SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

AL-AQSA DALAM ISRAK MIKRAJ

Soalan & Jawapan: Al-Aqsa Dalam Israk Mikraj
Soalan 1
Bagaimanakah kedudukan Masjidil Aqsa dalam konteks perjalanan Israk Mikraj membuktikan kesinambungan risalah para nabi terdahulu dengan kerasulan Nabi Muhammad SAW?
JAWAPAN :

Baitul Maqdis serta Palestin memiliki kedudukan yang istimewa dalam kehidupan para Nabi Allah ‘alaihimussalam. Tempat ini sangat erat kaitannya dengan sejarah kenabian, kerana hampir setiap nabi pernah terhubung dengannya, sama ada mereka dilahirkan, dibesarkan, bermukim, beribadah, berhijrah, atau dikebumikan di sana. Oleh itu, tanah ini dikenali sebagai tanah para rasul dan wahyu, tempat turunnya petunjuk ilahi.

Kisah para Nabi di tanah suci Baitul Maqdis bermula dengan pembinaan Masjidil Haram. Dalam satu hadis, Abu Dzar bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَىُّ مَسْجِدٍ وُضِعَ فِي الأَرْضِ أَوَّلُ قَالَ ‏"‏ الْمَسْجِدُ الْحَرَامُ ‏"‏‏.‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ الْمَسْجِدُ الأَقْصَى ‏"‏‏.‏ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَهُمَا قَالَ ‏"‏ أَرْبَعُونَ سَنَةً، ثُمَّ أَيْنَمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلاَةُ بَعْدُ فَصَلِّهْ، فَإِنَّ الْفَضْلَ فِيهِ ‏"‏‏.‏‏
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, masjid manakah yang pertama kali dibangunkan di bumi?" Baginda menjawab: "Masjidil Haram." Aku bertanya lagi: "Kemudian masjid yang mana?" Baginda menjawab: "Masjidil Aqsa." Aku bertanya: "Berapa lama jarak waktu antara keduanya?" Baginda menjawab: "Empat puluh tahun. Kemudian di mana sahaja engkau mendapati waktu solat telah tiba, maka solatlah, kerana keutamaan itu ada di dalamnya.” [HR al-Bukhari, 3366]

Berdasarkan perjalanan Israk dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, beberapa titik penting perlu diperhatikan yang menunjukkan bahawa risalah para Nabi terdahulu berkesinambungan dengan risalah kerasulan nabi Muhammad SAW:

  • Masjidil Aqsa sebagai ialah tempat berkumpul para Nabi dan Rasul, dan menjadi simbol penyatuan risalah kenabian.
  • Dalam solat berjemaah yang diimamkan oleh Nabi Muhammad SAW bersama para nabi di Masjidil Aqsa, ia menunjukkan bahawa ajaran Islam adalah kesinambungan dan penyempurnaan daripada ajaran tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.
  • Masjidil Aqsa ialah kiblat pertama dan merupakan tempat ibadah para Nabi.
  • Ia menunjukkan kesatuan matlamat dan risalah yang dibawa oleh para Nabi. Walaupun syariat yang berbeza bagi setiap Nabi dan kaum yang tertentu, namun ia membawa tujuan pengabdian yang satu iaitu Allah.
  • Pengiktirafan dan pengakuan oleh para Nabi tentang kenabian Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Berdasarkan beberapa titik penting ini menunjukkan risalah Tauhid yang dibawa oleh para Nabi ialah risalah yang satu, iaitu beriman kepada Allah SWT.

Peristiwa Israk Mikraj ini hakikatnya memberikan hujah dan penerangan yang tepat menolak kepercayaan lain yang menafikan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan hanya berpegang kepada Nabi tertentu misalnya kepercayaan Nasrani yang mengganggap kebenaran hanya ada pada Isa (yang dipanggil Jesus) dan menganggap Nabi Isa sebagai anak tuhan. Kerana pada hakikatnya semua Nabi membawa agama yang satu. Maka tertolak segala kepercayaan yang hanya berpegang kepada ajaran Nabi tertentu sahaja.

Soalan 2
Apakah rahsia dan hikmah di sebalik pemilihan Masjidil Aqsa sebagai persinggahan dalam Israk sebelum Mikraj?
JAWAPAN :

Berdasarkan dalil dari Quran dan Sunnah menjelaskan bahawa perjalanan Israk Nabi ialah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Firman Allah SWT:

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Isra’, ayat 1]

Dalam ayat ini Masjidil Aqsa telah digambarkan sebagai tempat yang mulia dan dilimpahkan dengan keberkatan di sekitarnya. Syeikh Wahbah Zuhaili menyebutkan dalam tafsirnya, Tafsir al-Munir bahawa ia dilimpahi dengan keberkatan agama dan dunia kerana ia merupakan tempat turunnya wahyu dan tempat beribadah para Nabi. Ia dilimpahi dengan nikmat pohon-pohon dan buah-buahan.

Masjidil Aqsa adalah masjid yang telah diberkati oleh Allah SWT, termasuk kawasan sekitarnya. Ia memiliki keutamaan yang besar dalam Islam, dan solat di dalamnya mempunyai ganjaran yang sangat besar. Dajjal tidak akan dapat memasuki Masjidil Aqsa.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

لَمَّا فَرَغَ سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ مِنْ بِنَاءِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ سَأَلَ اللَّهَ ثَلاَثًا حُكْمًا يُصَادِفُ حُكْمَهُ وَمُلْكًا لاَ يَنْبَغِي لأَحَدٍ مِنْ بَعْدِهِ وَأَلاَّ يَأْتِيَ هَذَا الْمَسْجِدَ أَحَدٌ لاَ يُرِيدُ إِلاَّ الصَّلاَةَ فِيهِ إِلاَّ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمَ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ‏"‏ أَمَّا اثْنَتَانِ فَقَدْ أُعْطِيَهُمَا وَأَرْجُو أَنْ يَكُونَ قَدْ أُعْطِيَ الثَّالِثَةَ ‏"‏
Maksudnya: “Ketika Nabi Sulaiman bin Dawud AS selesai membina Baitul Maqdis (Masjidil Aqsa), beliau memohon kepada Allah tiga perkara: (1) Hikmah dalam penghakiman yang sesuai dengan hukum Allah. (2) Kerajaan yang tidak akan diberikan kepada sesiapa pun selepasnya. (3) Agar sesiapa yang datang ke masjid ini dengan tujuan semata-mata untuk solat di dalamnya, maka dia akan keluar dari dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. Maka Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dua permintaan telah dikabulkan, dan aku berharap bahawa permintaan yang ketiga juga telah dikabulkan.” [HR Ibnu Majah, 1408]

Antara rahsia dan hikmah al-Aqsa menjadi tempat persinggahan sebelum perjalanan Mikraj:

  • Membuktikan kebenaran kepada orang yang ingkar.
    Jika Nabi SAW diangkat terus ke langit dari Mekah, maka golongan yang ingkar tidak akan mempunyai peluang untuk mempertikaikan dan mendustakan Baginda. Dengan Israk ke Masjidil Aqsa, kebenaran dapat diperjelaskan dan dibuktikan melalui tanda-tanda yang dapat disaksikan. Nabi membuktikan mukjizat Baginda apabila sifat ciri-ciri Masjidil Aqsa disebut dengan tepat sehingga musyrikin Mekah kehabisan hujah untuk menyangkal Baginda SAW.
  • Kedudukan Masjidil Aqsa yang paling hampir dengan langit dunia.
    Masjidil Aqsa terletak di tempat paling hampir dengan pintu langit dunia, dan perjalanan Mikraj menjadi secara menegak tanpa sebarang penyimpangan, sebagaimana yang diriwayatkan bahawa pintu langit dunia yang menjadi laluan para malaikat sejajar dengan Baitul Maqdis.
  • Menunjukkan kiblat yang pertama
    Allah SWT ingin menunjukkan kepada Nabi SAW kiblat pertama yang pernah digunakan dalam solat, iaitu Batu di Masjidil Aqsa, sebagaimana Baginda telah mengetahui tentang Kaabah yang kelak akan menjadi kiblat umat Islam.
  • Pertemuan dengan roh para nabi
    Masjidil Aqsa adalah tempat berkumpulnya roh para nabi terdahulu. Allah SWT ingin memuliakan mereka dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW, menandakan kesinambungan risalah kenabian.
  • Hubungan dengan hari kebangkitan
    Bumi Syam, tempat letaknya Masjidil Aqsa, adalah tanah tempat manusia akan dihimpunkan pada hari kiamat. Allah SWT ingin agar kaki Baginda SAW menjejak bumi ini untuk memberikan keberkatan dan memudahkan umatnya berdiri pada hari kebangkitan.
  • Keutamaan Masjidil Aqsa dalam Islam
    Masjidil Aqsa adalah salah satu daripada tiga masjid yang disyariatkan untuk diziarahi, iaitu:
    • Masjidil Haram di Mekah, tempat kelahiran, pembesaran, dan kerasulan Nabi SAW.
    • Masjid Nabawi di Madinah, tempat hijrah dan persemadian Baginda.
    • Masjidil Aqsa, masjid ketiga yang merupakan kiblat pertama umat Islam, tempat terjadinya Israk, dan dari situ bermulanya perjalanan Mikraj ke langit.
    [Rujuk: Fatawa Darul Ifta’,الحكمة من سبق الإسراء للمعراج وكون المعراج من المسجد الأقصى - الفتاوى - دار الإفتاء المصرية‏]
Soalan 3
Bagaimanakah peristiwa Israk Mikraj memperkukuhkan peranan Masjidil Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam, dan apakah kepentingan perubahan kiblat kepada Kaabah dalam konteks keutamaan kedua-duanya di sisi syariat?
JAWAPAN :

Peristiwa Israk Mikraj merupakan satu mukjizat besar yang berlaku kepada Rasulullah ﷺ di mana Baginda diperjalankan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, sebelum diangkat mikraj ke langit.

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
Maksudnya : Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [Surah Al Isra’ : 1]

Masjidil Aqsa mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam sebagai kiblat pertama umat Islam. Rasulullah ﷺ dan para sahabat telah menghadap ke arah Baitul Maqdis dalam solat selama lebih kurang 16 hingga 17 bulan selepas hijrah ke Madinah.

كانَ أوَّلَ ما قَدِمَ المَدِينَةَ نَزَلَ علَى أجْدَادِهِ، أوْ قالَ أخْوَالِهِ مِنَ الأنْصَارِ، وأنَّهُ صَلَّى قِبَلَ بَيْتِ المَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ شَهْرًا، أوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا، وكانَ يُعْجِبُهُ أنْ تَكُونَ قِبْلَتُهُ قِبَلَ البَيْتِ، وأنَّهُ صَلَّى أوَّلَ صَلَاةٍ صَلَّاهَا صَلَاةَ العَصْرِ، وصَلَّى معهُ قَوْمٌ فَخَرَجَ رَجُلٌ مِمَّنْ صَلَّى معهُ، فَمَرَّ علَى أهْلِ مَسْجِدٍ وهُمْ رَاكِعُونَ، فَقالَ: أشْهَدُ باللَّهِ لقَدْ صَلَّيْتُ مع رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ قِبَلَ مَكَّةَ، فَدَارُوا كما هُمْ قِبَلَ البَيْتِ، وكَانَتِ اليَهُودُ قدْ أعْجَبَهُمْ إذْ كانَ يُصَلِّي قِبَلَ بَيْتِ المَقْدِسِ، وأَهْلُ الكِتَابِ، فَلَمَّا ولَّى وجْهَهُ قِبَلَ البَيْتِ، أنْكَرُوا ذلكَ
Maksudnya : Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah ﷺ pertama kali tiba di Madinah, Baginda tinggal bersama datuk-datuknya, atau menurut riwayat lain, bersama bapa saudara dari kalangan Ansar. Baginda telah menunaikan solat menghadap ke arah Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan. Rasulullah ﷺ sangat menginginkan kiblatnya diubah ke arah Kaabah (Baitullah). Pada suatu hari, Baginda menunaikan solat pertama menghadap ke Kaabah dalam solat Asar, dan bersama Baginda terdapat satu kelompok jemaah.
Seorang lelaki yang turut serta dalam solat itu keluar dan melalui sekumpulan orang yang sedang bersolat di masjid mereka dalam keadaan sedang rukuk. Lelaki itu berkata:
"Demi Allah, aku telah bersolat bersama Rasulullah ﷺ menghadap ke arah Mekah!"
Maka mereka yang sedang solat segera berpaling ke arah Kaabah sebagaimana keadaan mereka. Sebelum perubahan kiblat, kaum Yahudi dan ahli kitab merasa senang ketika Rasulullah ﷺ menghadap ke arah Baitul Maqdis. Namun, apabila Baginda mengubah arah kiblatnya ke Kaabah, mereka merasa tidak senang dan mengingkari perubahan tersebut. [HR Muslim, 525]

Perubahan kiblat daripada Masjidil Aqsa ke Kaabah adalah suatu ketetapan Allah yang menguji keimanan umat Islam serta menegaskan keutamaan Masjidil Haram sebagai pusat ibadah umat Islam hingga hari kiamat.

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan. [Surah Al Baqarah, 144]

Dalil ini menunjukkan bahawa perubahan kiblat bukan bermakna pengurangan kemuliaan Masjidil Aqsa, tetapi menegaskan fungsi Masjidil Haram sebagai kiblat utama umat Islam. Kedua-duanya mempunyai keistimewaan dalam syariat Islam;

  • Masjidil Aqsa – Tempat yang diberkati, kiblat pertama, dan destinasi dalam peristiwa Israk.
  • Kaabah (Masjidil Haram) – Kiblat akhir umat Islam dan tempat yang wajib dikunjungi dalam ibadah haji.

Abu Hurairah r.a juga meriwayatkan satu hadith yang menunjukkan keutamaan kedua-dua masjid ini bersama Masjid Nabawi.

وَلا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاثَةِ مَسَاجِدَ: مَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِي، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
Maksudnya: Dan janganlah kamu bersusah payah untuk bermusafir kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi), dan Masjid al-Aqsa. [HR Muslim, 827]

Kesimpulannya, peristiwa Israk Mikraj memperkukuhkan peranan Masjidil Aqsa sebagai tempat ibadah yang dimuliakan oleh Allah dan menjadi sebahagian daripada perjalanan rohani Rasulullah ﷺ. Perubahan kiblat ke Kaabah pula adalah sebahagian daripada perintah Allah dalam menetapkan syariat yang sempurna bagi umat Islam. Kedua-dua tempat suci ini mempunyai keutamaan yang tersendiri dalam sejarah dan syariat Islam.

Soalan 4
Apakah kelebihan dan keistimewaan ibadah di Masjidil Aqsa menurut perspektif maqasid syariah, dan adakah umat Islam perlu menziarahinya walaupun ia menguntungkan Israel dari sudut ekonomi dan moral?
JAWAPAN :

Bandar Baitul Maqdis amat penting bagi umat Islam, yang mempunyai hak ke atas Bandar ini dari sudut agama, sejarah dan perundangan. Terdapat tiga sejarah penting yang perlu diingati berkaitan Islam dan Baitul Maqdis.

Dalam sejarah Baitul Maqdis, sejak zaman Nabi Dawud AS sehingga ke hari ini, pemerintahan yang paling lama adalah pemerintahan Islam. Umat Islam mengekalkan kesucian Baitul Maqdis sehingga tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Umat Islam mewujudkan dan mengamalkan karakter agama yang penuh toleransi dan keimanan terhadap Baitul Maqdis.

Para ulama berkhilaf mengenai keharusan menziarahi Masjidil Aqsa pada masa kini kerana Baitul Maqdis berada di bawah kawalan rejim Zionis. Ketua Qadi Palestin, al-Syeikh Taisir al-Tamimi, pernah mengundang tokoh ulama seperti Syeikhul Azhar, Syeikh Ahmad Tayyib, untuk menziarahi Masjidil Aqsa, namun beliau menolak atas alasan penggunaan visa Israel boleh dianggap sebagai pengiktirafan terhadap kedaulatan mereka.

Pendapat ini turut disokong oleh ramai ulama, termasuk Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berfatwa tidak harus menziarahi Masjidil Aqsa pada masa kini. Namun, terdapat juga tokoh seperti Menteri Waqaf Mesir yang berpendapat sebaliknya dan menggalakkan umat Islam untuk menziarahi Kota Quds.

Para ulama yang mengharuskan untuk menziarahi baitul maqdis berpaksikan dalil berikut.

وَلا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاثَةِ مَسَاجِدَ: مَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِي، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
Maksudnya: Dan janganlah kamu bersusah payah untuk bermusafir kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi), dan Masjid al-Aqsa. [HR Muslim, 827]

Kesimpulannya, menziarahi Baitul Maqdis adalah dibolehkan, namun ia perlu memenuhi beberapa dhawabit dan syarat yang ditetapkan. Antaranya ialah:

  • Tidak mengiktiraf kedaulatan Baitul Maqdis sebagai wilayah Israel, serta mengelakkan segala bentuk yang boleh memberi manfaat besar kepada pihak Zionis.
  • Umat Islam yang berkunjung ke sana disarankan untuk berhubung dengan pihak dan warga Palestin sebagai pemandu pelancong, dengan niat utama untuk membantu dan menyokong umat Islam di sana.
  • Ziarah tersebut hendaklah dilakukan dengan tujuan utama untuk menunaikan solat di Masjidil Aqsa, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah ﷺ, dan bukan untuk tujuan pelancongan ke tempat-tempat lain.
  • Elakkan daripada mendiami hotel yang dimiliki oleh Yahudi bagi mengurangkan sokongan ekonomi kepada mereka.
Soalan 5
Dalam era moden yang menyaksikan pelbagai ancaman terhadap Masjidil Aqsa, bagaimana konsep jihad yang sebenar untuk difahami orang umat Islam dalam memperjuangkan Al-Aqsa?
JAWAPAN :

Konsep jihad dalam memperjuangkan Masjidil Aqsa perlu difahami dengan cara yang holistik dan sesuai dengan konteks semasa.

Dalam era moden yang menyaksikan pelbagai ancaman terhadap Masjidil Aqsa, jihad bukan semata-mata bermakna perjuangan bersenjata, tetapi melibatkan pelbagai bentuk usaha yang sah dan strategik dalam kerangka syariah dan realiti politik global.

Berikut adalah beberapa pendekatan jihad yang relevan dalam memperjuangkan Al-Aqsa:

  • Jihad Ilmu dan Kesedaran (Jihad al-‘Ilm).
    • Umat Islam perlu memperkukuhkan pemahaman mereka tentang kepentingan Al-Aqsa dari sudut sejarah, akidah, dan politik.
    • Meningkatkan kesedaran masyarakat melalui ceramah, seminar, media sosial, dan penulisan tentang kepentingan Masjidil Aqsa dalam Islam dan ancaman yang dihadapinya.
  • Jihad Harta (Jihad al-Mal).
    • Menyumbang secara kewangan kepada organisasi yang membantu rakyat Palestin dalam bentuk bantuan kemanusiaan, pembangunan ekonomi dan sosial.
    • Menyokong produk dan ekonomi umat Islam serta memboikot produk yang secara langsung menyokong penjajahan Zionis. Dilaporkan anggaran kerugian tahunan bagi ekonomi Israel adalah sebanyak hampir RM54 Billion.
  • Jihad Politik dan Diplomasi.
    • Umat Islam perlu menggunakan saluran diplomatik untuk mendesak kerajaan dan pertubuhan antarabangsa seperti OIC, PBB, dan NGO untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan Al-Aqsa.
    • Berperanan dalam menyalurkan suara rakyat melalui demonstrasi aman, petisyen, dan lobi politik untuk memastikan isu ini sentiasa mendapat perhatian global. Hasil yang terbaru kini kita boleh melihat beberapa perubahan signifikan di peringkat global seperti: Pemimpin mereka didakwa di International Criminal Court (ICC) dan telah terbukti bersalah membuat genosid. Negara-negara dunia mula memutuskan hubungan dengan Israel (Colombia, Nicaragua, Bahrain, Chile, Chad, Bolivia, Honduras, Afrika Selatan, Belize dll).
  • Jihad Media dan Teknologi.
    • Memanfaatkan media digital untuk menyebarkan maklumat sahih dan membongkar propaganda musuh yang cuba memesongkan fakta berkaitan Masjidil Aqsa.
    • Menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube untuk menggerakkan kempen kesedaran seperti #IsraelKoyak & #IsraelCuak.
  • Jihad Spiritual dan Doa.
    • Memperbanyakkan doa dan qunut nazilah, kerana perjuangan ini bukan sekadar usaha fizikal tetapi juga memerlukan bantuan Allah SWT.
    • Meningkatkan amal ibadah seperti solat tahajud, bacaan al-Quran, dan amalan taqarrub ilallah bagi memperkuat keimanan dan istiqamah dalam perjuangan.

Ibrah ini boleh diambil dari hadith Nabi Muhammad SAW berkaitan pembebasan Kota Konstantinopel:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ جَيْشُهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Kota Konstantinopel pasti akan dibuka, maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya, dan sebaik-baik pasukan adalah pasukannya.” [Musnad Ahmad, 18957]
Soalan 6
Apakah peranan Masjidil Aqsa sebagai simbol perpaduan umat Islam dan manusia sejagat dalam mempertahan hak kemanusiaan?
JAWAPAN :

Masjidil Aqsa bukan sekadar sebuah tempat ibadah, tetapi ia berfungsi sebagai simbol perpaduan yang menyatukan umat Islam serta lambang keadilan dan hak kemanusiaan bagi seluruh manusia.

Penindasan yang berlaku di Masjidil Aqsa telah membuka mata masyarakat dunia bahawa keadilan adalah nilai universal yang merentasi agama dan bangsa. Hal ini telah menarik solidariti daripada pelbagai lapisan masyarakat global, termasuk mereka yang sebelum ini tidak pernah peduli, seperti rakyat di Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea, dan Jepun.

Berikut adalah beberapa peranan utama Masjidil Aqsa dalam konteks perpaduan umat Islam dan kemanusiaan sejagat:

  • Lambang Keimanan dan Perpaduan Umat Islam. Masjidil Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam, sebelum kiblat dipindahkan ke Kaabah di Makkah. Umat Islam dari pelbagai latar belakang budaya, bangsa, dan mazhab bersatu dalam mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa, melalui doa, sumbangan, dan tindakan diplomatik yang mencerminkan semangat Ukhuwah Islamiyah (persaudaraan Islam).
  • Simbol Keteguhan Menentang Penindasan dan Penjajahan. Konflik di sekitar Masjidil Aqsa telah menjadi isu kemanusiaan sejagat, di mana masyarakat dunia dari pelbagai agama dan latar belakang turut bersolidariti dengan rakyat Palestin untuk mempertahankan hak mereka. Pertubuhan antarabangsa, badan hak asasi manusia, dan masyarakat sivil telah menjadikan Masjidil Aqsa sebagai titik fokus dalam perjuangan menentang pencerobohan dan diskriminasi.
  • Penggerak Solidariti Ekonomi dan Sosial. Isu Masjidil Aqsa juga telah mencetuskan gerakan ekonomi seperti Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) di seluruh dunia ke atas produk yang menyokong penjajahan, memperlihatkan perpaduan dalam tindakan ekonomi umat Islam. Program bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada rakyat Palestin menunjukkan komitmen global dalam membantu mereka yang tertindas. Kesepaduan ekonomi dan sosial ini menjadi platform untuk memperkuat hubungan antara negara-negara Islam dan organisasi kemanusiaan antarabangsa.
Soalan 7
Sekarang sudah banyak NGO dan persatuan yang membuat kutipan derma bagi membantu umat Islam di Palestin dan juga memelihara Masjidil Aqsa. Tetapi ada juga isu2 penyelewengan dan salah guna dana awam yang telah dilaporkan. Bagaimana kita hendak mencari titik tengah di antara 2 perkara tersebut?
JAWAPAN :

Sememangnya syariat menganjurkan agar kita saling bantu membantu antara satu sama lain.

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” [Surah al-Ma’idah, ayat 2]

Oleh itu, kita diharuskan dan juga dituntut untuk membantu saudara kita yang dalam kesempitan di sana. Namun begitu, sumbangan tidak boleh disalurkan secara terus melainkan melalui perantaraan kerajaan mahupun NGO.

Berikutan kes penyelewangan dana yang dikumpulkan untuk Palestin, maka NGO yang terlibat secara keseluruhannya terpalit sama. Maka, dalam menangani isu ini, kita boleh tetap terus menyalurkan dana buat Palestin namun melalui kerajaan atau NGO yang telus lagi dipercayai.

Ketelusan dan kepercayaan ini dapat dilihat menerusi proses audit yang dilakukan ke atas kewangan entiti tersebut. Perkara ini juga disinggung oleh Menteri Agama di mana beliau tegaskan agar jangan disalahgunakan dana tersebut melainkan kepada tujuan sebenarnya.

Soalan 8
Bagi kami yang sudah berusia dan uzur nak sama-sama memperjuangkan Al-Aqsa, sebagai kiblat pertama umat Islam bagaimanakah caranya ustz?
JAWAPAN :

Pembebasan al-Aqsa adalah suatu cita-cita setiap Muslim. Ia merupakan kiblat pertama umat Islam dan juga tempat ketiga suci setelah Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi.

Perjuangan yang dilakukan oleh masyarakat Palestin di sana adalah dengan mengangkat senjata. Namun Islam sendiri tidak menganjurkan semua umat Islam keluar berjuang melainkan mereka yang berkemampuan sempurna.

Firman Allah SWT:

لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلَا عَلَى الْمَرْضَى وَلَا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِنْ سَبِيلٍ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: “Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah al-Taubah, ayat 91]

Oleh itu, kita yang berada jauh, lebih lagi tidak dianjurkan untuk turun ke sana secara mutlak. Namun begitu, terdapat lagi kaedah lain demi membantu perjuangan mereka. Antaranya adalah menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka agar mereka mempunyai bekalan yang mencukupi.

Selain itu, kita juga boleh berdoa agar kemenangan sentiasa memihak kepada suadara kita di sana. Sabda Nabi SAW:

الدُّعَاءُ سِلاَحُ المُؤمِن
Maksudnya: “Doa adalah senjata orang mukmin.” [HR al-Hakim, 2/162]

Selain itu, ambil tahu perkembangan terkini yang berlaku di Palestin dan menyebarkan kepada ahli keluarga serta rakan terdekat dapat meningkatkan rasa kebersamaan kita berkenaan peperangan umat Islam di Palestin.

Scroll to Top