ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
Soal & Jawab
- Penerbit : Adib
SOALAN PENONTON
Soalan 1
Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang selalu sebut ilmu zaman sekarang lebih bernilai bila boleh jana duit atau dapat naik pangkat, bukan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Macam mana kita nak betulkan kefahaman bahawa ilmu itu sepatutnya bekalan akhirat sebelum keuntungan dunia agar ia tidak menjadi beban amanah?
Dalam dunia moden, nilai ilmu sering diukur berdasarkan sejauh mana ia mampu menjana keuntungan material sama ada dalam bentuk gaji lumayan, pangkat tinggi atau status sosial.
Namun, perspektif ini hakikatnya terlalu sempit kerana Islam tidak pernah melihat ilmu sekadar alat untuk dunia. Ilmu adalah cahaya yang membimbing manusia kepada Allah, dan jika disalahguna, ia boleh bertukar menjadi beban amanah yang berat di akhirat.
Al-Quran menekankan bahawa tujuan utama ilmu adalah mengenal Allah dan menambahkan rasa taqwa. Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” [Surah Fatir, ayat 28]
Menurut Imam al-Sa’di: “Maka setiap orang yang lebih mendalam ilmunya tentang Allah, dia akan lebih banyak takut kepada-Nya. Dan rasa takut kepada Allah itu mewajibkan dirinya menahan diri daripada maksiat serta bersiap sedia untuk menemui Zat yang dia takuti. Ini menjadi dalil tentang keutamaan ilmu, kerana ilmu itulah yang mendorong kepada rasa takut kepada Allah. Dan sesungguhnya orang yang memiliki rasa takut kepada-Nya adalah mereka yang mendapat kemuliaan di sisi-Nya.” [Rujuk: Tafsir al-Sa’di, hlm. 688]
Pengetahuan tentang Allah SWT boleh didapati dengan ilmu agama yang membicarakan soal akidah, wahyu dan ajaranNya. Ataupun melalui ilmu dunia yang memperlihatkan keindahan, keharmonian dan kehebatan ciptaan Tuhan yang menggerakkan alam semesta ini. Islam tidak menolak penggunaan ilmu untuk mendapat rezeki. Malah itu adalah sesuatu yang normal dan fitrah. Orang yang belajar perubatan berhak menerima bayaran kerana merawat, orang yang belajar pertukangan berhak menerima upah atas kerja tangannya, dan orang yang mahir dalam perdagangan berhak mendapat keuntungan hasil kepandaiannya. Semua itu adalah peraturan alam yang Allah tetapkan, iaitu siapa berusaha, dia berhak menikmati hasilnya. Yang menjadi masalah ialah apabila manusia berhenti pada tahap itu sahaja, iaitu menjadikan wang sebagai tujuan, bukan alat. Wang adalah alat untuk melaksanakan kewajipan, menyara keluarga, membantu fakir miskin, membiayai dakwah dan amal soleh.
Perkara ini telah disebutkan oleh Rasulullah SAW:
مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا، لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Barang siapa mempelajari suatu ilmu yang sepatutnya dituntut kerana mengharapkan keredaan Allah ‘Azza wa Jalla, namun dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan keuntungan dunia, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat” [HR Abu Daud, 3664]
Segala amal baik perlulah diniatkan kerana Allah SWT, termasuklah menuntut ilmu. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu yang memberi manfaat, sama ada ilmu agama mahupun ilmu dunia. Hadis ini menunjukkan betapa beratnya keadaan seseorang yang menggunakan ilmu untuk mencapai tujuan dunia semata-mata sehingga menghalangnya untuk masuk ke syurga. Maka, jika dia hanya memilih ilmu yang hanya berguna untuk mendapatkan habuan wang yang banyak mahupun pangkat yang lebih tinggi, maka dia telah melakukan kesilapan besar. Hakikatnya, nilai ilmu bukan dikira dari berapa banyak wang boleh terhasil, tapi sejauh mana ia mendekatkan diri kepada Allah.
Jika kita menilai ilmu hanya dari sudut keuntungan material, maka kita sebenarnya mengurangkan martabat ilmu itu sendiri. Ilmu dalam Islam tidak pernah dimaksudkan untuk mengikat manusia dengan dunia, sebaliknya ia adalah wasilah untuk membawa hati kepada Allah. Seseorang boleh memiliki ijazah yang tinggi, bergaji besar, atau kedudukan yang dipandang orang, tetapi jika ilmunya tidak menjadikan dia lebih dekat kepada Allah, hakikatnya nilai ilmu itu kosong. Bahkan boleh menjadi beban kerana dia tahu sesuatu tetapi tidak tunduk pada kebenaran. Orang yang benar-benar berilmu akan semakin merendah diri, semakin sedar kelemahan dirinya, semakin takut untuk berbuat salah. Inilah tanda ilmu itu bernilai, kerana ia menumbuhkan rasa ubudiyyah, bukan sekadar menambah angka di akaun bank.
Ringkasnya, salah satu kesilapan besar zaman ini ialah menyempitkan ilmu sebagai tiket untuk rezeki dunia semata-mata. Menggunakan ilmu untuk mencari wang adalah halal dan fitrah, tetapi ilmu itu akan lebih bermakna jika hasilnya mengalir kembali untuk tujuan yang lebih besar daripada diri sendiri. Islam mengajar kita bahawa ilmu itu cahaya dan amanah. Ia mesti digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah, melahirkan amal soleh, dan memberi manfaat kepada manusia. Rezeki dan pangkat mungkin hadir sebagai hasil sampingan, tetapi itu bukan tujuan utama. Jika kita belajar kerana Allah, insya-Allah ilmu menjadi bekal akhirat. Jika tidak, ia boleh berubah menjadi hujah yang memberatkan kita di hadapan Allah.
Soalan 2
Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang menganggap ilmu dunia tidak perlu dikaitkan dengan agama langsung. Betulkah begitu atau sepatutnya menuntut apa jua ilmu mesti disandarkan pada niat kerana Allah?
Dalam dunia moden yang dikuasai sekularisme, kita sering mendengar pandangan bahawa “ilmu dunia tidak ada kaitan dengan agama”. Seolah-olah agama hanya terbatas pada masjid dan ibadah ritual, manakala ilmu sains, teknologi, ekonomi atau politik berdiri sendiri tanpa hubungan dengan Allah. Hakikatnya, pandangan ini sangat jauh daripada ruh Islam. Islam tidak pernah memisahkan antara dunia dan akhirat, antara ilmu agama dan ilmu dunia. Bahkan dalam Islam, semua cabang ilmu merupakan sebahagian daripada anugerah Tuhan yang mengajak manusia mengenal hakikat ciptaanNya. Dalam kerangka Islam, tiada pemisahan antara “ilmu dunia” dan “ilmu agama” sebagaimana yang dipaksakan oleh fahaman sekular.
Allah SWT berfirman:
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan.” [Surah al-Anfal, ayat 60]
Imam al-Sa’di menafsirkan: “Maka termasuk di dalamnya segala jenis perindustrian yang menghasilkan senjata dan peralatan seperti meriam, mesingan, senapang, kapal terbang, kenderaan darat dan laut, benteng, kubu, parit pertahanan, alat-alat perlindungan. [Rujuk: Tafsir al-Sa’di, hlm. 324] Mustahil seseorang mampu memiliki kekuatan ini melainkan dengan dia menerima dan mempelajari ilmu dunia pada sesuai dengan keperluan zamannya.
Semua ilmu hakikatnya adalah milik Allah, kerana Allah yang mencipta alam ini. Fizik, biologi, matematik, ekonomi, semuanya berakar pada hukum ciptaanNya. Jadi bila seseorang mempelajari ilmu dunia tanpa meletakkan agama sebagai bingkai, dia sebenarnya sedang memutuskan sesuatu daripada sumber asalnya. Misalnya, seorang jurutera yang mengkaji struktur bangunan hakikatnya sedang mempelajari sunnatullah tentang keseimbangan dan keteguhan. Seorang ahli astronomi yang meneliti planet hakikatnya sedang menyingkap tanda-tanda kebesaran Allah di langit. Jika kita pisahkan itu daripada agama, ilmu jadi kering, tidak berjiwa, sekadar data tanpa makna.
Bahkan, kegagalan menguasai ilmu ini menjadikan umat Islam lemah, tertindas, dan tidak mampu mempertahankan agama mereka. Ilmu dunia menjadi alat untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat, sedangkan ilmu akhirat menjadi panduan hidup kepada kebenaran. Islam menekankan bahawa amalan dinilai dengan niat, dan ini termasuk dalam bab menuntut ilmu.
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِامْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا، أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat (ganjaran) sesuai dengan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu (dikira) kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehinya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya (dikira) kepada apa yang menjadi tujuan hijrahnya.” [HR Muslim, 1907]
Seorang pelajar perubatan boleh belajar dengan niat mencari kerjaya bergaji besar, tetapi dia juga boleh niat untuk berkhidmat kepada ummah, menyelamatkan nyawa, dan menjadi hamba Allah yang memberi manfaat. 2 orang yang berbeza mempelajari ilmu yang sama, membaca buku yang sama, menghadiri kelas yang sama, tetapi nilai di sisi Allah berbeza sama sekali. Tanpa niat kerana Allah, ilmu dunia hanya berhenti pada faedah duniawi yang fana. Tetapi jika diniatkan kerana Allah, ilmu itu bertukar menjadi ibadah yang mengalirkan pahala. Inilah kelebihan Islam. Ia menjadikan semua bidang ilmu punya peluang untuk bernilai akhirat.
Bila kita kaitkan ilmu dunia dengan agama, kita bukan menukar subjek itu menjadi “agama” secara zahir, tetapi kita memberi ruh dan arah pada penggunaannya.
Allah SWT berfirman:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” [Surah al-An’am, ayat 162]
Ayat ini meluaskan ruang ibadah: bukan hanya solat dan ritual, tetapi seluruh kehidupan termasuk belajar, bekerja, dan mengembangkan ilmu, mesti diniatkan kerana Allah. Ilmu perubatan digunakan untuk merawat pesakit dengan ihsan, ilmu pertanian digunakan untuk memberi makan kepada masyarakat dengan cara halal, ilmu perniagaan digunakan untuk menjana kekayaan tetapi melalui kejujuran dan zakat. Semua itu adalah ibadah jika diniatkan kerana Allah. Tetapi kalau dipisahkan daripada agama, ia boleh membawa kepada penindasan, ketidakadilan, bahkan kerosakan alam.
Kesimpulannya, tidak benar jika ada yang mengatakan ilmu dunia tidak perlu dikaitkan dengan agama. Semua ilmu, sama ada tentang hukum fiqh atau hukum fizik, tentang akidah atau astronomi, tentang syariah atau perniagaan, hakikatnya lahir daripada sistem ciptaan Allah. Memisahkan ilmu daripada agama menjadikan ilmu itu kering dan berisiko membawa kepada kerosakan. Tetapi apabila ia dikaitkan dengan niat kerana Allah, ia menjadi ibadah, amal soleh, dan jalan menuju syurga. Inilah keindahan Islam. Ia tidak menyekat kita daripada menuntut apa jua ilmu, tetapi mengikat semuanya dengan tujuan yang lebih tinggi iaitu keredaan Allah dan keselamatan akhirat.
Soalan 3
Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang kata ilmu itu hanya untuk orang muda, orang tua tak perlu lagi belajar. Tapi betulkah begitu atau sebenarnya menuntut ilmu itu tanggungjawab sepanjang hayat?
Tanggapan “ilmu hanya untuk orang muda” lahir daripada salah faham tentang fungsi ilmu dalam Islam. Ramai yang menganggap ilmu adalah untuk dapat masuk ke institusi yang bagus, dapat kerja yang bagus dan gaji yang besar. Maka, ketika seseorang menganggap sudah mencapai tahap tertinggi dalam pencapaian hidupnya, maka semangat menuntut ilmu terhenti Sedangkan dalam Islam, ilmu ialah ibadah dan mekanisme hidayah yang memandu keputusan sepanjang hayat. Mereka yang anti-ilmu akan cenderung untuk menolak kebenaran dan memperjuangkan sesuatu yang salah. Dalam al-Quran telah menceritakan tentang tabiat golongan kafir dan munafik yang anti kepada budaya ilmu dan hujah. Golongan seperti ini mempunyai tabiat memperolok dan mengejek kebenaran. Mereka tidak mahu mendengar ilmu dan hujah yang benar, dan disebabkan tidak mampu mendatangkan hujah melawan kebenaran, maka mereka cenderung untuk mengejek dan memperolok orang yang berilmu dan benar.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدِ ٱسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍۢ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِٱلَّذِينَ سَخِرُوا۟ مِنْهُم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.” [Surah al-An’am, ayat 10]
Ini merupakan sample ‘worst case’ ketika ilmu tidak lagi menjadi budaya dan dianggap sebagai satu kewajipan dan tanggungjawab bagi setiap orang. Namun, jika dilihat kesannya sedikit demi sedikit, ketiadaan ilmu akan memberi kesan besar kepada pemeliharaan iman dan pembinaan peribadi Muslim yang benar. Maka, jika kita jelas dengan fungsi ilmu, kita dapat fahami bahawa tanggungjawab menuntut ilmu ini tidak mempunyai batas umur. Sekiranya perut kita perlukan makanan untuk kekal sihat dan bertenaga, maka akal pula memerlukan ilmu untuk kekal hidup.
Nabi SAW bersabda:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim” [HR Ibnu Majah, 224]
Kewajipan ini tidak membataskan umur tertentu. Sama ada seseorang itu muda atau tua, kita semua perlu menuntut ilmu, khususnya ilmu-ilmu yang dhoruri untuk dipelajari seperti ilmu fardhu ain dan sebagainya. Jika kita bicarakan dengan lebih umum berkaitan pembahagian umur dan masa dalam proses menuntut ilmu, dapatlah kita simpulkan bahawa: Pada usia muda, ilmu berfungsi membina asas. Pada usia dewasa dan tua, ilmu menyemak, menambah baik, dan membetulkan amalan kerana realiti hidup berubah, pengalaman dan taklif (tanggungjawab) juga bertambah.
Keutamaan menuntut ilmu semestinya melihat kepada keperluan. Apabila muncul tanggungjawab baru (jadi suami/isteri, majikan, pewasiat, penjaga amanah), maka timbullah ilmu baru yang wajib dipelajari. Maka seiring berjalannya usia dan bertambahnya tanggungajawa, semakin banyaklah ilmu yang perlu dipelajari.
Allah SWT juga berfirman:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ
Maksudnya: “"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” [Surah al-Zumar, ayat 9]
Ilmu membezakan martabat seseorang tanpa syarat usia. Ilmu bukan milik usia muda sahaja. Ia mandat seumur hidup yang mengangkat darjat seseorang disisi Allah, bertindak sebagai alat yang membezakan yang benar dan batil serta memudahkan jalan menuju Syurga Allah.
Soalan 4
Assalamualaikum ustaz dan dai. Saya pernah dengar orang kata cukup baca buku atau internet sahaja tanpa perlu guru, sebab zaman sekarang semua ilmu sudah terbuka. Tetapi benarkah begitu, sedangkan disebut juga bahawa siapa belajar tanpa guru maka gurunya adalah syaitan, maka adakah lebih selamat menuntut ilmu dengan berguru berbanding hanya membaca sendiri?
Ilmu agama bukan sekadar maklumat yang boleh dikutip daripada buku atau internet, tetapi ia adalah warisan nubuwah yang mesti dijaga dengan sanad dan adab. Benar, bacaan sendiri itu bermanfaat, tetapi tanpa bimbingan guru, seseorang mudah tersalah faham, mengambil makna yang batil atau mengamalkan dengan cara yang menyeleweng. Maka, para ulama dahulu sangat menekankan konsep talaqqi (berguru), kerana di situlah letaknya barakah, amanah sanad, dan pemeliharaan agama daripada penyelewengan.
Dalil al-Qur’an:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.” [Surah al-Naḥl, ayat 43]
Ayat ini menunjukkan keperluan rujukan kepada ahli ilmu. Ia tidak sekadar membaca teks, tetapi bertanya dan belajar daripada mereka yang lebih mengetahui. Imam al-Qurṭubī menjelaskan:
فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّ الْعَامِّيَّ يَجِبُ عَلَيْهِ فِي نَوَازِلِهِ أَنْ يَسْأَلَ الْعَالِمَ
Maksudnya: “Ayat ini menjadi dalil bahawa orang awam wajib merujuk kepada ulama dalam urusan-urusannya yang tidak diketahui.” [Tafsīr al-Qurṭubī, Juz 10/hlm. 108]
Tafsir ini menegaskan kebergantungan penuntut ilmu kepada ahlinya, bukan cukup dengan akal atau bacaan sendiri.
Dalil Hadis
رَوَى التِّرْمِذِي عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ:
مَن يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Allah akan memberinya kefahaman mendalam dalam agama.” [HR al-Bukhārī, no. 71; Muslim, no. 1037]
“Fahm” (kefahaman) yang disebut dalam hadis ini bukan sekadar hafalan atau bacaan, tetapi pemahaman yang lahir daripada pengajaran, pergaulan, dan penjelasan ulama. Imam al-Nawawī mensyarahkan:
فِيهِ فَضِيلَةُ الْعِلْمِ وَالتَّفَقُّهِ فِي الدِّينِ، وَالتَّفَقُّهُ يَكُونُ بِالْمُعَلِّمِينَ لَا بِمُجَرَّدِ الْقِرَاءَةِ
Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan keutamaan ilmu dan kefahaman dalam agama. Dan kefahaman itu hanya dicapai melalui para guru, bukan semata-mata dengan bacaan.” [Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim, Juz 7/hlm. 67]
Mari kita teliti ungkapan masyhur:
“من كان شيخه كتابه فخطؤه أكثر من صوابه”
Maksudnya: “Siapa belajar tanpa guru maka gurunya syaitan.”
Ungkapan ini sangat terkenal di kalangan penuntut ilmu, sering dijadikan peringatan bahawa ilmu tidak boleh diambil hanya daripada kitab tanpa berguru. Namun, penting untuk kita bezakan: adakah ini hadis Nabi SAW atau sekadar kata-kata ulama? Kerana menisbahkan sesuatu kepada Nabi SAW tanpa sahih adalah kesalahan besar.
Para muhaddithin (ahli hadis) menegaskan: Ungkapan ini bukan hadis Nabi SAW. Ia tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Sebaliknya, ia adalah kata-kata ulama untuk menekankan kepentingan guru.
Imam al-Sakhāwī menyebut:
لم أقف عليه مرفوعاً، وإنما هو من كلام بعض السلف
Maksudnya: “Aku tidak menjumpainya sebagai hadis marfu‘ (dari Nabi SAW). Ia hanyalah perkataan sebahagian salaf.” [al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 443]
Walaupun bukan hadis, maksudnya benar. Imam al-Suyuti menyatakan:
إن من اقتصر على الكتب دون الأشياخ ضل وأضل، لأن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم
Maksudnya: “Barangsiapa yang hanya bergantung kepada buku tanpa guru, dia akan sesat dan menyesatkan. Ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.” [Tadrīb al-Rāwī, Juz 2/hlm. 87]
Ulama menegaskan ilmu agama mesti diambil dengan sanad, iaitu daripada guru yang bersambung kepada Rasulullah SAW. Membaca tanpa guru boleh membawa salah faham, kerana teks perlu ditafsirkan dengan kaedah dan disiplin yang betul.
Walaupun ungkapan itu bukan hadis, maknanya selari dengan hadis Nabi SAW:
إِنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمِ
Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu itu diperoleh dengan belajar.” [HR al-Ṭabarānī dalam al-Mu‘jam al-Kabīr, no. 10310. Sahih menurut al-Albānī]
Hadis ini menegaskan bahawa ilmu bukan sekadar dibaca, tetapi dipelajari dengan proses — termasuk berguru. Ungkapan “barangsiapa belajar tanpa guru maka gurunya syaitan” bukan hadis Nabi SAW, tetapi kata-kata ulama salaf sebagai peringatan keras. Ia menekankan bahawa buku dan teks hanya alat, sedangkan kefahaman dan bimbingan datang daripada guru. Dalil al-Qur’an dan hadis sahih sama-sama menguatkan bahawa ilmu agama mesti diambil melalui sanad dan talaqqi.
Kesimpulan: Buku dan internet hanyalah alat bantu untuk menuntut ilmu. Ia tidak salah, bahkan berguna, tetapi tanpa bimbingan guru, ilmu itu tidak terikat dengan sanad, mudah tersalah tafsir, dan akhirnya menjerumuskan ke dalam kesesatan. Al-Qur’an memerintahkan kita bertanya kepada ahli ilmu, ulama tafsir menegaskan kewajipan berguru, hadis sahih menyebut bahawa kebaikan datang melalui kefahaman, dan syarah ulama hadis menjelaskan kefahaman itu hanya lahir dengan guru. Maka, lebih selamat dan diberkati menuntut ilmu dengan berguru, sambil membaca sebagai pelengkap. Inilah jalan selamat yang ditempuh para salaf: mereka membaca, tetapi tidak pernah meninggalkan talaqqi.
Soalan 5
Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang yang suka berkongsi ilmu di media sosial tanpa semak kesahihan terlebih dahulu. Adakah menyebarkan ilmu secara tergesa-gesa itu selaras dengan amanah ilmu atau satu bentuk kelalaian?
Ilmu adalah amanah. Dalam Islam, menyampaikan ilmu bukan sekadar “berkongsi maklumat”, tetapi suatu tanggungjawab yang memerlukan kejujuran, kesahihan, dan ketelitian. Zaman media sosial menjadikan semua orang berpeluang bercakap, tetapi tidak semua berhak menyampaikan agama tanpa ilmu yang sahih. Menyebarkan sesuatu yang tidak benar, walaupun dengan niat baik, boleh menjerumuskan diri dan orang lain ke dalam kesesatan. Oleh itu, ulama menekankan tabayyun (semakan) sebelum menyebarkan sesuatu. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah kebenarannya agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum dengan kejahilan, lalu kamu menyesal atas apa yang kamu lakukan.” [Surah al-Hujurat, ayat 6]
Ayat ini bukan sahaja tentang berita umum, tetapi juga merangkumi ilmu dan maklumat agama. Allah perintahkan tabayyūn sebelum menyebarkan. Imam Ibn Kathir berkata:
هذا فيه دليل على أنه يجب التثبت في خبر الفاسق، ولا يجوز الإقدام على قبوله بلا فحص ولا تثبت
Maksudnya: “Ayat ini menjadi dalil bahawa wajib meneliti berita yang datang daripada orang fasik. Tidak boleh menerimanya tanpa kajian dan penelitian.” [Tafsir Ibnu Kathir, Juz 7/hlm. 378]
Maka menyebarkan maklumat tanpa semak adalah menyalahi prinsip al-Qur’an.
Dalil Hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Maksudnya: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan semua yang dia dengar.” [HR Muslim, no. 5]
Hadis ini jelas: menyebarkan tanpa semak = termasuk dalam dusta. Imam al-Nawawī mensyarah hadis ini:
فِيهِ النَّهْيُ عَنْ التَّسَاهُلِ فِي نَقْلِ الْأَخْبَارِ، وَأَنَّهُ يَكْفِي فِي إِثْمِ الْكَذِبِ مَنْ أَفْشَى كُلَّ مَا سَمِعَ
Maksudnya: “Hadis ini melarang kita bermudah-mudah dalam menyampaikan berita. Cukuplah seseorang itu berdosa kerana menyebarkan setiap apa yang didengarnya.” [Rujuk: Syarh Sahih Muslim, Juz 1/hlm. 75]
Kesimpulan: Menyebarkan ilmu secara tergesa-gesa tanpa semakan adalah pengkhianatan terhadap amanah ilmu. Al-Qur’an memerintahkan tabayyun, tafsir Ibn Kathir menekankan kewajipan semak, hadis Nabi SAW mengingatkan bahawa menyampaikan tanpa semak adalah dusta, dan syarah Imam Nawawi menguatkan larangan ini. Jadi, amanah ilmu ialah: semak dahulu sebelum kongsi. Kalau sahih, ia jadi cahaya. Kalau palsu, ia jadi fitnah. Seorang Muslim mesti berhati-hati kerana setiap status, video, atau artikel yang disebarkan akan dipersoalkan di hadapan Allah.
Soalan 6
Assalamualaikum ustaz dan dai. Kadang-kadang orang belajar agama tapi niatnya hanya nak menang hujah atau tunjuk pandai depan orang. Bagaimana Islam melihat perbuatan menggunakan ilmu semata-mata untuk ego dan bukan untuk keikhlasan?
Islam menekankan bahawa tujuan utama ilmu ialah untuk membawa manusia lebih dekat kepada Allah SWT, bukan untuk membesarkan diri. ilmu yang benar mestilah melahirkan rasa takut, rendah diri, dan tunduk kepada Allah. Firman Allah:
إِنَّمَا يَخْشَى ٱللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ ٱلْعُلَمَـٰٓؤُا۟ ۗ
“Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah para ulama.” [Fathir: 28]. Ilmu adalah cahaya, dan cahaya hanya masuk ke dalam hati yang bersih. Maka hati yang gelap dengan riya’ akan menjadikan cahaya itu terhalang untuk masuk ke dalamnya.
۞ ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشْكَوٰةٍۢ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ ٱلْمِصْبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ ۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌۭ دُرِّىٌّۭ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍۢ مُّبَـٰرَكَةٍۢ زَيْتُونَةٍۢ لَّا شَرْقِيَّةٍۢ وَلَا غَرْبِيَّةٍۢ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِىٓءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌۭ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍۢ ۗ يَهْدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ ۚ وَيَضْرِبُ ٱللَّهُ ٱلْأَمْثَـٰلَ لِلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ
Maksudnya: Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.. [Surah an-Nur, ayat 35]
Seorang bijak berilmu yang salah niatnya sentiasa terdedah kepada ego dengan berpegang kuat dengan sesuatu pandangan. Apabila semakin pandai maka semakin kuat dia mempertahankan pandangannya. Lantas dia menolak segala pandangan lain yang bertentangan dengan pandangannya. Maka, dia akan mencari kepuasan dalam kepandaiannya. Dia lebih gemar memperbetulkan orang lain daripada membina sesuatu yang konstruktif, kerana itu lebih menyeronokkan egonya. Bahkan, dia sentiasa mengharapkan respon baik sahaja daripada pendengar setelah melontarkan idea, tanpa menimbang betul atau salah. Keadaan ini menjerumuskan dirinya ke lembah narsistik dan syok sendiri lalu menjadikannya seorang yang sukar berlapang dada, berunding, dan meraikan pandangan orang lain.
مَن طلبَ العِلمَ ليُجاريَ بهِ العلَماءَ أو ليُماريَ بهِ السُّفَهاءَ أو يصرِفَ بهِ وجوهَ النَّاسِ إليهِ أدخلَهُ اللَّهُ النَّارَ
Maksudnya: Barangsiapa menuntut ilmu untuk berdebat dengan ulama, atau untuk membantah orang bodoh, atau untuk menarik perhatian manusia kepadanya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka. [HR Tirmizi, 2654]
Islam tidak pernah mengajarkan manusia untuk bersikap negatif demikian. Syeikh Ahmad al-Raisuni dalam kitabnya al-Shura fi Ma‘rakat al-Bina’ menegaskan bahawa Islam mendidik kita agar bersikap tawaduk, bukan ego dan melampau. Sikap keras kepala dalam mempertahankan pandangan sehingga menolak musyawarah adalah cerminan kediktatoran, bukan petunjuk ilmu yang benar.
عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ . كَلَّآ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَيَطۡغَىٰٓ . أَن رَّءَاهُ ٱسۡتَغۡنَىٰٓ
Maksudnya: Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. [Surah al-Alaq, 5-7]
Justeru untuk membuang sikap ego kerana mempunyai ilmu, kita mesti mempunyai sikap rendah diri (تواضع). Mengakui kesalahan dan mengubah pendapat salah kepada pandangan yang betul tanpa justifikasi keegoan.
Soalan 7
Assalamualaikum ustaz dan dai. Kadang orang gunakan hujah "masyarakat tak faham" untuk sembunyikan kebenaran. Adakah menyembunyikan ilmu yang benar juga satu bentuk pengkhianatan kepada amanah ilmu?
Islam menegaskan bahawa ilmu adalah amanah, dan siapa yang memilikinya wajib menyampaikannya dengan adil. Sikap menyembunyikan kebenaran adalah dosa besar dan satu bentuk pengkhianatan terhadap wahyu.
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَآ أَنزَلْنَا مِنَ ٱلْبَيِّنَـٰتِ وَٱلْهُدَىٰ مِنۢ بَعْدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِى ٱلْكِتَـٰبِ ۙ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَلْعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.. [Surah al-Baqarah, ayat 159]
Penggunaan ungkapan seperti “masyarakat tidak faham” adalah salah satu bentuk penyembunyian ilmu. Walaupun ungkapannya seakan boleh diterima akal, namun motif tersiratnya adalah untuk berdalih dari menyampaikannya.
Rasulullah SAW turut menggambarkan betapa berat hukuman bagi orang yang enggan menyampaikan ilmu yang sepatutnya boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
من سُئل عن علمٍ يعلمهُ فكتمهُ ألْجِمَ يومَ القيامةِ بِلِجَامٍ من نارٍ
Maksudnya: “Barangsiapa ditanya mengenai suatu ilmu dan ia menyembunyikannya, maka ia akan dicambuk dengan cambuk dari api neraka pada hari kiamat.” [HR Ahmad, 10420]
Namun, ada keadaan tertentu di mana menangguhkan penyampaian ilmu dibenarkan. Jika penyampaian segera boleh menimbulkan fitnah besar atau salah faham yang lebih parah, maka penangguhan sementara dengan tujuan tarbiyah adalah dibolehkan, asalkan ia bukan untuk melindungi kepentingan diri atau mengkhianati amanah. Ini berbeza dengan menyembunyikan kebenaran sepenuhnya.
Kesimpulannya, ilmu mesti disampaikan dengan hikmah, bertahap, dan sesuai kemampuan mad’u, tetapi tidak boleh ditutup terus. Jika dilakukan kerana maslahat dakwah, ia sebahagian dari strategi. Jika kerana ego atau takut kehilangan kepentingan dunia, ia adalah bentuk khianat yang dilaknat Allah.
