurau dan ada masa baginda serius.
عن أنسٍ أنَّ رجُلًا مِن أهلِ البادِيَةِ اسمُه زاهِرٌ كان يُهدي للنبيِّ صلَّى اللهُ عليه وآلِه وسلَّم … قول النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وآلِه وسلَّم: زاهِرٌ بادِيَتُنا ونحنُ حاضِرَتُه ، وكان النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وآلِه وسلَّم يُجَهِّزُه إذا أراد الخُروجَ إلى البادِيَةِ ، وكان زاهِرٌ دَميمَ الخِلقَةِ فأتاه النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وآلِه وسلَّم وهو يَبيعُ شيئًا له في السُّوقِ فاحتَضَنه مِن خَلفِه ، فقال له: مَن هذا ؟ أَرسِلْني ، والتَفَت فعرَف النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وآلِه وسلَّم فجعَل النبي صلَّى اللهُ عليه وآلِه وسلَّم يقولُ: مَن يَشتَري مِنِّي هذا العبدَ ؟ وجعَل هو يَلصِقُ ظهرَه بصدرِ النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وآلِه وسلَّم ويقولُ: إذًا تَجِدُني كاسِدًا ، فقال له النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وآلِه وسلَّم: ولكنَّكَ عِندَ اللهِ لستَ بكاسِدٍ
Maksudnya: Daripada Anas RA, bahawa ada seorang lelaki dari kalangan penduduk dusun bernama Zahir, yang biasa membawa hadiah kepada Nabi SAW dari kawasan pedalaman.
Nabi SAW bersabda tentangnya:
“Zahir ialah orang dusun kami, dan kami adalah keluarganya di kota.”
Apabila Zahir ingin kembali ke kampungnya, Nabi SAW akan membekalkan keperluannya. Zahir memiliki rupa paras yang tidak begitu menarik. Suatu hari, Nabi SAW datang menemuinya di pasar ketika dia sedang menjual barang dagangannya, lalu Nabi memeluknya dari belakang.
Zahir pun berkata, “Siapa ini? Lepaskan aku!”
Kemudian dia berpaling, dan apabila dia mengenali bahawa yang memeluknya itu ialah Rasulullah SAW, dia terus menekan tubuhnya rapat ke dada Baginda dengan penuh kasih.
Lalu Rasulullah SAW bergurau sambil bersabda:
“Siapa yang mahu membeli hamba ini daripadaku?”
Mendengar itu, Zahir berkata dengan rendah diri:
“Wahai Rasulullah, kalau begitu engkau pasti akan mendapati aku tidak laku.”
Maka Rasulullah SAW bersabda:
“Tetapi di sisi Allah, engkau tidak murah dan tidak hina nilainya.” [HR Ahmad, 12648]
Assalamualaikum ustaz dan dai. Kadang-kadang dalam berkawan, kita bergurau sampai tahap mengejek atau ‘membahan’ sesama sendiri, kononnya tanda rapat dan mesra. Namun, adakah cara gurauan seperti itu dibenarkan dalam Islam?
Dalam kehidupan seharian, bergurau dan bersenda gurau merupakan salah satu cara untuk mewujudkan suasana mesra dan akrab antara rakan-rakan. Namun, apabila gurauan itu melampaui batas sehingga menyinggung perasaan, mengejek, atau “membahan” orang lain, ramai yang keliru sama ada perbuatan itu dibenarkan dalam Islam. Islam mengajar kita bahawa setiap hubungan, termasuk persahabatan dan gurauan, mestilah berpandukan adab dan batas syarak, supaya tiada pihak yang teraniaya atau terhina.
Dalam sebuah hadis oleh Anas RA, ada seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan meminta Baginda kenderaan yang dia boleh dinaiki. Lalu, Rasulullah SAW berkata:
إِنَّا حَامَلُوكَ عَلَى وَلَدِ نَاقَةٍ، قَالَ: وَمَا أَصْنَعُ بِوَلَدِ نَاقَةٍ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ وَهَلْ تَلِدُ الإِبِلُ إِلَّا النُّوقُ؟
Maksudnya: “Kami meletakkan kamu di atas anak unta.” Lelaki itu berkata: “Ya Rasulullah, apa yang aku boleh lakukan dengan anak unta?” Nabi SAW bersabda: “Adakah unta melahirkan selain daripada unta betina?” [HR Abu Daud, 4998]
Nabi SAW berkata benar. Semua unta, tidak kira ialah telah dewasa atau masih kecil, asalnya lahir daripada unta betina.
Lelaki itu faham secara khusus, iaitu anak unta yang masih kecil. Sedangkan Nabi SAW maksudkan semua jenis unta secara umum. Kerana hakikatnya, setiap unta itu adalah anak kepada ibu untanya.
Baginda SAW menggunakan gurauan bijaksana dan tidak menipu.
Namun, gurauan mempunyai batasannya yang jelas kerana lidah yang tersasar boleh menimbulkan kesan yang serius, termasuk menyakiti hati orang lain, mencemarkan maruah, atau menimbulkan permusuhan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.” [Surah al-Hujurat, ayat 11]
Larangan ini termasuklah dalam perbuatan bergurau dengan rakan-rakan atau sesiapa sahaja.
Gurauan kita kadang-kadang dengan gelaran-gelaran tertentu, atau menceritakan pengalaman seseorang.
Sikap mengejek walaupun hanya untuk bergurau ini telah disebutkan oleh Allah SWT:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ
Maksudnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” [Surah al-Taubah, ayat 65]
Jika kita mengambil iktibar daripada ayat ni dan melihat dalam konteks gurauan sesama manusia, maka tidak patut seseorang mengejek seseorang walaupun tujuannya adalah gurauan. Apatah lagi jika dia bergurau pada wahyu Tuhan.
Adapun kenyataan bahawa gurauan menghina dan mengejek itu dianggap tanda keakraban dalam persahabatan, maka ia perlu dilihat dalam beberapa sudut pandang. Tidak semua bentuk gurauan yang kelihatan mesra itu benar-benar selamat atau dibenarkan dalam Islam.
Gurauan sebagai manifestasi keselesaan dan keakraban
Bagi sebahagian individu, mereka mungkin merasa selesa dan rapat dengan rakan-rakan sehingga terbuka untuk menzahirkan diri mereka sepenuhnya.
Dalam konteks ini, gurauan yang kelihatan menghina kadang-kadang dilakukan kerana mereka merasa tiada sekatan, dan dianggap sebagai cara menunjukkan keakraban atau keterbukaan.
Namun, walaupun niatnya mungkin kelihatan positif, Islam menekankan bahawa kebenaran niat tidak mencukupi untuk membolehkan perbuatan itu, jika ia menyakiti hati atau menjejaskan maruah orang lain.
Kekurangan akhlak atau pengalaman dalam bergurau yang sopan
Tidak sedikit individu yang kurang soleh atau belum terbiasa berinteraksi dengan cara yang baik dan sopan, sehingga mereka tidak tahu bagaimana untuk bergurau tanpa menyinggung orang lain.
Ada yang lahir daripada keluarga yang kasar, ada yang sebaliknya. Pengalaman membentuk perspektif dan cara interaksi berbeza bagi setiap individu.
Jika seseorang belum memiliki kemampuan untuk bergurau dengan sopan, lebih baik diam daripada menyakiti hati orang lain secara tidak sengaja.
Gurauan yang didorong oleh nafsu atau ego
Ada juga individu yang menggunakan gurauan sebagai cara memenuhi nafsu atau menguatkan egonya sendiri.
Contohnya, mereka membenarkan diri untuk mengejek atau membahan kerana apabila orang lain ketawa, mereka merasakan kemenangan atau pengakuan sosial.
Di sini, gurauan itu tidak lagi berfungsi sebagai medium keakraban, tetapi mendedahkan sifat negatif seperti riak, sombong, atau ego berlebihan.
Walaupun mungkin dianggap sebagai tanda keakraban, namun mungkin ia didasari dengan sifat ingin mengawal, membuli dan menjadi dominan dalam kumpulannya.
Secara asasnya, gurauan yang berdosa itu adalah apabila ia membawa kepada:
Penghinaan dan ejekan sama ada pada rupa, badan, sikap, keturunan, pengalaman dan yang seumpama dengannya,
Kebencian dan permusuhan disebabkan rasa tidak puas hati atau maruahnya tercalar kerana gurauan itu,
Kebohongan dan pendustaan (seperti bergurau dengan mengatakan si Fulan berbuat demikian, sedangkan dia tidak melakukan perkara itu, ataupun mengatakan sesuatu yang tidak pasti sehingga boleh tercetus fitnah).
Kesimpulannya, Islam tidak melarang gurauan, tetapi menekankan batas adab dan niat. Gurauan yang menghina, memfitnah, atau menimbulkan permusuhan tetap dianggap dosa walaupun kononnya dikatakan gurauan mesra atau gurauan sahabat. Oleh itu, Islam menekankan bahawa setiap gurauan mesti dilakukan dengan adab dan hikmah.
Assalamualaikum ustaz dan dai. Kadang-kadang dalam berkawan, ada kawan yang terasa terpinggir, mungkin sebab tak begitu serasi atau kita lebih rapat dengan yang lain. Adakah perkara seperti ini biasa saja dalam persahabatan, atau sebenarnya bercanggah dengan adab dalam Islam?
Dalam kehidupan, kita akan bertemu ramai orang, tapi tidak semua menjadi sahabat yang benar-benar serasi dengan jiwa kita. Ada yang dekat kerana minat dan perjuangan yang sama, ada yang jauh kerana perbezaan watak atau suasana. Namun, Islam mendidik kita bahawa persahabatan bukan dinilai pada kekerapan berjumpa atau seakrab mana kita berbual — tetapi pada keikhlasan hati kerana Allah.
Apabila ada sahabat yang terasa tersisih, Islam tidak menyuruh kita memaksa hati agar semuanya sama rata, tetapi memerintahkan supaya kita berlaku adil, tidak menzalimi, dan tidak memutuskan silaturahim.
Perbezaan keakraban adalah lumrah manusia, tetapi mengabaikan hati sahabat tanpa peduli adalah sesuatu yang ditegah oleh agama.
Dalil al-Quran
وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Dan rendahkanlah sayapmu (tunjukkanlah sikap tawaduk dan kasih sayang) terhadap orang-orang yang beriman.” [Surah al-Ḥijr, ayat 88]
Ayat ini bukan sekadar perintah untuk berlemah-lembut, tetapi menuntut kita merendahkan ego dalam perhubungan sesama Muslim.
Tanda persahabatan yang ikhlas ialah tidak meninggikan diri, tidak menganggap orang lain lebih rendah, dan tidak membuat seseorang rasa terpinggir hanya kerana perbezaan latar atau kedudukan.
Imam al-Qurṭubī menjelaskan dalam al-Jāmi‘ li Aḥkām al-Qur’ān:
أُمِرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالتَّوَاضُعِ لِلْمُؤْمِنِينَ، وَاللِّينِ مَعَهُمْ، وَتَرْكِ التَّكَبُّرِ عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Nabi SAW diperintahkan agar bersikap tawaduk kepada orang beriman, berlemah lembut dengan mereka, dan tidak bersikap sombong terhadap mereka.” [al-Jāmi‘ li Aḥkām al-Qur’ān, jil. 10, hlm. 56]
Maka, setiap Muslim dituntut meneladani akhlak Rasulullah SAW— tidak memilih kasih kerana status, dan tidak membuat seseorang merasa rendah dalam majlis persahabatan.
Dalil Hadis
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
Maksudnya: “Seseorang itu berada di atas agama sahabat karibnya, maka perhatikanlah dengan siapa kamu bersahabat.” [HR. Abū Dāwūd, no. 4833; al-Tirmiżī, no. 2378 – hasan ṣaḥīḥ]
Hadis ini mengingatkan bahawa sahabat mempunyai pengaruh besar terhadap agama dan jiwa seseorang. Namun dalam masa yang sama, ia juga mengajar kita agar menjadi sahabat yang memberi kesan baik, bukan yang menyebabkan orang menjauh.
Kita mungkin tidak mampu mesra dengan semua orang, tetapi kita mampu berlaku adil, tidak menyakiti, dan menjaga hati mereka dengan akhlak yang lembut.
Imam al-Munāwī menjelaskan dalam Fayḍ al-Qadīr:
مَعْنَاهُ أَنَّ الْخَلِيلَ يُؤَثِّرُ فِي خَلِيلِهِ فِي الْعَادَةِ، فَإِنْ كَانَ صَالِحًا أَصْلَحَهُ، وَإِنْ كَانَ فَاسِدًا أَفْسَدَهُ، فَلْيَكُنْ صَاحِبُكَ مِمَّنْ يُصْلِحُكَ
Maksudnya: “Makna hadis ini ialah sahabat lazimnya memberi pengaruh kepada sahabatnya. Jika dia soleh, dia akan memperbaikinya; jika dia rosak, dia akan merosakkannya. Maka hendaklah engkau bersahabat dengan orang yang memperbaiki dirimu.” [Fayḍ al-Qadīr, jil. 4, hlm. 421]
Huraian ini menunjukkan bahawa inti ukhuwah bukan semata-mata keakraban lahiriah, tetapi sejauh mana persahabatan itu menumbuhkan iman dan akhlak.
Namun, dalam proses itu, tidak semua orang sesuai menjadi sahabat rapat — dan itu tidak salah, selagi tiada permusuhan, ejekan, atau penghinaan terhadap yang lain.
Huraian dan Aplikasi
Serasi itu rezeki, bukan kewajipan.
Tidak semua orang boleh rapat dengan semua. Tetapi kita tetap wajib menjaga adab asas — tidak meminggirkan, tidak mengumpat, tidak memutuskan silaturahim.
Perbezaan keakraban tidak menghapus kasih sayang.
Rasulullah SAW pun mempunyai sahabat yang rapat seperti Abu Bakar dan Umar, tetapi tetap berlaku adil kepada semua sahabat lain. Baginda menghargai setiap insan dengan cara yang sesuai dengan kelebihan masing-masing.
Menjaga hati yang tersisih.
Jika kita tahu ada sahabat yang terasa, Islam mengajar untuk menegur dengan lembut, menenangkan dengan doa, dan memohon maaf jika perlu. Itu tanda ukhuwah yang hidup.
Kesimpulan: Perasaan tidak serasi dalam persahabatan adalah fitrah manusia, bukan dosa. Tetapi menjadikan perbezaan itu alasan untuk mengabaikan atau merendahkan sahabat — itu yang bercanggah dengan adab Islam. Islam mengajar kita menjadi sahabat yang adil, penyayang, dan tidak menghukum.
Persahabatan yang berkat bukan diukur pada banyaknya tawa, tetapi pada sejauh mana ia mengingatkan kita kepada Allah. Maka, jika ada sahabat yang terasa terpinggir, hulurkan tangan — bukan untuk memaksa keakraban, tetapi untuk menunjukkan bahawa ukhuwah kerana Allah tidak pernah menolak sesiapa.
Sebagaimana sabda Nabi SAW:
أَوْثَقُ عُرَى الْإِيمَانِ الْحُبُّ فِي اللَّهِ وَالْبُغْضُ فِي اللَّهِ
Maksudnya: “Tali iman yang paling kukuh ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah.” [HR. Ahmad, 18524; dinilai ṣaḥīḥ oleh al-Albānī]
Assalamualaikum ustaz dan dai. Dalam Islam, adakah dibenarkan untuk kita bersahabat rapat dengan bukan Muslim? Apakah ada syarat atau adab tertentu yang perlu dijaga, dan jika kita tidak menyampaikan dakwah kepadanya, adakah hal itu dianggap satu dosa?
Islam ialah agama yang mengajar kasih sayang kepada semua makhluk. Nabi SAW diutus bukan untuk menimbulkan perpecahan, tetapi untuk membawa rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Dan tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.” [Surah al-Anbiyā’, ayat 107]
Oleh itu, Islam tidak menolak hubungan sosial dengan bukan Muslim, termasuk dalam bentuk persahabatan — asalkan hubungan itu tidak menjejaskan akidah, maruah agama, dan batas halal-haram.
Namun, seorang Muslim mesti memahami perbezaan antara berbuat baik (al-birr) dan berwala’ (memberi kesetiaan akidah). Yang pertama dituntut, yang kedua ditegah.
Dalil al-Quran
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [Surah al-Mumtahanah, ayat 8]
Imam al-Ṭabarī menulis dalam Jāmi‘ al-Bayān ‘an Ta’wīl al-Qur’ān:
يَعْنِي تَعَالَى ذِكْرُهُ أَنَّهُ لَا يَمْنَعُكُم مِّنَ الْبِرِّ وَالصِّلَةِ لِمَنْ لَمْ يُعَادِكُمْ فِي الدِّينِ، فَإِنَّ ذَلِكَ مِنَ الْإِحْسَانِ الَّذِي يُحِبُّهُ اللَّهُ
Maksudnya: “Allah tidak menghalang kamu daripada berbuat baik dan menjalin hubungan dengan mereka yang tidak memusuhi kamu kerana agama, kerana kebaikan seperti ini adalah amalan yang disukai Allah.” [Jāmi‘ al-Bayān, jil. 28, hlm. 68]
Tafsiran ini menjelaskan bahawa Islam mengiktiraf hubungan sosial dengan bukan Muslim, sama ada sebagai jiran, rakan kerja, atau sahabat, selagi tidak melibatkan unsur penghinaan terhadap Islam.
Dalil Hadis
عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَتْ: قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّي وَهِيَ مُشْرِكَةٌ، فَاسْتَفْتَيْتُ النَّبِيَّ ﷺ، فَقَالَ: صِلِي أُمَّكِ
Maksudnya: “Asma’ binti Abu Bakar RA berkata: Ibuku datang menemuiku sedangkan dia masih musyrik. Aku bertanya kepada Nabi SAW: ‘Adakah aku boleh berhubung (menjalin silaturahim) dengan ibuku?’ Maka Baginda SAW menjawab: ‘Hubungkanlah (silaturahim) dengan ibumu.’” [HR. al-Bukhari, no. 5978; Muslim, no. 1003]
Hadis ini menunjukkan bahawa Islam membenarkan dan bahkan menganjurkan hubungan kasih sayang dan ihsan terhadap bukan Muslim, khususnya keluarga, tanpa menggadaikan prinsip iman. Imam al-Nawawī menjelaskan dalam Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim:
فِيهِ جَوَازُ صِلَةِ الْقَرَابَةِ الْمُشْرِكِ وَالإِحْسَانِ إِلَيْهِ مَعَ الْمُبَايَنَةِ فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan keharusan menjalin hubungan baik dan berbuat ihsan kepada bukan Muslim walaupun berbeza agama.” [Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim, jil. 16, hlm. 101]
Ini bermakna, Islam tidak melarang kasih sayang insani, tetapi melarang kasih yang meruntuhkan akidah — seperti redha terhadap kekufuran, atau membantu dalam maksiat.
Prinsip dan Syarat Bersahabat Dengan Bukan Muslim
Tidak membawa kepada wala’ (kesetiaan akidah)
– Bersahabat tidak boleh sampai meniru cara hidup mereka dalam perkara yang haram atau menolak hukum Islam kerana ingin diterima. Firman Allah:
لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ
Maksudnya: “Janganlah kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali (pelindung dan kepercayaan utama).” [Surah al-Mā’idah, ayat 51]
Ini bukan larangan bersahabat, tetapi larangan menjadikan mereka sebagai tempat bergantung dalam urusan agama.
Menjaga batas akhlak dan pergaulan.
– Tidak terlibat dalam aktiviti maksiat, arak, atau perkara yang dilarang hanya kerana ingin mengekalkan persahabatan.
– Persahabatan mesti di atas asas hormat dan nilai, bukan kompromi dosa.
Bersahabat dengan niat dakwah dan rahmah.
– Niatkan agar persahabatan itu menjadi jambatan untuk mengenalkan Islam, bukan semata-mata hubungan duniawi. Nabi SAW bersabda:
لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
Maksudnya: “Sesungguhnya jika Allah memberi hidayah kepada seorang melalui kamu, ia lebih baik bagimu daripada unta merah (harta paling berharga).” [HR. al-Bukhari, 2942; Muslim, 2406]
Dakwah bukan hanya melalui perkataan, tetapi juga melalui akhlak, kejujuran, dan kasih sayang.
Adakah Berdosa Jika Tidak Berdakwah Kepada Sahabat Bukan Muslim? Tidak menyampaikan dakwah bukanlah dosa mutlak, tetapi jika seseorang sengaja mengabaikan peluang untuk menyeru kepada kebaikan sedangkan dia mampu melakukannya dengan hikmah, maka dia telah meninggalkan tanggungjawab tabligh. Firman Allah:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.” [Surah al-Naḥl, ayat 125]
Namun, ulama menegaskan — dakwah tidak semestinya dengan kata-kata. Kadang-kadang akhlak dan kesetiaan dalam persahabatan menjadi seruan paling kuat untuk membuka pintu hati. Sebagaimana ramai bukan Muslim pada zaman Nabi SAW memeluk Islam bukan kerana hujah semata, tetapi kerana akhlak Baginda yang lemah lembut dan amanah.
Kesimpulannya, Islam membenarkan persahabatan rapat dengan bukan Muslim selagi tidak menggugat iman. Ia malah boleh menjadi ladang pahala — apabila kita menunjukkan akhlak Nabi SAW dan menjadi jambatan kepada hidayah.
Namun, setiap Muslim perlu menjaga niat dan sempadan:
Kasih kerana kemanusiaan, bukan kerana kekufuran.
Hormati tanpa meniru.
Bersahabat tanpa menggadaikan maruah Islam.
Persahabatan dengan bukan Muslim bukanlah larangan, tetapi ujian keikhlasan dan kematangan iman. Jika akhlak kita menjadi sebab mereka melihat keindahan Islam, maka kita telah berdakwah walau tanpa bicara.
Sebagaimana sabda Nabi SAW:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.” [HR. al-Ṭabarānī, al-Mu‘jam al-Kabīr, 13202 – dinilai hasan]
Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada yang kata bahawa lelaki dan perempuan tidak boleh berkawan langsung, manakala ada pula yang mengatakan boleh asalkan menjaga batas. Jadi, bagaimana sebenarnya pandangan Islam tentang hubungan persahabatan antara lelaki dan perempuan?
Apabila berbicara tentang batas atau sempadan yang ditetapkan oleh agama, sebahagian manusia selalu melihat bats dan sempadan ini sebagai kongkongan yang menyesakkan dan menyulitkan. Sedangkan Islam bukan datang dengan tujuan menyekat fitrah manusia, bahkan Islam datang untuk memelihara firtrah manusia. Analogi yang agak mudah untuk kita lihat, undang-undang jalan raya kadang-kadang nampak menyulitkan, lagi-lagi bila para pemandu rasa nak cepat. Tapi, jika semua kereta bergerak tanpa mengikut undang-undang jalan raya, cuba bayangkan berapa berita kematian yang kita akan dengar setiap hari? Begitu juga dengan peraturan dan undang-undang lain yang ada dalam kehidupan harian, mungkin secara kasar ia dilihat sesuatu yang mengongkong, namun hakikatnya ianya ialah batas dan sempadan. Bahkan, lebih lagi apabila ia melibatkan undang-undang dan hukum agama yang berfungsi sempadan yang menyelamatkan manusia dari mudarat dan kerosakan.
Berkaitan dengan batas pergaulan, kita perlu jelas bahawa Islam tidak menyekat fitrah dan tabiat manusia yang hidup untuk saling mengenal, saling membantu, dan saling menyempurnakan dalam kehidupan. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)...” [Surah al-Hujurat, ayat 13]
Namun dalam masa yang sama, Islam tahu bahawa fitrah ini boleh membawa kepada fitnah dan kerosakan jika tidak dikawal oleh nilai agama. Islam tidak melarang interaksi, tetapi menetapkan garis panduan yang menjaga kehormatan diri, keluarga, dan masyarakat.
Jika kita perhatikan, dalam realiti kehidupan yang sekarang, di sekolah, tempat kerja, dakwah, NGO, media — memang ada keperluan lelaki dan wanita bekerjasama. Islam tidak melarang, malah mengiktiraf keperluan ini sebagai sebahagian tanggungjawab sosial. Namun, terdapat garis panduannya supaya ia tidak melanggar sempadan dan bertentangan dengan perintah dan larangan Allah. Antaranya ialah:
Tidak berdua-duaan atau melakukan sebarang tindakan yang mengundang fitnah.
Menjaga pandangan dan lenggok suara.
Tidak bersentuhan.
Tidak berlebihan dalam bergurau atau menunjukkan perhatian.
Pergaulan ialah atas dasar berurusan dan diniatkan kerana Allah, bukan kerana nafsu.
Apabila batas agama diabaikan atas alasan “kita kawan saja” atau “asalkan ikhlas”, sebenarnya ia membuka jalan ke arah kerosakan yang perlahan tapi nyata. Antara kesan buruk yang berpotensi berlaku:
Zina hati dan mata. Bermula dengan pandangan, gurauan dan perhatian yang berlebihan.
Perasaan keterikatan emosi. Membawa kepada, rasa sayang yang tidak halal, perasaan cemburu, bahkan worst case bagi orang yang sudah berumahtangga, berlaku khianat, curang dan konflik rumah tangga.
Kerosakan institusi keluarga, anak-anak membesar tanpa faham erti batas pergaulan yang boleh mendorong kepada isu yang lebih besar seperti gejala sosial dan isu seksualiti.
Tujuan Islam meletakkan batas dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan:
Memelihara maruah dan iffah (kehormatan). Firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…” [Surah al-Nur, ayat 30]
Menutup jalan fitnah dan kerosakan sosial. Menjaga batas pergaulan ini selari dengan satu kaedah fiqh Saddu al-Zara’ie (menutup jalan-jalan) yang boleh membawa kepada kejahatan. Ingatlah pesan Nabi SAW tentang fitnah:
ما تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أضَرَّ علَى الرِّجالِ مِنَ النِّساءِ
Maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas kewafatanku fitnah yang lebih berbahaya kepada lelaki daripada fitnah wanita.” [HR al-Bukhari, 5096]
Menyuburkan kasih sayang yang halal, dengan pensyariatan perkahwinan. Firman Allah SWT:
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Kesimpulannya, agak kurang tepat jika dikatakan bahawa Islam melarang secara mutlak lelaki dan perempuan untuk berinteraksi dan berurusan, kerana melihat kepada keperluan. Namun ia tidak bermaksud dibolehkan untuk bergaul bebas sehingga melanggar sempadan yang telah disebutkan. Istilah “kawan saja” boleh membawa kerosakan yang besar jika ia tidak dipandu dengan nilai agama.
Assalamualaikum ustaz dan dai. Kadang-kadang dalam berkawan, menasihati antara satu sama lain terasa janggal dan tidak selesa. Kadang-kadang kita teragak-agak nak tegur sebab takut dia terasa. Apa pendapat ustaz?
Persahabatan dalam Islam bukan sekadar hubungan mesra dan berkawan, tetapi ia juga menuntut adanya tanggungjawab moral dan akhlak, termasuk menasihati antara satu sama lain. Ramai orang merasakan bahawa menasihati kawan rapat itu janggal atau mengganggu suasana persahabatan kerana takut menyinggung perasaan. Namun, Islam mengajar bahawa nasihat yang baik adalah sebahagian daripada kasih sayang dan tanggungjawab terhadap saudara seiman.
Rasulullah SAW berkata:
الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا: لِمَنْ؟ قال "لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامَّتِهِمْ
Maksudnya: “Agama itu adalah nasihat.” Kami (para sahabat) bertanya: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin kaum Muslimin, dan orang ramai di kalangan mereka.” [HR Muslim, 55]
Ini menunjukkan bahawa menasihati kawan adalah tanggungjawab agama, bukan sekadar pilihan peribadi. Jika kita mengabaikan perbuatan memberi nasihat kerana takut kawan terasa, maka hakikat persahabatan itu tidak sempurna.
Menurut Mustafa Abdul Rahman: “Maksud nasihat kepada orang ramai kaum Muslimin ialah memimpin mereka ke jalan yang benar, mengawasi mereka dari jalan yang salah, mengajar mereka...” [Rujuk: Hadis 40: Terjemah dan Syarahnya, hlm. 157-158]
Menegur bukan bertujuan untuk mengguris hati atau menjatuhkan maruah seseorang, sebaliknya ia adalah satu bentuk kasih sayang dan tanda keprihatinan terhadap kebaikan saudara seagama.
Tidak dinafikan, kadang-kadang kata-kata nasihat itu boleh membuat hati kawan kita terasa, sedih, marah, tidak berpuas hati dan bermacam-macam lagi.
Dalam konteks persahabatan, menegur bermaksud kita tidak sanggup melihat kawan kita terus dalam kesilapan atau dosa. Kalau seseorang membiarkan sahabatnya tenggelam dalam perbuatan salah tanpa sebarang teguran, itu bukan tanda kasih, tapi tanda tidak peduli.
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا، أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ؟ قَالَ: تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنَ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ
Maksudnya: “Tolonglah saudaramu sama ada dia berlaku zalim atau dizalimi.” Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, aku menolongnya jika dia dizalimi, tetapi bagaimana pula jika dia yang menzalimi?” Baginda SAW menjawab: “Kamu cegah atau halang dia daripada melakukan kezaliman, itulah sebenarnya bentuk pertolonganmu kepadanya.” [HR al-Bukhari, 6952]
Hadis ini menunjukkan bahawa menegur kesalahan kawan adalah bentuk pertolongan, bukan penghinaan. Teguran dilakukan bukan untuk menunjukkan siapa lebih baik, tetapi kerana kita tidak mahu sahabat itu terus berdosa dan merugikan dirinya di akhirat kelak.
Namun begitu, cara menegur mestilah dilakukan dengan hikmah. Teguran yang keras dan menyakitkan hanya menimbulkan rasa marah dan menjauhkan hati.
فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
Maksudnya: “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” [Surah Taha, ayat 44]
Jika kepada Firaun yang zalim pun Allah perintahkan bercakap dengan lembut, apatah lagi kepada sahabat sendiri yang kita kasihi.
Terdapat beberapa panduan dalam memberi nasihat:
Ikhlas dalam memberi nasihat
Mengetahui perkara yang ingin dinasihatkan
Tidak menasihati secara terbuka
Sesuai dengan masa dan tempat yang munasabah
Lembut dalam memberi nasihat
Tidak mensyaratkan nasihat itu mesti diterima
[Rujuk: Mausu’ah al-Akhlak al-Islamiyyah, jld. 2, hlm. 65]
Juga terdapat beberapa wasilah dan gaya dalam memberi nasihat:
Memberi nasihat selepas membantu menyelesaikan masalah atau hajatnya.
Didahului dengan memberi hadiah.
Menggunakan perantaraan seperti mesej atau surat.
Membawanya menziarahi ulama atau ke majlis ilmu dan tazkirah.
[Rujuk: Mausu’ah al-Akhlak al-Islamiyyah, jld. 2, hlm. 66]
Kesimpulannya, menasihati kawan rapat dalam Islam adalah kewajiban yang harus dilakukan dengan hikmah dan sopan, bukan perkara yang janggal atau mengganggu persahabatan. Teguran yang ikhlas dan dilakukan dengan adab akan:
Menguatkan persahabatan,
Membimbing sahabat kembali ke jalan yang benar,
Menjadi amalan pahala kerana niatnya kerana Allah,
Mengelakkan mudarat dan kesilapan yang lebih besar di masa hadapan.
Oleh itu, rasa janggal atau takut menyinggung perasaan bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab menasihati, selagi ia dilakukan dengan cara yang benar dan berlandaskan syarak.
