ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

kaya yang sebenar
SOALAN PENONTON — Kaya & Jiwa

SOALAN PENONTON

1.

Soalan: Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah maksud sebenar “kaya” dalam hidup kita hari ini, adakah ia masih sekadar jumlah dalam bank?

Jawapan: Apabila kita berbicara tentang kekayaan, lazimnya masyarakat akan membayangkan rumah besar, kereta mewah, simpanan yang banyak di bank, dan status sosial yang tinggi. Namun, perspektif Islam terhadap kekayaan jauh lebih mendalam dan menyentuh aspek spiritual yang sering terlepas pandang. Islam tidak menolak harta benda, bahkan mengiktiraf kepentingannya dalam kehidupan. Namun, Rasulullah SAW memberi penekanan bahawa kekayaan sebenar bukanlah terletak pada kuantiti harta, tetapi pada keadaan jiwa seseorang. Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa.” [HR Bukhari, 6454]

Abu Sulaiman al-Khattabi menjelaskan makna ‘al-‘araḍ’:

العرض: مفتوحة الراء، واحد أعراض الدنيا، وهو كل ما ينفع به من عرض متاعها وحطامها

Maksudnya: العَرَض (dengan ra’ dibaca fathah): Satu bentuk jamak kepada ‘a‘rāḍ’ (أعراض), iaitu segala perkara daripada dunia, merangkumi segala jenis kesenangan dan harta benda duniawi, yang menjadi perhiasan serta sesuatu yang manusia ambil manfaat daripadanya, seperti harta, kekayaan dan kemewahan dunia.” [Rujuk: A‘lām al-Hadith, jld. 3, hlm. 2245]

Perkataan ‘al-‘araḍ’ merujuk kepada segala bentuk harta dunia. Namun Baginda SAW menegaskan bahawa "ghinā an-nafs" iaitu jiwa yang merasa cukup dan lapang dada. Ini memberi gambaran bahawa orang yang hidup sederhana pun boleh menjadi ‘kaya sebenar’ jika dia memiliki hati yang penuh dengan syukur dan reda.

Orang yang memiliki kekayaan jiwa tidak terikat dengan dunia. Mereka tidak dikuasai oleh ketamakan, tetap tenang walau diuji, suka memberi walau memiliki sedikit, dan hidup bahagia tanpa perlu perhatian atau pengiktirafan manusia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid menegaskan prinsip ini:

لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَال فَخُورٍ

Maksudnya: “Supaya kamu tidak bersedih terhadap apa yang terlepas daripadamu dan tidak terlalu gembira dengan apa yang diberikan kepadamu. Dan Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri.” [Surah al-Hadid, ayat 23]

Menariknya, data daripada Global Happiness Report 2024 menunjukkan bahawa negara-negara dengan pendapatan tertinggi seperti Amerika Syarikat bukanlah yang mencatat kadar kebahagiaan tertinggi. Penurunan ini dikaitkan dengan penurunan tahap kebahagiaan dalam kalangan golongan muda di Amerika Utara, yang kini dilaporkan kurang bahagia berbanding golongan tua. Ini menunjukkan bahawa harta tidak menjamin kebahagiaan atau ketenangan jiwa.

Kesimpulannya, maksud kekayaan sebenar dalam Islam kesyukuran dan kecukupan. Ia tidak diukur dengan wang ringgit atau emas dan perak, sebaliknya ia diukur dengan jumlah syukur dalam hati.

2.

Soalan: Assalamualaikum ustaz dan dai. Apa pentingnya kaya jiwa, kalau benda tu tak nampak pun dengan mata kasar dan tak boleh diukur macam gaji atau aset?

Jawapan: Dunia yang penuh metrik dan prestasi. Kita dikelilingi oleh budaya perbandingan, perlumbaan, dan pencapaian yang dinilai melalui angka: pendapatan, aset, nilai rumah, dan anak-anak dan sebagainya. Firman Allah SWT:

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. [Surah al-Hadid, ayat 20]

Namun Islam mengajar kita untuk melihat lebih dalam: bahawa nilai manusia bukan pada apa yang dia pegang, tapi pada apa yang mengisi hatinya. Kaya jiwa mungkin tak dapat dilihat, tapi ia mencorak seluruh kualiti hidup kita. Kaya jiwa adalah ketika seseorang merasa cukup walaupun sedikit, tetap tenang walau diuji, dan tidak bergantung pada manusia untuk rasa bahagia. Allah SWT memberi peringatan kepada Nabi SAW:

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau memandang dengan rasa ingin kepada apa yang Kami berikan kepada beberapa golongan daripada mereka berupa perhiasan kehidupan dunia.” [Surah Taha, ayat 131]

Ayat ini menunjukkan bahawa walaupun dunia itu menarik dan mewah, kita diminta jangan memandangnya dengan hasrat berlebihan. Sebab itu, kaya jiwa adalah penawar kepada penyakit ‘tak puas’.

Kekuatan jiwa turut membentuk akhlak yang tinggi. Pada tahun kesembilan Hijrah, berlakunya Perang Tabuk, dan perjalanan ke Tabuk sangat jauh, kira-kira 700 kilometer dari Madinah. Sebuah peperangan menentang kuasa besar dunia, iaitu Empayar Rom di Syam. Antara nama peperangan tabuk adalah perang al-'Usrah (العسرة) iaitu kesulitan / kesusahan. Dinamakan dengan perang al-'Usrah (العسرة) kerana umat Islam berhadapan dengan pelbagai kesusahan seperti: Musim panas yang dahsyat. Perjalanan yang jauh. Kekurangangan bekalan, peralatan, dana dan haiwan tunggangan. Ramai golongan munafik yang berpatah balik

Para sahabat merebut peluang ini, khususnya mereka yang memiliki harta lebih banyak daripada yang lain, untuk infaq segala harta mereka. Antara yang berinfaq adalah:

Abu Bakar as-Siddiq RA
Membawa semua hartanya, hanya meninggalkan Allah dan Rasul-Nya untuk keluarganya.
Jumlah: 4,000 dirham.
Orang pertama yang datang membawa sedekah.

Umar ibn al-Khattab RA
Menyumbang separuh daripada keseluruhan hartanya.

Uthman bin Affan RA
Menyediakan 200 ekor unta lengkap + 200 uqiyah perak untuk misi ke Syam.
Menambah lagi 100 ekor unta lengkap.
Membawa 1,000 dinar emas, lalu mencurahkannya di hadapan Rasulullah SAW.

Abdul Rahman bin Auf RA
Menyumbang 200 uqiyah perak.

Sahabat-sahabat lain:
Talhah, Sa‘ad bin Ubadah, Muhammad bin Maslamah: menyumbang harta mereka.
Asim bin Adiyy: membawa 90 ausuq kurma (kira-kira 2700kg).

Orang Awam & Wanita
Ramai rakyat jelata menyumbang mengikut kemampuan — secupak atau dua cupak.
Kaum wanita menyumbang barang kemas seperti gelang, rantai, dan cincin.

Mereka yang miskin jiwa, walaupun kaya harta, tetap hidup dalam tekanan, takut kehilangan dan sentiasa merasa tidak cukup. Dalam kajian oleh Daniel Kahneman dan Angus Deaton (2010), mereka mendapati bahawa kebahagiaan seseorang tidak meningkat secara konsisten selepas pendapatan mencecah tahap tertentu (USD 75,000/tahun di Amerika). Ini selari dengan konsep qana’ah dalam Islam bahawa ketenangan tidak bertambah dengan harta, tetapi dengan hati yang lapang.

Nabi SAW bersabda:

‌قَدْ ‌أَفْلَحَ ‌مَنْ ‌أَسْلَمَ ‌وَرُزِقَ ‌كَفَافًا، ‌وَقَنَّعَهُ ‌اللهُ ‌بِمَا ‌آتَاهُ

Maksudnya: “Sungguh telah berjaya orang yang memeluk Islam, diberi rezeki sekadar cukup, dan Allah jadikan dia merasa puas dengan apa yang dikurniakan kepadanya.” [HR Muslim, 1054]

Kesimpulannya, kaya jiwa memberi makna kepada hidup, menghaluskan akhlak, menguatkan jiwa ketika susah, dan meletakkan kita pada kedudukan mulia di sisi Tuhan walaupun mungkin kita tidak dikenali di sisi manusia.

2541: Pengorbanan Sahabat Dalam Berinfak Pada Perang Tabuk

3.

Soalan: Assalamualaikum ustaz dan dai. Adakah salah untuk menjadi kaya dalam Islam atau sebenarnya yang salah ialah apabila kekayaan itu menjadi tujuan hidup?

Jawapan: Menjadi kaya dalam Islam bukan satu kesalahan, bahkan dalam banyak keadaan, ia dianjurkan dan dipuji jika kekayaan itu diperoleh melalui jalan yang halal dan digunakan untuk tujuan yang benar. Namun, yang dilarang oleh Islam ialah menjadikan kekayaan sebagai tujuan hidup utama sehingga melalaikan seseorang daripada akhirat dan tanggungjawab agama. Ramai sahabat Nabi SAW yang kaya dan dipuji oleh Baginda kerana mereka tidak diperhambakan oleh harta. Antaranya: Abu Bakar al-Siddiq RA – kaya dan banyak membelanjakan hartanya untuk Islam. Abdurrahman bin ‘Auf RA – sangat kaya tetapi zuhud, dan Nabi SAW pernah mendoakan keberkatan hartanya.

Rasulullah SAW sendiri bersabda:

نِعْمَ الْمَالُ الصَّالِحُ لِلرَّجُلِ الصَّالِحِ

Maksudnya: “Sebaik-baik harta ialah harta yang berada di tangan orang soleh.” [HR Ahmad, 17207]

Ini bermaksud bahawa kekayaan yang berada dalam genggaman orang yang beriman dan bertakwa adalah satu kebaikan, kerana ia dapat digunakan untuk membantu orang lain, membina masyarakat dan memperkukuh agama. Para sahabat yang dinyatakan tadi seperti Abu Bakar, Abdul Rahman bin ‘Auf RA adalah contoh sahabat Nabi SAW yang sangat kaya, namun zuhud dan dermawan, serta tidak menjadikan dunia sebagai matlamat utama.

Islam tidak melarang mencari kekayaan, tetapi melarang menjadikan dunia sebagai matlamat utama hidup, hingga melalaikan akhirat. Firman Allah SWT:

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ. أُولَئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan berikan balasan penuh atas amal mereka di dunia, dan mereka tidak dirugikan. Tetapi di akhirat, mereka tidak mendapat apa-apa selain neraka.” [Surah Hud: ayat 15–16]

Nabi SAW juga mengingatkan:

تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ وَالدِّرْهَمِ

Maksudnya: “Celakalah hamba dinar dan dirham (wang)” [HR al-Bukhari, 2887]

Istilah “hamba” di sini merujuk kepada orang yang diperhambakan oleh harta, iaitu apabila harta menjadi tujuan hidup, bukan alat untuk menuju Allah. Inilah yang ditegaskan juga dalam salah satu doa yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW di akhir majlis, di mana Baginda berdoa agar umatnya tidak diperhambakan oleh dunia:

قَلَّما كانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَقُومُ مِن مَجْلِسٍ حتَّى يَدْعُوَ بهؤلاءِ الدَّعَوَاتِ لِأَصْحَابِهِ: اللَّهُمَّ اقْسِمْ لَنَا مِن خَشْيَتِكَ ما تَحُولُ به بَيْنَنَا وبَيْنَ مَعَاصِيكَ، وَمِن طَاعَتِكَ ما تُبَلِّغُنَا به جَنَّتَكَ، وَمِنَ اليَقِينِ ما تُهَوِّنُ به عَلَيْنَا مُصِيبَاتِ الدُّنْيَا، اللَّهُمَّ مَتِّعْنَا بأسْمَاعِنَا، وأَبْصَارِنَا، وَقُوَّتِنَا ما أَحْيَيْتَنَا، وَاجْعَلْهُ الوَارِثَ مِنَّا، وَاجْعَلْ ثَأْرَنَا علَى مَن ظَلَمَنَا، وَانْصُرْنَا علَى مَن عَادَانَا، وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا في دِينِنَا، وَلَا تَجْعَلِ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمِّنَا، وَلَا مَبْلَغَ عِلْمِنَا، وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَن لَا يَرْحَمُنَا.

Maksudnya: "Jarang sekali Rasulullah SAW bangkit dari suatu majlis melainkan Baginda akan berdoa dengan doa ini untuk para sahabatnya:" "Ya Allah, kurniakan kami sebahagian rasa takut kepada-Mu yang agar menjadi penghalang antara kami dan maksiat kepada-Mu, dan (kurniakan) kepada kami ketaatan agar membantu kami ke syurga-Mu, dan (kurniakan) keyakinan yang membantu meringankan musibah-musibah yang menimpa kami di dunia ini. Ya Allah, berikanlah kami nikmat pendengaran, penglihatan dan tenaga kuderat kami selama kami hidup, jadikan ia (nikmat-nikmat itu) sebagai warisan kami, dan balaskan dendam kami ke atas orang yang menzalimi kami, dan bantulah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Janganlah Engkau uji kami dengan musibah pada agama kami, dan jangan Engkau jadikan dunia sebagai perkara paling penting dalam hidup kami, atau had ilmu pengetahuan kami, dan jangan Engkau beri kekuasaan kepada mereka yang tidak mengasihani kami." [HR Tirmizi, 3502]

Kesimpulannya, Islam tidak menolak kekayaan, bahkan mengiktirafnya sebagai satu nikmat dan amanah. Yang salah ialah apabila kekayaan menjadi “Tuhan” dalam hati, menjadi penghalang kepada ibadah dan menyebabkan seseorang hilang arah. Maka, kaya tidak berdosa. Tetapi jadilah orang kaya yang takut kepada Allah, yang menjadikan harta sebagai laluan ke syurga, bukan penghalang ke sana.

4.

Soalan: Assalamualaikum ustaz dan dai. Bolehkah budaya ‘side income’, ‘grind culture’ dan ‘hustle mindset’ yang semakin popular kini membawa kita kepada tenang atau menjauhkan kita dari sifat merasa cukup?

Jawapan: Soalan ini sangat relevan dengan gaya hidup moden — di mana budaya side income, grind culture, dan hustle mindset bukan sahaja popular, malah sering dianggap lambang kejayaan dan kemajuan. Namun, dari sudut pandang Islam, isu ini tidak dinilai berdasarkan semangat bekerja semata-mata, tetapi berdasarkan niat, keseimbangan, dan kesan terhadap hati. Budaya Hustle: Islam tidak melarang bekerja keras atau mencari pendapatan tambahan. Bahkan, dalam banyak hadis, Nabi SAW memuji orang yang berusaha dengan tangan sendiri, berdikari dan tidak meminta-minta.

لَأَنْ يَحْتَطِبَ أَحَدُكُمْ حُزْمَةً عَلَى ظَهْرِهِ، خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ أَحَدًا فَيُعْطِيَهُ أَوْ يَمْنَعَهُ

Maksudnya: “Seseorang daripada kamu memikul kayu api di atas belakangnya (untuk dijual) itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada orang lain.” [Riwayat al-Bukhari, 2074]

Namun, budaya kerja keras yang keterlaluan, hingga menyempitkan waktu untuk ibadah, keluarga, rehat dan refleksi, akan mengundang kesan psikospiritual yang merosakkan. Ia menjadikan manusia terlalu bergantung pada usaha, hingga hilang rasa tawakal dan membunuh sifat qana’ah (merasa cukup).

Qana’ah: kunci ketenangan yang hilang dalam budaya 'grind'. Budaya ini yang tidak terkawal akan menyebabkan hati sentiasa rasa tidak cukup. Bila satu matlamat tercapai, muncul matlamat lain. Ini disebut oleh Ibn al-Qayyim sebagai “perhambaan kepada dunia dalam bentuk yang tidak disedari” — di mana seseorang merasa letih mengejar sesuatu yang tidak pernah cukup. Inilah bentuk “perhambaan tidak disedari” — ia menyamar dalam bentuk kerja, rezeki, usaha, tetapi hati tidak lagi bergantung pada Allah. Sedangkan Islam mengajar bahawa tenang itu bukan apabila kita memiliki semua, tetapi apabila kita redha dengan apa yang ada.

متى رأيت القلب يشتكي ضيقًا و همًّا و غمًّا و عدم لذة العبادة، فاعلم أن فيه تعلقًا بالدنيا أو غفلة عن الله

Maksudnya: "Apabila engkau melihat hati mengadu sempit, risau, gelisah, dan tiada kelazatan dalam ibadah, ketahuilah bahawa hati itu telah terikat dengan dunia atau sedang lalai daripada Allah." [Ibn al-Qayyim, al-Fawā’id, hlm. 147–148]

Keseimbangan: Jalan Pertengahan Antara Usaha dan Ketundukan. Islam bukan agama yang menyuruh kita malas, tetapi juga bukan agama yang menyuruh kita bekerja tanpa henti hingga melupakan diri dan akhirat.

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ، وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Carilah dengan apa yang Allah kurniakan padamu (kekayaan) itu akan negeri akhirat, dan jangan lupakan bahagianmu di dunia.” [Surah al-Qasas, ayat 77]

Ayat ini menjadi neraca: berusaha itu perlu, tetapi jangan sampai kita lupa bahawa dunia ini hanya alat — bukan matlamat. Baginda SAW sendiri hidup secara seimbang, bekerja, berdakwah, beribadah, berehat, bergurau, dan menjaga hubungan sosial. Baginda tidak pernah mengajar umat untuk bekerja hingga lalai dari zikir, tidur 3 jam, dan bekerja 20 jam demi mengejar dunia.

Kesimpulan: Budaya side income, grind culture, dan hustle mindset boleh menjadi wasilah yang bermanfaat jika: Ia disertai niat yang betul (nafkah keluarga, bantu ummah, berdikari) Ia seimbang dengan ibadah, rehat, dan masa untuk jiwa Ia tidak menafikan qana’ah dan tawakal Ia tidak menjadikan dunia sebagai ukuran harga diri Namun, apabila budaya ini menjadikan manusia hamba kepada kerja dan duit, serta menjauhkan dia dari rasa cukup, zikir, rehat, dan akhirat — maka ia membawa kepada kebinasaan jiwa, bukan kejayaan hakiki.

5.

Soalan: Assalamualaikum ustaz dan dai. Saya selalu tak tenang dan banyak hutang… tapi gaji besar, kenapa rasa tak cukup-cukup juga?

Jawapan: Rezeki daripada Allah bukan semata-mata soal kira-kira matematik. Pada logik kiraan manusia, kita mungkin melihat jumlah sekian ialah banyak dan cukup, tetapi hakikatnya tidak mencukupi. Begitu juga kemungkinan kita melihat jumlah sekian sangat sedikit, tetapi ia mampu mencukupkan keperluan seseorang. Dari beberapa ayat al-Quran yang menyebutkan tentang rezeki, jelas bahawa aturan rezeki ialah sesuatu yang berada dalam kekuasaan Allah. Allah melapangkan atau menyempitkan rezeki bagi siapa yang Allah kehendaki.

إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرًۢا بَصِيرًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” [Surah al-Isra’, ayat 30]

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan dalam tafsirnya bahawa Allah ialah Rabb yang mendidik (mengasuh) hamba-Nya, mengurus segala keperluan mereka, serta menghilangkan segala keperluan dan kesusahan mereka mengikut kadar yang sesuai dan hikmah yang tepat. Maka, Allah berkuasa melapangkan rezeki kepada sebahagian orang dan menyempitkannya kepada sebahagian yang lain. Kunci bagi mendapatkan kecukupan rezeki ialah dengan mendapatkan keberkatan daripada Allah. Makna keberkatan ialah زيادة الخير (bertambah kebaikan). Maka, ketika merasa tidak cukup, kita sedari bahawa keberkatan ialah perkara yang belum kita temukan.

Antara pra-syarat mendapatkan keberkatan dalam rezeki:

Takwa kepada Allah. Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya…” [Surah al-A’raf, ayat 96]

Perbanyak taubat dan istighfar.

فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًۭا (10) يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا (11) وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍۢ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّـٰتٍۢ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَـٰرًۭا (12)

Maksudnya: “"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (10) "(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; (11) "Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (12)” [Surah Nuh, ayat 10-12]

Tawakal yang jujur dan benar kepada Allah. Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ

Maksudnya: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya…” [Surah al-Talaq, ayat 3]

Pelihara silaturrahim. Sabda Nabi SAW:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang suka agar dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahimnya.” [HR al-Bukhari, 5986]

Meninggalkan maksiat dan kufur nikmat. Firman Allah SWT: ]

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًۭا قَرْيَةًۭ كَانَتْ ءَامِنَةًۭ مُّطْمَئِنَّةًۭ يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًۭا مِّن كُلِّ مَكَانٍۢ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَٰقَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلْجُوعِ وَٱلْخَوْفِ بِمَا كَانُوا۟ يَصْنَعُونَ

Maksudnya: “Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.” [Surah al-Nahl, ayat 112]

Hasil dari praktis terhadap pra-syarat mendapatkan keberkatan rezeki, secara automatik ia memberi kesan kepada akhlak dan tabiat seseorang dalam menguruskan kewangan (rezeki) yang telah diberikan Allah: Meninggalkan yang haram dan menikmati yang halal dalam urusan pendapatan, pinjaman dan perbelanjaan. Berfikir sebelum berbelanja. Belajar menahan kehendak diri dan nafsu dari sesuatu yang melampaui batas. Tidak menjadikan kemewahan orang lain sebagai kayu ukur perbandingan rezeki.

Ketika kita mengimani bahawa Allah yang Maha Pemberi Rezeki, kita sedar bahawa rezeki bukan hanya tentang gaji yang kita dapatkan. Tetapi rezeki ialah kurniaan yang Allah berikan kepada hamba yang taat dalam bentuk yang pelbagai, yang akhirnya membuat kita merasa cukup dan tidak mengalami kekurangan sedikit pun. Ternyata, ianya ialah rezeki apabila Allah mengurniakan kesihatan yang baik yang memampukan kita bekerja sehari-hari, rezeki dikurniakan ahli keluarga yang soleh dan memahami yang menjadikan kita tidak perlu berhutang untuk memenuhi kehendak kemewahan, rezeki dimudahkan segala urusan harian dari awal hingga akhir yang menyebabkan kita merasa tenang walau tidak hidup mewah. Maka, seberapa besar atau kecil pun pendapatan, akhirnya tetap menjadikan kita sebahagian dari mukmin yang dikagumi Nabi SAW, segala hal baik untuknya. Nabi SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” [HR Muslim, 7692]

Ingatlah bahawa hutang yang banyak, masalah yang besar dan gelisah yang berpanjangan akan berakhir dengan pertolongan Allah buat hambaNya yang taat. Allah berfirman dalam hadis qudsi:

يَا ابْنَ آدَمَ تَفَرَّغْ لِعِبَادَتِي أَمْلأْ صَدْرَكَ غِنًى وَأَسُدَّ فَقْرَكَ وَإِلاَّ تَفْعَلْ مَلأْتُ يَدَيْكَ شُغْلاً وَلَمْ أَسُدَّ فَقْرَكَ

Maksudnnya: “Wahai anak Adam, luangkanlah dirimu untuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku akan penuhi hatimu dengan rasa cukup, dan Aku akan tutup kefakiranmu. Tetapi jika engkau tidak lakukan, nescaya Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan, dan Aku tidak akan menutup kefakiranmu.” [HR al-Tirmizi, 2466]

6.

Soalan: Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah terdapat kisah dalam sejara tentang orang yang diberi kekayaan melimpah, namun bersikap kufur — dan juga kisah mereka yang kaya, tetapi tetap taat dan beriman kepada Allah?

Jawapan: Dalam Al-Quran telah diceritakan kisah Qarun yang kaya tetapi sombong dan kufur kepada Allah. Kisah ini dirakamkan dalam Surah al-Qasas, ayat 76-83. Qarun merupakan kaum Nabi Musa AS. Dia telah diberikan harta yang melimpah ruah dan khazanah yang sangat banyak. Digambarkan kekayaan Qarun ini, kunci gudangnya dibawa oleh lelaki-lelaki yang kuat dalam keadaan berjalan terhuyung-hayang kerana beratnya kunci tersebut. Ini membuktikan bahawa gudang yang dimiliki Qarun sangat banyak, sehingga seluruh kuncinya perlu dipikul oleh ramai orang dan menjadikan mereka berjalan dengan terhuyung-hayang. [Rujuk: Jami’ li Ahkam al-Quran, jld. 13, hlm. 313]

Firman Allah SWT:

إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ ۖ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لَا تَفْرَحْ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).” [Surah al-Qasas, ayat 76]

Namun, Qarun menggunakan hantar tersebut pada jalan kesombongan dan kezaliman serta bersikap melampaui batas. Terdapat banyak pandangan para ulama’ berkaitan perbuatan Qarun yang melampaui batas dalam ayat فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ, antaranya ialah: Al-Dahhak berpendapat bahawa perbuatan Qarun adalah kufur kepada Allah SWT. Qatadah menyatakan bahawa perbuatan Qarun adalah merendahkan orang lain dengan harta dan anak-anaknya (yang banyak). Ibn Bahr menyatakan bahawa Qarun menisbahkan kekayaannya kepada usaha dan kepintarannya sendiri, bukan kepada pemberian Allah. Pendapat lain menyebut bahawa Qarun hasad kepada Nabi Musa AS. Qarun membayar seorang wanita pelacur untuk mendakwa bahawa Nabi Musa telah berzina dengannya dan menghamilkannya. Kemudian Nabi Musa bersumpah dengan nama Allah yang memberikan segala mukjizat dan bertanya kepada wanita tersebut, “Apakah benar perkataanmu?” Maka wanita tersebut tersedar, lalu berkata, “Tidak.” Kemudian Nabi Musa bertanya, “Siapa yang membayarmu?” Wanita tersebut menjawab, “Qarun.” Maka, kemudian Nabi Musa AS berdoa kepada Allah agar membenamkan Qarun. [Rujuk: al-Jami’ li Ahkam al-Quran, jld. 13, hlm. 310]

Pengakhiran bagi kesombongan dan kezaliman Qarun ialah Allah menimbuskan dirinya dengan harta kekayaan yang dimilikinya. Firman Allah SWT:

فَخَسَفْنَا بِهِۦ وَبِدَارِهِ ٱلْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُۥ مِن فِئَةٍۢ يَنصُرُونَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُنتَصِرِينَ

Maksudnya: “Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah" dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.” [Surah al-Qasas, ayat 81]

Maka, dalam ayat 77 surah al-Qasas Allah mendidik kita kaedah menggunakan nikmat yang telah diberikan iaitu: Gunakan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah untuk dapatkan pahala dan kebahagiaan akhirat. Jangan lupakan bahagian keperluan dan bekalan dunia. Berbuat baik kepada hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kita dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah Jangan lakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan dan kezaliman.

Sedangkan dalam sirah yang menceritakan peribadi para sahabat pula, dicatatkan kisah-kisah sahabat yang kaya dan taat kepada Allah. Kekayaan tidak menjadikan mereka sombong dan berpaling dari Allah. Antaranya ialah Saidina Uthman bin ‘Affan RA: Saidina Uthman bin ‘Affan merupakan khalifah ketiga daripada Khulafa’ al-Rasyidin. Saidina Uthman tekenal sebagai pakar dalam bidang ekonomi dan peniaga yang kaya namun sangat dermawan. Antara kisah yang menunjukkan sifat dermawan Saidina Uthman bin ‘Affan ialah sumbangan yang diberikan dalam peperangan Tabuk. Dicatatkan bahawa Saidina Uthman bin ‘Affan telah menginfakkan sebanyak 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar. [Rujuk: al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 512-513]

‘Abd al-Rahman bin Samurah RA meriwayatkan bahawa Saidina Uthman bin ‘Affan datang kepada Nabi SAW menyerahkan seribu dinar yang dibawanya dalam saku bajunya, ketika Nabi SAW sedang mempersiapkan pasukan Perang Tabuk. Dia membukanya di pangkuan Nabi SAW. Aku melihat Nabi SAW membolak-balikkanya di pangkuannya, lalu Baginda bersabda:

مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ ‏، مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ ‏

Maksudnya: “Tidak akan membahayakan Uthman apa yang dia lakukan setelah hari ini. Tidak akan membahayakan Uthman apa yang dia lakukan setelah hari ini.” [HR al-Tirmizi, 3701]

Selain itu, dicatatkan dalam sirah bahawa Saidina Uthman telah membeli telaga milik seorang Yahudi di Madinah dan menyumbangkannnya untuk kegunaan penduduk Madinah pada ketika tidak terdapat air yang baik untuk diminum kecuali dari telaga Rumah. Hal ini berdasarkan satu hadis:

مَنْ يَشْتَرِي بِئْرَ رُومَةَ فَيَجْعَلُ فِيهَا دَلْوَهُ مَعَ دِلاَءِ الْمُسْلِمِينَ بِخَيْرٍ لَهُ مِنْهَا فِي الْجَنَّةِ ‏"‏ ‏.‏ فَاشْتَرَيْتُهَا مِنْ صُلْبِ مَالِي فَجَعَلْتُ دَلْوِي فِيهَا مَعَ دِلاَءِ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Siapakah yang sanggup membeli telaga Rumah, lalu meletakkan timbanya bersama timba kaum Muslimin, maka dia akan mendapat ganjaran daripadanya di dalam syurga?" (Lalu berkata Uthman RA): "Maka aku membelinya dengan hartaku sendiri, dan aku meletakkan timbaku bersamanya bersama timba kaum Muslimin…" [HR al-Nasai, 3608]

Daripada peribadi Saidina Uthman bin ‘Affan, kita dapat pelajari bahawa menjadi seorang kaya bukan halangan untuk bertakwa kepada Allah. Kekayaan tidak menjadi sebab untuk Saidina Uthman berbangga diri dan berbuat maksiat kepada Allah. Bahkan kekayaan itulah yang menjadi peluang untuk Saidina Uthman mendapat tempat istimewa disisi Allah dan diberikan ganjaran syurga. Hal ini didapatkan apabila kekayaan itu digunakan pada jalan yang benar dan baik. Kekayaan ialah ujian buat diri. Ia boleh jadi tangga ke syurga seperti Saidina Uthman RA, atau jalan ke neraka seperti Qarun, bergantung bagaimana kita menguruskannya, dan di mana hati kita meletakkan cinta, sama ada kepuasan dunia atau akhirat.

7.

Soalan: Assalamualaikum ustaz dan dai. Kalau kerja keras tapi masih miskin, adakah itu tanda Allah tak sayang? Apa amalan harian untuk tenangkan hati dalam bab rezeki?

Jawapan: Tidak sama sekali. Dalam ajaran Islam, kaya atau miskin bukan ukuran kasih sayang Allah SWT tetapi cara kita mengurus ujian itulah yang menentukan kedudukan kita di sisi-Nya. Allah SWT telah menyentuh isu ini dalam Surah al-Fajr, ayat 15-17. Firman-Nya:

فَأَمَّا الْإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ ۝ وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ ۝ كَلَّا

Maksudnya: “Adapun manusia, apabila Tuhannya mengujinya lalu memuliakannya dan memberinya kesenangan, dia berkata: ‘Tuhanku telah memuliakanku.’ Tetapi apabila Dia mengujinya dengan menyempitkan rezekinya, dia berkata: ‘Tuhanku menghinaku.’ Sekali-kali tidak (bukan begitu cara Allah menilai).” [Surah al-Fajr, ayat 15-17]

Ayat ini sangat jelas: luasnya rezeki bukan jaminan kemuliaan, dan sempitnya rezeki bukan bukti kehinaan. Ia semua adalah ujian, sama ada kita diuji dengan nikmat atau kesusahan. Yang menjadi nilai di sisi Allah ialah kesabaran, keikhlasan, dan ketaatan dalam setiap keadaan. Rasulullah SAW juga mengiktiraf bahawa ada hamba Allah yang miskin dan tidak dipedulikan oleh manusia, namun kedudukannya sangat tinggi di sisi Tuhan. Sabda Baginda SAW kepada Muaz Bin Jabal:

أَلَا أُخْبِرُكَ عَنْ مُلُوكِ الْجَنَّةِ؟ " قُلْتُ: بَلَى. قَالَ: "رَجُلٌ ضَعِيفٌ مُسْتَضْعِفٌ ذُو طِمْرَينِ، ‌لَا ‌يُؤْبَهُ ‌لَهُ، ‌لَوْ ‌أَقْسَمَ ‌عَلَى ‌اللهِ ‌لَأَبَرَّهُ

Maksudnya: “Mahukah aku khabarkan kepadamu tentang raja-raja syurga? Aku berkata: "Sudah tentu." Baginda bersabda: "Seorang lelaki yang lemah, dianggap hina, berpakaian lusuh, tidak dipedulikan oleh manusia. Namun jika dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memperkenankannya." [HR Ahmad, 4115] Status hadis ini adalah Dhaif (lemah), tetapi maknanya betul. Ini menunjukkan bahawa status di sisi Allah bukan berdasarkan harta atau penampilan luar, tetapi pada hati yang bersih dan jiwa yang bergantung penuh kepada Allah.

Kenapa kita bekerja keras tapi rezeki masih sempit? Mungkin kerana rezeki kita bukan dalam bentuk wang, tapi dalam bentuk lain seperti kesihatan, anak soleh, atau ketenangan jiwa. Berkata Ibn Qayyim tentang ujian:

فمن ‌صحَّتْ ‌له ‌معرفةُ ‌ربه ‌والفقهُ ‌في ‌أسمائه ‌وصفاته؛ عَلِم يقينًا أن المكروهات التي تُصِيبه والمِحَن التي تَنزل به فيها ضروبٌ من المصالح والمنافع التي لا يُحصِيها علمُه ولا فِكرتُه، بل مصلحة العبد فيما يكره أعظم منها فيما يُحِب

Maksudnya: “Barangsiapa yang benar-benar mengenal Tuhannya serta memahami dengan baik nama-nama dan sifat-sifat-Nya, maka dia akan mengetahui dengan yakin bahawa perkara-perkara yang dibenci yang menimpanya, serta ujian-ujian yang turun ke atasnya, sebenarnya mengandungi pelbagai jenis manfaat dan kebaikan yang tidak mampu dihitung oleh ilmu dan pemikirannya. Bahkan, kebaikan yang terdapat dalam sesuatu yang dibenci oleh seorang hamba itu lebih besar daripada kebaikan yang terdapat dalam apa yang disukainya.” [Rujuk: Al-Fawaid, hlm. 133]

Kesenangan juga ujian, keburukan juga adalah ujian. Allah SWT berfirman:

وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُون

Maksudnya: “Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.” [Surah al-Anbiya, ayat 35]

Di dalam tafsir at-Tabari menjelaskan bahawa ialah adalah ujian daripada Allah SWT:

نبلوهم بما يحبون وبما يكرهون، نختبرهم بذلك لننظر كيف شكرهم فيما يحبون، وكيف صبرهم فيما يكرهون.

Maksudnya: “Kami menguji mereka dengan apa yang mereka sukai dan apa yang mereka benci. Kami menguji mereka dengan itu agar Kami melihat bagaimana syukur mereka terhadap apa yang mereka sukai, dan bagaimana sabar mereka terhadap apa yang mereka benci." [Rujuk: Tafsir at-Tabari, jld. 18, hlm. 440]

Untuk mendidik hati supaya tenang dalam menghadapi isu rezeki, Islam mengajar kita beberapa amalan harian yang boleh diamalkan:

Istighfar
Istighfar bukan sekadar memohon ampun, tetapi juga menjadi pembuka rezeki seperti hujan, harta dan anak-anak Allah SWT berfirman:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ

Maksudnya: “Maka aku berkata kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepada kamu, memperbanyakkan harta dan anak-anak.” [Surah Nuh, ayat 10-12]

Solat Dhuha yang merupakan sedekah
Ia adalah solat yang disebut oleh Nabi SAW sebagai satu bentuk sedekah bagi setiap sendi tubuh kita Nabi SAW bersabda:

‌يُصْبِحُ ‌عَلَى ‌كُلِّ ‌سُلَامَى ‌مِنْ ‌أَحَدِكُمْ ‌صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ. وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى

Maksudnya:“Setiap sendi daripada kamu diwajibkan ke atasnya sedekah pada setiap pagi. Maka setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, dan mencegah kemungkaran juga adalah sedekah. Dan semua itu boleh digantikan (memadai) dengan dua rakaat yang seseorang dirikan pada waktu Dhuha.” [HR Muslim, 720]

Berdoa kepada Allah SWT
Seperti Nabi Musa AS, setelah baginda sampai di Madyan dalam keadaan letih, dan membantu dua orang wanita dengan memberi minum kepada ternakan mereka, baginda pun beredar dan berteduh di bawah naungan sebatang pokok. Ketika itu, baginda sangat lapar dan keletihan kerana jauhnya perjalanan, lamanya musafir, dan beratnya usaha yang dilakukan. Maka baginda pun berdoa dengan doa ini, sebagai cara yang halus untuk memohon kepada Allah dari limpahan kebaikan-Nya, lalu baginda berkata:

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat faqir dan berhajat kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.” [Surah al-Qasas, ayat 24]

Setelah itu, Allah kurniakan kepada Nabi Musa upah dari usahanya membantu dua wanita tadi, kemudian salah seorang dari wanita itu menjadi isterinya, kemudian diberikan pekerjaan sumber mencari rezeki dengan majikan yang soleh iaitu Nabi Syuaib AS selama 8-10 tahun. Wallahualam

11. Akhirnya, kesempitan rezeki bukan tanda Allah tak sayang. Ia mungkin tanda bahawa Allah mahu kita lebih rapat kepada-Nya, mahu kita faham bahawa ketenangan bukan datang dari gaji, tetapi dari pergantungan pada-Nya. Bila kita tenang walaupun tak banyak duit, itu sendiri adalah rezeki yang sangat mahal.

Scroll to Top