SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
AL-AQSA DALAM ISRAK MIKRAJ
- Penerbit : Adib
Baitul Maqdis serta Palestin memiliki kedudukan yang istimewa dalam kehidupan para Nabi Allah ‘alaihimussalam. Tempat ini sangat erat kaitannya dengan sejarah kenabian, kerana hampir setiap nabi pernah terhubung dengannya, sama ada mereka dilahirkan, dibesarkan, bermukim, beribadah, berhijrah, atau dikebumikan di sana. Oleh itu, tanah ini dikenali sebagai tanah para rasul dan wahyu, tempat turunnya petunjuk ilahi.
Kisah para Nabi di tanah suci Baitul Maqdis bermula dengan pembinaan Masjidil Haram. Dalam satu hadis, Abu Dzar bertanya kepada Rasulullah:
Berdasarkan perjalanan Israk dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, beberapa titik penting perlu diperhatikan yang menunjukkan bahawa risalah para Nabi terdahulu berkesinambungan dengan risalah kerasulan nabi Muhammad SAW:
- Masjidil Aqsa sebagai ialah tempat berkumpul para Nabi dan Rasul, dan menjadi simbol penyatuan risalah kenabian.
- Dalam solat berjemaah yang diimamkan oleh Nabi Muhammad SAW bersama para nabi di Masjidil Aqsa, ia menunjukkan bahawa ajaran Islam adalah kesinambungan dan penyempurnaan daripada ajaran tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.
- Masjidil Aqsa ialah kiblat pertama dan merupakan tempat ibadah para Nabi.
- Ia menunjukkan kesatuan matlamat dan risalah yang dibawa oleh para Nabi. Walaupun syariat yang berbeza bagi setiap Nabi dan kaum yang tertentu, namun ia membawa tujuan pengabdian yang satu iaitu Allah.
- Pengiktirafan dan pengakuan oleh para Nabi tentang kenabian Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Berdasarkan beberapa titik penting ini menunjukkan risalah Tauhid yang dibawa oleh para Nabi ialah risalah yang satu, iaitu beriman kepada Allah SWT.
Peristiwa Israk Mikraj ini hakikatnya memberikan hujah dan penerangan yang tepat menolak kepercayaan lain yang menafikan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan hanya berpegang kepada Nabi tertentu misalnya kepercayaan Nasrani yang mengganggap kebenaran hanya ada pada Isa (yang dipanggil Jesus) dan menganggap Nabi Isa sebagai anak tuhan. Kerana pada hakikatnya semua Nabi membawa agama yang satu. Maka tertolak segala kepercayaan yang hanya berpegang kepada ajaran Nabi tertentu sahaja.
Berdasarkan dalil dari Quran dan Sunnah menjelaskan bahawa perjalanan Israk Nabi ialah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Firman Allah SWT:
Dalam ayat ini Masjidil Aqsa telah digambarkan sebagai tempat yang mulia dan dilimpahkan dengan keberkatan di sekitarnya. Syeikh Wahbah Zuhaili menyebutkan dalam tafsirnya, Tafsir al-Munir bahawa ia dilimpahi dengan keberkatan agama dan dunia kerana ia merupakan tempat turunnya wahyu dan tempat beribadah para Nabi. Ia dilimpahi dengan nikmat pohon-pohon dan buah-buahan.
Masjidil Aqsa adalah masjid yang telah diberkati oleh Allah SWT, termasuk kawasan sekitarnya. Ia memiliki keutamaan yang besar dalam Islam, dan solat di dalamnya mempunyai ganjaran yang sangat besar. Dajjal tidak akan dapat memasuki Masjidil Aqsa.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Antara rahsia dan hikmah al-Aqsa menjadi tempat persinggahan sebelum perjalanan Mikraj:
- Membuktikan kebenaran kepada orang yang ingkar.
Jika Nabi SAW diangkat terus ke langit dari Mekah, maka golongan yang ingkar tidak akan mempunyai peluang untuk mempertikaikan dan mendustakan Baginda. Dengan Israk ke Masjidil Aqsa, kebenaran dapat diperjelaskan dan dibuktikan melalui tanda-tanda yang dapat disaksikan. Nabi membuktikan mukjizat Baginda apabila sifat ciri-ciri Masjidil Aqsa disebut dengan tepat sehingga musyrikin Mekah kehabisan hujah untuk menyangkal Baginda SAW. - Kedudukan Masjidil Aqsa yang paling hampir dengan langit dunia.
Masjidil Aqsa terletak di tempat paling hampir dengan pintu langit dunia, dan perjalanan Mikraj menjadi secara menegak tanpa sebarang penyimpangan, sebagaimana yang diriwayatkan bahawa pintu langit dunia yang menjadi laluan para malaikat sejajar dengan Baitul Maqdis. - Menunjukkan kiblat yang pertama
Allah SWT ingin menunjukkan kepada Nabi SAW kiblat pertama yang pernah digunakan dalam solat, iaitu Batu di Masjidil Aqsa, sebagaimana Baginda telah mengetahui tentang Kaabah yang kelak akan menjadi kiblat umat Islam. - Pertemuan dengan roh para nabi
Masjidil Aqsa adalah tempat berkumpulnya roh para nabi terdahulu. Allah SWT ingin memuliakan mereka dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW, menandakan kesinambungan risalah kenabian. - Hubungan dengan hari kebangkitan
Bumi Syam, tempat letaknya Masjidil Aqsa, adalah tanah tempat manusia akan dihimpunkan pada hari kiamat. Allah SWT ingin agar kaki Baginda SAW menjejak bumi ini untuk memberikan keberkatan dan memudahkan umatnya berdiri pada hari kebangkitan. - Keutamaan Masjidil Aqsa dalam Islam
Masjidil Aqsa adalah salah satu daripada tiga masjid yang disyariatkan untuk diziarahi, iaitu:- Masjidil Haram di Mekah, tempat kelahiran, pembesaran, dan kerasulan Nabi SAW.
- Masjid Nabawi di Madinah, tempat hijrah dan persemadian Baginda.
- Masjidil Aqsa, masjid ketiga yang merupakan kiblat pertama umat Islam, tempat terjadinya Israk, dan dari situ bermulanya perjalanan Mikraj ke langit.
Peristiwa Israk Mikraj merupakan satu mukjizat besar yang berlaku kepada Rasulullah ﷺ di mana Baginda diperjalankan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, sebelum diangkat mikraj ke langit.
Masjidil Aqsa mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam sebagai kiblat pertama umat Islam. Rasulullah ﷺ dan para sahabat telah menghadap ke arah Baitul Maqdis dalam solat selama lebih kurang 16 hingga 17 bulan selepas hijrah ke Madinah.
Seorang lelaki yang turut serta dalam solat itu keluar dan melalui sekumpulan orang yang sedang bersolat di masjid mereka dalam keadaan sedang rukuk. Lelaki itu berkata:
"Demi Allah, aku telah bersolat bersama Rasulullah ﷺ menghadap ke arah Mekah!"
Maka mereka yang sedang solat segera berpaling ke arah Kaabah sebagaimana keadaan mereka. Sebelum perubahan kiblat, kaum Yahudi dan ahli kitab merasa senang ketika Rasulullah ﷺ menghadap ke arah Baitul Maqdis. Namun, apabila Baginda mengubah arah kiblatnya ke Kaabah, mereka merasa tidak senang dan mengingkari perubahan tersebut. [HR Muslim, 525]
Perubahan kiblat daripada Masjidil Aqsa ke Kaabah adalah suatu ketetapan Allah yang menguji keimanan umat Islam serta menegaskan keutamaan Masjidil Haram sebagai pusat ibadah umat Islam hingga hari kiamat.
Dalil ini menunjukkan bahawa perubahan kiblat bukan bermakna pengurangan kemuliaan Masjidil Aqsa, tetapi menegaskan fungsi Masjidil Haram sebagai kiblat utama umat Islam. Kedua-duanya mempunyai keistimewaan dalam syariat Islam;
- Masjidil Aqsa – Tempat yang diberkati, kiblat pertama, dan destinasi dalam peristiwa Israk.
- Kaabah (Masjidil Haram) – Kiblat akhir umat Islam dan tempat yang wajib dikunjungi dalam ibadah haji.
Abu Hurairah r.a juga meriwayatkan satu hadith yang menunjukkan keutamaan kedua-dua masjid ini bersama Masjid Nabawi.
Kesimpulannya, peristiwa Israk Mikraj memperkukuhkan peranan Masjidil Aqsa sebagai tempat ibadah yang dimuliakan oleh Allah dan menjadi sebahagian daripada perjalanan rohani Rasulullah ﷺ. Perubahan kiblat ke Kaabah pula adalah sebahagian daripada perintah Allah dalam menetapkan syariat yang sempurna bagi umat Islam. Kedua-dua tempat suci ini mempunyai keutamaan yang tersendiri dalam sejarah dan syariat Islam.
Bandar Baitul Maqdis amat penting bagi umat Islam, yang mempunyai hak ke atas Bandar ini dari sudut agama, sejarah dan perundangan. Terdapat tiga sejarah penting yang perlu diingati berkaitan Islam dan Baitul Maqdis.
Dalam sejarah Baitul Maqdis, sejak zaman Nabi Dawud AS sehingga ke hari ini, pemerintahan yang paling lama adalah pemerintahan Islam. Umat Islam mengekalkan kesucian Baitul Maqdis sehingga tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Umat Islam mewujudkan dan mengamalkan karakter agama yang penuh toleransi dan keimanan terhadap Baitul Maqdis.
Para ulama berkhilaf mengenai keharusan menziarahi Masjidil Aqsa pada masa kini kerana Baitul Maqdis berada di bawah kawalan rejim Zionis. Ketua Qadi Palestin, al-Syeikh Taisir al-Tamimi, pernah mengundang tokoh ulama seperti Syeikhul Azhar, Syeikh Ahmad Tayyib, untuk menziarahi Masjidil Aqsa, namun beliau menolak atas alasan penggunaan visa Israel boleh dianggap sebagai pengiktirafan terhadap kedaulatan mereka.
Pendapat ini turut disokong oleh ramai ulama, termasuk Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berfatwa tidak harus menziarahi Masjidil Aqsa pada masa kini. Namun, terdapat juga tokoh seperti Menteri Waqaf Mesir yang berpendapat sebaliknya dan menggalakkan umat Islam untuk menziarahi Kota Quds.
Para ulama yang mengharuskan untuk menziarahi baitul maqdis berpaksikan dalil berikut.
Kesimpulannya, menziarahi Baitul Maqdis adalah dibolehkan, namun ia perlu memenuhi beberapa dhawabit dan syarat yang ditetapkan. Antaranya ialah:
- Tidak mengiktiraf kedaulatan Baitul Maqdis sebagai wilayah Israel, serta mengelakkan segala bentuk yang boleh memberi manfaat besar kepada pihak Zionis.
- Umat Islam yang berkunjung ke sana disarankan untuk berhubung dengan pihak dan warga Palestin sebagai pemandu pelancong, dengan niat utama untuk membantu dan menyokong umat Islam di sana.
- Ziarah tersebut hendaklah dilakukan dengan tujuan utama untuk menunaikan solat di Masjidil Aqsa, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah ﷺ, dan bukan untuk tujuan pelancongan ke tempat-tempat lain.
- Elakkan daripada mendiami hotel yang dimiliki oleh Yahudi bagi mengurangkan sokongan ekonomi kepada mereka.
Konsep jihad dalam memperjuangkan Masjidil Aqsa perlu difahami dengan cara yang holistik dan sesuai dengan konteks semasa.
Dalam era moden yang menyaksikan pelbagai ancaman terhadap Masjidil Aqsa, jihad bukan semata-mata bermakna perjuangan bersenjata, tetapi melibatkan pelbagai bentuk usaha yang sah dan strategik dalam kerangka syariah dan realiti politik global.
Berikut adalah beberapa pendekatan jihad yang relevan dalam memperjuangkan Al-Aqsa:
- Jihad Ilmu dan Kesedaran (Jihad al-‘Ilm).
- Umat Islam perlu memperkukuhkan pemahaman mereka tentang kepentingan Al-Aqsa dari sudut sejarah, akidah, dan politik.
- Meningkatkan kesedaran masyarakat melalui ceramah, seminar, media sosial, dan penulisan tentang kepentingan Masjidil Aqsa dalam Islam dan ancaman yang dihadapinya.
- Jihad Harta (Jihad al-Mal).
- Menyumbang secara kewangan kepada organisasi yang membantu rakyat Palestin dalam bentuk bantuan kemanusiaan, pembangunan ekonomi dan sosial.
- Menyokong produk dan ekonomi umat Islam serta memboikot produk yang secara langsung menyokong penjajahan Zionis. Dilaporkan anggaran kerugian tahunan bagi ekonomi Israel adalah sebanyak hampir RM54 Billion.
- Jihad Politik dan Diplomasi.
- Umat Islam perlu menggunakan saluran diplomatik untuk mendesak kerajaan dan pertubuhan antarabangsa seperti OIC, PBB, dan NGO untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan Al-Aqsa.
- Berperanan dalam menyalurkan suara rakyat melalui demonstrasi aman, petisyen, dan lobi politik untuk memastikan isu ini sentiasa mendapat perhatian global. Hasil yang terbaru kini kita boleh melihat beberapa perubahan signifikan di peringkat global seperti: Pemimpin mereka didakwa di International Criminal Court (ICC) dan telah terbukti bersalah membuat genosid. Negara-negara dunia mula memutuskan hubungan dengan Israel (Colombia, Nicaragua, Bahrain, Chile, Chad, Bolivia, Honduras, Afrika Selatan, Belize dll).
- Jihad Media dan Teknologi.
- Memanfaatkan media digital untuk menyebarkan maklumat sahih dan membongkar propaganda musuh yang cuba memesongkan fakta berkaitan Masjidil Aqsa.
- Menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube untuk menggerakkan kempen kesedaran seperti #IsraelKoyak & #IsraelCuak.
- Jihad Spiritual dan Doa.
- Memperbanyakkan doa dan qunut nazilah, kerana perjuangan ini bukan sekadar usaha fizikal tetapi juga memerlukan bantuan Allah SWT.
- Meningkatkan amal ibadah seperti solat tahajud, bacaan al-Quran, dan amalan taqarrub ilallah bagi memperkuat keimanan dan istiqamah dalam perjuangan.
Ibrah ini boleh diambil dari hadith Nabi Muhammad SAW berkaitan pembebasan Kota Konstantinopel:
Masjidil Aqsa bukan sekadar sebuah tempat ibadah, tetapi ia berfungsi sebagai simbol perpaduan yang menyatukan umat Islam serta lambang keadilan dan hak kemanusiaan bagi seluruh manusia.
Penindasan yang berlaku di Masjidil Aqsa telah membuka mata masyarakat dunia bahawa keadilan adalah nilai universal yang merentasi agama dan bangsa. Hal ini telah menarik solidariti daripada pelbagai lapisan masyarakat global, termasuk mereka yang sebelum ini tidak pernah peduli, seperti rakyat di Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea, dan Jepun.
Berikut adalah beberapa peranan utama Masjidil Aqsa dalam konteks perpaduan umat Islam dan kemanusiaan sejagat:
- Lambang Keimanan dan Perpaduan Umat Islam. Masjidil Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam, sebelum kiblat dipindahkan ke Kaabah di Makkah. Umat Islam dari pelbagai latar belakang budaya, bangsa, dan mazhab bersatu dalam mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa, melalui doa, sumbangan, dan tindakan diplomatik yang mencerminkan semangat Ukhuwah Islamiyah (persaudaraan Islam).
- Simbol Keteguhan Menentang Penindasan dan Penjajahan. Konflik di sekitar Masjidil Aqsa telah menjadi isu kemanusiaan sejagat, di mana masyarakat dunia dari pelbagai agama dan latar belakang turut bersolidariti dengan rakyat Palestin untuk mempertahankan hak mereka. Pertubuhan antarabangsa, badan hak asasi manusia, dan masyarakat sivil telah menjadikan Masjidil Aqsa sebagai titik fokus dalam perjuangan menentang pencerobohan dan diskriminasi.
- Penggerak Solidariti Ekonomi dan Sosial. Isu Masjidil Aqsa juga telah mencetuskan gerakan ekonomi seperti Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) di seluruh dunia ke atas produk yang menyokong penjajahan, memperlihatkan perpaduan dalam tindakan ekonomi umat Islam. Program bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada rakyat Palestin menunjukkan komitmen global dalam membantu mereka yang tertindas. Kesepaduan ekonomi dan sosial ini menjadi platform untuk memperkuat hubungan antara negara-negara Islam dan organisasi kemanusiaan antarabangsa.
Sememangnya syariat menganjurkan agar kita saling bantu membantu antara satu sama lain.
Firman Allah SWT:
Oleh itu, kita diharuskan dan juga dituntut untuk membantu saudara kita yang dalam kesempitan di sana. Namun begitu, sumbangan tidak boleh disalurkan secara terus melainkan melalui perantaraan kerajaan mahupun NGO.
Berikutan kes penyelewangan dana yang dikumpulkan untuk Palestin, maka NGO yang terlibat secara keseluruhannya terpalit sama. Maka, dalam menangani isu ini, kita boleh tetap terus menyalurkan dana buat Palestin namun melalui kerajaan atau NGO yang telus lagi dipercayai.
Ketelusan dan kepercayaan ini dapat dilihat menerusi proses audit yang dilakukan ke atas kewangan entiti tersebut. Perkara ini juga disinggung oleh Menteri Agama di mana beliau tegaskan agar jangan disalahgunakan dana tersebut melainkan kepada tujuan sebenarnya.
Pembebasan al-Aqsa adalah suatu cita-cita setiap Muslim. Ia merupakan kiblat pertama umat Islam dan juga tempat ketiga suci setelah Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi.
Perjuangan yang dilakukan oleh masyarakat Palestin di sana adalah dengan mengangkat senjata. Namun Islam sendiri tidak menganjurkan semua umat Islam keluar berjuang melainkan mereka yang berkemampuan sempurna.
Firman Allah SWT:
Oleh itu, kita yang berada jauh, lebih lagi tidak dianjurkan untuk turun ke sana secara mutlak. Namun begitu, terdapat lagi kaedah lain demi membantu perjuangan mereka. Antaranya adalah menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka agar mereka mempunyai bekalan yang mencukupi.
Selain itu, kita juga boleh berdoa agar kemenangan sentiasa memihak kepada suadara kita di sana. Sabda Nabi SAW:
Selain itu, ambil tahu perkembangan terkini yang berlaku di Palestin dan menyebarkan kepada ahli keluarga serta rakan terdekat dapat meningkatkan rasa kebersamaan kita berkenaan peperangan umat Islam di Palestin.
