ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 6 MINIT

ADAKAH BOLEH MENGHADIRI PERAYAAN KAUM LAIN?

Sekiranya kita mengkaji serangan pemikiran terhadap masyarakat, salah satu ideologi yang menyerang adalah liberalisme. Liberalisme merupakan ideologi induk yang memperjuangkan pembebasan daripada pengaruh agama serta melonggarkan komitmen terhadap tuntutan dan nilai agama. Di bawah liberalisme, terdapat pelbagai cabang pemikiran, antaranya pluralisme.

Aliran Pluralisme ini membawa maksud perkongsian nilai kebenaran antara agama-agama. Konsep ini bercanggah dengan prinsip Islam, yang menegaskan bahawa kebenaran adalah mutlak dalam Islam, manakala agama lain dianggap sesat. Hal ini selaras dengan firman Allah dalam al-Quran:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ ۗ وَمَا ٱخْتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Maksudnya : Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Al Imran, 19]

Pluralisme berpegang kepada prinsip bahawa kebenaran bersifat relatif dan tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana agama. Ini bercanggah dengan epistemologi Islam yang menegaskan bahawa kebenaran mutlak hanya wujud dalam Islam.

Dari sudut lain Pluralisme juga mengangkat hermeneutika keterbukaan dalam tafsiran agama, yang akhirnya membawa kepada sinkretisme agama. Prinsip ini berusaha mengaburkan eksklusiviti Islam dengan mewujudkan inklusi agama, suatu konsep yang bertentangan dengan tauhid. Sebagai contoh mereka berusaha mencampuri urusan agama Islam dengan pelbagai cara. Hakikatnya, mereka sering memanipulasi slogan-slogan yang kedengaran lunak seperti kebebasan dan kesamarataan, namun pada hakikatnya bersifat diskriminatif terhadap Islam.

Dalam al-Quran, istilah pluralisme tidak disebut secara langsung, namun peringatan terhadap konsep ini banyak dinyatakan. Al-Quran membongkar faktor-faktor yang mendorong pluralisme agama, yang boleh dikategorikan kepada dua bentuk kritikan, iaitu terhadap kelemahan umat Islam sendiri dan terhadap musuh yang berusaha menyebarkan fahaman ini. Antara kelemahan yang membawa kepada kecenderungan pluralisme dalam kalangan umat Islam ialah:

  • Kelemahan epistemologi Islam – Kegagalan dalam memahami diskursus teologi Islam menyebabkan umat Islam mudah menerima epistemologi luar.
  • Perasaan teruja terhadap sistem nilai asing – Masyarakat yang kurang memiliki jati diri keilmuan sering terpesona dengan falsafah ilmu asing tanpa menyedari percanggahan pemikiran yang berlaku.
  • Kecenderungan terhadap asimilasi budaya – Usaha mengharmonikan hubungan sosial sering menyebabkan umat Islam berkompromi dengan akidah.
  • Tekanan sosial terhadap identiti keagamaan – Ketakutan dilabel sebagai ekstremis atau eksklusif menyebabkan sebahagian umat Islam tunduk kepada naratif pluralisme.

Al-Quran telah menceritakan bagaimana Bani Israel yang telah diselamatkan oleh Allah daripada kezaliman Firaun, namun ketika mereka melalui satu perkampungan yang menyembah berhala, mereka meminta Nabi Musa untuk membuatkan mereka berhala seperti yang dimiliki kaum tersebut.

وَجَـٰوَزْنَا بِبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱلْبَحْرَ فَأَتَوْا۟ عَلَىٰ قَوْمٍۢ يَعْكُفُونَ عَلَىٰٓ أَصْنَامٍۢ لَّهُمْ ۚ قَالُوا۟ يَـٰمُوسَى ٱجْعَل لَّنَآ إِلَـٰهًۭا كَمَا لَهُمْ ءَالِهَةٌۭ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌۭ تَجْهَلُونَ

Maksudnya : Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. [Surah Al A’raf, ayat 138]

Nabi Musa menegur mereka dengan tegas dan menyatakan bahawa permintaan tersebut lahir daripada kejahilan. Sepatutnya, setelah menyaksikan kekuasaan Allah yang menyelamatkan mereka, mereka lebih yakin dengan agama sendiri. Namun, mereka masih tergoda oleh agama lain, menunjukkan bahawa sikap mudah teruja boleh menjadi punca kepada pluralisme agama.

Begitu juga dalam masyarakat hari ini, keterujaan terhadap agama lain sering berlaku secara halus dan beransur-ansur. Umat Islam mula menerima unsur-unsur luar tanpa menyedari bahawa ia boleh menggugat identiti dan kepercayaan mereka.

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَن قَبْلَكُمْ شِبْرًا بشِبْرٍ، وَذِرَاعًا بذِرَاعٍ، حتَّى لو سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ، قُلْنَا: يا رَسُولَ اللَّهِ، اليَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قالَ: فَمَنْ؟

Maksudnya : "Kamu pasti akan mengikuti jejak langkah orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jika mereka memasuki lubang biawak sekalipun, nescaya kamu akan mengikutinya." Kami bertanya, "Wahai Rasulullah, (adakah yang Baginda maksudkan itu) Yahudi dan Nasrani?" Baginda menjawab, "Lalu siapa lagi (kalau bukan mereka)?" [HR Muslim, 2669]

Dalam berinteraksi dengan sosio-budaya dan agama masyarakat, kita tidak boleh bersikap naif dengan hanya bergantung kepada tafsiran yang diberikan oleh penganut agama lain. Sebagai contoh, apabila kita bertanya tentang sesuatu perayaan, mereka mungkin menjawab bahawa ia sekadar perayaan budaya. Namun, menerima jawapan ini tanpa penelitian yang mendalam boleh menyebabkan kita terperangkap dalam kesimpulan yang salah.

Hakikatnya, dalam banyak agama lain, agama dan budaya telah bercampur menjadi satu. Sebaliknya, dalam Islam, terdapat pemisahan yang jelas antara unsur budaya dan unsur keagamaan. Oleh itu, kita perlu meneliti setiap elemen dalam sesuatu perayaan dan menilai sama ada ia mengandung kepercayaan agama seperti unsur mitos, kepercayaan agama, ritual keagamaan, pemuliaan terhadap roh, dewa, atau entiti ghaib. Oleh itu, kita bertanggungjawab untuk mentakrifkan sendiri perayaan tersebut berdasarkan prinsip Islam, bukan hanya menerima tafsiran pihak lain.

Garis sempadan dalam menangkis pluralisme telah ditegaskan dalam Al-Quran, antaranya dalam Surah Al-Kafirun:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah... Untukmu agamamu, dan untukku agamaku." (Surah al-Kafirun: 1-6)

Ayat ini mengulangi penegasan epistemologi Islam bahawa agama Islam dan agama lain tidak boleh disamakan. Ketika golongan musyrik cuba merombak eksklusiviti Islam, Rasulullah menolaknya dengan tegas.

Kesimpulannya, Islam menuntut umatnya untuk memelihara akidah dengan teguh tanpa mencampurkan unsur luar yang boleh menggugat keimanan. Dalam dunia yang semakin global dan mencabar, pemahaman yang mendalam terhadap Islam menjadi benteng utama dalam mempertahankan identiti dan prinsip keagamaan. Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa berpegang kepada ajaran yang benar serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda pluralisme yang boleh menghakis batasan agama.

Scroll to Top