BULAN ISLAM | DURASI MEMBACA: 6 MINIT

RAMADAN DAN JIHAD MELAWAN NAFSU: ANTARA KESABARAN DAN KETUNDUKAN

Ramadan dalam Perspektif Islam

Ramadan adalah anugerah terindah bagi umat Nabi Muhammad SAW, Ia satu nikmat yang tidak diberikan kepada umat-umat sebelumnya. Ia bukan sekadar bulan ibadah puasa, tetapi juga medan jihad bagi orang beriman dalam perjuangan melawan hawa nafsu.

Dalam perspektif Islam, jihad tidak hanya bermaksud peperangan secara fizikal, tetapi juga merangkumi usaha menundukkan hawa nafsu. Ramadan mengajar kita bahawa ketundukan kepada Allah SWT melalui kawalan diri dan kesabaran bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Justeru, mari kita hayati impak Ramadan dari pelbagai sudut dan bagaimana ia membentuk peribadi seorang Muslim sejati.

Keimanan: Menundukkan Hawa Nafsu sebagai Jihad Terbesar

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdillah RA :

رَجَعْنَا مِنَ الجهادِ الأصغرِ إلى الجهادِ الأكبرِ . قالوا : وما الجِهادُ الأكبرُ ؟ قال : جِهادُ القَلبِ

Maksudnya : “Kami telah pulang daripada jihad yang lebih kecil kepada jihad yang lebih besar. Mereka bertanya : Apakah yang dimaksudkan dengan jihad yang lebih besar itu ? Nabi SAW bersabda : Kesungguhan seseorang hamba melawan hawa nafsunya”. [HR al-Baihaqi, 373]

Hadis ini mengajarkan bahawa jihad yang paling besar bukan sekadar pertempuran di medan perang, tetapi perjuangan melawan hawa nafsu yang menghalang manusia daripada mencapai kesempurnaan iman. Ramadan menjadi madrasah untuk melatih jiwa agar mampu menundukkan keinginan diri, menahan daripada perkara yang halal sebagai persediaan menjauhi yang haram, serta menguatkan semangat untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam kehidupan.

Sejarah membuktikan bahawa kelemahan dalam mengawal hawa nafsu boleh membawa kepada kehancuran umat. Pada zaman Imam Al-Ghazali, umat Islam mengalami kemerosotan semangat berjihad sehingga mereka merasa mustahil untuk menewaskan tentera Salib. Kebergantungan terhadap dunia, kelalaian terhadap agama, serta kelemahan jiwa menyebabkan mereka hilang keyakinan dan keberanian. Melihat penyakit ini, Imam Al-Ghazali menulis Ihya’ Ulum al-Din sebagai usaha menghidupkan kembali semangat Islam yang sebenar.

Karyanya bukan sekadar kitab fiqh atau akidah, tetapi sebuah usaha membangunkan semula jiwa umat Islam agar sedar bahawa kemenangan tidak hanya bergantung kepada kekuatan fizikal, tetapi juga kekuatan rohani dan penguasaan terhadap hawa nafsu. Meskipun kita tidak berada dalam situasi perang seperti umat Islam pada zaman Imam Al-Ghazali, kita tetap berdepan dengan jihad melawan hawa nafsu. Maka Ramadan adalah kesempatan terbaik untuk menundukkan hawa nafsu dan membangunkan semangat perjuangan dalam diri.

Psiko-Spiritual: Puasa sebagai Latihan Menundukkan Emosi dan Keinginan Berlebihan

Tidak dinafikan bahawa puasa adalah medan jihad melawan nafsu, bukan hanya dalam menahan makan dan minum, tetapi juga dalam mengawal emosi seperti marah, kecewa, dan perasaan negatif yang lain. Dari sudut pembentukan akhlak, nafsu dan syaitan adalah musuh abadi yang sering menggagalkan usaha mentarbiah hati. Sedangkan hati adalah aset terpenting dalam pembentukan akhlak seseorang.

Daripada Nu’man bin Basyir RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati.” [HR Muslim, 1599]

Rasulullah SAW sangat menitikberatkan soal hati, mengingatkan umatnya untuk menjaga dan mentarbiahnya agar tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan dan hawa nafsu. Menurut Nazlinda, Pegawai Psikologi Jabatan Pengangkutan Awam, perintah berpuasa dalam Islam bertujuan melatih self-control atau pengendalian diri. Aspek ini amat penting kerana ia merupakan komponen utama dalam membentuk jiwa dan psikologi yang sihat.

Menariknya, dalam era globalisasi ini, semakin ramai individu bukan Muslim turut mencuba kaedah berpuasa sepanjang Ramadan. Sebagai contoh, influencer terkenal Ng Yee Sheng atau lebih dikenali sebagai Bos James, yang meskipun status keislamannya masih menjadi tanda tanya, tetap menunjukkan minat untuk merasai pengalaman berpuasa. Jika mereka yang tidak dibesarkan dalam suasana Islam berminat untuk menyelami hikmah Ramadan, seharusnya kita yang lahir sebagai Muslim lebih bersemangat menjadikan bulan ini sebagai madrasah untuk mendidik jiwa dan mentarbiah hati.

Sosial: Menjaga Lisan dan Hubungan Sosial dalam Bulan Ramadan

Pada era akhir zaman ini, semakin berleluasa satu tabiat buruk yang dinormalisasikan dalam masyarakat—cyberbullying atau buli siber. Lisan adalah anugerah Ilahi yang seharusnya digunakan untuk mengesakan Allah SWT, namun ia juga boleh menjadi senjata utama bagi nafsu dalam bergosip, menyebarkan fitnah, dan melontarkan kata-kata buruk. Rasulullah SAW bersabda dalam Sahih Bukhari:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan buruk, maka Allah SWT tidak berhajat dia meninggalkan makan dan minumnya. [HR al-Bukhari no. 1903]

Menurut Syeikh Alwi bin Abdul Qadir As-Saqqaf, antara hikmah dan tujuan utama puasa ialah mencapai ketakwaan, mengawal syahwat, serta mendisiplinkan jiwa. Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi tujuannya adalah untuk mendidik, memperbaiki, dan menyucikan jiwa.

Falsafah Hidup: Kemenangan Hakiki Adalah Menguasai Diri sebelum Menguasai Dunia

Manusia seing memikirkan hal duniawi sehingga meninggalkan ukhrawi. Hal ini disebabkan tiada panduan iman dan taqwa dalam mengejar cita-cita dan impian. Akhirat merupakan tempat tinggal kita yang abadi manakala dunia hanya sekadar jambatan atau persinggahan sementara buat kita. Allah SWT berfirman:

وَابْتَغِ فِيْمَآ اٰتٰىكَ اللّٰهُ الدَّارَ الْاٰخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيْبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَاَحْسِنْ كَمَآ اَحْسَنَ اللّٰهُ اِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِى الْاَرْضِۗ اِنَّ اللّٰهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِيْن

Maksudnya: Dan, carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (pahala) negeri akhirat, tetapi janganlah kamu lupakan bagianmu di dunia. Berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerusakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan. (Surah Al-Qasas: 77)

Allah SWT menegaskan agar hamba-Nya mengutamakan akhirat tanpa mengabaikan urusan dunia. Ramadan adalah bukti hikmah Ilahi, diciptakan sebagai madrasah tarbiah bagi umat Islam. Sirah telah membuktikan bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat menjalani kehidupan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, menggunakan Ramadan sebagai ruang untuk melatih kesederhanaan dan disiplin diri. Justeru, tidak diragukan lagi bahawa Ramadan adalah sekolah terbaik dalam membentuk insan yang bertaqwa serta berjaya di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, Ramadan adalah sekolah terbaik dalam mendidik jiwa dan melatih jihad melawan hawa nafsu. Ia mengajar kita ketundukan kepada Allah, kesabaran dalam ujian, serta disiplin dalam kehidupan. Kejayaan sebenar dalam Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi membentuk taqwa yang berkekalan.

Si kecil bermain galah panjang,
Bersama kawan penuh riang ria,
Mampukah diri ini terus berjuang,
meski ditinggalkan Ramadhan yang mulia?

Scroll to Top