ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

sahib yasin
SOALAN PENONTON – Ashab al-Qaryah & Dakwah

SOALAN PENONTON

Soalan 1

Apakah tujuan Allah SWT membawakan kisah-kisah terdahulu seperti ahli qaryah ini utk diceritakan dalam Al-Quran kepada umat akhir zaman?

JAWAPAN :

Allah SWT membawakan kisah-kisah umat terdahulu dalam Al-Quran, sebagai pengajaran bagi umat akhir zaman. Sebagai contoh kisah Ashabul Qaryah dalam Surah Yasin ini menunjukkan akibat kaum yang menolak kebenaran dan bagaimana para rasul tetap bersabar dalam menyampaikan dakwah.

Allah SWT berfirman:

لِتُنذِرَ قَوْمًۭا مَّآ أُنذِرَ ءَابَآؤُهُمْ فَهُمْ غَـٰفِلُونَ (٦) لَقَدْ حَقَّ ٱلْقَوْلُ عَلَىٰٓ أَكْثَرِهِمْ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ (٧) إِنَّا جَعَلْنَا فِىٓ أَعْنَـٰقِهِمْ أَغْلَـٰلًۭا فَهِىَ إِلَى ٱلْأَذْقَانِ فَهُمْ مُّقْمَحُونَ (٨) وَجَعَلْنَا مِنۢ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّۭا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّۭا فَأَغْشَيْنَـٰهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ (٩) وَسَوَآءٌ عَلَيْهِمْ ءَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ (١٠)

Kisah ini juga berkaitan dengan kaum Quraisy yang menolak dakwah Nabi Muhammad SAW. Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa mereka telah lalai, keras hati, dan enggan menerima kebenaran, seperti kaum terdahulu yang mendustakan para rasul. Allah menggambarkan mereka seolah-olah memiliki rantai di leher dan dinding di hadapan serta belakang mereka, menandakan keengganan mereka untuk menerima hidayah.

إِذۡ أَرۡسَلۡنَاۤ إِلَیۡهِمُ ٱثۡنَیۡنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزۡنَا بِثَالِثࣲ فَقَالُوۤا۟ إِنَّاۤ إِلَیۡكُم مُّرۡسَلُون قَالُوا۟ مَاۤ أَنتُمۡ إِلَّا بَشَرࣱ مِّثۡلُنَا وَمَاۤ أَنزَلَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ مِن شَیۡءٍ إِنۡ أَنتُمۡ إِلَّا تَكۡذِبُونَ

Maksudnya : Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: “Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu”. Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta". [Surah Yasin, Ayat 14 & 15]

Selain itu, mengisahkan bagaimana penduduk sebuah negeri menolak tiga orang rasul yang diutus kepada mereka. Mereka mengejek para rasul, mengancam, dan akhirnya membunuh seorang lelaki beriman yang membela dakwah. Akibat keangkuhan mereka, Allah menurunkan azab yang membinasakan seluruh kaum tersebut.

Pengajaran utama bagi umat Islam adalah tidak mengulangi kesilapan kaum terdahulu dengan menolak kebenaran. Dakwah pasti akan menghadapi tentangan, tetapi seorang pendakwah mesti bersabar, seperti para rasul. Selain itu, manusia perlu sentiasa membuka hati terhadap peringatan Al-Quran agar tidak menjadi seperti mereka yang keras hati dan tertutup daripada hidayah.

Kesimpulannya, Allah SWT menceritakan kisah ini sebagai peringatan dan motivasi agar umat Islam teguh dalam iman dan dakwah. Umat yang menerima kebenaran akan selamat, sementara mereka yang menolaknya akan binasa, sebagaimana yang telah berlaku kepada kaum terdahulu.

Soalan 2

Assalamualaikum ustaz dan dai. Ustaz, apakah keutamaan dalam mengkaji tempat, masa kejadian yang tidak disebutkan dalam Al-Quran?

JAWAPAN :

Keutamaan dalam mengkaji tempat dan masa kejadian yang tidak disebutkan dalam Al-Quran perlu difahami berdasarkan tujuan dan manhaj Al-Quran dalam penceritaan kisah-kisahnya.

Fokus kepada Ibrah, bukan sekadar fakta sejarah.

Al-Quran tidak menekankan lokasi atau tarikh spesifik kerana tujuan utama adalah pengajaran (ibrah), bukan sekadar dokumentasi sejarah. Allah SWT lebih mengutamakan hikmah dan mesej moral berbanding detail geografi atau kronologi.

الذي يعني القرآن أثناء القص لقصصه هو المشاهد واللقطات التي تحوي الدروس والدلالات، وتقدم العبر والعظات، فنَجِدُه يوردها ويسجلها ويثبتها، لتقدم دروسها.

Maksudnya: Apa yang dimaksudkan oleh Al-Quran ketika menyampaikan kisah-kisahnya adalah peristiwa dan petikan tertentu yang mengandungi pengajaran dan makna mendalam, serta memberikan ibrah dan nasihat. Oleh itu, kita dapati bahawa Al-Quran mengemukakan, merekod, dan menetapkan kisah-kisah tersebut agar dapat dijadikan pedoman. [Qasas al-Qurani, hlm. 40]

Mengelakkan perdebatan yang tidak berfaedah.

Perincian tempat dan masa yang tidak disebut dalam Al-Quran boleh membuka ruang kepada perdebatan sia-sia tanpa manfaat besar dalam kehidupan atau aqidah. Oleh itu, Dr. Solah Abd Fattah Al-Khalidi menegaskan bahawa mencari kepastian dalam hal ini tidak sepatutnya mengalih fokus daripada tujuan utama kisah-kisah dalam Al-Quran.

في القصص القرآني مبهـمات مقصودة، تُسمى "مبهمات القرآن" وتتعلق بأسماء أشخاص أو بلدان، أو تحديد زمان أو مكان. ويجب علينا أن نبقيها على إبهامها، ونتوقف عند ما عرضه القرآن منها، ولا نحاول تبين أو تحديد هذه المبهمات، من مصادر غير يقينية، كالأساطير والإسرائيليات!!

Maksudnya : Dalam kisah-kisah Al-Quran, terdapat kesamaran yang sengaja dibiarkan, yang dikenali dengan "Mubhamat Al-Quran". Ia berkaitan dengan nama-nama individu atau negeri, ataupun penentuan masa dan tempat. Kita seharusnya membiarkannya tetap samar seperti yang disebut oleh Al-Quran, dan berhenti pada apa yang dinyatakan dalam Al-Quran tanpa berusaha menyingkap atau menentukan perkara yang tidak disebut daripada sumber yang tidak pasti, seperti mitos dan riwayat Israiliyat!! [Qasas al-Qurani, hlm. 41]

Kisah yang kekal relevan sepanjang zaman.

Al-Quran bersifat universal dan relevan bagi semua generasi. Jika suatu kisah dikaitkan hanya dengan satu tempat atau zaman tertentu, ia mungkin dianggap tidak berkaitan oleh umat yang datang selepas itu. Oleh sebab itu, Allah SWT tidak menyebut lokasi atau masa secara spesifik agar mesejnya tetap hidup dan berkesan untuk setiap zaman.

Menghindari pengaruh Israiliyat dan spekulasi.

Kajian terhadap tempat dan masa tanpa dalil yang jelas sering kali bergantung kepada riwayat Israiliyyat, yang banyak mengandungi tokok tambah dan cerita tidak sahih. Oleh itu, Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi menekankan pentingnya bersikap berhati-hati dalam menerima maklumat sejarah yang tidak bersumberkan wahyu.

إن المذكور في الإسرائيليات عن قصص القرآن، هو معلومات غير موثوقة، ولا يقينية، لأنها مستمدةٌ من بني إسرائيل، وبنو إسرائيل غير مؤتمنين على توراتهم ولا على دينهم، فكيف يؤتمنون على أخبار وروايات التاريخ؟ إن الذي يتجرأ على تحريف الكتاب السماوي التوراة، يهون عليه تحريف أخبار التاريخ!!.

Maksudnya: Apa yang disebut dalam riwayat Israiliyat tentang kisah-kisah dalam Al-Quran adalah maklumat yang tidak sahih dan tidak boleh dipercayai, kerana ia bersumber daripada Bani Israel. Sedangkan Bani Israel sendiri tidak boleh dipercayai dalam menjaga Taurat dan agama mereka, maka bagaimana mungkin mereka boleh dipercayai dalam menyampaikan kisah sejarah dan riwayat terdahulu? Sesiapa yang sanggup menyelewengkan kitab suci Taurat, pasti lebih mudah baginya untuk menyelewengkan sejarah!! [Qasas al-Qurani, hlm. 43]

Kesimpulannya, mengutamakan pengajaran dan mesej moral dari kisah Al-Quran adalah lebih penting daripada mendalami aspek tempat dan masa kejadian. Kajian sejarah tetap boleh dilakukan, tetapi tidak boleh mengatasi kepentingan memahami nilai-nilai Islam yang ingin disampaikan oleh kisah-kisah dalam Al-Quran.

Soalan 3

Apakah nilai yang perlu ada dalam diri pendakwah dalam menyebarkan syiar agama berdasarkan kisah Habib An-Najar?

JAWAPAN :

Setiap pendakwah hendaklah menjaga beberapa disiplin dalam dakwah untuk memastikan dakwah tersebut menjadi amal soleh yang dikira disisi Allah, bahkan dakwah yang memberi kesan dan berjaya membawa mengenal kebenaran dan mentaati Allah.

Nilai yang perlu ada dalam diri setiap pendakwah:

Memastikan kelurusan niat dan ketepatan matlamat dakwah.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang akan mengikut apa yang diniatkan.” [HR Muslim, 1907]

Menyampaikan kebenaran dengan keteguhan dan keberanian.

Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًۭا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” [Surah Fussilat, ayat 33]

Bersabar dengan penolakan dan kecaman manusia.

Firman Allah SWT:

وَٱصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِى ضَيْقٍۢ مِّمَّا يَمْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.” [Surah an-Nahl, ayat 127]

Mengutamakan akhirat dan tidak dilalaikan dengan kemewahan dan kepentingan dunia.

Firman Allah SWT:

ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّۭا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمًۭا ۖ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ وَمَغْفِرَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌۭ ۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” [Surah al-Hadid, ayat 20]

Menyampaikan seruan agama dengan kaedah persoalan dan galakan untuk mad’u berfikir.

Firman Allah SWT:

بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَٱلزُّبُرِ ۗ وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.” [Surah al-Nahl, ayat 44]

Keberanian dan keteguhan terhadap kebenaran yang ditunjukkan oleh Habib an-Najar ialah kunci utama bagaimana kebenaran boleh terus tersebar kepada manusia. Sekiranya orang memahami agama dan kebenaran bersifat pengecut, takut sehingga sanggup menyembunyikan kebenaran, maka semakin ramai manusia yang akan terus duduk dalam kejahilan.

Tapi keberanian dan ketegasan orang ‘alim lah yang akan menjadikan dakwah Islam terus tersebar tanpa terikat dengan sebarang tawaran dunia atau ancaman musuh. Nilai inilah yang perlu ada pada setiap pendakwah.

Perkara yang benar harus dikatakan benar, dan yang salah harus dikatakan salah, walaupun kesannya nanti akan menyebabkan kita rugi, dibenci, ditarik segala tawaran. Hakikatnya kejujuran terhadap ilmu satu tuntutan yang terbesar buat semua pendakwah.

Sabda Rasulullah SAW:

سيَأتي علَى النَّاسِ سنواتٌ خدَّاعاتُ يصدَّقُ فيها الكاذِبُ ويُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ويُؤتَمنُ فيها الخائنُ ويُخوَّنُ فيها الأمينُ وينطِقُ فيها الرُّوَيْبضةُ قيلَ وما الرُّوَيْبضةُ قالَ الرَّجلُ التَّافِهُ في أمرِ العامَّةِ

Maksudnya: “Akan datang kepada umat manusia tahun-tahun penipuan, di mana orang yang berdusta akan dipercayai, sedangkan orang yang berkata benar akan dianggap dusta, orang yang khianat akan dipercaya, dan orang yang amanah akan dikhianati. Pada masa itu, orang yang hina (tunduk) akan berbicara tentang urusan masyarakat.’ [HR Ibnu Majah, 4036]

Soalan 4

Kisah Habib An-Najjar menunjukkan kepentingan berjuang demi kebenaran. Apakah cabaran terbesar bagi pendakwah zaman kini dalam mempertahankan prinsip agama?

JAWAPAN :

Cabaran Sosial: Tekanan budaya & normalisasi dosa.

Fenomena: Normalisasi perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti:

Hedonisme: Hidup untuk mencari keseronokan semata-mata.

Liberalisme: Kebebasan mutlak tanpa batas agama atau moral.

Relativisme Moral: Tiada betul atau salah yang mutlak, bergantung kepada situasi.

Cabaran: Pendakwah sering dianggap "ketinggalan zaman" atau "tidak toleran" apabila mempertahankan prinsip agama.

Strategi: Menggunakan pendekatan berhikmah seperti yang diajar dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.” [Surah al-Nahl, ayat 125]

Cabaran Teknologi: Media sosial & maklumat tanpa sempadan.

Fenomena: Media sosial menjadi tempat penyebaran maklumat palsu, fitnah, dan pemikiran sesat.

Cabaran: Pendakwah berhadapan dengan serangan siber, kritikan tanpa fakta, dan troll yang boleh meruntuhkan motivasi.

Strategi: Pendakwah perlu celik digital, mahir menggunakan platform media sosial secara positif, dan bijak mengawal emosi dalam berhadapan dengan kecaman.

Cabaran Globalisasi: Konflik agama Islam yang dikaitkan dengan keganasan.

Fenomena: Wujudnya Islamophobia di kalangan orang bukan Islam.

Cabaran: Sukar untuk menjelaskan konsep tauhid yang murni tanpa dilabel sebagai "ekstremis" atau "fanatik agama".

Strategi: Menunjukkan contoh teladan yang baik dan menjadi duta kecil Islam.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu ..” [Surah al-Ahzab, ayat 21]

Cabaran Dalaman: Lemahnya pemahaman agama di kalangan umat Islam.

Fenomena: Krisis jati diri umat Islam, di mana ramai yang jahil tentang asas agama tetapi berani bercakap soal agama tanpa ilmu.

Cabaran: Pendakwah bukan sahaja berdepan dengan bukan Islam, tetapi juga dengan umat Islam sendiri yang keliru dan suka berdebat tanpa asas ilmu.

Strategi: Pendidikan berterusan, membina modul dakwah yang relevan dengan isu semasa, dan mendekati golongan muda dengan pendekatan yang mesra seperti platform Tiktok, X dan sebagainya.

Soalan 5

Pendekatan dan cara dakwah yang berbeza mengikut zaman. Duduk di rumah dalam bilik pun boleh menyampaikan xperlu keluar berjumpa orang. Adakah usaha yg sedikit ini juga dikira sebagai kerja dakwah yg dibalas ganjaran syurga berbanding kepayahan pendakwah zaman dahulu?

JAWAPAN :

Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًۭا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” [Surah Fussilat, ayat 33]

Usaha dakwah ialah perkataan terbaik bagi orang mukmin, bahkan setiap usaha dakwah juga pasti diberikan ganjaran oleh tanpa mengira apakah hasilnya, dan bagaimanakah kaedahnya selagi ia bertepatan dengan syariat.

Bahkan Allah mengiktiraf golongan yang melakukan usaha amar makruf nahi munkar ini sebagai umat terbaik. Firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” [Surah ali-Imran, ayat 110]

Dengan pergerakan zaman, seharusnya para pendakwah juga mengambil peluang untuk memanfaatkan kemudahan yang ada bagi menyebarluaskan lagi dakwah dengan cara yang betul. Dakwah tidak terikat dengan cara tertentu, kerana Islam mengajarkan bahawa setiap manusia memiliki kemampuan yang berbeda.

Namun perkara yang menentukan sama ada sesebuah usaha itu diterima disisi Allah dan diberi ganjaran atau tidak ialah bergantung kepada niatnya. Firman Allah SWT:

وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلْقَيِّمَةِ

Maksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.” [Surah al-Bayyinah, ayat 5]

Usaha dakwah juga ialah salah satu bentuk ibadah dan amal ketaatan. Maka, dua syarat penerimaan amal ialah niat yang ikhlas kerana Allah dan menepati syariat.

Maka, walaupun cara yang berbeza, namun setiap keazaman dan kesungguhan pendakwah dalam perjuangan dakwahnya, ianya pasti akan diganjari Allah dengan sebesar-besar ganjaran. Kerana yang dinilai oleh Allah bukanlah kulitnya, tetapi isinya. Segala usaha dan metodologi dakwah hendaklah membawa kepada matlamat yang sama iaitu beriman dan mentauhidkan Allah.

Soalan 6

Antara cabaran bagi mereka yang berdakwah selalu dilihat asing dan bersifat minoriti? Apa hikmah di sebalik realiti ini ustaz?

Ia menepati janji yang disebut oleh Rasulullah SAW pada 1446 tahun yang lepas.

Rasulullah SAW bersabda:

بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

Maksudnya: "Islam bermula dalam keadaan asing, dan ia akan kembali asing sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing iaitu ghuraba’." [HR Muslim, 145]

Kebenaran tidak semestinya berada di pihak majoriti.

Ujian untuk mengukur keikhlasan.

Allah SWT berfirman:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Maksudnya: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka belum diuji?" [Surah al-Ankabut, ayat 2]

Mereka yang tetap istiqamah walaupun terasing adalah mereka yang benar-benar ikhlas kerana Allah, bukan kerana populariti atau sokongan manusia.

Salah satu ciri umat yang terbaik.

Antara pra-syarat menjadi umat yang terbaik bukan sahaja menyeru kepada kebaikan, tetapi juga mencegah dari kemungkaran.

Allah SWT berfirman:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran." [Surah Ali 'Imran, ayat 110]

Allah meninggikan darjat pendakwah.

Allah SWT berfirman:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: "Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat." [Surah al-Mujadalah, ayat 11]

Kesusahan yang dihadapi dalam berdakwah adalah asbab untuk Allah mengangkat darjat seseorang di akhirat kelak.

Soalan 7

Berdakwah tanpa ada balasan dan imbalan dunia gambaran kepada sifat dan niat yang ikhlas di dalam hati dalam berdakwah. Bagaimana sifat ini boleh dijadikan inti dalam tugas seorang pendakwah masa kini?

JAWAPAN :

Sungguh, tugasan dakwah adalah suatu tuntutan agama ke atas kita.

Kita sebagai umat terbaik hanya saja sekiranya menjalankan tugas dakwah tersebut.

Firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” [Surah Ali Imran, ayat 110]

Dakwah dengan dengan penuh ikhlas dan tanpa imbalan keduniaan adalah bukti dakwah yang sebenar.

Hal ini berdasarkan kisah dakwah para nabi yang dirakamkan dalam al-Quran.

Contohnya kisah Nabi Hud a.s.:

يَـٰقَوْمِ لَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَى ٱلَّذِى فَطَرَنِىٓ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)?” [Surah Hud, ayat 51]

Dalam ayat yang lain:

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ فَبِهُدَىٰهُمُ ٱقْتَدِهْ قُل لَّآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْعَـٰلَمِينَ

Maksudnya: “Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.” [Surah al-An’am, ayat 90]

Begitu juga kisah Nuh AS:

فَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَمَا سَأَلْتُكُم مِّنْ أَجْرٍ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran agama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).” [Surah Yunus, ayat 72]

Oleh itu, sifat ini adalah inti kepada dakwah yang menjadikan seorang pendakwah itu benar-benar mencari reda Allah SWT semata, tanpa sebarang niat yang lain.

Selain itu, dakwah tersebut menjadi fokus yang menjadikan dia tidak menghiraukan hal keduniaan lain.

Tambahan pula, ia mengelakkan dari penyimpangan dalam menjalankan tugas dakwah kerana jika dilakukan atas niat yang lain, maka ia akan menyimpang dari jalan sebenar.

Soalan 8

Banyak usaha dakwah dilaksanakan namun kesan yang diharapkan tidak kunjung tiba. Benar, sabar itu adalah ubat bagi usaha dakwah namun adakah kita hanya perlu bersabar dan berserah tanpa usaha yang benar2 dan bersungguh2?

JAWAPAN :

Benar sekali dakwah itu suatu tugasan yang besar dan berat.

Ia merupakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada umat Islam.

Namun dakwah adalah setakat menyampaikan sebaik mungkin, adapun hidayah dan taufik adalah hak milik mutlak Allah SWT.

Dia yang mengurniakan hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Begitulah yang berlaku kepada para nabi terdahulu di mana mereka sedaya upaya menyebarkan dakwah, namun penerimaan itu tertakluk kepada takdir dan hidayah ketentuan Allah SWT.

Bahkan baginda Nabi SAW sendiri tidak mampu beri hadiah kepada bapa saudaranya sendiri, Abu Talib.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَإِنْ أَعْرَضُوا۟ فَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ

Maksudnya: “Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu).” [Surah al-Syura, ayat 48]

Begitu juga ayat:

إِنَّكَ لَا تَهْدِى مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” [Surah al-Qasas, ayat 56]

Banyak lagi ayat-ayat lain, contoh akhir adalah:

مَّا عَلَى ٱلرَّسُولِ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ

Maksudnya: “Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.” [Surah al-Ma’idah, ayat 99]

Scroll to Top