BULAN ISLAM | DURASI MEMBACA: 4 MINIT

Ramadan dan Ujian Kesabaran: Meneladani Ketabahan Nabi Yusuf A.S.

Kisah Nabi Yusuf dan Ramadan

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi ia adalah sekolah yang mendidik diri menempuhi ujian besar melalui nilai kecekalan dan kesabaran. Dalam buku Sempurnakan Ramadanmu ada menyebutkan bahawa puasa juga sebagai perisai dari kemaksiatan.

Dalam menelusuri sejarah Islam, kisah Nabi Yusuf a.s. adalah antara yang paling menginspirasi dalam menggambarkan erti kesabaran. Baginda menghadapi pelbagai ujian sejak kecil hingga dewasa, menjadikan perjalanan hidupnya disebut sebagai seindah-indah kisah dalam Al-Quran.

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ ٱلْقَصَصِ بِمَآ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ وَإِن كُنتَ مِن قَبْلِهِۦ لَمِنَ ٱلْغَـٰفِلِينَنَ

Maksudnya: "Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini ..." [Surah Yusuf, ayat 3]

Kisah ini disebut sebagai seindah-indah penceritaan kerana ia merangkumi setiap sudut ujian manusia, dengan menerapkan nilai-nilai yang membangunkan jiwa yang lemah agar menjadi cekal dalam menghadapi cabaran. Antara tiga nilai utama yang menjadi teras dalam Ahsanul Qasas ini adalah;

  1. Kemampuan berdiri teguh menghadapi apa jua ujian yang datang.
  2. Konsisten mencari jalan penyelesaian untuk keluar dari masalah.
  3. Sentiasa tetap di atas jalan kebenaran (Mustaqim).

Permulaan ujian yang dihadapi oleh Nabi Yusuf a.s. bermula dengan pengkhianatan saudara kandungnya sendiri. Disebabkan rasa dengki terhadap Yusuf yang dianggap menerima kasih sayang lebih daripada ayah mereka, saudara-saudaranya bersepakat untuk menyingkirkannya. Dalam perbincangan mereka, ada yang mencadangkan agar Yusuf dibunuh sahaja, sementara yang lain mencadangkan cara lain untuk menyingkirkannya tanpa perlu membunuhnya. Akhirnya, mereka memutuskan untuk membuangnya ke dalam sebuah perigi yang dalam, dengan harapan dia tidak akan kembali lagi.

ٱقْتُلُوا۟ يُوسُفَ أَوِ ٱطْرَحُوهُ أَرْضًۭا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا۟ مِنۢ بَعْدِهِۦ قَوْمًۭا صَـٰلِحِينَ

Maksudnya: "Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna." [Surah Yusuf, 9]

قَالَ قَآئِلٌۭ مِّنْهُمْ لَا تَقْتُلُوا۟ يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ ٱلسَّيَّارَةِ إِن كُنتُمْ فَـٰعِلِينَ

Maksudnya: "Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu"." [Surah Yusuf, 10]

Nabi Yusuf a.s. kemudiannya ditemui oleh sekumpulan pengembara yang mengambilnya dari perigi dan menjualnya sebagai hamba di pasar. Baginda dibeli oleh seorang menteri Mesir yang membawanya ke istana untuk dipelihara.

وَقَالَ ٱلَّذِى ٱشْتَرَىٰهُ مِن مِّصْرَ لِٱمْرَأَتِهِۦٓ أَكْرِمِى مَثْوَىٰهُ عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ أَوْ نَتَّخِذَهُۥ وَلَدًۭا ۚ وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلْأَرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُۥ مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ ۚ وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰٓ أَمْرِهِۦ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: "Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [Surah Yusuf, 21]

Ketika mencapai umur remaja, Nabi Yusuf a.s. diuji dengan godaan isteri menteri Mesir yang tertarik kepadanya. Dalam keadaan berdua-duaan, wanita itu cuba menggoda baginda. Namun, Nabi Yusuf a.s. segera menolak dan berlindung kepada Allah.

وَرَٰوَدَتْهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلْأَبْوَٰبَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ رَبِّىٓ أَحْسَنَ مَثْوَاىَ ۖ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Maksudnya: "Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". [Surah Yusuf, 23]

Namun, ujian tidak berakhir di situ. Wanita tersebut memutarbelitkan keadaan dan memfitnah Nabi Yusuf a.s. sebagai pencetus kesalahan, menjadikan situasi semakin mencabar bagi baginda.

وَٱسْتَبَقَا ٱلْبَابَ وَقَدَّتْ قَمِيصَهُۥ مِن دُبُرٍۢ وَأَلْفَيَا سَيِّدَهَا لَدَا ٱلْبَابِ ۚ قَالَتْ مَا جَزَآءُ مَنْ أَرَادَ بِأَهْلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسْجَنَ أَوْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ

Maksudnya: "Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya". [Surah Yusuf, 25]

Akhirnya Nabi Yusuf a.s berdoa agar dimasukkan ke penjara supaya terhindar dari fitnah tersebut. Maka Allah memakbulkan doanya.

قَالَ رَبِّ ٱلسِّجْنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدْعُونَنِىٓ إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّى كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ

Maksudnya: "Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". [Surah Yusuf, 33]

Kisah Nabi Yusuf a.s. mengajarkan bahawa kesabaran dalam menghadapi ujian dan menahan diri daripada godaan adalah kunci kejayaan. Kedua-dua nilai ini diterapkan dalam bulan Ramadan, yang mendidik kita dengan dua perkara utama. Pertama, kesabaran dalam menghadapi ujian. Puasa mengajar kita untuk bersabar menahan lapar, dahaga, dan emosi, menjadikan Ramadan sebagai madrasah yang membentuk jiwa yang tabah seperti Nabi Yusuf a.s. Kedua, menjauhkan diri daripada perbuatan keji. Dalam Ramadan, kita diajar untuk mengawal nafsu dan menghindari perkara yang boleh mencemarkan ibadah walaupun berada dalam situasi yang sangat mencabar.

وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

Maksudnya: "Maka jika seorang daripada kalian sedang berpuasa, janganlah ia berkata-kata kotor dan berkelakuan yang tidak terpuji. Jika ada seorang yang mencela atau mengajaknya bertengkar, maka hendaklah ia berkata kepada orang itu, “Sesungguhnya saya sedang berpuasa”. [HR Bukhari, 1904]

Kesimpulannya, Ramadan bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga medan latihan untuk membentuk akhlak yang lebih baik. Kisah Nabi Yusuf a.s. menjadi bukti bahawa kesabaran dan ketakwaan akan membawa kejayaan yang sebenar, baik di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu, marilah kita menjadikan Ramadan sebagai peluang untuk memperkukuh kesabaran dan meningkatkan ketaatan kepada Allah. an kepada Allah.

Scroll to Top