ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

syoknya solat
SOALAN PENONTON – Solat

SOALAN PENONTON

Soalan 1

Ramai orang bukan Islam yang menganggap bahawa solat hanyalah bentuk pergerakan yang dilakukan oleh Muslim sebagai sebuah ritual. Bagaimana kita ingin menjelaskan kepada mereka tentang apakah makna sebenar dari pensyariatan solat?

JAWAPAN :

Sebagai seorang muslim, kita meyakini tentang kebenaran al-Quran dan wajib mentaati segala suruhan dan menjauhi larangan Allah SWT tanpa sebarang pertikaian.

Solat 5 waktu merupakan suruhan Allah SWT dan merupakan rukun kedua dari 5 rukun Islam.

Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ.‏

Maksudnya: "Islam itu dibina atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan." [HR al-Bukhari, 8]

Namun untuk menjelaskan makna sebenar pensyariatan solat kepada bukan Islam memerlukan pendekatan yang mudah difahami, logik, dan berkaitan dengan nilai universal seperti disiplin, hubungan spiritual, dan ketenangan jiwa.

Berikut adalah beberapa aspek yang boleh diketengahkan:

Hubungan langsung dengan pencipta.

Adalah satu fitrah bagi manusia yang lemah dan terhad ini untuk mempercayai bahawa pasti ada 1 kuasa yang besar (supreme power) untuk dijadikan sandaran dalam hidup.

Kuasa itu dinamakan tuhan dan cara menyembah tuhan yang diajar oleh islam adalah dengan menunaikan solat.

Solat bukan sekadar ritual fizikal, tetapi ia adalah satu bentuk komunikasi langsung (tanpa perantaraan) antara seorang Muslim dengan Allah.

Ia memberikan ruang untuk refleksi diri, pengampunan, dan permohonan pertolongan dalam kehidupan seharian.

Disiplin dan struktur kehidupan.

Solat dilakukan lima kali sehari pada waktu yang telah ditetapkan, yang mengajar individu tentang disiplin, pengurusan masa, dan keutamaan dalam kehidupan.

Ini boleh dikaitkan dengan konsep pengurusan masa yang diamalkan dalam kehidupan profesional dan peribadi untuk memastikan keseimbangan antara tugas duniawi dan spiritual.

Ketenangan dan kesejahteraan mental.

Pergerakan dalam solat, seperti rukuk dan sujud, serta bacaan ayat suci yang menenangkan, membantu mengurangkan tekanan dan kecemasan.

Kajian menunjukkan bahawa pergerakan ini mempunyai kesan positif terhadap kesihatan mental dan fizikal.

Simbol penyembahan dan rasa syukur.

Solat adalah ekspresi rasa syukur atas nikmat kehidupan dan pengiktirafan terhadap kekuasaan Tuhan.

Menanam sikap rendah hati dan kesedaran bahawa manusia bergantung kepada Yang Maha Kuasa.

Penyatuan komuniti dan keseimbangan sosial.

Dalam solat berjemaah, semua individu (tanpa mengira status sosial, bangsa, atau latar belakang) berdiri dalam 1 saf yang lurus dan rapat, melambangkan persamaan dan perpaduan dalam masyarakat.

Soalan 2

Bagaimana atasi rasa was-was dalam solat? Dan apakah pula yang dimaksudkan dengan ‘mencuri’ dalam solat?

JAWAPAN :

Was-was merupakan salah satu senjata syaitan dalam memperdayakan manusia.

Ia hendaklah diambil berat dan diperbaiki dari awal sekiranya terjebak dengan penyakit was-was.

Nabi SAW sendiri menunjuk contoh teladan dalam mencegah was-was dalam amal ibadat seperti hadis dari seorang sahabat Sufian bin Al-Hakam:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم ‌بَالَ ‌ثُمَّ ‌نَضَحَ ‌فَرْجَهُ

Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda.” [HR Ahmad, 23470]

Justeru, Terdapat beberapa langkah yang dapat diambil bagi mengubati penyakit was-was dalam solat dan ibadah lain iaitu:

Mengambil sikap tidak peduli

Iaitu dengan membiarkan perasaan was-was tersebut. Ini sepertimana yang ditanyakan kepada Imam Ibn Hajar al-Haitami mengenai ubat bagi penyakit was-was. Maka jawab beliau:

‌لَهُ ‌دَوَاءٌ ‌نَافِعٌ ‌وَهُوَ ‌الْإِعْرَاضُ ‌عَنْهَا ‌جُمْلَةً ‌كَافِيَةً.وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ، وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا.

Maksudnya: “Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang di was-waskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan was-was, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara was-was tersebut maka ianya tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas dari penyakit was-was ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli was-was tersebut) dan mengikutinya, was-was tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was yang mendengar dari bisikan syaitan.” [al-Fatawa al-Kubra, jil. 1, hlm. 149]

Bersabar dan terus mencuba

Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was kerana was-was itu adalah daripada syaitan.

Mempelajari tatacara ibadah yang sahih

Selalulah berada di dalam majlis ilmu untuk mempelajari ilmu agama khususnya dalam bab ibadat. Semoga dengan kehadiran kita ke majlis-majlis ilmu tersebut dapat menambahkan pengetahuan kita dalam beragama seterusnya dapat menghindar kita dari ditimpa penyakit was-was.

Memohon perlindungan Allah SWT

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sahabat yang mana syaitan telah datang dan mengganggu ketika mana dia dalam solat dan bacaannya. Lalu Nabi SAW bersabda:

‌ذَاكَ ‌شَيْطَانٌ ‌يُقَالُ ‌لَهُ ‌خَنْزَبٌ، ‌فَإِذَا ‌أَحْسَسْتَهُ ‌فَتَعَوَّذْ ‌بِاللهِ ‌مِنْهُ، ‌
وَاتْفُلْ ‌عَلَى ‌يَسَارِكَ ‌ثَلَاثًا

Maksudnya: “Itu adalah syaitan yang namanya Khanzab. Jika kamu merasa akan gangguannya, maka mohonlah perlindungan daripada Allah SWT dan ludahlah ke bahagian kirimu sebanyak tiga kali.” [HR Muslim, 2203]

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - IRSYAD HUKUM KE-158: CARA MENGUBATI PENYAKIT WAS-WAS

Berkenaan dengan mencuri dalam solat, dinyatakan dalam sebuah hadis:

أَسْوَأُ النَّاسِ سَرِقَةً الَّذِي يَسْرِقُ مِنْ صَلاَتِهِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ يَسْرِقُ مِنْ صَلاَتِهِ؟ قَالَ: لاَ يُتِمُّ رُكُوعَهَا وَلَا سُجُوْدَهَا أَوْ قَالَ: لَا يُقِيْمُ صُلْبَهُ فِى الرُّكُوْعِ وَالسُّجُودِ

Maksudnya: “Seburuk-buruknya manusia adalah orang yang mencuri dalam solatnya.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang mencuri dalam solatnya?” Rasulullah SAW menjawab, “Iaitu seseorang yang tidak sempurna rukuk dan sujudnya, atau baginda SAW bersabda, “Iaitu orang yang tidak lurus tulang belakangnya dalam rukuk dan sujud.” [HR Ahmad, 22642]

Berdasarkan hadis, jelas bahawa pencuri dalam solat ialah orang yang tidak melaksanakan solatnya dengan sempurna iaitu ketika rukuk dan sujud, seseorang itu tidak meluruskan tulang belakangnya.

Baginda SAW menyamakan pencurian dalam solat dengan seseorang yang mengambil apa yang bukan miliknya, mengambilnya secara sembunyi-sembunyi serta mengkategorikan perbuatan tersebut dengan perbuatan yang paling buruk.

Apa yang dimaksudkan dengan mencuri daripada solat ialah dia tergopoh-gopoh rukuk dan sujud, sehingga orang yang solat tersebut tidak melaksanakannya dengan cara yang paling sempurna yang mana akan menimbulkan rasa khusyuk dan tenang.

Justeru, sentiasalah perbaiki kualiti solat kita kerana solat adalah ibadah pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Semoga kita dijauhkan dari tergolong dalam golongan yang lalai dan mencuri dalam solat.

Soalan 3

Dalam al-Quran menyebutkan solat akan mencegah manusia dari melakukan kemungkaran dan kejahatan. Namun, kenapa masih ramai orang yang solat tetapi tetap melakukan kejahatan?

JAWAPAN :

Allah SWT berfirman:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Maksudnya: “..dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. [Surah al-Ankabut, Ayat 45]

Antara punca kemaksiatan masih dilakukan walaupun telah bersolat;

Belum mencapai sifat solat hakiki.

Abu al-‘Aliyyah berkata dalam tafsirnya berkata bahawa solat yang hakiki itu mempunyai tiga elemen:

Ikhlas: Perasaan Ikhlas itu akan menyuruhnya kepada perkara ma‘ruf,

Takut kepada Allah: Ia akan mencegahnya daripada perkara mungkar, manakala

Sentiasa Ingat Allah: Mengingati Allah dengan bacaan al-Quran pula akan menghimpun kedua-duanya sekaligus. [Tafsir al-Quran al-‘Azim, Jil. 6, hlm. 255]

Terdapat kekurangan/kelompongan pada solat tersebut atau pelakunya.

Terpaksa: Solat hanya dianggap sebagai rutin harian yang terpaksa dilakukan tanpa sebarang penghayatan.

Banyak kelompongan: Solat tersebut dibuat secara tidak betul atau terdapat kecacatan dari sudut feqahnya kerana kurang ilmu Fardhu ‘Ain.

Dunia ini merupakan tempat ujian (godaan syaitan) bagi orang yang beriman.

Maka bagi mereka yang melepasinya ganjaran syurga di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman:

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Maksudnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? [Surah al-Ankabut, Ayat 2]

Setiap manusia itu pasti akan melakukan kesilapan (tidak kira beliau solat ataupun tidak).

Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: "Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan (dosa), dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang bertaubat." [HR al-Tirmizi, 2499]

Maka dengan solat yang istiqamah dan ikhlas itulah akan menjadi benteng baginya dari terus terjerumus ke kancah maksiat.

Soalan 4

Berkaitan isu mental health, selain kaedah perubatan, pasti ada faktor spiritual yang bagi kesan kepada kesihatan mental. Adakah solat menjadi salah satu dari cara sembuh untuk mental? Bagaimana dengan solat boleh membantu kita mengawal kebimbangan?

JAWAPAN :

Aspek spiritual ialah antara nilai penting dan utama dalam membentuk personaliti manusia khususnya dari sudut kekuatan jiwa dan kesihatan mental.

Terdapat satu bidang yang menekankan tentang pemikiran yang menggabungkan psikologi dan kerohanian iaitu psikospiritual.

Psikospiritual Islam boleh difahami sebagai satu konsep dan kaedah perawatan jiwa (nafs, ruh, qalb) mental (‘aql), emosi (‘atifah), mahupun perilaku moral (akhlaq) berteraskan sumber dan amalan dalam Islam berasaskan al-Quran, al-Sunnah, amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ilmu pengetahuan yang tidak bercanggah dengan syarak.

Maka, solat iaitu ibadah yang menghubungkan diri dengan Allah merupakan satu latihan untuk membangunkan mental dan jiwa yang kuat, bahkan ia juga bertindak sebagai terapi yang menyembuhkan dan menenangkan jiwa manusia.

Bagaimana solat mampu membantu mengawal kebimbangan dan kerisauan:

Mengenal hakikat Allah yang disembah dan diminta pertolongan ialah Tuhan yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan serta tiada sebarang kekurangan dan kelemahan.

Dengan keyakinan dan kepercayaan ini, konsep tawakkul membantu manusia untuk mengurangkan rasa takut dan bimbang dengan masalah atau bebanan yang ada. Kerana Allah yang mentadbir ketetapan dan ketentuan buat manusia, maka tidak akan ada sebarang kekurangan dan kelemahan pada pentadbiran itu.

Dekat dengan Allah melalui sujud.

Sabda Nabi SAW:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya: “Keadaan yang paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sedang sujud, maka perbanyakkanlah doa.” [HR Muslim, 482]

Semakin dekat seorang hamba dengan Allah, semakin Allah memberikannya rezeki ketenangan, rasa cukup atas apa yang ada, dan rasa berlapang dada dengan setiap perkara yang berlaku.

Ketenangan melalui zikrullah (mengingati Allah) dna bacaan dalam solat.

Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” [Surah ar-Ra’du, ayat 28]

Bacaan dalam solat seperti Surah Al-Fatihah yang mengandungi doa إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (Hanya kepada-Mu kami menyembah dan kepada-Mu kami memohon pertolongan) memberikan perasaan bahawa kita tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran hidup.

Solat melatih mindfulness (Fokus dan kesedaran diri)

Dengan kekuatan khusyuk dalam solat sebenarnya melatih minda manusia untuk memberikan sepenuh perhatian dan tumpuan kepada hal-hal yang baik sahaja. Ia mengurangkan rasa bimbang, overthinking dan pemikiran negatif.

Lima waktu yang telah ditetapkan menjadikan manusia hidup secara fokus dengan hal-hal yang penting.

Orang yang mempunyai struktur hidup yang baik, berjadual dengan rutin yang bermanfaat, pastinya dapat mengelakkan diri daripada tenggelam dengan masalah, melayan kesedihan dan keresahan sehingga tdak mahu berbuat apa-apa atau berkurung dan bersendirian.

Setiap masa yang telah ditetapkan akan digunakan dengan sesuatu yang memberi kesan baik dan positif terhadap diri.

Mengukuhkan cara fikir bagi halatuju hidup.

Dengan solat mampu menyedarkan manusia bahawa hidup yang sebenar bukan sebatas kehidupan dunia. Tetapi hakikat halatuju hidup ialah kehidupan yang kekal ialah kehidupan akhirat.

Dengan ibadah solat ini akan mengecilkan cara pandang terhadap masalah, dan membesarkan ganjaran akhirat yang telah Allah sediakan buat mereka yang beriman dan bersabar.

Hakikatnya, solat ibarat ubat yang menjadi penawar kepada segala penyakit. Dengan kekuatan hubungan bersama Allah, segala masalah dan bebanan terlihat kecil, disamping Allah, Pencipta Yang Maha Agung yang bersifat dengan segala kebesaran dan kemuliaan.

Firman Allah SWT:

وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!” [Surah al-Mudathhir, ayat 3]

Soalan 5

Kadang-kadang manusia hanya solat dan mengingati Allah ketika berhajat kepada sesuatu. Apa pandangan ustaz berkaitan perkara ini? Bagaimana solat sebenarnya berfungsi sebagai penghubung antara Tuhan dan hamba?

JAWAPAN :

Pada asasnya, kita hendaklah memahami bahawa Allah bersifat dengan Yang Mujib (Mengabulkan). Allah menjawab segala doa dan permintaan hambaNya sesuai dengan kekuasaan dan pengetahuan Allah. Firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” [Surah al-Baqarah, ayat 186]

Namun, hendaklah kita fahami, hubungan antara manusia dengan Allah bukanlah seperti hubungan antara pekerja dan majikan. Yang mana boleh memilih untuk patuh atau tidak, hanya meminta pertolongan ketika susah, dan buat kerja untuk mendapat ganjaran dan jika tidak dapat ganjaran, maka dia berhenti melakukan pekerjaan tu.

Dalam al-Quran turut menggambarkan golongan yang hanya beriman ketika dalam kesusahan. Firman Allah SWT:

وَإِذَا مَسَّ ٱلْإِنسَـٰنَ ٱلضُّرُّ دَعَانَا لِجَنۢبِهِۦٓ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَآئِمًۭا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُۥ مَرَّ كَأَن لَّمْ يَدْعُنَآ إِلَىٰ ضُرٍّۢ مَّسَّهُۥ ۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ابتداء

Maksudnya: “Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya, demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.” [Surah Yunus, ayat 12]

Jika kita masih berfikiran bahawa hanya perlu mentaati Allah ketika dalam keadaan susah atau ketika berhajat kepada sesuatu, maka terdapat beberapa kefahaman yang perlu dibaiki:

Solat ialah kewajipan, bukan keperluan. Ia ditunaikan tanpa mengira keadaan atau hajat tertentu, namun dilaksanakan sebagai tuntutan ketaatan.

Solat sebagai penghubung antara hamba dan Tuhan. Solat bukan sekadar alat untuk memenuhi keperluan duniawi. Namun solat ialah jalan untuk mendapat redha Allah dan kehidupan akhirat yang baik.

Bagaimana solat menghubungkan antara hamba dan Tuhan:

Solat ialah manifestasi ketundukan dan kepatuhan terhadap Allah yang menciptakan segala yang di langit dan bumi. Dalam solat kita menyerahkan penghambaan total kepada Allah, yang akhirnya menjadikan kita juga turut menghambakan diri pada Allah (perintah dan laranganNya) di luar solat.

Solat sebagai medium penyucian hati (Tazkiyatun Nafs). Solat menghapuskan dosa dan membersihkan diri dari sifat mazmumah. Dengan ini sekaligus menghubungkan manusia dengan Allah dalam keadaan bersih dari kemungkaran.

Solat sebagai benteng iman, punca kekuatan dan kesabaran buat manusia. Solat berperanan sebagai mekanisme spiritual untuk mengukuhkan daya tahan keimanan serta melatih kesabaran dalam menghadapi cabaran dunia. Dan satu-satunya sumber kekuatan dan pertolongan hanyalah Allah Tuhan sekalian makhluk.

Dengan memahami bahawa solat bukan sekadar kewajipan yang telah dijadualkan, namun sebagai jalan berhubung dengan Allah, maka kita pasti akan mampu lebih menghayati ibadah ini dengan penuh ketaatan dan keikhlasan.

Bahkan ia keadaan susah dan senang tidak menjadi syarat untuk tetap mendirikan solat atau tidak. Kita menyembah Allah disetiap keadaan sama ada dalam keadaan ringan atau berat.

Soalan 6

Harini ramai umat Islam yang saling berkonflik dan berpecah mengikut kelompok masing-masing. Bagaimana solat dapat dijadikan sebagai medium penyatuan umat Islam? Apakah tandanya jika semakin kurang amalan solat berjemaah dalam masyarakat?

JAWAPAN :

Solat merupakan ibadah yang bukan sahaja menjadi kewajipan individu tetapi juga berperanan sebagai medium penyatuan umat Islam. Ketika umat Islam berkumpul dalam satu saf untuk menunaikan solat berjemaah, ia melahirkan rasa kesatuan, persaudaraan, dan disiplin dalam kehidupan bermasyarakat.

Dalam solat berjemaah, perbezaan latar belakang sosial, bangsa, dan kedudukan terhapus kerana semua umat Islam berdiri dalam satu barisan yang sama, menghadap kiblat yang satu, dan tunduk kepada Allah SWT. Hal ini menzahirkan nilai persamaan dan perpaduan yang dianjurkan dalam Islam sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW:

سوُّوا صفوفَكم فإنَّ تسويةَ الصُّفوفِ من تمامِ الصَّلاةِ

Maksudnya : Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf adalah sebahagian dari kesempurnaan solat [HR Bukhari, 723]

Selain itu, solat berjemaah melatih umat Islam untuk taat kepada pemimpin dan disiplin dalam kehidupan harian. Imam yang mengetuai solat dijadikan contoh dalam kepimpinan, dan makmum perlu mengikutinya dalam setiap pergerakan solat tanpa mendahului atau menyelisihi. Konsep ini mengajarkan tentang fiqh kepimpinan iaitu bila waktunya untuk patuh dan bila waktunya untuk menegur imam.

إنَّما جُعِلَ الإمامُ ليُؤتَمَّ بهِ ، فإذا كبَّرَ فكبِّروا ، وإذا قرأ فأنصِتوا ، وإذا قال غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ فقولوا : آمينَ ، وإذا ركعَ فاركَعوا ، وإذا قال : سمِعَ اللهُ لمَن حمِدهُ ، فقولوا : اللَّهمَّ ربَّنا ولكَ الحمدُ ، وإذا سجدَ فاسجُدوا ، وإذا صلَّى جالسًا فصلُّوا جلوسًا

Maksudnya : Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti, maka apabila dia bertakbir, bertakbirlah kamu; apabila dia membaca (Al-Fatihah), maka dengarkanlah; apabila dia berkata "ghayril maghdubi 'alayhim walad daallin", maka ucapkanlah "Aamiin"; apabila dia rukuk, maka rukuklah kamu; apabila dia berkata "Sami' Allahu liman hamidah", maka ucapkanlah "Allahumma Rabbana wa lakal hamd"; apabila dia sujud, maka sujudlah kamu; dan apabila dia solat dalam keadaan duduk, maka solatlah kamu dalam keadaan duduk (semua sekali). [HR Bukhari, 722]

Amalan solat berjemaah juga memperkukuh ukhuwah Islamiah dalam kalangan umat Islam. Apabila individu bertemu lima kali sehari di masjid atau surau, mereka dapat saling mengenali, bertukar pandangan, dan membantu antara satu sama lain. Lantas membentuk masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan sesama Muslim, seterusnya mengurangkan perpecahan dan persengketaan.

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. [Surah Al Hujurat, 10]

Namun, apabila amalan solat berjemaah semakin berkurang dalam masyarakat, beberapa kesan negatif mula kelihatan. Antaranya ialah peningkatan sifat individualistik di mana umat Islam semakin mementingkan diri sendiri dan kurang berinteraksi dengan komuniti. Lebih membimbangkan, semakin berkurangnya solat berjemaah akan menyebabkan gejala sosial meningkat kerana solat adalah benteng daripada perbuatan mungkar.

ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُصْنَعُونَ

Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. [Surah Al Ankabut, 45]

Kesimpulannya, solat berjemaah adalah satu elemen penting dalam membina perpaduan dan kestabilan masyarakat Islam. Ia bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi juga simbol kesatuan hati dan jiwa umat Islam. Oleh itu, setiap individu Muslim perlu berusaha menghidupkan amalan ini dalam kehidupan seharian dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingannya agar umat Islam akan lebih kuat dalam menghadapi cabaran dunia fitnah kini.

Soalan 7

Adakah terdapat kaitan antara pergerakan solat dengan kelebihan dari sudut kesihatan? Apakah hikmahnya pula apabila orang yang sakit tetap diwajibkan bagi mereka untuk solat, sedangkan dalam keadaan sakit?

JAWAPAN :

Solat bukan sahaja merupakan ibadah yang diwajibkan ke atas setiap Muslim, tetapi ia juga memberikan manfaat kesihatan yang besar kepada tubuh dan minda.

Pergerakan dalam solat seperti berdiri, rukuk, sujud, dan duduk membantu meningkatkan peredaran darah ke seluruh badan, terutamanya ke otak, yang boleh meningkatkan keupayaan kognitif serta mengurangkan risiko penyakit jantung.

Selain itu, pergerakan ini juga menyumbang kepada kelenturan otot dan sendi, sekali gus membantu memperbaiki postur badan dan mengelakkan masalah kesihatan seperti sakit belakang dan kesengalan sendi.

Islam mewajibkan solat walaupun seseorang itu berada dalam keadaan sakit, kerana ia bukan sekadar aktiviti fizikal tetapi juga satu bentuk terapi rohani. Kewajipan ini menunjukkan kepentingan hubungan seseorang dengan Allah SWT, di mana solat menjadi sumber ketenangan dan kekuatan spiritual yang boleh membantu seseorang menghadapi ujian sakit dengan lebih sabar dan reda.

كَانَتْ بي بَوَاسِيرُ، فَسَأَلْتُ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ عَنِ الصَّلَاةِ، فَقالَ: صَلِّ قَائِمًا، فإنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فإنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ.

Maksudnya : Aku pernah mengalami penyakit buasir, lalu aku bertanya kepada Nabi SAW tentang solat. Baginda bersabda: Solatlah dalam keadaan berdiri, jika engkau tidak mampu maka solatlah dalam keadaan duduk, jika engkau tidak mampu juga maka solatlah dengan berbaring di atas lambungmu. [HR At Tirmidzi, 372]

Hikmah diwajibkan solat dalam apa jua keadaan termasuk ketika sakit adalah untuk memastikan umat Islam sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak berputus asa daripada rahmat-Nya. Solat dapat memberikan kelegaan emosi dan mental, di mana ia menjadi mekanisme untuk mengurangkan tekanan dan kegelisahan yang sering dihadapi oleh orang yang sakit.

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ

Maksudnya : "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. [Surah Ar Ra’d, 28]

Kesimpulhnya, solat bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah tetapi juga memberikan keseimbangan dalam kehidupan fizikal dan mental seseorang. Dengan hikmah yang terkandung dalam solat, seseorang yang sakit akan terus merasakan kehadiran Allah dalam kehidupannya, memperolehi ketenangan dan semangat untuk terus berusaha dalam rawatan serta penyembuhan.

Soalan 8

Berdasarkan peristiwa Israk Mikraj, solat dianugerahkan oleh Allah sebagai hadiah buat Nabi dan umatnya. Bagaimana kita nak tanam dalam diri bahawa solat ialah hadiah yang menyeronokkan dan bukan rutin yang membebankan?

JAWAPAN :

Solat adalah merupakan suatu anugerah dari Allah SWT buat para hamba-Nya.

Hal ini dapat kita dapati menerusi kisah pensyariatan solat itu sendiri.

Sebagaimana diketahui bahawa pada asalnya adalah sebanyak 50 waktu solat sehingga dikurangkan kepada 5 waktu sahaja setiap hari.

Pengurangan itu dapat dilihat sebagai suatu anugerah kerana sekalipun jumlah waktu berkurang, tetapi ganjarannya adalah menyamai 50 waktu.

Ia sebagaimana sebuah riwayat:

فَقَالَ: هِيَ خَمْسٌ، وَهِيَ خَمْسُونَ، لَا يُبَدَّلُ القَوْلُ لَدَيَّ

Maksudnya: “Allah SWT berfirman: Lima waktu dan ia sebenarnya menyamai 50 waktu solat. keputusan ini tidak berubah di sisi-Ku.” [HR al-Bukhari, 349]

Berdasarkan riwayat di atas, dapat difahami bahawa solat fardu yang wajib didirikan oleh umat Islam ialah sebanyak lima waktu. Imam Badr al-Din al-‘Aini turut menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk mengerjakan solat fardu sebanyak 50 waktu namun atas sifat rahmat-Nya umat Islam diwajibkan untuk mengerja sebanyak lima waktu. [‘Umdat al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. Jilid 4, hlm 45.]

Selain itu, sujud merupakan suatu kedudukan yang paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya, dan solat adalah amat sinonim dengan rukun sujud sebanyak dua kali setiap rakaat.

Anugerah dan keserenokan yang mana lagi lebih besar dibandingkan kedudukan yang paling hampir dengan Tuhan?

Hal ini berdalilkan:

أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ

Maksudnya: “Keadaan yang paling hampir seseorang itu kepada Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud.” [HR Muslim, 482]

Tambahan pula, rehat pada hakikatnya adalah suatu kerehatan:

يَا بِلَالُ, أَقِمِ الصَّلَاةَ ! أَرِحْنـــَا بِهَا

Maksudnya: “Wahai, Bilal. Kumandangkan iqamat solat. Buatlah kami tenang dengannya.” [HR Abu Daud, 4985]

Soalan 9

Selalunya waktu solatlah kita akan terfikir dan teringat macam-macam. Bagaimanakah cara nak dapatkan khusyuk dalam solat tanpa terganggu dengan hal-hal luar solat? Adakah solat yang tak khusyuk tetap diterima Allah?

JAWAPAN :

Sememangnya Iblis dan syaitan berusaha sedaya mungkin untuk menyesatkan manusia.

Antaranya dengan melakukan bisikan serta was-was terutama ketika melaksanakan ibadat khususnya solat.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ

Maksudnya: “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusi.” [Surah al-Nas, ayat 5]

Oleh itu, kita hendaklah berusaha agar tidak terpedaya dan terkesan dengan gangguan syaitan itu.

Antara cara untuk khusyuk dalam solat:

Pertama: Persediaan Untuk Solat

Solat tepat pada waktu.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

[Surah al-Nisa’, ayat 103]

Membersihkan diri dan bersugi.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ وُضُوءٍ

Maksudnya: “Jikalau tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali wudhu.” [HR al-Bukhari, 1934]

Kedua: Ketika Hendak Hampir Solat

Azan dan iqamah.

Dilakukan secara berjemaah

Menghadirkan hati.

Mengingati mati

Mengingati kematian dapat membantu seseorang untuk mencapai kekhusyukan di dalam solat. Nabi SAW bersabda:

اذْكُرِ المَوتَ فِى صَلَاتِكَ فإنَّ الرَّجُلَ إِذَا ذَكَرَ المَوْتَ فِى صَلَاتِهِ فَحَرِىٌّ أْن يُحْسِنَ صَلَاتَه وَصَلِّ صَلَاةَ رَجُلٍ لَا يَظُنّ أنَّهُ يُصَلِّى صَلَاةً غيرَهَا وَإِيَّاكَ وكلَّ أمرٍ يعتذرُ مِنْهُ

Maksudnya: “Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan memperelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).” [HR al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus, 1/2/26. Disahihkan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah, 401]

Ketiga: Ketika Dalam Solat.

Memahami dan menghayati bacaan dalam solat

Memahami fiqh solat dengan sempurna

Merendahkan dan menghinakan diri di hadapan Allah SWT

6. Hukum khusyuk dalam solat diperselisihi oleh para ulama, namun menurut Imam al-Nawawi, khusyuk adalah di antara perkara sunat di dalam solat dan merupakan pelengkap bagi solat.

7. Pendapat Imam al-Nawawi ini didasarkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata dan beliau memarfu’kannya kepada Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا وَسْوَسَتْ أَوْ حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata.” [HR al-Bukhari, 6664]

8. Oleh itu, solat tanpa khusyuk tetap sah. Walaubagaimanapun pahalanya mungkin kurang kerana tidak disertai khusyuk yang sunat.

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2082-bayan-linnas-siri-ke-82-khusyuk-solat-hukum-dan-cara-mendapatkannya

Scroll to Top