ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

benar membawa ke syurga
Soalan Penonton – Kejujuran & Integriti

SOALAN PENONTON

Soalan 1

Assalamualaikum ustaz dan dai. Mengapa kejujuran dianggap sebagai salah satu asas akhlak mulia dalam Islam, dan bagaimana ia berfungsi sebagai kunci untuk membuka pintu syurga?

Kejujuran adalah salah satu asas akhlak mulia dalam Islam kerana ia menjadi penentu utama dalam pembentukan hubungan yang baik antara individu, masyarakat, dan Allah SWT.

Ia bukan sekadar mencerminkan perbuatan dan integriti seseorang, malah ia merupakan sebuah manifestasi dari niat dan hati.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.” [Surah al-Taubah, ayat 119]

Imam al-Sa’di berkata: “(Iaitu) perkataan mereka adalah benar, perbuatan dan keadaan mereka tidak lain melainkan dengan benar, bebas daripada kemalasan dan kelalaian, terpelihara daripada tujuan yang buruk, serta penuh dengan keikhlasan dan niat yang baik.” [Tafsir al-Sa’di, hlm. 355]

Allah SWT menyuruh orang yang beriman mengikut orang-orang yang jujur kerana merekalah yang dipercayai dan membawa kebenaran serta tidak menyimpan sesuatu demi kepentingan sendiri.

Nabi Muhammad SAW terkenal dengan kejujuran di kalangan kaumnya, dan tiada seorang pun yang meragui perkara ini, sehingga beliau terkenal dengan gelaran Al-Amin, yang dipercayai lagi amanah.

Muhammad Abu Shihbah menyebutkan dalam kitab karangannya: “Begitu juga beliau SAW adalah contoh sempurna bagi amanah dan menunaikan hak kepada pemiliknya, serta kebenaran dalam berkata-kata. Tidak pernah tercatat daripadanya pengkhianatan atau dusta sama sekali.” [Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau’ al-Quran wa al-Sunnah, jld. 2, hlm. 662]

Ketika Heraclius memanggil beberapa orang dari kaum Nabi SAW untuk bertanya tentang baginda, Abu Sufyan (ketika itu masih belum memeluk Islam) ditanya adakah baginda pernah berbohong. Abu Sufyan sendiri mengakui bahawa baginda tidak pernah berbohong.

Kejujuran mempengaruhi kehidupan seseorang dengan masyarakat di sekelilingnya kerana:

  • Ia membina kepercayaan antara setiap individu dan mengukuhkan hubungan sesama mereka.
  • Ia menghindari dosa seperti berbohong, menipu, dan menyebarkan fitnah.
  • Ia menjadi contoh kepada orang lain untuk berani menyatakan kebenaran dan memimpin ke jalan yang benar.

Kesemua ini hakikatnya menepati maqasid syariah.

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ، وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebaikan, dan sesungguhnya kebaikan itu membawa kepada syurga, dan sesungguhnya seseorang itu akan terus berkata benar sehingga dia dicatat sebagai seorang siddiq (orang yang sangat benar).” [HR al-Bukhari, 6094]

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa kejujuran itu merupakan kunci kepada syurga.

Istilah الْبِرِّ merujuk kepada segala jenis kebaikan.

Ini juga seperti yang disebut oleh Imam al-Sa’di: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan, dan sesungguhnya kebaikan itu membawa kepada syurga.” [Tafsir al-Sa’di, hlm. 355]

Kejujuran dalam Islam bukan sekadar perbuatan berkata benar, tetapi ia adalah manifestasi daripada ketakwaan dan komitmen seseorang terhadap ajaran agama.

Orang yang menjadikan kejujuran sebagai prinsip hidup, bukan sahaja dihormati oleh manusia, tetapi juga diterima di sisi Allah SWT.


Soalan 2

Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana seseorang boleh istiqamah dalam kejujuran ketika melakukan kerja? Apakah contoh daripada sirah Nabi SAW dan para sahabat bagi integriti dalam pekerjaan?

Dalam konteks pekerjaan, istiqamah dalam kejujuran melibatkan sikap yang terus menerus menjaga nilai kebenaran, bertanggungjawab, dan amanah, walaupun dalam situasi yang mencabar atau tidak menguntungkan.

Nilai kejujuran ini disebut secara tidak langsung dalam kisah Nabi Musa AS dan anak perempuan Nabi Syu’aib AS seperti yang dirakam dalam Al-Quran:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Maksudnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” [Surah al-Qasas, ayat 26]

Sifat jujur yang merupakan asas dalam amanah merupakan salah satu intipati penting dalam pekerjaan.

Amanah di sini merujuk kepada kemampuan seseorang untuk memikul tanggungjawab dengan penuh integriti termasuklah tidak menipu dan selalu berlaku jujur pada pekerjaannya.

Tidak mungkin seseorang itu dikatakan amanah jika dia tidak jujur. Jika dia tidak boleh dipercayai pada kata-kata dan perbuatannya, bagaimana orang lain boleh mengamanahkan sesuatu kepadanya?

Istiqamah dalam kejujuran adalah kunci yang membawa seseorang untuk tetap bertindak dengan benar dan tidak terjerumus ke dalam penipuan.

Sebagai contoh, seorang pekerja akan memastikan bahawa setiap laporan yang disediakan adalah tepat, setiap transaksi yang dilakukan adalah sah, dan segala urusan pekerjaan dilakukan dengan penuh ketelusan.

Contoh lain, seorang pekerja tidak akan memanipulasi data atau mengambil kesempatan untuk keuntungan peribadi walaupun mungkin tiada siapa yang tahu.

Terdapat beberapa pendekatan untuk istiqamah dalam kejujuran ketika bekerja:

  • Seseorang perlu memahami prinsip-prinsip asas Islam mengenai amanah, tanggungjawab, dan integriti dan menyedari bahawa setiap pekerjaan boleh menjadi ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan benar.
  • Dia perlu sentiasa mengingatkan dirinya bahawa setiap tindakan, sama ada dilihat atau tidak dilihat oleh orang lain, tetap akan diperhitungkan oleh Allah SWT.
  • Dia juga perlu menghindari situasi atau tindakan tertentu yang boleh membawa kepada penipuan atau penyalahgunaan amanah seperti rasuah dan manipulasi data.
  • Perlu selalu berdoa memohon pertolongan dari Allah agar diberikan kekuatan dan istiqamah untuk menjalankan setiap pekerjaan dengan penuh integriti dan kejujuran

Nabi SAW juga seseorang yang jujur sehingga dilantik memegang amanah barang perdagangan Khadijah RA.

Ibnu Hisyam menyebutkan: “Ketika dia (Khadijah RA) mendengar tentang Rasulullah SAW, tentang kebenaran ucapannya, keagungan amanahnya, dan kebaikan akhlaknya, dia mengutus kepadanya dan menawarkan untuk mengirimkan harta dagangannya ke Syam dengan harga yang lebih baik daripada yang dia berikan kepada pedagang lainnya.” [Sirah Ibnu Hisyam, jld. 1, hlm. 188]

Ibnu Hisyam menyambung dengan membawa pesanan Khadijah RA kepada baginda: “Wahai sepupuku, sesungguhnya aku tertarik padamu karena kekerabatanmu, kedudukanmu di kalangan kaummu, amanahmu, akhlakmu yang baik, dan kebenaran ucapmu.” Kemudian, dia menawarkan dirinya kepada Rasulullah SAW.” [Sirah Ibnu Hisyam, jld. 1, hlm. 189]

Terdapat juga kisah sahabat Ka’ab bin Malik RA yang bersikap jujur dalam kata-katanya.

Beliau tidak sertai ke Perang Tabuk. Ketika mendengar khabar Rasulullah SAW pulang, beliau mula berfikir untuk berbohong dan alasan apa yang ingin diberi supaya dapat mengelak dari dimarah Rasulullah SAW.

Namun, Ka’ab memilih untuk berkata jujur walaupun dia tahu apa kesannya. Rasulullah membenarkan kata-kata Ka’ab dan memutuskan untuk menunggu keputusan Allah tentang Ka'ab.

Apabila turun wahyu bahawa Allah SWT menerima taubat Nabi, para Muhajirin, dan para Ansar, serta mengarahkan mereka untuk bersama orang-orang yang benar, Ka’ab merasakan itu adalah nikmat terbesar dan bersyukur kerana tidak berbohong.

[Mausu’ah al-Akhlak al-Islamiyyah, jld. 1, hlm. 347]

Maka, sifat istiqamah dalam kejujuran merupakan salah satu perkara yang dituntut dalam Islam khususnya dalam pekerjaan.


Soalan 3

Assalamualaikum ustaz dan dai. Mengapa ramai orang bermudah-mudahan dalam bercerita tentang perkara atau isu yang mereka tidak tahu, bahkan menambah perkara yang tidak ada untuk menyedapkan cerita, sehingga tersebar fitnah dan kenyataan palsu?

Ramai orang bermudah-mudahan dalam bercerita tentang perkara yang mereka tidak tahu atau menambah cerita sehingga orang yang mendengar menyangka itu adalah kisah yang benar.

Ramai manusia suka untuk bercakap dalam hal yang dia tidak tahu, kerana keinginan duniawi mengatasi rasa tanggungjawab terhadap kebenaran. Sedangkan Allah SWT sudah menegur sikap yang sebegini di dalam Al-Quran:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan dipersoalkan semula (di akhirat nanti tentang bagaimana ia digunakan).”

[Surah al-Isra, ayat 37]

Antara faktornya ialah kurang kesedaran tentang akibat fitnah. Allah SWT melarang kita bersangka-sangka kerana ia boleh membawa kepada fitnah.

Fitnah sering bermula dengan sangkaan, ditambah pula dengan sikap tidak berhati-hati dalam percakapan serta kecenderungan menyebarkan sesuatu tanpa usul periksa. Sangkaan itu kemudiannya diulang-ulang sehingga kelihatan seperti satu fakta. Akhirnya, seseorang terlibat dalam fitnah tanpa sedar. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa.” [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Ini kerana Allah SWT melarang hamba-Nya daripada mendekati sangkaan-sangkaan yang tidak berasas, kerana ia boleh menjerumus kepada perkara yang lebih buruk.

Sangkaan yang tidak diselidiki bukan sahaja membuka ruang kepada fitnah, tetapi juga menjauhkan seseorang daripada sikap jujur dan amanah dalam berkata-kata.

Seterusnya, timbulnya sikap malas untuk mencari kebenaran atau mengetahui cerita sebenar. Ini kerana ia memerlukan masa, usaha dan tenaga untuk membuat penyelidikan dan pengesahan berhubung sesuatu perkara, dan adakalanya ia meletihkan.

Maka, jalan mudah bagi sesetengah orang ialah menyebarkan sesuatu tanpa usul periksa. Perbuatan ini buruk dan bertentangan dengan ajaran agama. Dalam Islam, orang yang menyampaikan segala yang didengarnya tanpa tapisan disifatkan sebagai pendosa. Amaran dari Nabi SAW:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: “Cukuplah untuk sesorang itu untuk (dikatakan) berdosa apabila dia menceritakan semua perkara yang didengarinya (yakni tanpa usul periksa)” [HR Muslim, 4482]

Kesimpulannya, bermudah-mudahan bercerita tanpa mengetahui kebenaran atau menambah cerita untuk menarik perhatian boleh menambahkan dosa, mencemarkan maruah dan tersebarnya fitnah dalam masyarakat.


Soalan 4

Assalamualaikum ustaz dan dai. Ramai orang di media sosial yang menayangkan kehebatan, kecantikan, dan kemewahan yang palsu semata-mata ingin mendapatkan like dan follower dari ramai orang. Bagaimana media sosial mengganggu budaya jujur dalam masyarakat hari ini?

Media sosial kini memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi dan identiti seseorang.

Banyak orang berlumba-lumba menayangkan kehebatan, kecantikan, dan kemewahan yang kadang-kadang palsu semata-mata untuk mendapatkan "like" dan "followers".

Lama-kelamaan budaya untuk berpura-pura adalah lebih disanjung melebihi budaya jujur dalam masyarakat. Perkara ini adalah disebabkan:

Kecenderungan untuk mendapatkan perhatian

Untuk menarik perhatian atau pengiktirafan, ramai pengguna media sosial lebih suka menunjukkan kehidupan yang ideal dan sempurna, walaupun ia tidak mencerminkan realiti.

Ini boleh mendorong budaya berpura-pura, di mana seseorang rasa perlu untuk menunjukkan diri yang tidak sebenar, tetapi yang kelihatan lebih baik.

وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ، فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ، وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ، حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu menjauhi pembohongan, kerana sesungguhnya pembohongan membawa kepada perbuatan keji (fujur), dan perbuatan keji membawa kepada neraka. Seorang lelaki itu akan terus berbohong dan berusaha untuk berbohong sehingga dia dicatat sebagai pendusta di sisi Allah.”

[HR Ahmad, 3639]

Terperangkap dalam dunia media sosial

Dengan pendedahan yang berlebihan kepada kehidupan orang lain di media sosial, ramai yang merasa tertekan untuk berkompetisi atau menunjukkan sesuatu yang lebih hebat daripada yang lain

Keadaan ini mendorong manusia menjadi bersikap materialistik, kerana wujudnya tekanan sosial untuk sentiasa menunjuk-nunjuk apa yang dimiliki.

Justeru, ramai yang ingin menunjukkan apa yang mereka miliki, walaupun terpaksa menipu. Jika tidak, mereka bimbang tidak akan dipandang atau dihargai. Ini membina suasana masyarakat yang tidak sihat.

Sedangkan dalam Islam, kayu ukuran kekayaan adalah pada hati yang merasa cukup bukanlah dengan harta yang dimiliki di dunia ini. Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ ‌كَثْرَةِ ‌الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النفس

Maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar adalah kekayaan jiwa (hati).”

[HR Bukhari, 6081]

Tiada garis panduan di dalam dunia atas talian tanpa batas

Media sosial memberi kebebasan kepada individu untuk melakukan apa sahaja bentuk kelakuan, samaada baik mahupun buruk berlindung disebalik skrin dan gajet.

Tanpa interaksi fizikal, seseorang tidak merasakan impak perbuatannya secara langsung.

Oleh itu, tanpa panduan dan kawalan diri, pastinya akan terjerumus kepada perkara-perkara yang negatif

Kesimpulannya, media sosial telah pun menipiskan budaya kejujuran dan kehormatan kerana yang dikejar hanyalah status dan kemegahan tanpa mengira adab dan panduan yang diajarkan oleh Islam.


Soalan 5

Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada kawan saya kata “lebih baik berbohong daripada bergaduh” untuk mengelakkan konflik. Apakah pandangan Islam tentang berbohong demi mengelakkan konflik? Apakah nasihat untuk mereka yang beranggapan begini?

Islam melarang berbohong untuk mengelakkan konflik adalah tidak dibenarkan, bahkan ia boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar seperti kehilangan kepercayaan, keretakan hubungan, dan kerosakan moral.

وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ ‌يَهْدِي ‌إِلَى ‌الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ

Maksudnya: “Dan jauhilah oleh kamu daripada berbohong, kerana sesungguhnya bohong itu membawa kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu membawa ke neraka.” [HR Muslim, 2607]

Hakikatnya, Islam mengajar untuk berkata benar walaupun keadaan itu tidak menyenangkan kerana ia mungkin boleh membawah kepada kemarahan ataupun tidak puas hati.

Abu Dzar al-Ghifari RA berkata:

وَأَمَرَنِي أَنْ أَقُولَ بِالْحَقِّ وَإِنْ كَانَ مُرًّا

Maksudnya: “Dan baginda memerintahkan aku untuk berkata benar walaupun ia pahit.” [HR Ahmad, 21415]

Lihat kisah Ka’ab bin Malik yang memilih untuk bercakap benar di hadapan Nabi SAW (seperti dalam soalan 2 di atas).

Beliau tidak hadir ke Perang Tabuk. Datang fikiran untuk berbohong kepada Rasulullah SAW untuk mengelak dimarahi baginda. Itulah mengelak konflik.

Tetapi, Ka’ab akhirnya memilih untuk jujur dan mendapat keampunan daripada Allah SWT dan beliau bersyukur kerana tidak berbohong.

[Mausu’ah al-Akhlak al-Islamiyyah, jld. 1, hlm. 347]

Adapun hadis berkenaan dibenarkan berbohong untuk mendamaikan orang yang bermusuhan seperti dalam hadis berikut:

لَيْسَ الْكَذَّابُ الَّذِي يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ، فَيَنْمِي خَيْرًا أَوْ يَقُولُ خَيْرًا

Maksudnya: “Bukanlah pembohong itu orang yang mendamaikan antara sesama manusia, yang menyampaikan kebaikan atau mengatakan sesuatu yang baik” [HR Muslim, 2607]

Konteks hadis ini berbeza, kerana berbohong yang dibenarkan adalah untuk mendamaikan orang yang bermusuhan, bukan menghindari konflik yang secara lazimnya belum berlaku.

Contoh, mengatakan pihak A memuji pihak B sedangkan itu tidak benar.

Islam tidak mengajar untuk berbohong untuk menghindari konflik, namun Islam mengajar untuk menyelesaikannya dengan berani. Dalil yang menunjukkan untuk perkara demikian:

Sabda Nabi SAW:

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ، أَوْ أَمِيرٍ جَائِرٍ

Maksudnya: “Sebaik-baik jihad adalah kalimat keadilan di hadapan pemerintah yang zalim, atau pemimpin yang zalim” [HR Abu Daud, 4344]

Konflik menghadapi pemimpin yang zalim semestinya lebih besar dan ketegangan yang wujud pasti lebih tinggi.

Walaupun dalam situasi yang penuh risiko atau berpotensi menyebabkan konflik dengan pihak yang berkuasa, berkata benar tetap menjadi kewajipan.

Islam mengajarkan untuk berkata benar walaupun pahit dan menyakitkan.

Namun, Islam tidak menyuruh untuk berkata benar semata-mata. Ia juga memberi beberapa pendekatan untuk dilakukan:

Berkata dengan hikmah dan bijaksana

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” [Surah al-Isra’, ayat 53]

Berdoa agar dimudahkan urusan

Doa Nabi Musa AS ketika hendak menghadapi Firaun:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي * وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي * وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي * يَفْقَهُوا قَوْلِي

Maksudnya: “Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku * Dan mudahkanlah bagiku tugasku * Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku * Supaya mereka faham perkataanku.” [Surah Taha, ayat 25-28]

Maka, berkata benarlah walaupun ia mungkin akan membawa kepada konflik. Islam tidak menyuruh kita lari daripada konflik, tapi Islam menyuruh untuk menyelesaikan dengan bijak dan berharap kepada Tuhan yang memegang hati-hati manusia.


Soalan 6

Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada mak ayah yang lebih memilih untuk berbohong kerana ingin menjaga perasaan anak-anak dan mengelak mereka daripada meminta untuk dibelikan bermacam-macam benda. Bolehkah kita menipu dalam situasi begini?

Dalam situasi seperti ini, di mana ibu bapa mungkin berbohong untuk menjaga perasaan anak-anak atau mengelak mereka daripada meminta perkara yang tidak mampu dibeli.

Ia boleh dianggap sebagai suatu dilema moral. Namun, dari segi Islam, menipu atau berdusta dalam situasi apapun tetap tidak dibenarkan. Nabi SAW bersabda:

وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ ‌يَهْدِي ‌إِلَى ‌الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ

Maksudnya: “Dan jauhilah oleh kamu daripada berbohong, kerana sesungguhnya bohong itu membawa kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu membawa ke neraka.” [HR Muslim, 2607]

Diriwayatkan di dalam hadis Nabi SAW, daripada Abdullah Bin Amir Bin Rabi’ ah:

دَعَتْنِي أُمِّي يَوْمًا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ فِي بَيْتِنَا، فَقَالَتْ: هَا تَعَالَ أُعْطِكَ، فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "مَا أَرَدْتِ أَنْ تُعْطِيهِ؟" قَالَتْ: أُعْطِيهِ تَمْرًا، فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "أَمَا إِنَّكِ لَوْ لَمْ تُعْطِهِ شَيْئًا، كُتِبَتْ عَلَيْكِ كَذِبَةٌ

Maksudnya: “Suatu hari, ibuku memanggilku ketika Rasulullah SAW sedang duduk di rumah kami. Ibuku berkata: 'Mari sini, ibu akan berikan sesuatu.' Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: 'Apa yang engkau ingin berikan kepadanya?' Ibuku menjawab: 'Saya ingin memberikannya sebiji tamar (kurma).' Lalu Rasulullah SAW bersabda: 'Ketahuilah, sekiranya engkau tidak memberinya apa-apa, nescaya akan dicatat atasmu satu dosa dusta (pembohongan).” [HR Abu Daud, 4991]

Apa yang difahami daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amir bin Rabi‘ah ini ialah bahawa penipuan terhadap anak-anak juga dianggap sebagai satu kesalahan.

Tidak perlu menggunakan penipuan untuk menjaga hati atau mengelak mereka dari meminta untuk membeli sesuatu perkara.

Pendekatan yang baik ialah ibu bapa menjelaskan keadaan sebenar dengan bijak, contohnya dengan berkata: "Sekarang kita sedang menabung untuk keperluan penting. Nanti, bila sudah mampu, kita cuba lagi."

Kesimpulannya, kejujuran adalah asas dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam hubungan keluarga. Namun, dalam mengamalkan kejujuran, kita perlu menjaga cara dan kaedah penyampaian.


Soalan 7

Assalamualaikum ustaz dan dai. Saya pernah jumpa peniaga yang menipu ketika menimbang makanan. Apa nasihat Islam bagi mereka yang tidak jujur dalam perniagaan semata-mata ingin mengaut lebih keuntungan?

Islam amat menekankan pentingnya kejujuran dalam setiap aspek kehidupan, terutamanya dalam perniagaan. Perniagaan yang adil dan jujur merupakan salah satu asas penting dalam mencipta masyarakat yang makmur dan sejahtera. Allah SWT telah memberi panduan yang jelas mengenai etika perniagaan, yang berlandaskan kejujuran, keadilan, dan tanggungjawab.

Kejujuran dalam perniagaan bukan sahaja dilihat dari segi kualiti produk atau perkhidmatan yang dijual, tetapi juga dalam timbangan dan sukatan. Allah SWT berfirman:

وَيْلٌ لِّلْمُطَفِّفِينَ (1) الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ (2) وَإِذَا كَالُوهُمْ أَو وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ (3)

Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menipu (dalam menimbang dan mengukur), yang apabila mereka menerima sukatan (membeli) dari orang lain, mereka menuntut agar sukatannya dipenuhi dengan sempurna, dan apabila mereka yang melakukan sukatan (menjual) atau menimbang untuk orang lain, mereka merugikannya (mengungai sukatan)." [Surah Al-Mutaffifin, ayat 1-3]

Ayat ini dengan jelas menjanjikan kecelakaan bagi mereka yang menipu dalam perniagaan. Kejujuran dalam setiap transaksi, termasuk dalam menimbang dan mengukur, adalah asas menyelamatkan para peniaga dari azab sekaligus memperolehi keberkatan dalam perniagaan.

Rasulullah SAW juga menekankan pentingnya kejujuran dalam perniagaan. Dalam sebuah hadis, Baginda SAW bersabda:

مَن غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنّا

Maksudnya: "Barang siapa yang menipu kami, maka dia bukan dari kalangan kami.” [HR Muslim, 102]

Hadis ini menunjukkan betapa seriusnya penipuan dalam perniagaan di sisi Islam, dan memberi amaran kepada umatnya agar menjauhi segala bentuk penipuan dalam urusan perniagaan. Kejujuran dalam setiap transaksi adalah refleksi daripada iman yang tulus kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Allah SWT berfirman:

وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ

Maknanya: Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil, dan janganlah kamu mengurangi sukatan (timbangan) itu." [Surah Al-Isra, ayat 35]

Ini merupakan satu lagi ayat sebagai peringatan agar para peniaga memastikan bahawa segala transaksi dilakukan dengan keadilan dan ketepatan, tanpa sebarang bentuk manipulasi atau penipuan.

Kesimpulannya, Islam menekankan kejujuran dalam setiap aspek kehidupan, terutama dalam perniagaan. Kejujuran tidak hanya membawa keuntungan duniawi tetapi juga memberikan keuntungan di akhirat serta menjamin kejayaan yang berkekalan.

Scroll to Top