SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

ABDURRAHMAN BIN AUF

Soalan & Jawapan: Abdurrahman bin Auf RA
Soalan 1
Bagaimana Abdurrahman bin Auf RA menunjukkan sifat berdikari sebagai seorang Muslim, dan bagaimana kita boleh mencontohi beliau?
JAWAPAN :

Semasa di Mekah Abdurrahman bin ‘Auf merupakan antara usahawan perniagaan yang sangat berjaya. Kita dapat gambarkan bahawa kehidupan beliau merupakan kehidupan yang selesa dan serba-serbi cukup dengan kelebihan hartanya.

Namun, setelah dikurniakan dengan hidayah Allah dan menemui cahaya Islam, matlamat dan hala tuju beliau tidak pada kelebihan harta. Abdurrahman bin ‘Auf merupakan antara sahabat yang menyertai perjalanan hijrah bersama Nabi SAW, rela meninggalkan keselesaan di Mekah untuk mendapatkan kesenangan yang kekal iaitu kesenangan akhirat.

Seperti yang kita tahu, hijrah Muhajirin ke bumi Madinah disambut baik oleh golongan Ansar. Cinta golongan Ansar terhadap Muhajirin serta bantuan yang mereka berikan luar biasa. Hal ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلْإِيمَـٰنَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ ... وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌۭ
Maksudnya: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka... dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat…” [Surah al-Hasyr, ayat 9]

Antara agenda utama Nabi SAW ketika tiba di Madinah ialah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar bertujuan golongan Ansar dapat membantu saudara Muhajirin yang berhijrah dalam keadaan susah. Ketika itu Nabi SAW telah mempersaudarakan Abdurrahman bin ‘Auf dengan Sa’d bin Rabi’.

Hal ini dirakamkan dalam hadis Nabi SAW, yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik. Sa’ad bin Rabi’ berkata:

سَأَقْسِمُ مَالِي بَيْنِي وبيْنَكَ شَطْرَيْنِ...
Maksudnya: “Kaum Ansar mengetahui bahawa aku adalah antara mereka yang paling banyak harta. Aku akan membahagikan hartaku antara aku dan engkau kepada dua bahagian sama rata...” [HR al-Bukhari, 3781]

Berkaitan tawaran tersebut, ‘Abdurrahman bin ‘Auf menolaknya, lalu berkata bahawa beliau tidak memerlukan perkara itu. Sebaliknya, beliau bertanya kepada Sa‘d tentang lokasi pasar di Madinah untuk berniaga.

Maka Sa‘d menunjukkan beliau kepada Pasar Bani Qainuqa‘, iaitu pasar milik salah satu kabilah Yahudi yang tinggal di Madinah. Lalu ‘Abdurrahman bin ‘Auf mula berulang-alik ke pasar tersebut, berniaga minyak sapi (samn) dan aqit (susu kering). Beliau meneruskan usaha ini sehingga berjaya mengumpulkan harta.

Bahkan, disebutkan dalam hadis yang lain:

فَغَدَا إِلَيْهِ عَبْدُ الرَّحْمَنِ، فَأَتَى بِأَقِطٍ وَسَمْنٍ...
Maksudnya: “Maka Abdurrahman pergi ke sana (pasar Qainuqa’) dan membawa aqit (susu kering) dan samn (minyak sapi), kemudian dia menyambung perniagaannya pada pagi itu... (sehingga mampu berkahwin dengan mahar emas)” [HR al-Bukhari, 2048]

Daripada peribadi ‘Abdurrahman bin ‘Auf, kita belajar untuk tidak kekal dalam zon selesa, tidak membiarkan diri jatuh dengan hanya satu kesusahan, dan tidak berhenti berusaha dan sentiasa mencari ruang baru tanpa bergantung semata-mata hanya kepada pertolongan orang lain.

Ketika tawaran dan jalan mudah ditawarkan, ‘Abdurrahman lebih memilih untuk menjalankan tugasnya sebagai hamba Allah iaitu meneruskan usahanya dengan mencari tempat yang boleh dia berniaga. Hal ini yang kita perlu perbaiki, kadang-kala kita hanya menunggu, tunggu waktu yang sesuai, tunggu platform yang sesuai, tempat yang sesuai.

Hakikatnya, penantian tidak akan selesai selagi kita tidak memulakannya. Bahkan, ketika kita sudah terbiasa menanti orang yang memberi, kita akan cenderung untuk menjadi statik, tidak mempunyai keinginan dan tenggelam dalam zon selesa.

Syariat Islam mendorong seorang Muslim supaya bersifat ‘iffah (menjaga maruah), bekerja dan tidak meminta-minta, serta tidak bergantung kepada sedekah. Hal ini kerana seorang Muslim seharusnya menjaga kehormatan dan kewibawaannya, dan tidak merendahkan diri dengan meminta-minta kepada manusia.

Namun, tidaklah bermaksud para sahabat lain yang menerima bantuan dari golongan Ansar tidak menjaga kewibaan mereka, keadaan para sahabat ketika itu juga berbeza-beza. Menerima bantuan bukanlah satu perkara yang dilarang, namun Islam menggalakkan untuk memanfaatkan potensi diri untuk teruskan usaha. Begitulah praktis yang dapat dilihat pada para sahabat yang mempunyai potensi dan kemampuan, mereka meneruskan usaha dan berkembang maju di Madinah.

Soalan 2
Saya pernah mendengar bahawa Abdurrahman bin Auf ialah seorang usahawan yang berjaya. Bagaimanakah beliau menunjukkan sifat kedermawaan dan jihad beliau dalam harta?
JAWAPAN :

Abdurrahman bin ‘Auf bukan sekadar usahawan dan hartawan, bahkan beliau merupakan antara ikon dan model pejuang dalam jihad melalui harta.

Abu ‘Umar Ibnu ‘Abd al-Barr berkata bahawa beliau adalah seorang yang sangat diberkati dalam perdagangan. Beliau meninggalkan 1,000 ekor unta, 3,000 ekor kambing, 100 ekor kuda. Beliau juga mengusahakan pertanian di kawasan al-Jurf dengan 20 ekor unta pengairan.

Sepanjang hayatnya, beliau menjadikan harta sebagai jalan ketaatan kepada Allah dan Nabi SAW. ‘Abdurrahman bin ‘Auf memberikan pinjaman yang baik kepada Allah, lalu Allah melipatgandakan balasan kepadanya dengan berlipat kali ganda.

Pada suatu hari, beliau menjual sebidang tanah dengan harga empat puluh ribu dinar, lalu mengagihkan kesemuanya kepada:

  • Kaum keluarganya daripada Bani Zuhrah
  • Para isteri-isteri Nabi SAW.
  • Orang-orang fakir dalam kalangan Muslimin.

Imam al-Zahabi menjelaskan dalam Siyar A‘lam al-Nubala’, daripada Talhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf:

كان أهل المدينة عيالا على عبد الرحمن بن عوف : ثلث يقرضهم ماله ، وثلث يقضي دينهم ، ويصل ثلثا
Maksudnya: “Penduduk Madinah seolah-olah menjadi tanggungan ‘Abdurrahman bin ‘Auf. Sepertiga (harta beliau) dipinjamkan kepada mereka, sepertiga lagi digunakan untuk melunaskan hutang mereka, dan sepertiga lagi beliau menyambung silaturahim dengan mereka serta memberi bantuan/pemberian.”

Imam Fakhrudin al-Razi menjelaskan dalam tafsirnya berkaitan ayat 79 surah al-Taubah, bahawa Ibn ‘Abbas RA berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu hari telah berkhutbah kepada para sahabat, lalu Baginda menggalakkan mereka supaya mengumpulkan sedekah. Maka datanglah ‘Abdurrahman bin ‘Auf dengan empat ribu dirham, lalu berkata: “Aku memiliki lapan ribu dirham. Aku menyimpan empat ribu untuk diriku dan keluargaku, dan empat ribu ini aku pinjamkan kepada Tuhanku.” Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Semoga Allah memberkati apa yang engkau berikan, dan semoga Allah memberkati apa yang engkau simpan.”

Selain itu, terdapat beberapa rekod infak yang dilakukan oleh ‘Abdurrahman bin ‘Auf:

  • Daripada Ibnu Lahi‘ah, daripada Abu al-Aswad, daripada ‘Urwah, bahawa Abdurrahman bin ‘Auf mewasiatkan lima puluh ribu dinar di jalan Allah, lalu setiap orang diberikan seribu dinar daripadanya.
  • Daripada al-Zuhri, Abdurrahman bin ‘Auf mewasiatkan kepada para sahabat Badar. Mereka didapati seramai seratus orang, lalu setiap seorang diberikan empat ratus dinar. Antaranya ialah ‘Uthman, dan beliau mengambil bahagiannya.

Daripada keperibadian ‘Abdurrahman bin ‘Auf kita belajar bahawa harta ialah amanah, bukan milik mutlak. Walaupun beliau memiliki kekayaan yang luar biasa, ‘Abdurrahman bin ‘Auf RA sentiasa melihat hartanya sebagai titipan Allah yang mesti dipulangkan semula kepada-Nya dalam bentuk ketaatan, infak dan khidmat kepada manusia.

Selain itu, peribadi beliau mengajar kita bahawa orang beriman sentiasa takut harta menjadi fitnah. Walaupun dipuji sebagai hartawan yang dermawan, ‘Abdurrahman bin ‘Auf RA sentiasa bimbang jika nikmat dunia disegerakan kepadanya hingga mengurangkan bahagiannya di akhirat. Ketakutan inilah yang mendorong beliau terus memberi, berwasiat dan merancang infak walaupun selepas kematian.

Bahkan, ketika dicela orang kaum munafik ketika beliau bersedekah separuh hartanya, celaan itu tidak membuat beliau berhenti. Orang yang ikhlas tidak menjadikan pujian atau cemuhan sebagai penentu amal, sebaliknya keredaan Allah sebagai matlamat.

Daripada siri infak daripada ‘Abdurrahman bin ‘Auf, kita dapat belajar bahawa ketika harta dan kemewahan berada pada tangan yang tepat, peribadi yang beriman kepada Allah dan mencintai akhirat akan menjadi manfaat. Namun jika ia berada pada tangan yang salah, ia akan membawa kepada ketamakan dan kehancuran.

Soalan 3
Bagaimanakah Abdurrahman bin Auf RA menunjukkan sifat zuhud walaupun beliau seorang usahawan kaya pada zamannya?
JAWAPAN :

Definisi zuhud:

  • Meninggalkan apa yang tidak bermanfaat di akhirat.
  • Kurangnya cita-cita pada dunia (iaitu merasakan dunia ini akan hilang kerana kematian sedangkan umurnya sedikit).
  • Melihat dunia bahawa ia akan lenyap, sehingga dunia menjadi kecil di matamu dan mudah untuk berpaling daripadanya.
  • Kosongnya hati daripada dunia, bukan kosongnya tangan.
  • Meremehkan dunia dan menghapuskan kesannya daripada hati.

Diceritakan oleh Ibrahim anak kepada Abdurrahman bin Auf:

أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ عَوْفٍ رضي الله عنه أُتِيَ بِطَعَامٍ وَكَانَ صَائِمًا fَقَالَ: قُتِلَ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ وَهُوَ خَيْرٌ مِنِّي...
Maksudnya: “Abdurrahman bin Auf RA dibawa makanan sedangkan beliau sedang berpuasa, lalu berkata: “Telah terbunuh Mus‘ab bin Umair, dan dia lebih baik daripada aku. Jenazahnya dibalut dengan kain, jika kepalanya ditutup, kakinya kelihatan, dan jika kakinya ditutup, kepalanya kelihatan.” Beliau juga diperlihatkan: “Telah terbunuh Hamzah, dan dia lebih baik daripada aku.” Kemudian dunia dibentangkan untuk kami sebanyak yang dibentangkan... Namun kami khuatir bahawa amalan baik kami dipercepatkan untuk kami.” Kemudian beliau menangis sehingga meninggalkan makanannya.” [HR al-Bukhari, 1275]

Abdurrahman bin Auf RA menyedari bahawa dunia hanyalah tempat ujian, lalu beliau menjauhkan diri daripada pengaruh dunia, menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah, dan mengekalkan hati yang bersih serta zuhud terhadap kesenangan dunia.

Dari kisah itu kita dapat lihat sifat zuhud Abdurrahman RA:

  • Tidak terikat dengan dunia walaupun kaya: Beliau mengakui kelebihan harta dunia yang beliau miliki, tetapi hatinya tidak melekat padanya. Dunia ada di tangannya untuk digunakan di jalan Allah, tetapi tidak menyentuh hatinya yang mulia.
  • Mengutamakan pahala akhirat daripada kesenangan dunia: Beliau khuatir jika pahala diperoleh segera di dunia, ia tidak tersimpan untuk akhirat. Ini menunjukkan hatinya lebih tertumpu kepada ganjaran akhirat daripada nikmat dunia.
Soalan 4
Bagaimanakah Abdurrahman bin Auf RA menzahirkan sifat tawaduk dalam kehidupannya walaupun memiliki kekayaan dan kedudukan?
JAWAPAN :

Definisi tawaduk:

  • Bersikap rendah hati, lemah lembut, menghormati orang lain, dan tidak sombong atau membangga diri.
  • Seseorang reda berada di bawah walaupun dia berhak lebih.
  • Merendah diri kepada orang yang dihormati atau mengiktiraf kelebihan orang lain.

Sa’ad bin al-Hasan al-Tamimi berkata:

كَانَ ‌عَبْدُ ‌الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ لَا يُعْرَفُ مِنْ بَيْنِ عَبِيدِهِ يَعْنِي مِنَ التَّوَاضُعِ فِي الزِّيِّ
Maksudnya: “Abdurrahman bin Auf tidak dapat dikenali di antara hamba-hambanya, maksudnya kerana tawaduknya dalam pakaian.” [HR Ibnu Abi al-Dunya, 144]

Disebutkan bahawa ini kerana Abdurrahman RA bersikap rendah hati seperti hamba-hambanya, hidupnya sederhana, makan minum, dan bergerak sama seperti mereka. Ini bertepatan dengan pesan Nabi SAW:

إِنَّ الْبَذَاذَةَ مِنَ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kesederhanaan (bazazah) adalah sebahagian daripada iman.” [HR Abu Daud, 4161]

Kalimah al-Bazazah (الْبَذَاذَةَ) merujuk kepada berpakaian sederhana, bersikap tawaduk, dan bersahaja dalam berpakaian dan alas tidur.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ اللِّبَاسَ تَوَاضُعًا لِلهِ وَهُوَ يَقْدِرُ عَلَيْهِ دَعَاهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَى رُؤُوسِ الْخَلَائِقِ...
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan pakaian (kemewahan) kerana tawaduk kepada Allah sedangkan dia mampu memakainya, Allah akan memanggilnya pada hari Kiamat di hadapan semua makhluk, sehingga Dia memberinya pilihan untuk memakai pakaian iman yang dia mahu.” [HR al-Tirmizi, 2481]

Dari kisah itu kita dapat lihat sifat tawaduk Abdurrahman RA:

  • Kesederhanaan dalam berpakaian: Beliau tidak menonjolkan dirinya walaupun mampu, sehingga sukar dikenali di antara hamba-hambanya kerana berpakaian dan hidup seperti mereka.
  • Hidup sederhana: Gaya hidupnya bersahaja, makan, minum, dan bergerak sama seperti hamba-hamba biasa.
Soalan 5
Sebagai sahabat yang pernah dilantik oleh Khalifah Umar RA, bagaimana sikap Abdurrahman bin Auf RA terhadap jawatan dan kekuasaan?
JAWAPAN :

Abdurrahman bin Auf RA menunjukkan sikap yang sangat zuhud dan tidak berimpian terhadap jawatan khalifah walaupun beliau berkelayakan. Apabila disarankan oleh seseorang semasa khutbahnya untuk menonjolkan diri bagi memegang tampuk pemerintahan, beliau menolaknya dengan tegas malah memarahi cadangan tersebut. Beliau sedar beratnya amanah itu dan menyatakan kebimbangan bahawa sesiapa sahaja yang memegang jawatan selepas Umar al-Khattab pasti tidak akan terlepas daripada celaan orang ramai.

ثكلتك أمك إنه لن يلي هذا الأمر أحد بعد عمر إلا لامه الناس
Maksudnya: “Celakalah kamu! Sesungguhnya tidak ada sesiapa pun yang memegang urusan ini selepas Umar melainkan orang ramai akan mencelanya.” [Lihat Siyar A’lam Nubala, jld. 1, hlm 572]

Ketakutan beliau terhadap fitnah kekuasaan terbukti jelas apabila Khalifah Uthman RA, yang ketika itu sedang sakit, menulis wasiat melantiknya sebagai pengganti. Sebaik sahaja mendapat perkhabaran tersebut daripada Humran, Abdurrahman tidak berasa gembira, sebaliknya beliau berdoa dengan bersungguh-sungguh di antara Makam Nabi dan mimbar agar nyawanya dicabut sekiranya pelantikan itu benar berlaku. Doa ini dimakbulkan Allah apabila beliau wafat enam bulan kemudian, sekaligus menyelamatkannya daripada bebanan kepimpinan tertinggi tersebut.

اللهم إن كان من تولية عثمان إياي هذا الأمر فأمتني قبله
Maksudnya: “Ya Allah, jika pelantikan Uthman ke atasku untuk urusan ini benar berlaku, maka matikanlah aku sebelumnya.”

Walaupun beliau enggan menerima jawatan, kedudukan dan kredibiliti beliau sangat tinggi serta dihormati oleh para sahabat lain. Khalifah Uthman sendiri mengakui bahawa tiada siapa yang mampu menandingi kelebihan Abdurrahman, terutamanya status beliau sebagai tokoh yang telah melakukan dua kali penghijrahan ke Habsyah. Namun, pengiktirafan dan senioriti dalam Islam ini tidak menjadikannya tamak untuk merebut kuasa, sebaliknya beliau kekal merendah diri.

Sikap beliau yang tidak gila kuasa juga dicerminkan melalui sifat tawaduk dan mengutamakan ukhuwah mengatasi ego peribadi. Walaupun terdapat perselisihan antara beliau dan Talhah, Abdurrahman tetap berjiwa besar menziarahi Talhah yang sedang sakit. Tindakan mulia ini menyebabkan Talhah sendiri mengakui bahawa Abdurrahman adalah jauh lebih baik daripadanya, membuktikan bahawa beliau memiliki kualiti kepimpinan semula jadi tanpa perlu mengejar jawatan secara formal.

Kesimpulannya, pendekatan Abdurrahman terhadap kekuasaan disimpulkan dengan tepat oleh Saidina Ali bin Abi Talib pada hari kewafatan beliau. Ali menyifatkan Abdurrahman sebagai insan yang berjaya memperolehi "kejernihan" (kebaikan dunia dan Islam) dan telah pergi meninggalkan dunia sebelum sempat menempuh "kekeruhan" fitnah. Ini bermakna beliau berjaya mengharungi kehidupan dengan selamat tanpa terpalit dengan kotoran perebutan kuasa atau kekacauan politik.

اذهب يا ابن عوف فقد أدركت صفوها وسبقت رنقها
Maksudnya: “Pergilah wahai Ibnu 'Auf, sesungguhnya engkau telah memperolehi kejernihannya (kebaikan dunia/Islam) dan engkau telah mendahului (selamat daripada) kekeruhannya.”
Soalan 6
Apakah wasiat Abdurrahman bin Auf RA sebelum beliau meninggal dunia, dan apakah pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya?
JAWAPAN :

Wasiat terbesar yang ditinggalkan oleh Abdurrahman bin Auf RA sebelum kewafatan beliau adalah manifestasi sikap zuhudnya yang tinggi. Beliau mewariskan kefahaman bahawa dunia ini hanyalah ladang ujian dan tempat bercucuk tanam untuk hasil di akhirat. Sebelum meninggal dunia, beliau telah membebaskan dirinya daripada cengkaman dunia dan memutuskan kebergantungan hati terhadap segala perhiasan dan kemewahan dunia.

Sesungguhnya Abdurrahman bin ‘Auf RA telah memahami melalui penghayatannya terhadap al-Quran al-Karim, pendampingannya bersama Nabi SAW, dan renungannya terhadap kehidupan ini, bahawa dunia ini adalah tempat ujian dan cubaan. Oleh itu, ia hanyalah ladang (tempat bercucuk tanam) bagi akhirat.

Pengajaran utama yang boleh diambil daripada pegangan beliau adalah kesedaran bahawa status kita di dunia ini hanyalah seperti orang asing atau pengembara (musafir) yang singgah sebentar.

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
Maksudnya: “Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara yang lalu.” [HR Ibnu Majah, 4114]

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menjadi pegangan beliau, kita diajar supaya tidak menangguh-nangguh amalan. Jika berada pada waktu petang jangan menunggu pagi, dan jika pada waktu pagi jangan menunggu petang. Ini mendidik kita untuk memanfaatkan masa sihat sebelum datangnya sakit, dan menggunakan masa hidup sebaiknya sebagai persediaan menghadapi kematian.

Selain itu, Abdurrahman bin Auf meninggalkan pengajaran bahawa dunia ini tiada nilai dan berat timbangan di sisi Allah SWT, malah ia lebih hina daripada sayap seekor nyamuk. Kefahaman ini mengajarkan kita bahawa jika dunia ini benar-benar berharga di sisi Allah, nescaya orang kafir tidak akan diberi minum walau seteguk air pun. Oleh itu, segala kekayaan dan pangkat di dunia tidak seharusnya menjadi ukuran kemuliaan seseorang, melainkan sejauh mana ia digunakan untuk ketaatan kepada Allah.

لو كانت الدنيا تعدل عند الله جناح بعوضة ما سقى كافراً منها شربة ماء
Maksudnya: “Sekiranya dunia ini senilai dengan sayap seekor nyamuk di sisi Allah, nescaya Dia tidak akan memberi minum walau seteguk air pun daripadanya kepada orang kafir.” [HR al-Tirmidzi, 2320]

Sikap beliau juga mendidik kita tentang definisi zuhud yang sebenar, iaitu memegang dunia di tangan tetapi tidak membiarkannya masuk ke dalam hati. Walaupun beliau memiliki harta, beliau “mengibaskan kedua tangannya” daripada meletakkan harapan kepada dunia. Ini mengajar kita supaya tidak dikuasai oleh gemerlap kehidupan duniawi, sebaliknya kekal fokus kepada matlamat asal penciptaan manusia iaitu kepatuhan dan penyerahan diri kepada Tuhan.

Kesimpulannya, Abdurrahman bin Auf RA meninggalkan teladan bahawa dunia hanyalah persinggahan sementara yang penuh tipu daya. Kita seharusnya mencontohi kebijaksanaan beliau yang memahami hakikat kehidupan, sentiasa bersiap siaga menghadapi kematian tanpa terikat dengan kecintaan melampau terhadap harta benda, dan menjadikan akhirat sebagai satu-satunya destinasi yang kekal abadi.

Scroll to Top