ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
Soal & Jawab
- Penerbit : Adib
SOALAN PENONTON
1) Solat merupakan inti dalam nasihat lukman al hakim. Dalam banyak hal, solat secara literal akan menjauhkan seseorang dari maksiat. Tetapi kenapa realiti sekarang kadang2 anak kita yang bersolat juga berbuat jahat dan bermaksiat. Menderhakai ibu dan ayah. Dimana silapnya ustaz?
JAWAPAN:
Firman Allah SWT yang merakamkan pesanan Luqman Al-hakim tentang solat:
يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ
Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” [Surah Luqman, ayat 17]
Solat merupakan amalan yang pertama yang akan dihisab. Bahkan solat ialah amalan yang akan menghubungkan antara manusia dan Allah. Semestinya solat memberikan kesan yang besar kepada jiwa, akal dan diri seorang manusia.
Antara fungsi dan impak ibadah solat ialah:
Mencegah manusia dari melakukan kemungkaran dan kejahatan.
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya: “sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ankabut, ayat 45]
Menjadikan seseorang tergolong dalam golongan yang berjaya.
قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ (1) ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ (2)
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (1). Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya (2).” [Surah al-Mukminun, ayat 1-2]
Jalan memohon pertolongan dan bantuan Allah.
وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلْخَـٰشِعِينَ
Maksudnya: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” [Surah al-Baqarah, ayat 45]
Mendekatkan dan mengingatkan manusia terhadap Allah.
إِنَّنِىٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدْنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكْرِىٓ
Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
Namun, apakah puncanya jika solat yang didirikan tidak memberikan impak seperti yang disebutkan dalam al-Quran. Semestinya kekurangan tersebut tidaklah datang daripada pensyariatan agama, namun ia pasti datang dari kekurangan kita yang melaksanakan perintah dan syariat tersebut.
Maka hendaklah diteliti beberapa perkara terhadap pelaksanaan ibadah solat tersebut:
Tatacara pelaksanaan solat dari sudut sebelum (wuduk), semasa dan selepas. Hendaklah dilakukan dengan tepat, tertib dan tidak sambil lewa.
Khusyuk dalam solat, mengosongkan fikiran daripada selain Allah, dan menghadirkan jiwa dalam solat. Dengan kekuatan hubungan dalam solat ini pasti memberikan kesan terhadap emosi dan mental seseorang dalam kebergantungannya terhadap Allah.
Menjaga diri dari mengambil yang haram yang akhirnya boleh menghilangkan nikmat dan kesan ibadah, sehingga menghalangnya dari diterima disisi Allah.
Seseorang yang telah melakukan ibadah solat namun tetap melakukan kemungkaran berpunca dari beberapa faktor:
Tidak menghayati ibadah solat. Sama ada solat sekadar menjadi rutin atau buat dalam keadaan terpaksa.
Tidak menambah ilmu fiqh berkaitan solat sehingga melakukan kesilapan yang memberi kesan kepada sahnya solat.
Pengaruh orang sekeliling dan tidak mampu menahan diri dan nafsu dari melakukan kemungkaran.
Ingatlah satu pesan Nabi:
اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah kejahatan itu dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya, dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” [HR Tirmizi, 1987]
Seseorang yang mempunyai kekuatan iman akan mampu menjadikan ibadahnya sebagai perisai daripada melakukan kemungkaran. Dan iman yang akan menjadi kuat dan meingkat dengan melakukan ketaatan, dan akan lemah serta menurun dengan melakukan kemaksiatan.
2) Mengapa nasihat untuk menjauhi syirik menjadi keutamaan dalam didikan Luqman kepada anaknya?
Bagaimana kita boleh memastikan anak-anak memahami konsep tauhid dengan cara yang sesuai untuk zaman kini?
Apakah contoh situasi di mana seseorang tanpa sedar boleh melakukan syirik?
JAWAPAN:
Akidah dan keimanan kepada Allah ialah cabang utama dalam agama. Seseorang yang tidak beriman tidak akan diterima disisi Allah walaupun dia seorang yang banyak melakukan kebaikan. Kebaikannya akan menjadi sia-sia dan tidak dikira.
Bahkan syirik ialah satu-satunya dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah, sedangkan dosa lain walau sebanyak manapun akan diampunkan oleh Allah.
Firman Allah:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” [Surah an-Nisa, ayat 116]
Pendidikan akidah ialah pendidikan utama yang perlu diberikan kepada anak, sebelum anak mengenal pengetahuan lain. Anak mesti didedahkan tentang siapakah Tuhan yang layak disembah, siapakah yang berkuasa mencipta seluruh alam dan sebagainya.
Antara cara pendidikan Tauhid yang sesuai digunakan dalam masa kini, ianya bergantung kepada tahap dan umur anak-anak:
Perbualan dan persoalan tentang penciptaan Allah. Ibu bapa boleh mengajak anak berfikir tentang kehebatan Allah dalam mencipta anggota badan manusia, bukit bukau, hujan dsb.
Mengajar anak untuk meminta hanya kepada Allah. Perkara ini akan membiasakan anak untuk meletakkan rasa kebergantungan hanya kepada Allah, dalam pada dia mengenali dan menghayati sifat kebesaran dan kehebatan Allah.
Bagi anak yang sudah beranjak dewasa, ibu bapa boleh mengajak anak untuk menyertai kelas pengajian Tauhid yang pada masa kini sudah divariasikan cara penyampaiannya agar mudah difahami oleh masyarakat.
Syirik terbahagi kepada beberapa jenis seperti yang telah disebutkan dalam kitab al-Muqaddimat oleh Imam al-Sanusi:
Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi yang mempercayai adanya Ahura Mazda dan Angra Mainyu.
Syirik tab’id: Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain.
Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ianya memerlukan perincian, jika kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasik dan ahli bid’ah.
Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT. Ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara Ijmak.
Namun, terdapat situasi seseorang boleh melakukan syirik tanpa sedar. Antaranya ialah apabila seolah-olah ‘mempertuhankan’ gajet, budaya dan ideologi yang merosakkan sehingga menjejaskan pegangan iman dan kepercayaan agama.
Ibu bapa hendaklah mengawasi situasi ini dengan bijak. Gajet dan teknologi moden sememangnya memberi manfaat yang besar kepada kita, namun jika ia disalahgunakan ia akan memberi kesan negatif terhadap pemahaman agama dalam diri anak-anak.
3) Apakah relevansi sifat kesederhanaan Luqman dalam dunia yang semakin materialistik? Bagaimana nasihat Luqman tentang kesederhanaan boleh membantu menangani isu tekanan hidup moden?
JAWAPAN:
Nasihat ini dirakamkan dalam firman Allah SWT:
وَٱقْصِدْ فِى مَشْيِكَ وَٱغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلْأَصْوَٰتِ لَصَوْتُ ٱلْحَمِيرِ
Maksudnya: "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai". [Surah Luqman, Ayat 19]
Luqman menasihati anak-anaknya untuk bersederhana dalam tindakan dan juga perkataan.
Allah SWT tidak suka kepada hamba-hambanya yang bersikap Takabbur kerana hanya Allah sahaja yang layak bersifat demikian dengan namanya الْمُتَكَبِّرُ.
Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Maksudnya: "Tidak akan masuk ke syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah perasaan sombong." [HR Muslim, 91]
Apabila kita semua mengamalkan sikap kesederhanaan dalam hidup seperti:
Tidak boros dalam berbelanja.
Bersabar dan tidak meninggikan suara.
Tidak menunjuk-nunjuk kesenangan hidup di sosmed.
Dan lain-lain.
Maka ia akan membantu membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan bertanggungjawab seperti:
Tidak mengejar lifestyle yang berlebihan sehingga menyebabkan terbeban dengan hutang yang banyak (Personal & Car Financing, Credit Card dll).
Kurang berlaku perselisihan faham dan pergaduhan (di kedai makan, jalan raya) dan melahirkan masyarakat yang memaafkan.
Bersyukur dengan apa yang diberikan Allah kepada dirinya dan keluarganya tanpa perlu membandingkan dengan orang lain di sosmed.
4) Bagaimana konsep bersyukur dalam kehidupan Luqman Al-Hakim boleh diaplikasikan dalam kehidupan moden?
JAWAPAN:
Syukur ialah memanjatkan puji-pujian kepada Allah SWT, mematuhi perintah dan larangan-Nya serta mempergunakan segenap anggota tubuh sesuai dengan fungsi dan tujuan ia diciptakan, iaitu mempergunakannya untuk perkara-perkara yang baik. [Tafsir al-Munir, Jil. 11, Hlm. 164]
Nasihat Luqman ini dirakamkan Allah SWT dalam firmannya:
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا لُقْمَـٰنَ ٱلْحِكْمَةَ أَنِ ٱشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌۭ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” [Surah Luqman, Ayat 12]
Jika seseorang itu bersyukur ATAU kufur kepada nikmat yang diberikan, ianya berbalik kepada orang tersebut sahaja, tanpa menambah mahupun mengurangkan kekuasaan dan keagungan Allah SWT walaupun sedikit.
Dalam kehidupan zaman kini, syukur perlu diterapkan ke dalam diri setiap individu bagi mewujudkan masyarakat yang baik dan dirahmati Allah. Antaranya:
Menggunakan Teknologi untuk Kebaikan.
Gunakan media sosial untuk menyebarkan mesej positif, bukan keluhan dan perkara-perkara yang dilarang.
Kongsikan perkara yang menginspirasikan orang lain, seperti kisah pencapaian atau penghargaan kepada orang tersayang.
Berbakti kepada Orang Lain.
Menjadi sukarelawan di komuniti atau menyumbang kepada NGO sebagai tanda syukur atas kelebihan yang dimiliki.
Membantu mereka yang memerlukan, seperti berkongsi rezeki kepada fakir miskin, mualaf, atau mereka yang menghadapi kesukaran hidup.
Berjimat dan Mengelakkan Pembaziran.
Menghargai nikmat dengan mengelakkan pembaziran makanan, tenaga, dan masa.
Membeli barangan yang diperlukan sahaja, serta menyumbangkan barangan yang berlebihan kepada mereka yang memerlukan.
Menjaga Kesihatan Tubuh dan Mental.
Menghargai tubuh badan dengan menjaga kesihatan melalui pemakanan sihat dan senaman.
Bersyukur atas ketenangan mental dengan mengamalkan rehat yang cukup dan menjauhi stres yang tidak perlu.
Memanfaatkan Masa untuk Ilmu.
Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sebagai tanda syukur atas peluang yang diberikan.
Menggunakan peluang pembelajaran secara atas talian, webinar, atau membaca untuk terus maju dalam kehidupan.
Bersyukur dalam Hubungan dengan Orang Lain.
Menghargai keluarga, rakan, dan kenalan dengan menunjukkan kasih sayang dan menghormati mereka.
Mengucapkan terima kasih kepada orang sekeliling untuk kebaikan mereka, walaupun kecil.
Merendahkan ego dan meminta maaf / memaafkan orang lain.
5) Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimana nasihat Luqman al hakim boleh membantu menangani isu anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa?
Dalam situasi di mana ibu bapa menyuruh kepada perkara yang salah, bagaimana seorang anak boleh tetap menghormati mereka?
JAWAPAN:
Tanggungjawab anak kepada ibu bapa adalah perkara yang sangat penting dan berkait rapat dengan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan dalam Islam.
Nasihat Luqman al-Hakim memberikan panduan jelas untuk mendidik anak-anak supaya memahami peranan mereka sebagai anak yang bertanggungjawab kepada ibu bapa, tetapi berlandaskan syariat.
Tanda syukur terhadap jasa ibu bapa ialah dengan melayani keduanya serta menunaikan hak-hak mereka.
Ibu yang mengandung dan menyusu perlu dihargai kerana ia merupakan pengorbanan yang amat besar. Kesedaran tentang pengorbanan ibu bapa membangkitkan rasa syukur dalam diri anak-anak.
Anak-anak yang memahami betapa besar jasa ibu bapa akan lebih menghargai mereka dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas tanpa mengabaikan ibu bapa yang telah berkorban segalanya untuk membesarkan dan mendidik anak-anak.
Namun, dalam masa yang sama, pesanan Luqman al-Hakim menegaskan bahawa, hak-hak ibu bapa hanya perlu ditunaikan seandainya tidak membawa menyekutukan Allah SWT.
Sekiranya mereka menyuruh kepada mensyirikkan Allah SWT, maka tiada ketaatan dan kepatuhan dalam perkara tersebut namun Allah memerintahkan supaya mereka(ibu bapa) tetap dilayan dengan baik. Firman Allah:
وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي ٱلدُّنْيَا مَعْرُوفًۭا
Maksudnya: “Dan jika mereka berusaha mendesakmu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; namun bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” [Surah Luqman, ayat 15]
Justeru , bagi anak-anak yang menghadapi situasi tersebut, hendaklah memegang beberapa prinsip dalam diri untuk menghadapi ibu bapa mereka. Antaranya ialah:
Tidak taat dalam perkara maksiat
Anak-anak perlu menolak secara baik terhadap perkara yang disuruh oleh ibu bapa yang mana ianya adalah perkara yang membawa kepada kemaksiatan dan dosa.
Tetap berbuat baik kepada ibu bapa
Walaupun anak-anak tidak taat kepada ibu bapa dalam perkara maksiat itu, namun anak-anak hendaklah wajib menghormati ibu bapa dengan melayani mereka secara baik, tidak berkata kasar dan keji kerana ia merupakan adab sebagai anak terhadap ibu bapa.
Menasihati ibu bapa dengan hikmah
Anak-anak boleh menggunakan cara yang lemah lembut untuk memberi kefahaman kepada ibu bapa, sama ada melalui kata-kata nasihat, atau membawa mereka kepada ilmu yang benar tentang apa yang disuruh itu adalah perkara yang salah di sisi syarak.
Berdoa dan memohon pertolongan Allah
Doa adalah senjata bagi orang mukmin.
Justeru, anak-anak perlu berdoa agar Allah SWT melembutkan hati dan membuka hati ibu bapa mereka untuk kembali kepada jalan kebenaran.
Oleh itu, ibu bapa tetaplah perlu dihormati oleh anak-anak kerana mentaati ibu bapa bukan sahaja membawa keberkatan dalam kehidupan di dunia, tetapi juga menjadi amal yang besar ganjarannya di akhirat kelak.
6) Apa cabaran utama masyarakat masa kini dalam menegur kesalahan orang lain?
Bagaimana sifat sabar dalam menasihati orang lain dapat mengelakkan konflik?
JAWAPAN:
Menegur kesalahan orang lain adalah sebahagian daripada tanggungjawab seorang Muslim untuk saling memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
Firman Allah SWT:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” [Surah Ali-Imran, ayat 104]
Namun, terdapat pelbagai cabaran masyarakat dalam menegur kesalahan orang lain antaranya ialah:
Bimbang teguran akan mencetuskan konflik sesama sendiri
Teguran sering dianggap sebagai serangan peribadi atau mencampuri urusan orang lain.
Ramai individu menghindari untuk menegur kerana bimbang akan berlaku pergaduhan.
Media sosial sering digunakan sebagai platform untuk menegur secara terbuka, tetapi ini boleh menyebabkan individu yang ditegur merasa malu atau diserang.
Sikap tidak mahu ambil peduli semakin menular
Hal ini memberi kesan kepada masyarakat menjadi pasif dalam menegur kesalahan seseorang.
Orang yang ditegur tidak menerima teguran
Kerana seseorang itu kurang terbuka atau ego dalam menerima teguran dari orang lain dan merasa dirinya sahaja yang sentiasa betul.
Dalam Islam, setiap perkara atau tindakan yang dilakukan oleh manusia menuntut rasa penuh sabar kerana ia mengukur sejauh mana ketakwaan dan keredaan kita kepada Allah SWT.
Sabar bukanlah perkara yang mudah untuk diterapkan dalam kehidupan setiap hari, tetapi dengan memiliki sifat sabar, masalah yang kita hadapi akan menjadi terasa lebih ringan, dengan sabar masalah yang kita hadapi boleh diselesaikan dengan lebih baik. Firman Allah SWT:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” [Surah al-‘Asr, ayat 3]
Selain iu, sifat sabar akan:
Mengawal emosi dari bertindak secara melulu dalam sesuatu perkara atau keputusan.
Memberi ruang untuk seseorang memahami situasi / masalah
Mencerminkan akhlak yang mulia sesama insan
Membantu teguran diterima dengan baik
Membolehkan seseorang memberi masa terhadap orang yang ditegur untuk melakukan perubahan.
Oleh itu, dengan kita bersabar dan yakin kepada Allah, ia akan menjadikan seorang hamba itu lebih reda menangani setiap masalah yang dihadapi.
7) Mengapa Luqman menekankan bahawa Allah Maha Mengetahui walaupun perkara sekecil biji sawi?
Bagaimana ayat ini mengajarkan keimanan kepada keadilan Allah dalam setiap perkara, baik yang kecil mahupun besar?
JAWAPAN:
Allah merakamkan kata-kata Luqman melalui firman-Nya:
يَـٰبُنَىَّ إِنَّهَآ إِن تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍۢ مِّنْ خَرْدَلٍۢ فَتَكُن فِى صَخْرَةٍ أَوْ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ أَوْ فِى ٱلْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: “(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.” [Surah Luqman, ayat 16]
Imam al-Sam’ani dalam tafsirnya menukilkan tafsiran al-Hasan al-Basri:
قَالَ الْحسن الْبَصْرِيّ: معنى الْآيَة: هُوَ الْإِحَاطَة بالأشياء صغيرها وكبيرها
Maksudnya: “Berkata al-Hasan al-Basri: Maksud dari ayat berkenaan: Iaitu liputan (ilmu) akan segala sesuatu sama ada yang kecil mahupun yang besar.” [Tafsir al-Sam’ani, 1997. Riyadh: Dar al-Watan. Jil. 4, hlm. 232]
Dapat difahami bahawa disebutkan sekecil-kecil perkara bagi menggambarkan liputan pengetahuan Allah SWT merangkumi segala sesuatu.
Ia juga disokong oleh ayat lain seperti:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًۭا يَرَهُۥ ٧ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍۢ شَرًّۭا يَرَهُۥ ٨
Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” [Surah al-Zalzalah, ayat 7-8]
Maka, sebagai seorang beriman, kita sama sekali tidak boleh meremehkan sesuatu kebaikan mahupun keburukan walau sekecil-kecil perkara.
Kerana kita meyakini bahawa liputan ilmu Allah SWT amatlah luas akan segala sesuatu.
Bahkan, baginda Nabi SAW juga turut berpesan:
لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ
Maksudnya: “Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu.” [HR Muslim, 4760]
8) Apakah perbezaan antara ilmu pengetahuan dan hikmah dalam konteks nasihat Luqman?
Mengapa hikmah lebih penting daripada sekadar kepandaian atau kepakaran teknikal?
JAWAPAN:
Ilmu merupakan pengetahuan akan sesuatu.
Manakala hikmah adalah kebijaksanaan atau kecerdikan.
Dalam tradisi ilmu Islam berdasarkan tafsiran Qu’ran dan Hadis, ‘hikmah’ difahami sebagai suatu ilmu yang dikurniakan Tuhan kepada hambaNya yang terpilih.
Ilmu diperoleh dengan menuntut ilmu atau belajar.
Manakala hikmah dikaitkan sebagai anugerah atau pemberian dari Allah SWT.
Antara dalil berkenaan hal ini:
هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلْأُمِّيِّـۧنَ رَسُولًۭا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ
Maksudnya: “Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak).” [Surah al-Jumu’ah, ayat 2]
Ayat lain pula:
وَأَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُن تَعْلَمُ ۚ وَكَانَ فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكَ عَظِيمًۭا
Maksudnya: “dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.” [Surah al-Nisa’, ayat 113]
Pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya ini mengingatkan kita kepada perkembangan moden dunia hari ini iaitu ketika kita menghadapi krisis dan konflik antara ilmu dan hikmah, atau antara ilmu dan penghayatan nilai murni dan akhlak yang terbit dari mental dan hati nurani manusia.
Kemantapan ilmu pada seseorang itu belum tentu dapat menjamin penghayatan nilai-nilai moral yang baik dari orang yang sama.
Para cendekiawan adalah mampu memberi ilmu pengetahuan kepada pelajarnya, tetapi dengan ilmu itu belum tentu ia sekaligus dapat menerapkan nilai akhlak yang baik ke dalam diri pelajar tersebut.
Oleh itu Luqman al-Hakim meminta anaknya mendampingi “hukamak” iaitu para ahli hikmah yang dapat mendidiknya menghayati dan mempraktikkan semangat dan nilai-nilai akhlak yang baik, sesuai dengan ketinggian ilmunya. https://www.ikim.gov.my/index.php/1998/10/16/pelajar-berilmu-dan-berhikmah/
https://www.ikim.gov.my/index.php/2018/09/24/ilmu-hikmah-jadi-inspirasi/
