Mengapa hidayah perlu dicari dan bukan hanya ditunggu, dan bagaimana kita boleh berusaha agar ia sampai kepada diri kita?
JAWAPAN :
Hidayah bukan sesuatu yang pasif. Ia memerlukan usaha dan pembuktian kesungguhan. Lihat bagaimana pemuda dalam kisah ini menguji kebenaran:
اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ أَمْرُ الرَّاهِبِ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ أَمْرِ السَّاحِرِ فَاقْتُلْ هَذِهِ الدَّابَّةَ حَتَّى يَمْضِيَ النَّاسُ
Maksudnya: “Ya Allah, jika perintah rahib lebih Engkau sukai daripada perintah tukang sihir, bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai dapat melalui jalan mereka.” [HR Muslim, 3005]
Perkataan Ihtada (mendapat petunjuk) dalam bahasa Arab membawa makna "berusaha memperoleh sesuatu". Allah berfirman:
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhanmu... Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Qalam, 7]
Usaha mendapatkan hidayah:
- Beriman dengan sebenar-benar keimanan.
- Mengikut sunah Nabi SAW.
- Berdoa dengan ikhlas.
- Bersungguh-sungguh menuntut ilmu wahyu dan beribadah.
Kita selalu mendengar nasihat untuk bersabar dalam ujian, tetapi bagaimana cara sebenar untuk bersabar, terutamanya dalam krisis yang menekan hidup?
JAWAPAN :
Sabar bukan sekadar diam, tetapi mengawal diri daripada panik, lidah daripada mengeluh, dan anggota daripada membuat kerosakan. Ibnul Qayyim membahagikan sabar kepada tiga: Sabar (menahan nafsu), Musabarah (sabar menghadapi musuh/musibah), dan Murabitah (istiqamah dalam sabar).
Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah... dan tetap teguhlah dalam kesabaran...” [Surah Ali ‘Imran, 200]
Lihatlah ketenangan pemuda itu apabila diancam campak dari gunung dan laut. Dia tidak meronta, sebaliknya berdoa:
اللهم! اكفنيهم بما شئت
Maksudnya: “Ya Allah, lindungilah aku daripada mereka dengan apa yang Engkau kehendaki.” [HR Muslim]
Begitu juga kesabaran seorang ibu yang hampir terjun ke dalam parit api demi mempertahankan iman apabila anaknya berkata:
يَا أُمَّهِ اصْبِرِي فَإِنَّكِ عَلَى الْحَقِّ
Maksudnya: “Wahai ibu, bersabarlah. Sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran.”
Bagaimana kisah Ashabul Ukhdud ini mencerminkan kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan tindakan bagi seorang Muslim?
JAWAPAN :
Pemuda itu menunjukkan Fiqh Maalat (memikirkan kesan masa depan). Dia tahu dia akan mati, tetapi dia memilih kematian yang boleh "menghidupkan" iman ribuan orang. Dia menetapkan syarat kepada raja:
إِنَّكَ لاَ تَقْتُلُنِي حَتَّى تَصْلُبَنِي ... وَتَقُولَ ... بِسْمِ اللَّهِ رَبِّ هَذَا الْغُلاَمِ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau tidak akan dapat membunuhku melainkan jika engkau menyalibkan aku... dan berkata: 'Dengan nama Allah, Tuhan pemuda ini.'” [HR al-Tirmizi, 3340]
Kebijaksanaan ini menyebabkan rakyat sedar bahawa kuasa sebenar milik Allah, bukan raja. Ibrahnya:
- Mengutamakan maslahat iman orang ramai berbanding keselamatan diri sendiri.
- Bijak mencari peluang (high leverage) untuk menyampaikan kebenaran.
- Mencipta "signal" kebenaran yang jelas di tengah-tengah propaganda musuh.
Ramai yang sibuk mengejar kuasa, harta, dan populariti sehingga lupa akhirat. Dalam Islam, bagaimana kita diajar untuk kenal dan kejar kemenangan sebenar?
JAWAPAN :
Islam menukar lensa kemenangan: Bukan siapa paling kaya atau berkuasa, tetapi siapa yang selamat daripada neraka. Allah berfirman:
فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ
Maksudnya: “...Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya...” [Surah Ali-Imran, 185]
Dalam kisah ini, Raja nampak "menang" kerana berjaya membunuh orang beriman, tetapi hakikatnya dia kalah besar kerana kezalimannya. Orang beriman nampak "kalah" kerana mati dibakar, tetapi mereka menang besar (Al-Fauzul Kabir) kerana mempertahankan iman.
Jangan biar tekanan dunia memaksa kita menggadai prinsip. Kemenangan sebenar adalah apabila kita berjaya menundukkan nafsu dan kekal di jalan yang diredai Allah.
Bagaimana perbuatan raja dalam kisah Ashabul Ukhdud menunjukkan perlunya kesedaran takwa dalam menggunakan kuasa?
JAWAPAN :
Raja dalam kisah ini adalah contoh Taghut yang hilang sifat kemanusiaan kerana tiada takwa. Kuasa digunakan untuk membalas dendam terhadap orang yang berbeza pegangan agama.
وَمَا نَقَمُوا۟ مِنْهُمْ إِلَّآ أَن يُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ
Maksudnya: “Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah...” [Surah al-Buruj, 8]
Apabila pemimpin rosak, sistem di bawahnya turut rosak (kakitangan menggali parit dan menyalakan api). Umar Al-Khattab pernah berpesan kepada Ziyad:
هَلْ تَدْرِي مَا يَهْدِمُ دَعَائِمَ الْإِسْلَامِ؟ ... وَحُكْمُ الْأَئِمَّةِ الْمُضِلِّينَ
Maksudnya: “Adakah engkau tahu apakah perkara yang meruntuhkan tiang-tiang Islam?... (Salah satunya ialah) pemerintahan para pemimpin yang menyesatkan.” [HR Darimi]
Sebagai seorang Muslim, bagaimana untuk melahirkan keberanian dalam diri untuk membuat perkara yang benar dan menolak kemungkaran?
JAWAPAN :
Keberanian lahir daripada rasa takut kepada ancaman Nabi SAW terhadap mereka yang bersubahat dengan pemimpin zalim:
فَمَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَأُولَئِكَ لَيْسُوا مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُمْ، وَلَا يَرِدُوا عَلَيَّ حَوْضِي
Maksudnya: “Sesiapa sahaja yang membenarkan kelakuan dusta pemimpin... bantu mempertahankan kezaliman mereka, maka mereka semua itu bukan dari kalanganku... Mereka tidak akan dapat mendekati telagaku.” [HR Ahmad, 14441]
Cara membina keberanian (Perisai Rohani):
- Integriti: Berani menolak sumber pendapatan haram (rasuah/dedak), kerana daging yang tumbuh dari yang haram, neraka lebih utama baginya.
- Amalan Rohani: Puasa sebagai perisai, sedekah memadam dosa, dan solat sebagai bukti (Burhan).
- Prinsip: Sedar bahawa kita "menjual" jiwa kita setiap hari—sama ada memerdekakannya dengan taat atau membinasakannya dengan maksiat.