SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

TELADANI RUMAH TANGGA RASULULLAH SAW

Soalan & Jawapan: Teladani Rumah Tangga Rasulullah SAW
Soalan 1
Sebahagian orang mempunyai rasa takut untuk berkahwin kerana akan terikat dengan tanggungjawab baru dan dianggap membebankan. Apakah pendekatan terbaik untuk kita mengatasi kerisauan itu? Dan apakah makna dari hadis Nabi bahawa pernikahan itu menyempurnakan sebahagian dari agama?
JAWAPAN :

Rasa takut apabila menerima tanggungjawab adalah perkara biasa, terutama apabila melibatkan sesuatu yang baru dan tiada kemahiran. Walau bagaimanapun, ketakutan ini boleh diatasi dengan pendekatan terbaik berlandaskan ilmu, kesedaran, dan keimanan.

Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَـٰنُ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًۭا جَهُولًۭا
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” [Surah al-Ahzab, ayat 72]

Antara cara untuk mengatasi kerisauan dalam mengambil tanggungjawab dan amanah perkahwinan ialah:

  • Memahami konsep pernikahan ialah ibadah dan ruang melakukan amal soleh. Setiap amal soleh sudah pasti akan diganjari Allah dengan ganjaran yang lumayan. Firman Allah:
    مَن جَآءَ بِٱلْحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰٓ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
    Maksud: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” [Surah al an’am ayat 160]
  • Melakukan persediaan dengan menambah ilmu pengetahuan yang diperlukan dalam rumahtangga seperti ilmu agama, kewangan, kemahiran hidup dan komunikasi sesama pasangan. Khususnya ilmu agama kerana sabda Nabi SAW:
    مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
    Maksudnya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, maka Dia akan memahamkan dia dalam urusan agama.” [HR Ibnu Majah, 220]
  • Melakukan perbincangan serius dan komunikasi terbuka bersama pasangan sebelum berkahwin. Sebelum menjadi suami isteri, kedua-duanya mestilah mempunyai mentaliti bahawa perkahwinan ialah seperti bergerak sebagai kumpulan bukan individu. Nilai kerjasama dan toleransi dalam kumpulan akan meringankan beban dan mengurangkan rasa takut dan risau.

Sabda Nabi SAW:

إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي
Maksudnya: “Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.” [HR al-Baihaqi, 5486]

Pelajaran dari hadis ini ialah:

  • Matlamat perkahwinan hendaklah untuk menjaga kehormatan diri, menjaga pandangan, menjaga diri dari perkara-perkara haram serta sebagai jalan untuk menjadi lebih bertakwa kepada Allah.
  • Membentengi diri dari syahwat dan kemaksiatan dengan mengambil sesuatu yang telah dihalalkan oleh Allah.
  • Seseorang yang mempunyai matlamat yang jelas dengan menjadikan pernikahan sebagai jalan ketakwaan pasti akan memastikan dirinya tetap menjaga diri dari yang haram walaupun sudah berkahwin.
Soalan 2
Zaman sekarang, ramai pasangan cenderung berkongsi isu peribadi rumah tangga di media sosial. Adakah dibolehkan perkara ini? Bagaimana pendekatan Nabi SAW dalam menjaga aib dan maruah pasangan boleh dijadikan panduan untuk menangani cabaran ini?
JAWAPAN :

Antara hak dan tanggungjawab sesama suami dan isteri ialah menjaga aib pasangan dan tidak menyebarkan cerita buruk pasangan kepada orang yang tidak sepatutnya. Menceritakan aib pasangan khususnya di media sosial adalah perkara serius yang boleh mengundang konflik yang lebih besar dan menjejaskan keharmonian rumahtangga.

Hakikatnya, dengan menyebar luas masalah keluarga di media sosial akan menjadikan seseorang itu kurang rasional dalam membuat penilaian dan keputusan penting untuk rumah tangga, kerana mudah dipengaruhi dengan respon balas dari mereka yang tidak benar-benar memahami akar masalahnya sendiri.

Dalam satu hadis, Nabi ada menjelaskan tentang larangan menyebarkan aib atau rahsia pasangan:

إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِندَ الله مَنزِلَةً يَومَ القِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفضِي إِلَى المَرْأَةِ وَتُفْضِي إِلَيه، ثُمَّ يَنشُرُ سِرَّهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.” [HR Muslim, 1437]

Bahkan Nabi menyebutkan mereka yang menyebarkan rahsia pasangan ini sebagai manusia paling buruk kedudukannya di hari kiamat nanti.

Membuka aib pasangan adalah perbuatan yang ditegah syarak. Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَعَدَ عَلَى فِرَاشِ مُغِيبَةٍ قَيَّضَ اللَّهُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُعْبَانًا
Maksudnya: “Orang yang membuka aib pasangannya, Allah akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti.” [HR Ahmad, 22557]

Nabi SAW juga sentiasa menjaga maruah isterinya. Misalnya dalam kisah Safiyah yang berasal dari keturunan Yahudi:

قَالَ بَلَغَ صَفِيَّةَ أَنَّ حَفْصَةَ، قَالَتْ بِنْتُ يَهُودِيٍّ ‏.‏ فَبَكَتْ فَدَخَلَ عَلَيْهَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهِيَ تَبْكِي فَقَالَ ‏"‏ مَا يُبْكِيكِ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَتْ قَالَتْ لِي حَفْصَةُ إِنِّي بِنْتُ يَهُودِيٍّ ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ إِنَّكِ لاَبْنَةُ نَبِيٍّ وَإِنَّ عَمَّكِ لَنَبِيٌّ وَإِنَّكِ لَتَحْتَ نَبِيٍّ فَفِيمَ تَفْخَرُ عَلَيْكِ ‏"‏ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ اتَّقِي اللَّهَ يَا حَفْصَةُ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ
Maksudnya: “Safiyyah RA mendengar bahawa Hafsah RA berkata kepadanya, “Engkau adalah anak seorang Yahudi.” Maka Safiyyah pun menangis. Nabi Muhammad SAW masuk kepadanya (Safiyyah) ketika dia sedang menangis. Baginda bertanya, “Apa yang membuatmu menangis?” Safiyyah menjawab, “Hafsah berkata kepadaku bahawa aku adalah anak seorang Yahudi.” Lalu Nabi Muhammad SAW berkata kepadanya, "Sesungguhnya engkau adalah anak seorang Nabi (Nabi Harun AS), dan pakcikmu adalah seorang Nabi (Nabi Musa AS), dan engkau berada di bawah (perlindungan dan perkahwinan) seorang Nabi (Nabi Muhammad SAW). Maka apa lagi yang dia (Hafsah) boleh banggakan di atasmu?” Kemudian baginda berpaling kepada Hafsah dan berkata, “Bertakwalah kepada Allah, wahai Hafsah.” [HR Tirmizi, 3894]

Namun, terdapat beberapa hal yang dibenarkan untuk menceritakan aib pasangan kepada orang tertentu misalnya dalam keadan meminta hukum/fatwa, atau ingin keluar dari kezaliman serta beberapa keadaan lain yang dibenarkan. Misalnya seperti situasi Hindun yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah:

قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Hindun Ummu Mu’awiyyah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya, yang bernama Abu Sufyan adalah seorang yang sangat kedekut, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Lalu Rasulullah SAW menjawab, ‘Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik.” [HR al-Bukhari, 2211]

Maka sekiranya berlaku konflik antara suami isteri, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan:

  • Ambil masa untuk berkomunikasi sesama suami isteri, supaya setiap perkara yang terdapat perselisihan dan kekurangan pasangan yang menjadi punca masalah dapat dibaiki bersama.
  • Membaiki kualiti masa antara suami isteri, kerana kadang-kala pasangan cenderung menceritakan perihal rumahtangga kepada orang lain kerana kurangnya masa bersama.
  • Memperbaiki amal ibadah bersama pasangan. Kunci kebahagian dan keikhlasan rumahtangga bergantung kepada hubungan bersama Allah. Semakin kuat hubungan kita bersama Allah, semakin harmoni sesebuah rumahtangga. Jika semakin banyak kita bermaksiat kepada Allah, maka kita akan sentiasa merasa kurang dan bermasalah pada apa yang telah sedia ada.

Sekiranya keadaan sudah tidak mampu dikawal, maka rujuklah orang yang berautoriti dan dipercayai bagi membantu menyelesaikan konflik rumahtangga. Firman Allah:

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَٱبْعَثُوا۟ حَكَمًۭا مِّنْ أَهْلِهِۦ وَحَكَمًۭا مِّنْ أَهْلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصْلَـٰحًۭا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيْنَهُمَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًۭا
Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.” [Surah an-Nisa’ ayat 35]
Soalan 3
Berdasarkan kisah dari hadis ifki yang berlaku kepada isteri Nabi iaitu Saidatina Aisyah, apa tindakan yang sepatutnya jika kita menerima khabar yang buruk berkaitan pasangan? Dan adakah kita dibolehkan untuk berprasangka dengan tujuan berjaga-jaga dalam hubungan rumahtangga?
JAWAPAN :

Hadis ifki ialah hadis yang menceritakan tentang kaum munafik menuduh dan membuat cerita keji mengenai Aisyah dan Shafwan bin Muaththal iaitu sahabat nabi. Fitnah ini merupakan satu peristiwa yang sangat pahit untuk dihadapi oleh Ummu al-Mukminin Aisyah R.Anha dan berlarutan selama sebulan.

Allah SWT telah membersihkan nama Saidatina Aisyah R.Anha daripada fitnah itu dengan turunnya wahyu iaitu ayat 11-19, Surah al-Nur bagi menjelaskan hakikat sebenar yang berlaku:

اِنَّ الَّذِيْنَ جَاۤءُوْ بِالْاِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنْكُمْۗ لَا تَحْسَبُوْهُ شَرًّا لَّكُمْۗ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْۗ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْاِثْمِۚ وَالَّذِيْ تَوَلّٰى كِبْرَهٗ مِنْهُمْ لَهٗ عَذَابٌ عَظِيْمٌ. لَوْلَآ اِذْ سَمِعْتُمُوْهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُوْنَ وَالْمُؤْمِنٰتُ بِاَنْفُسِهِمْ خَيْرًاۙ وَّقَالُوْا هٰذَآ اِفْكٌ مُّبِيْنٌ. لَوْلَا جَاۤءُوْ عَلَيْهِ بِاَرْبَعَةِ شُهَدَاۤءَۚ فَاِذْ لَمْ يَأْتُوْا بِالشُّهَدَاۤءِ فَاُولٰۤىِٕكَ عِنْدَ اللّٰهِ هُمُ الْكٰذِبُوْنَ. وَلَوْلَا فَضْلُ اللّٰهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهٗ فِى الدُّنْيَا وَالْاٰخِرَةِ لَمَسَّكُمْ فِيْ مَآ اَفَضْتُمْ فِيْهِ عَذَابٌ عَظِيْمٌ. اِذْ تَلَقَّوْنَهٗ بِاَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُوْلُوْنَ بِاَفْوَاهِكُمْ مَّا لَيْسَ لَكُمْ بِهٖ عِلْمٌ وَّتَحْسَبُوْنَهٗ هَيِّنًاۙ وَّهُوَ عِنْدَ اللّٰهِ عَظِيْمٌ ۚ. وَلَوْلَآ اِذْ سَمِعْتُمُوْهُ قُلْتُمْ مَّا يَكُوْنُ لَنَآ اَنْ نَّتَكَلَّمَ بِهٰذَاۖ سُبْحٰنَكَ هٰذَا بُهْتَانٌ عَظِيْمٌ. يَعِظُكُمُ اللّٰهُ اَنْ تَعُوْدُوْا لِمِثْلِهٖٓ اَبَدًا اِنْ كُنْتُمْ مُّؤْمِنِيْنَ ۚ. وَيُبَيِّنُ اللّٰهُ لَكُمُ الْاٰيٰتِۗ وَاللّٰهُ عَلِيْمٌ حَكِيْمٌ. اِنَّ الَّذِيْنَ يُحِبُّوْنَ اَنْ تَشِيْعَ الْفَاحِشَةُ فِى الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌۙ فِى الدُّنْيَا وَالْاٰخِرَةِۗ وَاللّٰهُ يَعْلَمُ وَاَنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). (11) Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata". (12) Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta. (13) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu (14) Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. (15) Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan". (16) Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman. (17) Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (18) Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (19) [Surah al-Nur, ayat 11-19]

Berdasarkan hadis ifki, banyak pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa ini lebih-lebih lagi bagi pasangan yang sudah mendirikan rumahtangga.

Antara tindakan yang sepatutnya dilakukan apabila berhadapan dengan cerita yang berkaitan dengan pasangan ialah:

  • Menahan diri (tawaquf) dari mengeluarkan sebarang ucapan yang berisiko terjebak dalam kancah fitnah tersebut. Hal ini kerana kita hanya menghukum dari apa yang zahir semata, sedang Allah yang Maha Mengetahui akan perkara yang zahir dan juga tersembunyi.
  • Menyelidik (tabayyun) dengan teliti agar dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Nabi SAW memberi amaran:
    إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِق
    Maksudnya: “Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” [HR Bukhari: 6477]
  • Sabar dalam menghadapi cabaran / ujian fitnah yang menimpa.
  • Sabar dalam menjaga aib pasangan juga merupakan cara untuk mendidik pasangan secara tidak langsung. Apabila pasangan melihat kesabaran kita dalam menghadapi kelemahan mereka, mereka akan berasa dihargai dan terdorong untuk memperbaiki diri. Dengan bersabar, kita juga mendidik diri sendiri untuk menjadi lebih kuat dan matang dalam mengendalikan perasaan dan cabaran perkahwinan.

Islam menekankan adab menjaga hubungan dengan mengelakkan buruk sangka tanpa alasan yang kukuh. Sikap buruk sangka ini hanya merosakkan hubungan suami isteri yang sepatutnya dibina atas dasar kepercayaan.

Perbuatan mencari kesalahan pasangan dan memikirkan perkara negatif terhadap pasangan adalah dilarang seperti peringatan Allah dalam Al-Quran. Firman Allah:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اجْتَنِبُوْا كَثِيْرًا مِّنَ الظَّنِّۖ اِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ اِثْمٌ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jauhi kebanyakan berprasangka kerana sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.” [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Tindakan mengintip dan mencari kesalahan pasangan dengan memeriksa telefon bimbit, dan akaun media sosial juga adalah perbuatan yang salah dan tidak amanah. Selain ia melanggar hak peribadi pasangan, tindakan itu juga menggalakkan tercetusnya pergaduhan antara suami isteri.

Sekiranya ada sebarang isu berkaitan pasangan (suami atau isteri), sebaiknya berdepan sendiri dengan pasangan dan mendapat jawapan terus daripadanya atas apa yang terjadi. Jika berlaku krisis, carikan orang tengah yang mampu mendamaikan kedua-dua pihak supaya masalah dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Soalan 4
Ramai pasangan berdepan dengan tekanan ekonomi sehingga menyebabkan konflik rumah tangga. Banyak kes penceraian berpunca dari masalah kewangan. Adakah benar yang dikatakan bahawa sebenarnya pernikahan akan membuka lebih banyak pintu rezeki? Dan bagaimanakah gambaran kehidupan rumahtangga Nabi yang sederhana?
JAWAPAN :

Pernikahan dalam Islam adalah salah satu sunnah yang sangat dianjurkan, dan ia sering dikaitkan dengan pembukaan pintu rezeki. Islam melihat pernikahan sebagai jalan untuk menjaga kesucian diri, mendirikan keluarga, dan meraih keberkatan Allah SWT.

Dalam hal ini, terdapat dalil dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyokong pandangan bahawa pernikahan membuka jalan rezeki. Firman Allah SWT:

وَاَنْكِحُوا الْاَيَامٰى مِنْكُمْ وَالصّٰلِحِيْنَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَاِمَاۤىِٕكُمْۗ اِنْ يَّكُوْنُوْا فُقَرَاۤءَ يُغْنِهِمُ اللّٰهُ مِنْ فَضْلِهٖۗ وَاللّٰهُ وَاسِعٌ عَلِيْمٌ
Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang masih bujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahaya kamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya; dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Nur, ayat 32]

Ayat ini menunjukkan janji Allah SWT bahawa kemiskinan tidak menjadi alasan untuk menangguhkan pernikahan kerana Dia akan mencukupkan rezeki hamba-Nya.

Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمْ: النَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ
Maksudnya: “Tiga golongan yang pasti Allah akan membantu mereka: (antaranya) orang yang menikah kerana ingin menjaga kesucian dirinya” [HR al-Tirmizi, 1655]

Hadis ini menguatkan bahawa pernikahan, apabila dilakukan dengan niat yang benar, akan memperoleh pertolongan Allah termasuk dalam bentuk rezeki.

Rasulullah SAW adalah teladan terbaik dalam menjalani kehidupan rumahtangga yang sederhana, penuh kasih sayang, dan bertumpukan kepada keberkatan. Kesederhanaan hidup Baginda bukanlah disebabkan oleh kekurangan rezeki, tetapi sebagai pilihan untuk mendidik umatnya tentang zuhud dan mengutamakan akhirat.

Kesederhanaan dari Segi Material: Dalam satu riwayat, Aisyah RA berkata:

إِنْ كُنَّا آلَ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم لَنَمْكُثُ شَهْرًا مَا نَسْتَوْقِدُ بِنَارٍ إِنْ هُوَ إِلاَّ التَّمْرُ وَالْمَاءُ ‏
Maksudnya: “Kami, keluarga Muhammad, pernah melalui sebulan penuh tanpa menyalakan api (untuk memasak), hanya makan kurma dan minum air.” [HR Muslim, 2972]

Ini menggambarkan kehidupan Nabi yang sangat sederhana, tetapi baginda SAW tidak pernah mengeluh atau merasa kekurangan kerana keyakinan kepada Allah SWT.

Selain itu, Nabi SAW selalu menunjukkan kasih sayang kepada isterinya. Dalam satu hadis, Aisyah RA berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ قَالَتْ كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW membantu urusan rumah tangga bersama isterinya.” [HR al-Bukhari, 676]

Kesederhanaan Nabi SAW adalah cerminan bahawa fokus utama kehidupan adalah akhirat, bukan kemewahan dunia. Oleh itu, pernikahan adalah salah satu asbab yang boleh membuka pintu rezeki, sebagaimana dijanjikan oleh Allah SWT. Ia membawa keberkatan apabila dilakukan dengan niat yang ikhlas dan mengikut sunnah. Dalam masa yang sama, kehidupan rumahtangga Rasulullah SAW adalah teladan dalam kesederhanaan, kasih sayang, dan keadilan, mengajar kita untuk menghargai nilai spiritual dan kebahagiaan.

Soalan 5
Berkaitan nafkah, sebanyak manakah kadar nafkah yang sebenarnya perlu dipenuhi oleh suami? Bolehkah jika isteri demand jumlah nafkah daripada suami? Bagaimanakah cara para suami ingin mencontohi Nabi dalam melaksanakan tanggungjawab nafkah pada semua isteri Baginda?
JAWAPAN :

Para ulama’ telah bersepakat secara ijma’ bahawa suami wajib memberi nafkah kepada isteri. Allah SWT berfirman:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. [Surah al-Nisa’, Ayat 34]

Untuk kadar nafkah pula, Imam Khatib al-Syirbini menyebut dalam karyanya:

وَالْحُقُوقُ الْوَاجِبَةُ بِالزَّوْجِيَّةِ سَبْعَةٌ: الطَّعَامُ، وَالْإِدَامُ، وَالْكِسْوَةُ، وَآلَةُ التَّنْظِيفِ، وَمَتَاعُ الْبَيْتِ، وَالسُّكْنَى، وَخَادِمٌ إنْ كَانَتْ مِمَّنْ تُخْدَمُ
Maksudnya: Nafkah yang wajib diberi adalah keperluan asas iaitu Makanan, Lauk-pauk, Pakaian, Alat kebersihan diri, Kelengkapan rumah, Tempat tinggal dan Seorang pembantu jika isteri termasuk golongan yang lazimnya dilayani oleh pembantu. [al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Jld. 10, Hlm. 7349]

Secara paling asasnya, nafkah wajib perlu diberi secara cukup & dengan cara yang baik:

  • Makan dan minum (3x sehari).
  • Pakaian sopan dan menutup aurat (2 pasang/setahun).
  • Tempat tinggal yang selesa. (3 bilik termasuk ibu bapa, anak lelaki & anak perempuan, jika ada)

Namun begitu, nafkah ke atas isteri berbeza-beza mengikut tahap kehidupan (lifestyle) yang biasa dilaluinya sebelum berkahwin. Sebagai contoh, makan minum, pakaian dan tempat tinggal seorang puteri raja semestinya berbeza dengan makan minum, pakaian dan tempat tinggal seorang rakyat marhaen yang duduk di kampung. Maka perkara ini perlu diberi perhatian oleh lelaki sebelum mengahwini seseorang perempuan supaya tidak menzalimi mereka dan tidak membawa kepada pergolakan rumah tangga di kemudian hari.

Jika mengikut terma semasa kini adalah “perkahwinan sekufu”. Allah SWT berfirman:

وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. [Surah al-Baqarah, Ayat 231]

Walaupun begitu, sebagai seorang isteri yang solehah dan taat kepada suaminya, adalah satu perkara yang tidak baik untuk kita menuntut nafkah secara berlebihan melebihi kemampuan suami.

Kisah ini dirakamkan dalam al-Quran ketika mana para Ummahatul Mukminin (isteri2 Nabi SAW berpakat untuk meminta nafkah tambahan yang melebihi kemampuan Baginda SAW sehingga membuatkan Nabi terasa hati), ketika itu Saidina Umar RA datang menegur mereka (termasuk Hafsah RA) kemudian turunlah firman Allah SWT yang menyetujui Umar RA: [Tafsir al-Saadi, Jil. 7, hlm. 409-410]

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا وَإِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya: Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. "Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar. [Surah al-Ahzab: Ayat 28-29]

Kesimpulannya, suami hanya Wajib berlaku adil kepada isteri (sama ada seorang atau lebih) dari sudut perkara yang boleh kita kawal sebagai manusia iaitu:

  • Pemberian nafkah.
  • Giliran bersama.
Soalan 6
Antara cabaran dalam poligami ialah sifat cemburu. Bagaimanakah adil yang sebenar di sisi agama? Bagaimana Nabi menguruskan jika ada dalam kalangan isteri Nabi yang merasa cemburu berdasarkan sirah Nabi?
JAWAPAN :

Sifat cemburu hadir kerana seseorang itu merasakan dirinya kurang disayangi berbanding yang lain. Kasih sayang terhadap seseorang adalah satu perkara yang tidak dapat kita kawal kerana ia merupakan naluri/perasaan seorang manusia. Dalam konteks ini, isteri Rasulullah berasa cemburu ke atas isteri Baginda yang lain atas sesuatu perkara.

Al-Qadhi Iyadh menyebut bahawa ini sifat semulajadi bagi seorang wanita dan ianya sedikit pun tidak mencalarkan akhlak ummahatul Mukminin. [Kamal al-Mu’lim Syarh Sahih Muslim, Jil. 7, hlm. 224].

Aisyah RA pernah menyebut:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ وَيَقُولُ: اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِى فِيمَا أَمْلِكُ فَلاَ تَلُمْنِى فِيمَا تَمْلِكُ وَلاَ أَمْلِكُ
Maksudnya: “Nabi SAW membuat giliran dalam kalangan isterinya dan berlaku adil. Baginda bersabda: “Ya Allah, inilah pembahagian yang mampu aku lakukan. Janganlah kamu mencela aku tentang pembahagian yang kamu miliki yang tidak mampu aku lakukan.” [HR al-Tirmizi, 1140]

Berkena poligami ini, Allah SWT berfirman:

فَانْكِحُوۡا مَا طَابَ لَـكُمۡ مِّنَ النِّسَآءِ مَثۡنٰى وَثُلٰثَ وَرُبٰعَ​ ​ۚ فَاِنۡ خِفۡتُمۡ اَلَّا تَعۡدِلُوۡا فَوَاحِدَةً اَوۡ مَا مَلَـكَتۡ اَيۡمَانُكُمۡ​ ؕ ذٰ لِكَ اَدۡنٰٓى اَلَّا تَعُوۡلُوۡا
Maksudnya: “... maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu senangi: dua, tiga, atau empat. Tetapi jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk kamu tidak melakukan kezaliman." [Surah al-Nisa’, Ayat 3]

Mengikut Ibn Arabi al-Maliki, adil yang dimaksudkan ialah sekiranya seorang lelaki itu mampu dari sudut hartanya dan keinginannya (nafkah batin) untuk berkahwin, maka lakukanlah. Adapun dari sudut kasih sayang, Allah SWT berfirman:

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah al-Nisa’, Ayat 129]

Jadi contoh Nabi SAW menguruskan situasi bilamana Saidatina Aisyah RA cemburu Baginda selalu menyebut nama Saidatina Khadijah RA walaupun selepas kematiannya adalah dengan:

  • Menzahirkan perasaan Baginda yang tidak suka tentang perkara cemburu tersebut (berubah wajah Nabi SAW kemerah-merahan).
  • Menjelaskan sebab sebenar supaya perasaan cemburu tersebut tidak berulang (memberitahu jasa dan kelebihan Khadijah yang berkorban sewaktu tempoh awal dakwah Nabi SAW).
Soalan 7
Kadang-kadang bila kita tegur kesilapan pasangan, pasangan akan mudah terasa dan susah terima teguran, serta berakhir dengan pergaduhan. Apakah cara terbaik menegur pasangan? Adakah terdapat contoh dari sirah Nabi?
JAWAPAN :

Menegur pasangan dengan cara yang berkesan dan penuh kasih sayang adalah penting untuk menjaga keharmonian dalam hubungan. Namun teguran itu mesti dilaksanakan dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Teguran mestilah pada waktu dan tempat yang tepat supaya ia dapat diterima dengan baik. Elakkan menegur ketika pasangan sedang sibuk, marah, atau tertekan. Sebaliknya, pilih waktu yang tenang, seperti selepas solat berjemaah atau ketika berehat dalam suasana santai di tempat yang privasi.

Antara pendekatan yang perlu dititikberatkan juga adalah jangan ungkit kesalahan masa lalu dan fokuskan teguran pada isu semasa agar pasangan merasa dihargai dan tidak diserang secara emosional. Gunakan kritikan konstruktif dengan menyertakan pujian atau penghargaan, seperti mengucapkan terima kasih atas usaha pasangan selepas memberikan teguran. Pendekatan ini membantu pasangan lebih terbuka dan menerima kritikan dengan baik.

Sebagai contoh, Nabi SAW menegur Sayidatina ‘Aisyah r.a dengan penuh hikmah. Baginda fokus menjelaskan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh Sayidatina ‘Aisyah r.a tanpa meleret atau membahas hal-hal di luar topik kesalahan tersebut.

عن عائشة رضي الله عنها قالت: أتى النبي صلى الله عليه وسلم أناس من اليهود فقالوا: السام عليك يا أبا القاسم، قال: وعليكم. قالت عائشة: فقلت: بل عليكم السام والذام. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: يا عائشة لا تكوني فاحشة. قالت: ما سمعت ما قالوا؟ فقال: أو ليس قد رددت عليهم الذي قالوا؟ قلت: وعليكم
Maksudnya : Dari Aisyah radhiyallahu 'anha, ia berkata: "Seorang rombongan dari kalangan Yahudi mendatangi Nabi ﷺ lalu mereka berkata: 'As-samu 'alaika ya Aba Al-Qasim' (artinya: semoga kebinasaan atasmu, wahai Abu Al-Qasim). Maka Nabi ﷺ menjawab: 'Wa 'alaikum' (dan atas kalian juga). Aisyah berkata: 'Aku pun berkata (kepada mereka): 'Bahkan atas kalian kebinasaan dan kehinaan.' Namun, Rasulullah ﷺ bersabda: 'Wahai Aisyah, janganlah engkau berkata buruk.' Aku (Aisyah) bertanya: 'Bukankah aku mendengar apa yang mereka katakan?' Beliau ﷺ menjawab: 'Bukankah aku sudah membalas mereka dengan mengatakan: Wa 'alaikum (dan ke atas kalian)?'” [HR Bukhari, 3030]

Terdapat juga contoh lain Nabi SAW menegur perbuatan yang kebiasaan dilakukan oleh perempuan, iaitu mengumpadan bergosip tentang keburukan orang lain.

فقد كان ﷺ يعني بتربية المرأة على البعد عن السخرية والاستهزاء، فحين قالت عائشة رضي الله عنها كلمة عارضة في حق إحدى زوجاته ﷺ نهاها عن ذلك، وغلظ لها الأمر، فعن عائشة رضي الله عنها قالت: قلت للنبي ﷺ: حسبك من صفية كذا وكذا، قال غير مسدد: تعني قصيرة، فقال: «لقد قلت كلمة لو مزجت بماء البحر لمزجته». وحكت له إنسانًا
Maksudnya : Nabi Muhammad ﷺ mendidik wanita untuk menjauhi ejekan dan penghinaan. Ketika Aisyah radhiyallahu 'anha berkata dengan nada ejekan terhadap salah satu istri Nabi ﷺ, beliau melarangnya dengan tegas. Aisyah berkata: "Cukup bagimu bahawa Shafiyah (istri Nabi) itu begini dan begitu." (Maksudnya adalah pendek). Nabi ﷺ bersabda: "Sungguh, kamu telah mengucapkan sebuah kata yang, jika dicampurkan dengan air laut, pasti akan mencemarkannya." Aisyah radhiyallahu 'anha berkata: "Dan aku menceritakan hal itu kepada beliau ﷺ." Beliau ﷺ bersabda: "Aku tidak suka jika aku menceritakan seseorang dan ada di dalamnya sesuatu yang tidak aku suka." [HR At-Tirmidzi, 2502]

Kesimpulannya, Nabi SAW telah mengajar kita cara berinteraksi dengan wanita termasuk dalam menegur pasangan supaya dapat membantu mengelakkan konflik dan membina hubungan yang lebih harmoni. Maka perlulah sentiasa ingat bahawa tujuan teguran adalah untuk memperbaiki diri dan hubungan, bukan untuk menyakiti hati pasangan.

Soalan 8
Sebahagian rumahtangga diuji dengan tohmahan dari keluarga atau kerabat kerana dilihat tidak sekufu dari sudut material dan harta. Apakah makna sebenar bagi sekufu? Bagaimanakah pula keadaan antara Nabi dan isterinya Saidatina Khadijah seorang yang kaya?
JAWAPAN :

Makna sekufu dalam konteks perkahwinan merujuk kepada kesetaraan atau kesepadanan antara pasangan dari berbagai aspek, termasuk pendidikan, harta, status sosial, dan terutama dalam amalan agama. Dalam Islam, konsep ini dianggap penting kerana ia dapat mempengaruhi keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tangga.

Sekufu bukanlah syarat sah untuk pernikahan, tetapi ia sering kali menjadi pertimbangan bagi pasangan yang ingin membina kehidupan bersama yang stabil dan bahagia. Kata Imam Ramli r.a dalam kitabnya;

فَصْلٌ فِي الْكَفَاءَةِ وَهِيَ مُعْتَبَرَةٌ فِي النِّكَاحِ دَفْعًا لِلْعَارِ لَا لِصِحَّتِهِ مُطْلَقًا وَإِلَّا لَمَا سَقَطَتْ بِالْإِسْقَاطِ كَبَقِيَّةِ الشُّرُوطِ بَلْ حَيْثُ لَا رِضَا مِنْ الْمَرْأَةِ وَحْدَهَا فِي جَبٍّ وَعُنَّةٍ وَمَعَ وَلِيِّهَا الْأَقْرَبِ
Maksudnya: Kafa'ah dianggap sebagai salah satu syarat dalam perkahwinan untuk mengelakkan aib atau malu, tetapi ia bukanlah syarat mutlak bagi kesahihan perkahwinan secara umum. Jika kafa'ah adalah syarat mutlak, maka ia tidak akan gugur dengan persetujuan, seperti syarat-syarat lain. Kafa'ah hanya diperlukan apabila tiada keredhaan sepenuhnya daripada pihak wanita, seperti dalam kes lelaki yang dikebiri atau lemah syahwat. Syarat ini juga memerlukan persetujuan wali terdekat. [Rujuk Nihayatul Muhtaj, Jld 6, hlmn. 253]

Sebagai contoh kisah perkahwinan Nabi Muhammad SAW dan Saidatina Khadijah binti Khuwailid adalah contoh yang jelas tentang bagaimana cinta dan saling menghormati dapat mengatasi perbezaan material. Khadijah adalah seorang wanita yang kaya dan berstatus tinggi dalam masyarakat Quraisy, sementara Nabi Muhammad pada awalnya adalah seorang pemuda yang tidak mempunyai harta yang banyak.

Khadijah terpesona dengan keperibadian Nabi Muhammad yang jujur dan amanah semasa beliau bekerja sebagai peniaga untuknya. Meskipun terdapat perbezaan dalam status material, Khadijah memilih untuk berkahwin dengan Nabi Muhammad kerana sifat-sifat mulia yang dimilikinya. Ini menunjukkan bahawa dalam hubungan, nilai-nilai moral dan keperibadian sering kali lebih penting daripada kekayaan material.

Khadijah bukan sahaja menyokong Nabi Muhammad secara emosional tetapi juga secara kewangan. Dia menggunakan kekayaannya untuk menyokong misi dakwah Nabi ketika beliau diangkat menjadi Rasul. Hubungan mereka adalah contoh ideal tentang bagaimana pasangan dapat saling melengkapi dan menyokong satu sama lain tanpa mengira latar belakang material.

Sekufu adalah konsep fleksibel yang bertujuan menjaga keharmonian perkahwinan, tetapi ia tidak mutlak dalam menentukan kesahihan perkahwinan. Maka Islam memberi penekanan kepada nilai taqwa, akhlak, dan keredhaan antara pasangan dan keluarga.

Soalan 9
Komunikasi yang lemah selalu jadi punca keretakan rumahtangga. Apakah cara terbaik untuk memahami pasangan yang masing-masing dari latar belakang yang berbeza. Bagaimanakah kaedah komunikasi Nabi SAW boleh diterapkan dalam rumahtangga bagi mengelakkan konflik yang lebih besar?
JAWAPAN :

Sebaik-baik ikutan yang perlu kita contohi ialah junjungan besar Baginda Rasulullah. Ini kerana kehidupan Baginda Rasulullah penuh dengan kasih sayang sesama keluarga.

Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga, Rasulullah sentiasa bergaul secara baik dengan isteri dan ahli keluarga. Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta berlemah-lembut terhadap isteri-isterinya termasuk tidak pernah memukul dan menghina mereka sebaliknya sabar dengan kerenah serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan.

Meskipun Rasulullah dikenali sebagai pemimpin yang disegani, Baginda sentiasa peka dan mencuba sedaya-upaya agar isteri tidak tersinggung.

Antara contoh komunikasi dan pergaulan Baginda Rasulullah bersama dengan isteri baginda ialah:

  • Memanggil isteri dengan panggilan manja
    أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا: يا ‌عائش، ‌هذا ‌جبريل يقرئك السلام. فقلت: وعليه السلام ورحمة الله وبركاته
    Maksudnya: "Wahai 'Aisy (sebutan untuk Aisyah), ini adalah Jibril, ia menitipkan salam untukmu." Lalu aku menjawab: "Wa alaihissalam warahmatullah wabarakatuh." [HR Bukhari, 3557]
  • Makan dan minum daripada pinggan serta gelas yang sama
    كُنْتُ ‌أَشْرَبُ ‌وَأَنَا ‌حَائِضٌ، فَأُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ، وَأَتَعَرَّقُ الْعَرْقَ، وَأَنَا حَائِضٌ، فَأُنَاوِلُهُ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ
    Maksudnya: "Tatkala aku haid, aku minum. Kemudian aku memberikannya kepada Nabi SAW dan baginda meletakkan mulutnya di atas tempat bekas mulutku. Tatkala aku haid, aku memakan daging yang masih melekat di tulangnya, lalu aku memberikannya kepada Nabi dan baginda pun meletakkan mulutnya di atas tempat bekas mulutku." [HR Ahmad, 25594]
  • Meluangkan masa bersama
    وَكَانَ ‌النَّبِيُّ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌إِذَا ‌كَانَ ‌بِاللَّيْلِ ‌سَارَ ‌مَعَ ‌عَائِشَةَ ‌يَتَحَدَّثُ
    Maksudnya: “Rasulullah datang pada malam hari, kemudian beliau mengajak Aisyah berjalan-jalan dan berbincang-bincang.” [HR al-Bukhari, 4913]
Soalan 10
Ramai pasangan berdepan cabaran isu pasangan bekerja khususnya apabila menjadi seorang ibu dan isteri yang bekerjaya. Apakah pendekatan terbaik untuk menguruskan pembahagian tugas bersama pasangan dalam urusan rumahtangga? Apakah contoh yang dapat dilihat dari rumahtangga Nabi?
JAWAPAN :

Tugas pekerjaan bagi sesebuah keluarga pada awalnya dipikul oleh suami atau bapa. Ini sudah menjadi uruf dan adat. Begitu juga tradisi kebanyakan kaum serta bangsa.

Akan tetapi setelah arus kemajuan serta kehidupan mula berubah, wanita dan lelaki seolah-olah seiring bahkan berlumba-lumba sepertimana dalam bidang pendidikan serta mencari peluang pekerjaan.

Menguruskan pembahagian tugas dalam rumahtangga bersama pasangan memerlukan komunikasi yang baik, saling menghormati dan pemahaman terhadap keperluan serta kemampuan masing-masing.

Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” [Surah al-Nisa’, ayat 19]

Berikut adalah beberapa pendekatan yang boleh diambil:

  • Perbincangan Terbuka: Luangkan masa untuk berbincang tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Setiap pasangan boleh menyatakan keutamaan dan keinginan mereka dalam melaksanakan tugas tertentu.
  • Pembahagian Berdasarkan Kekuatan: Kenal pasti kekuatan dan minat masing-masing. Jika seorang lebih suka memasak, biarkan dia mengendalikan dapur, manakala yang lain boleh mengambil tugas pembersihan atau menguruskan hal-hal luar.
  • Pengaturan Jadual: Membuat jadual atau senarai tugas mingguan dapat membantu memastikan semua tanggungjawab dipenuhi dan mengelakkan salah faham.
  • Fleksibiliti: Sentiasa bersedia untuk beradaptasi jika keadaan berubah. Ada kalanya satu pasangan mungkin lebih sibuk, jadi penting untuk saling membantu.
  • Pujian dan Penghargaan: Berikan pengiktirafan kepada pasangan atas usaha mereka. Ini boleh menggalakkan mereka untuk terus terlibat dalam pengurusan rumahtangga.

Baginda Nabi SAW juga merupakan contoh teladan dalam menguruskan kerja rumah.

عَنِ الْأَسْوَدِ ، قَالَ : سَأَلْتُ عَائِشَة ، مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ ؟ قَالَتْ : " كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ ، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ
Maksudnya: Al-Aswad berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah RA: Apa yang Rasulullah SAW lakukan di rumahnya? Beliau menjawab: Baginda membantu berkhidmat menguruskan urusan keluarga. Apabila masuknya waktu solat, baginda keluar mendirikan solat. [HR al-Bukhari, 676]

Yang terbaik dalam isu-isu sebegini ialah pasangan suami isteri mempunyai sikap belas kasihan dan saling tolong-menolong serta bertoleransi.

Scroll to Top