ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
Soal & Jawab
- Penerbit : Adib
SOALAN PENONTON
1) Bagaimanakah Islam melihat perkahwinan itu sesuatu keperluan sehingga dituntut dalam agama?
JAWAPAN:
Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT”
وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.” [Surah al-Zariyaat: 49]
Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak.
Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Shafie, hlm. 671]
Setiap manusia sama ada lelaki dan perempuan dewasa sudah pasti ada keinginan untuk berkahwin kerana ianya merupakan fitrah manusia yang saling memerlukan dan berkasih sayang.
Bagi yang berkemampuan, dituntut untuk segera melaksanakannya berdasarkan hadis baginda Nabi SAW:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.” [HR Muslim, 3386]
Selain itu, antara beberapa sebab perkahwinan dituntut dalam agama ialah:
Merupakan sunnah Nabi SAW
Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin kerana ia adalah sunnah Nabi Muhammad SAW, dan dalam Islam, mengikuti sunnah Nabi adalah satu bentuk ibadah.
Sebagai Penjagaan Kehormatan dan Menjauhi Zina
Salah satu tujuan perkahwinan dalam Islam adalah untuk menjaga kehormatan dan menghindari perbuatan zina. Sabda Rasulullah SAW:
ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ
Maksudnya: “Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya.” [HR al-Tirmidhi, 1655]
Sebagai satu bentuk ketenangan dan kasih sayang
Perkahwinan merupakan medium dan cara yang Allah SWT tetapkan untuk memberi ketenangan jiwa dan kedamaian hati melalui kasih sayang antara suami dan isteri. Firman Allah SWT:
وَمِنْ اٰيٰتِهٖ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّرَحْمَةً
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.” [Surah al-Rum, ayat 21]
Sebagai jalan untuk menyempurnakan agama
Perkahwinan juga dianggap sebagai satu cara untuk menyempurnakan agama seseorang. Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي
Maksudnya: “Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.” [HR al-Baihaqi, 5486]
Sebagai jalan untuk mendapatkan keturunan yang baik
Islam juga melihat perkahwinan sebagai cara untuk mendapatkan keturunan yang baik dan berakhlak mulia. Allah SWT berfirman:
ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِنْۢ بَعْضٍۗ وَاللّٰهُ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌۚ
Maksudnya: “(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.” [Surah Ali Imran, ayat 34]
Oleh itu, perkahwinan dalam Islam dilihat sebagai keperluan yang sangat penting kerana ia bukan sahaja memenuhi keperluan fitrah manusia, tetapi juga sebagai satu ibadah yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Perkahwinan bukan sekadar memenuhi tuntutan duniawi, tetapi juga membawa manfaat akhirat dengan memperoleh ganjaran daripada Allah SWT.
2) Setiap ahli keluarga mempunyai personaliti yang berbeza.. Adakah jika sering berlaku perselisihan faham dalam kalangan ahli keluarga, menunjukkan bahawa hilangnya sakinah, mawaddah dan rahmah dalam keluarga tersebut?
JAWAPAN:
Perselisihan faham dalam kalangan ahli keluarga adalah perkara yang boleh berlaku dalam mana-mana keluarga.
Hidup dalam berkeluarga sudah pasti ada pasang surutnya juga.
Islam menekankan pentingnya mencari jalan penyelesaian terhadap perselisihan tersebut dan mengembalikan keharmonian dalam keluarga.
Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:
وَمِنْ اٰيٰتِهٖ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّرَحْمَةً
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.” [Surah al-Rum, ayat 21]
Berdasarkan ayat, jelaslah bahawa ketenangan jiwa (sakinah), cinta dan kasih sayang (mawaddah), dan rahmat adalah tiga konsep penting dalam hubungan suami isteri yang dituntut dalam Islam.
Perselisihan tidak semestinya menandakan hilangnya sakinah, mawaddah, dan rahmah, tetapi ia merupakan cabaran yang perlu dihadapi dengan cara yang Islam ajarkan.
Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengharmonikan hubungan dalam keluarga adalah dengan:
Berbincang dan bertolak ansur dalam menyuarakan pendapat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Ingat kebaikan setiap ahli keluarga dan pengorbanan mereka.
Hidupkan solat jemaah bersama keluarga utnuk mengeratkan lagi hubungan.
Budayakan sifat bersalam-salaman dan bermaaf-maafan terutamanya ketika berpisah dan ketika bertemu.
Buangkan sifat ego, pemarah, suka menengking dan mengata yang bukan-bukan sehingga suhu kemarahan meningkat. Sebaliknya, gantikan dengan sifat sabar, pemaaf, dan berlemah-lembut. Ini kerana, matlamat sebenar perkahwinan adalah untuk meraih hal tersebut.
Maka, dengan praktikkan perkara yang disebutkan, hubungan kekeluargaan dapat dibaiki serta menuju ke arah keluarga yang bahagia.
3) Bagaimana peranan ibu bapa atau mentua dalam membantu rumahtangga anak-anak kekal harmoni walau dilanda krisis yang berpanjangan?
JAWAPAN:
Peranan ibu bapa atau mentua penting dalam membantu rumah tangga anak-anak kekal harmoni walaupun dilanda krisis. Islam memberikan panduan jelas tentang bagaimana mereka boleh memainkan peranan tersebut.
Antara tindakan yang patut diambil adalah menjadi penasihat yang bijak. Mereka mesti bersikap adil dan tidak berat sebelah. Konflik perlu diselesaikan dengan penuh hikmah dan kasih sayang.
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَٱبْعَثُوا۟ حَكَمًۭا مِّنْ أَهْلِهِۦ وَحَكَمًۭا مِّنْ أَهْلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصْلَـٰحًۭا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيْنَهُمَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًۭا
Maksudnya : Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang pendamai dari keluarga lelaki dan seorang pendamai dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua pendamai itu ingin memperbaiki, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [Surah An-Nisa, 35]
Ibu bapa atau mentua juga perlu menasihati dengan sabar. Nasihat yang baik itu mestilah membina, konstruktif dan berlandaskan syariat Islam.
الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ، قُلْنَا : لِمَنْ؟ قَالَ: اللَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ
Maksudnya : Agama itu nasihat." Kami bertanya, "Untuk siapa, wahai Rasulullah?" Baginda bersabda, "Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin kaum Muslimin, dan bagi kaum Muslimin secara umum. [HR Muslim, 55]
Ibu bapa atau mentua perlu sentiasa mendoakan kebaikan bagi anak-anak mereka serta memberikan sokongan moral. Doa ibu bapa sangat mustajab, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
ثلاثُ دعَواتٍ يُستجابُ لَهنَّ لا شَكَّ فيهنَّ دعْوةُ المظلومِ ودعْوةُ المسافرِ ودعْوةُ الوالدِ لولدِه
Maksudnya : Tiga doa yang tidak akan tertolak: doa orang yang teraniaya, doa orang yang sedang musafir, dan doa ibu bapa terhadap anaknya. [HR Abu Daud, 1536]
Ibu bapa atau mentua perlu berhati-hati agar tidak terlalu campur tangan dalam urusan rumah tangga anak-anak, kecuali jika benar-benar diperlukan. Campur tangan yang berlebihan boleh memburukkan keadaan dan menambah ketegangan.
Mereka juga perlu menunjukkan teladan yang baik dalam kehidupan rumah tangga mereka kerana anak-anak sering menjadikan mereka sebagai contoh harian. Jadilah Rasulullah SAW yang sering menjadi contoh tauladan untuk sekalian umatnya.
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا
Maksudnya : Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu. [Surah Al-Ahzab, 21]
Kesimpulannya, peranan ibu bapa dan mentua sangat penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga anak-anak. Dengan menjadi penasihat yang bijaksana, memberikan sokongan moral, dan tidak campur tangan secara berlebihan, mereka boleh membantu pasangan mengatasi krisis. Semua usaha ini perlu disertai doa dan keikhlasan, dengan harapan Allah SWT memberkati rumah tangga anak-anak mereka.
4) Kelaziman ‘couple’ atau kekasih sebelum bernikah sudah menjadi norma dalam masyarakat sekarang. Dimanakah batas keharusannya dalam memulakan sesebuah keluarga yang sakinah?
JAWAPAN:
Fenomena berpasangan atau bercinta sebelum pernikahan yang menjadi norma masyarakat hari ini adalah isu yang penting untuk dirungkai berdasarkan panduan Islam. Islam telah menggariskan prinsip yang jelas dalam hubungan antara lelaki dan wanita agar kehidupan manusia berada dalam kerangka yang menjaga maruah dan kehormatan.
Dalam Islam, hubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram perlu mematuhi hukum-hukum syarak. Segala bentuk hubungan yang melibatkan berdua-duaan (khalwat), percakapan mesra tanpa keperluan, sentuhan, atau perkara yang membawa kepada fitnah atau maksiat adalah haram. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًا
Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk. [Surah Al-Isra’, 32]
Sebuah keluarga yang sakinah bermula dengan pernikahan yang diberkati dan mematuhi syariat Islam. Hubungan cinta sebelum nikah boleh menjadi fitnah dan mengundang dosa, yang boleh menjejaskan keberkatan perkahwinan. Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Maksudnya : Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita melainkan bersama mahramnya. [HR Muslim, 1341]
Islam tidak menghalang seseorang untuk mengenali bakal pasangan hidup, tetapi mestilah dilakukan dengan cara yang halal dan terhormat, seperti melalui:
Ta’aruf yang berpandukan syarak: Melibatkan wali, keluarga, atau pihak ketiga yang dipercayai untuk menjaga adab dan batas syariat.
Istikharah: Memohon petunjuk Allah dalam memilih pasangan. Rasulullah SAW bersabda:
كانَ رَسولُ اللَّهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يُعَلِّمُنَا الِاسْتِخَارَةَ في الأُمُورِ كُلِّهَا كما يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ؛ يقولُ: إذَا هَمَّ أحَدُكُمْ بالأمْرِ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِن غيرِ الفَرِيضَةِ، ثُمَّ لْيَقُل: اللَّهُمَّ إنِّي أسْتَخِيرُكَ بعِلْمِكَ، وأَسْتَقْدِرُكَ بقُدْرَتِكَ، وأَسْأَلُكَ مِن فَضْلِكَ العَظِيمِ؛ فإنَّكَ تَقْدِرُ ولَا أقْدِرُ، وتَعْلَمُ ولَا أعْلَمُ، وأَنْتَ عَلَّامُ الغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هذا الأمْرَ خَيْرٌ لي في دِينِي ومعاشِي وعَاقِبَةِ أمْرِي - أوْ قالَ: عَاجِلِ أمْرِي وآجِلِهِ - فَاقْدُرْهُ لي ويَسِّرْهُ لِي، ثُمَّ بَارِكْ لي فِيهِ، وإنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هذا الأمْرَ شَرٌّ لي في دِينِي ومعاشِي وعَاقِبَةِ أمْرِي - أوْ قالَ: في عَاجِلِ أمْرِي وآجِلِهِ - فَاصْرِفْهُ عَنِّي واصْرِفْنِي عنْه، واقْدُرْ لي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ، ثُمَّ أرْضِنِي قالَ: «وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ».
Maksudnya : Apabila salah seorang daripada kamu berniat dalam sesuatu perkara, maka solatlah dua rakaat selain daripada solat fardhu, kemudian berdoalah;
“Ya Allah, aku memohon pilihan yang terbaik daripada-Mu menurut ilmu-Mu. Aku juga mohon takdir yang terbaik menurut takdir-Mu. Aku mohon limpah kurnia-Mu yang agung, kerana hanya Engkau sahaja yang mentakdirkan bukan aku yang mentakdirkan. Hanya Engkau sahaja yang tahu dan aku tidak tahu. Hanya Engkau sahaja yang mengetahui ilmu ghaib. Ya Allah, jika Engkau tahu perkara ini baik untuk diriku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau baginda bersabda; Untuk urusanku di dunia dan akhirat, takdirkanlah ia untukku kemudian berkatilahku dalam urusan ini. Jika Engkau tahu perkara ini tidak baik untukku, untuk agamaku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau baginda bersabda: Untuk urusanku di dunia dan akhiratku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah diriku daripadanya. Takdirkanlah diriku beroleh kebaikan yang sepatutnya kemudian buatkanlah diriku redha dengannya. Baginda bersabda: Seterusnya nyatakanlah hajatnya.” [HR Bukhari, 1162]
Kesimpulannya, dalam membina keluarga sakinah, Islam menekankan kepentingan pernikahan yang suci dan jauh daripada perkara haram. Hubungan sebelum nikah hanya dibenarkan sekiranya ia mematuhi syariat dengan penglibatan wali atau pihak keluarga. Oleh itu, sebagai Muslim, kita perlu memastikan segala hubungan yang dijalinkan bertujuan untuk mendapatkan reda Allah SWT dan memelihara kehormatan diri.
5) Rekod kes penceraian tertinggi di Malaysia berlaku atas sebab masalah ekonomi dan kewangan. Masih ada lagikah peluang bagi pasangan untuk mengecap rasa sakinah mawadah wa rahmah walaupun sedang dalam terhimpit dengan tekanan ekonomi dan kewangan?
JAWAPAN:
Antara tanda bahawa seseorang itu sudah bersedia untuk memasuki fasa hidup berumahtangga, maka dia semestinya sudah bersedia untuk menanggung cabaran dan tanggungjawab kewangan, sama ada pasangan lelaki atau perempuan.
Namun, walaupun kewangan merupakan cabaran, ianya bukanlah sebagai kesan buruk dari perkahwinan. Syariat Allah tidak bersifat sebagai bebanan, syariat Allah ialah seruan yang menyempurnakan kehidupan setiap manusia. Maka, mustahil Allah mensyariatkan pernikahan untuk menjadikan hambaNya berada dalam kesempitan.
Firman Allah SWT:
وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَـٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّـٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ
Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” [Surah an-Nur, ayat 32]
Justeru, walaupun dengan cabaran kewangan dalam rumahtangga, nikmat sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih) dan rahmah (sayang) tetap boleh didapatkan dengan pertolongan dan rezeki dari Allah.
Bahkan cabaran ini seharusnya disambut dan diatasi dengan kerjasama dan kesungguhan kedua-dua pasangan. Terdapat beberapa aspek penting yang perlu dilihat oleh pasangan suami isteri dalam berdepan cabaran ini:
Membaiki keyakinan dan kepercayaan tentang konsep rezeki dan tawakal.
Pasangan suami isteri perlu tambah baik keadaan hubungan dengan Allah yang Maha Memberi Rezeki. Semakin taat seorang hamba, semakin luas pertolongan Allah buatnya. Firman Allah:
وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍۢ قَدْرًۭا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (3) [Surah at-Talaq, ayat 2-3]
Sabda Nabi SAW:
لَوْ أَنَّكُمْ تَوَكَّلْتُمْ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا.
Maksudnya: “Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sebenar, nescaya Allah beri rezeki kepada kamu sebagaimana Allah memberi rezeki kepada burung. Ia berada di waktu pagi dengan temboloknya kosong, dan pulang pada waktu petang dengan temboloknya penuh.” [HR Ahmad, 370]
Menetapkan matlamat bersama dalam kewangan.
Kedua-duanya hendaklah berbincang dan menentukan halatuju kewangan keluarga. Dengan penetapan minda dan cara fikir yang tepat dalam matlamat kewangan, setiap tindakan (pengurusan kewangan, usaha pendapatan, gaya hidup) dapat ditentukan secara rasional.
Komunikasi jujur dan terbuka.
Pasangan perlu saling berbincang dan mencari jalan penyelesaian bersama. Berkongsi perasaan dan beban kewangan secara terbuka dapat mengurangkan ketegangan dan memperkuatkan ikatan antara suami isteri. Banyak rumahtangga yang retak berpunca daripada memendam rasa dan masalah terlampau lama.
Maka dengan beberapa aspek yang dibaiki secara perlahan-lahan, beserta sifat tanggungjawab dan kerjasama antara suami dan isteri, sebesar mana pun masalah kewangan tersebut, pasti akan dapat dihadapi dengan kekuatan mental, emosi dan semestinya dengan kuatnya pergantungan kepada Allah.
Sakinah, mawaddah dan rahmah dari Allah pasti dapat dikecapi selagi kita berusaha menjalani ibadah pernikahan dengan penuh ketakwaan dan kesabaran.
6) Keretakan rumah tangga berlaku dengan sebab komunikasi dan isu remeh dalam rumah tangga. Isu menguruskan konflik rumahtangga di kalangan pasangan muda yang lemah merencatkan usaha mencapai kelaurga sakinah. Apa komen ustaz?
JAWAPAN:
Penting bagi pasangan suami isteri, untuk memahami bahawa rumah tangga yang harmoni memerlukan usaha dan kesabaran dalam menguruskan perbezaan serta konflik yang timbul.
Tambahan, buat pasangan muda yang mungkin mempunyai personaliti yang agak berbeza dengan pasangan yang sudah tua, perkara ini mungkin lebih menjadi cabaran buat mereka. Hal ini kerana pengalaman yang masih kurang, dan skill menguruskan emosi yang masih perlu ditambah baik.
Perselisihan faham ialah perkara yang pasti berlaku, kerana setiap satu pasangan itu datang dari latar belakang dan didikan yang berbeza. Maka, komitmen pertama yang perlu diterima sebelum mendirikan rumah tangga ialah bersedia menerima perbezaan (kelebihan dan kekurangan) pasangan.
Namun, terdapat beberapa hal yang boleh diperhatikan bagi menangani isu ini:
Meletakkan Allah dan keredaan-Nya sebagai keutamaan dalam hubungan. Seorang suami yang taat kepada Allah pasti akan melayani keluarganya dengan benar dan tepat. Dan seorang isteri yang mentaati Allah pasti akan sangat teliti dalam urusannya mentaati suami. Namun, jika kedua-duanya hilang nilai ini, maka konflik yang kecil juga kan terus membesar gagal diuruskan.
Aplikasi akhlak dan nilai Islam dalam menguruskan komunikasi bersama pasangan.
Setiap pesanan akhlak dan adab yang kita dapatkan dalam al-Quran dan hadis seperti (berkata baik, tidak merendahkan, tidak berkata besar) bukanlah hanya terpakai pada komunikasi bersama orang lain. Malah ia lebih utama untuk dipraktikkan kepada orang yang terdekat (pasangan).
Firman Allah:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَيَجْعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيْرًۭا كَثِيرًۭا
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)” [Surah an-Nisa, ayat 19]
Belajar melatih diri dan emosi untuk mendahulukan kelembutan, kesabaran dan dalam setiap konflik.
Mendahulukan kepentingan bersama, dan elakkan menjadi self-centered yang hanya mementingkan dan memikirkan diri sendiri. Nilai yang paling penting antara pasangan ialah nilai empati, dengan maksud sentiasa cuba untuk memahami pasangan dan berada dalam keadaan pasangan masing-masing.
Berusaha untuk sentiasa memaafkan dan tidak memanjangkan dendam. Antara yang boleh diusahakan oleh pasangan suami isteri ialah mengadakan ruang perbincangan dan pastikan setiap seorang telah memaafkan sebelum mengakhirkan hari tersebut. Konflik tidak boleh dibiarkan dengan silent treatment, atau di hadapan nampak seperti baik-baik sahaja, tetapi hakikatnya menyimpan dendam atau rasa tidak puas hati sehingga membarah.
Maka, setiap pasangan hendaklah mengambil ruang yang cukup setiap kali ditimpa dengan konflik atau perselisihan faham. Setiap kesulitan pasti akan ada jalan keluar, dan setiap perselisihan pasti ada penyelesaiannya.
Berpeganglah kepada pesanan dari surah an-Nisa:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [Surah an-Nisa, ayat 59]
7) Adakah dengan terlaksana tanggungjawab sebagai suami dan isteri akan menghasilkan keluarga yang harmoni? Kenapa masih ramai yang telah melaksanakan tanggungjawab tetapi perkahwinannya retak menanti belah?
JAWAPAN:
Melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan isteri hanyalah sebahagian dari perkahwinan.
Perkahwinan menuntut kita dan pasangan untuk saling Sayang, Faham dan Terima antara satu sama lain.
Kebanyakan pasangan berjaya untuk mencapai peringkat yang pertama iaitu Sayang. Pasangan terutamanya yang muda melihat semuanya indah dengan perasaan cinta dan sayang bersama pasangannya yang membawa ke jinjang pelamin.
Namun yang lebih penting selepas itu adalah bagaimana untuk melalui dan menempuh alam perkahwinan sebagai suami isteri yang menuntut peringkat seterusnya iaitu Faham dan Terima.
Sebagai suami mahupun isteri, kita perlu memahami perkara yang disukai dan tidak disukai oleh pasangan kita serta menerima segala kebaikan dan juga kelemahan yang ada pada diri pasangan tersebut.
Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي
Maksudnya: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang terbaik di antara kamu terhadap isteriku." [HR al-Tirmizi, 3895]
Menunaikan tanggungjawab suami isteri itu tidaklah hanya dari sudut fizikal/material sahaja (Cth: Menyediakan rumah, kereta, makan dan nafkah zahir), bahkan ia juga meliputi dari sudut mentalnya seperti:
Masa kualiti bersama.
Pengurusan emosi yang stabil.
Saling tolong-menolong meringankan beban tugas dan kewangan.
Nafkah batin.
Komunikasi yang baik dll.
Mengikut statistik perceraian di Malaysia (berlaku 1 perceraian setiap 8 minit), berikut adalah faktor-faktor utamanya:
Tiada Persefahaman (paling banyak).
Masalah Kewangan.
Kecurangan.
Campur Tangan Mertua atau Keluarga.
Masalah Komunikasi.
Perkahwinan pada Usia Muda.
Sikap Lepas Tangan.
Kesimpulannya, betul segala jodoh itu di tangan tuhan tetapi ia bukanlah alasan untuk menjadikan kita pasangan yang culas terhadap tanggungjawab (fizikal & mental) lalu memilih jalan yang paling dibenci Allah iaitu Cerai.
Rasulullah SAW bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ
Maksudnya: "Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah adalah talak (perceraian)." [HR Abu Daud, 2178]
8) Pendedahan ilmu rumah tangga hanya diperoleh apabila hadir kursus pra-perkahwinan yang wajib sebelum nikah. Sejauh mana peranan pendidikan awal perkahwinan dalam membina asas sebuah keluarga sakinah?
JAWAPAN:
Pendidikan awal perkahwinan adalah langkah penting untuk menyediakan pasangan dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk membina keluarga sakinah, mawaddah, dan rahmah. Berikut adalah peranannya:
Mempersiapkan Pasangan dengan Ilmu Agama
Pendidikan awal perkahwinan membantu pasangan memahami tanggungjawab mereka dari sudut syariat Islam.
Suami dan isteri diajar tentang konsep nafkah, hak dan tanggungjawab, serta adab dalam hubungan.
Firman Allah:
وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًۭا
Maksudnya: dan Allah yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
Memperbaiki Kemahiran Komunikasi
Komunikasi yang berkesan adalah kunci kepada perkahwinan yang harmoni. Pendidikan awal perkahwinan memberikan panduan untuk mengelakkan salah faham dan menyelesaikan konflik secara matang.
Rasulullah SAW bersabda:
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ خُلُقًا
Maksudnya: "Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik di antara kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya." [HR al-Tirmizi, 1162]
Mengurus Ekspektasi Perkahwinan
Pendidikan awal membantu pasangan memahami realiti kehidupan perkahwinan, termasuk cabaran seperti kewangan, tekanan emosi, dan tanggungjawab keluarga.
Ini mengurangkan risiko perceraian akibat ekspektasi yang tidak realistik.
Membina Asas Kepercayaan dan Kesetiaan
Pasangan diajar untuk menghargai amanah perkahwinan, mengelakkan kecurangan, dan memelihara keharmonian keluarga.
Setiap pasangan digalakkan untuk mengamalkan doa yang termaktub dalam firman Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍۢ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” [Surah al-Furqan, Ayat 74]
Apakah langkah wajar untuk mengembangkan ilmu rumah tangga hingga membawa kepada keluarga sakinah sepanjang usia perkahwinannya?
Menghadiri Sebarang Kursus dan Bengkel Perkahwinan
Teruskan menyertai program pembangunan diri dan rumah tangga, seperti kursus komunikasi, pengurusan kewangan, atau parenting.
Perkara ini akan dapat membuka mata mereka bahawa mereka tidak keseorangan dan di sana adanya komuniti serta support system yang boleh membantu mereka.
Menghidupkan Agama Dalam Rumah Tangga
Tingkatkan ibadah seperti solat berjemaah, membaca Al-Quran, dan berdoa bersama.
Nabi SAW bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً قَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّى وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّتْ فَإِنْ أَبَتْ نَضَحَ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ رَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَإِنْ أَبَى نَضَحَتْ فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ
Maksudnya: "Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam dan solat, kemudian mengejutkan isterinya untuk solat, dan jika isterinya enggan, dia menyiramkan air ke wajahnya. Semoga Allah merahmati seorang wanita yang bangun pada waktu malam dan solat, kemudian mengejutkan suaminya untuk solat, dan jika suaminya enggan, dia menyiramkan air ke wajahnya." [HR Abu Daud, 1450]
Ambil Pengajaran Dari Pengalaman Orang Lain
Jadikan kisah orang tua atau pasangan yang berjaya sebagai pedoman dan inspirasi.
Berbincang dan Bermuhasabah
Setiap sesuatu masalah pasti ada penyelesaiannya.
Sentiasa berbincang tentang hubungan dan melakukan penilaian bersama untuk mengenal pasti perkara yang boleh diperbaiki dari masa ke masa.
Memohon Bantuan Kaunseling (jika perlu)
Jangan malu untuk mendapatkan bantuan kaunseling perkahwinan jika menghadapi masalah besar.
Kesimpulannya, pendidikan awal perkahwinan membentuk asas kukuh untuk sebuah keluarga sakinah dengan memberikan pasangan panduan agama, kemahiran praktikal, dan pengurusan emosi. Ilmu rumah tangga perlu sentiasa dikembangkan sepanjang usia perkahwinan melalui pembelajaran berterusan, ibadah, dan sokongan antara satu sama lain. Dengan itu, keluarga akan terus harmoni dan diberkati oleh Allah SWT.
9) Apakah implikasi kurangnya komunikasi yang berkesan sesama ahli keluarga menghalang proses pembinaan keluarga yang bahagia?
JAWAPAN:
Komunikasi dalam menjalani kehidupan berumahtangga adalah suatu yang amat penting.
Ia menjamin hubungan yang baik sesama ahli keluarga.
Kurangnya komunikasi yang berkesan sesama ahli keluarga boleh memberi impak yang besar terhadap proses pembinaan keluarga yang bahagia.
Oleh itu, antara implikasi yang dikenalpasti adalah:
Perasaan Terpinggir atau Tidak Dihargai: Apabila komunikasi tidak berjalan dengan baik, ahli keluarga mungkin merasa tidak didengar atau dihargai. Hal ini boleh menyebabkan perasaan terpinggir, kesunyian atau kurangnya ikatan emosi antara anggota keluarga.
Jangan dibiarkan hingga pasangan merasai perasaan dipinggir atau tidak dihargai kerana Islam menekankan keseimbangan dalam memenuhi hak bersama, sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَهُنَّ مِثْلُ ٱلَّذِى عَلَيْهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ
Maksudnya: "...dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang makruf..." [Surah al-Baqarah, ayat 228]
Salah Faham: Tanpa komunikasi yang jelas, mudah berlaku salah faham antara ahli keluarga. Ini boleh membawa kepada konflik yang tidak perlu, ketegangan atau perasaan marah yang tidak dapat diselesaikan.
Jika ada sifat atau tabiat yang kurang elok, reda dan berlapang dada. Sebagaimana sabda Nabi SAW:
لَا يَفْرَكْ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ
Maksudnya: “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Jika dia tidak menyukai salah satu sifatnya, maka hendaklah dia redha dengan sifat lainnya.” [HR Muslim, 1468]
Kehilangan Kepercayaan: Kepercayaan adalah asas dalam hubungan keluarga yang harmoni. Komunikasi yang lemah boleh merosakkan kepercayaan kerana tiada keterbukaan atau kejujuran dalam berkongsi perasaan, pendapat atau masalah.
Kepercayaan boleh dikuatkan dengan ‘deep talk’ akan isu atau masalah yang dialami oleh pasangan. Ia kunci kepada penyelesaian konflik secara harmoni. Ia juga suatu cara yang menjadi amalan baginda SAW:
وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ بِاللَّيْلِ سَارَ مَعَ عَائِشَةَ يَتَحَدَّثُ
Maksudnya: “Rasulullah datang pada malam hari, kemudian beliau mengajak Aisyah berjalan-jalan dan berbincang-bincang.” [HR al-Bukhari, 4913]
Secara keseluruhan, komunikasi yang berkesan adalah kunci untuk membina dan memelihara hubungan keluarga yang sihat dan bahagia. Tanpa komunikasi yang terbuka dan jujur, proses membina keharmonian dan kebahagiaan dalam keluarga akan terjejas.
10) Bagaimana isu nusyuz dalam rumahtangga menjadikan ia sukar mencapai keluarga sakinah?
JAWAPAN:
Nusyuz dari sudut bahasa berasal dari perkataan nasyz (نشز) bermaksud tempat tinggi.
Definisi nusyuz dari sudut istilah syarak, kebiasaannya disifatkan kepada isteri, yang mana dia telah berkelakuan meninggi diri kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan kepada suami yang diwajibkan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT:
اللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” [Surah al-Nisa’, ayat 34]
Perkahwinan merupakan satu institusi yang memerlukan perlaksaan tanggungjawab dan kewajipan di atas hak sebagai suami dan isteri.
Selain itu, panduan yang diajar oleh agama Islam supaya sentiasa bergaul dan bertoleransi di antara keduanya bagi melahirkan hubungan yang mahabbah. Ini kerana pasangan suami isteri itu saling melengkapi antara satu sama lain.
Firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” [Surah al-Baqarah, ayat 187]
Para fuqaha’ berpendapat perbuatan nusyuz seseorang isteri kepada suaminya adalah diharamkan, begitu juga sebaliknya. Ini disebabkan kedua-duanya tidak menunaikan tanggungjawab mereka terhadap pasangan masing-masing.
Nusyuz seseorang itu memberi kesan selepas selesainya akad nikah. Dan ia juga membabitkan ke atas lelaki dan juga perempuan.
Dr Muhammad Zuhaili memberi takrifan nusyuz di dalam kitabnya: “Nusyuz bermaksud derhaka dan kebiasaannya dilakukan oleh wanita. Seseorang perempuan nusyuz itu ialah derhaka kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya. Selain itu, nusyuz bagi suami ke atas isterinya adalah meninggalkan tanggungjawabnya serta menyakiti pasangannya”. [al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e: 4/90]
Hukum nusyuz tidak tertakluk kepada isteri sahaja, malah ia juga berlaku kepada seorang suami. Ini seperti apabila seseorang suami itu tidak memberi hak dan tanggungjawab kepada isterinya dari segi zahir dan batin seperti tidak memberi nafkah serta melakukan kezaliman. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/4005-irsyad-al-fatwa-siri-ke-371-nusyuz-bagi-seorang-suami
https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/3952-irsyad-al-fatwa-siri-ke-359-adakah-talak-penyelesaian-kepada-nusyuz
Hal ini kebiasaannya disalahertikan atau disalahgunakan oleh para suami untuk menundukkan para isteri, sedangkan suami juga boleh bertindak nusyuz ke atas isteri mereka.
Nusyuz boleh menjadikan sukar untuk mencapai keluarga sakinah kerana:
Kehilangan Kedamaian dan Ketenangan
Merosakkan Kepercayaan
Meningkatkan Konflik
Kekurangan Komunikasi yang Positif
Kegagalan dalam Menyempurnakan Tanggungjawab Keluarga
Untuk mencapai keluarga sakinah, suami dan isteri perlu bekerja sama untuk saling memahami, menghormati dan memenuhi tanggungjawab mereka dengan penuh keikhlasan. Penyelesaian masalah, komunikasi yang efektif dan pengertian yang mendalam terhadap peranan masing-masing adalah penting untuk memastikan rumah tangga dapat berkembang dengan penuh kebahagiaan dan keharmonian.
