SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

BAPA SELURUH MANUSIA

Soalan & Jawapan: Bapa Seluruh Manusia
Soalan 1
Boleh ustaz ceritakan bagaimana penciptaan Nabi Adam AS dan apakah pengajaran utama yang boleh kita ambil daripadanya?
JAWAPAN :

Hakikat penciptaan Nabi Adam AS disebutkan dalam beberapa firman Allah SWT. Antaranya ialah firman Allah dalam Surah Ali-Imran, ayat 59:

إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ ٱللَّهِ كَمَثَلِ ءَادَمَ ۖ خَلَقَهُۥ مِن تُرَابٍۢ ثُمَّ قَالَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ
Maksudnya: “Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia.” [Surah Ali-Imran, ayat 59]

Imam Fakhrudin al-Razi ada menyebutkan beberapa cara dan peringkat penciptaan Nabi Adam AS ketika mentafsirkan ayat di atas. Antaranya ialah:

  • Dicipta daripada tanah, sebagaimana dalam ayat ini (Surah Ali-Imran, ayat 59)
  • Dicipta daripada air, firman Allah SWT: “Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air...” [Surah Al-Furqan, ayat 54]
  • Dicipta daripada tanah liat (ṭīn), firman Allah SWT: “...dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah.” [Surah al-Sajadah, ayat 7]
  • Daripada sari pati tanah liat, firman-Nya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;” [Surah al-Mukminun, ayat 12]
  • Daripada tanah liat yang melekat, firman Allah SWT: “...Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula).” [Surah al-Saffat, ayat 11]
  • Daripada tanah kering (solsol) daripada lumpur hitam yang berubah, firman-Nya: “...Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.” [Surah al-Hijr, ayat 28]

Imam al-Mawardi juga membawa pandangan tentang nama Nabi Adam AS:

  • Adam asalnya adim (أدِيمِ) iaitu permukaan bumi.
  • Adam asalnya udmah (أُدْمَةِ) iaitu warna.

Imam Fakhrudin al-Razi dalam tafsirnya juga ada menyentuh tentang beberapa pandangan al-Hukama berkaitan hikmah penciptaan Nabi Adam AS daripada tanah:

  • Agar manusia bersifat tawaduk (rendah diri).
  • Agar manusia menjadi penutup (menyembunyikan aib).
  • Agar manusia rapat dengan bumi, kerana dia diciptakan sebagai khalifah di bumi. Firman Allah SWT: “...Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” [Surah al-baqarah, ayat 30]
  • Untuk menzahirkan kekuasaan Allah: Syaitan diciptakan daripada api (paling bercahaya) tetapi diuji dengan kegelapan kesesatan. Malaikat diciptakan daripada unsur yang paling halus (udara/cahaya) dan diberi kekuatan ketaatan. Adam diciptakan daripada unsur paling padat (tanah), namun Allah mengurniakannya cinta, makrifat, cahaya dan hidayah.
  • Tanah memadamkan api, maka penciptaan manusia daripada tanah adalah isyarat supaya manusia mampu mengawal api syahwat, kemarahan dan ketamakan.

Hakikat penciptaan Nabi Adam AS daripada tanah ini bukanlah satu bentuk kerendahan nilai manusia. Namun ia merupakan satu pendidikan jiwa buat kita dalam memahami betapa istimewa penciptaan manusia yang diciptakan dari tanah dan mendapat penghormatan dari sujud para malaikat, dalam masa yang sama mengingatkan kita untuk tidak sombong kerana asalnya kita dari tanah.

Dalam kesombongan Iblis terhadap Adam, juga terdapat hikmah. Disebutkan dalam Fath al-Bayan, bahawa tanah itu lebih baik daripada api dari segi ketenangan dan ketahanan. Tanah membawa sifat sabar dan hikmah serta menjadi tempat dibinanya amanah seperti masjid dan kerajaan. Api cepat gelisah, mudah terpadam dan keterlaluan. Namun, Adam AS tidak menjadi sombong dan angkuh seperti Iblis.

Bahkan jika kita perhatikan dalam Al-Quran bagaimana Allah mengajarkan Nabi Adam AS nama-nama. Pendapat yang masyhur dari kalangan ulama tafsir bahawa nama-nama itu ialah nama segala makhluk yang diciptakan Allah, merangkumi semua bahasa yang dituturkan oleh keturunan Adam hari ini. Ini juga tanda Allah memuliakan kedudukan Nabi Adam AS dengan mengajarkan ilmu. Kemuliaan Nabi Adam AS adalah pada makrifah/pengetahuan.

Jika kita refleksi diri dengan kehidupan semasa, kadang-kala dengan segala bentuk kehebatan ilmu yang ada, kedudukan dan harta akhirnya membuat manusia lupa asal dan tujuan. Dunia moden kuat dengan naratif: “kamu bebas tentukan makna hidup sesuka hati.” Kisah penciptaan Nabi Adam AS membetulkan semula: manusia ada asal-usul, ada tujuan ibadah, ada tanggungjawab sebagai khalifah.

Dr Abdul Karim Zaidan menjelaskan hakikat Islam dan Iman dalam kitabnya Usul Dakwah dengan melontarkan persoalan penting:

  • Dari mana kita datang?
  • Untuk apa kita hidup?
  • Kemana kita akan kembali?

Ketahuilah, kita bukan hanya ciptaan yang diberikan akal semata-mata, namun kita diberikan amanah dan tanggungjawab mentadbir kehidupan dunia dengan agama dan kebenaran, dan setiap perkara mempunyai nilai tanggungan (hisab) di akhirat nanti.

Soalan 2
Apakah hikmah Allah menciptakan Hawa sebagai pelengkap hidup Nabi Adam AS?
JAWAPAN :

Hawa (حَوّاءُ) disebutkan oleh Ibnu Abbas RA: “Dan perempuan itu dinamakan Hawwa’ kerana sesungguhnya dia diciptakan daripada satu tulang rusuk daripada tulang-tulang rusuk Adam, maka dia adalah makhluk yang diciptakan daripada sesuatu yang hidup; oleh itu, tidak syak lagi dia dinamakan Hawwa’.”

Penciptaan Hawa telah diceritakan dalam Quran, antaranya firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai…” [Surah al-Nisa, ayat 1]

Begitu juga Nabi SAW telah bersabda: “...Dan berpesan-pesanlah kamu agar berbuat baik kepada para wanita, kerana sesungguhnya wanita diciptakan daripada tulang rusuk... Maka berpesan-pesanlah kamu agar berbuat baik kepada para wanita.” [HR Muslim, 1468]

Kedua-dua nas ini merupakan dalil bagi penciptaan Hawa daripada Nabi Adam AS, dan menjadikannya sebagai peneman hidup. Hikmah Allah menciptakan Hawa sebagai pasangan Nabi Adam AS bukan sekadar teman hidup, tetapi sebahagian daripada rancangan tarbiah Allah untuk membina manusia dari sudut fitrah, ibadah, keluarga, dan misi khalifah di bumi.

Daripada penciptaan Hawa buat Nabi Adam AS, kita belajar bahawa hidup manusia tidak berdiri sendiri, ia dibina dengan sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih), rahmah (belas) dan amanah.

Allah SWT juga berfirman:

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan…” [Surah al-rum, ayat 21]

Imam Ibnu Asyur menjelaskan dalam tafsirnya al-Tahrir wa al-Tanwir bahawa ayat ini mengandungi tanda kebesaran Allah, antaranya:

  • Allah menetapkan bagi manusia hukum kelangsungan zuriat.
  • Allah menjadikan kelangsungan itu melalui perkahwinan, dan tidak menjadikannya seperti tumbuhan yang membiak dengan sendirinya.
  • Allah menjadikan pasangan manusia daripada jenis yang sama, bukan daripada jenis lain, kerana rasa serasi dan kejinakan tidak akan terhasil dengan jenis yang berbeza.
  • Allah menjadikan dalam perkahwinan itu ketenangan, bukan perkahwinan yang merosakkan atau memusnahkan seperti sesetengah haiwan.

Jika kita perhatikan, penciptaan Hawa sebagai pelengkap hidup Nabi Adam AS menunjukkan bahawa manusia juga memerlukan teman, tempat berkongsi emosi dan memenuhi keperluan sebagai seorang manusia. Dalam sekian banyak cabaran hidup, kita memerlukan sistem sokongan yang stabil dan saling melengkapi.

Fitrah manusia hidup berpasangan bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal atau biologi manusia, namun sebagai pelengkap dalam menjalankan taklifan, mendapatkan ketenangan dan menemukan keseronokan dan kebahagiaan daripada pasangan.

Selain itu, kita juga dapat memahami bahawa institusi keluarga adalah merupakan sebahagian dari jalan ibadah sekiranya ia dijalani dengan ketaatan dan keimanan kepada Allah. Dalam surah al-Nisa’, ayat 1 Allah telah menjelaskan bahawa daripada penciptaan Nabi Adam AS dan Hawa, lahir darinya keturunan yang membiak, dan merupakan pintu besar kepada pembinaan generasi. Ini menepati dengan tujuan Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah (pengganti), di mana generasi demi generasi mereka akan silih berganti dan terus memakmurkan bumi dengan melaksanakan perintah dan hukum Allah SWT.

Inilah antara hikmah terbesar dari penyatuan Nabi Adam dan Hawa, lahir zuriat dan keturunan yang banyak, yang akhirnya terus berkembang menjadi khalifah di dunia, mendirikan agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Soalan 3
Apakah perbezaan sikap Nabi Adam AS dan Iblis apabila mereka melakukan kesalahan, sehingga satu dimuliakan dan satu lagi menjadi hina?
JAWAPAN :

Sikap Iblis

Allah SWT menceritakan peristiwa ini: “...Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” [Surah al-A’raf, ayat 11-12]

Sikap bongkak dan sombong Iblis bukanlah disebabkan amal ibadah (Iblis menjadi hamba yang taat dalam tempoh yang lama sebelum Adam AS lagi) tapi disebabkan dirinya, iaitu merasakan dirinya lebih sempurna kerana diciptakan daripada api.

Iblis salah melihat keutamaan. Ia bukanlah daripada keturunan dan asal, tetapi daripada ketaatan dan mengikut perintah. Sama seperti orang-orang miskin dan hamba yang taat lebih mulia daripada orang kaya dan berketurunan yang ingkar. Iblis cuba menjustifikasikan dan merasionalkan keingkarannya. Sikap iri hati ini telah membutakan Iblis sehingga hilang ketaatannya kepada Allah SWT.

Sikap Adam AS

Allah SWT menceritakan: “...Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".” [Surah al-A’raf, ayat 22]

Berbeza dengan sikap Iblis, Adam dan Hawa apabila telah melakukan kesalahan. Mereka tidak menjustifikasikan perbuatan dosa mereka, sebaliknya mereka mengaku kesilapan dan memohon keampunan. Boleh sahaja mereka berkata “Iblis yang hasut kami” dan melepaskan diri mereka, namun mereka mengambil tanggungjawab itu dan mengakui kesilapan.

Pengajaran daripada kisah ini:

  • Keburukan membandingkan diri dengan orang lain: Jika Iblis membandingkan api dirinya dan tanah Adam, manusia hari ini membandingkan “sifat-sifat tanah yang berbeza” antara anak Adam: dia dari keturunan mana, dia dari bangsa apa, dia warna kulit apa. Bila seseorang membandingkan diri dengan orang lain, dia akan cenderung untuk ada sense of superiority dan menghina serta merendah-rendahkan orang lain. Sikap inilah yang membutakan manusia daripada ketaatan dan keadilan. Inilah fitnah yang menjadikan hidup manusia berkasta, berpecah, wujudnya ketidakadilan dan penindasan. Kelebihan sebenar terletak pada usaha dan ketaatan, bukan pada asal usul.
  • Keutamaan mengaku salah dan merendahkan diri: Sejauh mana pun logik akal manusia dalam mencuba menjustifikasikan kesalahannya pada dosa dan maksiat, tindakan yang terbaik ialah berasa malu dan mengaku kesilapan. Ramai manusia yang ego dan cuba membenarkan perbuatannya agar dilihat benar atau tidak bersalah, bahkan tidak sedikit yang menyalahkan orang lain dan melepaskan tanggungjawab. Hakikatnya, kemuliaan sebenar terletak pada kerendahan diri dan mengaku salah, bukan mempertahankannya. Sebab itulah Nabi Adam AS dan Hawa diampun, sedangkan Iblis dilaknat.
  • Hakikat insan yang selalu melakukan dosa: Manusia akan selalu berbuat dosa. Itulah sifat manusia yang akan sentiasa berbuat kesilapan. Ini juga merupakan ujian kepada mereka. Maka, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap anak Adam itu sentiasa berbuat dosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah orang yang sentiasa bertaubat.” [HR al-Tirmizi, 2499] Kalimah “خَطَّاءٌ” menunjukkan bukan semata-mata buat dosa, tapi akan berulang melakukan dosa. Setiap kali Iblis berjaya menghasut anak Adam dengan dosa, maka mohon ampunlah kepada Allah SWT agar kita tidak termasuk bersama Iblis dalam neraka.
Soalan 4
Boleh ustaz kongsikan intipati dan iktibar daripada kisah Habil dan Qabil, serta kaitannya dengan kehidupan manusia hari ini?
JAWAPAN :

Allah SWT menceritakan dalam al-Quran: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya... Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!"...” [Surah al-Maidah, ayat 27-31]

Jika kisah Iblis tadi berkenaan sikap sombong (rasa diri lebih tinggi), maka kisah dua anak Adam ini berkenaan sikap rasa iri hati (rasa lebih rendah kerana korban tidak diterima). Kedua-dua perkara ini datang daripada sikap banding-membandingkan.

Sikap suka membanding-banding inilah menjadi punca kepada kerosakan, sehingga Iblis berdendam untuk menyesatkan anak Adam sehingga kiamat, sehingga seorang saudara sanggup membunuh saudaranya.

Ramai yang hari ini membandingkan nasib dirinya dengan apa yang dipertontonkan di media sosial dan kaca televisyen sehingga menimbulkan rasa iri hati dan nafsu yang kuat dan mencuba untuk mencari pelbagai cara untuk mencapai kepuasan nafsu yang buta terhadap kebaikan dan ketenangan.

Kita melihat sebahagian manusia mendapat pelbagai kelebihan berbanding yang lain (lebih pandai, lebih merdu suaranya, lebih banyak hartanya, lebih besar pengaruh, lebih senang hidupnya). Mereka merasakan bahawa dengan mendapat kelebihan-kelebihan ini ia merupakan tanda Allah SWT mencintainya. Meskipun ada kebenaran pada perkara itu, namun kita juga perlu melihat bahawa pemberian-pemberian yang Allah SWT berikan ini juga merupakan ujian dan amanah.

Berapa ramai yang bijak tapi menggunakan kebijakannya untuk menghalalkan yang haram. Berapa ramai yang merdu suaranya tapi hanya inginkan pujian dan kemasyhuran. Berapa ramai yang banyak hartanya tapi hanyut dalam kelalaian dunia hingga lupa diri. Berapa ramai yang ramai pengaruh dan rakannya tapi suka menindas orang yang tidak bersamanya. Berapa ramai yang senang hidupnya tetapi membazirkan usianya dengan maksiat dan dosa.

Mungkin Allah SWT menahan kebaikan yang zahir daripada kita agar kita melihatnya dengan mata taubat dan keinsafan agar mendapat kebaikan yang batin seperti kisah Habil dan Qabil itu. Namun, Qabil bertindak membunuh saudaranya sehingga yang terbit hanyalah penyesalan yang berkekalan.

Penawar bagi penyakit ini ialah berasa syukur dan muhasabah diri.

  • Muhasabah diri: Bermaksud menilai setiap perbuatan dan bertindak dengan sebaiknya. Ini membuka mata terhadap apa yang tersilap dan cuba membaiki dan mengubah apa yang salah.
  • Syukur: Ada 3 rukun syukur: Mengakui nikmat dalam hati, Menceritakan nikmat itu secara zahir, Menggunakan nikmat itu untuk ketaatan.
Soalan 5
Iblis pernah berjanji untuk menyesatkan manusia hingga ke akhir zaman. Apakah cara pandang yang betul yang boleh kita amalkan dalam melihat kehidupan hari ini?
JAWAPAN :

Allah SWT menyebutkan rancangan syaitan dalam menyesatkan manusia dan tujuan akhirnya: “Kemudian aku (Iblis) datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” [Surah al-A’raf, ayat 17]

Arah tipu daya syaitan menurut Ibnu Abbas RA:

  • Dari hadapan: perkara akhirat
  • Dari belakang: perkara dunia
  • Dari kanan: perbuatan kebaikan
  • Dari kiri: perbuatan keburukan

Matlamat akhirnya ialah hilangnya syukur dalam diri manusia. Dan ketiadaan sifat inilah yang membuatkan Iblis dengki, sombong dan berdendam dengan manusia.

Pertama, kita wajib menanamkan sikap bertanggungjawab penuh atas setiap tindakan kita dan menjauhi mentaliti menyalahkan takdir. Iblis menunjukkan keangkuhan dengan menyalahkan Allah SWT atas kesesatannya, sedangkan Nabi Adam AS segera mengakui kesilapan diri dan memohon ampun apabila tergelincir.

Kedua, kita perlu sentiasa waspada terhadap tipu daya yang dilakukan oleh iblis dalam kehidupan dunia. Iblis telah bersumpah untuk menghiasi dunia dan maksiat sehingga kelihatan cantik, baik, dan mempesonakan pada pandangan mata manusia, termasuklah amalan-amalan syirik dan bid'ah yang dianggap ibadah.

Ketiga, kita mesti membentengi diri dengan ilmu yang sahih bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan golongan penunggang agama. Kejahilan adalah punca utama manusia mudah ditipu oleh iblis, sehinggakan ajaran yang mengarut dan tidak berasas daripada sesetengah individu pun boleh diterima dan diikuti secara membuta tuli.

Keempat, keutamaan hidup mestilah difokuskan kepada usaha mencapai darjat Al-Mukhlisin (orang-orang yang ikhlas), kerana inilah satu-satunya golongan yang iblis akui tidak mampu disesatkannya.

Kelima, kita hendaklah meyakini prinsip "Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu" sebagai perisai utama dalam kehidupan.

Terakhir, sentiasa menerapkan rasa syukur dalam diri. Hakikat syukur ialah apabila nikmat Allah nampak pada lidah dengan pujian, pada hati dengan rasa cinta dan sedar, dan pada tubuh dengan patuh dan taat kepada-Nya. Dengan syukur la kita akan menafikan tujuan syaitan dalam menyesatkan manusia.

Soalan 6
Ada yang beranggapan dunia ini adalah tempat hukuman kepada manusia. Apakah pandangan Islam yang sebenar tentang tujuan kehidupan di dunia?
JAWAPAN :

Pertama, Islam menolak anggapan bahawa dunia ini adalah tempat hukuman. Sebaliknya, ia adalah tempat manusia diberi penghormatan dan kemudahan oleh Allah SWT. Allah bersumpah bahawa Dia telah menempatkan manusia di muka bumi dengan kedudukan yang mulia, serta menyediakan segala sumber rezeki, pakaian, dan keindahan alam sebagai fasiliti kehidupan.

وَلَقَد مَكَّنّٰكُم فِي الأَرضِ وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ ۗ قَليلًا مّا تَشكُرونَ
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.” [Surah A’raf, Ayat 10]

Kedua, tujuan sebenar kehidupan dunia adalah sebagai pentas ujian bagi melayakkan manusia menghuni syurga. Allah SWT berkuasa untuk terus menempatkan manusia di syurga tanpa bersusah payah, namun Dia mentakdirkan dunia sebagai medan untuk menguji keimanan hamba-Nya.

Ketiga, kesusahan dan kerisauan adalah lumrah kehidupan yang tidak dapat dielakkan oleh sesiapa pun, sama ada miskin atau kaya, malah para Nabi sekalipun. Setiap manusia mempunyai bentuk ujiannya yang tersendiri.

Keempat, Allah SWT menjadikan bumi sebagai tempat untuk manusia memakmurkannya dan menjadi khalifah di atasnya. Manusia dimuliakan sebagai makhluk yang ditugaskan untuk menerapkan dan melaksanakan undang-undang Allah SWT di muka bumi dan memakmurkan dengan kebaikan.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi."” [Surah al-Baqarah, ayat 30]

Kehidupan dunia menawarkan dua jalan pilihan yang kedua-duanya menuntut perjuangan (struggle), namun pengakhirannya berbeza. Sama ada memilih jalan mendekati Allah SAW atau menjauhi-Nya, manusia tetap akan berhadapan dengan kepayahan. Maka, kebijaksanaan sebenar adalah memilih jalan ketaatan yang menjanjikan syurga, dengan menyedari bahawa amalan yang ikhlas mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah SAW sebagai tiket keselamatan di akhirat.

Scroll to Top