SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
BAHTERA KEIMANAN
- Penerbit : Adib
Asalnya umat manusia ini berpegang dalam satu ketauhidan yang suci sejak zaman Nabi Adam AS. Merekalah kumpulan manusia yang terawal dalam sejarah manusia yang mana sifat mereka itu beriman. Keimanan mereka datang daripada ajaran dan didikan Nabi Adam AS, bapa seluruh manusia.
- Qatadah dan al-Dahhak berkata: “Sesungguhnya mereka (iaitu manusia) dahulunya berada di atas kebenaran.”
- Disebutkan dalam Fathul Bayan: “Mereka dahulunya menyepakati satu agama, iaitu Islam.”
Namun, datang satu zaman di mana manusia melakukan kesyirikan dan kekufuran yang pertama dalam sejarah manusia.
- Imam al-Sa’di berkata: “Dan apabila mereka berselisih dalam agama, maka sebahagian daripada mereka menjadi kafir dan sebahagian yang lain tetap di atas agama, terjadilah perselisihan, lalu Allah mengutus para rasul untuk memutuskan antara makhluk dan menegakkan hujah atas mereka.”
Dalam sebuah hadis qudsi:
Dalam kesesatan inilah, Nabi Nuh AS diutuskan untuk membawa umat manusia kembali mentauhidkan Allah SWT. Baginda melihat manusia menyembah berhala yang Allah SWT sebutkan dalam KalamNya:
Muhammad bin Ka’b berkata:
Daripada sini, bermulalah usaha Nabi Nuh AS dalam mengembalikan hati-hati manusia kepada kejernihan tauhid sesuai dengan fitrah mereka yang asal, seperti fitrah bapa mereka iaitu Adam AS.
Kaum Nabi Nuh pada asalnya tidak menyembah patung. Mereka hanya ingin mengingati orang-orang soleh dengan membuat patung sebagai simbol kenangan. Namun apabila ilmu hilang dan generasi berganti, simbol itu berubah menjadi sembahan.
Inilah kaedah syaitan: tidak terus mengajak kepada syirik, tetapi bermula dengan menghias perkara yang kelihatan baik, kemudian mengalih sedikit demi sedikit sehingga manusia terjatuh dalam kesesatan.
Begitu juga realiti hari ini. Sikap bermudah-mudahan dalam agama menjadi pintu awal kepada kelalaian. Malah, sensitiviti terhadap halal dan haram juga semakin tumpul apabila kesalahan kecil diulang-ulang.
Contoh realiti hari ini:
- Bermudah-mudahan dalam menutup aurat (cukup syarat tetapi tidak sempurna).
- Bermudah-mudahan dalam urusan kewangan seperti riba atau sumber syubhah.
Walaupun hari ini kita tidak menyembah patung seperti kaum Nabi Nuh, tetapi bentuk “penyembahan” boleh muncul dalam cara lain:
- Taksub kepada tokoh agama, individu, atau wira tertentu dalam sejarah: Menganggap seseorang maksum, tidak boleh ditegur, tidak boleh dikritik atau meletakkan pergantungan sepenuhnya kepadanya.
- Budaya viral dan pengaruh media: Menjadikan artis, influencer atau idola sebagai rujukan mutlak tanpa neraca agama.
Solusinya:
- Mendidik generasi dengan kefahaman akidah yang jelas, supaya sejarah syirik tidak berulang dalam bentuk moden.
- Menjaga ilmu tauhid: memahami bahawa hanya Allah yang berkuasa memberi manfaat dan mudarat.
- Membezakan antara hormat dan taksub: menghormati orang soleh tanpa mengangkat mereka melebihi batas.
Al-Quran menyebutkan betapa lamanya Nabi Nuh AS hidup bersama kaumnya:
- 950 tahun itu tempoh Nabi Nuh AS berdakwah kepada kaumnya, menurut Imam al-Sa’di.
- Imam al-Mawardi menukilkan pendapat Ibnu Abbas RA: “Sesungguhnya Baginda diutus sebagai Nabi pada usia empat puluh tahun daripada umurnya, dan tinggal dalam kalangan kaumnya selama seribu tahun kecuali lima puluh tahun (950 tahun), dan hidup selepas taufan selama enam puluh tahun. Maka jumlah umurnya ialah seribu lima puluh tahun.”
Baginda tetap gigih menyeru kaumnya tanpa putus asa dan tidak jemu menasihati mereka. Nabi Nuh AS berdakwah siang dan malam, secara sembunyi dan terang-terangan, namun kaumnya tetap sesat dan terus dalam kekufuran serta kezaliman.
Bayangkan jika kita berada di tempat Nabi Nuh. Konflik kita dengan ahli keluarga, sahabat serta orang lain yang berlangsung selama beberapa hari, bulan atau tahun pun sudah membuat kita merana, duka dan hilang semangat, apatah lagi dakwah Baginda AS yang berlangsung selama hampir 1000 tahun! Amat sedikit masa kita jika dibandingkan dengan waktu yang diluangkan oleh Nabi Nuh.
Lihatlah luahan Nabi Nuh AS kepada Allah SWT:
“(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);”
“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).”
“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.”
“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;”
“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.”
[Surah Nuh, ayat 5-9]
Dan Allah SWT menyebutkan hasil dakwah Baginda AS:
Ketahuilah, mesej besar di sebalik kisah Nabi Nuh AS yang berdakwah dalam tempoh yang sangat panjang ialah untuk meneguhkan hati para pendakwah, mengajar erti sabar, dan menjelaskan bahawa tugas manusia hanyalah berusaha dan bukan menentukan hasil.
Menghibur dan meneguhkan hati Rasulullah SAW
- Penyebutan tempoh panjang Nabi Nuh berdakwah bukan sekadar fakta sejarah, tetapi sebagai hiburan dan penguat jiwa buat Rasulullah SAW yang turut berdepan penolakan, ejekan dan tentangan.
Mengajar kesabaran dalam mengajak membuat kebaikan
- Nabi Nuh berdakwah siang dan malam, secara rahsia dan terang-terangan. Namun hasilnya tidak besar dari sudut angka. Ini mendidik bahawa kesabaran bukan sekadar menahan marah, tetapi konsisten melakukan kebenaran walaupun tidak dihargai dan tidak nampak hasil.
Beramal kerana perintah Allah, bukan kerana hasil
- Nabi Nuh terus berdakwah bukan kerana ramai yang menerima, tetapi kerana itu perintah Allah. Maka nilai sebenar amal terletak pada ketaatan, bukan pada kejayaan zahir. Walaupun hasilnya sedikit, ganjaran tetap sempurna di sisi Allah.
Kisah ini juga membetulkan persepsi moden yang sering mengukur kejayaan dengan angka, pengaruh dan populariti. Dalam neraca wahyu, kejayaan ialah istiqamah di atas kebenaran walaupun sedikit yang bersama kita.
Dakwah Nabi Nuh AS berhadapan dengan tentangan yang sangat keras di mana kaumnya bukan sahaja mendustakan kerasulan baginda, malah menuduhnya sebagai orang gila yang hilang akal atau dirasuki jin.
Mereka tidak membuka ruang dialog yang sihat, sebaliknya bertindak agresif dengan mengherdik dan menghalang baginda daripada menyampaikan risalah melalui pelbagai bentuk cacian, tegahan keras, dan gangguan fizikal serta mental demi mematahkan usaha dakwah tersebut.
Dialog ini dirakamkan dalam al-Quran:
- “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami”
Pendapat ini salah, kerana ilmu manusia yang benar dan paling bermanfaat adalah wahyu yang disampaikan oleh para Rasul. Adakah mereka menyangka kebenaran itu semata-mata datang daripada malaikat yang bukannya manusia? - “Kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat”
Kebenaran tetap kebenaran walau tidak diikuti ramai. Kesombongan (seperti melihat kebenaran hanya benar jika daripada orang yang tinggi darjatnya) menghalang manusia mengenal dan menerima kebenaran. - “Kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami”
Kelebihan Nuh ke atas mereka ialah Baginda ialah seorang Nabi dan Rasul. Menafikan keistimewaan para Rasul menunjukkan kebodohan dan penolakan nikmat Allah. Kebenaran tetap harus diterima, tidak kira ia disampaikan oleh orang mulia atau rendah. - “Kami menganggap kamu orang-orang pendusta”
Jelaslah bahawa mereka hanya menyangka, bahkan ianya batil. Para Rasul menangkisnya dengan dalil yang jelas sehingga tiada keraguan tentang kebatilan tuduhan itu.
Kemudian, Nabi Nuh AS menjawab:
- Nabi Nuh AS menjelaskan bahawa walau dia diutus dengan hujah dan risalah dari Allah, dia tidak mampu memaksa orang untuk beriman. Hanya Allah yang memberi hidayah kepada keimanan.
- Meskipun segala bukti telah nyata, bahkan di hadapan mereka ada seorang Nabi, namun mereka tetap menutup hati mereka, maka mereka tetap tidak akan mendapat hidayah dan kebaikan.
Bahkan, Nabi Nuh AS menegaskan:
- Kelebihan nabi termasuk keikhlasan dalam beribadah dan berdakwah, tidak meminta balasan dari manusia, serta pengikutnya dituntut meneladani keikhlasan itu, dengan janji Allah akan memberi ganjaran lebih baik di dunia dan akhirat.
Teladan daripada peristiwa ini:
- Sebagai pujukan dan penghibur hati bagi para pendakwah, khususnya Rasulullah SAW.
- Keikhlasan dalam dakwah dan mengharapkan ganjaran Allah SWT.
- Menegakkan kebenaran walau ditentang, dihina, diherdik dan diremehkan.
- Menyedari bahawa hidayah milik Allah sahaja.
- Menghargai ilmu wahyu kerana ianya yang paling benar dan bermanfaat, tidak kira ia datang melalui manusia biasa.
- Tidak menilai manusia dari darjat atau pangkat kerana kebenaran tidak bergantung pada status sosial.
Kita lihat dalam al-Quran banyak kali Nabi Nuh menunjukkan pergantungannya kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
Allah SWT berfirman:
Allah SWT berfirman:
Kisah Nabi Nuh AS mengingatkan kita bahawa keselamatan dan perlindungan sebenar tidak datang daripada kekuatan fizikal, kemahiran manusia, atau harta benda semata-mata, tetapi sepenuhnya bergantung kepada pertolongan Allah SWT.
Setiap pergerakan, usaha, dan keputusan yang kita lakukan perlu disertai dengan kesedaran bahawa Allah adalah Pemelihara dan Penjaga yang sebenar.
Dengan sentiasa berzikir, mengingati Allah, dan memuji-Nya ketika menghadapi cabaran atau menerima nikmat, hati menjadi tenang dan mendapat keberkatan.
Dalam realiti hari ini, manusia moden sering menganggap keselamatan bergantung sepenuhnya pada teknologi, infrastruktur, atau kemajuan ekonomi. Kita terlalu bergantung pada sistem keselamatan digital, jaminan kewangan, dan kemampuan fizikal semata-mata tanpa menyedari bahawa ujian dan musibah boleh datang dalam bentuk bencana alam, krisis ekonomi, atau penyakit.
Tanpa kesedaran bahawa Allah adalah Pemelihara sebenar, kita mudah menjadi panik, cemas, atau merasa gagal ketika menghadapi cabaran yang tidak dapat dikawal oleh manusia.
Solusi:
- Sentiasa memulakan dan mengakhiri setiap aktiviti dengan doa dan mengingati Allah.
- Berzikir dan bersyukur atas nikmat yang diterima, terutamanya ketika terselamat dari kesulitan.
- Mengukuhkan iman melalui amal soleh dan menjaga hubungan dengan Allah.
- Bersedia menghadapi ujian dengan sabar, tanpa terlalu mengharapkan hasil daripada kemampuan sendiri semata-mata.
- Sentiasa mencari keberkatan Allah dalam setiap usaha, sama ada dalam pekerjaan, pembelajaran, atau kehidupan seharian.
Dialog antara Nabi Nuh AS dan anaknya merupakan antara kisah paling menyentuh dalam Al-Quran kerana ia menggambarkan usaha dakwah yang penuh kasih, namun berakhir dengan kegagalan dari sudut hubungan duniawi.
Kisah ini mengajar kita bahawa niat baik, hubungan darah, dan kedudukan tidak menjamin kejayaan di sisi Allah jika tidak disertai iman dan ketaatan. Ia juga memberi panduan besar dalam bagaimana kita berbuat baik kepada orang lain tanpa menggantungkan hasil kepada manusia.
Firman Allah SWT:
Ayat ini menunjukkan puncak kasih sayang dan usaha terakhir seorang ayah yang juga seorang nabi. Walaupun anaknya menolak kebenaran, Nabi Nuh tetap memanggil dengan panggilan lembut “ya bunayya” (wahai anakku), menandakan dakwah mesti disampaikan dengan hikmah, kasih dan kesungguhan, walaupun kepada orang yang paling hampir dengan kita.
Namun, apabila anaknya memilih bergantung kepada logik dunia (gunung sebagai pelindung), Allah menunjukkan bahawa segala perlindungan selain Allah adalah sia-sia. Di sinilah jelas bahawa nasab, hubungan darah, dan kebijaksanaan manusia tidak bernilai jika terpisah daripada iman.
Rasulullah SAW bersabda:
Hadis ini menjelaskan dua prinsip besar dalam syariat:
Pertama: Kemuliaan ilmu dan usaha mencarinya. Ungkapan “menempuh jalan menuntut ilmu” merangkumi:
- Jalan fizikal, seperti melangkah ke masjid, sekolah, universiti atau majlis ilmu
- Jalan maknawi, seperti kesungguhan belajar, membaca, bertanya dan memahami agama
Ganjarannya bukan sekadar pahala, tetapi Allah memudahkan jalan hidupnya menuju syurga, sama ada melalui kefahaman yang benar, amal soleh, atau petunjuk dalam membuat keputusan hidup.
Kedua: Nasab tidak menggantikan amal. Sabda Nabi SAW “dan sesiapa yang dilambatkan oleh amalnya, tidak akan dipercepatkan oleh keturunannya” menetapkan satu kaedah penting:
- Keturunan mulia tidak menjamin keselamatan
- Nama besar keluarga tidak menampung kekurangan amal
- Sejarah baik ibu bapa tidak mewakili tanggungjawab peribadi di hadapan Allah
Seseorang tidak boleh bergantung pada kelebihan nasab, jawatan, atau latar belakang keluarga untuk menutup kelemahan amal dan ketaatan.
Kesimpulannya, Hadis ini menegaskan bahawa ukuran sebenar di sisi Allah ialah ilmu yang membawa kepada amal, dan amal yang lahir daripada iman. Jalan menuju kemuliaan dan syurga tidak diwarisi, tetapi diusahakan.
Maka, setiap Muslim dituntut:
- Bersungguh-sungguh menuntut ilmu
- Memperbaiki amal tanpa bergantung pada status atau keturunan
- Menyedari bahawa yang menyelamatkan di akhirat bukan siapa kita, tetapi apa yang kita lakukan dan bagaimana kita mengakhiri kehidupan
Wasiat Nabi Nuh AS dan kesudahan kaumnya selepas banjir ialah gambaran jelas tentang sunnatullah yang tetap: kebatilan akan runtuh apabila ia menolak wahyu, manakala golongan beriman akan diselamatkan dan diberi kelangsungan sebagai penerus di bumi.
Dalam konteks membina kebaikan dalam masyarakat, kisah ini menegaskan bahawa “masa depan” bukan milik mereka yang paling kuat dari sudut kuasa dan bilangan, tetapi milik mereka yang paling benar dan paling tunduk kepada Allah.
Firman Allah SWT:
Ayat ini merumuskan “penutup” episod banjir: Allah menyelamatkan Nabi Nuh AS dan orang beriman, lalu memulakan fasa baharu kehidupan manusia dengan salam (keamanan) dan barakah (keberkatan).
Ini bukan sekadar keselamatan fizikal daripada bencana, tetapi pengiktirafan bahawa golongan beriman akan menjadi teras kepada generasi seterusnya. Ia selari dengan ketetapan Allah bahawa bumi akhirnya diwarisi oleh hamba-hamba-Nya yang soleh:
Maka, “kesudahan” kaum Nabi Nuh bukan hanya kisah hukuman, tetapi bukti bahawa taqwa menghasilkan kelangsungan, dan kebenaran menghasilkan pewarisan nilai serta peradaban.
Rasulullah SAW bersabda:
Wasiat Nabi Nuh AS dalam hadis ini memusatkan agama kepada empat inti yang menjadi “akar” keselamatan selepas fitnah besar (banjir) dan selepas berakhirnya sebuah peradaban yang menolak wahyu.
- Pertama, Baginda meletakkan tauhid sebagai asas yang paling berat dalam neraca. Dalam riwayat yang sama, Nabi SAW menyebut bahawa kalimah tauhid mengatasi timbangan langit dan bumi. Ini mendidik umat bahawa keselamatan hakiki bukan pada strategi, keturunan atau kekuatan material, tetapi pada pembetulan hubungan dengan Allah.
- Kedua, Baginda mewasiatkan zikir “Subhanallah wa bihamdih” kerana ia membina jiwa yang bersih: menggabungkan tanzih (mensucikan Allah daripada نقص) dan hamd (memuji serta mensyukuri). Zikir bukan hiasan, tetapi latihan rohani yang menstabilkan hati dan membentuk akhlak tunduk.
- Ketiga, Baginda melarang syirik kerana syirik ialah kerosakan paling besar pada asas iman. Ia menukar arah hidup: daripada bergantung kepada Allah kepada bergantung kepada selain Allah, sama ada makhluk, ideologi, kuasa atau hawa nafsu.
- Keempat, Baginda melarang kesombongan kerana takabbur adalah penghalang terbesar untuk menerima kebenaran. Dalam huraian hadis tersebut, Nabi SAW mentakrifkan kesombongan sebagai menolak kebenaran dan merendahkan manusia. Ini penting kerana banyak penolakan dakwah bukan berpunca daripada kekurangan maklumat, tetapi kerana ego yang enggan tunduk.
Kesimpulannya: Kesudahan Nabi Nuh AS dan kaumnya selepas banjir mengajarkan bahawa sunnatullah tidak berubah: Allah menyelamatkan orang beriman dengan salam dan barakah, lalu memberi kelangsungan kepada generasi yang berpegang pada kebenaran.
Wasiat Nabi Nuh AS pula merumuskan jalan selamat bagi mana-mana umat yang mahu menjadi “pewaris bumi” dari sudut nilai: tegakkan tauhid, hidupkan zikir, jauhi syirik, dan hancurkan kesombongan. Dengan empat prinsip ini, seseorang bukan sahaja selamat daripada “banjir” fitnah zaman, bahkan layak berada dalam barisan “hamba-hamba Allah yang soleh” yang dijanjikan pewarisan bumi.
