SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA:30 MINIT

BAHAGIA DENGAN MEMBERI

BAHAGIA DENGAN MEMBERI

1. Assalamualaikum ustaz dan dai. Ramai kata bila kita bersedekah, hati akan jadi tenang. Tapi sebenarnya, bila kita bagi, harta kita makin kurang. Macam mana boleh timbul ketenangan dalam hati daripada sesuatu harta yang nampak macam hilang?

a. Dalam kehidupan yang serba cepat dan kompetitif, ramai manusia berasa tertekan kerana terlalu mengejar kemewahan dan kedudukan. Mereka mencari ketenangan melalui pelbagai cara. Ada yang mencari dalam kemewahan, ada pula dalam pencapaian.
b. Namun, Islam menunjukkan satu jalan yang tampak bertentangan dengan logik duniawi, iaitu ketenangan yang lahir daripada memberi. Sedekah, walaupun kelihatan mengurangkan harta, sebenarnya menambah kekayaan batin dan memperkukuh kestabilan jiwa.
c. Satu hakikat yang perlu difahami oleh semua orang ialah ketenangan selepas bersedekah muncul daripada kesedaran bahawa harta hanyalah amanah, bukan milik kekals daripada kebimbangan terhadap kekurangan.

- Apabila seseorang memberi dengan hati yang ikhlas, dia sebenarnya sedang meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Tuhan.

- Dia tahu Tuhanlah yang memberi ketenangan sebenar. Dan segala yang dia miliki merupakan pinjaman dariNya. Maka, mudah sahaja bagi Tuhan untuk memberi hambaNya ketenangan walaupun hartanya tidak tersisa walau sedikit pun.

- Dari situ lahir rasa lapang dan bebas daripada kebimbangan terhadap kekurangan.

- Jiwa menjadi tenteram kerana sedar bahawa rezeki tidak berkurang dengan memberi, bahkan bertambah dari sudut makna dan keberkatan.

d. Dengan bersedekah dan memberi kepada orang lain, ia memberi kepuasan batin, iaitu rasa gembira yang lahir apabila seseorang dapat memberi manfaat kepada orang lain.

- Rasulullah SAW bersabda:

...وَخَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” [HR al-Tabarani (al-Mu’jam al-Awsat), 5787]

- Kegembiraan ini bukan bersifat dangkal atau berpaksikan pujian, tetapi bersifat rohani. Rasa tenang yang disertai tawaduk dan khusyuk.

- Ia membuatkan seseorang merasa rendah diri di hadapan Tuhan dan bersyukur kerana masih mampu membantu orang lain.

e. Selain itu, melihat kegembiraan orang lain hasil pemberian kita juga menjadi sumber ketenangan.

- Kegembiraan itu memantul semula ke dalam hati, membawa rasa puas yang mendalam kerana sumbangan kita memberi makna kepada hidup orang lain.

- Ibarat menyiram pokok, air yang keluar dari tangan seolah hilang, tetapi sebenarnya sedang menyuburkan akar yang kelak memberi teduhan dan buah kepada kita semula.

- Begitu juga sedekah. Ia memberi ketenangan melalui kitaran kebaikan yang tidak putus.

f. Selain itu, sedekah menjauhkan manusia daripada sifat tamak dan sedih yang sering mengikat hati dengan kerisauan untuk berkongsi dan ketakutan kehilangan.

Tamak menjadikan seseorang gelisah walaupun memiliki banyak, kerana hatinya terbelenggu oleh keinginan tanpa batas.

Sifat ini boleh membawa kepada kesedihan apabila harta yang mereka miliki itu berkurang. Terdapat juga mereka yang tidak tamak, namun dalam hati mereka masih mempunyai rasa sedih dan sangsi dengan berkurangnya harta mereka.

Maka, Allah SWT menjawab dengan firmanNya:

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُم بِٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita (terhadap apa yang luput daripada bahagian dunia mereka).” [Surah al-Baqarah, ayat 274]l-Tabarani (al-Mu’jam al-Awsat), 5787]

Sedekah itu memecahkan belenggu itu. Ia memerdekakan hati daripada kerakusan dan menggantikan rasa sedih dengan ketenangan memberi.

Jiwa yang terbiasa memberi akan lebih damai, kerana ia tidak lagi dikawal oleh apa yang dimiliki dan berasa sedih dengan pengurangannya, sebaliknya mengawal keinginannya sendiri dan reda dengan apa yang diberikan dan mengharapkan balasan dari Tuhan.

g. Akhirnya, sedekah juga berperanan melatih diri untuk merasa cukup (qana’ah) dan bersyukur dengan apa yang ada.

- Bila seseorang mampu memberi walau sedikit, itu tanda bahawa dia telah belajar menghargai nikmat sekecil mana pun.

- Rasa cukup ini membina ketenangan dalaman, kerana hati yang bersyukur tidak lagi menilai dirinya berdasarkan ukuran dunia, tetapi berdasarkan makna keberkatan.

- Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Maksudnya: “Kaya itu bukanlah kerana banyaknya harta benda, tetapi kaya itu ialah kaya jiwa.” [HR al-Bukhari, 6446]

Di sinilah letaknya rahsia ketenangan yang sebenar: bukan pada penambahan harta, tetapi pada kecukupan hati.

h. Ketenangan yang lahir daripada sedekah bukan ilusi spiritual, tetapi realiti rohani yang hanya dirasai oleh hati yang ikhlas memberi. Ia mengajar manusia bahawa memberi bukan kehilangan, tetapi pelepasan daripada beban dunia.
i. Sedekah menenangkan kerana ia membersihkan hati daripada tamak, mengisi ruang batin dengan syukur, dan membentuk keyakinan bahawa setiap pemberian akan diganti dalam bentuk yang lebih bermakna sama ada dalam rezeki, kasih sayang, atau ketenteraman jiwa.
j. Maka, ketika tangan melepaskan, sebenarnya hati sedang menerima ketenangan yang tidak dapat dinilai dengan apa jua harta di dunia.
Scroll to Top