ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
KUASA DOA
- Penerbit : Adib
Soalan 1
Assalamualaikum ustaz dan dai. Kita selalu berdoa tapi selalu rasa macam doa yang kita minta tu tak dikabulkan. Adakah ini tanda Allah SWT tak terima doa kita, atau ada cara lain Allah SWT kabulkannya?
Dalam kehidupan seorang mukmin, doa adalah salah satu ibadah paling istimewa kerana ia merupakan saluran langsung antara hamba dan Pencipta.
Namun, tidak jarang manusia merasa kecewa apabila doa yang dipohon seolah-olah tidak dikabulkan, atau jawapannya tidak datang seperti yang dijangka.
Sebenarnya, doa bukan hanya tentang meminta sesuatu secara literal, tetapi juga tentang membina hubungan, menanam rasa bergantung sepenuhnya kepada Allah, dan melatih hati untuk bersabar, tawakal, serta sentiasa berharap kepada rahmatNya.
Hakikatnya, Allah SWT sangat suka mendengar untuk kita berdoa kepadaNya dan meminta segala macam benda daripadaNya.
Setiap doa yang dilafazkan dengan hati yang ikhlas sentiasa didengar oleh Allah SWT.
Doa bukan sekadar amalan rutin, tetapi satu bentuk komunikasi rohani yang menunjukkan kebergantungan, keikhlasan, dan pengakuan bahawa segala sesuatu berada dalam kuasa-Nya.
Allah SWT amat gembira melihat hambaNya berpaling kepada-Nya dalam setiap keadaan, sama ada dalam kesenangan mahupun kesusahan.
Allah SWT menjamin bahawa setiap doa yang dilafazkan dengan ikhlas akan didengar dan dikabulkan.
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.” [Surah al-Baqarah, ayat 186]
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [Surah Ghafir, ayat 60]
Apabila Allah SWT menjamin untuk mengkabulkan doa kita, maka ia pasti berlaku kerana ia merupakan janji Tuhan.
Namun, cara pengabulan itu tidak semestinya sama seperti apa yang kita jangka atau tafsirkan.
Allah SWT mengetahui setiap permintaan, keperluan, dan harapan hambaNya, dan Dia mengatur jawapan kepada doa itu dengan hikmahNya yang tiada tolok banding.
Allah mempunyai hikmah dan pengetahuan yang sempurna, dan setiap doa akan dijawab menurut cara yang terbaik untuk hambaNya.
Dalam sebuah hadis, Baginda SAW menerangkan bagaimana Allah SWT mengkabulkan doa-doa hambaNya.
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو، لَيْسَ بِإِثْمٍ وَلَا بِقَطِيعَةِ رَحِمٍ، إِلَّا أُعْطِيَ إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ يُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يُدَّخَرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَدْفَعَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا. قَالَ: إِذَا نُكْثِرُ، قَالَ: اللَّهُ أَكْثَرُ
Maksudnya: “Tiada seorang Muslim pun yang berdoa, bukan untuk melakukan dosa dan bukan memutuskan silaturahim, melainkan Allah akan memberinya salah satu daripada tiga perkara: sama ada doanya segera dikabulkan, atau disimpan untuknya di akhirat, atau Allah menjauhkan daripadanya kejahatan yang setara dengannya.” Apabila seseorang berkata: “Maka kita harus memperbanyakkan doa” Nabi SAW bersabda: “Allah lebih banyak (memberi).” [HR al-Bukhari (al-Adab al-Mufrad), 710]
Pertama, doa itu boleh dimustajabkan segera mengikut apa yang diingini hamba tersebut, atau ditangguhkan kepada waktu tertentu di dunia mengikut hikmah Allah.
Kedua, Allah SWT boleh menyimpan doa itu untuknya di akhirat, kerana Dia Maha Mengetahui bahawa hamba tersebut lebih memerlukannya di sana.
Ketiga, Allah SWT boleh menjauhkan hambaNya daripada perkara buruk atau musibah sebagai ganjaran bagi doanya.
Namun, dalam hadis tersebut, dinyatakan bahawa Allah SWT akan mengkabulkan doa kita jika kita tidak melakukan dosa atau memutuskan silaturrahim.
Terdapat syarat yang Allah SWT letakkan supaya doa itu termakbul seperti dalam firmanNya:
أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya: “Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” [Surah al-Baqarah, ayat 186]
Iaitu syaratnya adalah dengan beriman kepadaNya serta berpegang pada perintahNya dan menjauhi laranganNya.
Oleh itu, rasa seolah-olah doa tidak dikabulkan bukanlah tanda ditolak, tetapi bukti bahawa Allah menguruskan setiap permintaan dengan hikmahNya.
Namun, kita perlulah menilai diri dan menghalusi setiap amal perbuatan seandainya ada daripadanya yang menjadi penghalang kepada termakbulnya doa kita.
Seorang mukmin yang memahami hakikat ini akan terus berdoa dengan harapan, keyakinan, dan rasa cinta kepada Allah, sambil menerima setiap jawapanNya dengan penuh syukur dan tawakal.
Soalan 2
Assalamualaikum ustaz dan dai. Boleh tak ustaz kongsikan beberapa doa para nabi yang boleh jadi inspirasi dan panduan untuk kita dalam kehidupan seharian?
Doa para nabi merupakan sumber inspirasi dan panduan yang sangat berharga bagi setiap Muslim.
Ia bukan sekadar ungkapan permintaan, tetapi juga cerminan keimanan, ketekunan, dan cara mereka mendekatkan diri kepada Allah dalam pelbagai situasi, sama ada ketika menghadapi ujian, memohon petunjuk, atau bersyukur atas nikmat.
Salah satunya ialah doa Nabi Musa AS setelah melarikan daripada Mesir dalam keadaan diburu oleh pegawai-pegawai Fir’aun:
رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” [Surah al-Qasas, ayat 24]
Doa ini dibaca oleh Nabi Musa AS di Madyan setelah menolong 2 orang perempuan untuk memberi air kepada ternakan mereka.
Baginda kemudian berteduh dan mengadu dan meminta kepada Tuhannya.
Akhirnya, Allah SWT memberi Baginda perlindungan, pekerjaan dan isteri setelah bertemu dengan bapa 2 perempuan tersebut.
Faedah: Dalam keadaan kita tersempit, tertekan dengan tekanan hidup serta rasa lemas dengan dunia, berdoa dan berharaplah kepadaNya. InsyaAllah Dia akan membuka rezeki dan kelapangan selepas kesusahan.
Seterusnya, doa Nabi Ayyub As ketika ditimpa penyakit:
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” [Surah al-Anbiya’, ayat 83]
Ia menderita dalam tempoh yang lama dengan penyakit kusta di seluruh tubuhnya, sehinggakan hanya hatinya dan lisannya yang tetap sihat.
Baginda juga kehilangan keluarganya dan hartanya, menghadapi ujian hidup yang sangat berat, namun tetap bersabar dan bertawakkal kepada Allah.
Baginda hanya ditemani isterinya yang setia mengurusnya dan sanggup bekerja deminya.
Faedah: Di saat kita ditimpa musibah, penyakit dan kehilangan segala macam perkara, berdoalah kepada Allah SWT dan jangan putus asa daripada rahmatNya.
Selain itu, doa Nabi Musa AS ketika hendak menghadapi Fir’aun:
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي (25) وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي (26) وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي (27) يَفْقَهُوا قَوْلِي (28
Maksudnya: “Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; (25) Dan mudahkanlah bagiku, tugasku (26) Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku (27) Supaya mereka faham perkataanku.” [Surah Taha, ayat 25-28]
Nabi Musa AS memikul tugas yang berat untuk berdakwah kepada Fir’aun yang keras kepala, bahkan ada risiko untuk dibunuh.
Baginda memohon akan kelapangan hati daripada kegelisahan, meringankan kesulitan, memudahkan lisannya untuk berbicara agar mereka memahami kata-katanya.
Faedah: Di saat kita berasa takut, cemas atau khuatir orang berlaku buruk kepada kita, atau diugut, atau risau tentang apa yang mendatang, berdoalah kepada Allah SWT agar hati kita berasa tenang dan dipermudahkan urusan, serta diberi kekuatan untuk menghadapinya.
Dan juga, doa Nabi Yunus AS ketika di dalam perut ikan Nun:
وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” [Surah al-Anbiya’, ayat 87]
Baginda berasa tertekan dan marah tentang kaumnya yang enggan menerima dakwah Baginda.
Maka, Baginda pergi meninggalkan kaumnya dan berlayar sedangkan Allah SWT tidak memberi perintah untuk Baginda pergi.
Baginda diputuskan untuk terjun ke laut bagi menyelamatkan kapal daripada karam dan Baginda ditelan ikan yang besar.
Akhirnya, Baginda mengakui kesilapannya lalu Allah SWT menyelamatkannya.
Faedah: Ketika mana kita telah membuat kesilapan, keingkaran, serta kezaliman, akuilah kesilapan itu di hadapan Allah SWT dan mohonlah keampunanNya.
Dengan meneladani doa-doa ini, kita dapat mempelajari cara berdoa yang ikhlas, penuh keyakinan, dan selari dengan syariat, sekaligus menjadikan doa sebagai panduan praktikal dalam kehidupan seharian.
Soalan 3
Assalamualaikum ustaz dan dai. Selalu orang anggap doa ni macam pilihan terakhir bila semua usaha lain tak berhasil. Tapi betulkah hakikatnya doa sepatutnya jadi asas utama sejak mula lagi, bukan hanya di hujung jalan?
Kita selalu dengar tentang usaha, doa dan tawakal. Sehingga ada segelintir yang menganggap bahawa doa datang selepas usaha. Setelah berhempas pulas dengan kudrat dan daya sendiri, maka kita perlu berdoa dan meminta kepada Allah.
Namun, kefahaman ini agak kurang tepat. Usaha, doa dan tawakal tidak dilakukan mengikut tertib susunan itu, namun ianya dilaksanakan secara serentak. Bahkan, doa itu juga ialah sebahagian dari bentuk usaha yang dilakukan oleh seorang hamba.
Ketika melihat tiga perkara ini sebagai tertib susunan menjadi satu kebiasan, maka ia akan membentuk satu cara fikir seolah-olah doa ialah pilihan kedua, ketika segala usaha tidak membuahkan hasil. Sedangkan, doa adalah ibadah yang sangat penting, dan sepatutnya menjadi asas dalam setiap langkah kita, bukan hanya sebagai pilihan terakhir. Hakikatnya, doa adalah satu cara kita berhubung langsung dengan Allah, sumber kekuatan dan petunjuk dalam hidup ini.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى
Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.” [Surah al-Baqarah, ayat 186]
Ayat ini memberikan kita satu jaminan yang jelas bahawa Allah sentiasa dekat dengan hamba-Nya dan Dia mendengar setiap doa yang dipanjatkan. Tidak kira seberapa besar atau kecil permohonan kita, Allah sentiasa mendengar dan akan mengabulkan doa hamba-Nya, sama ada dengan segera, dengan cara yang kita tidak sangka, atau pada waktu yang terbaik menurut-Nya.
Doa adalah salah satu cara kita untuk meminta pertolongan dan petunjuk daripada Allah. Dalam Islam, kita dididik untuk berdoa dalam setiap keadaan baik ketika kita berada dalam kegembiraan mahupun kesulitan. Doa bukan sekadar permohonan untuk diberikan sesuatu yang kita inginkan, tetapi lebih kepada pengakuan kita bahawa segala-galanya adalah milik Allah dan hanya Dia yang mampu memberikan apa yang terbaik untuk kita.
Dalam dunia moden ini, kita sering kali berhadapan dengan cabaran hidup yang penuh dengan ujian dan dugaan. Kerja yang tidak menentu, tekanan kewangan, masalah hubungan, atau kesihatan yang merosot, sering kali membuatkan kita merasa putus asa dan hilang arah.
Dalam situasi-situasi ini, ramai yang mencari jalan keluar dengan cara yang bersifat duniawi sahaja bekerja lebih keras, berusaha tanpa henti, atau mencari solusi sementara. Namun, kadang-kadang usaha kita menemui jalan buntu, dan di sinilah banyak orang mula berdoa, seakan-akan doa adalah jalan terakhir yang perlu dilakukan setelah segala usaha tidak berhasil.
Sebahagian orang berdoa sepenuh hati apabila mereka berada dalam kesulitan, namun hakikatnya, doa adalah cara terbaik untuk kita memulakan sesuatu, baik itu pekerjaan, perniagaan, hubungan, atau apa jua aspek kehidupan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tetapi doalah memberi kita keyakinan bahawa Allah telah menetapkan yang terbaik untuk kita.
Dalam memulakan setiap usaha, semestinya kita memerlukan pertolongan dan petunjuk dari Allah. Bahkan bukan hanya di permulaan saja, pada semasa dan selepas dari sebuah usaha, kita sentiasa memerlukan petunjuk dari Allah, maka berdoa bukanlah satu alat yang bertempoh atau bersyarat, namun ianya ialah senjata bagi setiap mukmin. Sentiasalah berdoa dengan doa yang dibaca Nabi SAW:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, kesucian hati, dan kecukupan.” [HR Muslim, 2721]
Soalan 4
Assalamualaikum ustaz dan dai. Selalu bila kita dalam musibah, kita disarankan untuk berdoa dan memohon daripada Allah SWT. Jadi, macam mana sebenarnya doa boleh jadi pelindung hati dan sumber kekuatan seorang Muslim untuk bertahan dalam ujian?
— kesan doa bila hadapi ujian, godaan, tekanan hidup
Dunia sebagai darul ibtila’ (negeri ujian) sememangnya menjadi tempat menguji siapakah di kalangan manusia yang paling kuat bersabar dan berjuang. Firman Allah SWT:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ مِنكُمْ وَيَعْلَمَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Maksudnya: “Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” [Surah Ali-Imran, ayat 142]
Maka, ujian dan musibah tidak boleh dilihat sebagai satu pembulian, atau tanda Allah tidak menyayangi kita. Ujian dan musibah hakikatnya sebagai salah satu medium yang membawa kita lebih dekat kepada Allah. Maka tidak hairan jika semakin diuji, semakin Allah sayangi. Nabi SAW bersabda:
عِظَمُ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ
Maksudnya: “Besarnya ganjaran berbanding dengan besarnya ujian. Sesungguhnya, apabila Allah mencintai suatu kaum, Dia menguji mereka. Barang siapa yang reda, maka bagi mereka keredaan Allah, dan barang siapa yang marah (sakit hati), maka bagi mereka kemurkaan Allah.” [HR Ibnu Majah, 4031]
Jika diperhatikan, fitrah kita manusia ketika ditimpa kesusahan, ujian atau sedang memerlukan sesuatu, kita akan semakin kuat berdoa dan ibadah kepada Allah. Itu merupakan tanda bahawa kita menyedari kelemahan diri dan tidak mampu melaluinya tanpa pertolongan dari Allah. Maka doa merupakan salah satu cara mendapatkan sumber kekuatan dan pertolongan dari Allah.
Doa bukan hanya sekadar meminta permintaan mengubah keadaan, namun lebih utama ialah doa merupakan cara memohon petunjuk dan kekuatan dari Allah untuk melalui apa yang telah Allah tetapkan baik ujian atau musibah.
Bahkan, ketika kita mengingati Allah (zikrullah) dalam setiap detik gelisah dan cemas ketika diuji, kita akan dapati bahawa dengan menceritakan kepada Allah tentang segalanya, menyedari tentang kekuasaanNya atas segala sesuatu akan memberi kita ketenangan jiwa yang tiada bandingannya. Segala kekusutan dan kegelisahan akan hilang dengan menyedari bahawa Allah bersama kita. Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” [Surah al-Ra’du, ayat 28]
Berdoa kepada Allah juga ialah salah satu jalan meneguhkan iman kepada Allah. Kadang-kala ketika ditimpa ujian, kita berpotensi untuk tenggelam dalam masalah tersebut hingga memilih kebatilan sebagai jalan menjalani ujian. Namun, dengan berdoa, seolah-olah ia mengikat keyakinan dan keimanan kita kepada Allah. Sebagaimana yang dapat kita lihat dari kisah para Nabi dan juga sahabat setiap kali diuji, pasti mereka akan berdoa dan menyerahkannya pada Allah. Seperti firman Allah tentang Nabi Zakaria AS yang inginkan anak dalam keadaan Nabi Zakaria sudah tua dan isterinya sudah tidak boleh mengandung:
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُۥ ۖ قَالَ رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةًۭ طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ
Maksudnya: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” [Surah Ali-Imran, ayat 38]
Selain itu, doa ialah tanda optimis orang beriman yang tidak pernah merasa putus asa dengan pertolongan Allah. Iman dan keyakinan kita kepada Allah mendorong kita untuk tetap bertawakal. Sesuatu yang kelihatan mustahil di mata manusia, tidak akan mustahil jika Allah mengizinkannya. Sebagaimana firman Allah tentang Nabi Zakaria AS:
قَالَ رَبِّ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى غُلَـٰمٌۭ وَقَدْ بَلَغَنِىَ ٱلْكِبَرُ وَٱمْرَأَتِى عَاقِرٌۭ ۖ قَالَ كَذَٰلِكَ ٱللَّهُ يَفْعَلُ مَا يَشَآءُ
Maksudnya: “Nabi Zakaria berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.” [Surah Ali-Imran, ayat 40]
Doa adalah sumber ketenangan, kekuatan, dan harapan bagi seorang Muslim dalam menghadapi ujian hidup. Ia membantu kita untuk tetap sabar dan tawakal, memberikan ketenangan dalam hati, memperbaharui iman, dan melindungi kita dari perasaan putus asa. Doa mengingatkan kita bahawa Allah sentiasa bersama kita, mendengar setiap doa kita, dan akan memberikan jalan keluar dari setiap ujian yang kita hadapi. Janganlah berhenti berdoa kerana doa ialah kunci untuk tetap bertahan.
Soalan 5
Assalamualaikum ustaz dan dai. Kebanyakan orang hanya ingat nak doa bila ditimpa masalah, tapi masa hidup senang mereka jarang teringat untuk berdoa. Jadi, adakah itu tanda hubungan dengan Allah belum betul-betul rapat? Dan adakah doa yang lahir pada waktu senang, daripada hati yang penuh syukur, lebih mustajab berbanding doa ketika kita sedang gelisah dan terdesak?
Doa adalah penghubung utama antara hamba dengan Tuhannya. Ia adalah bentuk pengabdian dan penyampaian harapan seorang hamba kepada Allah. Sayangnya, banyak dari kita hanya mengingati Allah dan berdoa ketika dilanda kesusahan, namun seringkali lupa untuk berdoa ketika berada dalam kelapangan dan kemudahan.
Ini menimbulkan persoalan yang penting: Adakah doa yang lahir pada waktu senang, dari hati yang penuh syukur, lebih mustajab berbanding doa yang datang hanya ketika kita terdesak dan gelisah? Bagaimana kita memahami doa dalam konteks hubungan kita dengan Allah, dan apakah kesan doa yang dilakukan dalam keadaan berbeza?
Dalam Islam, doa tidak hanya diharapkan ketika kita dalam kesulitan, tetapi juga sebagai tanda syukur kepada Allah pada waktu senang. Mari kita telusuri dalil-dalil Al-Quran dan hadis yang memberikan panduan tentang doa dan hubungannya dengan keadaan hati kita.
Dalil Quran
وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya: "Dan Tuhan kamu berfirman: 'Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan untukmu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka dalam keadaan hina.'" [Surah Ghafir, ayat 60]
Penjelasan: Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan umat manusia untuk berdoa kepada-Nya dengan janji bahawa Dia akan memperkenankan doa mereka. Ini menunjukkan bahawa doa adalah kewajiban bagi setiap hamba dalam setiap keadaan. Ayat ini juga mengingatkan kita bahawa doa bukan hanya diterima dalam keadaan susah, tetapi juga dalam keadaan senang. Tidak seharusnya doa hanya muncul ketika kita berada dalam kesulitan. Sebaliknya, doa perlu menjadi amalan berterusan yang dilakukan dalam setiap aspek kehidupan, baik ketika kita dalam kelapangan mahupun kesulitan.
Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan bahawa Allah tidak membezakan keadaan senang atau susah dalam penerimaan doa. Allah memerintahkan kita untuk berdoa kepada-Nya dalam semua keadaan kerana doa adalah bentuk penghambaan yang mempereratkan hubungan kita dengan-Nya. Dalam tafsirnya, beliau menegaskan bahawa seseorang yang mengabaikan doa dalam keadaan senang adalah mereka yang menyombongkan diri, seolah-olah mereka tidak memerlukan bantuan Allah. Oleh itu, berdoa dalam keadaan senang adalah tanda syukur dan kesedaran kita terhadap nikmat-Nya yang tak terhingga. [Kitab Al-Jami' li Ahkam al-Qur'an, jilid 16, hlm. 299]
Imam Al-Razi pula dalam tafsir Al-Tafsir al-Kabir menyatakan bahawa doa adalah penghubung rohani yang mempererat hubungan kita dengan Allah. Allah tidak hanya mendengar doa ketika kita dalam kesusahan, tetapi juga ketika kita berada dalam kelapangan dan kesenangan. Oleh itu, berdoa dengan rasa syukur di waktu senang menunjukkan kedekatan hati kita dengan Allah, bukan hanya sekadar memohon sesuatu. [Kitab Al-Tafsir al-Kabir, jilid 7, hlm. 102]
Dalil Hadis
إِنَّ اللَّهَ لَيَرْضَى عَنِ العَبْدِ أَنْ يَأْكُلَ الأكْلَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا، أَوْ يَشْرَبَ الشَّرْبَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah redha kepada hamba-Nya apabila dia makan sesuatu makanan dan memuji-Nya atasnya, atau apabila dia minum sesuatu minuman dan memuji-Nya atasnya." [HR Muslim, 2734]
Penjelasan: Hadis ini mengajarkan kita bahawa syukur atas setiap nikmat, sekecil mana pun, adalah sangat disukai oleh Allah. Allah sangat redha apabila hamba-Nya memuji-Nya atas nikmat yang diberikan, baik itu makanan, minuman, atau apa sahaja nikmat kehidupan. Ini menunjukkan bahawa doa yang lahir dari hati yang penuh rasa syukur, terutama ketika dalam keadaan senang, adalah lebih mustajab kerana ia datang dari hati yang ikhlas dan penuh penghargaan terhadap kurniaan-Nya. Berdoa dalam keadaan senang, dengan penuh syukur, menunjukkan bahawa kita menyedari dan menghargai segala nikmat yang diberikan Allah.
Imam An-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan betapa pentingnya rasa syukur dalam kehidupan seorang Muslim. Beliau menegaskan bahawa bersyukur atas nikmat Allah, walaupun sekecil apa pun, adalah tanda ketaatan dan kesedaran kita terhadap Allah. Doa yang lahir dari hati yang penuh rasa syukur, terutama pada waktu senang, lebih mustajab dan lebih diterima oleh Allah, kerana ia datang dari hati yang menyedari setiap pemberian-Nya. [Kitab Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, jilid 6, hlm. 128]
Doa bukan hanya untuk saat-saat sukar, tetapi seharusnya menjadi amalan berterusan dalam kehidupan seorang Muslim. Allah SWT memerintahkan umat-Nya untuk berdoa kepada-Nya dalam segala keadaan, baik dalam kesulitan mahu pun dalam kelapangan. Doa yang lahir dari hati yang penuh rasa syukur, terutama ketika kita berada dalam keadaan senang, adalah lebih mustajab dan lebih disukai Allah. Ia mencerminkan kesedaran kita terhadap nikmat yang diberikan-Nya, dan mengukuhkan hubungan kita dengan Allah.
Marilah kita menjadikan doa sebagai amalan hidup yang berterusan, tidak hanya ketika kita berada dalam kesulitan, tetapi juga ketika kita berada dalam kesenangan. Jangan biarkan doa hanya keluar ketika kita gelisah atau terdesak, tetapi jadikanlah doa sebagai ungkapan syukur dan pengabdian kepada Allah setiap waktu. Doa adalah penghubung antara hamba dengan Pencipta, dan melalui doa, kita memperkukuhkan hubungan kita dengan-Nya dalam setiap keadaan.
Soalan 6
Assalamualaikum ustaz dan dai. Doa sering dikaitkan dengan permintaan. Tapi bagaimana pula dengan doa yang tidak meminta apa-apa, hanya sekadar luahan hati atau bicara penuh cinta dengan Allah? Adakah doa sebegini sebenarnya lebih tinggi nilainya kerana lahir daripada rasa penghambaan yang tulus?
Doa adalah salah satu bentuk ibadah yang sangat dihargai dalam Islam. Secara umum, doa sering dikaitkan dengan permintaan, di mana seorang hamba memohon kepada Allah untuk diberikan sesuatu. Namun, doa juga boleh menjadi bentuk luahan hati, ungkapan cinta, dan ketulusan seorang hamba terhadap Tuhannya. Doa semacam ini bukan hanya sekadar permintaan, tetapi juga merupakan pengakuan penuh terhadap kebesaran dan kasih sayang Allah.
Maka, apakah doa yang tidak meminta apa-apa tetapi hanya berupa luahan hati atau bicara penuh cinta kepada Allah lebih tinggi nilainya kerana lahir daripada rasa penghambaan yang tulus? Mari kita telusuri jawapannya berdasarkan dalil-dalil Al-Quran, hadis, dan penjelasan para ulama.
وَدْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya: "Dan berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan dengan suara yang lembut. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." [Surah al-a'raf, ayat 55]
Ayat ini menunjukkan bahawa doa yang disertai dengan kerendahan hati dan ketulusan adalah sangat dihargai di sisi Allah. Doa yang tidak hanya berisi permintaan, tetapi juga sebagai bentuk pengakuan dan ketundukan sepenuhnya kepada Allah, sangat tinggi nilainya. Ini juga mencerminkan penghambaan yang tulus dan cinta seorang hamba kepada Tuhannya. Dalam hal ini, doa yang hanya sekadar luahan hati atau bicara penuh cinta kepada Allah adalah doa yang sangat disukai oleh Allah, kerana ia datang dari hati yang benar-benar bergantung kepada-Nya.
Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya Al-Jami' li Ahkam al-Qur'an (jilid 7, hlm. 92) menjelaskan bahawa doa yang dilakukan dengan ketulusan dan tanpa tuntutan tertentu adalah doa yang paling mulia. Doa semacam ini bukan hanya mencerminkan ketundukan, tetapi juga menunjukkan rasa syukur dan cinta yang mendalam kepada Allah. Ketika seorang hamba berdoa hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah tanpa memikirkan apa yang harus diminta, doa tersebut lebih menggambarkan hubungan yang intim dan penuh rasa cinta kepada Allah.
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ، يَسْتَحِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا سَفْرًا خَائِبَتَيْنِ
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah Maha Pemalu lagi Maha Mulia. Dia malu jika seorang hamba mengangkat tangannya kepada-Nya dan Dia tidak memberikan apa yang dimintanya." [HR Tirmidzi, 3556]
Hadis ini menggambarkan betapa Allah Maha Pemalu dan Maha Mulia. Allah merasa malu jika seorang hamba berdoa dengan sepenuh hati dan mengangkat tangannya, tetapi Dia tidak memberikan apa yang diminta. Meskipun doa tersebut tidak mengandung permintaan yang jelas atau tidak meminta sesuatu yang spesifik, Allah tetap memberikan balasan terbaik untuk hamba-Nya yang penuh ketulusan dan cinta. Ini menunjukkan bahawa doa yang datang dari hati yang penuh cinta dan ketulusan, walaupun tidak meminta sesuatu yang spesifik, sangat dihargai di sisi Allah.
Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu’ (jilid 6, hlm. 128) menjelaskan bahawa Allah akan mengabulkan doa seorang hamba yang ikhlas, meskipun doa tersebut tidak mengandung permintaan tertentu. Doa yang hanya sebagai luahan hati atau ungkapan cinta adalah doa yang datang dari ketulusan hati, dan Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya kembali dengan tangan kosong. Bahkan, Allah akan memberikan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang diharapkan oleh hamba-Nya. Doa seperti ini memiliki kedudukan yang sangat tinggi kerana ia mencerminkan hubungan yang sangat dekat antara hamba dan Tuhannya.
Kesimpulan: Berdasarkan dalil-dalil Al-Quran, hadis, dan penjelasan para ulama, kita dapat menyimpulkan bahawa doa bukan hanya tentang permintaan untuk mendapatkan sesuatu. Doa yang tidak mengandung permintaan tertentu, tetapi hanya berupa luahan hati dan ungkapan cinta kepada Allah, tetap memiliki nilai yang sangat tinggi di sisi Allah. Allah tidak akan mengecewakan doa seorang hamba yang berdoa dengan tulus dan penuh cinta, bahkan meskipun doa tersebut tidak meminta sesuatu yang spesifik. Sesungguhnya, doa yang lahir dari ketulusan dan rasa penghambaan yang tulus ini lebih tinggi nilainya kerana ia menunjukkan ketundukan sepenuhnya kepada Allah dan mengutamakan hubungan yang lebih mendalam dengan-Nya.
Semoga kita sentiasa diberi keikhlasan dalam berdoa, dan senantiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan penuh cinta dan penghambaan. Ameen.
Soalan 7
Assalamualaikum ustaz dan dai. Selalu kita dengar orang kata doa mampu mengubah takdir, tapi kalau semua dah tertulis di Luh Mahfuz, boleh ke sebenarnya doa mengubah takdir, atau macam mana konsep sebenar perkara ni dalam Islam?
Dalam islam takdir terbahagi kepada dua, iaitu takdir mua’llaq dan takdir mubram.
Takdir mubram adalah muktamad dan tertulis di Luh Mahfuz. Tidak ada apa-apa pengurangan, penambahan atau pengubahan pada takdir ini.
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاء أَجَلُهُمْ لاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya : “Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” [Surah al-A’raf, ayat 34]
Takdir mu’allaq pula ad alah takdir yang tertulis dalam catatan para malaikat. Dengan izin Allah, takdir ini boleh tetap dan boleh berubah, bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia. Mu’allaq adalah perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud “tergantung”. Contohnya,
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَأَنْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya : “Barangsiapa yang suka untuk dimurahkan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka hubungkanlah silaturrahim” [HR al-Bukhari, 5985]
Nabi SAW memberi satu pemahaman bahawa umur boleh bertambah dengan izin-Nya melalui melakukan amal kebaikan seperti menyambung silaturrahim dan amal kebaikan yang lain.
وَلاَ يُزِيْدُ فِى الْعُمْرِ إِلاَّ الْبِرُّ
Maksudnya : “Tidak ditambah pada umur kecuali dengan kebajikan” [HR Tirmizi, 2139]
Adapun perkara yang melibatkan takdir mu’allaq seperti kejayaan atau kekayaan, ia boleh diubah dengan usaha dan berdoa kepada-Nya.
لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ الدُّعَاءُ
Maksudnya: “Tidak ditolak satu-satu ketentuan melainkan dengan doa..” [HR Tirmizi, 2139]
Oleh itu, seseorang yang berhajat terhadap sesuatu perkara hendaklah sentiasa berusaha dan berdoa agar ia dimakbulkan mengikut apa terbaik yang Allah tetapkan untuk hamba-Nya.
Namun, perlu difahami bahawa pemakbulan doa bergantung kepada apa yang Allah tetapkan sebagai yang terbaik untuk kita, bukan semata-mata apa yang kita rasa terbaik bagi diri kita.
لاَ يَــكُنْ تَــأَخُّرُ أَ مَدِ الْعَطَاءِ مَعَ اْلإِلْـحَـاحِ فيِ الدُّعَاءِ مُوْجِـبَاً لِـيَأْسِكَ؛ فَـهُـوَ ضَمِنَ لَـكَ اْلإِجَـابَـةَ فِيمَا يَـخْتَارُهُ لَـكَ لاَ فِيمَا تَـختَارُ لِـنَفْسِكَ؛ وَفيِ الْـوَقْتِ الَّـذِيْ يُرِ يـْدُ لاَ فيِ الْـوَقْتِ الَّذِي تُرِ يدُ
Maksudnya : “Janganlah karena keterlambatan datangnya pemberian-Nya kepadamu, saat engkau telah bersungguh-sungguh dalam berdoa, menyebabkan engkau berputus asa; sebab Dia telah menjamin bagimu suatu ijabah (pengabulan doa) dalam apa-apa yang Dia pilihkan bagimu, bukan dalam apa-apa yang engkau pilih untuk dirimu; dan pada waktu yang Dia kehendaki, bukan pada waktu yang engkau kehendaki. [Lihat Hikam Ibn ‘Ata’illah as-Sakandari, fasal 6]
Kesimpulannya, doa bukan hanya sekadar permohonan atau keluhan, tetapi ia adalah bentuk penghambaan kepada Allah dan ibadah kepada-Nya. Dalam Islam, doa boleh mengubah takdir, tetapi ia tetap perlu disertakan usaha, ikhtiar dan tawakul kepada-Nya.
