ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

niat kerana Allah
Soalan Penonton – Niat Kerana Allah Taala

SOALAN PENONTON

NIAT KERANA ALLAH TAALA

Soalan 1: Assalamualaikum ustaz dan dai. Kenapa niat ikhlas kerana Allah sangat penting dalam setiap amal? Adakah niat ni kita boleh anggap macam target dan matlamat? Apa jadi jika niat seseorang tersasar daripada tujuan mencari reda Allah?

Niat yang ikhlas kerana Allah adalah asas kepada setiap amal dalam Islam. Ia menjadi penentu utama nilai dan penerimaan amalan tersebut di sisi Allah.

Nabi SAW bersabda:

‌إِنَّمَا ‌الْأَعْمَالُ ‌بِالنِّيَّاتِ، ‌وَإِنَّمَا ‌لِكُلِّ ‌امْرِئٍ ‌مَا ‌نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya.”[HR Bukhari, 1]

Ini kerana dalam Islam, bukan semata-mata perbuatan yang dinilai, tetapi tujuan dan dorongan hati di sebaliknya.

Beribadah kepada Allah SWT dalam keadaan ikhlas adalah tuntutan dan kewajiban bagi sekalian manusia. Allah SWT berfirman:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, dalam (menjalankan) agama.” [Surah al-Bayyinah, ayat 5]

Niat boleh diumpamakan seperti ‘target’ atau ‘matlamat’ bagi seseorang mukmin. Jika matlamat itu benar dan selaras dengan perintah Allah yang disampaikan melalui para rasul-Nya, maka amalan yang dilakukan akan diterima oleh Allah.

من ‌شروط ‌قبول ‌العبادة الإخلاص والمتابعة

Maksudnya: “Antara syarat diterimanya ibadah ialah ikhlas dan ittiba (mengikut petunjuk Rasulullah).”[Rujuk: At-Tawhid wa Atharuh fi Hayat al-Muslim, hlm. 65]

Oleh itu, jika kita tergelincir dan niat kita tersasar, penting untuk segera mengingatkan diri untuk kembali kepada tujuan yang sebenar. Islam mengajarkan kita untuk beristighfar dan memperbaharui niat agar sentiasa ikhlas kerana Allah.

Kesimpulannya, setiap mukmin haruslah senantiasa menjaga niatnya daripada segala niat selain mencari keredaan Allah, kerana niat yang ikhlas adalah penentu diterimanya setiap amal dan pencapaian keredhaan-Nya.

Soalan 2: Assalamualaikum ustaz dan dai. Kenapa ada orang yang buat kerja dengan niat mencari rezeki halal, tapi masih rasa tak tenang? Apa yang silap dengan niat mereka?

Meskipun seseorang berniat mencari rezeki halal, rasa gelisah tetap boleh hadir. Antara sebab utamanya ialah niat yang mungkin belum benar-benar ikhlas kerana Allah. Mungkin ada unsur-unsur lain seperti ingin membanggakan diri, mencari pujian, atau terikat dengan kehendak duniawi yang berlebihan.

Nabi SAW bersabda:

‌إِنَّمَا ‌الْأَعْمَالُ ‌بِالنِّيَّاتِ، ‌وَإِنَّمَا ‌لِكُلِّ ‌امْرِئٍ ‌مَا ‌نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya.”[HR Bukhari, 1]

Jika seseorang beramal kerana pujian, maka itulah sahaja yang dia peroleh, bukan keredaan Allah. Sedangkan keredaan Allah hanya datang dari amalan yang ikhlas kerana-Nya.

Seterusnya, terlalu terikat dengan dunia juga boleh menyebabkan kegelisahan. Jika kita terlalu fokus pada pencapaian dunia tanpa mengingat tujuan akhirat. Allah SWT berfirman:

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum kerabat kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya.” [Surah at-Taubah, ayat 24]

Ayat ini mejelaskan bahawa mencintai dunia melebihi Allah dan Rasul-Nya akan membawa kesan buruk. Bila hati terlalu terpaut pada harta, kerjaya, atau pujian manusia, kegelisahan mudah timbul apabila tidak mencapai apa yang diharapkan.

Selepas itu, tidak mempunyai sifat qana’ah (merasa cukup dengan apa yang dia ada). Nabi SAW bersabda:

‌لَيْسَ ‌الْغِنَى ‌عَنْ ‌كَثْرَةِ ‌الْعَرَضِ، ‌وَلَكِنِ ‌الْغِنَى ‌غِنَى ‌النَّفْسِ

Maksudnya:“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar ialah kekayaan jiwa.”[HR Ahmad, 7316]

Seseorang yang ada sifat qana’ah akan terus berusaha mencari rezeki halal, tapi hatinya tidak tamak dan tidak terikat kepada dunia.

Dalam Islam, kita perlu mengambil berat tentang setiap sumber rezeki, termasuk yang diperoleh selain daripada kerja hakiki. Walaupun pekerjaan kita halal, namun terlibat dengan perkara haram atau syubhah yang lain tetap boleh merosakkan kebersihan hati dan jiwa. Nabi SAW bersabda:

‌أَلَا ‌وَإِنَّ ‌فِي ‌الْجَسَدِ ‌مُضْغَةً ‌إذَا ‌صَلَحْت ‌صَلَحَ ‌الْجَسَدُ ‌كُلُّهُ ‌وَإِذَا ‌فَسَدَتْ ‌فَسَدَ ‌الْجَسَدُ ‌كُلُّهُ ‌أَلَا ‌وَهِيَ ‌الْقَلْبُ

Maksudnya: “Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh manusia ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.”[HR Bukhari, 52]

Berkata Ibn Rajab:

وإنْ كان القلبُ فاسداً، قدِ استولى عليه اتِّباعُ هواه، وطلب ما يحبُّه، ولو كرهه الله، فسدت حركاتُ الجوارح كلها، وانبعثت إلى كلِّ المعاصي والمشتبهات بحسب اتِّباع هوى القلب.

Maksudnya: “Jika hati itu rosak, dikuasai oleh dorongan hawa nafsu dan keinginan terhadap perkara yang disukainya walaupun dibenci oleh Allah, maka akan rosaklah seluruh pergerakan anggota badan. Semua anggota akan terdorong melakukan maksiat dan perkara syubhah, mengikut kepada dorongan hawa nafsu dalam hati.”[Rujuk: Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 189]

Kesimpulannya, niat yang ikhlas kerana Allah dan menjauhi perkara yang menjejaskan kebersihan hati perlu diutamakan agar hidup lebih tenang dan diberkati.

Soalan 3: Assalamualaikum ustaz dan dai. Jika kita niat untuk buat suatu kebaikan, tapi tak sempat untuk melakukannya seperti niat nak bangun tahajud tapi terlepas waktunya. Adakah dikira niat tersebut untuk beroleh pahala di sisi Allah?

Seseorang yang berniat untuk melakukan satu kebaikan, tetapi tidak melakukannya disebabkan oleh halangan tertentu, maka niatnya tetap dikira dan dia akan mendapat pahala di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda:

فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ

Maksudnya: Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi.[HR Bukhari, 6491]

Imam as-Suyuti telah mentafsir perkataan “هَمَّ” daripada hadis di atas dengan berkata:

هو فوق الخطور بالقلب

Maksudnya: “Ia lebih tinggi daripada sekadar lintasan hati.”[Rujuk: At-Tawsyih Syarah al-Jami‘ as-Sahih, jld.8, hlm. 3856]

Ini dapat difahami dengan lebih jelas dengan merujuk kepada perkataan Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmu’:

النِّيَّةُ عَزْمُ الْقَلْبِ عَلَى عَمَلِ فَرْضٍ أَوْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Niat adalah keazaman (tekad) di dalam hati di atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya.”[Rujuk: Al-Majmu’, jld.1, hlm. 310]

Dalam Islam, yang diambil kira oleh syarak ialah keazaman yang sungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu, bukan niat yang hanya sambil lewa atau lintasan hati.

Jika seseorang itu berniat dengan penuh keazaman untuk menunaikan solat tahajud sebagai contoh, namun terlepas kerana tertidur atau sebab-sebab lain yang tidak disengajakan, maka dia tetap akan mendapat pahala atas niatnya itu.

Begitu juga sebaliknya, jika sesorang berniat untuk membuat kejahatan atau maksiat kemudian dia tidak melakukan, maka dia juga diganjari dengan pahala. Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً

Maksudnya: “Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna.”[HR Bukhari, 6491]

Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Berdasarkan hadis tersebut, kita seharusnya berasa lebih bermotivasi untuk memperbanyakkan ibadah dan melakukan kebaikan, kerana setiap niat yang ikhlas tidak akan sia-sia di sisi Allah.

Soalan 4: Assalamualaikum ustaz dan dai. Kalau seorang bekerja dengan niat kerana Allah, dan seorang lagi kerja cuma untuk kepentingan duniawi, apa beza kesan niat mereka dari segi keberkatan rezeki dan ketenangan hidup?

Niat merupakan asas utama yang menentukan perbuatan seseorang. Ia membezakan antara suatu perbuatan dengan perbuatan yang lain, dan sama ada perbuatan itu layak mendapat ganjaran pahala atau sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لِامْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إلى ما هاجر إليه

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi seseorang adalah apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia niatkan.” [HR Muslim, 1907]

Abdul Muhsin al-Abbad menerangkan perihal hadis ini:

أن الإنسان يحصل من الثواب والأجر على نيته؛ فإن العمل لا بد فيه من نية، والإنسان يحصل الأجر والثواب على حسب ما نواه

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang itu memperoleh ganjaran dan pahala berdasarkan niatnya; kerana setiap amalan mestilah disertai dengan niat, dan seseorang itu akan mendapat ganjaran dan pahala mengikut apa yang diniatkannya.” [Rujuk: Syarhu al-Arba’in al-Nawawiyyah, jld. 1, hlm. 9]

Jika seseorang itu bekerja dengan niatnya kerana Allah SWT semata-mata, maka pekerjaannya itu mendapat pahala di sisi Allah SWT kerana dia melakukan pekerjaan itu dengan ikhlas. Jika niat dia bekerja adalah untuk melaksanakan ibadah atau membantunya membuat kebaikan seperti membuatkan dia kaya agar dapat memberi sedekah dan memberi manfaat kepada orang lain, maka perbuatan itu juga mendapat pahala kerana ia membawa kepada mencari keredaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.” [Surah al-A’raf, ayat 96]

Jiwa akan menjadi tenang dan senang kerana dia mengharapkan Allah SWT yang menilai pekerjaannya dan berharap diberi kebaikan sesuai dengan firmanNya:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوب

Maksudnya: “Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” [Surah al-Ra’d, ayat 28]

Adapun jika dia bekerja dengan niat untuk mendapatkan manfaat duniawi semata-mata seperti mendapat gaji atau makan minum, maka tiada pahala baginya. Hatinya tenang disebabkan manfaat duniawi yang dia dapat seperti berasa tenang kerana ada simpanan lepas bekerja atau dalam erti kata lain hatinya tenang kerana mengetahui asbab musabab pekerjaannya.

Abdul Muhsin al-Abbad berkata:

معلوم أن كل ما يخرج من الإنسان مما ينفع غيره يعود عليه بالفائدة، مثل النفقة، فيكون الإنسان قد أدى ما عليه ولو لم ينو، وأما من ناحية الأجر فلا يكون إلا بالنية

Maksudnya: “Telah diketahui bahawa setiap perkara yang keluar daripada seseorang yang memberi manfaat kepada orang lain, akan kembali kepadanya faedah seperti nafkah. Maka seseorang itu telah melaksanakan tanggungjawabnya sekalipun tanpa niat. Namun, dari sudut ganjaran pahala, ia tidak diperoleh melainkan dengan niat.” [Rujuk: Syarhu al-Arba’in al-Nawawiyyah, jld. 2, hlm. 17]

Maka, niatkanlah setiap pekerjaan itu kerana Allah SWT sebagai tujuan hakiki dan arahkanlah perbuatan itu kepada apa yang diredaiNya.

Soalan 5: Assalamualaikum ustaz dan dai. Kebanyakannya bekerja untuk mencari rezeki dan kelangsungan hidup. Adakah niat sebegitu masih diterima sebagai niat yang benar kerana Allah? Macam mana nak praktikkan ‘bekerja kerana Allah’ dalam urusan pekerjaan?

Bekerja merupakan kegiatan manusia yang sinonim dengan kehendak mencari rezeki dan menyara kehidupan. Ia merupakan sunnatullah bagi masyarakat untuk hidup dan memenuhi keperluan masing-masing.

Islam tidak menafikan keperluan seseorang untuk mencari rezeki atau menafkahi dirinya atau sesiapa yang di bawah tanggungannya. Bahkan ia dianggap sebagai ibadah jika diniatkan dan dilakukan ke arah yang diredai Allah SWT.

Muhammad Hasan Abdul Ghaffar menyebutkan:

فإذا احتسب نومه ليقيم الليل فكل ساعة وكل دقيقة وكل نفس يخرج منه ويدخل له، فيه الأجر

Maksudnya: “Maka jika dia mengharap pahala daripada tidurnya supaya dia dapat bangun mengerjakan qiyamullail maka setiap jam, setiap minit, dan setiap helaan nafas yang keluar dan masuk, akan ada padanya pahala.” [Rujuk: Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah wa al-Taujih, jld. 2, hlm. 8]

Jika dia bekerja dengan berniat kerana Allah SWT atau bertujuan untuk membuat sesuatu yang diredai-Nya seperti menafkahi ahli keluarga, maka disediakan ganjaran pahala baginya.

Sabda Nabi SAW:

إِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى وَلَدِهِ صِغَارًا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَإِنْ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى أَبَوَيْنِ شَيْخَيْنِ كَبِيرَيْنِ فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَإِنْ كَانَ يَسْعَى عَلَى نَفْسِهِ يَعِفُّها فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَإِنْ كَانَ خَرَجَ رِيَاءً وتَفَاخُرًا فَهُوَ فِي سَبِيلِ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Jika dia berusaha untuk anak-anaknya yang masih kecil, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar berusaha untuk kedua ibu bapanya yang telah tua, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar berusaha untuk dirinya sendiri supaya tidak meminta-minta, maka dia berada di jalan Allah. Tetapi jika dia keluar untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah, maka dia berada di jalan syaitan.” [HR al-Tabarani, 6835]

Untuk ‘bekerja kerana Allah SWT’, seseorang perlu melaksanakan pekerjaannya dengan melakukan dan mematuhi adab serta hukum agar tidak menyalahinya:

Mulakan dengan niat yang ikhlas
Niat menjadi asas kepada segala perbuatan dan dengannya ditentukan sama ada perbuatan itu layak mendapat ganjaran pahala atau tidak.

Sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لِامْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إلى ما هاجر إليه

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi seseorang adalah apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia niatkan.” [HR Muslim, 1907]

Niat itu mesti membawa kepada apa yang Allah SWT reda seperti menafkahi keluarga, menjadi orang yang tidak meminta-minta dan mampu memberi sedekah, atau niat pekerjaannya semata-mata kerana Allah SWT.

Membuat pekerjaan yang halal
Jika niatnya ikhlas kerana Allah SWT, tetapi pekerjaannya ialah sesuatu yang dilarang seperti menjual arak atau mencuri hak orang lain, maka pekerjaan itu merupakan sebuah kegiatan yang tercela.

Anas bin Malik RA berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً»: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا، وَالْمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” [HR al-Tirmizi, 1295]

Hadis ini menunjukkan pekerjaan yang haram itu dicela Allah SWT bukan pada orang yang menjualnya sahaja, bahkan pada semua yang tergolong berkait dengan yang haram seperti isu arak.

Menjaga amanah
Melakukan kerja dengan amanah termasuklah menjaga hak-hak orang yang di bawah tanggungjawabnya, tidak menipu dalam pekerjaan dan tidak mengkhianati kepercayaan orang lain ke atasnya.

Allah SWT berfirman:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Maksudnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah” [Surah al-Qasas, ayat 26]

Dengan bersikap amanah, kebaikan dan keberkatan akan hadir dalam pekerjaan dan akan membentuk hubungan yang baik dengan manusia sehingga kita mampu menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah SWT (hablu min Allah) dan hubungan dengan manusia (hablu min al-nas).

Berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT
Setelah melaksanakan pekerjaan, berdoalah kepada Allah SWT, berharap dan mengadulah kepada-Nya dan serahkanlah segala keputusan kepada-Nya supaya tidak lupa tentang niat asal iaitu bekerja kerana Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagi kamu.” [Surah al-Mu’min, ayat 60]

Maka, bekerja dengan niat yang ikhlas dan ke arah yang diredai Allah SWT akan membawa kepada keberkatan dan pahala dengan syarat ia perlu dikerjakan dengan mematuhi adab dan ihsan.

Soalan 6: Assalamualaikum ustaz dan dai. Jika seseorang melakukan kebaikan tanpa sedar ia adalah ibadah, adakah dia mendapat pahala? Contohnya seseorang itu mengambil sampah di jalan dan membuangnya ke dalam tong sampah kerana tidak suka tengok kotor tapi dia tak berniat melakukannya kerana Allah.

Hal ini adalah berkait langsung dengan soal niat. Niat merupakan perkara yang penting kerana ia akan menentukan halatuju perbuatan kita. Ini kerana, niat tidak dapat dipisahkan daripada setiap perbuatan kita.

Sabda nabi SAW:

إِنَّمَا الْأَعْمَال بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لكل امْرِئ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهجرَته إِلَى مَا هَاجر إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehi atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahi, maka hijrahnya adalah berdasarkan kepada apa yang diniatkan.” [HR al-Bukhari, 1 dan Muslim, 1907]

Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh Mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syarak dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat.

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (العبادة المقصودة) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.

Manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wuduk dan mandi, maka ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama mazhab Syafi’i dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat. [al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al Nawawiyyah, hlm. 13]

#5366: Hadith 40: Niat dalam Amalan dan Aplikasinya – Maktabah Al-Bakri

Oleh itu, niat menjadi pembeza antara adat dan ibadat.

Setiap amalan ditentukan dengan niat; Jika dia semata mengutip sampah kerana tidak suka melihat kotoran di jalanan, maka itu yang dia peroleh. Namun jika dalam masa yang sama, dia turut niat sebagai suatu amal mendekatkan diri kepada Allah SWT yang Maha Suci, suka akan kesucian, maka dia beroleh pahala.

Soalan 7: Assalamualaikum ustaz dan dai. Sekarang ni ramai orang kahwin sebab nak ikut kawan, sebab orang sekeliling dah kahwin, atau pun sebab tekanan dari keluarga. Kalau seseorang tu kahwin bukan dengan niat yang betul, tapi lebih kepada nak jaga imej atau sebab terpaksa, apa kemungkinan yang boleh berlaku dalam rumah tangga tu nanti?

Jumhur ulama telah bersepakat bahawa hukum asal pernikahan adalah sunnah bukannya wajib. Walau bagaimanapun, sebahagian ulama telah mambahagikan hukum nikah kepada lima hukum mengikut kedudukan pelakunya:

  • Harus: Kepada orang yang tidak ada kepadanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.
  • Wajib: Sekiranya orang tersebut mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskannya kepada kemaksiatan sedangkan dia merupakan seorang yang berkemampuan.
  • Sunat: Bagi orang yang mampu namun masih mampu untuk mengawal nafsunya.
  • Makruh: Kepada orang yang tidak berkemampuan dari sudut nafkah batin dan juga zahir tetapi tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangannya tersebut.
  • Haram: Orang yang juga tidak berkemampuan memberi nafkah zahir dan batin serta tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin atau dia mempunyai niat yang buruk sehingga mampu membawa kemudharatan kepada pasangannya.

Dalam perkahwinan yang dibina tanpa keikhlasan atau niat yang tulus, terdapat beberapa risiko dan cabaran yang boleh timbul:

Konflik dan Tekanan Emosi

Apabila salah satu atau kedua-dua pihak tidak betul-betul komited kerana niat yang kurang ikhlas, tekanan emosi boleh meningkat. Perasaan penyesalan, kecewa, atau marah boleh timbul, dan ini boleh mencetuskan konflik yang sukar diselesaikan.

Kekurangan Intimasi dan Kepercayaan

Intimasi dalam perkahwinan bukan sahaja merangkumi aspek fizikal tetapi juga emosional. Tanpa niat yang betul, membina kepercayaan antara satu sama lain menjadi lebih sukar, yang boleh menyebabkan jarak emosi dan menjejaskan keintiman secara keseluruhan.

Risiko Perceraian

Apabila masalah-masalah asas seperti komitmen, komunikasi, dan kepercayaan tidak dapat diatasi, perkahwinan itu sendiri mungkin menjadi rapuh. Dalam jangka masa panjang, ini meningkatkan risiko perpecahan atau perceraian.

Walaupun begitu, setiap situasi adalah unik. Ada kalanya, pasangan yang mula-mula tidak mempunyai niat yang tulus boleh belajar dan berubah melalui proses terapi perkahwinan atau usaha perbaikan diri bersama. Namun, asas perkahwinan yang kukuh selalunya bermula dengan keikhlasan, kasih sayang, dan komitmen yang mendalam.

Oleh itu, adalah penting bagi kedua-dua pihak untuk memastikan bahawa keputusan untuk berkahwin dibuat dengan pertimbangan yang matang dan keinginan untuk membina masa depan bersama secara ikhlas, agar dapat mengurangkan potensi masalah dan memastikan hubungan yang lebih stabil serta memuaskan.

Scroll to Top