ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
Soal & Jawab
- Penerbit : Adib
SOALAN PENONTON
1) Apakah makna dan perbezaan antara istighfar dengan taubat?
JAWAPAN:
Abu al-Hasan al-Mubarakfuri menyebutkan, taubat adalah menyesali atas apa yang dilakukan pada masa lalu, dan berazam untuk menahan diri daripada mengulanginya pada masa akan datang. Manakala istighfar (الاستغفار) adalah memohon keampunan atas apa yang telah dilakukan, dan tidak semestinya berazam untuk menahan diri daripada mengulanginya pada masa akan datang (berbanding konsep taubat). [Mir’at al-Mafatih, 8/2]
Ibn al-Qayyim pula menyebut bahawa istighfar (الاستغفار) terbahagi kepada dua jenis, iaitu yang disebut secara terpisah (daripada taubat), dan yang disebut bersekali dengan lafaz taubat.
Adapun istighfar (الاستغفار) yang disebut secara tersendiri dan tidak dihubungkan dengan taubat adalah, sepertimana ucapan Nuh AS dalam firman Allah SWT:
اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا
Maksudnya: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya dia Maha pengampun, nescaya dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat.” [Surah Nuh, ayat 10-11]
Manakala lafaz istighfar (الاستغفار) yang disebut bersekali dengan lafaz taubat adalah sepertimana firman Allah SWT:
وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.” [Surah Hud, ayat 3]
Tambah Imam Ibn al-Qayyim lagi, apabila istighfar (الاستغفار) disebut secara tersendiri (secara terpisah daripada lafaz taubat), maka maknanya adalah sama seperti taubat, bahkan istighfar (الاستغفار) itu adalah taubat, di samping mengandungi makna permohonan keampunan daripada Allah SWT. Keampunan (maghfirah) itu adalah penghapusan dosa, penghapusan kesan-kesan dosa dan pemeliharaan daripada keburukan dosa. Justeru, pada lafaz maghfirah itu semestinya mengandungi pemeliharaan. [Madarij al-Salikin, 1/237]
2) Adakah terdapat anjuran untuk mengamalkan penghulu istighfar? Apakah fadhilat dan kelebihannya?
JAWAPAN:
Terdapat riwayat yang menyebutkan bahawa baginda Nabi SAW beristighfar sebanyak 70 kali sehari.
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [HR al-Bukhari, 6307]
Lafaz istighfar ini sekurang-kurangnya adalah أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ (Aku memohon ampun dari Allah).
Namun terdapat lafaz permohonan keampunan (istighfar) yang sempurna iaitu Penghulu Istighfar (Sayyidul Istighfar):
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. [HR al-Bukhari, 6306]
Di dalam Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar menaqalkan perkataan Ibn Jamrah yang mengatakan bahawa di dalam hadith ini, Nabi SAW telah menghimpunkan seni makna-makna serta lafaz-lafaz yang indah dan dengan itu melayakkan ia digelar sebagai penghulu segala istighfar. Di samping itu juga, terdapat padanya ikrar kepada Allah yang Esa akan keEsaan-Nya dan juga Ubudiyyah kepada-Nya (yang hanya berhak disembah). Tambahan pula, di dalamnya terdapat pengiktirafan (daripada hamba) bahawa Allah adalah pencipta dan beriqrar dengan janji yang diambil oleh Allah ke atasnya. Selain itu, berserah dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya serta memohon perlindungan (daripada Allah) dari segala kejahatan yang dilakukan oleh seseorang hamba itu terhadap dirinya. Di dalamnya juga terdapat sandaran kesenangan kepada pencipta-Nya dan juga sandaran dosa kepada diri pelakunya serta keinginannya untuk memohon ampun dan pengiktirafan akan dosa yang telah dilakukannya bahawa tiada yang mampu untuk mengampunkan dosa-dosa tersebut melainkan Allah SWT. [Fath al-Bari, 100/11]
Secara umumnya terdapat kelebihan khusus bagi mereka yang megamalkan istighfar ini:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. [HR Abu Daud, 1518]
Selain itu, amalan istighfar dengan lafaz Sayyidul Istighfar juga mempunyai kelebihan dan anjuran tersendiri melalui hadis:
وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga.” [HR al-Bukhari, 6306]
Oleh itu, istighfar sangat penting kerana padanya terdapat banyak kelebihan. Selain itu juga, kita sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan perlulah melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita.
3) Adakah benar dengan mengamalkan istighfar akan dimurahkan rezeki dan dibebaskan dari kesusahan hidup dunia?
JAWAPAN:
Berdasarkan beberapa dalil dari al-Quran dan hadis, telah disebutkan beberapa fadilat dan keutamaan istighfar. Antaranya ialah diberikan keluasan rezeki dan dimudahkan urusan.
Firman Allah SWT:
فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًۭا (10) يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا (11) وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍۢ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّـٰتٍۢ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَـٰرًۭا (12)
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (10) "(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; (11) "Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). [Surah Nuh, ayat 10-12]
Firman Allah SWT:
وَأَنِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَـٰعًا حَسَنًا إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِى فَضْلٍۢ فَضْلَهُۥ ۖ وَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍۢ كَبِيرٍ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya). [Surah Hud, ayat 3]
Nabi SAW juga bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. [Riwayat Abu Daud (1518)] [Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh: Sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi]
Berdasarkan beberapa dalil ini, jelas difahami bahawa antara kelebihan amalan istighfar ialah dimudahkan segala kesulitan dan diberikan kelapangan rezeki.
Dengan mendapatkan keampunan daripada Allah hakikatya seseorang itu telah berjaya mendapatkan segala kemuliaan dan keistimewaan di dunia dan di akhirat. Maka segala bentuk rezeki yang halal juga akan mendekatinya serta dipermudahkan segala urusan dan kesulitan, dengan kekuatan taubat dan pengampunan dari Allah.
4) Adakah terdapat penjelasan syarak tentang waktu dan situasi yang afdal untuk kita beristighfar ustaz?
JAWAPAN:
Terdapat hadis yang menceritakan tentang kelebihan dan fadilat beristighfar pada hari Jumaat.
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.”
Namun, para ulama berbeza pandangan terhadap status hadis ini. Seperti Imam al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa hadith ini adalah gharib dan sanadnya terlalu dhaif. Selain itu, Imam al-Nawawi ada menukilkan hadith ini di dalam kitabnya al-Azkar dengan menunjukkan bahawa hadith tersebut adalah dhaif. Di samping itu juga, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif.
Namun, secara umum dalil-dalil yang bercerita berkenaan keutamaan istighfar ialah peringatan kepada kita untuk sentiasa melazimi istighfar tidak mengira waktu dan keadaan.
Jadilah kita hamba Allah yang sentiasa melazimi untuk meminta keampunan Allah baik dalam keadaan senang mahupun susah. Kerana hakikatnya siapa yang telah mendapatkan keampunan Allah, maka dia telah mendapatkan segalanya.
Firman Allah SWT:
إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا فَأُو۟لِىٓكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْـًۭٔا
Maksudnya: “Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun.” [Surah Maryam, ayat 60]
IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-385: KELEBIHAN ISTIGHFAR PADA PAGI HARI JUMAAT
5) Adakah boleh untuk istighfar bagi si mati yang telah meninggal dunia bagi memohon keampunan buatnya yang sudah berada di alam kubur? Adakah terdapat penjelasan berkaitan ini dalam Quran?
JAWAPAN:
Istighfar bagi si mati, atau memohon keampunan kepada Allah untuk orang yang telah meninggal dunia, adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam. Terdapat banyak dalil dari Al-Quran dan hadis yang menyokong tindakan ini.
Doa untuk Si Mati: Dalam Islam, salah satu bentuk hadiah yang dapat diberikan oleh orang yang masih hidup kepada yang telah meninggal adalah doa dan istighfar. Ini dijelaskan dalam pelbagai satu hadith Nabi SAW.
النبي ﷺ قال:
ما المَيِّتُ في القَبرِ إلَّا كالغَريقِ المُتَغَوِّثِ، يَنتَظِرُ دَعوةً تَلحَقُه مِن أبٍ، أو أُمٍّ، أو أخٍ، أو صَديقٍ، فإذا لَحِقَتْه كانتْ أحَبَّ إليه مِن الدُّنيا وما فيها، وإنَّ اللهَ عَزَّ وجَلَّ لَيُدخِلُ على أهلِ القُبورِ مِن دُعاءِ أهلِ الأرضِ أمثالَ الجِبالِ، وإنَّ هَديَّةَ الأحياءِ إلى الأمواتِ الاستِغفارُ لهم.
Maksudnya : Tidaklah mayat yang berada dalam kuburnya melainkan seperti orang yang tenggelam yang meminta pertolongan. Dia menunggu doa yang dikirimkan kepadanya dari seorang ayah, ibu, saudara, atau sahabat. Apabila doa itu sampai kepadanya, maka ia lebih dicintainya daripada dunia dan segala isinya. Sesungguhnya Allah SWT benar-benar memasukkan (kebaikan) kepada ahli kubur dari doa orang-orang yang hidup, sebanyak gunung-gunung yang besar. Sesungguhnya hadiah terbaik yang diberikan oleh orang yang masih hidup kepada yang telah meninggal dunia adalah istighfar untuk mereka. [HR Baihaqi, 7905]
Diriwayatkan oleh Ibn Abi Dunya dalam kitab Al-Qubur, dan dalam perkataannya: "Maka mereka dikabulkan", terdapat isyarat bahawa doa untuk orang mati akan memberi manfaat jika dikabulkan, maka hal ini mencegah dari pengertian yang bersifat mutlak. Namun, dapat dikatakan bahawa doa untuk orang mati dikabulkan sebagaimana yang disebutkan secara umum, dengan bersandar kepada keluasan rahmat Allah. Allah memuji mereka yang berdoa dengan firman-Nya:
وَٱلَّذِينَ جَآءُو مِنۢ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَا تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلًّۭا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌۭ رَّحِيمٌ
Maksudnya : Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu. [Surah Al Hasr : 10]
Dalam konteks ini, istighfar bukan hanya sekadar ucapan tetapi juga merupakan permohonan tulus kepada Allah untuk mengampuni dosa-dosa si mati. Ini penting kerana setiap individu akan diminta pertanggungjawaban atas amal perbuatannya di akhirat.
Kesimpulannya, doa dan istighfar dari yang hidup kepada yang telah meninggal dunia sangat dianjurkan dalam Islam, dengan didasari beberapa riwayat yang walaupun terdapat kelemahan pada sebahagiannya, namun maknanya didukung oleh prinsip keluasan rahmat Allah.
6) Apakah istighfar boleh menghidupkan rasa syukur dalam diri manusia?
JAWAPAN:
Istighfar, atau memohon ampun kepada Allah, memiliki peranan penting dalam membangkitkan rasa syukur dalam diri manusia. Tindakan ini bukan hanya sekadar pengakuan atas kesalahan, tetapi juga merupakan proses yang mendalam yang dapat membawa kepada kesedaran dan penghargaan terhadap nikmat yang telah diberikan oleh Allah.
Hubungan Istighfar dan Rasa Syukur
Kesadaran Diri : Dengan beristighfar, seseorang menjadi lebih sedar akan kesalahan dan dosa yang telah dilakukan. Kesedaran ini mendorong individu untuk menghargai rahmat dan kebaikan Allah dalam hidup mereka. Ketika kita menyedari betapa banyaknya nikmat yang diberikan, rasa syukur secara semula jadi akan muncul.
Pembersihan Hati: Istighfar membantu membersihkan hati dari noda-noda dosa. Hati yang bersih cenderung lebih terbuka untuk merasakan dan menghayati nikmat-nikmat Allah. Ini selaras dengan firman Allah dalam Surah Nuh,
فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًۭا
Maksudnya : Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. [Surah Nuh : 10]
Mendapat Rahmat: Proses beristighfar juga membawa kepada rahmat Allah. Dalam konteks ini, seseorang yang sering beristighfar akan merasakan kehadiran Allah dalam hidupnya dan merasai kasih sayang-Nya, yang pada gilirannya menumbuhkan rasa syukur
Kesimpulannya,, istighfar dapat menghidupkan rasa syukur dalam diri manusia dengan cara meningkatkan kesedaran akan kesalahan, membersihkan hati, dan membuka pintu rahmat dari Allah. Melalui amalan ini, individu dapat merasakan kehadiran nikmat Allah dalam kehidupan mereka dan mengembangkan sikap syukur yang mendalam terhadap segala kebaikan yang telah diberikan.
7) Bagaimanakah pengamalan zikir istighfar ini pada Rasulullah SAW. Adakah terdapat nas yang menetapkan bilangan2 tertentu apabila beristighfar?
JAWAPAN:
Terdapat beberapa riwayat dan nas tentang amalan Nabi Muhammad SAW berkaitan istighfar. Antaranya:
Istighfar lebih 70x sehari
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [HR al-Bukhari, 6307]
Istighfar sebanyak 100x
إِنْ كُنَّا لَنَعُدُّ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَجْلِسِ الْوَاحِدِ مِائَةَ مَرَّةٍ
"رَبِّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَىَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ"
Maksudnya: "Kami dahulu menghitung (ucapan) Rasulullah ﷺ dalam satu majlis sebanyak seratus kali: Rabbighfir li wa tub 'alayya innaka anta At-Tawwab Ar-Rahim (Ya Tuhanku, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang)."
Membaca Sayyidul istighfar
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ،
وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ
بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. [HR al-Bukhari, 6306]
https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/941-irsyad-al-hadith-siri-ke-168-penghulu-segala-istighfar
8) Dari segi psikologi, adakah istighfar ini membantu dalam memperbaiki kerohanian dan jasmani seseorang yang sedang di fasa terendah dalam hidupnya?
JAWAPAN:
Dari sudut pandang psikologi, istighfar atau memohon keampunan kepada Allah memiliki banyak manfaat positif terhadap kesejahteraan mental dan emosi seseorang.
Amalan ini bukan sahaja bersifat spiritual, tetapi juga memberi kesan mendalam dalam membentuk ketenangan jiwa dan keseimbangan psikologi.
Berikut adalah beberapa sudut pandang psikologi berkenaan istighfar:
Mengurangkan Rasa Bersalah dan Penyesalan
Rasa Bersalah: Apabila seseorang melakukan kesalahan, perasaan bersalah boleh menjadi beban emosi yang berat. Istighfar membantu melepaskan rasa bersalah dengan memberi peluang kepada individu untuk memperbetulkan diri secara spiritual dan mental.
Self-Compassion (Belas Kasihan Diri): Dengan beristighfar, seseorang belajar memaafkan diri sendiri dan memahami bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.
Mengurangkan Stres dan Keresahan
Efek Ketenteraman (Calming Effect): Mengucapkan istighfar secara berulang mencipta kesan menenangkan yang serupa dengan teknik mindfulness (kesedaran penuh) atau meditasi.
Mengalihkan Fokus: Fokus kepada ucapan istighfar mengalihkan perhatian daripada pemikiran negatif yang boleh mencetuskan stres.
Membina Kesedaran Diri (Self-Awareness)
Self-Improvement: Ia mencetuskan motivasi untuk menjadi insan yang lebih baik dengan mengakui kesilapan lalu.
Meningkatkan Hubungan Sosial dan Empati
Pengakuan dan Maaf: Amalan istighfar melatih individu untuk mengakui kesilapan dan memohon maaf, yang merupakan asas penting dalam memperbaiki hubungan sosial.
Mengurangkan Simptom Trauma dan Tekanan Emosi
Proses Penyembuhan: Bagi mereka yang mengalami trauma atau kesilapan besar, istighfar membantu dalam proses pemulihan dengan memberikan harapan bahawa perubahan positif adalah mungkin.
Harapan dan Keampunan: Konsep keampunan dalam istighfar memberikan keyakinan bahawa setiap individu berhak untuk berubah dan memperbaiki diri.
Kesimpulannya, istighfar adalah amalan yang membawa penyucian jiwa dan pembebasan emosi negatif.
Ia membantu seseorang memaafkan diri sendiri, mengurangkan stres, dan mendorong pertumbuhan peribadi yang positif.
Dari perspektif psikologi, istighfar berfungsi sebagai alat penenang diri dan pengurusan emosi yang berkesan.
Amalan ini bukan sekadar ritual, tetapi memiliki impak terapeutik (healing) yang signifikan dalam membina kesejahteraan mental yang lebih baik.
Hari jumaat sering dikaitkan dengan kelebihan dan sunnah-sunnah ketika hari tersebut termasuklah perbanyakkan istighfar. Apakah terdapat kelebihan lain jika beristighfar di hari Jumaat, ustaz?
JAWAPAN:
Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” [HR Ibn al-Sunni, 83]
Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif. Walaupun hadis tersebut dinilai dhaif, tetapi terdapat banyak dalil yang bersifat umum menuntut untuk kita memperbanyakkan istighfar dalam setiap masa dan keadaan.
Adapun berkaitan makna seperti buih-buih lautan adalah kinayah banyaknya dosa dan dosa-dosa yang diampunkan ini adalah dosa-dosa kecil yang berkaitan dengan hak-hak Allah SWT. [Al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 143/2]
Imam al-Nawawi menyatakan disunatkan kepada kita untuk memperbanyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain. Selain itu, kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. [Lihat: al-Azkar, 85]
Selain itu, istighfar mempunyai banyak kelebihan sebagaimana yang riwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. [HR Abu Daud, 1518]
Sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan, perlulah melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita.
Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa melazimi istighfar serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga.
10) Mengapakah Rasulullah SAW mengamalkan istighfar sedangkan diri baginda sudah dijamin syurga oleh Allah SWT?
JAWAPAN:
Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ حَتَّى تَتَفَطَّرَ قَدَمَاهُ فَقَالَتْ عَائِشَةُ لِمَ تَصْنَعُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَقَدْ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ " أَفَلاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا "
Maksudnya: “ Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab: “Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur?” [HR al-Bukhari, 4837]
Berdasarkan hadis, walaupun Rasulullah SAW adalah maksum (terpelihara daripada dosa), baginda tetap mengamalkan istighfar sebagai tanda kehambaan yang sempurna. Istighfar baginda menunjukkan rasa rendah diri dan ketergantungan mutlak kepada Allah SWT.
Amalan istighfar rasulullah SAW menjadi pengajaran bahawa manusia harus sentiasa memohon keampunan Allah, kerana setiap manusia tidak lepas daripada dosa dan kelemahan.
Maka sebagai umat Islam, hendaklah mencontohi sikap nabi SAW dalam melaksanakan ibadah daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara kerana setiap yang dilakukan Nabi SAW pasti terdapat hikmah di sebaliknya yang boleh kita teladani dalam mengharungi kehidupan di dunia mahupun bekalan ke akhirat kelak.
