ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

rebut husnul khotimah
SOALAN PENONTON – Husnul Khatimah

SOALAN PENONTON

Soalan 1

Apa beza antara husnul khatimah dan su'ul khatimah? Adakah seseorang yang mati dalam keadaan baik adalah takdir yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT?

JAWAPAN :

Allah SWT menjadikan kehidupan dan kematian untuk menguji manusia siapakah dalam kalangan mereka yang paling baik amalannya, sepertimana Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” [Surah al-Mulk, ayat 2]

Husnul Khatimah dan Su'ul Khatimah adalah dua keadaan yang berbeza mengenai penutupan kehidupan seseorang atau kematian seseorang. Keduanya merujuk kepada keadaan akhir seseorang semasa meninggal dunia, tetapi dengan makna yang berlainan.

Husnul Khatimah (Akhiran yang Baik):

Husnul Khatimah merujuk kepada seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan yang baik, dengan cara yang mulia, dan berakhir dengan amal yang diterima oleh Allah. Ini biasanya melibatkan seseorang yang tetap dalam keimanan, beramal soleh, dan dalam keadaan bertaubat sebelum meninggal dunia. Kematian dalam keadaan husnul khatimah dianggap sebagai suatu hadiah atau anugerah daripada Allah yang menunjukkan seseorang itu telah menjalani kehidupan yang baik dan berakhir dengan cara yang terbaik.

Su'ul Khatimah (Akhiran yang Buruk):

Sebaliknya, su'ul khatimah merujuk kepada seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan yang buruk, sama ada dengan dosa yang belum bertaubat, tidak beramal soleh, atau dalam keadaan jauh daripada rahmat Allah. Kematian dalam keadaan su'ul khatimah boleh merujuk kepada kematian dalam keadaan kafir, atau dalam keadaan seseorang itu melakukan dosa besar tanpa bertaubat. Ia adalah penutupan kehidupan yang buruk dan tidak diingini.

Walau apapun situasi dan punca kematian, umat Islam mendambakan sebuah pengakhiran kehidupan dalam keadaan yang baik dan diredai oleh Allah SWT ataupun disebut sebagai husnul khatimah.

Sebaliknya kematian su'ul khatimah pula disifatkan sebagai pengakhiran kehidupan yang buruk seperti meninggal dalam keadaan melakukan maksiat, kufur atau menyimpang daripada ajaran Islam.

Terdapat banyak hadis menyebutkan tentang tanda-tanda seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.

Terlebih dahulu, antara syarat paling penting bagi seseorang itu mendapat husnul khatimah ialah mati dalam keadaan menganut agama Islam, beriman kepada Allah SWT dan melafazkan syahadah sebelum dia meninggalkan dunia.

Ini kerana Allah SWT tidak mengampunkan dosa orang yang melakukan syirik kepadaNya, firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” [Surah al-Nisa’, ayat 48]

Sememangnya dari sudut penetapan dan ketentuan Tuhan (qadak & qadar), segalanya telah sedia ada termaktub.

Hal ini sebagaimana hadis:

إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” [HR al-Bukhari, 3208]

Namun begitu, sesiapapun tidak mengetahui qada & qadar melainkan Allah SWT, maka hendaklah usaha beramal sepanjang hayat agar kita dimatikan dalam keadaan baik.

Hal ini berdasarkan hadis:

يُبْعَثُ كُلُّ عَبْدٍ علَى ما ماتَ عليه

Maksudnya: “Setiap hamba akan dibangkitkan dalam keadaan seperti ketika dia meninggal dunia.” [HR Muslim, 2878]

Imam al-Munawi mensyarahkan:

إن ما يفعله العبد من خير وشر في هذه الدار له نتائج تظهر في دار البقاء لأنها محل الجزاء وجزاء كل إنسان بحسب عمله، وكل معروف أو منكر يجازى عليه من جنسه، وكل إنسان يحشر على ما كان عليه في الدنيا، ولهذا ورد أن كل إنسان يحشر على ما مات عليه.

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap perlakuan hamba sama ada kebaikan atau keburukan dalam dunia akan peroleh hasil yang akan terzahir di alam akhirat kerana ia tempat pembalasan, maka pembalasan kepada setiap insan adalah berdasarkan amalannya. Setiap kebaikan atau keburukan dibalas seadanya, dan setiap insan akan dibangkitkan dalam keadaan kebiasaannya di dunia, oleh itu terdapat riwayat bahawa setiap insan akan dibangkitkan berdasarkan keadaannya ketika kematian.” [Faydh al-Qadir, Mesir: Maktabah al-Tijariah al-Kubra, jil. 2, hlm. 440]

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَة

Maksudnya: “Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah.”

Soalan 2

Dalam hadis disebutkan bahawa roh orang beriman akan diperlihatkan tempatnya di syurga sebelum meninggal dunia. Adakah ini hanya berlaku kepada para wali dan alim ulama, atau kepada semua orang beriman?

JAWAPAN :

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.” [HR al-Bukhari, 1379]

Setiap manusia ketika mereka meninggal dunia dan berada dalam kubur, sama ada mereka ialah orang beriman, atau fasik atau kafir, mereka akan diperlihatkan tempat mereka di akhirat nanti.

Dalam hadis yang lain menggambarkan kenikmatan yang dilalui oleh orang beriman sebelum meninggal dunia. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ العبدَ المؤْمن إذا كان في انْقِطَاعٍ من الدُّنْيَا، وإِقْبالٍ من الْآخِرَةِ، نزل إليه من السَّمَاءِ ملائكةٌ بِيضُ الوجُوهِ، كأَنَّ وجوهَهُمُ الشمسُ ، معهُمْ كفنٌ من أكْفَانِ الجنَّةِ، وحَنُوطٌ من حَنُوطِ الجَنَّةِ ، حتى يَجْلِسُوا منه مَدَّ البَصَرِ ، ثُمَّ يَجِيءُ مَلَكُ المَوْتِ حتى يَجلِسَ عندَ رأسِه فيَقولُ : أيَّتُهَا النَّفْسُ الطَّيِّبَةُ اخْرُجِي إلى مغْفِرةٍ من اللَّهِ ورِضْوَانٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila seorang hamba yang beriman berada dalam keadaan meninggalkan dunia dan menuju akhirat, maka turun kepadanya malaikat dari langit dengan wajah putih berseri-seri seperti matahari. Mereka membawa kain kafan dari syurga dan wangi-wangian dari syurga, lalu mereka duduk sejauh mata memandang. Kemudian, datanglah Malaikat Maut dan duduk di sisi kepalanya lalu berkata: “Wahai jiwa yang baik, keluarlah menuju keampunan dan keredhaan Allah.” [HR Ahmad, 18534]

Berdasarkan beberapa hadis ini menjelaskan bahawa kenikmatan ini dikecapi oleh semua orang beriman, tidak terbatas hanya kepada para wali atau ulama’. Sesiapa yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman pasti akan mendapatkan kenikmatan ini.

Begitu juga bagi manusia yang kufur kepada Allah, mereka juga akan bertemu dengan malaikat dengan keadaan yang mengerikan. Dalam sambungan hadis sebelum ini Rasulullah SAW bersabda:

وإنَّ العبدَ الكافِرَ إذا كان في انقِطَاعٍ من الدنيا، وإقبالٍ من الآخِرةِ ، نزل إليه من السماءِ ملائكةٌ سُودُ الوجُوهِ معَهُمُ المُسُوحُ ، فيجلِسُونَ منه مَدَّ البَصَرِ ، ثُمَّ يَجِيءُ مَلَكُ الموتِ حتى يَجْلِسَ عِنْدَ رَأْسِهِ فَيَقُولُ: يَا أيَّتُها النَّفْسُ الْخَبِيثَةُ اخْرُجِي إلى سَخَطٍ من اللَّهِ وغَضَبٍ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya apabila seorang hamba yang kafir berada dalam keadaan meninggalkan dunia dan menuju akhirat, maka turun kepadanya malaikat dari langit dengan wajah yang hitam, membawa kain kasar dari neraka, lalu mereka duduk sejauh mata memandang. Kemudian datanglah Malaikat Maut dan duduk di sisi kepalanya lalu berkata: “Wahai jiwa yang keji! Keluarlah menuju kemurkaan dan kemarahan Allah!” [HR Ahmad, 18534]

Maka, setiap manusia akan mendapat bahagiannya masing-masing berdasarkan siapakah mereka di dunia dan pengakhiran hidup mereka. Jika mereka beriman, maka mereka akan diperlihatkan keadaan mereka sebagai ahli syurga dan tempat mereka di akhirat nanti.

Perihal nikmat dan azab ketika dijemput kematian, atau di alam kubur serta hari akhirat semuanya bergantung kepada darjat keimanan seseorang.

Dalam Syarah Akidah al-Tohawiyah menjelaskan bahawa telah datang berita-berita yang mutawatir daripada Rasulullah mengenai kebenaran azab dan nikmat kubur bagi mereka yang layak menerimanya, serta soalan dua malaikat. Maka, wajiblah kita meyakini dan beriman dengan perkara ini.

Namun, kita tidak membahas bagaimana keadaannya, kerana akal manusia tidak mampu memahami hakikatnya, disebabkan tiada pengalaman mengenainya dalam kehidupan dunia ini. [Rujuk: Syarah Akidah al-Tohawiyah, jld. 2, hlm. 578]

Soalan 3

Bagaimana jika seseorang meninggal dalam kemalangan atau serangan jantung secara tiba-tiba, adakah mereka boleh dikira husnul khatimah?

JAWAPAN :

Konsep husnul khatimah (kesudahan yang baik) sangat berkait rapat dengan keadaan hati seseorang sebelum meninggal dunia serta amalan dan niatnya sepanjang hayat.

Husnul Khatimah bukan hanya dinilai berdasarkan bagaimana seseorang meninggal dunia secara zahir, tetapi lebih kepada keadaan batinnya ketika ajal menjemput.

Untuk mengetahui kematian seseorang dalam keadaan khusnul khatimah bergantung kepada tiga faktor utama:

  • Keadaan hati sebelum meninggal : Jika seseorang hidup dengan hati yang dekat kepada Allah, sentiasa bertakwa, dan mengamalkan kebaikan, maka ada harapan besar dia akan meninggal dalam keadaan yang baik.
  • Amalan sebelum kematian : Mereka yang istiqamah dalam ibadah dan tidak menunda-nunda taubat lebih cenderung mendapat husnul khatimah.
  • Mengucap 2 kalimah syahadah sebelum mati : Seseorang yang mengakhiri hayatnya dengan kalimah Lailaha illallah, atau dalam keadaan melakukan ibadah atau amal soleh, adalah tanda kematian yang baik.

مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga. [HR Abu Daud, 3116]

Dalam kes seseorang yang meninggal secara tiba-tiba seperti akibat kemalangan atau serangan jantung:

Jika dia seorang yang soleh dan hidup dalam ketaatan, maka kematiannya tetap boleh dianggap husnul khatimah.

إذا أرادَ اللَّهُ بعبدٍ خيرًا استعملَهُ . فقيلَ: كيفَ يستعملُهُ يا رسولَ اللَّهِ ؟ قالَ: يوفِّقُهُ لعملٍ صالحٍ قبلَ الموتِ

Maksudnya: Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, Dia akan menggunakannya." Para sahabat bertanya: "Bagaimana Allah menggunakannya?" Baginda menjawab: "Allah memberikan taufik kepadanya untuk melakukan amal soleh sebelum kematiannya." [HR Tirmidzi, 2142]

Begitu juga orang yang mati dalam kemalangan dunia atau berjihad di jalan Allah dikira sebagai mati syahid.

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit tha’un, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan Allah. [HR Bukhari, 652]

Kesimpulannya, kematian secara mengejut tidak semestinya sesuatu yang buruk. Apa yang lebih utama adalah keadaan hati dan amal seseorang sebelum ajal menjemput. Jika sepanjang hidupnya dia istiqamah dalam ketaatan kepada Allah, maka ada harapan besar baginya untuk memperoleh husnul khatimah, meskipun kematiannya berlaku secara tiba-tiba.

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.” [Surah Al-A’raf, 34]

Soalan 4

Adakah hutang yang tidak dibayar boleh menghalang seseorang daripada mati dalam keadaan yang baik?

JAWAPAN :

Ya, dalam Islam, hutang yang tidak dibayar boleh menjadi penghalang bagi seseorang untuk mati dalam keadaan yang baik iaitu husnul khatimah.

Hutang merupakan tanggungjawab yang sangat serius dalam syariat.

Allah menyuruh untuk si penghutang menulis semua rekod hutangnya secara jelas dan jujur.

Allah SWT berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى فَٱكْتُبُوهُ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. [Surah al-Baqarah, ayat 282]

Antara beberapa dalil amaran jika hutang tidak dilangsaikan semasa hidup:

Roh seseorang tertahan kerana hutang.

Rasulullah ﷺ bersabda:

نَفْسُ المُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: "Roh seorang mukmin tergantung kerana hutangnya sehingga hutangnya dilunaskan." [HR al-Tirmizi, 1078]

Nabi tidak menyolatkan jenazah orang yang berhutang.

Dalam satu hadis lain diriwayatkan bahawa:

أُتِيَ بِجَنَازَةٍ، لِيُصَلِّيَ عَلَيْهَا، فَقَالَ ‏"‏ هَلْ عَلَيْهِ مِنْ دَيْنٍ ‏"‏‏.‏ قَالُوا لاَ‏.‏ فَصَلَّى عَلَيْهِ، ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى، فَقَالَ ‏"‏ هَلْ عَلَيْهِ مَنْ دَيْنٍ ‏"‏‏.‏ قَالُوا نَعَمْ‏.‏ قَالَ ‏"‏ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ ‏"‏‏.‏ قَالَ أَبُو قَتَادَةَ عَلَىَّ دَيْنُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ‏.‏ فَصَلَّى عَلَيْهِ‏.‏

Maksudnya: Dibawa satu jenazah untuk disolatkan, lalu Baginda bertanya, "Adakah dia mempunyai hutang?" Mereka menjawab, "Tidak." Maka Baginda pun menyolatkannya.

Kemudian, dibawa satu lagi jenazah, lalu Baginda bertanya, "Adakah dia mempunyai hutang?" Mereka menjawab, "Ya." Maka Baginda bersabda, "Solatkanlah sahabat kamu ini."

Lalu Abu Qatadah berkata, "Saya akan menanggung hutangnya, wahai Rasulullah." Maka Baginda pun menyolatkannya. [HR al-Bukhari, 2295]

Orang yang berhutang terikat di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda:

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلاَّ الدَّيْنَ

Maksudnya: "Seorang yang mati syahid akan diampuni semua dosanya kecuali hutang." [HR Muslim, 1886]

Jika seorang syahid pun masih terikat dengan hutangnya, apatah lagi bagi orang biasa.

Jika seseorang dalam keadaan tidak mampu membayar hutangnya, dia hendaklah:

  • Berusaha bersungguh-sungguh untuk melunaskan hutangnya, walaupun sedikit demi sedikit.
  • Meminta penangguhan daripada pemiutang jika belum mampu membayar.
  • Menulis wasiat untuk memastikan hutang dibayar selepas kematian.

Firman Allah SWT:

فَإِن كَانَ ٱلَّذِى عَلَيْهِ ٱلْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُۥ بِٱلْعَدْلِ

Maksudnya: Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil dan benar; [Surah al-Baqarah, ayat 282]

Memohon keampunan kepada Allah dan berdoa agar diberikan jalan keluar.

Mencari bantuan, seperti zakat atau bantuan daripada ahli keluarga, jika hutang itu dalam kategori yang dibolehkan untuk dibantu.

Soalan 5

Orang yang meninggal dunia hari jumaat pasti disebut orang yang baik. Soalan saya, adakah meninggal dunia pada hari yang lain bukan dalam kalangan orang yang baik-baik, ustaz?

JAWAPAN :

Berkaitan hari jumaat, terdapat beberapa hadis yang menyebutkan tentang kelebihannya berbanding hari-hari yang lain. Antaranya ialah:

خَيرُ يومٍ طَلَعتْ عليه الشمسُ يومَ الجُمُعةِ ، فيه خُلِقَ آدمُ ، وفِيه أُدْخِلَ الجنةَ ، وفيه أُخْرِجَ مِنها ، ولا تَقومُ الساعةُ إِلَّا في يومِ الجُمعةِ

Maksudnya: “Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Adam AS. Pada hari itu juga dimasukkan ke dalam Syurga dan pada hari itu jugalah dikeluarkan daripadanya (Syurga) dan tidak akan berlaku Kiamat melainkan pada hari Jumaat”. [HR Muslim, 1411]

Nabi SAW juga bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ الْجُمُعَةِ إِلَى الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Siapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian pergi ke solat Jumaat, mendengarkan khatib, maka diampuni dosa-dosanya antara Jumaat itu hingga Jumaat berikutnya, dan ditambah tiga hari. Dan barangsiapa yang bermain batu bererti lagha (sia-sia Jumaatnya).” [HR Abu Daud, 1050]

Berkaitan kelebihan meninggal dunia pada hari Jumaat, terdapat beberapa hadis yang menyebutkan tentang hal itu, namun ulama berbeza pandangan tentang status hadis tersebut. Hadis tersebut ialah:

مَنْ مَاتَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وُقِيَ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur”. [HR Ahmad, 6359]

Hukum hadis ini dihukum hasan dengan kesemua jalurnya (sanad) oleh al-Albani di dalam karyanya Ahkam al-Jana’iz. Syeikh Syu’aib al-Arnout mengatakan sanad pada hadis ini dhaif (lemah) dan syawahid yang ada untuk menyokong hadith ini adalah tidak boleh dan tidak sesuai untuk dijadikan syawahid. Selain itu, beliau mengatakan bahawa al-Albani telah tersalah di dalam menghukum terhadap hadith ini kerana mengikut al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi. [Rujuk: Musnad Ahmad, jld. 11, hlm. 150]

Begitu juga bagi beberapa hadis yang lain, terdapat perbezaan pandangan dalam menyatakan status hadis berkaitan hal ini.

Maka, sekiranya ia termasuk dalam hadis dhaif, ianya termasuk dalam perkara fadha’il (kelebihan), iaitu kelebihan yang Allah berikan atas kemuliaan dan keberkatan hari Jumaat, sebagai salah satu tanda kesudahan yang baik (husnul khatimah).

Antara perkara yang lebih utama yang perlu kita teliti ialah berkaitan pengakhiran hidup yang baik walau pada hari apa pun. Kerana hakikatnya kematian ialah hal yang pasti dan sudah ditetapkan oleh Allah, ia tidak akan terlambat atau tercepat walau sesaat pun. Firman Allah:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌۭ ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةًۭ ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” [Surah al-A’raf, ayat 34]

Maka, dapat kita simpulkan bahawa bukanlah mereka yang meninggal pada hari Jumaat tidak mendapatkan husnul khatimah. Mereka yang beriman serta beramal soleh pasti akan mendapat husnul khatimah dengan rahmat dan izin Allah, walaupun ia meninggal pada hari apa pun.

Irsyad al-Hadith Siri ke-59: Kelebihan mati pada hari Jumaat

Soalan 6

Bagaimana cara kita boleh istiqamah dalam beribadah untuk memastikan kita mati dalam keadaan baik? Apakah amalan dan perkara yang boleh dilakukan untuk merebut peluang meraih khusnul khatimah?

JAWAPAN :

Istiqamah dalam ibadah adalah kunci utama untuk mencapai husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Dalam Islam, seseorang yang meninggal dalam keadaan ketaatan kepada Allah SWT akan mendapat kemuliaan di sisi-Nya.

Untuk memastikan kita tetap istiqamah dan meraih husnul khatimah, beberapa amalan utama perlu dijaga dan diamalkan secara konsisten. Antaranya menjaga solat fardu kerana ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat. Ia perlu ditunaikan tepat pada waktunya, sebaiknya ditunaikan secara berjemaah di masjid.

عن النَّبِيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ أنَّهُ ذَكرَ الصَّلاةَ يومًا فقالَ من حافَظَ عليها كانت لَه نورًا وبُرهانًا ونجاةً إلى يومِ القيامةِ ومن لَم يُحافِظ عليها لم يَكن لَه نورٌ ولا برهانٌ ولا نجاةٌ وَكانَ يومَ القيامةِ معَ فرعونَ وَهامانَ وأبَيِّ بنِ خلفٍ

Maksudnya: “Barang siapa yang menjaga solat, maka solat itu akan menjadi cahaya, bukti, dan penyelamat baginya pada hari kiamat. Dan barang siapa yang tidak menjaganya, maka dia tidak akan memiliki cahaya, bukti, dan penyelamat, serta akan dihimpunkan pada hari kiamat bersama Fir‘aun, Haman, Qarun, dan Ubay bin Khalaf.” [HR Ahmad, 6576]

Selain itu, memperbanyakkan taubat dan istighfar kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa. Oleh itu, kita digalakkan untuk melakukan taubat setiap hari agar sentiasa berada dalam keadaan diampuni dosa.

طوبَى لِمَن وجدَ في صحيفتِهِ استغفارًا كثيرًا

Maksudnya: “Beruntunglah orang yang mendapati dalam catatan amalnya banyak istighfar.” [HR Ibn Majah, 3818]

Di samping itu, maksiat dan perkara yang haram perlu dijauhi semampunya. Sikap bermuhasabah dan menjaga diri daripada perkara yang boleh mengundang murka Allah adalah satu tindakan diwajibkan oleh syarak. Dengan menghindari maksiat dapat menyucikan jiwa supaya lebih mudah untuk istiqamah dalam beribadah.

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ، وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ

Maksudnya: “Orang yang pandai adalah orang yang sentiasa bermuhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas kematian.” [HR Tirmidzi, 2549]

Sejarah telah merekodkan beberapa kisah para salafussoleh yang mengakhiri hayat mereka dengan husnul khatimah, meninggalkan dunia dalam keadaan penuh kemuliaan dan ketaatan kepada Allah SWT.

وعن مصعب بن عبد الله قال: سمع عامرُ بن عبد الله المؤذن، وهو يجود بنفسه، ومنزله قريب dari المسجد، فقال: خذوا بيدي، فقيل له: إنك عليل، فقال: أسمع داعي الله فلا أجيبه؟ فأخذوا بيده، فدخل في صلاة المغرب، فركع مع الإمام ركعةً، ثم مات

Maksudnya: Dari Mus’ab bin Abdullah berkata : “Ketika ‘Amir bin ‘Abdullah dalam keadaan nazak, beliau mendengar azan sedangkan rumahnya berdekatan dengan masjid. Dalam keadaan sakit, beliau berkata, "Bawa aku ke masjid." Namun, orang sekeliling menegurnya dengan berkata, "Engkau sedang sakit." Beliau menjawab, "Aku mendengar seruan Allah, apakah aku tidak akan menyahutnya?" Lantas, mereka membawanya ke masjid, dan beliau sempat menunaikan solat Maghrib serta rukuk satu rakaat bersama imam sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. [Shifatu as-Safwah Jld 2, hlm. 472]

Kisah lain ialah:

ولما احتضر العلاء بن زياد العدوي بكى فقيل له: ما يبكيك؟ قال: كنت والله أحب أن أستقبل الموت بالتوبة، قيل له: فافعل رحمك الله، فدعا بطهور فتطهر، ثم دعا بثوب له جديد فلبسه، ثم استقبل القبلة، فأومأ برأسه مرتين أو نحو ذلك، ثم اضطجع فمات

Maksudnya: Ketika ‘Alā’ bin Ziyād al-‘Adawi berada dalam sakaratul maut, beliau menangis. Lalu seseorang bertanya kepadanya, “Apa yang membuatmu menangis?”

Beliau menjawab, “Demi Allah, aku ingin menghadapi kematian dengan keadaan telah bertaubat.”

Mereka berkata kepadanya, “Maka bertaubatlah, semoga Allah merahmatimu.”

Lalu beliau meminta air untuk berwuduk, kemudian memakai pakaian yang baru. Setelah itu, beliau menghadap kiblat, menggerakkan kepalanya dua kali atau lebih, kemudian berbaring dan meninggal dunia. [Mawsu‘atu Ibn Abi ad-Dunya, Jln 5, hlm. 341]

Kesimpulannya, husnul khatimah adalah anugerah besar daripada Allah SWT bagi hamba-Nya yang hidup dalam ketaatan dan mengakhiri hayatnya dengan iman serta amal soleh. Kisah para salafussoleh menunjukkan bahawa mereka yang istiqamah dalam ibadah, sentiasa bertaubat, menjaga solat, dan mengingat kematian diberikan pengakhiran yang baik.

Soalan 7

Apakah kepentingan seseorang memilih jalan kematiannya sama ada baik atau buruk? Apakah hikmah disebaik konsep husnul khatimah ini dalam islam?

JAWAPAN :

Sungguh kematian yang baik amatlah penting dalam kehidupan Muslim kerana kematian merupakan gerbang ke akhirat.

Kematian yang baik membawa kepada kehidupan di akhirat manakala kematian yang buruk pula adalah sebaliknya.

Kematian boleh tiba pada bila-bila masa, di mana-mana jua berada sama ada ketika sudah bersedia mahupun sedang terleka.

Allah SWT mengingatkan:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” [Surah al-A’raf, ayat 34]

Hikmah konsep husnul khatimah (kematian yang baik) dalam Islam:

Sumber harapan bagi umat Islam: Konsep husnul khatimah memberikan harapan dan dorongan kepada umat Islam agar terus berusaha untuk hidup dengan baik, bertakwa kepada Allah dan memperbaiki diri. Ini juga menjadi satu motivasi agar seseorang sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi dosa, kerana kesudahan hidup yang baik dapat dicapai dengan menjalani hidup yang selaras dengan ajaran Islam.

Mendekatkan diri kepada Allah: Husnul khatimah juga menunjukkan bahawa orang yang meninggal dalam keadaan baik adalah mereka yang sepanjang hidupnya telah berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah, melaksanakan ibadah dengan ikhlas serta bertaubat atas segala dosa.

Mengingatkan kepada setiap umat Islam tentang kematian: Konsep husnul khatimah mengingatkan umat Islam bahawa kematian adalah satu realiti yang pasti dan bagaimana seseorang itu meninggal dunia menjadi kayu ukur kepada amal perbuatannya selama hidup. Oleh itu, setiap individu diingatkan untuk selalu memperbaiki diri, bertaubat dan mencari keredaan Allah agar mendapatkan khatimah yang baik.

Oleh itu, dalam Islam, mempersiapkan diri untuk husnul khatimah adalah salah satu aspek yang sangat penting. Setiap umat Islam diajarkan agar sentiasa memperbaiki amal ibadah, menjaga akhlak, dan berusaha menjalani hidup yang berlandaskan agama untuk memastikan kematian yang baik sebagai penutup hidup mereka.

Scroll to Top