Adakah perbuatan menghukum orang lain itu sepenuhnya salah? Bagaimana jika seseorang menunjukkan maksiat secara terang-terangan?
JAWAPAN :
Menilai dan menghukum orang lain secara asasnya tidak salah kerana manusia diberikan akal untuk menilai. Namun, apa yang salah ialah apabila penilaian itu disertai dengan prasangka buruk (su'uzan), merendahkan, mengumpat, atau bersikap sombong. Islam melarang kita mencari aib (tajassus).
Perlu dibezakan antara Firasat (melihat tanda nyata dan berhati-hati tanpa menuduh) dan Sangka Buruk (menilai berdasarkan dengki dan niat jahat). Menghukum menjadi salah apabila kita menambah-nambah cerita atau memperlekehkan orang lain tanpa fakta yang jelas.
Allah SWT berfirman mengenai bahaya menyebarkan berita tanpa ilmu:
إِذْ تَلَقَّوْنَهُۥ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” [Surah al-Nur, ayat 15]
Boleh ustaz kongsikan bagaimana Rasulullah SAW berinteraksi orang yang berbuat silap tanpa menghakimi mereka sebagai teladan bagi kita semua?
JAWAPAN :
Rasulullah SAW menunjukkan sifat rahmah dan solusi, bukan penghinaan. Contohnya dalam kisah Arab Badwi yang kencing di masjid:
دَعُوهُ، وَأَهْرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ ... فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ
Maksudnya: “Biarkan dia, dan siramkan ke atas kencingnya itu air yang mengalir... sesungguhnya kalian diutus untuk memudahkan, bukan diutus untuk menyukarkan.” [HR al-Bukhari, 6128]
Begitu juga kisah lelaki yang bersetubuh di siang hari Ramadhan. Nabi SAW tidak memarahinya, malah membantunya menyelesaikan kafarah:
فَأُتِيَ النَّبِيُّ ﷺ بِعَرَقٍ فِيهِ تَمْرٌ ... قَالَ: أَطْعِمْ هَذَا أَهْلَكَ
Maksudnya: (Setelah lelaki itu mengaku tidak mampu berpuasa 2 bulan atau memberi makan orang miskin), dibawakan kepada Nabi sebekas kurma... Nabi bersabda: "Beri makan (kurma ini) kepada keluargamu." [HR al-Bukhari, 1936]
Baginda memberikan solusi praktikal dan menjaga maruah pesalah, memastikan mereka tetap dapat melaksanakan syariat.
Bagaimana budaya “cancel” dalam masyarakat moden bercanggah dengan konsep rahmah dalam Islam?
JAWAPAN :
Budaya "cancel" menyerupai perbuatan memulau yang dilarang jika melebihi 3 hari, kerana ia menyekat rahmat dan pengampunan Allah. Pintu syurga dibuka Isnin dan Khamis untuk pengampunan, kecuali bagi mereka yang bersengketa.
لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثٍ ، فَمَنْ هَجَرَ فَوْقَ ثَلَاثٍ فَمَاتَ دَخَلَ النَّارَ
Maksudnya: “Tidak dihalalkan seorang muslim memulau sesama muslim lebih dari tiga malam, maka siapa yang memulau lebih dari tiga malam lalu mati, masuk ke dalam api neraka.” [HR Abu Daud, 4914]
Budaya ini juga sering menggunakan pembunuhan karakter (character assassination) dan fitnah, menyamai tuduhan "gila" atau "ahli sihir" terhadap para Nabi terdahulu untuk mematikan hujah:
كَذَٰلِكَ مَآ أَتَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِم مِّن رَّسُولٍ إِلَّا قَالُواْ سَاحِرٌ أَوۡ مَجۡنُونٌ
Maksudnya: “...tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila.” [Surah az-Dzariyat, 52]
Islam menuntut Tabayyun (selidik) dan kebebasan intelektual yang beradab (Basirah), bukan mengikut membuta tuli atau memboikot tanpa batasan waktu.
Apakah pendapat ustaz tentang orang yang menggunakan kecaman dan bimbingan yang kasar dengan alasan agar seseorang mengambil serius usaha untuk berubah?
JAWAPAN :
Kekasaran bertentangan dengan metodologi dakwah Nabi SAW. Al-Quran menuntut seruan dengan hikmah, bukan paksaan atau penghinaan.
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik...” [Surah an-Nahl, 125]
Malah kepada Firaun yang melampaui batas pun, Allah memerintahkan Nabi Musa dan Harun berkata-kata dengan lembut:
قُولَا لَهُۥ قَوْلًۭا لَّيِّنًۭا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
Maksudnya: “...hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” [Surah Taha, 44]
Pendakwah perlu menjadi "Menara Hidayah" melalui akhlak (qudwah hasanah), bukan menakutkan orang. Kekasaran selalunya menutup pintu hati mad'u.
Mengapa masyarakat cepat mengaitkan kesilapan seseorang dengan kegagalan dirinya dalam beragama secara keseluruhan?
JAWAPAN :
Ini berpunca daripada mentaliti "hitam putih" (perfectionism), budaya viral yang sukakan sensasi, dan penyakit hati seperti ujub (rasa diri lebih baik). Kita dilarang bersangka buruk yang melampau.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan... kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa...” [Surah al-Hujurat, 12]
Kita perlu ingat bahawa manusia sentiasa melakukan kesilapan, dan pintu taubat sentiasa terbuka:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.” [HR Ibnu Majah, 4392]
Budaya melabel "gagal agama" hanya membuat orang menjauh. Sepatutnya kita memudahkan (yassiru), bukan menyusahkan.
Kadang-kadang kita rasa nak menjauh daripada orang yang berbuat dosa. Bagaimana hendak mendidik diri agar tidak berat hati dan memandang remeh mereka yang berbuat salah?
JAWAPAN :
Amalkan prinsip Uzlah Jiwa, bukan Uzlah Jasad. Ertinya, hati membenci dosa, tetapi jasad kekal menyantuni masyarakat untuk berdakwah. Jangan sampai rasa "jauh dari dosa" bertukar menjadi sombong (ujub).
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ
Maksudnya: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah...” [Surah Ali-Imran, 110]
Tips mendidik diri:
- Tukar "lensa" dari Hakim kepada Doktor (merawat, bukan menghukum).
- Bezakan antara benci dosa vs benci pendosa.
- Buka "pintu kecil" kebaikan untuk mereka, kerana ramai yang buntu mencari jalan pulang.
- Ingatlah bahawa mengubah kemungkaran ada peringkatnya (tangan, lidah, hati), dan ia perlu dilakukan dengan rahmah.