ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
Soal & Jawab
- Penerbit : Adib
SOALAN PENONTON
Soalan 1
Kenapa Islam tekankan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram? Apakah adab-adab dalam Islam apabila berinteraksi dengan bukan mahram?
JAWAPAN :
Agama ialah panduan dalam setiap urusan kehidupan termasuk urusan muamalat antara lelaki dan wanita. Agama bertindak sebagai batas yang menyelamatkan dan membimbing fitrah manusia yang cenderung kepada satu sama lain.
Batas pergaulan yang telah ditetapkan oleh Islam bertujuan melindungi setiap manusia daripada terjerumus kepada maksiat zina. Perintah Allah dalam al-Quran untuk tidak mendekat zina membawa makna larangan terhadap apa sahaja jalan-jalan yang boleh mendekati zina.
Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” [HR Abu Daud, 2152]
Maka, dengan batas pergaulan yang menjadi benteng diri dapat mengekang kemungkinan-kemungkinan daripada mendekati zina. Terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan dalam berurusan sesama lain jantina (ajnabi), sama ada seseorang yang sudah bekahwin atau belum. Antaranya ialah:
Menjaga pandangan. Tidak melihat tanpa sebarang keperluan dan tidak melihat satu sama lain dengan pandangan syahwat.
Tidak menggunakan suara yang manja, melenggok atau menaikkan syahwat.
Menjaga pergerakan (lenggok) badan dan jarak antara satu sama lain. Tidak duduk dalam ruang yang terlalu dekat bagi mengelakkan keinginan nafsu yang boleh membawa kepada dosa.
Elakkan untuk berdua-duaan pada kawasan yang tertutup sekiranya tiada sebarang darurat.
Menjaga aurat dengan sempurna.
Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
Perintah menundukkan pandangan telah disebutkan dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” [Surah al-Nur, ayat 30]
Bahkan dalam ayat seterusnya juga Allah menyampaikan perintah yang sama buat wanita, serta memerintahkan wanita untuk memelihara aurat dan tidak melakukan sesuatu perkara yang menarik perhatian ajnabi terhadap perhiasan mereka.
Hakikatnya, dengan kemudahan teknologi yang ada sekarang, peluang untuk saling berhubung dengan bebas sangat luas serta konten-konten negatif yang mengundang keinginan yang tidak baik antara lelaki dan perempuan. Maka ianya perlu dikendalikan dengan keteguhan iman, ilmu, didikan serta persekitaran sekeliling.
Mungkin sesetengah akan merasakan ianya seperti beban dan kongkongan ketika Islam meletakkan garis panduan berikut. Namun, hakikatnya Islam ialah agama yang menyeru kepada kehidupan yang sempurna. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱسْتَجِيبُوا۟ لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ ٱلْمَرْءِ وَقَلْبِهِۦ وَأَنَّهُۥٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” [Surah al-Anfal, ayat 24]
Soalan 2
Bagaimana peranan dan fungsi ibu bapa dalam mengawal anak dewasa yang selalu keluar bersama. Apakah dengan kaedah mempercepatkan perkahwinan dalam menyelesaikan masalah sebegini?
JAWAPAN :
Peranan ibu bapa dalam mendidik, menasihati, dan membimbing dengan hikmah:
Menanamkan kefahaman agama.
Islam melarang mendekati zina dan dating, couple, bersentuhan serta pergaulan bebas akan menjurus kepadanya.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [Surah al-Isra’, ayat 32]
Allah SWT tahu itulah yang terbaik untuk manusia bagi menjaga kemuliaan diri mereka.
Mencipta suasana keluarga yang terbuka.
Generasi zaman kini tidak sesuai dengan pendekatan marah, rotan dan kurung semata-mata.
Seperti pepatah menyebut:
لا تربوا أولادكم كما رباكم آباؤكم، فقد خلقوا لزمان غير زمانكم
Maksudnya: "Janganlah kamu mendidik anak-anakmu sebagaimana ibu bapa kamu mendidik kamu, kerana sesungguhnya mereka diciptakan untuk zaman yang bukan zaman kamu."
Mereka perlu didekati ibarat ‘kawan baik’ supaya ibu bapa dapat memahami anak dan anak juga hormat dan dengar arahan mereka.
Mempercepatkan perkahwinan sebagai solusi.
Jika berkemampuan untuk menyediakan nafkah, maka digalakkan untuk ibu bapa memudahkan urusan perkahwinannya.
Ketahuilah, apabila kahwin itu menjadi mahal, maka zina itu akan menjadi murah.
Rasulullah SAW bersabda:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: "Wahai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin, kerana ia lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu baginya adalah perisai (menahan nafsu).” [HR al-Bukhari, 5066]
Jika belum bersedia berkahwin, apa alternatifnya?
Bantu mereka memahami keperluan untuk menjaga batas pergaulan.
Jika masih mahu berkawan, pastikan dalam suasana yang tidak membuka pintu fitnah seperti keluar dalam kumpulan, mengelakkan tempat sunyi, atau sentiasa ada pengawasan yang wajar.
Galakkan anak-anak mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat seperti program keagamaan, kerja sukarelawan, bersukan atau aktiviti2 yang boleh membentuk keperibadian mereka.
Soalan 3
Isu bercinta dengan rakan sepejabat. Namun masing-masing sudah berkahwin. Apakah punca sebenarnya sehingga terjadinya hubungan cinta sebegini? Bagaimana cara nak elak perkara ini berlaku?
JAWAPAN :
Isu bercinta dengan rakan sepejabat meskipun masing-masing sudah berkahwin berpunca daripada beberapa faktor utama. Antaranya,
Komunikasi
Hubungan rumah tangga yang hambar sering menyebabkan seseorang mencari perhatian di luar.
Pasangan yang saling tidak berkongsi perasaan akan cenderung merasa lebih selesa meluahkan kepada rakan sekerja berlainan jantina, terutama dalam situasi tekanan kerja.
Solusi :
Pasangan perlu membina komunikasi yang terbuka dan saling berkongsi bukan hanya tentang rutin harian, tetapi juga tentang perasaan dan cabaran yang dihadapi.
Mengutamakan pasangan dalam setiap perbincangan dan tidak menjadikan tempat kerja sebagai ruang untuk meluah perasaan.
Love Language
Setiap individu mempunyai love language yang berbeza. Contohnya, ada yang suka kata-kata penghargaan, ada yang suka hadiah, ada yang perlukan sentuhan fizikal, dan sebagainya.
Jika pasangan tidak memahami atau mengabaikan love language pasangannya, maka dia mungkin mula mencari penghargaan tersebut daripada orang lain.
Solusi :
Pasangan perlu mengenali dan memenuhi keperluan emosi antara satu sama lain agar tiada ruang untuk orang luar mengisinya. Sebagai contoh, meluangkan masa berkualiti bersama atau melakukan aktiviti yang mengeratkan hubungan.
Contohnya, Nabi SAW gemar mengajak Aisyah r.a melakukan aktiviti yang mengeratkan hubungan mereka.
وشارك النبي ﷺ زوجاته في اللعب، واللهو المباح، عن عائشة رضي الله عنها قالت: خرجت مع النبي ﷺ في بعض أسفاره، وأنا جارية لم أحمل اللحم، ولم أبدن، فقال للناس: "تقدموا" فتقدموا، ثم قال لي: "تعالي حتى أسابقك"، فسابقته، فسبقته، فسكت عني، حتى إذا حملت اللحم، وبدنت، ونسيت، خرجت معه في بعض أسفاره، فقال للناس: "تقدموا"، فتقدموا، ثم قال: "تعالي حتى أسابقك"، فسابقته، فسبقني، فجعل يضحك، وهو يقول: هذه بتلك
Maksudnya : (Nabi ﷺ juga turut serta dalam permainan dan hiburan yang dibenarkan bersama isteri-isterinya. Diriwayatkan daripada Aisyah r.a., beliau berkata: Aku pernah keluar bersama Nabi ﷺ dalam salah satu perjalanan Baginda. Ketika itu, aku masih muda, tubuhku ringan dan kurus. Baginda berkata kepada orang ramai: "Majulah ke hadapan," lalu mereka bergerak ke hadapan. Kemudian Baginda berkata kepadaku: "Mari, kita berlumba!" Lalu aku berlumba dengannya dan aku menang. Baginda diam sahaja.
Setelah beberapa lama, tubuhku mulai berisi dan aku lupa peristiwa itu. Suatu hari, aku keluar bersama Nabi ﷺ dalam satu lagi perjalanan. Baginda berkata kepada orang ramai: "Majulah ke hadapan," lalu mereka bergerak ke hadapan. Kemudian Baginda berkata kepadaku: "Mari, kita berlumba!" Lalu aku berlumba dengannya, tetapi kali ini Baginda mengalahkanku. Baginda pun tertawa sambil berkata: "Ini sebagai balasan perlumbaan yang dahulu." [HR Ahmad, 26320]
Perbezaan Psikologi Lelaki dan Wanita
Lelaki cenderung menyelesaikan masalah secara logik, manakala wanita lebih fokus kepada emosi dan perasaan.
Jika seorang wanita merasa tidak didengari oleh suaminya, dia mungkin mula berkongsi perasaan dengan rakan sekerja lelaki yang lebih ‘mendengar’ dan memahami emosinya.
Solusi :
Suami perlu lebih peka terhadap perasaan isteri dan tidak sekadar mencari penyelesaian kepada masalah, tetapi benar-benar memberi perhatian kepada apa yang dirasakan oleh pasangannya.
Isteri pula perlu menunjukkan penghormatan dan penghargaan kepada suami, kerana lelaki cenderung merasa lebih dihargai apabila mereka dihormati dalam rumah tangga.
Nabi SAW sangat memahami isi hati dan perasaan isterinya. Contohnya, baginda mengetahui bila waktu Sayidatina Aisyah r.a gembira atau marah.
وَيُحَدِّثُ ﷺ زَوْجَهُ عَائِشَةَ بحديثِ وُدِّي وَاصِفًا حَالَهَا حِينَ تَغْضَبُ عَلَيْهِ، وَحِينَ تَرْضَى، عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: "إِنِّي لَأَعْلَمُ إِذَا كُنْتِ عَنِّي رَاضِيَةً، وَإِذَا كُنْتِ عَلَيَّ غَضْبَى". قُلْتُ: مِنْ أَيْنَ تَعْرِفُ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: "أَمَّا إِذَا كُنْتِ عَنِّي رَاضِيَةً فَإِنَّكِ تَقُولِينَ: لَا وَرَبِّ مُحَمَّدٍ، وَإِذَا كُنْتِ غَضْبَى قُلْتِ: لَا وَرَبِّ إِبْرَاهِيمَ". قَالَتْ: قُلْتُ: أَجَلْ وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا أَهْجُرُ إِلَّا اسْمَك..
Maksudnya : Rasulullah ﷺ juga berbicara dengan isterinya, Aisyah r.a., dengan penuh kasih sayang, menggambarkan bagaimana beliau memahami perasaan Aisyah ketika marah atau reda terhadapnya. Diriwayatkan dari Aisyah r.a., dia berkata: Rasulullah ﷺ berkata kepadaku: "Aku tahu bila engkau reda terhadapku dan bila engkau marah kepadaku." Aku bertanya: "Bagaimana engkau tahu?" Baginda menjawab: "Jika engkau reda kepadaku, engkau berkata: ‘Tidak, demi Tuhan Muhammad.’ Tetapi jika engkau marah kepadaku, engkau berkata: ‘Tidak, demi Tuhan Ibrahim.’" Aisyah berkata: "Benar, wahai Rasulullah. Demi Allah, aku hanya meninggalkan namamu sahaja (ketika marah), tetapi hatiku tetap menyayangimu." [HR Muslim, 2439]
Soalan 4
Bagaimana seorang remaja boleh menangani tekanan daripada keluarga apabila mereka dipaksa memilih pasangan yang lebih ‘setaraf’?
JAWAPAN :
Dalam konteks syariah, istilah yang digunapakai adalah sekufu.
Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang). [al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 690]
Saranan Nabi SAW akan hal ini berdasarkan hadis:
تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ
Maksudnya: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.” [HR al-Hakim, 2/163]
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji [2/520-525], ketika membincangkan berkenaan memilih pasangan yang sekufu’, menyatakan: Kufu’ bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek:
Agama dan kesolehan
Seorang lelaki yang fasik tidak sama dengan perempuan yang solehah. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ
Maksudnya: “Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasik? Mereka tidak sama.” [Surah al-Sajadah, ayat 18]
Pekerjaan
Seseorang yang mempunyai pekerjaan bertaraf rendah seperti tukang sapu, tukang bekam, pengembala ternakan, pencuci tandas adalah tidak kufu mengahwini anak perempuan seorang ilmuan, hakim atau ahli perniagaan.
Tidak cacat
Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan pasangan berhak memilih untuk fasakh perkahwinannya. Seorang lelaki yang gila atau sopak tidak sekufu dengan seorang perempuan yang tidak berpenyakit seperti itu.
Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya. Walaupun kufu bukannya syarat sah nikah, tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.
Menangani tekanan daripada keluarga, terutamanya apabila mereka dipaksa memilih pasangan yang lebih 'setaraf', boleh menjadi cabaran besar bagi seorang remaja.
Oleh itu, antara langkah yang boleh diambil:
Berkomunikasi dengan Jujur
Remaja perlu cuba berbincang dengan keluarga secara terbuka dan jujur mengenai perasaan mereka. Jelaskan bahawa mereka menghargai pandangan keluarga tetapi juga ingin membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka rasa sesuai dengan diri mereka. Pendekatan yang tenang dan penuh hormat dapat membantu meminimakan ketegangan.
Mendengar Pandangan Keluarga dengan Empati
Kadang-kadang, keluarga mungkin merasa bimbang atau ingin yang terbaik untuk anak mereka. Oleh itu, mendengar pandangan keluarga dengan empati dan memahami motivasi mereka dapat membantu mengurangkan ketegangan. Sebagai contoh, jika mereka risau tentang masa depan atau kestabilan, cuba beri penjelasan tentang pilihan yang dibuat.
Menentukan Prioriti dan Nilai Diri
Remaja perlu tahu dengan jelas apa yang mereka hargai dalam perhubungan dan pasangan mereka. Memahami apa yang penting untuk mereka, seperti komunikasi, saling memahami, dan sokongan, boleh membantu mereka merasa lebih yakin dengan pilihan yang mereka buat, meskipun tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh keluarga.
Dalam situasi ini, adalah penting bagi remaja untuk ingat bahawa mereka berhak membuat keputusan mengenai kehidupan peribadi mereka, dan walaupun mereka menghargai pandangan keluarga, keputusan akhir adalah milik mereka.
Soalan 5
Bagaimana konsep mujahadah an-nafs (melawan hawa nafsu) membantu seseorang dalam menjaga kesucian diri?
JAWAPAN :
Nafsu itu memang ada dalam diri setiap diri manusia. Ia adalah anugerah daripada Allah SWT dalam menangani kehidupan sebagai hamba Allah sebagaimana Allah mengurniakan akal untuk manusia berfikir dan merencana kehidupan.
Nafsu ini sememangnya ada dalam kita untuk kita menjalani aktiviti seperti makan, minum dan berkahwin. Cuma, yang menjadi kebimbangan adalah tingkat kawalan kita terhadap nafsu yang wujud dalam diri kita.
Tidak dinafikan bahawa melawan dan mengawal hawa nafsu adalah satu perkara yang besar dan sukar dilakukan. Ini kerana, ia memerlukan usaha yang tinggi bagi mengawal hawa nafsu tersebut agar tidak terjerumus ke lembah maksiat.
Konsep mujahadah an-nafs (melawan hawa nafsu) memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu seseorang menjaga kesucian diri, terutamanya dari segi spiritual dan moral.
Mujahadah an-nafs adalah usaha yang berterusan untuk mengatasi godaan dan keinginan nafsu yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip agama dan nilai-nilai kebaikan.
Apabila seseorang itu berusaha dalam mengawal nafusnya, maka janji Tuhan dalam bimbingan untuknya:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” [Surah al-‘Ankabut, ayat 69]
Secara keseluruhan, mujahadah an-nafs adalah kunci utama untuk mencapai kehidupan yang lebih baik dan suci, kerana ia membantu seseorang menundukkan keinginan yang bersifat sementara dan menggantinya dengan amalan yang lebih mendekatkan diri kepada Allah.
Soalan 6
Apakah pandangan Islam tentang ketaatan kepada ibu bapa dalam soal memilih pasangan? Adakah terdapat keadaan seorang anak boleh berkahwin tanpa restu ibu bapa menurut Islam?
JAWAPAN :
Secara asasnya, seorang anak perlu menghormati dan mendengar nasihat ibu bapa selagi mana ia tidak melanggar hukum syarak.
Allah SWT berfirman:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, janganlah kamu menyembah selain daripada-Nya, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa." [Surah al-Isra’, ayat 23]
Namun sepanjang kehidupan seorang anak, terdapat beberapa ketika mereka berada di persimpangan kehidupan yang memerlukan mereka membuat keputusan besar. Antaranya:
Memilih bidang pengajian Ijazah di universiti.
Memilih pekerjaan.
Memilih jodoh pasangan.
Menentukan tempat settle down sewaktu hari tua.
Bagi memilih jodoh, Islam mengutamakan keinginan dan kehendak pasangan pengantin tersebut kerana merekalah yang akan bersama menghadapi bahtera rumah tangga.
Rasulullah SAW bersabda:
الأَيِّمُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا وَالْبِكْرُ تُسْتَأْذَنُ فِي نَفْسِهَا وَإِذْنُهَا صُمَاتُهَا
Maksudnya: "Seorang janda lebih berhak ke atas dirinya berbanding walinya, dan seorang gadis perlu diminta izinnya untuk berkahwin, dan izinnya adalah diamnya." [HR Muslim, 1421]
Perlu kita fahami bahawa restu ibu bapa bukanlah syarat sah perkahwinan, khususnya bagi pengantin lelaki. Ia hanya bonus sahaja.
Bagi pengantin perempuan, jika bapanya iaitu wali mujbir tidak mahu memberi izin, pengantin perempuan boleh memilih wali hakim sebagai walinya. Seandainya dia yakin bahawa pilihannya itu merupakan orang yang baik baginya dan keluarganya.
Islam melarang untuk menolak calon yang baik tanpa sebarang sebab. Sabda Nabi SAW:
إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ
Maksudnya: "Jika datang kepada kamu seseorang yang kamu reda dengan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, akan berlaku fitnah di bumi dan kerosakan yang besar." [HR al-Tirmizi, 1084]
Walaupun begitu, jangan kita abaikan adab dan hikmah dalam menguruskan perbezaan pendapat dengan ibu bapa:
Berbincang dengan baik: Jelaskan kepada ibu bapa sebab pemilihan calon dan bagaimana dia memenuhi kriteria Islam.
Gunakan perantara: Minta bantuan orang yang dihormati seperti ustaz, saudara yang lebih tua, atau kenalan yang boleh menjadi perantara untuk meredakan ketegangan.
Banyakkan doa: Mohon kepada Allah supaya dilembutkan hati ibu bapa dan diberikan yang terbaik dalam urusan perkahwinan.
