ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

mendahului dalam kebaikan
SOALAN PENONTON

SOALAN PENONTON

Soalan 1

Assalamualaikum ustaz dan dai. Manusia yang dimuliakan Allah SWT ialah yang sentiasa berbuat kebaikan dan perkara itu memberi manfaat kepada semua. Manfaat itu tak terhad pada memberi sesuatu dengan harta, barangan atau pertolongan sahaja betul tak ustaz? Ada yang se
lain daripadanya kan Ustaz??

Jawapan:

Dalam Islam, kebaikan bukan hanya terhad kepada pemberian harta atau material semata-mata. Manfaat yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran dan hadis juga merangkumi perbuatan baik yang memberi kesan positif kepada orang lain dan masyarakat, tidak kira sama ada ia melibatkan harta, kata-kata yang baik, sikap positif, atau doa untuk orang lain. Rasulullah SAW menekankan bahawa manusia yang dimuliakan oleh Allah adalah mereka yang membawa manfaat kepada orang lain dalam berbagai bentuk.

Antaranya: Manfaat melalui perbuatan baik

Rasulullah SAW bersabda:

‌‌‌خَيْرُ ‌النَّاسِ ‌أَنْفَعُهُمْ ‌لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” [HR Tabarani, 5787]

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa berbuat kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain adalah ciri orang yang dimuliakan Allah SWT. Manfaat ini tidak hanya dalam bentuk memberi harta, tetapi juga dalam bentuk membantu orang lain dengan kata-kata yang baik, menyelesaikan masalah, membantu dengan nasihat yang bijak, atau dengan menyebarkan ilmu.

Manfaat melalui ilmu

Salah satu bentuk manfaat yang besar adalah dengan menyebarkan ilmu. Rasulullah SAW bersabda:

«‌إِذَا ‌مَاتَ ‌الْإِنْسَانُ ‌انْقَطَعَ ‌عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ:» صَدَقَةٌ جَارِيَةٌ، وَعِلْمٌ يُنْتَفَعُ بِهِ، وَوَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, atau anak yang soleh yang mendoakannya.” [HR Tirmizi, 1376]

Orang yang menyebarkan ilmu akan diganjari pahala yang berterusan, selagi ilmu yang disampaikan diamalkan dan memberi manfaat kepada orang lain Bahkan, pahala akan terus mengalir meskipun dia telah meninggal dunia, kerana ilmu yang bermanfaat itu terus dipraktikkan oleh orang yang belajar darinya.

Manfaat melalui doa untuk orang lain

Nabi SAW bersabda:

‌دَعْوَةُ ‌الْمَرْءِ ‌الْمُسْلِمِ ‌لِأَخِيهِ ‌بِظَهْرِ ‌الْغَيْبِ ‌مُسْتَجَابَةٌ

Maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya di belakangnya (tanpa pengetahuan saudaranya) akan dikabulkan.” [HR Muslim, 2733]

Seorang Muslim yang berdoa untuk saudaranya yang lain, doa tersebut mustajab (dikabulkan), dan ini membawa manfaat besar. Doa seperti ini menunjukkan rasa kasih sayang dan keprihatinan sesama Muslim, serta menjadi amalan yang sangat digalakkan dalam Islam. Kesimpulannya, dalam Islam, kebaikan dan manfaat tidak terhad kepada pemberian harta semata-mata. Sebaliknya, ia merangkumi segala perbuatan baik yang memberi kesan positif kepada orang lain, sama ada melalui kata-kata yang baik, nasihat, ilmu, atau doa. Oleh itu, marilah kita berusaha untuk menjadi umat yang bermanfaat, dengan membantu sesama kita melalui ilmu, doa, dan tindakan baik yang membawa kebaikan kepada masyarakat.

Soalan 2

Assalamualaikum ustaz dan dai..Ustaz, kalau di jalan raya kita nampak orang tgh susah, contoh tayar pancit, tapi kita rushing nak ke destinasi. Situasi begini, apa cara terbaik, adakah terus tolong atau mcm mne ustaz?

Jawapan:

Islam bukan sekadar agama ibadah ritual, tetapi agama yang mendidik umatnya dengan nilai kasih sayang, keprihatinan, dan semangat tolong-menolong. Prinsip ini bukan hanya akhlak mulia, bahkan ia adalah tuntutan syariat. Seorang Muslim tidak seharusnya bersikap acuh tak acuh apabila melihat orang lain berada dalam kesusahan.

Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” [Surah al-Maidah, ayat 2]

Ayat ini menegaskan bahawa menolong sesama manusia adalah amalan mulia, terutama apabila mereka berada dalam kesusahan atau kesempitan. Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

لَا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya: “Tidak ada kebaikan pada banyak bisikan mereka, kecuali orang yang menyuruh kepada sedekah, atau berbuat kebaikan, atau mengadakan perdamaian antara manusia.” [Surah al-Nisa’, ayat 114]

Dalam situasi di jalan raya, hukum membantu bergantung kepada keadaan. Jika keadaan darurat, seperti kemalangan, ancaman keselamatan, atau seseorang yang tidak mampu menyelamatkan dirinya, maka hukumnya wajib bagi sesiapa yang mampu untuk memberi pertolongan. Mengabaikan dalam keadaan ini boleh dianggap berdosa kerana meninggalkan kewajipan menolong sesama Muslim.

Jika keadaan bukan darurat, seperti tayar pancit atau kerosakan kecil, maka hukumnya sunat untuk membantu. Sangat digalakkan untuk kita membantu orang di dalam kesusahan, kerana Nabi SAW menjanjikan bahawa orang yang membantu, akan dibantu di hari akhirat. Nabi SAW bersabda:

«‌مَنْ ‌نَفَّسَ ‌عَنْ ‌مُسْلِمٍ ‌كُرْبَةً ‌مِنْ ‌كُرَبِ ‌الدُّنْيَا، ‌نَفَّسَ ‌اللَّهُ ‌عَنْهُ ‌كُرْبَةً ‌مِنْ ‌كُرَبِ ‌يَوْمِ ‌الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan daripada seorang Muslim di dunia, Allah akan lepaskan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan hari kiamat.” [HR Ibn Majah, 225]

Kesimpulannya, membantu orang yang ditimpa kesusahan di jalan raya adalah sebahagian daripada tuntutan Islam. Jika situasi darurat, maka wajib membantu; jika tidak darurat, ia tetap amalan sunat yang sangat besar ganjarannya. Bantuan yang diberi bukan sahaja meringankan beban orang lain, tetapi menjadi sebab Allah memudahkan urusan kita di dunia dan di akhirat.

Soalan 3

Assalamualaikum.. Ustaz, kalau kita ada lebihan rezeki, lebih baik guna untuk keluarga dulu atau sedekah dulu? Mana yang lebih utama dalam kebaikan?

Jawapan:

Dalam Islam, rezeki yang dimiliki oleh seseorang bukanlah milik peribadi semata-mata, sebaliknya ia adalah amanah daripada Allah SWT. Sebab itu cara membelanjakan harta amat penting kerana ia akan dipersoalkan di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda:

«‌لَا ‌تَزُولُ ‌قَدَمَا ‌عَبْدٍ ‌يَوْمَ ‌القِيَامَةِ ‌حَتَّى ‌يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ، وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ، وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ

Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba itu melangkah pada Hari Kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya; tentang ilmunya, bagaimana dia mengamalkannya; tentang hartanya, dari mana dia memperolehnya dan ke mana dia membelanjakannya; dan tentang tubuhnya, bagaimana dia merawatnya.” [HR Tirmizi, 2417]

Hadis ini menjelaskan bahawa soal harta bukan sahaja pada bagaimana ia diperoleh, tetapi juga bagaimana ia digunakan. Al-Quran memberi garis panduan jelas tentang keutamaan nafkah. Allah SWT berfirman:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلْ مَا أَنفَقْتُم مِّنْ خَيْرٍ فَلِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), apakah yang mereka nafkahkan? Katakanlah: apa sahaja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, dan orang yang dalam perjalanan.” [Surah al-Baqarah, ayat 215]

Ayat ini bukan sekadar panduan, tetapi prinsip asas dalam pengurusan kewangan seorang Muslim. Ia menunjukkan bahawa nafkah kepada keluarga adalah tanggungjawab utama, kemudian barulah lebihan harta dialirkan kepada golongan lain.

Rasulullah SAW turut menegaskan perkara ini dalam sebuah hadis:

‌دِينَارٌ ‌أَنْفَقْتَهُ ‌فِي ‌سَبِيلِ ‌اللهِ، ‌وَدِينَارٌ ‌أَنْفَقْتَهُ ‌فِي ‌رَقَبَةٍ، ‌وَدِينَارٌ ‌تَصَدَّقْتَ ‌بِهِ ‌عَلَى ‌مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Maksudnya: “Satu dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, satu dinar untuk membebaskan hamba, satu dinar engkau sedekahkan kepada orang miskin, dan satu dinar engkau belanjakan untuk keluargamu yang paling besar pahalanya ialah yang engkau belanjakan untuk keluargamu.” [HR Muslim, 995]

Hadis ini mengangkat kedudukan nafkah keluarga sebagai amalan paling utama kerana ia menggabungkan dua aspek sekaligus: menunaikan kewajipan dan memperoleh pahala sedekah. Kesimpulannya, Islam mendidik umatnya agar menyusun perbelanjaan dengan tertib: keluarga dahulu kerana itu kewajipan, kemudian masyarakat kerana itu kelebihan.

Soalan 4

Assalamualaikum ustaz dan dai yang dihormati. Ada orang takut mula buat baik sebab risau orang ambil kesempatan atau fikir dia berlagak baik. Apa panduan Nabi atau sahabat dalam mendidik diri supaya yakin dan istiqamah buat kebaikan dulu?

Jawapan:

Ketakutan untuk memulakan kebaikan kerana risau dipandang serong adalah ujian bisikan hati. Nabi SAW telah memberi panduan bahawa ukuran amal bukanlah penilaian manusia, tetapi redha Allah. Sabda Baginda:

من التمس رِضا اللهِ بسخَطِ الناسِ ؛ رضِيَ اللهُ عنه ، وأرْضى عنه الناسَ ، ومن التَمس رضا الناسِ بسخَطِ اللهِ ، سخِط اللهُ عليه ، وأسخَط عليه الناسَ

Maksudnya : “Barang siapa yang mencari redha Allah dengan kemurkaan manusia, maka Allah akan mencukupkannya daripada manusia. Dan barang siapa mencari redha manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkan dia kepada manusia.” [HR Tirmizi, 2414]

Para sahabat juga pernah berdepan dengan perasaan serupa. Perkara ini menekankan bahawa yang utama ialah kejujuran hati dalam beramal. Jika seseorang benar-benar jujur ingin mendekatkan diri kepada Allah, maka kebimbangan tentang persepsi manusia akan reda kerana ia hanya bayangan hawa nafsu dan syaitan.

Antara tipu daya syaitan ialah menakut-nakutkan orang beriman untuk beramal. Syaitan akan membisik: “Kalau engkau buat kebaikan, orang akan kata riya’; kalau engkau istiqamah, orang kata engkau pura-pura alim.” Ini menyebabkan seseorang meninggalkan amal. Hakikatnya, meninggalkan amal kerana takut dikatakan riya’ lebih berat mudaratnya berbanding terus beramal sambil memperbaiki niat.

Tipu daya syaitan kepada beberapa peringkat: Orang jahil : Syaitan menipu dengan kelalaian Orang alim dan soleh : Syaitan menipu dengan keraguan niat. Ini bermakna semakin tinggi darjat iman seseorang, semakin halus tipu daya syaitan. Maka, bila hati takut dipandang riya’, itu sebenarnya tanda bahawa jiwa perlu muraqabah dan muhasabah dan bukan berhenti beramal.

Kesimpulannya, istiqamah dalam kebaikan mesti disertai ilmu dan kesedaran tentang permainan iblis. Buatlah kebaikan dengan tenang, betulkan niat setiap kali, dan jika datang rasa waswas, bacalah muawwizat.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Maksudnya : Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sedari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui. [HR Abu Ya’li, 61]

Soalan 5

Assalamualaikum ustaz dan dai… soalan saya..kalau kita rajin buat amal kebajikan luar, tapi dalam rumah tangga sendiri kurang tolong isteri atau anak-anak, adakah itu dikira tak seimbang dalam kebaikan ustaz?

Jawapan:

Dalam Islam, keseimbangan dalam beramal adalah sesuatu yang sangat dituntut. Kita mesti seimbang dalam segala aspek kehidupan, termasuk antara beramal di luar dan di dalam rumah. Tugas mendidik dan menjaga keluarga adalah tanggungjawab yang sangat besar dalam Islam. Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam banyak hadis tentang pentingnya memberi perhatian kepada keluarga. Ini menunjukkan bahawa amal kebajikan dalam rumah tangga adalah kebaikan yang tidak boleh dipandang ringan. Sabda Baginda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya : “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.” [HR Tirmizi, 3895]

Amal yang terbaik adalah yang dilakukan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah, baik itu di luar atau di dalam rumah. Namun, apabila kita memberi lebih tumpuan kepada amal luar dan mengabaikan keluarga, itu menunjukkan ketidakseimbangan yang boleh memberi kesan negatif kepada hubungan keluarga dan kepada keimanan kita.

ليس منا من لم يرحمْ صغيرَنا ، ويُوَقِّرْ كبيرَنا

Maksudnya : “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.” [HR Tirmizi, 1920]

Syaitan sering kali cuba menggoda umat Islam dengan membiarkan mereka sibuk beramal di luar sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lebih penting di rumah. Sedangkan al-Quran menyebut membantu keluarga lebih utama.

وَءَاتَى ٱلْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينَ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ

Maksudnya : “dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi;.” [Surah al-Baqarah, 177]

Oleh itu, kita mesti menjaga keseimbangan antara kedua-duanya, memastikan keluarga mendapat hak mereka dan pada masa yang sama berusaha untuk melakukan kebajikan di luar rumah, kerana kedua-duanya adalah amal yang dicintai oleh Allah SWT.

Soalan 6

Assalamualaikum ustaz dan dai… Ustaz,kebaikan yang kita buat boleh ke cerita dkt orang dengan tujuan nak orang ambil contoh? atau lebih baik diam je? Mcm mne ya ustaz?

Jawapan:

Setiap Muslim tentu ingin amal kebaikannya diterima dan diberkati Allah SWT. Namun, persoalan timbul sama ada kebaikan yang dilakukan boleh diceritakan kepada orang lain, terutama untuk dijadikan teladan, atau lebih baik diam sahaja. Isu ini penting kerana ia berkait dengan keikhlasan (ikhlas) dalam beramal, iaitu melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah SWT, bukan untuk mendapat pujian manusia. Firman Allah SWT:

وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنفُسِكُمْ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu infakkan (belanjakan) daripada kebaikan, ia untuk dirimu sendiri; dan kamu tidak menafkannya melainkan untuk mencari keredaan Allah.” [Surah al-Baqarah, ayat 272]

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niatnya, dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya.” [HR al-Bukhari, 54]

Pepatah Arab:

اعمل الخير وارميه في البحر

Maksudnya: “Buat kebaikan, lempar ke laut.” [Kitab al-Hikam oleh Ibn ‘Ata’illah al-Iskandari, hlm. 127]

Kita fahami bahawa kita perlu lakukan amal baik secara ikhlas tanpa mengharapkan pujian atau balasan manusia. Namun Allah SWT juga yang akan membalasya, sebagaimana, barang yang dicampakkan ke laut, akhirnya akan dibawa semula ke persisiran pantai setelah dipukul ombak. Amal yang dilakukan secara ikhlas bagaikan dilupakan dunia, namun ganjaran di sisi Allah tetap kekal dan pasti tidak disia-siakan. Dalam kehidupan harian, menceritakan amal kebaikan untuk memberi teladan dibolehkan selagi niat tetap ikhlas — iaitu untuk mendidik, memberi inspirasi atau menyebarkan kebaikan, bukan untuk riak atau pujian. Imam al-Nawawi dalam al-Majmū‘ menyebut:

لَا يُبْنَى الْعَمَلُ لِرِجَالٍ وَاحِدٍ، بَلْ لِلَّهِ وَالْإِخْلَاصِ

Maksudnya: “Amal tidak dibina untuk manusia, tetapi untuk Allah dan keikhlasan.” [Rujukan: al-Majmū‘ Syarh al-Muhazzab, jil. 4, hlm. 312]

Jika niat sudah tercemar dengan riak, walaupun secara luaran nampak baik, amal itu boleh menjadi sia-sia. Contohnya: Membantu jiran dan menceritakan kisah tersebut untuk inspirasi dibolehkan. Membantu jiran tetapi menceritakan hanya untuk dipuji manusia, tidak dibolehkan. Dalam dakwah, menceritakan amal orang lain tanpa menyebut nama boleh dijadikan teladan, selagi hati bebas dari riak. Kesimpulannya, amal baik seharusnya dilakukan dengan ikhlas untuk Allah SWT. Berkongsi kebaikan dibolehkan jika bertujuan mendidik atau memberi inspirasi, namun diam lebih afdhal kerana pahala tidak berkurang dan hati bebas dari riak. Pepatah Arab اعمل الخير وارميه البحر mengingatkan bahawa amal yang ikhlas seperti dilupakan dunia, tetapi ganjaran Allah tetap kekal. Prinsip ini selari dengan Al-Quran, Hadis Nabi SAW, dan pandangan ulama salaf, termasuk dalam Kitab al-Hikam.

Soalan 7

Assalamualaikum ustaz dan dai. Macam mana cara nak membalas budi baik dan kebaikan sahabat bukan Islam pada kita adakah cukup dengan kita mendoakan hidayah padanya?

Jawapan:

Dalam Islam, membalas kebaikan bukan Islam tidaklah terbatas hanya kepada ucapan atau hadiah, tetapi doa yang ikhlas untuk hidayah dan kebaikan mereka merupakan salah satu cara paling mulia dan utama. Nabi SAW sendiri memberi contoh kasih dan usaha yang tiada tara terhadap insan yang baginda sayangi walaupun mereka bukan beriman. Kisah Abu Talib, bapa saudara Nabi SAW , menjadi teladan yang jelas. Ketika hampir wafat, Nabi SAW menziarahi beliau dan berkata:

«أيْ عَمِّ، قُلْ: لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، كَلِمَةً أُحَاجُّ لَكَ بهَا عِنْدَ اللَّهِ»

Maksudnya: “Wahai bapa saudaraku, ucapkanlah: Lā ilāha illallāh, satu kalimah yang dengannya aku akan berhujah untukmu di sisi Allah.” [HR al-Bukhari, 3884]

Namun, Abu Talib menolak dan tetap di atas agama Abdul Muttalib. Walaupun demikian, Nabi SAW tetap mendoakan beliau:

«لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْه»

Maksudnya: “Aku akan terus memohonkan ampun untukmu selagi aku tidak dilarang.” [HR al-Bukhari, 3884]

Kemudian Allah menurunkan firman-Nya:

{مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى}

Maksudnya: “Tidaklah patut bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memohon ampun bagi orang musyrik, walaupun mereka kaum kerabat, setelah nyata bagi mereka bahawa mereka itu penghuni neraka jahanam.” [Surah al-Taubah, ayat 113]

Dan Allah juga berfirman:

{إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ}

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak dapat memberi hidayah kepada siapa yang engkau cintai, tetapi Allah memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.” [Surah al-Qasas, ayat 56]

Daripada kisah ini, kita dapat mengambil pengajaran bahawa walaupun kita sangat menyayangi atau menghormati seseorang, hidayah hati adalah hak mutlak Allah. Usaha manusia hanyalah dalam bentuk nasihat, teguran, dan doa yang ikhlas. Nabi SAW berusaha sehingga saat akhir hayat Abu Talib, namun Allah yang menentukan hasilnya. Ini menunjukkan bahawa sekadar doa ikhlas untuk hidayah dan kebaikan sahabat bukan Islam sudah mencukupi sebagai tanda penghargaan dan balasan kebaikan, kerana usaha kita disertai dengan tawakal dan menyerahkan hasilnya kepada Allah.

Selain itu, kisah ini juga mengingatkan kita tentang pentingnya berhati-hati dengan pengaruh orang sekeliling. Abu Talib dikelilingi oleh sesiapa yang menasihati ke arah salah, tetapi Allah tetap menunjukkan jalan kepada mereka yang Dia kehendaki. Bagi kita, menjaga persahabatan dengan penuh hikmah, menghindari persahabatan yang membawa kepada kemudaratan, serta mendoakan kebaikan, adalah manifestasi balasan kebaikan yang paling murni.

Kesimpulannya, membalas budi sahabat bukan Islam tidak terhad kepada tindakan duniawi semata. Doa ikhlas untuk hidayah, kebaikan, keselamatan, dan rahmat mereka sudah menjadi amalan yang paling utama. Kita tidak berhak memaksa hati manusia untuk menerima kebenaran, tetapi kita boleh terus berdoa dan menyerahkan urusan hati mereka kepada Allah, yang Maha Mengetahui dan Maha Memberi Hidayah.

Scroll to Top