ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

countdown ramadan
SOALAN PENONTON – Ramadan

SOALAN PENONTON

Soalan 1

Ramadan sering dikaitkan dengan pesta ibadah. Namun, ada sebahagian orang yang hanya ingin bersungguh-sungguh beribadah ketika Ramadhan sahaja, tetapi di bulan sebelum Ramadhan tidak seperti itu. Apa komen ustaz mengenai hal ini?

JAWAPAN:

Ramadhan merupakan bulan yang mulia di sisi Islam kerana di dalamnya mempunyai pelbagai hikmah. Antaranya:

Al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadhan.

Allah SWT berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ

Maksudnya: Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan yang salah). [Surah al-Baqarah, Ayat 185]

Bulan keampunan dan pembebasan dari api neraka.

Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ، وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: Apabila datang bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu. [HR al-Bukhari, 3277]

Puasa Ramadhan menghapuskan dosa-dosa terdahulu (dosa-dosa kecil).

Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran (dari Allah), maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Rasulullah SAW juga akan menggandakan amal ibadah baginda ketika masuknya bulan Ramadhan.

Ibnu Abbas RA meriwayatkan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ، فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ‏.‏

Maksudnya: Rasulullah ﷺ adalah orang yang paling dermawan, dan Baginda menjadi lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya setiap malam di bulan Ramadhan untuk membacakan Al-Quran kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah ﷺ lebih dermawan dalam melakukan kebaikan daripada angin yang bertiup kencang. [HR al-Bukhari, 6]

Ramadhan ini merupakan satu tempoh latihan bagi kita mentarbiyah diri untuk menjadi orang yang lebih baik dari yang sebelum.

Adalah satu kerugian jika kebaikan dan amalan yang kita lakukan itu tidak diteruskan selepas berakhirnya Ramadhan. sepertimana kata-kata yang masyhur:

كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا

Maksudnya: Jadilah seorang yang Rabbani (sentiasa beribadah kepada Allah sepanjang masa), dan janganlah hanya menjadi Ramadhani (seorang yang beribadah pada bulan Ramadhan sahaja).

Apabila Nabi SAW ditanya oleh sahabat berkenaan amalan apa yang paling disukai Allah? Baginda menjawab:

أَىُّ الأَعْمَالِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ ‏"‏ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ "

Maksudnya: Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah? Baginda ﷺ bersabda: "Amalan yang berterusan walaupun sedikit." [HR al-Bukhari, 6465]

Maka adalah lebih baik jika kita dapat meningkatkan amalan dari masa ke semasa dan mengekalkannya.

Cadangan untuk menjaga konsistensi Ibadah walaupun selepas Ramadhan berlalu:

Tingkatkan Keikhlasan – Beribadahlah kerana Allah, bukan kerana suasana atau budaya masyarakat semata-mata.

Bina Rutin Ibadah – Mulakan dengan ibadah yang kecil tetapi berterusan, seperti solat sunat, bacaan al-Quran, dan zikir harian.

Muhasabah Diri – Sentiasa menilai sejauh mana komitmen kita terhadap ibadah selepas Ramadhan dan berusaha memperbaikinya.

Cari Circle yang Positif – Bergaul dengan sahabat-sahabat yang sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan dan ibadah.

Berdoa kepada Allah – Mohon kekuatan untuk terus istiqamah dalam beribadah, sebagaimana doa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ:

اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

Maksudnya: "Ya Allah, wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu." [HR al-Tirmizi, 3522]

Kesimpulannya, Ramadan adalah peluang keemasan untuk meningkatkan amal ibadah, tetapi usaha ini harus diteruskan sepanjang tahun.

Mudah-mudahan kita semua diberi kekuatan untuk beribadah secara konsisten dan tidak hanya terikat pada musim tertentu sahaja.

Soalan 2

Sebagai seorang manusia, kita tidak lari dari melakukan kesilapan dan kadangkala masih lalai dan mengambil ringan tentang persediaan sebelum ramadhan. Jadi, apakah persediaan yang perlu dititikberatkan dalam kita menghitung kedatangan ramadhan nanti?

JAWAPAN:

Tabiat manusia sememangnya sering terlupa dan lalai dengan kesenangan-kesenangan dunia. Namun, sentiasa ada ruang untuk berhijrah dan berubah ke arah yang lebih baik.

Sabda Nabi SAW:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.” [HR Ibnu Majah, 4392]

Maka, dengan kelebihan yang ada pada bulan Ramadan seperti disyariatkan berpuasa (ibadah yang melatih pengawalan nafsu, syaitan dibelenggu) ianya merupakan titik terbaik untuk kita mula mengubah gaya hidup untuk menjadi hamba Allah yang bertakwa.

Persediaan menyambut Ramadan melibatkan beberapa aspek: Persediaan rohani, jasmani, serta sosial dan kewangan

Persediaan rohani (spiritual):

Bertaubat dan memohon keampunan.

Sebelum memasuki ramadan, setiap muslim hendaklah membersihkan hati dari melakukan maksiat dan mengelakkan diri daripada kecenderungan melakukan maksiat.

Bulan Ramadan bukanlah hanya bulan tajalli (berhias dengan amal baik), namun ia juga ialah bulan takhalli (mengosongkan diri daripada kemaksiatan dan kemungkaran).

Firman Allah SWT:

وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” [Surah an-Nur, ayat 31]

Membiasakan diri dengan amalan sunat.

Kebiasaan melakukan amalan sunat akan membina momentum yang baik dan membantu kita untuk terus konsisten melakukan sebanyak-banyak amal ibadah dalam bulan Ramadan.

Kerana jika ia tidak dibiasakan dari awal sebelum masuk Ramadan, dan dilakukan secara drastik, maka momentum ibadah akan semakin menurun kerana mudah merasa penat.

Sabda Nabi SAW:

أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا ، وَإِنْ قَلَّ

Maksudnya: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun ia sedikit.” [HR Muslim, 1780]

Menambah ilmu dan penghayatan fiqh puasa.

Untuk memastikan setiap ibadah diterima, maka ia perlu dilakukan atas dasar ilmu yang tepat dan menepati syariat. Maka, ilmu berkaitan puasa hendaklah dihayati dengan baik, supaya amalan tersebut dapat dilakukan dengan sempurna.

Persediaan jasmani:

Menjaga kesihatan dan pemakanan.

Badan yang sihat akan memudahkan kita untuk melakukan ibadah dengan tenang dan positif. Ramadan ialah pesta ibadah, maka kekuatan tenaga dan kesihatan yang baik sangat diperlukan untuk mengambil sebanyak-banyak fadhilat daripada bulan Ramadan.

Cara pemakanan yang betul juga akan membantu kita untuk membiasakan diri berpuasa sepanjang Ramadan, dan tidak berlebihan ketika berbuka.

Sabda Nabi:

مَا مَلأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ حَسْبُ الآدَمِيِّ لُقَيْمَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ غَلَبَتِ الآدَمِيَّ نَفْسُهُ فَثُلُثٌ لِلطَّعَامِ وَثُلُثٌ لِلشَّرَابِ وَثُلُثٌ لِلنَّفَسِ

Maksudnya: “Tidaklah manusia memenuhi suatu bejana yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi manusia beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang punggungnya. Namun, jika ia harus melakukannya (makan lebih), maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk pernafasannya.” [HR Ibnu Majah, 3349}

Membuat latihan dengan berpuasa sunat Syaaban.

Persediaan sosial dan kewangan:

Memperbaiki hubungan dengan orang sekeliling (ahli keluarga dan masyarakat).

Kita hendaklah saling bermaafan, menyelesaikan konflik dan salah faham yang beralu, serta membiasakan diri untuk bersilaturrahim dengan orang sekeliling.

Hal ini adalah untuk sentiasa mendapatkan ketenangan dalam melakukan amal soleh. Kerana hubungan sesama manusia juga amat penting dalam menjadikan kita seorang Muslim yang mulia disisi Allah.

Sabda Nabi SAW:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” [HR Tirmizi, 2515]

Merancang kewangan yang bijak.

Merancang kewangan bukanlah hanya untuk bersiap sedia berbelanja di hari raya, namun yang lebih utama ialah untuk kita mengaut fadilat dan kelebihan bersedekah dalam bulan Ramadan yang mulia.

Sabda Nabi SAW:

قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ ‏صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal. Jawab Nabi SAW: “Sedekah di bulan Ramadan.” [HR al-Tirmizi, 663]

Soalan 3

Bagaimana cara dan kaedah baginda nabi SAW mempersiapkan diri untuk menemui tetamu ramadan?

JAWAPAN:

Rasulullah SAW memberikan perhatian khusus dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan beberapa persiapan dari sudut rohani, fizikal, dan sosial. Persiapan ini bertujuan untuk meningkatkan ibadah dan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia.

Antaranya baginda SAW memperbanyakkan puasa sunat, terutamanya dalam bulan Sya'ban sebagai persiapan menyambut Ramadan. Ini bertujuan melatih diri untuk berpuasa dalam bulan Ramadan nanti.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهِ عَنْهَا، قَالَتْ: ... فَما رَأَيْتُ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إلَّا رَمَضَانَ، وما رَأَيْتُهُ أكْثَرَ صِيَامًا منه في شَعْبَانَ

Maksudnya : Maka aku tidak pernah melihat Rasulullah ﷺ berpuasa sebulan penuh kecuali Ramadan, dan aku tidak pernah melihat Baginda lebih banyak berpuasa dalam satu bulan selain di bulan Sya'ban. [HR Muslim, 1156]

Selain itu, baginda ﷺ sentiasa berdoa agar diberikan kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadan, sebagai tanda kesungguhan dalam memanfaatkan bulan tersebut.

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ إذا دخل رجبٌ، قال : اللهمَّ بارِكْ لنا في رجبٍ، وشعبانَ، وبَلِّغْنَا رمضانَ

Maksudnya : Rasulullah ﷺ apabila masuk bulan Rejab, Baginda berdoa: "Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya'ban, serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan." [Al-Mu'jam al-Awsat, 3939]

Rasulullah ﷺ juga memperbanyakkan amal kebajikan, seperti bersedekah, mempererat hubungan silaturrahim, dan membantu orang yang memerlukan sebagai persiapan menyambut Ramadan.

كانَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أجْوَدَ النَّاسِ، وكانَ أجوَدُ ما يَكونُ في رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقَاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضَانَ، فيُدَارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ

Maksudnya : Rasulullah ﷺ adalah manusia yang paling dermawan, dan Baginda menjadi lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya setiap malam di bulan Ramadan dan memperdengarkan al-Quran kepadanya. Maka Rasulullah ﷺ, ketika Jibril menemuinya, adalah lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus. [HR Bukhari, 3220]

Akhir sekali, Rasulullah ﷺ mengajar kita agar melatih diri untuk melaksanakan qiyamullail dan ibadah malam sebelum Ramadan, sebagai persediaan memperbanyakkan ibadah pada bulan tersebut.

Persediaan menyambut Ramadan memerlukan persiapan rohani dan fizikal seperti memperbanyakkan puasa sunat di bulan Sya'ban, membaca dan mentadabbur al-Quran, serta berdoa agar dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadan. Dengan persiapan yang bersungguh-sungguh, kita dapat memanfaatkan Ramadan dengan sebaiknya dan meraih keampunan serta ganjaran daripada Allah SWT.

Soalan 4

Bila tiba Ramadan nanti, kita tidak boleh makan dan minum sehingga waktu tertentu. Namun, ada dalam kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa sebelum Ramadhan tiba, mereka perlu makan dan minum dengan banyak seolah-olah 'menyimpan tenaga'. Bagaimana pandangan Islam terhadap pemahaman ini?

JAWAPAN:

Dalam Islam, konsep berpuasa di bulan Ramadan adalah suatu ibadah yang bertujuan untuk mendidik jiwa, meningkatkan ketakwaan, serta memperkuat kesabaran dan disiplin diri.

Anggapan bahawa seseorang perlu makan dan minum secara berlebihan sebelum Ramadan dengan tujuan "menyimpan tenaga" adalah tidak bertepatan dengan ajaran Islam, kerana ia bertentangan dengan prinsip kesederhanaan dan keseimbangan yang diajarkan oleh syariat.

Islam mengajarkan umatnya untuk bersederhana dalam pemakanan yang bukan sahaja boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan tetapi juga bertentangan dengan roh Ramadan yang mendorong kepada pengawalan nafsu dan kesederhanaan.

وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ وَلَا تُسْرِفُوٓا۟ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ

Maksudnya : Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. [Surah Al ‘Araf, 31]

Selain itu, makan secara berlebihan boleh menyebabkan kemalasan dalam melaksanakan ibadah, terutamanya solat dan bacaan Al-Quran yang seharusnya menjadi fokus utama dalam Ramadan. Maka keseimbangan dalam pemakanan penting untuk mengelakkan tabiat makan berlebihan.

ما ملأ آدميٌّ وعاءً شرًّا من بطنٍ، بحسبِ ابنِ آدمَ أكلاتٍ يُقمنَ صُلبَهُ، فإن كان لا محالةَ : فثلُث لطعامِه، وثُلُثٌ لشرابِه وثُلُثٌ لنفَسِه

Maksudnya : Tidak ada tempat yang lebih buruk yang diisi oleh anak Adam daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya. Jika tidak dapat (menahan diri), maka hendaklah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk pernafasannya. [HR Tirmidzi, 2380]

Akhir sekali, amalan yang dianjurkan adalah memperbanyakkan puasa sunat dalam bulan sya’ban, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهِ عَنْهَا، قَالَتْ: ... فَما رَأَيْتُ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إلَّا رَمَضَانَ، وما رَأَيْتُهُ أكْثَرَ صِيَامًا منه في شَعْبَانَ

Maksudnya : Maka aku tidak pernah melihat Rasulullah ﷺ berpuasa sebulan penuh kecuali Ramadan, dan aku tidak pernah melihat Baginda lebih banyak berpuasa dalam satu bulan selain di bulan Sya'ban. [HR Muslim, 1156]

Soalan 5

Semakin mendekati Ramadhan setiap tahun, pasti akan banyak berita kematian berbanding sebelumnya. Adakah sebab ini yang dilakukan oleh salaf soleh untuk sempat dipertemukan dengan ramadan yang akan datang?

JAWAPAN:

Kematian ialah satu perkara yang pasti. Dimanakah dan bilakah manusia akan dimatikan berada dalam pengetahuan Allah, bahkan ia tidak akan terlambat atau tercepat walau sedetik pun.

Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌۭ ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةًۭ ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” [Surah al-A’raf, ayat 34]

Para salafus soleh mempunyai rasa keinginan yang tinggi untuk bertemu Ramadan, bahkan mempersiapkan diri dengan sebaik-baik persiapan untuk bertemu bulan Ramadan yang mulia.

Dalam kitab Lathaiful Maarif menjelaskan bahawa Al-Mu’alla ibn al-Fadhl mengatakan:

كانوا ‌يدعون ‌الله ‌تعالى ‌ستة ‌أشهر ‌أن ‌يبلغهم ‌رمضان ‌يدعونه ‌ستة ‌أشهر ‌أن ‌يتقبل ‌منهم

Maksudnya: “Mereka (para salaf) berdoa kepada Allah Ta'ala selama enam bulan agar Dia mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan, dan mereka berdoa selama enam bulan agar Allah menerima (amal ibadah) mereka.” [Rujuk: Lathaiful Maarif: hlm. 148]

Yuhya bin Abi Kathir berkata:

كان من دعائهم: اللهم سلمني إلى رمضان وسلم لي رمضان وتسلمه مني متقبلا

Maksudnya: “Di antara doa mereka adalah: Ya Allah, sampaikanlah aku kepada Ramadan, sampaikan Ramadan kepadaku, dan terimalah ia dariku dengan diterima (oleh-Mu).” [Rujuk: Lathaiful Maarif: hlm. 148]

Bahkan para salafussoleh sangat menghargai setiap detik dan umur untuk bertemu dengan Ramadan. Setiap detik diisi dengan amal ketaatan serta persediaan yang tertinggi untuk memasuki Ramadan.

Para solihin pasti merasa sangat risau dan takut sekiranya tidak dapat lagi bertemu dengan Ramadan yang seterusnya. Kesedihan pemergian Ramadan ibarat kesedihan pemergian seseorang yang sangat dikasihi.

Hal ini kerana, ajal setiap orang ialah rahsia ALlah yang tidak mampu diketahui oleh sesiapa pun. Firman Allah:

وَمَا تَدْرِى نَفْسٌۭ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًۭا ۖ وَمَا تَدْرِى نَفْسٌۢ بِأَىِّ أَرْضٍۢ تَمُوتُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۢ

Maksudnya: “Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.” [Surah Luqman, ayat 34]

Maka, persediaan salafussoleh bagi menyambut Ramadan seperti menyambut orang yang sangat mereka cinta. Bahkan persediaan itu berterusan dengan amalan ketaatan. Serta penuh rasa berharap kepada Allah dan rasa risau sekiranya amal tidak diterima. Begitulah peribadi para salafussoleh.

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يُؤْتُونَ مَآ ءَاتَوا۟ وَّقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَىٰ رَبِّهِمْ رَٰجِعُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka;” [Surah al-Mukminun, ayat 60]

Maka, mengambil pelajaran dari para salafussoleh, hendaklah kita berusaha melakukan ketaatan dengan setinggi-tinggi usaha dan kemampuan, dengan harapan supaya kita dipertemukan dengan bulan mulia dalam keadaan yang beruntung.

Firman Allah SWT:

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ وَٱسْمَعُوا۟ وَأَطِيعُوا۟ وَأَنفِقُوا۟ خَيْرًۭا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” [Surah at-Taghabun, ayat 16]

Soalan 6

Dalam keterujaan umat islam mempersiapkan diri menemui ramadhan, mungkin ada sebahagian peniaga yg ghairah memikirkan promo untuk jualan mereka. ramadan peluang untuk meningkatkan hasil jualan bahkan menampung kehidupan dalam 11 bulan berikutnya. Apa komen ustaz?

JAWAPAN:

Dalam perspektif agama Islam, berniaga di bulan Ramadhan adalah sesuatu yang dibenarkan dan bahkan boleh menjadi satu bentuk Ibadah.

Selagi mana perniagaan tersebut dilakukan dengan niat yang baik, mematuhi prinsip syariah, dan tidak melalaikan kewajipan utama seperti solat, puasa, dan ibadah-ibadah lain.

Namun kita perlu menyeimbangkannya supaya ia tidaklah dipenuhi hanya dengan berniaga sahaja. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu difahami:

Berniaga adalah sunnah dan pintu rezeki yang halal.

Dalam Islam, perniagaan adalah salah satu sumber rezeki yang sangat digalakkan.

Rasulullah ﷺ sendiri pernah berniaga sebelum diangkat menjadi Rasul, dan banyak sahabat seperti Abdul Rahman bin Auf r.a. juga menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan mereka. Allah SWT berfirman:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: "Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba."[Surah al-Baqarah, Ayat 275]

Menampung keperluan orang lain.

Jika kita sebagai majikan yang mempunyai pekerja dan dengan berniaga secara all out ini akan mampu memberi pelbagai manfaat kepada pekerja dan keluarga mereka (Cth: bonus raya, kenaikan gaji dll) maka ia adalah suatu manfaat yang baik.

Rasulullah ﷺ bersabda:

أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: "Orang yang paling dicintai Allah adalah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain." [HR al-Tabarani, 6026]

Keseimbangan antara Ibadah dan Perniagaan.

Islam menekankan keseimbangan antara urusan dunia dan akhirat.

Walaupun perniagaan itu dibolehkan, kita harus memastikan ia tidak melalaikan daripada ibadah utama (Ibadah wajib) dan ibadah lain menjelang Ramadhan seperti solat tarawih, tadarus, sedekah dll.

Allah SWT berfirman:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا

Maksudnya: "Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi jangan lupa bahagianmu di dunia." [Surah al-Qasas, 77]

Soalan 7

Menjelang ramadhan nanti, anak yatim bakal diraikan dengan majlis buka puasa dan sebagainya. Namun, pada bulan sebelumnya santunan kepada golongan ini dingin. Apa pandangan ustaz?

JAWAPAN:

Sebarang amal kebaikan yang dilakukan terhadap anak-anak yatim amatlah baik lagi dianjurkan.

Firman Allah SWT:

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْيَتَـٰمَىٰ ۖ قُلْ إِصْلَاحٌ لَّهُمْ خَيْرٌ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya.” [Surah al-Baqarah, ayat 220]

Selain itu, Allah menempelak golongan yang kufur nikmat yang diberikan olehNya. Tambahan lagi mereka juga tidak memuliakan golongan anak yatim sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

كَلَّا ۖ بَل لَّا تُكْرِمُونَ ٱلْيَتِيمَ

Maksudnya: “Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya).” [Surah al-Fajr, ayat 17]

Syeikh al-Sa’di menyebutkan bahawa golongan seperti ini adalah mereka yang tidak mempunyai sifat rahmat dan juga keinginan akan kebaikan. Mereka tidak memuliakan anak-anak yatim bahkan merendah-rendahkan mereka. Oleh itu, Allah SWT mencela mereka ini kerana tidak cakna akan keadaan orang-orang yang memerlukan. [Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 923]

Oleh itu, perlakuan ihsan dan juga santunan kepada anak-anak yatim adalah dalam setiap keadaan dan waktu.

Sepatutnya, golongan ini sentiasa diberi perhatian sewajarnya sepanjang tahun berbanding hanya sekadar menjadi jemputan majlis setiap kali Ramadan.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa Ramadan adalah bulan istimewa yang dilipatgandakan ganjaran amal kebaikan.

Oleh itu, tidak salah sekiranya golongan anak yatim ini diberi layanan yang lebih lagi berbanding bulan lain dek keistimewaan khusus bulan ini.

Hal ini sebagaimana hadis:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan.” [HR al-Bukhari, 3554]

Selain itu, hadis lain pula:

قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: ‏صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal. Jawab Nabi SAW: Sedekah di bulan Ramadan.” [HR al-Tirmizi, 663]

Soalan 8

Bagaimana cara terbaik untuk mendidik kanak-kanak memahami kepentingan puasa di bulan Ramadhan nanti? Terutamanya untuk kanak-kanak yang baru nak berpuasa.

JAWAPAN:

Pada asasnya, puasa diwajibkan ke atas mereka yang beragama Islam, berakal, baligh, suci daripada haid dan nifas serta mampu.

Oleh itu, kanak-kanak yang belum baligh sama ada mumaiyiz atau belum mumaiyiz tidak diwajibkan berpuasa.

Hal ini berdasarkan hadis:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: "Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.” [HR Abu Dawud, 4402]

Namun dari segi sah atau tidak sesuatu puasa kanak-kanak, ia bergantung kepada mereka sama ada sudah mumaiyiz ataupun belum. Bagi kanak-kanak yang sudah mumaiyiz, puasa mereka dianggap sah di sisi ulama manakala puasa mereka yang belum mumaiyiz dianggap tidak sah kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah puasa iaitu tamyiz. [Hasyiah ‘Umairah, 2/76]

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa menjadi kewajipan bagi ibu bapa atau wali untuk menyuruh kanak-kanak yang sudah mencapai umur lengkap 7 tahun untuk berpuasa sekiranya mereka mampu dan larat. Bahkan boleh memukul dengan pukulan yang tidak menyeksakan apabila usia mereka sempurna 10 tahun. Hal ini bertujuan menjadi satu didikan agar terbiasa dengan ibadah tersebut apabila mencapai usia baligh kelak sama seperti kes didikan anak-anak untuk mengerjakan solat. [al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafie, 2/168] https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5201-al-kafi-1866-hukum-berpuasa-bagi-kanak-kanak

Mendidik kanak-kanak tentang kepentingan puasa di bulan Ramadan adalah proses yang memerlukan pendekatan yang sesuai, antaranya:

Perkenalkan Ramadan secara Berperingkat

Mulakan dengan memberi penjelasan tentang apa itu bulan Ramadan, mengapa umat Islam berpuasa dan apa tujuan utama puasa, seperti meningkatkan kesabaran, ketakwaan dan mendekatkan diri kepada Allah. Gunakan bahasa yang sesuai dengan umur mereka agar mereka dapat lebih mudah memahami.

Cerita dan Kisah Nabi

Ceritakan kisah-kisah dari al-Quran dan hadis yang berkaitan dengan Ramadan dan puasa. Misalnya, kisah Nabi Muhammad SAW dan bagaimana beliau berpuasa serta kepentingan puasa sebagai ibadah. Kanak-kanak cenderung suka mendengar cerita, jadi ini boleh membantu mereka lebih menghargai Ramadan.

Tingkatkan Penglibatan Secara Praktikal

Ajak mereka untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Ramadan, seperti berbuka puasa bersama keluarga, menyediakan juadah atau memberi sumbangan kepada yang memerlukan. Ini akan membantu mereka merasakan keistimewaan bulan Ramadan dan belajar tentang kepentingan bersyukur serta berbelas kasihan.

Mulakan dengan Puasa yang Sesuai dengan Usia

Jika mereka masih kecil, mulakan dengan puasa sebahagian hari atau puasa separuh hari, bergantung kepada tahap kemampuan mereka. Ini boleh menjadi cara untuk memperkenalkan mereka kepada pengalaman berpuasa tanpa membuat mereka merasa terbeban.

Berikan Ganjaran atau Penghargaan

Apabila mereka berjaya berpuasa sepenuhnya atau mencapai sasaran puasa yang ditetapkan, beri mereka pujian atau ganjaran. Ini akan memberi mereka motivasi untuk terus berusaha dan menjadikan pengalaman tersebut lebih menggembirakan.

Scroll to Top