ADAKAH BOLEH MENGHADIRI PERAYAAN KAUM LAIN?
- Penerbit : Muhammad Harith Bin Saiful Bahri Azam
Aidilfitri merupakan simbol kemenangan bagi mereka yang berjaya menempuh madrasah Ramadan dengan penuh keikhlasan. Kemenangan ini bukan sekadar diraikan dengan juadah yang enak atau pakaian baharu yang indah, tetapi lebih bermakna apabila ia mencerminkan kejayaan seseorang mendidik diri dengan nilai-nilai takwa yang diterap sepanjang Ramadan dan terus diamalkan sepanjang hayat.
Aidilfitri merupakan hari untuk kita mensyukuri nikmat-Nya, menghayati hikmah Ramadan, serta meneruskan amalan-amalan baik yang telah dibiasakan sepanjang bulan mulia tersebut. Firman Allah SWT:
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya : mencukupkan bilangan (hari puasa) serta hendaklah kamu bertakbir (membesarkan) Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." [Surah Al-Baqarah, ayat 185]
Ayat ini menegaskan bahawa Aidilfitri bukan sekadar tamatnya puasa, tetapi juga waktu untuk bertakbir memuji kebesaran Allah dan menyatakan rasa syukur atas segala petunjuk dan kekuatan yang diberikan sepanjang Ramadan. Kesyukuran ini bukan hanya pada lisan, tetapi perlu dizahirkan melalui amal perbuatan yang berterusan.
Kemenangan Iman dan Takwa
Ramadan adalah proses tarbiah yang intensif, bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga membentuk keimanan, menguatkan jiwa dan menyucikan hati. Ia adalah latihan untuk mencapai satu tujuan utama iaitu takwa.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." [Surah Al-Baqarah, ayat 183]
Ayat ini menjelaskan bahawa objektif tertinggi puasa adalah agar seseorang mencapai takwa, iaitu ketundukan yang tulus kepada Allah, penghindaran dari dosa, serta istiqamah dalam kebaikan. Maka, apabila seseorang itu telah melaluinya dengan penuh keikhlasan dan penghayatan, maka Aidilfitri adalah hari yang layak untuk menyambut dan meraikan pencapaian tersebut.
Namun, kemenangan ini bukan dalam bentuk berakhirnya “sekatan” makan dan minum, tetapi kemenangan dalam usaha menundukkan hawa nafsu dan mendekatkan diri kepada Pencipta.
Kesan Kegembiraan Terhadap Jiwa
Aidilfitri juga membawa dimensi psiko-spiritual. Setelah sebulan mengawal diri dan menumpukan jiwa kepada ibadah, datanglah Aidilfitri sebagai waktu untuk bergembira secara sihat dan seimbang. Perasaan puas kerana telah menunaikan kewajipan dengan baik, serta rasa syukur kepada Allah atas kesempatan yang diberikan, membawa kesan positif terhadap kestabilan emosi dan rohani seseorang. Sabda Rasulullah SAW:
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ، فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ
Maksudnya : "Bagi orang yang berpuasa, terdapat dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya." [HR Bukhari, 1904]
Kegembiraan ini adalah bukti bahawa ibadah tidak menekan jiwa, sebaliknya menyuburkannya. Islam tidak menafikan keperluan manusia untuk berhibur dan bergembira, tetapi ia mengajarkan supaya kegembiraan itu disalurkan dengan penuh adab dan seimbang antara dunia dan akhirat. Aidilfitri membuktikan bahawa Islam adalah agama yang meraikan fitrah insani, tanpa melupakan tujuan utama kehidupan.
Medium Pemulihan Hubungan Sesama Muslim
Salah satu misi utama Ramadan ialah mengasuh rasa empati terhadap orang lain. Ibadah seperti zakat fitrah, sedekah, dan doa membentuk kepekaan sosial. Aidilfitri menjadi titik kemuncak untuk meneruskan nilai-nilai ini dalam bentuk hubungan sosial — menyambung silaturrahim, bermaaf-maafan dan menjernihkan semula hubungan yang keruh. Sabda Rasulullah SAW:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعُ رَحِمٍ
"Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim." [HR Bukhari, ayat 5984]
Aidilfitri memberikan ruang dan suasana yang terbaik untuk kita menziarahi sanak saudara, memohon kemaafan dan melupakan perselisihan. Ia adalah detik untuk memulihkan kembali hubungan yang telah lama renggang, menyambung semula ikatan kasih yang mungkin terputus akibat kesibukan atau perbalahan.
Pasca Ramadan dan Konsistensi Amal
Kemenangan yang sebenar dalam Islam bukan hanya terletak pada perayaan Aidilfitri itu sendiri, tetapi lebih besar lagi ialah sejauh mana nilai dan amalan yang diperoleh dalam Ramadan dapat diteruskan dalam kehidupan seharian sepanjang tahun.
Ramadan mendidik kita untuk:
- Meningkatkan amal ibadah,
- Menjaga akhlak,
- Menahan nafsu,
- Menjaga hubungan dengan manusia dan Allah.
Perkara-perkara ini perlu menjadi budaya harian, bukan terhad kepada satu bulan sahaja. Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya : "Dan orang-orang yang berusaha pada jalan Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat baik." [Surah Al-Ankabut, ayat 69]
Takbir Aidilfitri yang berkumandang di pagi raya megandungi mesej yang mendalam tentang seruan pengiktirafan bahawa segala kejayaan adalah daripada Allah, bukan semata-mata hasil usaha dan ikhtiar diri. Ia mengajar kita erti rendah diri dan bagaimana rasa syukur yang sebenar.
Tradisi dan Budaya yang Menyuburkan Kasih Sayang
Dalam konteks masyarakat Melayu, sambutan Aidilfitri dihiasi dengan adat-adat yang unik dan bermakna seperti kunjung-mengunjung, rumah terbuka, pemberian duit raya dan bersalaman memohon maaf. Walaupun ia bukan dari syariat khusus, namun jika dilakukan dengan niat yang betul dan penuh hikmah, ia boleh menjadi wasilah yang mengukuhkan ukhuwah dan mempereratkan kasih sayang sesama insan.
Namun demikian, Islam mengingatkan agar kita tidak berlebihan dalam berbelanja sehingga membazir, tidak terjerumus dalam kemaksiatan, serta tidak menjadikan Aidilfitri sebagai pesta hiburan yang melalaikan. Aidilfitri sepatutnya menjadi hari menyuburkan keinsafan dan menzahirkan nilai-nilai takwa, bukan hari perbuatan sia-sia dan melampaui batas.
Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari kemenangan, tetapi bukan kemenangan yang bersifat luaran semata-mata. Ia adalah simbol kejayaan spiritual, kejayaan menundukkan nafsu, mendidik diri serta menanamkan nilai-nilai murni seperti takwa, sabar, kasih sayang dan empati. Oleh itu, marilah kita jadikan Aidilfitri bukan sekadar hari perayaan, tetapi sebagai titik tolak untuk kehidupan yang lebih bermakna, lebih taat kepada Allah, lebih mesra dengan manusia, dan lebih sejahtera dari sudut rohani dan jasmani.
