ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
Soal & Jawab
- Penerbit : Adib
Soalan Penonton — Bakti & Penjagaan Ibu Bapa
Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana konsep penjagaan sebenar dalam Islam berhubung kait dengan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa, apatah lagi apabila mereka uzur?
Menjaga ibu bapa merupakan sebuah amanah yang sangat perlu dititik beratkan oleh anak, apatah lagi jika mereka telah mencapai usia tua dan tidak mampu menguruskan diri mereka sendiri.
Asas dalam berinteraksi dan menjaga ibu bapa, khususnya yang telah tua dan uzur, ialah sabar dan ihsan.
Ini kerana apabila ibu bapa menjadi tua, mereka kadang-kadang berperangai seperti kanak-kanak yang mendesak dengan kemahuan mereka.
Dan kadang-kadang merajuk kerana tidak mendapat sesuatu oleh kerana hati mereka yang mudah terasa.
Sabar kerana mereka mungkin berkehendak sesuatu sehingga meragam atau menyusahkan urusan anak, sehingga anak berasa rimas dan menyampah dengan perangai ibu bapanya yang uzur.
Ihsan kerana merekalah insan yang telah mengorbankan masa, tenaga dan harta sehingga anak itu mampu membesar dan menjadi manusia. Merekalah insan pertama yang mengajar adab dan mengenal Tuhan.
Ini sesuai dengan apa yang disebut dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: “Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’.” [Surah al-Isra’, ayat 23]
Imam al-Sa’di menafsirkan ayat “Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu”: “Apabila mereka mencapai usia di mana kekuatan mereka mulai lemah dan mereka memerlukan kelembutan dan kebaikan yang sudah menjadi kebiasaan.” [Tafsir al-Sa’di, hlm. 456]
Allah SWT berfirman dalam kalamNya:
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya).” [Surah Luqman, ayat 14]
Konsep penjagaan mereka merangkumi dua perkara iaitu percakapan dan layanan kepada mereka.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). {23} Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu.” [Surah al-Isra’, ayat 23-24]
Ibnu Kathir berkata jangan berkata apa-apa yang buruk kepada mereka sekalipun mengeluh yang merupakan serendah-rendah kata-kata yang buruk. Tetapi, katakanlah sesuatu kelembutan, kebaikan, adab, yang menunjukkan penghormatan, dan penghargaan. [Tafsir Ibnu Kathir, jld. 5, hlm. 60]
Ada yang menafsirkan ayat “Dan hendaklah engkau merendah diri” sebagai jangan menahan diri daripada sesuatu yang mereka sukai, seperti melayan kehendak dan perkara yang mereka suka. Ada pula yang berkata ia bermakna tunduk merendah diri kepada mereka berdua. [Tafsir al-Tabari, jld. 17, hlm. 418-420]
Maka, betapa besarnya amanah anak kepada ibu bapanya apatah lagi jika mereka telah uzur dan tak berdaya serta memerlukan sokongan fizikal dan emosi.
Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah martabat ibu bapa dalam Islam, dan adakah terdapat kisah dari para sahabat atau tabiin yang menceritakan tentang bakti mereka kepada ibu bapa mereka dan boleh diambil ibrah daripadanya?
Maksudnya: “Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina! Ditanyakan: Siapa, wahai Rasulullah? Beliau menjawab: Seseorang yang mendapati kedua orang tuanya pada usia tua, salah satunya atau keduanya, tetapi dia tidak masuk syurga.” [HR Muslim, 2551]
Hadis ini menunjukkan betapa besar tanggungjawab berbakti dan melakukan ihsan dan kebaikan kepada ibu bapa.
Derhaka kepada ibu bapa menjadi sebab utama yang menyebabkan seseorang terhalang dari masuk surga, menunjukkan betapa besarnya dosa derhaka.
Tingginya martabat ibu bapa dalam kehidupan seorang anak sehingga mereka menjadi salah satu asbab ke syurga.
Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab RA, terdapat kisah seorang tabi’in yang masyhur iaitu Uwais al-Qarni.
Kisahnya disebut di dalam hadirth, bahawasanya setiap kali datangnya rombongan dari Yaman, Umar al-Khattab RA akan bertanya: “Apakah di antara kalian ada Uwais bin Amir?” Sehinggalah satu masa beliau menemuinya. Umar bertanya kepada orang itu beberapa soalan seperti namanya, dari mana dia datang, penyakit yang dia pernah hidap dan adakah dia mempunyai ibu.
Selepas mengesahkan jawapannya, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang kepada kalian Uwais bin Amir bersama rombongan dari penduduk Yaman, dari Murad, kemudian dari Qarn. Dia pernah mengidap penyakit kulit (sopak), kemudian Allah menyembuhkan dan menghilangkan sopak dari seluruh badannya kecuali sebahagian kecil pada badannya sebesar ukuran dirham. Dia memiliki ibu yang sangat dia sayangi, dan dia berbakti kepadanya. Jika dia bersumpah kepada Allah, Allah akan memenuhi sumpahnya. Jika kamu dapat memintanya untuk memohon ampun untukmu, maka lakukanlah.”
Umar memohon didoakan keampunan baginya. Maka, Uwais pun berdoa untuknya. [HR Muslim, 2542]
Betapa besarnya hikmah menghormati dan berbakti kepada ibu bapa sehingga Allah SWT menaikkan darjat hamba tersebut sehingga Khalifah Umar RA, sahabat yang rapat dengan Nabi SAW juga memohon agar didoakan oleh Uwais yang tak pernah bertemu langsung dengan Rasulullah SAW.
Assalamualaikum ustaz dan dai. Apakah sudut-sudut yang perlu kita ambil perhatian dalam menjaga ibu bapa yang uzur, terutama apabila mereka tidak mampu berjalan atau keluar ke mana-mana?
Menjaga ibu bapa yang uzur, terutamanya apabila mereka tidak mampu berjalan atau keluar, adalah tanggungjawab besar buat anak-anaknya.
Ia memerlukan perhatian khusus dalam beberapa sudut berikut adalah beberapa aspek penting dalam menjaga ibu bapa uzur:
Keperluan untuk anak anak membantu mereka dalam melaksanakan ibadah
Keperluan untuk anak-anak membantu ibu bapa dalam melaksanakan ibadah sangat penting, terutama apabila mereka sudah uzur.
Contohnya, menolak kerusi roda ke masjid, membelikan kerusi roda elektrik, membantu mengambil wuduk, atau mengingatkan waktu solat.
Bantuan ini memudahkan ibadah dan menunjukkan kasih sayang serta tanggungjawab anak terhadap orang tua.
Maknanya: “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.”[Surah Az-Zariyat, ayat 56]
Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa tujuan utama penciptaan manusia dan jin adalah untuk beribadah kepada Allah SWT. Segala amal kehidupan kita seharusnya disandarkan kepada tujuan ini, yakni menyembah Allah dengan ikhlas dan menjalani kehidupan menurut prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh-Nya.
Maka sang anak perlu menitikberatkan perkara ini dalam menjaga ibu bapa yang uzur.
Keselesaan Fizikal
Pastikan tempat tidur selesa dan sesuai dengan keperluan tubuh mereka, serta mudah diakses oleh pengurus supaya urusan bangun atau bantuan lain dapat dilakukan dengan mudah.
Selain itu, pastikan makanan yang diberikan sesuai dengan keadaan kesihatan mereka.
Melakukan aktiviti fizikal setiap hari. Ini dapat membantu meningkatkan kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit jantung serta strok.
Bagi orang dewasa berusia 65 tahun ke atas, disarankan untuk:
- Melakukan aktiviti yang meningkatkan kekuatan, keseimbangan, dan kelenturan sekurang-kurangnya 2 hari seminggu
- Melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti intensiti sederhana seminggu atau 75 minit aktiviti intensiti tinggi jika sudah aktif
- Mengurangkan masa duduk atau berbaring dan memecah tempoh tidak bergerak dengan sedikit aktiviti
Physical activity guidelines for older adults - NHS.
Kesihatan Mental
Ibu bapa yang uzur sering kali mengalami kesepian/kemurungan kerana mereka kehilangan kebebasan dan mobiliti yang mereka nikmati sebelumnya.
Hilang rasa harga diri kerana mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk keperluan harian mereka.
Menurut World Health Organization, kira-kira 14% orang dewasa berumur 60 tahun ke atas hidup dengan gangguan mental.
Gangguan kesihatan mental yang paling biasa bagi orang dewasa yang lebih tua adalah kemurungan dan kerisauna (anxiety)
Mental health of older adults
Memori dan Kognisi
Kesihatan kognitif adalah kemampuan untuk berfikir, belajar, dan mengingati dengan jelas.
Ini boleh mengganggu rasa percaya diri mereka dan menyebabkan kekeliruan atau kebimbangan.
Perubahan dalam kognisi sering menyebabkan mereka merasa tidak berguna atau hilang keupayaan untuk melakukan perkara yang mereka biasa lakukan.
Bantu mereka mengekalkan aktiviti mental seperti membaca, bermain teka-teki, atau berbual untuk merangsang pemikiran mereka.
Sokongan Emosi
Sokongan emosi adalah kunci untuk meningkatkan kesihatan subjektif warga emas, serta kesejahteraan psikologi, sosial dan emosi mereka.
Ibu bapa yang uzur boleh merasa terasing dan kesepian, terutamanya apabila mereka tidak lagi dapat keluar dan bertemu dengan orang lain.
Mereka mungkin merasa hilang rasa harga diri atau merasa tidak berguna dan “down”
Luangkan masa untuk berbual dengan mereka. Kadangkala, mereka hanya memerlukan teman untuk mendengar keluhan mereka atau berbicara tentang kenangan lama.
3. Dengan memberi perhatian kepada aspek-aspek ini, kita dapat menjaga ibu bapa yang uzur dengan penuh kasih sayang, tanggungjawab, dan kesabaran.
4. Ini adalah salah satu cara kita menunjukkan penghormatan kepada mereka yang telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan.
Assalamualaikum ustaz dan dai. Selalunya, anak-anak sibuk dengan kerjaya masing-masing. Adakah ia dianggap salah jika kita menghantar ibu atau bapa ke rumah orang tua untuk penjagaan?
Perintah supaya melakukan kebaikan terhadap ibubapa juga dapat dilihat dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa” [Surah al-Nisa, ayat 36]
Rasulullah SAW juga telah menyebut berkenaan kelebihan dan keutamaan dalam menjaga dan berbakti kepada kedua orang tua:
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibubapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah.” [HR Bukhari, 85]
Melakukan perkara yang baik adalah kewajipan seorang anak terhadap ibu atau ayah tanpa mengira muslim atau kafir, ini berdasarkan hadis Asma binti Abu Bakar RA:
Maksudnya: “Ibuku menemuiku saat itu dia masih Musyrik ketika Quraisy muslimin mengikat perjanjian dengan Rasulullah SAW dan ayahnya, lalu aku meminta pendapat kepada Rasulullah SAW. Aku katakan; "Wahai Rasulullah, Ibuku (yang musyrik) datang kepadaku dan dia sangat ingin (aku berbuat baik padanya), apakah aku harus tetap menjalin hubungan dengan ibuku?". Baginda menjawab: "Ya, sambunglah silaturrahim dengannya" [HR Bukhari, 2620]
Menempatkan Ibu Bapa di rumah orang tua adalah dibolehkan, jika sekiranya mereka menyukainya. Begitu juga jika layanan yang diberikan adalah baik dan tiada unsur penganiayaan terhadap mereka.
Namun, jika kedua ibu bapa tidak meredhai dan tidak setuju dihantar ke rumah orang tua, malah jika berlaku penganiayaan terhadap mereka, maka hukumnya adalah haram.
Lebih-lebih lagi jika anak hanya ingin melepaskan tangan dan tanggungjawab tanpa menziarahi atau memberi nafkah kepada ibu bapa itu adalah dosa besar kerana perasaan mereka tidak dijaga.
Ingatlah pesanan Rasulullah SAW kepada kita sebagai renungan:
Maksudnya: “Sesiapa yang suka diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka hendaklah datang kematiannya dalam keadaan dia beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. Dia juga memperlakukan manusia sebagaimana dia suka manusia perlakukan kepadanya.” [HR Muslim, 1844]
Betapa ruginya kita sekiranya kita tidak berusaha bersungguh-sungguh berbakti sedangkan mereka masih berada di sisi kita.
Sebaliknya menderhaka kepadanya adalah jalan pintas untuk menuju kepada kecelakaan dalam kehidupan. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah redha dengan sebab redha kedua ibubapa dan Allah murka dengan sebab murka kedua ibubapa.” [HR Tirmizi, 1899]
Kesimpulannya, ia bergantung kepada kehendak ibu bapa. Jika mereka bersetuju tanpa paksaan, maka ia dibenarkan. Namun, jika mereka tidak setuju dan kita tetap menghantar mereka, maka itu adalah dosa besar.
Assalamualaikum ustaz dan dai. Menjaga orang yang uzur memang mencabar, terutamanya bila anak-anak sibuk dengan kerjaya masing-masing. Kadang-kadang, motivasi kita adalah pahala. Adakah seseorang akan mendapat pahala lebih besar apabila menghadapi ujian yang lebih berat?
Setiap ujian yang dihadapi seseorang itu, baik ringan atau berat, akan diberikan ganjaran yang sesuai dengan sikap sabarnya. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW,
Maksudnya: Sesungguhnya besarnya ganjaran seiring dengan besarnya ujian, dan sesungguhnya Allah Taala apabila Dia mencintai suatu kaum, Dia mengujinya; barang siapa yang reda, maka bagi mereka adalah keredaan, dan barang siapa yang marah, maka bagi mereka adalah kemurkaan.” [HR Ibn Majah, 4031]
Orang yang diberikan ujian yang besar bukan sahaja akan memperoleh pahala yang berganda, bahkan dosa-dosanya juga diampunkan. Ini adalah sebahagian daripada rahmat Allah kepada hamba-Nya. Kesulitan dan cabaran dalam menguruskan orang tua yang uzur memerlukan kesabaran yang tinggi. Maka, Allah akan memberikan ganjaran yang besar.
Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa dengan keletihan, atau sakit, atau kesedihan, atau duka, atau kesusahan, atau kegelisahan, sehingga duri yang menikamnya, melainkan Allah menghapuskan dengan itu sebahagian dosa-dosanya.” [HR Muslim, 2573]
Maka adalah penting untuk memahami bahawa penjagaan orang tua uzur mestilah dengan penuh kasih sayang, sabar, dan ikhlas kerana Allah SWT. Sesungguhnya inilah waktu sebenar seseorang itu diuji tentang kesanggupan dia berbakti dan membalas jasa orang tuanya.
Kita jangan bersikap sambil lewa dalam menjaga mereka disebabkan faktor hujung usia berbaki. Sikap ini sangat berkait dengan satu pemikiran falsafah utilitarianisme yang mempertimbangkan umur dan potensi kehidupan masa depan seseorang.
Apa yang islam ajarkan adalah mengutamakan penjagaan nyawa sebagai satu maqasid syariah yang tinggi dan berusaha meminimumkan mudarat.
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” [Surah al-Maidah, ayat 32]
Oleh itu, tugas menjaga orang tua uzur adalah sebahagian dari peluang meraih pahala berganda di samping melunaskan kewajipan seorang anak terhadap kedua ibubapanya. Lantaran itu kita seharusnya menjaga orang tua uzur dengan penuh penghormatan dan kesabaran, kerana ini adalah peluang kita untuk berbakti kepada mereka dan meraih ganjaran dari Allah SWT.
Assalamualaikum ustaz dan dai, Apa pendapat ustaz jika ibu bapa uzur tinggal di rumah anak pertama, kemudian berpindah ke rumah anak kedua dan menceritakan keburukan anak pertama? Apa sikap yang perlu ditunjukkan oleh anak-anak dalam situasi ini?
Anak anak perlu faham bahawa ibu bapa yang uzur kadangkala fikiran dan rasionalnya tidak lagi tepat seperti di usia mudanya, maka adalah lebih baik untuk kita sekadar mendengar tanpa mengapi-apikan perkara buruk yang diperkatakan oleh mereka. Allah SWT berfirman:
Maknanya: “Allah jualah yang menciptakan kamu dari keadaan yang lemah, kemudian Dia menjadikan kamu selepas fasa lemah itu kuat, dan kemudian Dia menjadikan selepas fasa kekuatan itu lemah dan tua.” [Surah ar-Rum, ayat 54]
Ayat ini menjelaskan bahawa manusia apabila tiba di usia tua akan kembali lemah secara fizikal, mental dan emosi. Maka janganlah terlalu ambil serius apa yang keluar dari mulut mereka dari cacian atau makian. Sebaliknya, layanilah mereka dengan kasih sayang dan jagalah hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dan adik beradik.
Pastinya anak yang dikatakan buruk itu ada kelebihannya juga, maka kita sebagai adik beradik seeloknya bersangka baik dan mengambil kata-kata orang tua itu sebagai iktibar dan bukan sebagai bahan untuk mengutuk dan menghina adik beradik yang lain.
Keharmonian keluarga khususnya antara adik beradik adalah lebih utama untuk dikekalkan kerana sekiranya berlaku pergaduhan dan perpecahan, kelak akan pasti lebih sukar untuk menjaga orang tua kerana tiada bantuan atau giliran yang secukupnya untuk dibahagikan sesama adik beradik. Akhirnya, kedua orang tua juga yang terabai, semoga Allah jauhkan kita dari perkara seperti ini.
Berikut antara sikap yang boleh dipraktikkan oleh anak-anak dalam menghadapai situasi ibu bapa uzur yang menceritakan keburukan anak yang lain:
- Bersabar dan mendengar dengan tenang mendengar kata-kata ibu bapa yang uzur
- Elakkan bertindak balas dengan kata-kata atau tindakan yang memperburuk keadaan.
- Bersangka baik dengan ibu bapa
- Bersikap adil dan tidak menyebarkan fitnah
- Fokus pada menjaga ibu bapa dengan penuh kasih sayang
Semoga dengan sikap yang penuh kasih sayang, kesabaran, dan kebijaksanaan, kita dapat menjaga ibu bapa dengan sebaiknya serta memelihara hubungan kekeluargaan yang harmoni. Dalam hadis Rasulullah SAW, beliau mengingatkan kita untuk memastikan lidah dan tangan kita tidak menimbulkan kemudaratan kepada orang lain, kerana menjaga kebaikan sesama saudara adalah ciri seorang Muslim sejati.
Daripada Abdullah bin Amru RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Maknanya: “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.” [HR Bukhari, 6484]
Assalamualaikum ustaz dan dai. Seorang anak selalu jaga ibu bapa di kampung, tetapi bila adik-beradik lain pulang, mereka hanya ingat kebaikan mereka dan kata, "Tengok abang kau, bagi macam-macam." Sedangkan anak yang tinggal bersama menjaga mereka setiap hari tidak pernah dipuji. Apa pendapat ustaz tentang situasi ini?
Segala apa yang dikatakan oleh orang tua kita, jangan disimpan di dalam hati dan anggaplah ianya sekadar kata-kata kosong yang dilontarkan untuk mendapatkan perhatian anak-anaknya.
Dalam situasi seperti ini, penting untuk adik-beradik lain memainkan peranan dalam memberi sokongan, dorongan, dan pengiktirafan terhadap anak yang menjaga ibu bapa setiap hari. Mereka yang datang sekali-sekala, walaupun hanya hadir pada waktu tertentu, seharusnya menyedari dan memuji pengorbanan yang besar dilakukan oleh saudara mereka yang berada di sisi ibu bapa sepanjang masa.
Maknanya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.” [HR Bukhari, 13]
Jagalah perasaan adik beradik kita sebagaimana kita hendak perasaan kita dijaga. Anak yang dibandingkan itu pastinya terguris hatinya dan pada masa yang sama, anak itu pasti usaha untuk tidak menghiraukan kata-kata orang tuanya. Tugas adik beradik yang lain adalah membantu anak tersebut dengan memujuk hatinya dengan pujian , penghargaan dan ucapan terima kasih.
Mengiktiraf dan memuji pengorbanan anak yang selalu menjaga ibu bapa. Adik-beradik yang datang sekali-sekala sepatutnya lebih peka dan memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada saudara mereka yang menjaga ibu bapa setiap hari. Puji dan hargailah pengorbanan yang dilakukan oleh anak yang selalu bersama ibu bapa, kerana ini akan membantu menguatkan semangat dan mengurangkan rasa kecewa.
Dorongan dan sokongan dari adik-beradik lain. Dalam keadaan seperti ini, adalah sangat penting bagi adik-beradik yang lain untuk memberi sokongan moral dan emosi.
Mengajak ibu bapa untuk sedar dan menghargai pengorbanan anak yang menjaga mereka. Walaupun tidak mudah untuk mengubah fikiran atau memujuk ibu bapa yang mungkin sudah tua dan mengalami kelemahan emosi, usaha untuk menyejukkan hati anak yang merasa tidak dihargai tetap perlu diteruskan.
Memberi hadiah sebagai penghargaan kepada anak yang menjaga ibu bapa. Selain memberi hadiah kepada ibu bapa, adalah sangat bermakna jika adik-beradik yang lain turut memberi hadiah atau penghargaan kepada anak yang menjaga ibu bapa dengan penuh kasih sayang. Rasulullah SAW bersabda:
Maknanya: "Saling memberi hadiah akan menumbuhkan kasih sayang di antara kalian." [HR Bukhari, 594]
Hadiah ini bukan hanya sebagai tanda penghargaan terhadap usaha anak tersebut, tetapi juga sebagai simbol sokongan dan penghormatan terhadap pengorbanan yang telah dilakukan.
