ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
goLONGAN DI AKHIR ZAMAN
- Penerbit : Adib
SOALAN PENONTON
Soalan 1
Assalamualaikum ustaz dan dai. Hadis Nabi SAW tentang 73 golongan selalu membuat orang tercari-cari siapa 72 golongan yang sesat itu. Tapi, sebenarnya apa tindakan kita sebagai umat Islam, khususnya bagi orang awam, supaya termasuk dalam golongan al-jama‘ah?
Banyak orang Islam sering tertarik untuk meneliti 72 golongan yang disebut dalam hadis sebagai sesat, sehingga ramai yang terlalu sibuk meneka siapa golongan itu. Sebenarnya, tumpuan sepatutnya bukan pada menilai orang lain, tetapi pada menjaga diri sendiri agar termasuk dalam golongan al-jama‘ah. Kesilapan ini boleh membawa kepada perpecahan, prasangka, dan penghakiman yang tidak berasas dalam masyarakat.
Ramai yang menghabiskan masa meneka, berbincang, malah menghakimi orang lain. Ini menunjukkan kelemahan pemahaman dan kurangnya fokus terhadap diri sendiri dan ajaran Islam yang sebenar.
Al-jama’ah ialah sekumpulan kaum Muslimin yang berpegang teguh pada ajaran Baginda SAW melalui al-Quran dan sunnahnya sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabatnya.
Dalam sebuah hadis, para sahabat bertanya siapakah 1 golongan daripada 73 golongan itu, yang terselamat daripada neraka. Maka Baginda SAW menjawab:
مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي
Maksudnya: “Apa yang aku dan para sahabatku berada padanya.” [HR al-Tirmizi, 2641]
Mereka itulah yang daripada kalangan orang berilmu dan faqih dalam urusan agamanya, yang berjuang di jalan Allah SWT, dan yang menjauhi penyelewengan dan bid’ah. Sabda Baginda SAW:
أَلَا إِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ افْتَرَقُوا عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ: ثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَهِيَ الْجَمَاعَةُ
Maksudnya: “Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari Ahlul Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua golongan, dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan: tujuh puluh dua di dalam neraka, dan satu di dalam syurga, iaitu al-jama‘ah.” [HR Abu Daud, 4597]
Hakikatnya, masyarakat perlu berusaha dan bersungguh-sungguh menjadi salah seorang yang di dalam golongan al-jama’ah itu. Bukan sebaliknya.
Maka, untuk memastikan kita tergolong dalam al-jama’ah seperti yang disebutkan Nabi SAW, terdapat beberapa langkah praktikal bagi masyarakat khususnya orang awam:
Berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah Nabi SAW
تَركْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepadanya: Kitab Allah dan sunnah NabiNya.” [HR Malik, 1594]
Berpegang teguh bermaksud memegang ajaran Islam seerat-eratnya, sentiasa konsisten dalam amalan, tidak bersikap bermudah-mudahan dengan tuntutannya. Ini termasuklah pada urusan akidahnya, feqahnya, muamalatnya, akhlaknya dan segala nasihat Islam.
Dengan menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama, seorang muslim dapat membina panduan hidup yang jelas dan konsisten, tanpa tergelincir ke dalam bid‘ah, fahaman ekstrem, atau ajaran sesat. Apabila ada sesuatu idea, fahaman, pemikiran, mahupun ajaran baru datang, maka dia merujuk kepada 2 sumber utama ini. Daripada itu, dia dapat membuat pertimbangan tentang kesahihannya serta mengelakkan diri daripada terpedaya dengan dakyah sesat.
Mengikuti ulama yang muktabar
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” [Surah al-Nahl, ayat 43]
Para ulama’ merupakan mereka yang telah melalui masa yang panjang dalam meneliti dan memahami ilmu-ilmu agama. Mereka dapat melihat sisi yang orang lain tidak dapat lihat dengan menggunakan pertimbangan dan kerangka akal mereka beserta ilmu alat dan maklumat yang mereka miliki. Orang awam biasanya tidak mempunyai ilmu mendalam tentang aqidah, fiqh, atau sejarah Islam. Mengikuti ulama yang diiktiraf adalah cara praktikal untuk memastikan amalan dan pemahaman berada dalam landasan yang betul.
Dengan mengikuti mereka, orang awam mengelakkan kesilapan dalam menafsir dan mengamalkan agama. Dengan rujukan ini, kita perlu membuat keputusan berkaitan agama berdasarkan ilmu yang sahih dan bukan nafsu atau budaya.
Menjauhi bid’ah dan penyelewangan agama
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “Barang siapa yang mereka sesuatu dalam urusan (agama) kami yang tidak ada daripadanya, maka ia tertolak.” [HR al-Bukhari, 2697]
Orang awam yang tidak mahir dalam urusan agama, akan mudah terikut amalan-amalan dan fahaman-fahaman yang salah tetapi disulam dengan rupa agama. Bid‘ah atau amalan yang tiada sandaran boleh merosakkan ibadah dan amal seseorang walaupun secara zahir kelihatan baik. Kadang-kadang, kesesatan itu berlaku apabila seseorang ingin terlalu mengamalkan agama sehingga melampaui batas dan merosakkan neraca pertimbangannya antara yang benar dan salah.
Menjauhi bid’ah dan penyimpangan menguatkan hati dan iman, kerana seseorang sentiasa sedar bahawa hanya Allah yang berhak disembah dan hanya sunnah Nabi yang menjadi panduan.
Sebenarnya, apa yang perlu dilakukan oleh masyarakat ialah fokus pada menjadi sebahagian daripada al-jama'ah dan bukan semata-mata mencari siapakah 72 golongan itu. Itulah rahsia dalam meraih syurga dan kemenangan di akhirat.
Soalan 2
Assalamualaikum ustaz dan dai. Sekarang ni ramai orang cepat menuduh orang lain sesat hanya sebab berbeza pandangan. Dalam Islam, macam mana kita sepatutnya menghadapi perbezaan pendapat tanpa cepat menghukum atau menolak orang lain?
Perbezaan pendapat adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan umat Islam, sama ada dalam soal ibadah, fiqh, atau masalah sosial. Namun, kini ramai orang cepat menuduh sesat atau salah hanya kerana pandangan berbeza. Sikap ini boleh menimbulkan perpecahan, merosakkan ukhuwah, dan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Islam memberikan panduan jelas bagaimana seorang Muslim menghadapi perbezaan pendapat dengan hikmah, adab, dan akhlak yang mulia.
Berkata Zarruq daripada Ibnu Furak: “Tersilap memasukkan seribu orang kafir dengan syubhat Islam lebih baik berbanding tersilap mengeluarkan (mengkafirkan) seorang Islam dengan syubhat kekufuran.” [Rujuk: Qawa’id al-Tasawwuf, hlm. 31]
Rasulullah SAW melarang kita untuk bermudah-mudahan menuduh orang sebagai sesat:
أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ: يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا
Maksudnya: “Barangsiapa seorang lelaki berkata kepada saudaranya: ‘Wahai kafir!’, maka salah seorang dari keduanya akan terkena akibatnya.” [HR al-Bukhari, 6104]
Mereka mungkin menuduh seseorang sesat hanya kerana pendapat atau cara amalan berbeza, walhal perbezaan itu merupakan sebuah kemudahan dan ruang untuk mencambahkan kefahaman dan kemajuan. Perbuatan ini boleh bertukar menjadi fitnah dan pertelingkahan, yang melemahkan ukhuwah. Orang yang terlalu fokus pada sesat atau tidak sesat merasa diri lebih “betul” daripada orang lain. Ini membawa kepada kesombongan yang jelas bertentangan dengan ajaran akhlak Islam.
Imam al-Ghazali mengatakan bahawa ramai orang terlalu mudah menuduh seseorang kafir hanya kerana golongan itu tersilap dalam berijtihad. Padahal, kesilapan dalam ijtihad tidak sama sekali menjadikan seseorang tergolong dalam kelompok yang mendustakan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda:
عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ، مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمِ الْجَمَاعَةَ
Maksudnya: “Berpeganglah kamu pada al-jamaah dan jauhilah perpecahan, sesungguhnya syaitan bersama orang yang sendirian dan ia paling jauh dari dua orang. Barangsiapa menginginkan kelapangan surga, hendaklah ia berpegang pada al-jamaah.” [HR al-Tirmizi, 2165]
Mereka yang berpecah dan tidak bersatu hati, maka mereka mudah dihasut syaitan dan diapi-apikan perasaan mereka sehingga berlaku penyelewengan dan kesesatan. Walaupun pada zahirnya mereka seakan-akan berjidal atau mencari kebenaran, namun hakikatnya hati-hati mereka dikuasai nafsu dan dendam sesama saudara seagama. Akhirnya, keluarlah mereka yang cuma menjenamakan kumpulan mereka dengan kecenderungan masing-masing sehingga menolak kebenaran hakiki semata-mata menunjukkan “Akulah yang benar, engkau sesat.”
Islam menekankan pentingnya tetap dalam al-jama‘ah, iaitu golongan yang berpegang kepada al-Quran, sunnah, dan kepimpinan yang sah. Walaupun terdapat perbezaan kecil, tidak patut memutuskan silaturahim atau menuduh sesat, selagi seseorang itu tidak keluar dari prinsip asas agama. Fokus utama ialah menjaga persatuan dan kesatuan umat Islam, bukan mencari kesalahan orang lain. Dengan ini, kita mengelak daripada menjadi sebahagian daripada golongan yang menyeleweng atau berpecah.
Umat Islam hari ini perlu mengambil sikap hormat terhadap pandangan yang sahih, walaupun berbeza dengan kita. Menuduh sesat tanpa bukti hanya menyebabkan permusuhan dan perpecahan. Terdapat beberapa cara untuk kita berinteraksi dalam perbezaan pendapat:
Menghormati perbezaan pendapat
Setiap orang berbeza pendapat kerana berbeza pendekatan, kaedah, cara pandang, pengalaman, data dan keutamaan. Pandangan yang berbeza membenarkan kita melihat sisi yang kita tidak dapat lihat melalui rangka fikiran kita. Ia juga memberi peluang untuk kita menyemak semula pandangan kita. Menuduh sesat tanpa bukti hanya menyebabkan permusuhan dan perpecahan.
Mengambil pendekatan hikmah dan berlapang dada
Jangan cepat menghukum, fahami konteks dan asas pandangan tersebut. Berdialog dengan ilmuwan atau pihak yang berpengetahuan sebelum membuat kesimpulan. Fokus kepada memperbetulkan diri sendiri dan menjaga akhlak, bukan menegur orang lain dengan kasar. Sikap ini mengekalkan keharmonian sosial dan ukhuwah serta mengelakkan fitnah dan kekeliruan dalam masyarakat.
Menjaga akhlak dan niat
Perbezaan pendapat harus dihadapi dengan niat untuk mencari kebenaran, bukan untuk menang sendiri atau menghina orang lain. Akhlak yang baik membantu seseorang menghormati pandangan lain dan mengekalkan persatuan. Niat yang benar memastikan kritikan atau nasihat bersifat membina, bukan menjatuhkan martabat orang lain.
Kesimpulannya, menghadapi perbezaan pendapat dalam Islam memerlukan hikmah, kesabaran, dan akhlak yang mulia. Umat Islam harus menghormati pandangan lain, tetap berpegang pada al-jama‘ah, dan jauhi perpecahan, kerana seperti yang disebut dalam hadis, syaitan paling dekat dengan orang yang bersendirian, manakala berpegang pada jamaah membawa kelapangan syurga.
Soalan 3
Assalamualaikum ustaz dan dai. Zaman sekarang ni, kita nampak ramai orang bercakap hal agama ikut rasa dan logik sendiri, kadang-kadang tanpa rujuk al-Quran, sunnah, atau pandangan ulama. Apa sebenarnya bahaya bila seseorang mula menjadikan hawa nafsu dan fikiran sendiri sebagai ukuran dalam beragama, ustaz?
Fenomena manusia bercakap tentang agama tanpa ilmu adalah tanda zaman yang semakin jauh dari petunjuk wahyu. Apabila lidah berbicara tanpa panduan al-Quran dan Sunnah, maka yang berbicara bukan lagi hati yang tunduk kepada Allah, tetapi hawa nafsu yang dijadikan “tuhan yang lebih dipatuhi” dalam diri. Bahayanya bukan sekadar salah bicara, tetapi membawa kepada penyimpangan akidah, perpecahan umat, dan akhirnya menjerumuskan seseorang ke lembah kesesatan.
Inilah yang dimaksudkan oleh para ulama sebagai fitnah ilmu, di mana manusia menolak kebenaran kerana lebih mempercayai logik dan perasaan sendiri daripada wahyu Allah.
Dalil al-Quran
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ
“Tidakkah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, lalu Allah menyesatkannya dengan ilmu (yang ada padanya).” [Surah al-Jāthiyah, ayat 23]
Ayat ini menggambarkan betapa dahsyatnya keadaan orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai sumber penentuan dalam urusan agama. Menurut Imam al-Razi, orang seperti ini bukan tidak berilmu, tetapi ilmunya tidak membawanya tunduk kepada kebenaran — kerana dia menyelewengkan ilmu untuk membenarkan keinginannya sendiri.
وَالْمُرَادُ أَنَّهُ تَرَكَ عِبَادَةَ اللَّهِ، وَصَارَ يَعْبُدُ هَوَاهُ فِي كُلِّ مَا يَهْوَى وَيُرِيدُ
“Yang dimaksudkan ialah dia meninggalkan pengabdian kepada Allah, lalu menjadi hamba kepada hawa nafsunya dalam setiap apa yang dia inginkan dan sukai.” [Tafsir al-Kabīr, 27/621]
Dalil Hadis
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ اتِّبَاعُ الْهَوَى وَطُولُ الْأَمَلِ، فَأَمَّا اتِّبَاعُ الْهَوَى فَيَصُدُّ عَنِ الْحَقِّ
“Sesungguhnya perkara yang paling aku takutkan atas kamu ialah mengikuti hawa nafsu dan panjang angan-angan. Adapun mengikuti hawa nafsu, ia menghalang seseorang daripada kebenaran.” [HR al-Bayhaqi, Syu‘ab al-Imān, no. 10458 – hasan]
فَاتِّبَاعُ الْهَوَى يُفْسِدُ الْعَقْلَ وَيُعْمِي الْبَصِيرَةَ، فَلَا يَعُودُ يَرَى الْحَقَّ حَقًّا وَلَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا
“Mengikut hawa nafsu itu merosakkan akal dan membutakan pandangan hati, sehingga seseorang tidak lagi mampu melihat kebenaran sebagai kebenaran, dan kebatilan sebagai kebatilan.” [Jāmi‘ al-‘Ulūm wa al-Hikam, 2/320]
Aplikasi Dalam Kehidupan Seharian
Dalam media sosial: Jangan terburu-buru memberi pandangan agama atau menilai sesuatu hukum hanya berdasarkan logik atau emosi. Tahan diri daripada menulis sebelum menilai: “Adakah ini pandangan saya atau panduan Allah?”
Dalam membuat keputusan hidup: Setiap keputusan — rezeki, cinta, kerja, politik — mesti dinilai dengan neraca syarak, bukan neraca perasaan. Tanyakan: “Apakah pandangan agama tentang tindakan ini?” sebelum bertindak.
Dalam menuntut ilmu: Apabila berbeza pandangan dengan ulama, adabnya bukan menolak, tetapi mencari kefahaman. Ulama bukan penghalang kebebasan berfikir, tetapi penjaga agar fikiran tidak tersasar.
Dalam pergaulan dan gaya hidup: Jangan jadikan “saya rasa tak apa” sebagai fatwa. Gaya hidup Islam bukan dibentuk oleh trend manusia, tetapi oleh sempadan Allah.
Dalam dakwah dan perbincangan: Hujah dengan ilmu dan kasih sayang. Jangan gunakan emosi, sindiran atau logik semata. Dakwah tanpa ilmu adalah jalan pintas menuju fitnah.
Kesimpulannya, bahaya menjadikan hawa nafsu dan logik semata-mata sebagai ukuran dalam beragama ialah hilangnya rasa tunduk kepada wahyu dan hilangnya keberkatan ilmu. Orang yang berbuat demikian akan terperangkap dalam kebenaran palsu — merasakan dirinya betul padahal jauh dari jalan Rasulullah SAW. Agama ini bukan milik perasaan, tetapi milik Allah yang mesti difahami melalui panduan al-Quran, Sunnah, dan para ulama yang warasah anbiya’. Maka setiap Muslim wajib menundukkan akalnya di bawah wahyu, bukan meletakkan wahyu di bawah akalnya. Renungan: Bila hati mula menolak dalil dan lebih percaya pada “rasa betul” sendiri, itu tanda Allah sedang mencabut nur hidayah sedikit demi sedikit. Dan itulah fitnah terbesar akhir zaman — apabila manusia berani berbicara tentang agama, tanpa takut kepada Tuhan agama itu sendiri.
Soalan 4
Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada pandangan luar yang mengatakan umat Islam berpecah kerana wujudnya pelbagai mazhab dalam akidah dan fiqh. Benarkah perbezaan mazhab itu menjadi punca perpecahan umat Islam, ustaz?
Dalam sejarah Islam, muncul pelbagai mazhab fiqh dan akidah hasil ijtihad para ulama yang bersungguh-sungguh memahami wahyu. Sebahagian pihak luar — malah ada juga dalam kalangan umat Islam sendiri — menyangka bahawa mazhab-mazhab ini adalah sebab umat berpecah. Namun hakikatnya, perbezaan mazhab bukanlah perpecahan, bahkan ia tanda keluasan rahmat dan keagungan syariat Islam.
Perpecahan yang tercela ialah apabila manusia mengikuti hawa nafsu dan fanatik mazhab tanpa ilmu, sebagaimana yang diingatkan oleh Rasulullah SAW bahawa umatnya akan berpecah kerana meninggalkan al-Quran dan Sunnah. Adapun perbezaan yang berpunca daripada ijtihad dan ilmu, ia termasuk dalam sabda Baginda SAW:
«إِذَا اجْتَهَدَ الْحَاكِمُ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا اجْتَهَدَ فَأَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ»
Maksudnya: “Apabila seorang hakim (mujtahid) berijtihad lalu tepat ijtihadnya, dia mendapat dua pahala; dan jika dia tersilap, dia mendapat satu pahala.” [HR al-Bukhari, 7352; Muslim, 1716]
Dalil al-Quran
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Maksudnya: “Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.” [Surah ali ‘Imrān, 3:103]
وَاخْتِلَافُهُمْ فِي الْفُرُوعِ لَيْسَ مِنَ التَّفَرُّقِ فِي الدِّينِ، بَلْ هُوَ مَظْهَرٌ لِسَعَةِ رَحْمَةِ اللَّهِ فِي التَّشْرِيعِ
Maksudnya: “Perbezaan mereka dalam cabang hukum (fiqh) bukanlah perpecahan dalam agama, bahkan ia tanda keluasan rahmat Allah dalam pensyariatan. [Tafsir al-Kabīr, 8/514]
Ayat ini tidak menuntut keseragaman pandangan, tetapi kesatuan hati dan akidah di atas jalan kebenaran. Perbezaan dalam cabang hukum tidak menafikan kesatuan dalam asas iman. Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadis ijtihad:
وَفِيهِ أَنَّ الْمُجْتَهِدَ إِذَا بَذَلَ وُسْعَهُ فِي طَلَبِ الْحَقِّ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ فِي خَطَئِهِ، بَلْ يُثَابُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan bahawa mujtahid yang bersungguh mencari kebenaran tidak berdosa jika tersilap, bahkan dia diberi pahala.” [Syarh Sahih Muslim, 12/22]
Faktor-Faktor Perbezaan Mazhab (Asbab al-Ikhtilaf al-Fiqhi)
Perbezaan Dalam Riwayah Hadis
- Tidak sampai hadis kepada semua ulama
يقول العلماء: "عدم الاطّلاع على الحديث من أسباب الاختلاف بين الفقهاء"
Maksudnya: “Tidak sampai atau tidak diketahui sesuatu hadis oleh sebahagian ulama merupakan salah satu sebab perbezaan mereka.” [Dar al-Iftaa’, Asbab al-Ikhtilaf al-Fiqhi, Jordan]
Imam Malik tidak menggunakan sebahagian hadis yang tidak sampai kepadanya melalui sanad penduduk Madinah, sedangkan Imam al-Syafi‘i berhujah dengannya setelah mendapat sanad sahih. [al-Ghazali, al-Mustasfa, 1/152]
- Perbezaan penilaian terhadap kesahihan hadis
"الشكّ في ثبوت الحديث أو ضعفُ راويه من أسباب اختلافهم"
Maksudnya: “Keraguan dalam kesahihan hadis atau kelemahan perawinya menjadi sebab khilaf.” [Dar al-Iftaa’, Jordan]
- Terlupa atau tidak mengingati riwayat tertentu
Perbezaan Dalam Pemahaman Nas
- Perbezaan dalam tafsiran lafaz
"اختلافهم في فهم النصوص بسبب تعدّد الدلالات والمعاني المحتملة"
Maksudnya: “Mereka berbeza dalam memahami teks kerana pelbagai kemungkinan makna dan dalalah.” [Dar al-Iftaa’, Jordan]
Contoh klasik:
أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ
Maksudnya: “…atau kamu telah menyentuh wanita…” [al-Nisā’, 43]
Imam al-Syafi‘i memahami ia secara zahir — menyentuh membatalkan wuduk. Imam Abu Hanifah memahaminya secara majaz — hanya jimak yang membatalkan wuduk. [al-Amidi, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, 2/305]
- Perbezaan dalam cara menggabung dan mentarjih dalil
"اختلافهم في الجمع والترجيح بين الأدلّة المتعارضة"
Maksudnya: “Mereka berbeza dalam cara menggabungkan dan mentarjih dalil yang tampak bertentangan.” [Dar al-Iftaa’, Jordan]
Perbezaan Dalam Bahasa Arab
- Lafaz musytarak (berganda makna)
"الاشتراك اللفظيّ من أسباب اختلاف الفقهاء"
Maksudnya: “Lafaz yang memiliki lebih daripada satu makna menjadi sebab perbezaan fuqaha.” [Dar al-Iftaa’, Jordan]
Contoh lafaz qur’ dalam ayat iddah wanita:
يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang diceraikan itu hendaklah menahan diri (menunggu) selama tiga kali suci (atau haid).” [Surah al-Baqarah, ayat 228]
Hanafi mentafsirkan quru’ = haid, manakala Syafi‘i mentafsirkannya = suci.
- Perbezaan antara hakikat dan majaz
- Perbezaan qiraat al-Quran
Contoh ayat wuduk:
وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ
Sebahagian ulama mewajibkan basuhan seluruh kaki, sebahagian mengatakan cukup sapuan — bergantung pada qiraat yang diambil.
وَمِنْ أَسْبَابِ الِاخْتِلَافِ اخْتِلَافُ مَبَانِي الأُصُولِ فِي قَبُولِ الأَدِلَّةِ كَالِاسْتِحْسَانِ وَالْمَصْلَحَةِ وَعَمَلِ أَهْلِ الْمَدِينَةِ
Maksudnya: “Antara sebab perbezaan ialah perbezaan asas usul dalam menerima dalil seperti istihsan, maslahah, dan amal penduduk Madinah.” [al-Bahr al-Muhit, 3/14]
الْمَقْصُودُ مِنَ الشَّرِيعَةِ تَحْقِيقُ الْمَصَالِحِ وَدَفْعُ الْمَفَاسِدِ، وَاخْتِلَافُ النَّظَرِ فِي ذَلِكَ يُؤَدِّي إِلَى اخْتِلَافِ الْفُتْيَا
Maksudnya: “Tujuan syariat ialah merealisasikan maslahat dan menolak mafsadah; perbezaan pandangan terhadapnya menyebabkan perbezaan fatwa.” [al-Muwafaqat, 2/67]
Kesimpulan: Perbezaan mazhab bukanlah perpecahan, tetapi rahmat ilmu dan tanda keanjalan hukum Islam. Perpecahan yang sebenar ialah apabila seseorang menolak wahyu, menghina ulama, atau berdebat atas dasar emosi, bukan ilmu. Renungan akhir: Islam tidak menuntut semua orang berfikir sama, tetapi menuntut semua hati tunduk kepada wahyu yang sama. Mazhab ialah hasil keikhlasan ulama dalam mencari kebenaran, bukan tembok pemisah umat — dan sesiapa yang memahami usul fiqh, akan tahu bahawa khilaf yang berasaskan ilmu itu rahmat, bukan bencana.
Soalan 5
Assalamualaikum ustaz dan dai. Sekarang ni ada orang kata, “kebenaran tu ikut pandangan masing-masing, semua orang ada kebenaran sendiri.” Betul ke dalam Islam memang macam tu, ustaz?
Dalam Islam, kebenaran bukanlah sesuatu yang boleh ditentukan oleh selera atau pandangan individu. Ungkapan seperti “setiap orang ada kebenaran sendiri” lahir daripada fahaman satu ideologi falsafah yang menolak kewujudan kebenaran mutlak. Ia berakar daripada cara fikir Barat moden yang mengagungkan kebebasan tanpa batas, menjadikan manusia sebagai penentu tunggal kepada baik dan buruk. Namun, dalam Islam, kebebasan manusia tidak mutlak; ia terikat dengan wahyu. Maka, fahaman sebegini bertentangan dengan asas aqidah Islam yang meletakkan Allah SWT sebagai sumber tunggal kebenaran.
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ ۖ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ
Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu. Maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman, dan sesiapa yang mahu kufur, biarlah dia kufur.” [Surah al-Kahfi, ayat 28]
Fahaman ini percaya bahawa kebenaran itu tidak bersifat mutlak, bahkan berbeza bagi setiap orang. Ia sehaluan dengan Liberalisme, yang mengagungkan kebebasan tanpa batas sehingga tahap setiap orang bebas menentukan apa itu benar dan salah mengikut diri sendiri. Ia juga menganggap apa saja yang seseorang rasa baik, maka itulah yang dianggap moral, walaupun sebenarnya perbuatan itu salah di sisi agama.
Apabila kebenaran dianggap berbilang-bilang, manusia akan merasa bebas melakukan apa sahaja termasuk membuat kerosakan dan menyebar fitnah tanpa merasa bersalah. Masing-masing akan beralasan, “dia ada sebab sendiri, siapa aku nak hukum.” Akhirnya lahirlah konsep husnudzon yang menyimpang, iaitu sikap membiarkan kemungkaran atas nama “berbaik sangka”. Sikap inilah yang pernah menjadi kebiasaan kaum Bani Israel dahulu. Mereka tidak menegur kemungkaran sesama sendiri hingga rosaklah masyarakat mereka.
كَانُوا۟ لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍۢ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ
Maksudnya : “Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan..” [Surah al-Maidah, ayat 79]
Selain itu, al-Quran juga menggambarkan fahaman bahawa kebenaran itu berbilang melalui dakwaan kaum Bani Israel bahawa merekalah satu-satunya golongan yang berhak menjadi pemegang kunci syurga.
وَقَالُوا لَن يَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ۗ تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya : “Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar". [Surah al Baqarah, ayat 111]
Akibatnya, orang yang berbuat jahat tetap menganggap dirinya benar. Masyarakat pula menjadi keliru dengan pelbagai dakwaan kebenaran palsu, hingga ada yang mencipta fahaman sendiri dan mendakwa dirinya pembawa kebenaran. Asas ilmu turut rapuh apabila umat Islam lebih banyak berhujah bukan lagi berpaksikan al-Quran dan hadis. Malah, mereka menjadikan logik pemikir Barat sebagai ukuran kebenaran, sehingga dosa dan maksiat pun dinormalisasikan atas nama kebebasan individu. Islam berbeza dengan cara fikir Barat. Islam menegaskan bahawa kebenaran itu mestilah bersifat tunggal, dan ia daripada Allah SWT Allah SWT menegaskan;
قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَكُمُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَنِ ٱهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِى لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا ۖ وَمَآ أَنَا۠ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍۢ
Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu.” [Surah Yunus, ayat 108]
Kesimpulannya, al-Quran bukan sekadar mengisytiharkan dirinya sebagai kebenaran, tetapi juga membuktikannya secara rasional dan meyakinkan. Setiap hujah dalam al-Quran tersusun dengan logik dan bukti yang mampu menjawab akal manusia dari pelbagai peringkat dan lapisan.
Soalan 6
Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimanakah kedudukan tarekat dalam gagasan al-Jama‘ah, memandangkan wujud pelbagai aliran tarekat yang berbeza di luar sana?
Kedudukan tarekat dalam gagasan al-Jama‘ah sebenarnya tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan kepelbagaian aliran yang wujud, tetapi pada asas yang menjadi pegangan setiap tarekat itu. Jika tarekat tersebut berpaksikan al-Quran dan Sunnah, maka ia termasuk dalam jalan al-Jama‘ah. Kepelbagaian nama tarekat tidak bermakna perpecahan, sebaliknya menunjukkan kepelbagaian jalan mujahadah menuju kepada matlamat yang sama, iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT.
الطرق الصوفية وسائل لتزكية النفس وتهذيب الخلق وتحسين السلوك، والسير بالمريد في طريق الاتباع العملى للرسول ﷺ ليكون مؤمنًا حقًا ومسلِمًا صدقًا. ولا يشعر أثر الطرق الصوفية إلا من مارسها بإخلاص، وهيأ الله له من وسائل الترقى ما يحقق له الوصول
Maksudnya : “Tarekat-tarekat sufi merupakan jalan untuk menyucikan jiwa, memperelok akhlak, memperbaiki tingkah laku, dan membimbing murid menempuh jalan pengamalan sunnah Rasulullah SAW secara nyata, agar menjadi seorang mukmin yang benar dan Muslim yang tulus. Kesan dan keberkatan tarekat ini tidak akan dirasai melainkan oleh orang yang mengamalkannya dengan penuh keikhlasan, dan Allah akan menyediakan baginya jalan peningkatan rohani yang membawa kepada pencapaian makrifat dan kedekatan dengan-Nya.” [Lihat al-Fatawa Syeikh Abdul Halim Mahmud, jld. 2, hlm. 236]
Para ulama besar seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Qusyairi, dan Syeikh Abdul Halim Mahmud menjelaskan bahawa tarekat yang sebenar hanyalah satu iaitu berpegang teguh kepada kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya. Apa jua nama atau susunan amalan dalam tarekat hanyalah wasilah (jalan pelaksanaan) bagi tujuan yang sama: tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) dan ma‘rifatullah (mengenal Allah).
وكل طريقة صوفية سليمة إنما تدّعوا إلى التزام الكتاب والسنة، والطريقة التي تنحرف عن ذلك تكون فاسدة ضالة مضلة. فقد نزّل القرآن بيانًا للهداية الصادقة، ورسول الله ﷺ بقوله وعمله بأحوالها كلها فمن حاد عن ذلك فهو من الخاسرين
Maksudnya : “Setiap tarekat sufiah yang sejahtera hanya menyeru kepada beriltizam dengan kitab dan dan sunnah, sedangkan tarekat yang menyeleweng daripada itu akan membawa kepada kerosakan, sesat lagi menyesatkan. Sesungguhnya al-Quran diturunkan sebagai petunjuk yang benar, dan Rasulullah SAW menjadi contoh melalui tutur kata, perbuatan serta seluruh kehidupannya. Maka, sesiapa yang berpaling daripada jalan ini, termasuklah dalam golongan yang rugi.” [Lihat al-Fatawa Syeikh Abdul Halim Mahmud, jld. 2, hlm. 391]
Kepelbagaian tarekat yang berpaksikan wahyu sebenarnya memperkayakan khazanah rohani umat Islam. Ia memberi ruang kepada manusia dengan latar, fitrah, dan keupayaan berbeza untuk menemui cara terbaik mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, faham tarekat yang sahih membawa kepada perpaduan hati dan kelembutan akhlak, bukan kepada eksklusif atau perpecahan.
Dalam konteks dunia moden, fahaman tentang tarekat sering disempitkan kepada bentuk kerohanian yang pasif dan terpisah daripada urusan sosial serta bergaul dengan masyarakat. Sejarah membuktikan bahawa tarekat sebenarnya memainkan peranan besar dalam mempertahankan agama, menegakkan keadilan, dan membela maruah umat Islam.
Laporan “Sufism and Political Islam: A Viable Replacement?” menunjukkan bahawa tarekat seperti Qadiriyyah, Sanusiyyah dan Shaziliyyah pernah memimpin jihad menentang penjajahan serta menegakkan hak rakyat. “Vikor meneliti beberapa contoh peranan Sufisme berhadapan dengan pihak penjajah. Antaranya ialah Tarekat Qadiriyyah yang menentang penjajahan Perancis di bahagian barat dan tengah Algeria antara tahun 1832 hingga 1847, dengan membina struktur politik berasaskan legitimasi kesukuan dan rohani yang dipimpin oleh Amir al-Mu’minin Abd al-Qadir, yang mengetuai jihad sebagai “panglima orang-orang beriman”. [Sufism and Political Islam: A Viable Replacement?] https://medium.com/@Eipss_En/sufism-and-political-islam-a-viable-replacement-1-c16097520590 ]
Namun kini, ada usaha halus untuk menjadikan tarekat sebagai simbol Islam yang “pasif” dan tidak membawa gerakan islah dan tajdid, iaitu dengan mempromosikan bentuk kesufian yang tidak bersosial dan terpisah daripada perjuangan menegakkan agama. Oleh itu, masyarakat mesti sedar bahawa tarekat bukan jalan melarikan diri daripada dunia, tetapi sumber kekuatan spiritual yang menggerakkan perubahan sosial dan politik secara beradab dan berprinsip.
Maka, kesedaran ini perlu dibina agar umat memahami bahawa tarekat mesti berpaut kepada prinsip al-Jama‘ah iaitu berpegang kepada al-Quran dan Sunnah serta menegakkan maqasid Islam. Dengan kesedaran ini, tarekat akan kembali menjadi sumber kesatuan, kekuatan dan ketahanan rohani umat, bukan alat propaganda yang melemahkan Islam dari dalam.
Soalan 7
Assalamualaikum ustaz dan dai. Dalam dunia hari ini yang dipenuhi dengan maklumat yang tersebar begitu pantas, bagaimana cara kita nak pastikan ilmu agama yang kita terima itu benar dan sahih, supaya tidak bercampur dengan ajaran atau fahaman yang menyeleweng?
Kita sedang hidup dalam zaman di mana maklumat tersebar lebih cepat daripada semakan. Hanya dengan satu klik, hadis boleh dikongsi kepada ribuan orang walaupun belum tentu sahih. Setiap hari muncul pelbagai video agama di media sosial; sebahagiannya mendidik, sebahagiannya mengelirukan.
Fenomena ini tidak asing, bahkan juga telah diingatkan oleh Nabi SAW tentang keadaan akhir zaman berkaitan golongan Ruwaibidhah. Nabi SAW bersabda:
سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ
Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipudaya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibhidah ? maka baginda SAW menjawab : Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar.” [HR Ibnu Majah, 4036]
Imam al-Syatibi menyebutkan dalam kitabnya menyebutkan bahawa golongan al-Ruwaibidhah ialah:
هُوَ الرَّجُلُ التَّافَةُ الْحَقِيرُ يَنْطِقُ فِي أُمُورِ الْعَامَّةِ، كَأَنَّهُ لَيْسَ بِأَهْلٍ أَنْ يَتَكَلَّمَ فِي أُمُورِ الْعَامَّةِ فَيَتَكَلَّمُ
Maksudnya: “Orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap.” [Rujuk: al-I’tisam, jld. 2, hlm. 680]
Nabi SAW juga telah memberikan peringatan agar berhati-hati dengan mereka yang mengada-adakan atau berdusta dalam agama, Nabi SAW bersabda:
سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي أُنَاسٌ يُحَدِّثُونَكُمْ مَا لَمْ تَسْمَعُوا أَنْتُمْ وَلاَ آبَاؤُكُمْ فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ
Maksudnya: “Akan muncul pada akhir umatku beberapa orang yang akan menceritakan kepada kamu perkara-perkara (hadis) yang kamu dan bapa-bapa kamu tidak pernah mendengarnya. Maka, berhati-hatilah kamu dan jauhilah mereka.” [HR Muslim, 6]
Peringatan-peringatan sebegini telah lebih awal disampaikan kepada kita dan mengingatkan kita bahawa dengan kemudahan teknologi yang ada, bukan hanya perkara baik mudah disebarkan, namun perkara palsu dan mungkar tidak kurang lajunya tersebar dan mempengaruhi masyarakat kita.
Para ulama menyebutkan bahawa sesungguhnya kebinasaan datang dari arah golongan yang memberi fatwa tanpa ilmu. Daripada Imam Malik bin Anas bahawa suatu hari Rabi‘ah menangis dengan tangisan yang sangat kuat. Lalu ada yang bertanya kepadanya: ‘Adakah musibah telah menimpa kamu?’ Beliau menjawab: ‘Tidak! Tetapi (aku menangis) kerana orang yang tidak berilmu telah diminta memberi fatwa (berhukum).” [Rujuk: al-I’tisam, jld. 2, hlm. 680]
Maka, dalam mendepani realiti akhir zaman yang mempamerkan orang-rang yang suka berdusta tentang agama, atau menyebarkan ilmu yang salah demi kepentingan peribadi masing-masing, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan:
Konsep tabayun dalam setiap maklumat
Kaedah priktikal dalam membuat pengesahan dan semakan antaranya ialah:
- Semak sumber asal daripada kitab muktabar, atau sekarang terdapat website yang diyakini autoriti dan kesahihannya dalam mendigitalkan inti kitab agama seperti maktabah shamela, dan dorar.net (bagi menyemak status hadis).
- Rujuk pandangan mufti atau institusi berautoriti berkaitan pandangan tentang isu tertentu. Boleh layari lanjut di portal rasmi fatwa negeri atau JAKIM dll.
Perhatikan dari siapa kita mengambil ilmu
Imam Muhamad ibn Sirrin menyebutkan:
إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِيْنٌ فَانظُرُوْا عَمَّنْ تَأْخُذُوْنَ دِيْنَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka kamu lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.” [Rujuk: Muqaddimah Sahih Muslim, jld. 1, hlm. 11]
Konsep sanad dalam setiap bidang ilmu
Sanad merupakan sandaran, pertalian dan persambungan ilmu bagi memastikan kesahihan ilmu dan maklumat. Abdullah Ibnu Mubarak menyebutkan:
الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّيْنِ لَوْ لَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ
Maksudnya: "Isnad itu adalah sebahagian daripada agama, sekiranya tidak ada isnad maka berkatalah seseorang itu apa yang hendak dikatakannya (bergantung kepada hawa nafsunya).” [Rujuk: Muqaddimah Sahih Muslim, jld. 1, hlm. 12]
Dalam perjalanan menuntut ilmu, penuntut ilmu hendaklah sentiasa bermuzakarah dengan para ulama dan membiasakan diri untuk bertanya apabila timbul keraguan dalam memahami sesuatu maksud. Amalan inilah yang menjadi budaya para salafus soleh agar kebenaran sentiasa terpelihara bersama mereka.
Berwaspadalah dalam mengambil ilmu dari mereka yang memahami agama mengikut selera sendiri, serta mentafsirkannya bertujuan mencapai kepentingan tersendiri. Sekiranya berlaku kekeliruan dan percanggahan maka kembalilah merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah serta mereka yang berpegang teguh dengan kedua-duanya. Firman Allah SWT:
فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَالْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ
Maksudnya: “...Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.” [Surah al-Nisa’. Ayat 59]
