SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

BERDAMAI DENGAN DIRI SENDIRI

Soalan & Jawapan: Berdamai Dengan Diri Sendiri Bhg 1
Soalan 1
Ada masa lalu kita yang penuh kesilapan atau kelemahan. Bagaimana kita boleh memaafkan diri sendiri?
JAWAPAN :

Ada fasa dalam hidup di mana segala usaha seolah sia-sia. Setiap percubaan berakhir dengan kegagalan, dan rasa tidak berdaya mula menguasai diri. Perlahan-lahan, orang itu menarik diri dari persekitaran, menyendiri, dan menghabiskan waktu tanpa interaksi sosial, takut untuk dicemuh atau dinilai gagal lagi.

Hari-hari dipenuhi dengan penyesalan, membandingkan diri dengan orang lain, dan rasa rendah diri yang mendalam. Dalam kesunyian itu, jiwa merasa terkurung antara rasa bersalah terhadap diri sendiri dan kegagalan yang berulang, sehingga akhirnya timbul keperluan untuk belajar menerima kelemahan, memaafkan diri, dan melihat setiap kegagalan sebagai pelajaran untuk langkah seterusnya.

Implikasi psikologi dan spiritual:

  • Jiwa menjadi tertekan dan tidak tenteram.
  • Berisiko mengulangi kesilapan lama kerana emosi negatif terus mendominasi.
  • Dari perspektif Islam, ini tidak selaras dengan prinsip taubat dan pengampunan; Allah SWT menekankan ampunan dan pembebasan dari dosa setelah taubat.

Ada ketika kegagalan dan rasa benci terhadap diri sendiri tidak dizahirkan dengan luka di kulit, tetapi dengan hukuman mental yang berpanjangan. Seseorang mengulang-ulang kesalahan lama dalam fikirannya, mencela diri dengan kata-kata yang tidak pernah dia ucapkan kepada orang lain, dan menafikan hak dirinya untuk berehat, bergembira, atau berharap.

Ini juga satu bentuk self-harm secara mental, apabila seseorang menjadi hakim paling keras terhadap dirinya sendiri, seolah-olah masa lalu mesti terus dibayar dengan penderitaan hari ini. Dalam keadaan tertentu, tekanan emosi yang tidak diurus ini boleh mendorong seseorang menyakiti diri secara fizikal, bukan kerana dia mahu mati, tetapi kerana dia tidak tahu bagaimana mahu melepaskan sakit yang terpendam di dalam jiwa.

Islam melihat tubuh dan jiwa sebagai amanah. Apabila seseorang tidak memaafkan dirinya, dia sedang memutuskan hubungan rahmah dengan dirinya sendiri. Sedangkan Allah membuka pintu taubat dan pengampunan, tetapi hamba itu menutup pintu harapan untuk dirinya, lalu terus hidup dalam hukuman yang diciptanya sendiri.

Ingatlah bahawa kemaafan itu merupakan kunci kepada ketenangan dan perubahan yang akhirnya akan mengukir senyuman di hati orang-orang yang duka:

العفو زكاة النفس
Maksudnya: “Kemaafan itu ialah kesucian bagi jiwa.”

Definisi kemaafan:

  • Menurut Imam al-Ghazali: “(Iaitu) apabila seseorang berhak mendapatkan sesuatu (haknya), tetapi ia melepaskannya dan membebaskan orang itu daripada hukuman qisas atau denda.”
  • Imam al-Suyuti berkata: “Tidak mengambil tuntutan terhadap kesalahan.”

Menurut dua definisi ini, seseorang yang memaafkan dirinya sendiri itu:

  • Melupakan (dalam erti kata tidak membebankan diri memikirkannya sehingga overthinking) kesalahan atau kelemahan masa lalu.
  • Melepaskan diri daripada rasa bersalah, penyesalan, atau kemurungan (iaitu tidak membebankan diri sehingga hanyut dalam perasaan itu).
  • Tidak mencela dan memberatkan diri sendiri dan cuba memberi semangat pada hati.

Salah satu perkara penting yang perlu kita ingat ialah, kita manusia itu sememangnya lemah:

خُلِقَ ٱلْإِنسَٰنُ ضَعِيفًا
Maksudnya: “Manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.” [Surah al-Nisa’, ayat 28]

Setiap kegagalan memberi peluang untuk muhasabah diri, memperbaiki kelemahan, dan belajar daripada pengalaman. Dengan kesedaran ini, kita boleh memaafkan diri sendiri, menerima keterbatasan, dan berdamai dengan perjalanan hidup tanpa terus terperangkap dalam rasa bersalah atau putus asa.

Imam al-Sa’di mengatakan bahawa insan itu lemah pada segala perkara: “Dan itu kerana rahmat-Nya yang sempurna dan kebaikan-Nya yang menyeluruh, serta ilmu dan hikmah-Nya terhadap kelemahan manusia dari semua sudut: lemahnya tubuh, lemahnya kehendak, lemahnya tekad, lemahnya iman, lemahnya kesabaran. Oleh itu, Allah menyesuaikan (mengurangkan beban) apa yang melemahkan manusia, apa yang tidak mampu ditanggung oleh imannya, kesabarannya, dan kekuatannya.”

Tapi ini bukan bermakna kita perlu berkekalan dalam kelemahan. Kelemahan di sini pada satu sudut, di sudut yang lain kita merupakan ciptaan yang terhebat:

لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” [Surah al-Tin, ayat 4]

Imam al-Baghawi dan salah satu pendapat yang dinukilkan oleh Imam al-Mawardi ialah manusia itu diberikan akal untuk membezakan antara yang benar dan salah, dan kesempurnaan manusia ialah pada kesempurnaan akalnya.

Manifestasi seseorang yang memaafkan dirinya ialah apabila dia bangkit dengan peluang kedua yang dia miliki (selagi mana dia masih hidup) dan membaiki hidupnya ke arah yang lebih baik. Dia menggunakan segala peluang yang ada untuk membangun dirinya dan melihat dunia dengan kaca mata yang lebih indah. Seseorang yang memaafkan dirinya tidak menafikan kesalahan, tetapi dia juga tidak membiarkan kesalahan itu menentukan nilai hidupnya.

Soalan 2
Kadang-kadang bila jatuh ke lubuk yang paling dalam, kita terfikir kenapa Allah SWT takdirkan perkara ini berlaku kepada kita. Bagaimana kita belajar menghargai perjalanan hidup sebenar tanpa menyesal?
JAWAPAN :

Dalam situasi seperti ini, penting untuk menyedari bahawa setiap takdir Allah mempunyai hikmah yang mungkin tidak kita lihat pada awalnya. Kehidupan tidak semestinya berjalan mengikut rancangan kita, dan kegagalan, kehilangan, atau ujian bukanlah tanda Allah meninggalkan kita, tetapi cara-Nya mendidik jiwa agar lebih matang, sabar, dan bersyukur.

Allah SWT berfirman:

وَتِلْكَ ٱلْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ ٱلنَّاسِ
Maksudnya: “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran).” [Surah Ali ‘Imran, ayat 140]

Jika dilihat iktibar pada diri individu, ada hari yang kita diberi kelebihan dan berada di tempat tertinggi. Ada hari kita jatuh sejatuh-jatuhnya. Jika kita gagal dalam sesuatu itu, bukan bermakna kita tidak berguna atau ditinggalkan Allah SWT. Kelemahan dan kegagalan adalah sebahagian daripada fitrah manusia, yang mengingatkan kita untuk bergantung kepada-Nya, bersabar, dan terus berusaha.

Setiap kesusahan yang berlaku dalam hidup, setiap derita, setiap duka, sebenarnya sebuah wasilah yang Allah SWT tetapkan supaya seorang hamba itu diangkat ke tempat yang lebih tinggi, dengan syarat hamba tersebut perlu bersabar.

Allah SWT menyebutkan:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:” [Surah al-Baqarah, ayat 155]
  • Kalimah “ٱلْأَنفُسِ” (kekurangan jiwa): dengan kematian, kesakitan, tua, disisih ahli keluarga dan sahabat.
  • Kalimah “وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ” iaitu bersabar atas musibah yang menimpa.

Mereka inilah yang sifatnya:

ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” [Surah al-Baqarah, 156]

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengalami perkara sebegini. Di saat Nabi SAW ditimpa kesedihan bertalu-talu kerana pemergian dua insan tersayang: Khadijah RA yang selama ini menjadi tulang belakang dakwah Baginda SAW dan cinta hatinya, serta Abu Talib bapa saudaranya yang selama ini melindunginya dalam dakwahnya namun meninggal dunia dalam keadaan kufur.

Baginda turut berdakwah kepada penduduk Taif mengharapkan ada insan yang menerima dakwah Baginda, namun Baginda disambut dengan hinaan dan lemparan batu yang melukai tubuh suci Baginda SAW. Akhirnya, Allah SWT menggembirakan hati Rasulullah SAW dengan membawa Baginda dalam perjalanan Israk dan Mikraj. Di situlah Baginda memimpin jemaah para Nabi, bertemu dengan para Nabi (orang lama dalam dakwah) di setiap tingkatan langit, dan diangkat ke tempat yang tertinggi.

Dari satu sudut lain, kita perlu tahu dan akui bahawa kadang-kadang ada perkara yang buruk berlaku dalam hidup kita ialah kerana ia merupakan kesilapan kita sendiri di awalnya. Kita selalu menyangka orang lain dan situasi yang menzalimi kita, namun kita lupa bahawa kita juga menzalimi diri kita sendiri.

Dalam kisah Nabi Yunus AS:

وَذَا ٱلنُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِى ٱلظُّلُمَٰتِ أَن لَّآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ
Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".” [Surah al-Anbiya’, ayat 87]

Baginda AS meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah sedangkan Baginda tidak diperintahkan untuk berbuat demikian, dan menganggap Baginda tidak akan dikenakan akibat daripada perbuatannya. Allah SWT mentakdirkan Baginda ditelan dalam perut ikan Nun. Baginda AS tidak berdoa untuk diminta dikeluarkan, namun doa Baginda AS menunjukkan pengakuan seorang hamba terhadap kesilapannya.

Jika kita bertaubat dan bangkit semula daripada kesilapan, maka kita akan diberikan kemuliaan dan kebaikan. Seperti Nabi Muhammad SAW yang telah jatuh sejatuh-jatuhnya hingga tahun itu digelar Tahun Kesedihan, akhirnya diangkat setinggi-tingginya dan mendapat kemuliaan melebihi Jibril AS ketika Mikraj. Seperti Nabi Yunus AS yang telah jatuh sehingga terperangkap dalam kegelapan yang sangat di perut ikan Nun, Baginda AS mengaku kesilapan dan ditunjukkan kaumnya yang telah beriman.

Setiap detik dalam perjalanan hidup kita, semuanya terkandung hikmah meski manusia melihatnya dengan mata yang sempit. Namun, hikmah itulah yang menjadi kebaikan untuk manusia.

Soalan 3
Dalam memperbaiki diri, bagaimana kita boleh menghargai setiap usaha dan ikhtiar meskipun ianya kadang-kadang membawa kepada kegagalan?
JAWAPAN :

Dalam memperbaiki diri, penting untuk menyedari bahawa setiap usaha, walaupun kadang-kadang membawa kepada kegagalan, tetap bernilai. Tidak semua percubaan akan berhasil seperti yang diharapkan, dan itu adalah sebahagian daripada fitrah manusia.

Kegagalan bukan tanda bahawa kita lemah atau tidak berguna, tetapi peluang untuk melihat di mana kita boleh memperbaiki diri, menilai semula strategi, dan memahami batas kemampuan kita.

Kadang-kadang kita mudah menilai. Usaha yang dilakukan gagal, lalu kita terus meninggalkannya. Padahal, pada pandangan Allah, usaha kecil lebih bermakna berbanding hasil. Allah berfirman:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
Maksudnya : “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya).” [Surah al-Zalzalah, ayat 7]

Ayat ini cukup untuk mengingatkan kita bahawa apa sahaja usaha amal kebaikan, ia tidak akan sia-sia. Dalam ayat tersebut tidak menyebut hasil, tapi menyebut usaha iaitu “يَعْمَلْ”. Bahkan mungkin usaha itu menjadi penyebab turunnya rahmat Allah.

Setiap langkah yang diambil, walaupun kecil atau tidak sempurna, adalah manifestasi ikhtiar dan kesungguhan untuk berubah. Usaha itu sendiri adalah ibadah apabila diniatkan kerana Allah, dan nilai ikhtiar tidak hilang walaupun hasilnya belum terlihat.

Dengan kesedaran ini, seseorang boleh menghargai proses pertumbuhan diri, bukannya terlalu fokus pada hasil akhir atau membandingkan diri dengan orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

لا تحْقِرَنَّ من المعرُوفِ شيْئًا ، ولوْ أنْ تلْقَى أخاكَ بوجْهٍ طلْقٍ
Maksudnya : “Janganlah engkau meremehkan kebaikan sekecil apa pun, walaupun sekadar engkau bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang berseri-seri.” [HR Muslim, 2626]

Selain itu, menghargai usaha sendiri juga bermakna memberi ruang untuk diri belajar dari kesilapan tanpa terus menyalahkan diri sendiri. Kesabaran dan konsistensi dalam berikhtiar membentuk kedewasaan dalaman, memperkuat ketahanan emosi, dan mengajar kita bahawa perubahan sejati memerlukan masa.

Kesimpulannya, dalam memperbaiki diri, setiap usaha dan ikhtiar, walaupun kadang-kadang gagal, tetap bernilai di sisi Allah dan bermakna bagi perjalanan hidup kita. Kegagalan bukan pengakhiran, tetapi peluang untuk belajar, memperbaiki, dan menguatkan diri. Dengan menghargai proses, bersabar, dan memaafkan diri atas kelemahan lalu, kita mampu berdamai dengan diri sendiri, mengukuhkan keazaman, dan melangkah ke hadapan dengan hati yang lebih tenang dan jiwa yang lebih matang.

Soalan 4
Dalam menghadapi tanggungjawab besar atau cabaran hidup, bagaimana kita boleh menyeimbangkan usaha untuk berubah dengan keterbatasan dan kemampuan diri kita?
JAWAPAN :

Kita perlu menerima hakikat fitrah manusia yang diciptakan dalam keadaan lemah sebagai langkah awal untuk menyeimbangkan usaha dan kemampuan. Kesedaran ini penting agar kita tidak berlaku zalim ke atas diri sendiri dengan memikul beban di luar kemampuan.

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ
Maksudnya : “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” [Surah al-Baqarah, ayat 285]

Kunci menyeimbangkan usaha dengan keterbatasan diri ialah dengan mengenal pasti kemampuan sebenar, menetapkan prioriti, dan berikhtiar secara konsisten tanpa membebani diri melebihi kapasiti yang ada. Setiap usaha yang dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah, sekecil mana pun, tetap bernilai dan mendekatkan kita kepada perubahan positif.

Menerima keterbatasan diri bukan bermakna berhenti berusaha, tetapi mengelakkan rasa putus asa dan tekanan berlebihan yang boleh melemahkan semangat.

Kedua, usaha untuk berubah harus difokuskan kepada pengurusan dalaman diri, kerana kelemahan manusia, pada lazimnya, bukanlah pada fizikalnya, tetapi pada banyaknya dorongan untuk mengikut syahwat dan kelazatan. Seseorang yang kuat fizikalnya masih dianggap lemah jika dorongan ketaatannya rapuh, manakala seseorang yang lemah fizikalnya boleh menjadi kuat jika dorongan ketaatannya tinggi.

Oleh itu, kekuatan sebenar dalam menghadapi cabaran hidup terletak pada kemampuan mengawal hawa nafsu yang sering melemahkan pertahanan diri daripada melakukan kebaikan.

Ketiga, keseimbangan dicapai dengan memahami bahawa keberhasilan tindakan bergantung kepada kekuatan faktor pendorong atau motivasi. Imam al-Razi menjelaskan bahawa pengaruh utama dalam perbuatan manusia adalah kuat atau lemahnya dorongan hati, bukan semata-mata kekuatan tubuh badan. Maka, strategi perubahan diri mestilah bermula dengan membina jati diri yang kuat ke arah kebaikan, kerana inilah enjin sebenar yang menggerakkan kemampuan manusia untuk memikul tanggungjawab yang berat.

Keempat, dalam kita berusaha keras, kita wajib mengelakkan keangkuhan atau rasa putus asa dengan menyedari bahawa punca segala kekuatan dorongan itu akhirnya kembali kepada Allah SWT. Walaupun kita berasa kita yang memilih untuk bertindak, hakikatnya rantaian sebab-musabab bagi setiap dorongan itu mestilah bersumberkan daripada Allah.

Serta, menyeimbangkan usaha dan keterbatasan menuntut kita untuk terus berdoa memohon kekuatan dorongan daripada Allah sambil menyedari had kemampuan diri.

Soalan 5
Macam mana membandingkan hidup kita dengan kehidupan di media sosial sebenarnya menghakis nilai Islam dan manusiawi dalam proses berdamai dengan diri sendiri?
JAWAPAN :

Dalam era media sosial, kita sering terdedah kepada kehidupan orang lain, pencapaian, kekayaan, penampilan, dan pengalaman yang seolah-olah lebih “sempurna” daripada hidup kita sendiri. Secara halus, perbandingan ini boleh menimbulkan rasa iri, rendah diri, dan rasa hidup kita tidak cukup baik.

Jika tidak dikawal, ia boleh menghakis nilai Islam dalam diri kita seperti syukur, reda, dan tawakal, serta melemahkan jiwa manusiawi yang sepatutnya tenang dan bersyukur dengan perjalanan hidup sendiri.

Adakah perbandingan hidup keseluruhannya membawa kesan buruk? Ia kembali kepada dasar apa yang kita bandingkan. Hal ini dapat kita lihat dalam satu hadis Nabi SAW tentang hasad yang dibenarkan:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
Maksudnya: “Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya. [HR al-Bukhari, 73]
لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ
Maksudnya: “Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang.” [HR al-Bukhari, 7529]

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, istilah hasad dalam hadis ini sebenarnya membawa maksud al-ghibtoh (الغبطة) iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain, tanpa rasa mahu melihat nikmat tersebut ditarik dari orang itu, dan lafaz hasad digunakan dalam erti kata majaz. Keinginan ini juga disebut sebagai munafasah atau persaingan, dan ianya terpuji (Mahmud) jika dalam perkara ketaatan.

Dalam hadis kedua-dua riwayat ini menjelaskan kepada kita bahawa persaingan atau perbandingan, rasa ingin mengecapi hasil yang sama dibenarkan hanya pada hal ketaatan. Perbandingan sebegini tidak membawa manusia melakukan kerosakan dan mudarat, bahkan ianya ialah salah satu motivasi untuk menambah baik kehidupan sebagai hamba Allah.

Perbandingan hidup berdasarkan keinginan material, kedudukan dan gaya hidup hanya akan menimbulkan rasa tidak cukup dalam diri. Maka, jika rasa ini tidak dipandu dengan iman kepada Allah dan menjalankan usaha yang baik dan halal, maka ia akan menjadikan seseorang menggunakan cara yang zalim dan haram.

Bila melihat kelebihan atau kejayaan orang lain, sama ada dalam kerjaya, keluarga, peluang hidup, atau pencapaian lain, mudah hati terasa rendah dan tertekan. Perbandingan seperti ini boleh menggugat kedamaian jiwa, menimbulkan rasa iri, dan melemahkan keyakinan terhadap perjalanan hidup sendiri.

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًۭا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ ۚ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌۭ وَأَبْقَىٰ
Maksudnya: “Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.” [Surah Taha, ayat 131]

Hakikatnya, bila hati selalu “melekat” pada apa yang kita tak ada, nikmat yang kita ada akan kelihatan kecil. Disinilah titik mula terhakis syukur dan reda. Nabi SAW bersabda:

انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلاَ تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu, dan janganlah melihat kepada orang yang di atas kamu; kerana yang demikian itu lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang ada pada kamu.” [HR al-Tirmizi, 2513]

Hal ini kerana apabila seseorang memandang kepada orang yang lebih tinggi daripadanya, ia akan membawa kepada meremehkan nikmat yang ada pada dirinya sendiri, lalu dia menganggap nikmat itu kecil dan berpaling daripada bersyukur.

Berdamai dengan diri sendiri bukan bermakna hidup kita sempurna, tetapi bermakna menerima perjalanan hidup seperti adanya, bersyukur atas setiap pengalaman, dan tidak membiarkan media sosial menentukan nilai diri kita. Allah SWT menekankan dalam Al-Quran bahawa hamba yang bersyukur dan sabar akan menerima ganjaran yang baik:

وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ
Maksudnya: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:” [Surah al-Baqarah, ayat 155]

Ketahuilah yang ditayang ialah hasil dan kemuncak, bukan proses. Kita membandingkan “belakang tabir kita” dengan “pentas orang”. Ini tidak adil pada diri sendiri.

Soalan 6
Kadang-kadang pengalaman pahit atau trauma lama membuat kita takut mengambil risiko baru. Bagaimana kita mengatasi rasa takut gagal dan terus berusaha dalam perubahan diri tanpa putus asa?
JAWAPAN :

Kadang-kadang yang paling menahan kita bukan “malas”, tetapi ingatan pahit yang belum sembuh: kegagalan dulu, dikhianati, dihina, jatuh teruk, atau usaha yang asyik belum menjadi. Trauma, luka berbekas biasanya membina ‘mental blockage’ seperti: “Kalau aku cuba lagi, aku akan sakit lagi.” Lalu kita jadi takut risiko baru, takut gagal, takut orang ketawakan, takut kecewa sekali lagi.

Dalam Islam, ketakutan itu diakui sebagai sebahagian fitrah tetapi Islam juga membina jalan keluar. Harapan, usaha yang berdisiplin, dan tawakal yang betul. Perubahan diri bukan projek jadi sempurna, tetapi sebuah pelajaran dalam membaiki arah.

Bahagian manusia ialah melakukan sebanyak usaha yang sesuai dengan kadar kemampuan. Tanamkan dalam minda bahawa Allah tidak akan memberati kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita uruskan. Ketika sebuah amanah, rezeki dan ujian diberikan kepada kita, maka ketahuilah ianya tepat dengan kemampuan kita, walaupun belum kita ketahui bagaimana kedepannya.

Allah SWT berfirman:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ
Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya…” [Surah al-Baqarah, ayat 286]

Hal yang pertama yang perlu dilakukan bagi memulakan langkah baru ialah dengan mengubah cara pandang terhadap kegagalan dan kesakitan lama. Setiap perkara mesti dipandang sebagai ketetapan Allah yang mendidik kita dan membawa hikmah yang lebih besar. Firman Allah SWT:

وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” [Surah al-Baqarah, ayat 216]

Ketika kita mampu menguruskan kerisauan dan ketakutan lama dengan memahami bahawa setiap ketetapan Allah ialah yang terbaik, maka kita mampu berdamai dengan luka lama, dan meneruskan keberanian melangkah dengan perjalanan yang baru.

Ingatlah, bahawa kita inginkan sesuatu yang dirasakan sangat terbaik hanya berdasarkan pengetahuan kita yang sangat terbatas. Sedangkan ilmu Allah yang luas mengetahui lebih lagi yang terbaik, dan menetapkannya buat kita.

Takut yang sihat ialah apabila takut terjatuh dalam dosa lama, takut ulang kesilapan. Maka seseorang akan lebih cermat, berhati-hati (takwa), dan mencari sistem sokongan yang tepat. Namun takut yang boleh menghancurkan ialah takut sehingga membunuh usaha, takut sehingga menafikan rahmat Allah.

Bagaimana trauma/takut dengan pengalaman lama boleh menghalang perubahan?

  • Kita akan kerap mengelak peluang, komitmen, elak mencuba kerana setiap perkara itu akan dikaitkan dengan sakit.
  • Mudah curiga dan susah percaya dengan harapan dan usaha.
  • Malu yang tidak sihat menjadi identiti. Mindanya akan mula berfikir bukan sekadar “aku pernah gagal”, tetapi “aku ini kegagalan”.

Antara cara mengatasi perkara ini:

  • Mulakan dengan langkah kecil. Tukar target besar kepada komitmen kecil dan perlahan. Trauma sangat terkesan dengan janji yang besar, maka jalani proses percubaan itu dengan langkah yang perlahan tapi konsisten. Sabda Nabi SAW: “Amalan yang paling Allah cintai ialah amalan yang berterusan (konsisten), walaupun sedikit.” [HR Muslim, 783]
  • Bezakan nilai diri dengan hasil. Dalam Islam, nilai kita bukan pada hasil semata, tetapi pada amal, usaha dan kesungguhan. Bahkan hasil juga sebenarnya secara hakikatnya bukan sesuatu yang dalam bidang kuasa kita manusia, ianya berada dalam bidang kuasa Allah.
  • Bina persekitaran sokongan yang matang. Trauma membesar dalam kesunyian. Maka, perjalanan untuk kembali mencuba memerlukan sokongan dari mereka yang tak cepat menghukum, mendengar tanpa memperlekeh.
  • Meletakkan sepenuh kebergantungan kepada Allah yang Maha Memakbulkan, Yang Maha Berkuasa apabila berkata jadi maka ia terjadi. Tiada kekuasaan yang mampu menjatuhkan kita ketika Allah menetapkan kebaikan buat kita.

Realiti hari ini menyaksikan beberapa tekanan yang memberi kesan kepada seseorang yang cuba keluar dari trauma dan sedang berusaha:

  • Budaya nak hasil segera. Orang nampak kejayaan orang, tak nampak proses. Ini memburukkan trauma: bila kita lambat pulih, kita rasa “aku tak berjaya”.
  • Persekitaran yang mudah menghukum. Silap sedikit viral, salah sikit jadi bahan. Ini buat ramai orang memilih jangan cuba supaya tak kena hukum.
  • Maklumat yang berlebihan sehingga merapuhkan kekuatan emosi. Kita melihat pengalaman mengerikan pada orang lain, sehingga membuat kita terdapat ‘mental blockage’.

Sedangkan Islam bukan agama yang menuntut kita jadi kebal. Islam menuntut setiap hambanya jadi jujur, terus bergerak dengan kekuatan amal serta tawakal sepenuhnya kepada Allah. Tidak perlu menjadi hero, yang lebih baik ialah kita menjadi orang yang tidak berhenti berharap kepada rahmat dan pertolongan Allah. Kerana ketika sudah mendapatkannya, kita telah mendapatkan lebih dari dunia dan seisinya!

Scroll to Top