ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

sumber penyucian jiwa
SOALAN PENONTON — Penyucian Jiwa & Dunia Kerja

SOALAN PENONTON

1Soalan

Soalan:
Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada yang sudah bekerjaya tapi mula rasa jauh dari Allah. Apakah langkah yang boleh dia ambil untuk kembali menyucikan jiwa, dalam masa yang sama ingin berhijrah ke arah yang lebih baik?
Jawapan:
Rasa jauh daripada Allah meskipun sudah bekerja dan ‘berjaya’ di mata dunia adalah satu bentuk kesedaran rohani yang sangat penting. Ini menandakan bahawa Allah masih memberikan nur hidayah kepada hati tersebut. Ia bukan satu kelemahan, malah ia adalah langkah pertama untuk hijrah hati dan penyucian jiwa.

Antara langkah utama yang harus diambil adalah memperbanyakkan refleksi dan mengingati Allah dalam setiap urusan. Tanyakan pada diri, “Apa yang Allah suka aku buat?”, “kalau kalau aku buat ni, Allah suka ke marah?” wujudkan sifat yang sentiasa rujuk dan kembali kepada Allah dalam kesusahan dan kesenangan.

Antara perkara yang paling banyak membantu kita untuk mengingati Allah adalah solat. Solat adalah asas hubungan seorang hamba dengan Allah. Ia adalah ruang komunikasi kita dengan Maha Pencipta. Allah SWT berfirman:
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكْرِىٓ
Maksudnya: “Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” [Surah Taha, ayat 14]
Dengan mengingati Allah SWT, diri akan lebih tenang dan berasa lebih dekat dengan-Nya.

Selepas itu, persekitaran amat mempengaruhi jiwa. Untuk kekal istiqamah dalam hijrah rohani, kita perlu dikelilingi oleh insan-insan yang membawa kepada kebaikan.
الرَّجُلُ ‌عَلَى ‌دِينِ ‌خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ.
Maksudnya: “Seseorang itu berada atas agama rakannya, maka hendaklah kalian perhatikan dengan siapa dia bersahabat.” [HR Abu Daud, 4833]
Langkah awal boleh dimulakan dengan memilih kawan-kawan yang membawa kepada kebaikan. Sekiranya tiada di tempat kerja, cari duliar tempat kerja, di masjid-masjid, sertai majlis-majlis ilmu atau aktiviti komuniti yang lebih positif dan memberi kesan spiritual. Pastinya akan lebih ramai rakan-rakan baru yang mempunyai pemikiran dan keinginan yang sama, mencari pengisian rohani dan reda Allah SWT.

Dalam sibuk mencari teman-teman yang baharu, jangan lupa peneman kita yang sering kita lupakan dan tinggalkan sebelum ini, iaitu Al-Qur’an. Lazimilah masa bersama Al-Quran dengan membaca, memahami, mengkaji dan menyampaikan hikmah-hikmah daripada kitab ini. Sesungguhnya Al-Quran itu sendiri merupakan asbab mendapat penyucian jiwa dan petunjuk dari Allah SWT. Firmannya:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌۭ لِمَا فِى ٱلصُّدُورِ
Maksudnya: “Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada.” [Surah Yunus, ayat 57]
Ia merujuk kepada kitab Al-Quran seperti dijelaskan di dalam Tafsir al-Wasit:
‌نداء ‌إلى ‌الناس، ‌أمرهم ‌فيه ‌بالانتفاع ‌بما ‌اشتمل ‌عليه ‌القرآن ‌الكريم
Maksudnya: “Seruan kepada manusia, di mana Allah memerintahkan mereka untuk mengambil manfaat dari apa yang terkandung dalam Al-Qur'an yang mulia.” [Rujuk: Tafsir Al-Wasit, jld. 7, hlm. 87]
Mengambil segala kebaikan dan manfaat di dalam Al-Quran yang mempunyai pelbagai ayat-ayat panduan, kerohanian, targhib dan tarhib.

Selain itu, tidak akan sempurna jalan lebih untuk kembali mendekat kepada Allah tanpa meninggalkan segala apa yang Allah larang. Bagaimana kita hendak meraih cinta seseorang sekiranya kita terus-menerus melakukan perkara yang tidak disukainya malah dibencinya? Maka cinta Allah adalah lebih layak untuk diraih, dan larangan Allah adalah lebih patut dihindari dan ditinggalkan.

Maka bertaubatlah dengan taubat nasuha. Jadikan kejayaan kita bukan sahaja di dunia malah juga kejayaan di akhirat dengan mendapatkan pengampunan dari Allah SWT.
وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًۭا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” [Surah al-Nur,, ayat 31]

2Soalan

Soalan:
Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimanakah dengan mentadabbur alam dan melihat kebesaran Allah akan mendorong hati dan jiwa dari perkara yang merosakkannya?
Jawapan:
Mentadabbur alam, memerhatikan dengan pemerhatian yang mendalam terhadap segala ciptaan Allah akan membuat kita sedar akan keagungan penciptanya. Keluasan langit yang tiada pengakhirannya, gunung-ganang yang gah memasak bumi, laut yang terbentang luas dan mempunyai seribu satu rahsia di dalamnya, dan bintang-bintang yang menghiasi langit malam yang gelap, betapa hebat semua ciptaan ini, hebat lagi Sang Pencipta Rabbal Alamin.

Tadabbur ini bukan sekadar renungan kosong, tetapi satu renungan penuh refelksi, penuh harapan, penuh penyesalan, sebagai satu bentuk ibadah hati yang menghidupkan roh yang telah lama dahagakan rahmat TuhanNya, melahirkan rasa rendah diri pada Pencipta, dan mendorong jiwa untuk taat padaNya dengan meninggalkan maksiat dan dosa.

Allah SWT mengajak manusia untuk merenungi ciptaan-Nya sebagai jalan untuk mengenal-Nya. Dalam Surah Ali ‘Imran ayat 190, Allah berfirman
إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَآيَـٰتٍۢ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ
Maksudnya: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.” [Surah Ali Imran, ayat 190]
Ayat ini menunjukkan bahawa tanda-tanda kekuasaan Allah terbentang luas dalam ciptaan-Nya bagi mereka yang menggunakan akal dan hati. Kesedaran akan betapa agung dan luasnya ciptaan-Nya menjadikan jiwa tunduk dan terasa kecil di hadapan Allah, lalu menjauhkan hati daripada keangkuhan dan maksiat.

Apabila seseorang memerhati keajaiban alam, terbit dan tenggelam matahari, gerakan awan, tumbuhan yang hidup dengan air hujan, maka hati akan tersentuh.
وَفِى ٱلْأَرْضِ ءَايَـٰتٌۭ لِّلْمُوقِنِينَ، وَفِىٓ أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ
Maksudnya: “Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang yakin. Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?” [Surah al-Zhariyat, ayat 20-21]
Kesombongan akan mula luntur apabila hati menyedari bahawa manusia hanyalah makhluk kecil di tengah-tengah kebesaran ciptaan Allah.

Seterusnya, kisah Nabi Ibrahim mencuba menganjak manusia pada zamannya untuk tadabbur dan tafakkur, Allah SWT berfirman:
فَلَمَّآ أَفَلَتْ قَالَ يَـٰقَوْمِ إِنِّى بَرِىٓءٌۭ مِّمَّا تُشْرِكُونَ، إِنِّى وَجَّهْتُ وَجْهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ حَنِيفًۭا ۖ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Maka apabila (benda-benda itu) terbenam, dia berkata: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan. Sesungguhnya aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan lurus, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik.” [Surah al-An’am, ayat 78-79]
Kesimpulannya, mentadabbur alam bukan sekadar aktiviti minda atau keindahan estetika, tetapi merupakan satu jalan spiritual yang sangat penting dalam penyucian jiwa. Dalam era moden yang penuh gangguan mental dan tekanan rohani, tadabbur alam dapat menjadi terapi Islam yang sangat berkesan.
سَنُرِيهِمْ ءَايَـٰتِنَا فِى ٱلْأٓفَاقِ وَفِىٓ أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ
Maksudnya: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap penjuru alam dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa Al-Qur’an itu benar.” [Surah Fussilat, ayat 53]

3Soalan

Soalan:
Kita lihat trend orang kini postingnya tentang kemewahan hidup di media sosial, berhealing dan sebagainya. Bagaimana untuk mengelak sifat riak dan bangga diri terhadap perkara yang dipost di media sosial?
Jawapan:
Dalam dunia hari ini yang dengan budaya ‘berkongsi tentang kehidupan’ di media sosial, kita sering terdedah kepada dua bentuk penyakit hati iaitu riak dan ujub (bangga diri). Fenomena memuat naik gambar makan makanan mewah, bercuti di tempat healing, gaya hidup eksklusif dan pencapaian peribadi bukanlah suatu kesalahan secara mutlak, tetapi kebanyakan yang berlaku cenderung ke arah sikap menunjuk dan mendabik dada dengan kesenangan masing-masing.
فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ فِى زِينَتِهِۦ ۖ قَالَ ٱلَّذِينَ يُرِيدُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا يَـٰلَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَآ أُوتِىَ قَـٰرُونُ إِنَّهُۥ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍۢ
Maksudnya: “Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik.” [Surah al-Qasas, ayat 79]
Sikap gemar mengikuti trend dan mudah terpengaruh benda viral seperti ini perlu diwaspadai agar tidak merosakkan identiti sebagai umat islam. Hal ini telah diperingatkan oleh Quran;
وَجَـٰوَزْنَا بِبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱلْبَحْرَ فَأَتَوْا۟ عَلَىٰ قَوْمٍۢ يَعْكُفُونَ عَلَىٰٓ أَصْنَامٍۢ لَّهُمْ ۚ قَالُوا۟ يَـٰمُوسَى ٱجْعَل لَّنَآ إِلَـٰهًۭا كَمَا لَهُمْ ءَالِهَةٌۭ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌۭ تَجْهَلُونَ
Maksudnya: “Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.” [Surah al-A’raf]
Zaman fitnah kini kita perlu membezakan bentuk-bentuk riya moden yang halus menular dalam masyarakat. Sebagai contoh Humblebrag iaitu riak dalam bentuk merendah diri. Ia berlaku apabila seseorang berkongsi pencapaian atau kemewahan hidup dengan menyelitkan unsur ‘kononnya rendah diri’, seperti berkata “tak sangka dapat peluang duduk business class, padahal saya cuma orang biasa je,” atau “penat sangat handle projek besar ni, doakan ya.”

Walaupun nada humblebrag seolah-olah tawaduk, hakikatnya ia tetap satu bentuk penonjolan diri yang berselindung di sebalik kesopanan. Gejala ini termasuk sebagai riya’ al-khafiyy iaitu riak tersembunyi.
وَأَخْفَى مِنْهُ قَلِيلًا هُوَ مَا لَا يَحْمِلُ عَلَى الْعَمَلِ بِمُجَرَّدِهِ إِلَّا أَنَّهُ يُخَفِّفُ الْعَمَلَ الَّذِي يُرِيدُ بِهِ وَجْهَ اللَّهِ كَالَّذِي يَعْتَادُ التَّهَجُّدَ كُلَّ لَيْلَةٍ وَيَثْقُلُ عَلَيْهِ فَإِذَا نَزَلَ عِنْدَهُ ضيف تنشط له وخف عليه وعلم أنه لولا رجاء الثواب لكان لا يصلي لمجرد رياء الضيفان
Maksudnya: “Ada pula bentuk riak yang lebih tersembunyi daripada itu iaitu riak yang tidak menjadi sebab utama seseorang memulakan amal, tetapi ia meringankan beban amal yang dilakukan kerana Allah. Contohnya seperti seseorang yang biasa melakukan solat tahajjud setiap malam, namun pada malam itu dia merasa berat untuk bangun. Lalu apabila ada tetamu yang bermalam bersamanya, tiba-tiba dia rasa lebih ringan untuk bangun tahajjud, lebih bersemangat. Ini kerana dalam hatinya terdetik harapan agar dilihat oleh tetamu itu. Maka jika bukan kerana harapan kepada pahala, sudah tentu dia tidak akan bersusah-payah bangun, melainkan kerana riak terhadap tetamu.” [Lihat Ihya’ Ulumuddin, Jld 3, hlm, 305]
Kebanyakan gejala yang berlaku ini hanya untuk mendapat perhatian umum lebih-lebih lagi pada zaman media sosial ini. Maka islam telah mencela sikap ini kerana ia menghancurkan diri seseorang.

Islam membenarkan untuk bercerita tentang nikmat yang diperolehi dengan syarat tidak menimbulkan rasa riya’ terhadap orang lain. Firman Allah SWT;
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Maksudnya : “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” [Surah Dhuha, ayat 11]
Para ulama membahaskan ayat ini dengan maksud menceritakan pada orang yang dipercayai sahaja dengan sangkaan akan memberi inspirasi kepada mereka.
قالَ ابْنُ العَرَبِيِّ: إنَّ التَّحَدُّثَ بِالعَمَلِ يَكُونُ بِإخْلاصٍ مِنَ النِّيَّةِ عِنْدَ أهْلِ الثِّقَةِ، فَإنَّهُ رُبَّما خَرَجَ إلى الرِّياءِ وإساءَةِ الظَّنِّ بِصاحِبِهِ. وذَكَرَ الفَخْرُ والقُرْطُبِيُّ عَنِ الحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ: إذا أصَبْتَ خَيْرًا أوْ عَمِلْتَ خَيْرًا فَحَدِّثْ بِهِ الثِّقَةَ مِن إخْوانِكَ
Maksudnya : “Ibn al-‘Arabi menyatakan bahawa: “Menyebut amalan kebaikan hanya boleh dilakukan dengan niat yang ikhlas, dan hanya di hadapan orang-orang yang amanah dan salih, kerana sesungguhnya boleh jadi ia akan terkeluar kepada riak, atau menyebabkan orang bersangka buruk terhadap pelakunya.”
Imam Fakhruddin al-Razi dan al-Qurtubi pula meriwayatkan daripada al-Hasan bin ‘Ali RA: “Jika kamu mendapat suatu kebaikan atau melakukan suatu amalan baik, maka ceritakanlah kepada sahabatmu yang dipercayai.” [Tahrir wa Tanwir, hlm. 401]

4Soalan

Soalan:
Dalam alam pekerjaan yang penuh persaingan, ada yang sanggup menjatuhkan orang lain untuk mendapatkan apa yang diingini sehingga menindas. Bagaimana Islam mengajarkan agar bersifat rendah diri terhadap sesuatu perkara serta mengelakkan sifat yang buruk?
Jawapan:
Dalam organisasi, politik di tempat kerja muncul apabila manusia hilang nilai manusiawi. Lantas gejala fitnah, adu domba, bodek atau khianat berleluasa. Budaya negatif ini berpunca dari persaingan kerja sesama sendiri yang akhirnya menghasilkan sikap mementingkan diri dan hasad terhadap pencapaian orang lain.
سيصيب أمتي داء الأمم فقالوا: يا رسول الله وما داء الأمم؟ قال: الأشر، والبطر، والتكاثر، والتناجش في الدنيا، والتباغض، والتحاسد؛ حتى يكون البغي
Maksudnya : “Akan menimpa umatku penyakit-penyakit umat terdahulu. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah penyakit-penyakit umat itu?" Baginda menjawab: "Kesombongan, sikap bermegah-megah ketika senang, berlumba-lumba mengumpul dunia, menipu dalam jual beli, saling membenci, dan saling dengki; sehingga akhirnya berlaku kezaliman.” [HR Hakim, 4/168]
Dalam dunia kerjaya manusia terbahagi kepada beberapa kumpulan;

Mereka yang berada di atas jalan kebenaran, bersikap adil dan berintegriti, konsisten dalam menegur penyelewengan serta tidak takut kehilangan jawatan kerana mereka bekerja kerana Allah.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.” [Surah al-Maidah, ayat 8]
Mereka yang berada di atas jalan kebatilan, bersikap zalim dan manipulatif, menutup kebenaran demi kepentingan diri dan kelompok tertentu, enggan menerima teguran, takut kehilangan kuasa dan sering menyalahkan orang lain atas kegagalan mereka sendiri.
فَٱسْتَخَفَّ قَوْمَهُۥ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًۭا فَـٰسِقِينَ
Maksudnya : “’Maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik derhaka.” [Surah az-Zukhruf, 54]
Mereka yang tiada pendirian, bersikap lalang, menyokong mana-mana pihak yang memberi manfaat segera kepada mereka, pakar dalam mengampu dan menyesuaikan diri secara palsu serta tidak peduli soal prinsip asalkan naik pangkat.
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا تَكُوْنُوْا إِمَّعَةً، تَقُوْلُوْنَ: إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا، وَإِنْ ظَلَمُوْا ظَلَمَنَاْ، وَلَكِنَّ وَطِّنُوْا أَنْفُسَكُمْ، إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوْا، وَإِنْ أَسَاْءُوْا فَلَاْ تُظْلِمُوْا
Maksudnya : “Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah kamu jadi orang yang tidak mempunyai pendirian, kamu berkata: sekiranya manusia melakukan kebaikan, kami pun melakukan kebaikan, dan sekiranya mereka melakukan kezaliman, kami pun melakukan kezaliman, tetapi beristiqamah pada diri kamu, sekiranya manusia melakukan kebaikan, kamu melakukan kebaikan, dan sekiranya manusia melakukan kezaliman, kamu tidak melakukan kezaliman tersebut.” [HR Tirmizi, 2007]
Maka Islam mendidik kita agar membina kesedaran iman dan ilmu, supaya tidak mudah terpengaruh dengan sikap toksik dan negatif yang wujud di tempat kerja.
وَعِبَادُ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى ٱلْأَرْضِ هَوْنًۭا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلْجَـٰهِلُونَ قَالُوا۟ سَلَـٰمًۭا
Maksudnya : “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” [Surah al-Furqan, ayat 65]
Selain itu, hendaklah sentiasa mewaspadai penyakit hati seperti ujub dengan diri sendiri, dengki dengan pencapaian orang lain serta sanggup memutuskan persahabatan demi kepentingan dunia. Kesedaran terhadap kewujudan perkara negatif adalah langkah terbaik untuk menghindarinya.
مَن أُعجِبَ برأيِه ضَلَّ، ومَن استغنى بعَقلِه زَلَّ، ومن تكَبَّرَ على النَّاسِ ذَلَّ، ومَن خالَط الأنذالَ حَقُر، ومن جالَس العُلَماءَ وَقُرَ
Maksudnya: “Sesiapa yang kagum dengan pendapatnya sendiri, dia akan sesat. Sesiapa yang merasa cukup dengan akalnya, dia akan tergelincir. Sesiapa yang sombong terhadap manusia, dia akan hina. Sesiapa yang bergaul dengan orang hina, dia akan jadi hina. Dan sesiapa yang duduk bersama para ulama, dia akan dimuliakan.” [Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Faḍlihi lil Ibn Barr, jld. 1, hlm. 143]
Kesimpulannya, jadilah seorang yang mempunyai watak pendamai di antara kelompok-kelompok yang sedang berkonflik. Sesungguhnya besar pahala bagi mereka yang menjadi pendamai pergaduhan dan kembali mengeratkan ukhuwah islamiyah.
وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱقْتَتَلُوا۟ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَهُمَا ۖ فَإِنۢ بَغَتْ إِحْدَىٰهُمَا عَلَى ٱلْأُخْرَىٰ فَقَـٰتِلُوا۟ ٱلَّتِى تَبْغِى حَتَّىٰ تَفِىٓءَ إِلَىٰٓ أَمْرِ ٱللَّهِ ۚ فَإِن فَآءَتْ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَهُمَا بِٱلْعَدْلِ وَأَقْسِطُوٓا۟ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ
Maksudnya : “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [Surah al-Hujurat, ayat 9]

5Soalan

Soalan:
Apakah cara untuk mendidik jiwa untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan rasa yang ikhlas supaya rezeki yang diperoleh itu diberkati?
Jawapan:
Untuk mendidik jiwa supaya dapat melakukan sesuatu pekerjaan dengan ikhlas, kita perlu memulakan dengan berdoa kepada Allah SWT kerana Dia jualah yang memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita. Amalkan doa yang ikhlas sebelum memulakan pekerjaan. Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk berdoa memohon bantuan Allah dalam segala urusan. Salah satu doa yang boleh diamalkan ialah doa Iftitah yang juga digunakan dalam solat. Doa ini adalah untuk memohon petunjuk dan keberkatan Allah dalam segala urusan kita
اللهم يسر لنا أمرنا وبارك لنا في عملنا
Maksudnya: Ya Allah permudahkanlah urusan kami dan berkatilah kerja kami

Ini adalah antara contoh doa yang dapat kita amalkan. Doa-doa ini membantu kita untuk menjaga niat kita agar tetap lurus dan ikhlas kerana Allah.

Setelah itu, kita mulakan usaha kita dengan niat yang jelas dan tulus. Niat yang ikhlas adalah asas bagi segala amalan yang diterima di sisi Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang akan mendapatkan sesuai dengan apa yang ia niatkan.” [HR al-Bukhari, 1]
Ikhlas dalam bekerja bermakna kita melakukan tugas itu semata-mata kerana Allah, bukan kerana pujian, penghargaan, atau keuntungan semata-mata. Nabi juga ada mengajarkan doa yang boleh kita baca di dalam solat kita:
إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين لا شريك له، وبذلك أمرت وأنا من المسلمين. اللهم اهدني لأحسن الأعمال وأحسن الأخلاق لا يهدي لأحسنها إلا أنت، وقني سيئ الأعمال وسيئ الأخلاق لا يقي سيئها إلا أنت
Maksudnya: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan seluruh alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya, dan dengan itu aku diperintahkan, dan aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyerah diri (Islam). Ya Allah, tunjukkanlah aku kepada amalan yang terbaik dan akhlak yang terbaik, tidak ada yang dapat menunjukkannya selain Engkau. Lindungilah aku dari keburukan amalan dan akhlak, tidak ada yang dapat melindunginya selain Engkau.
Dengan niat yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan, kita akan mendapat pahala dan keberkatan walaupun pekerjaan itu kelihatan biasa. Betulkan niat agar setiap pekerjaan menjadi ibadah di sisi-Nya.

Akhir sekali, untuk terus menanamkan rasa ikhlas, banyakkan bermuhasabah diri dan menilai kembali setiap pekerjaan yang kita lakukan. Ini akan menguatkan tekad kita untuk terus memperbaiki diri, menjaga niat, dan memastikan setiap amalan kita dilakukan demi mencari keredhaan Allah. Semoga dengan langkah-langkah ini, kita dapat mendidik jiwa untuk bekerja dengan ikhlas dan mendapat keberkatan daripada Allah dalam setiap rezeki yang kita peroleh.

6Soalan

Soalan:
Masyarakat hari ini mudah terpengaruh dengan gaya hidup barat yang bebas, mementingkan aspek material misalnya. Bagaimana penyucian jiwa dapat menjadi benteng daripada terjerumus ke dalam gaya hidup yang melalaikan?
Jawapan:
Bermula Dengan Keyakinan: Allah Itu Benar, Syurga dan Neraka Itu Benar. Sebelum seseorang dapat menolak gaya hidup barat yang melalaikan, dia mesti memiliki keyakinan yang mantap terhadap kebenaran agama Islam — termasuk hakikat wujudnya Allah, kebenaran syurga, neraka, hari kiamat dan kenabian. Nabi SAW sendiri mengajarkan sebuah doa ketika bangun malam yang menegaskan kepercayaan ini:
"اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَلَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَلَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، أَنْتَ الْحَقُّ، وَوَعْدُكَ الْحَقُّ، وَقَوْلُكَ الْحَقُّ، وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ، وَالْجَنَّةُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ، وَمُحَمَّدٌ حَقٌّ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ، اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ، وَبِكَ خَاصَمْتُ، وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ، فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، أَنْتَ إِلَهِي، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ"
Maksudnya: "Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah cahaya langit dan bumi. Bagi-Mu segala puji. Engkaulah Pengurus langit dan bumi. Bagi-Mu segala puji. Engkaulah Tuhan langit dan bumi dan segala yang ada di dalamnya. Engkau adalah benar. Janji-Mu benar. Firman-Mu benar. Pertemuan dengan-Mu benar. Syurga itu benar. Neraka itu benar. Para Nabi itu benar. Muhammad itu benar. Hari Kiamat itu benar. Ya Allah, kepada-Mu aku berserah. Kepada-Mu aku beriman. Kepada-Mu aku bertawakal. Kepada-Mu aku kembali. Dengan bantuan-Mu aku berbantah, dan kepada-Mu aku berhukum. Maka ampunilah aku atas dosaku yang telah lalu dan yang akan datang, yang aku rahsiakan dan yang aku nyatakan. Engkaulah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau.” [HR al-Bukhari, 1120]
Doa ini dibaca oleh Rasulullah SAW setiap malam, menunjukkan bahawa keyakinan ini perlu sentiasa diperteguh walaupun dalam diri insan yang maksum. Maka kita, lebih-lebih lagi, perlu membina pendirian berdasarkan akidah yang kukuh, bukan sekadar perasaan atau trend.

Tanpa Pendirian yang Kukuh, Seseorang Akan Menjadi Seperti Lalang. Apabila akidah tidak diperteguh, seseorang akan mudah mengikuti gaya hidup yang dominan dalam masyarakat — walaupun ia bercanggah dengan Islam. Firman Allah:
فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ ۚ
Maksudnya: “Maka apakah selepas kebenaran itu (masih ada) selain kesesatan?” [Surah Yunus, ayat 32]
Ramai orang hari ini hanyut dalam budaya barat, bukan kerana mereka yakin ia betul, tapi kerana mereka tidak tahu apa yang mereka percaya sebenarnya. Mereka tidak membina pendirian yang berpaksikan wahyu.

Penyucian Jiwa (Tazkiyah al-Nafs) Mengukuhkan Diri dari Dalam. Allah SWT berfirman:
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا • وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwa itu, dan rugilah orang yang mengotorinya.” [Surah Asy-Syams, ayat 9–10]
Penyucian jiwa adalah proses penting membina kekuatan dalaman yang membuatkan seseorang:
Tahu siapa Tuhannya.
Tahu ke mana hidupnya akan menuju.
Tidak mudah goyah walau di mana dia berada.

Gaya Hidup Barat: Kosong Walau Dilihat Indah. Gaya hidup barat menjanjikan kebebasan, kekayaan dan keseronokan namun ia mengabaikan tujuan hidup sebenar, kehidupan selepas akhirat, mengawal nafsu dan keinginan. Tanpa penyucian hati, manusia akan kejar dunia dan apabila memperolehinya masih merasa tidak cukup dan kosong. Mereka yang terpengaruh dengan gaya hidup ini:
Sering alami tekanan jiwa, kehilangan arah.
Takut kehilangan pengiktirafan sosial.
Menjadi hamba kepada nafsu dan kehendak
Ingin penghargaan manusia, bukan penghargaan Tuhannya

Solusi Nabi SAW: Tunduk Sepenuhnya Kepada Allah. Inilah kunci kekuatan seorang Muslim, dia tidak tunduk kepada budaya, bangsa, atau tekanan manusia. Dia hanya tunduk kepada Allah. Dari sinilah datangnya jiwa yang bebas dan kukuh.

Orang yang Mengenal Tuhannya Tidak Akan Cemburu kepada Dunia Orang Lain. “Jalan yang benar bukan jalan yang paling ramai orang ikut, tetapi jalan yang paling jelas petunjuknya.” Apabila kita benar-benar yakin bahawa Allah itu benar, janji-Nya benar, dan kehidupan akhirat itu benar, kita tidak akan mudah silau dengan dunia. Kita akan bangga berada atas jalan Islam, bukan rasa rendah diri dengan budaya asing.

Penyucian jiwa adalah benteng yang paling utama menghadapi gaya hidup yang melalaikan. Ia menjadikan kita:
Berpendirian.
Tidak seperti lalang.
Tidak memerlukan validasi manusia.
Tidak tergoda dengan budaya yang tidak membawa ke syurga.

Mulakan dengan keyakinan, teruskan dengan penyucian jiwa, dan istiqamahlah atas jalan yang benar.

7Soalan

Soalan:
Bagaimana yang disebutkan bahawa dengan mengingati Allah itu jiwa akan menjadi tenang dan tenteram? Apakah yang boleh diterapkan dalam diri sebagai seorang muslim untuk mengamalkan perkara tersebut?
Jawapan:
Dalam Al-Quran, Allah menyifatkan perihal orang beriman berdasarkan respen balas mereka terhadap zikrullah dan peringatan daripada Al-Quran. Firman Allah SWT:
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَـٰنًۭا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” [Surah al-Anfal, ayat 2]
Terdapat ayat-ayat yang lain yang turut menceritakan reaksi orang beriman ketika mengingati Allah, antaranya ialah:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” [Surah al-Ra’du, ayat 28]
ٱللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ ٱلْحَدِيثِ كِتَـٰبًۭا مُّتَشَـٰبِهًۭا مَّثَانِىَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ ٱلَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ
Maksudnya: “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” [Surah al-Zumar, ayat 23]
Terdapat perbezaan pandangan pada makna zikrullah dalam ayat وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ, antaranya ialah:
Sebahagian ulama mengatakan hati mereka sentiasa tenang secara berterusan dengan zikir kepada Allah melalui lisan mereka.
Mujahid, Qatadah, dan ramai ulama lain pula menafsirkan "zikir Allah" di sini sebagai al-Quran.
Sufyan bin ‘Uyaynah menyatakan: ia bermaksud dengan perintah Allah.
Sebahagian ulama mengatakan maksud "zikir Allah" ialah mereka mengingati Allah dan merenung ayat-ayat-Nya, lalu mereka mengenali kesempurnaan kekuasaan-Nya dengan penuh pandangan dan kesedaran.
Ibnu Abbas berkata: dengan sumpah menggunakan nama Allah, atau: hati menjadi tenang dengan mengingati kurnia dan nikmat-Nya, sebagaimana hati menjadi gementar apabila mengingati keadilan-Nya, balasan-Nya, dan ketetapan-Nya. [Rujuk: Tafsir al-Qurtubi, jld. 9, hlm. 315]

Maka, dapat disimpulkan bahawa zikrullah bukanlah hanya amalan lisan tetapi apabila seseorang itu mengingati Allah dalam hati dan setiap tindakan dan amalannya. Ia pasti akan mengalahkan kegelisahan yang datang daripada dunia dan syaitan.

Dengan mengingati Allah dalam setiap hal menjadikan jiwa mukmin tenteram kerana teguhnya keyakinan terhadap kekuasaan Allah dalam mengizinkan segala sesuatu berlaku, serta ilmu Allah yang luas terhadap segala sesuatu. Maka, segala kerisauan akan hilang dengan kuatnya hubungan seorang hamba dengan Allah.

Antara amalan yang boleh dipraktikkan bagi melazimi zikrullah ialah:
Memperbanyak amalan solat. Kerana solat ialah jalan penghubung antara seorang hamba dengan Allah. Semakin kuat hubungan dengan Allah, maka semakin dengan pertolongan dan rahmatNya yang menjadikan hati kita tenang.
Bacaan dan tadabur Al-Quran. Al-Quran adalah al-SYifa’ iaitu penawar termasuklah penawar bagi hati yang sedang berpenyakit atau gelisah dan tidak tenang.
Memperbanyak doa dan mengadu kepada Allah. Doa bukan hanya ritual yang dilakukan selepas solat, namun doa ialah bentuk komunikasi bersama Allah. Dalam doa kita mengakui segala kelemahan yang merisaukan kita dan menyerahkan segala urusan kepada Allah yang Maha Besar.
Melazimi zikir harian khususnya yang telah warid dari Al-Quran atau hadis. Misalnya memperbanyak istighfar kerana sesungguhnya istighfar memberikan jalan keluar dan kelapangan seperti sabda Nabi SAW:
مَنْ لَزِمَ الاِسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ ‏"‏ ‏
Maksudnya: ““Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka” [HR Abu daud, 1518]
Firman Allah SWT:
فَٱذْكُرُونِىٓ أَذْكُرْكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِى وَلَا تَكْفُرُونِ
Maksudnya: “Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).” [Surah al-Baqarah, ayat 152]
Imam Fakhrudin al-Razi ketika menjelaskan makna فَٱذْكُرُونِىٓ dalam ayat ini menyebutkan bahawa zikir terbahagi kepada tiga bentuk:

Zikir dengan lisan: Seperti memuji Allah, bertasbih, bertakbir, bertahmid, membaca al-Quran dan doa-doa.

Zikir dengan hati: Ia terbahagi kepada tiga jenis:
  • Berfikir tentang dalil-dalil yang menunjukkan kewujudan dan sifat-sifat Allah, serta mencari jawapan terhadap syubhat (keraguan) yang cuba menggugat dalil-dalil itu.
  • Merenung tentang dalil-dalil syarak yang menunjukkan cara pelaksanaan taklif syariat, perintah dan larangan Allah, janji pahala dan ancaman azab.
  • Berfikir tentang rahsia ciptaan Allah. Bila seorang hamba memandang ciptaan itu dengan hati bersih, pandangan batinnya akan tertuju kepada keagungan Allah.
Zikir dengan anggota badan (jawarih): Ini bermaksud seluruh anggota tubuh seseorang terlibat dalam ketaatan, melakukan apa yang diperintahkan, dan menjauhi segala yang dilarang. Oleh itu, solat juga dinamakan zikrullah dalam firman Allah (Surah al-Jumuah, ayat 9] [Rujuk: Tafsir al-Razi, jld. 4, hlm. 124]
Maka balasan dari mengingati Allah ialah Allah akan mengingati dengan memberikan ganjaran, pujian, rahmat dan pemberian nikmat, pertolongan dan pengabulan doa.
Selesai. Semua nama penyoal telah dibuang; struktur dan kandungan lain dikekalkan.
Scroll to Top