NUZUL QURAN : MESEJ AL-QURAN BUAT PEMBACANYA
- Penerbit : Muhammad Hafizie Husain
Ramadan bukan sekadar bulan ibadah dan keampunan, tetapi juga bulan di mana Al-Quran diturunkan sebagai cahaya petunjuk bagi seluruh umat manusia. Maka, sejauh manakah hubungan kita dengan Al-Quran pada bulan yang penuh keberkatan ini? Jika dalam bulan-bulan lain kita tidak merasakan kenikmatan dalam membaca dan memahami wahyu-Nya, apakah bulan Al-Quran ini juga belum cukup untuk menjadikan kita sebagai ahli Al-Quran yang sebenar?
Nuzul Al-Quran bukan sekadar satu peristiwa sejarah, tetapi ia mengingatkan kita akan peranan Al-Quran sebagai pedoman hidup. Maka, marilah kita mengambil kesempatan di bulan mulia ini untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan memperkukuhkan hubungan kita dengan kitab-Nya. Allah SWT berfirman :
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ
"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." [Surah al-Baqarah : 185]
Quran Sebagai Kitab Tadabbur
Salah satu masalah besar umat akhir zaman adalah keterasingan daripada Al-Quran. Bukan sahaja ramai yang tidak membaca, bahkan lebih membimbangkan apabila mereka yang membacanya sekadar melafazkan tanpa memahami, menghayati, dan mengamalkan ajaran di dalamnya. Akibatnya, wujud generasi yang berjiwa kosong meskipun bibir mereka basah dengan bacaan Al-Quran. Firman Allah SWT :
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَآ
Maksudnya : (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? [Surah Muhammad, ayat 24]
Rasulullah SAW juga bersabda :
وَيَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ
Maksudnya : Mereka membaca Al Qur’an namun (Al-Quran itu) tidak melewati kerongkongan mereka. [HR Bukhari, 7562]
Imam An-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini merujuk kepada golongan yang membaca Al-Quran tanpa pemeliharaan yang sebenar. Bacaan mereka tidak membawa kepada kefahaman dan perubahan hati, apatah lagi untuk membentuk akhlak dan peribadi yang diredhai Allah. Hakikatnya, ramai hari ini membaca Al-Quran, tetapi mereka tetap tersesat kerana tidak mengambilnya sebagai petunjuk dan sumber hidayah.
As-Syahid Sayyid Qutb dalam kitab Ma’alim fi Toriq menyebut bahawa generasi sahabat tidak mendekati Al-Quran semata-mata untuk mengumpulkan ilmu atau mengisi masa lapang. Mereka mempelajari Al-Quran untuk mencari arahan Allah dalam hidup mereka dan melaksanakannya dengan serta-merta.
Inilah yang dijelaskan oleh Abdullah Ibn Mas‘ud RA:
"Kami belajar sepuluh ayat, memahami maknanya dan mengamalkannya sebelum berpindah ke ayat lain."
Para sahabat menghayati dan mengamalkan setiap ayat yang dipelajari, menjadikan Al-Quran sebagai pedoman kehidupan, bukan sekadar kitab yang dibaca untuk memperoleh pahala semata-mata.
Imam Fakhruddin Ar-Razi dalam tafsirnya Mafatihul Ghaib menegaskan bahawa hati adalah pusat penerimaan ilmu dan pemahaman. Hati bukan sekadar organ fizikal, tetapi tempat berkumpulnya ilmu dan hakikat kebenaran.
Buktinya dapat dilihat menerusi firman Allah SWT :
أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌۭ يَعْقِلُونَ بِهَآ أَوْ ءَاذَانٌۭ يَسْمَعُونَ بِهَا ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى ٱلْأَبْصَـٰرُ وَلَـٰكِن تَعْمَى ٱلْقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (Al-Hajj ayat 46)
Ayat ini menegaskan bahawa kebutaan hakiki bukanlah pada mata, tetapi pada hati yang gagal memahami hakikat kebenaran. Oleh itu, Al-Quran hanya akan memberikan manfaat kepada mereka yang membukakan hatinya untuk tadabbur dan beramal dengannya.
Komitmen terhadap Al-Quran tidak boleh terhenti sekadar tilawah atau tadarus dengan irama yang merdu. Fungsi utama Al-Quran sebagai petunjuk hidup hanya dapat direalisasikan melalui tadabbur, iaitu memahami, menghayati, dan mengamalkan isi kandungannya.
Jika Al-Quran hanya dianggap sebagai kitab tabaruk (pengambil berkat) semata-mata tanpa dijadikan kitab tadabbur (pemahaman dan penghayatan), maka ia tidak akan memberi impak yang sebenar dalam kehidupan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menghidupkan budaya tadabbur agar Al-Quran benar-benar menjadi cahaya yang membimbing ke jalan yang lurus.
Al-Quran dan Emosi Manusia
Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia, maka sudah pastilah laras bahasanya mudah difahami dan isinya dapat dicerna oleh akal serta hati. Namun, memahami Al-Quran tidak hanya bergantung pada akal semata-mata. Ia menuntut keterlibatan emosi dan perasaan agar setiap ayat dapat benar-benar dihayati, direnungi, dan menyentuh jiwa pembacanya.
Sa’d bin Abu Waqqas R.A beliau berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ نَزَلَ بِحُزْنٍ فَإِذَا قَرَأْتُمُوهُ فَابْكُوا فَإِنْ لَمْ تَبْكُوا فَتَبَاكَوْا
Maksudnya : Sesungguhnya Al-Quran ini turun dengan kesedihan. Maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu menangis. Sekiranya kamu tidak menangis hendaklah kamu buat-buat menangis. [HR Ibn Majah, 1337]
Banyak ayat dalam Al-Quran diturunkan ketika Rasulullah SAW berada dalam keadaan sedih, berduka, atau menghadapi ancaman musuh. Dalam saat genting dan penuh cabaran itulah, Allah SWT menurunkan wahyu sebagai pedoman dan penghibur jiwa baginda. Ini menunjukkan bahawa memahami dan mendalami Al-Quran memerlukan perasaan dan suasana yang selari dengan maksud ayat yang diturunkan.
Bacaan Al-Quran dalam keadaan berbeza akan memberikan kesan yang berbeza. Ketika hati sedang tenang, seseorang mungkin membaca dengan lancar tetapi tanpa penghayatan mendalam. Namun, dalam keadaan berduka, sedih, atau menghadapi kesukaran, ayat-ayat Allah lebih mudah meresap ke dalam jiwa dan menjadi peneman setia yang menenangkan.
Baginda SAW sendiri mengalami hal yang sama tatkala menghadapi ujian berat, wahyu yang turun menjadi sumber ketenangan, kekuatan, dan bimbingan. Manusia secara fitrahnya lebih cenderung untuk kembali kepada Tuhannya ketika berada dalam kesusahan berbanding ketika senang. Oleh itu, Al-Quran bukan sekadar kitab bacaan, tetapi ia adalah sumber penyembuhan hati, pengubat duka, dan cahaya yang membimbing manusia kembali kepada Allah SWT.
Keutamaa Tadabbur Tidak Seharusnya Mengabaikan Kepentingan Tadarus
Salah satu cabaran besar umat Islam hari ini adalah semakin berkurangnya keterikatan dengan Al-Quran. Tidak membaca Al-Quran sudah menjadi satu masalah, tidak tahu membaca pula menambah masalah, dan lebih parah apabila seseorang bukan sahaja tidak pandai membaca, tetapi juga tiada usaha untuk mempelajarinya. Lebih membimbangkan lagi, wujud segelintir yang memperlekehkan mereka yang membaca, mempelajari, dan mengajarkan Al-Quran.
Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ، وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ، لَهُ أَجْرَانِ
Maksudnya: “Orang yang mahir membaca al-Quran, maka di akhirat dia akan ditemani oleh para malaikat para pencatat yang mulia. Manakala orang yang membaca al-Quran dengan gagap dan menghadapi kepayahan ketika membacanya, maka dia mendapat dua pahala.” [HR Muslim, 789]
Hadis ini menegaskan bahawa usaha untuk membaca Al-Quran, walaupun sukar dan penuh kepayahan, tetap mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT. Ini menunjukkan bahawa pembacaan Al-Quran merupakan asas yang tidak boleh diabaikan sebelum seseorang mampu melangkah ke tahap yang lebih tinggi seperti tadabbur.
Terdapat stigma dalam masyarakat hari ini mengenai keutamaan antara memperbanyakkan bacaan Al-Quran atau memberi tumpuan kepada tadabbur terlebih dahulu. Polemik ini akhirnya membawa kepada sikap bermudah-mudah terhadap Al-Quran, sehingga menjauhkan umat daripada kitab suci ini.
Hakikatnya, Islam menekankan kepentingan kedua-duanya dalam membudayakan Al-Quran dalam kehidupan. Untuk mencapai tadabbur yang sebenar, umat Islam perlu terlebih dahulu membiasakan diri dengan tilawah Al-Quran. Al-Quran tidak dapat ditadabbur tanpa tilawah, dan fungsinya sebagai petunjuk kehidupan tidak akan sempurna jika hanya dibaca tanpa difahami. Oleh itu, keseimbangan antara tilawah dan tadabbur perlu ditekankan agar Al-Quran benar-benar menjadi panduan dalam kehidupan.
Kesimpulannya, umat Islam tidak seharusnya terbatas kepada menghidupkan tadarus semata-mata, tetapi juga perlu memperkukuhkan amalan tadabbur. Pertanyaan seperti "Berapa banyak halaman yang telah dibaca hari ini?" atau "Berapa juzuk yang telah dihafal?" perlu ditingkatkan kepada "Berapa banyak ayat yang telah ditadabbur dan diamalkan?"
Apalah gunanya kita meletakkan Al-Quran di tempat tertinggi di rumah dan menjunjungnya sebagai kitab suci, tetapi tidak pernah menjadikannya sebagai pedoman hidup. Kemuliaan Al-Quran bukan sekadar pada tempat ia diletakkan, tetapi pada sejauh mana kita beramal dengannya.
