SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

CERAH MASA DEPAN AKHIRAT

unnamed (4)
TANYALAH USTAZ: CERAH MASA DEPAN AKHIRAT

PENGENALAN

Hari ini kita sibuk merancang kerjaya, simpanan, rumah dan pencen. Tapi hampir tak pernah duduk dan bertanya: “bagaimana keadaan aku bila berdepan hisab nanti?” Al-Quran datang mengingatkan bahawa masa depan sebenar bukan yang nampak di dunia, tapi yang menunggu selepas mati.

Ditambah lagi dengan dunia moden yang menghamparkan seribu satu kelebihan, keindahan, kecantikan dan perhiasan moden, sehingga membuatkan kita keliru antara maju dunia kerana agama dan maju dunia kerana hati yang buta. Tanpa niat yang betul dan arah yang jelas, setiap usaha dan pengorbanan boleh menjadi sia-sia, walaupun kelihatan besar dan hebat di mata manusia.

Orang yang beriman tidak melihat dunia sebagai tujuan akhir seperti orang-orang kafir, tetapi mereka melihatnya sebagai ladang pahala untuk dituai di akhirat kelak.

DALIL / KISAH BERKAITAN

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu... Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” [Surah Ali ‘Imran, ayat 14]
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.” [Surah al-Kahfi, ayat 7]

HIKMAH

  • Dunia itu perhiasan dan ujian, bukan kayu ukur sebenar kehidupan.
  • Nikmat dan keselesaan boleh menjadi sebab kelalaian jika tidak dipegang dengan kekuatan iman.
  • Amal dan sumbangan yang kekal lebih berharga daripada harta atau pangkat.
  • Kejayaan akhirat dijamin dengan seberapa banyak kita memanfaatkan peluang yang kita miliki di dunia ini.

SOALAN PENONTON & PERBINCANGAN

Soalan 1
Ada yang terlalu sibuk dengan kerja, komitmen dan urusan hidup sampai tak ambil berat soal agama. Apakah nasihat Islam bagi orang yang begini?
JAWAPAN :

Inilah penyakit yang disebut sebagai panjang angan-angan atau tul al-amal (طول الأمل). Ia bermaksud terus-menerus mengejar dunia, terlalu terikat padanya, dan sering melupakan akhirat.

ذَرْهُمْ يَأْكُلُوا وَيَتَمَتَّعُوا وَيُلْهِهِمُ الْأَمَلُ ۖ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka).” [Surah al-Hijr, ayat 3]
Soalan 2
Kalau kita buat amal kebaikan ikut mood, adakah masih dikira baik berbanding tak buat langsung atau sebenarnya merugikan diri kita?
JAWAPAN :

Setiap amal kerana Allah tetap bernilai, namun isunya ialah ketiadaan istiqamah. Rasulullah SAW bersabda: "Amalan yang paling dicintai Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit." [HR al-Bukhari].

Ikut mood berpunca daripada kasal (malas). Seorang mukmin perlu bersegera (fastabiqul khairat) kerana kematian tidak menunggu mood kita.

Soalan 3
Macam mana nak jadikan gaya hidup kita seimbang, supaya dunia tak ketinggalan, akhirat pun dapat?
JAWAPAN :

Dunia dan akhirat tidak boleh dipisahkan. Zuhud bukan bermaksud miskin, tetapi hati yang tidak terikat dengan dunia. Gunakan dunia dengan minda akhirat melalui:

  • Luruskan niat dalam setiap perbuatan.
  • Jadikan hukum Allah sebagai sempadan.
  • Amanah dalam tanggungjawab dunia sebagai bekalan hisab.
  • Menilai kejayaan dengan reda Allah, bukan pandangan manusia.
Imam Malik menjelaskan maksud "jangan lupakan bahagianmu di dunia" ialah supaya engkau hidup, makan, dan minum tanpa kesempitan, selagi ianya halal dan tidak melalaikan daripada akhirat.

KESIMPULAN

Masa depan akhirat yang cerah dibina hari ini. Jadikan setiap nikmat dunia sebagai alat untuk mencapai keredaan-Nya, bukan beban yang melalaikan kita daripada tempat kembali yang abadi.

Scroll to Top