ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

belajar erti syukur
SOALAN PENONTON – Syukur & Pasrah

SOALAN PENONTON

Soalan 1

Assalamualaikum ustaz dan dai. Apa beza antara bersyukur dengan pasrah? Adakah orang yang bersyukur itu mesti pasrah menerima semua perkara tanpa usaha?

Jawapan:

Bersyukur dalam Islam bermaksud mengakui segala nikmat yang diberikan oleh Allah dengan hati yang penuh rasa terima kasih dan disertai dengan amal yang menunjukkan penghargaan terhadap nikmat tersebut. Pasrah adalah sikap hati yang yakin bahawa selepas segala usaha dilakukan, hasilnya adalah ketentuan Allah, dan kita menerimanya dengan hati yang lapang. Perkara ini selari dengan konsep tawakkal dalam islam.

وَأُفَوِّضُ أَمْرِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ

Maksudnya : “Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”. [Surah Ghafir, ayat 44]

Pasrah bukanlah untuk membuang usaha, tetapi untuk mengakui kuasa dan ketentuan Allah dalam kehidupan kita. Dengan kata lain, orang yang pasrah tetap berusaha, namun menyerahkan segala urusan kepada Allah setelah berusaha, tanpa berputus asa dan tanpa merungut. Saidina Umar RA pernah menegur sekumpulan manusia yang datang dari Yaman tanpa membawa bekalan:

مَا أَنْتُمْ؟ فَقَالُوا: نَحْنُ المُتَوَكِّلُوْنَ. فَقَالَ: بَلْ أَنْتُمُ المُتَّكِلُوْنَ.

Maksudnya : “Kamu semua ini apa? Mereka menjawab: Kami adalah golongan yang bertawakal. Amirul mukminin membalas: (kamu bukanlah orang yang bertawakal) bahkan kamu adalah orang yang hanya bersandar (tidak berusaha)”.

Lalu Saidina Umar RA menjelaskan kepada mereka tentang konsep tawakal:

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِالمُتَوَكِّلِيْنَ؟ رَجُلٌ أَلْقَى حَبَّةً فِي الأَرْضِ ثُمَّ تَوَكَّلَ عَلَى رَبِّهِ

Maksudnya : Biar aku beritahu kamu tentang orang yang bertawakal, iaitu lelaki yang mencampakkan benih ke tanah (iaitu berusaha bercucuk tanam) dan kemudian dia pun bertawakal kepada Allah. [Lihat Fathu ar-Rahman Bi Syarh Zubad Ibn Roslan, hlm. 1040]

Oleh itu, orang yang bersyukur tidak semestinya pasrah tanpa usaha. Sebaliknya, mereka yang bersyukur akan tetap berusaha sebaik mungkin dalam segala urusan kehidupan, dengan keyakinan bahawa hasilnya adalah ketentuan Allah yang terbaik untuknya. Dalam Islam, usaha adalah wajib, manakala pasrah atau tawakkul datang setelah berusaha, yang mana menunjukkan sikap tawadhuk dan keyakinan kepada kebijaksanaan Allah. Kesimpulannya, bersyukur dan pasrah adalah dua hal yang berjalan seiring, di mana syukur itu melibatkan pengakuan dan penggunaan nikmat dengan baik, sementara pasrah adalah menerima ketentuan selepas usaha.

Soalan 2

Salam, ustaz. Apakah contoh teladan para Nabi atau sahabat yang hidup dalam kesederhanaan tetapi penuh rasa syukur? Adakah mereka tidak pernah merasa sedih jika terdapat kekurangan atau ujian?

Jawapan:

Para Nabi dan sahabat merupakan contoh teladan yang luar biasa dalam mengamalkan kehidupan yang penuh kesederhanaan sambil mengekalkan rasa syukur kepada Allah, meskipun mereka menghadapi pelbagai ujian dan kekurangan. Nabi Ibrahim, Ismail, Yaakub, Yusuf, Ayyub, dan Muhammad SAW dan ramai lagi para anbiya yang telah menjalani kehidupan dengan kesederhanaan dan tetap bersyukur. Nabi Muhammad SAW adalah contoh utama dalam kehidupan penuh kesederhanaan dan rasa syukur. Walaupun Baginda SAW menerima wahyu dan diangkat sebagai pemimpin umat manusia, Baginda tidak hidup dalam kemewahan. Baginda hidup dengan hanya memiliki pakaian yang sederhana dan rumah yang tidak mewah. Hal ini direkodkan dalam hadith.

ما شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ مُنْذُ قَدِمَ المَدِينَةَ، مِن طَعامِ البُرِّ ثَلاثَ لَيالٍ تِباعًا، حتَّى قُبِضَ

Maksudnya : “Tidak pernah keluarga Nabi Muhammad SAW merasa kenyang dengan makanan gandum selama tiga malam berturut-turut sejak mereka tiba di Madinah, sehingga Rasulullah SAW wafat”. [HR Bukhari, 6454]

Sayidina Abu Bakar RA ketika dilantik menjadi khalifah, beliau tidak mengubah gaya hidupnya dan tetap hidup dalam kesederhanaan, walaupun kekuasaan dan harta berada di tangannya. Beliau terkenal dengan sifatnya yang dermawan, mengorbankan harta dan hidupnya demi menegakkan agama Islam. Nabi Ayyub AS pula adalah contoh teladan dalam menghadapi ujian yang amat besar. Beliau diuji dengan penyakit yang sangat parah dan kehilangan harta serta keluarganya. Keadaan baginda sangat teruk sehinggakan semua isterinya lari, tinggallah seorang sahaja isteri yang masih merawatinya. Isteri itu kemudian menyebut, mintallah dengan Allah agar diangkat ujian ini, Nabi Ayyub sebaliknya mengatakan bahawa Allah telah banyak beri kesenangan, maka baginda akan reda menghadapi kesusahan ini. Walaupun berada dalam keadaan yang sangat susah, Nabi Ayyub tetap tidak mengeluh, sebaliknya beliau terus bersyukur kepada Allah dan akhirnya setelah bertahun lamanya, Baginda berdoa agar diberikan kesembuhan dengan cara yang paling halus kepada Allah Azza wa Jalla.

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Maksudnya : Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” [Surah al-Anbiya’, ayat 83] Ujian adalah sebahagian daripada kehidupan dan merupakan cara untuk membersihkan dosa serta meningkatkan darjat seseorang di sisi Allah. Mereka yang bersyukur dalam menghadapi ujian adalah orang yang memiliki keimanan yang kuat.

Para Nabi dan sahabat mengajarkan kita bahawa hidup dalam kesederhanaan tidak bermakna kita harus hidup dalam kekurangan rohani. Mereka menunjukkan bahawa kehidupan yang sederhana, tetapi disertai dengan rasa syukur kepada Allah, adalah lebih bernilai daripada kekayaan dunia yang sementara. Mereka juga tidak pernah mengeluh atau merasa sedih yang berlarutan walaupun dalam ujian hidup yang berat. Sebaliknya, mereka melihat setiap ujian sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan lebih ikhlas dan penuh rasa syukur.

Soalan 3

Salam.. Ustaz, kadang-kadang kita ni hidup dengan macam-macam nikmat, tapi selalu tak perasan. Nikmat apa sebenarnya yang paling penting untuk orang beriman ni selalu ingat supaya kita tak lupa nak bersyukur?

Jawapan:

Nikmat Iman dan Hidayah. Nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada seorang insan ialah iman dan hidayah. Tanpa iman, segala nikmat lain menjadi kosong walaupun banyak harta, sihat tubuh badan atau berpangkat tinggi. Allah SWT berfirman:

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya, nescaya Dia lapangkan dadanya untuk menerima Islam.” [Surah al-An‘am, ayat 125] Ini menunjukkan bahawa hidayah itu milik Allah dan menjadi nikmat yang wajib selalu kita syukuri.

Nikmat Kesihatan dan Masa. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa ramai manusia lalai terhadap nikmat yang selalu ada di depan mata:

«نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ»

Maksudnya: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi (kerana tidak memanfaatkannya): kesihatan dan waktu lapang.” [HR Bukhari, 6412] Kesihatan dan masa menjadi alat untuk kita beribadah, menuntut ilmu, mencari rezeki halal, dan berkhidmat kepada orang lain.

Nikmat Islam. Nikmat menjadi seorang Muslim adalah kemuliaan yang tidak ternilai. Tanpa Islam, hidup manusia hilang arah walaupun nampak berjaya di dunia. Allah SWT berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي

Maksudnya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku ke atas kamu.” [Surah al-Maidah, ayat 3] Allah sendiri menyebut bahawa Islam itu nikmat-Nya yang sempurna.

Cara Praktikal Bersyukur:
Dengan hati: Mengakui bahawa semua nikmat adalah daripada Allah, bukan hasil usaha semata-mata.
Dengan lisan: Membiasakan diri menyebut “Alhamdulillah” dalam setiap keadaan.
Dengan amal perbuatan: Menggunakan nikmat iman, Islam, kesihatan, dan masa untuk beribadah, membantu orang lain, menuntut ilmu, dan meninggalkan perkara haram.

Antara doa yang boleh diamalkan sepertimana yang Rasulullah SAW ajarkan kepada Muaz ibn Jabal RA:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.” [HR Abu Daud, 1522]

Kesimpulannya, nikmat yang paling penting untuk sentiasa diingati ialah nikmat iman dan Islam, kerana ia menjadi asas kepada semua nikmat lain. Kesihatan dan masa pula adalah wasilah untuk menghidupkan iman itu dalam kehidupan seharian. Hakikat syukur bukan hanya dengan ucapan, tetapi dengan menjadikan semua nikmat ini sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Soalan 4

Salam, ustaz. Tentang syukur… Selalu orang kata kesihatan ni nikmat besar, tapi kebanyakan kita cuma rasa nilainya bila dah sakit. Jadi macam mana cara nak hargai nikmat sihat ni dari awal, bukan tunggu bila jatuh sakit baru nak sedar?

Jawapan:

Kesihatan adalah antara nikmat yang besar yang Allah berikan buat hamba-Nya namun seringkali ia diabaikan. Seseorang tidak dapat berfokus pada ketaatan kecuali jika dia berada dalam keadaan cukup dan sihat. Seseorang mungkin kaya tetapi tidak sihat, atau sihat tetapi tidak kaya, yang membuatnya tidak dapat fokus pada ilmu dan amal kerana sibuk mencari rezeki. Maka, barang siapa yang memiliki kedua-duanya: kesihatan dan waktu lapang, namun tetap malas untuk beribadah, maka dia adalah orang yang rugi.

Maka, sebagai seorang muslim, antara cara yang boleh dilakukan untuk menghargai nikmat kesihatan sebelum datangnya sakit adalah dengan:

Bersyukur dan sentiasa berdoa
Doa agar terus diberi kesihatan yang baik agar dapat meneruskan amal soleh dan memberi manfaat kepada orang lain. Setiap kali kita bangun setiap pagi, zahirkan rasa syukur dengan mengucapkan “Alhamdulillah” dan membaca doa bangun dari tidur kerana Allah SWT masih memberi peluang untuk kita hidup secara sihat pada hari tersebut berbanding dengan saudara kita yang lain sedang bertarung nyawa menderita sakit yang dialaminya.

وَاِذۡ تَاَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕنۡ شَكَرۡتُمۡ لَاَزِيۡدَنَّـكُمۡ​ وَلَٮِٕنۡ كَفَرۡتُمۡ اِنَّ عَذَابِىۡ لَشَدِيۡدٌ‏

Maksudnya: “Jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepada kamu; dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” [Surah Ibrahim, ayat 7]

Menjaga tubuh badan
Iaitu dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Anggota tubuh yang Allah kurniakan buat hamba-Nya adalah untuk dijaga haknya supaya dapat digunakan untuk tujuan beribadah dan meneruskan kehidupan. Sabda Rasulullah SAW:

"يَا عَبْدَ اللَّهِ، أَلَمْ أُخْبَرْ أَنَّكَ تَصُومُ النَّهَارَ وَتَقُومُ اللَّيْلَ؟ قُلتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: فَلَا تَفْعَلْ، صُمْ وَأَفْطِرْ، وَقُمْ وَنَمْ، فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا."

Maksudnya:" Wahai Abdullah, salahkah aku diberitahu bahawa engkau berpuasa di siang hari dan mendirikan solat malam? Aku menjawab: Benar, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Janganlah kamu lakukan demikian. Berpuasalah dan berbukalah, bangunlah untuk solat dan tidurlah. Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak atas dirimu, dan sesungguhnya matamu mempunyai hak atas dirimu, dan sesungguhnya isterimu mempunyai hak atas dirimu." [HR Bukhari, 5199]

Sesungguhnya Nabi SAW adalah orang yang paling banyak beribadah kepada Allah, dan paling bersemangat untuk meraih keredhaan-Nya. Walaupun begitu, baginda mengajarkan kepada kita kemudahan dalam beribadah, mengambil apa yang mampu dilakukan oleh diri, dan meninggalkan kesulitan-kesulitan yang tidak perlu. Dengan demikian, seseorang dapat mengimbangi antara kehidupan dunia dan akhirat.

Elak perkara yang merosakkan tubuh badan
Segala bentuk maksiat dan juga perka seperti merokok, makan berlebihan, mengabaikan waktu tidur sehingga memudaratkan kesihatan kerana tubuh badan kita adalah amanah yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Dengan cara ini, kita bukan sahaja menghargai nikmat kesihatan, tetapi juga menggunakannya dengan sebaiknya sebagai bentuk kesyukuran kepada Allah SWT.

Soalan 5

Salam ustaz dan dai yang dihormati.. Macam mana sebenarnya solat dan zikir boleh buat kita lebih rasa syukur pada Allah, bukan sekadar buat sebab kewajipan semata-mata?

Jawapan:

Hakikat setiap ibadah itu bukanlah hanya memenuhi rutin harian atau asal buat kerana ianya sudah kewajipan. Setiap ibadah dan amal soleh merupakan satu ikatan yang mendekatkan antara hamba dan Tuhan, ianya merupakan latihan jiwa, fizikal dan mental dalam membina peribadi yang lebih baik. Tanda mensyukuri semua nikmat Allah ialah membuktikannya dengan usaha melakukan amal soleh dan ketaatan kepada Allah. Syukur terhadap nikmat tidak hanya dibuktikan dengan lafaz dan kata-kata, namun lebih utama ia dibuktikan dengan tindakan ketaatan kepada Allah terhadap perintah dan laranganNya.

Allah SWT berfirman:

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا

Maksudnya: “Beramallah kamu wahai keluarga Daud sebagai bukti kesyukuran!” [Surah Saba’, ayat 13]

Abu Abd al-Rahman al-Hubuli berkata: “Solat adalah syukur, puasa adalah syukur dan setiap kebaikan yang dikerjakan kerana Allah SWT adalah syukur. Seafdhal-afhal syukur adalah pujian.” Beliau dan Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahawa Muhammad bin Ka'ab al-Qurazhi berkata: “Syukur adalah takwa kepada Allah SWT dan beramal soleh.” Ini dikatakan bagi orang yang sedang berusaha melakukan perbuatan. Demikian juga keluarga Daud AS, mereka menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan perkataan dan perbuatan. [Rujuk: Tafsir al-Quran al- ‘Azim, jld. 6, hlm. 500]

Tambahan, ibadah solat bukan sekadar ritual bagi seorang Muslim. Solat merupakan latihan kesedaran yang mendidik manusia menurunkan ego, merendahkan diri di hadapan Allah yang Maha Besar. Ia mengingatkan kita bahawa segala nikmat ini bukan hasil usaha manusia semata-mata, namun ianya ialah pemberian daripada Allah. Ini ialah latihan syukur yang didapatkan melalui solat. Daripada Saidatina Aisyah RAH,

"كانَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، إذَا صَلَّى قَامَ حتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ، قالَتْ عَائِشَةُ: يا رَسولَ اللهِ، أَتَصْنَعُ هذا، وَقَدْ غُفِرَ لكَ ما تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِكَ وَما تَأَخَّرَ، فَقالَ: يا عَائِشَةُ أَفلا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا."

Maksudnya: "Rasulullah SAW, apabila Baginda solat, Baginda berdiri sehingga kedua kakinya bengkak. Aisyah RAH berkata: 'Wahai Rasulullah, apakah engkau melakukan ini, padahal telah diampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang?' Rasulullah SAW menjawab: 'Wahai Aisyah, tidak patutkah aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?' [HR Muslim, 2820]

Dengan mendirikan solat secara tertib dan penghayatan sebaiknya, bukan sekadar pergerakan badan dan mulut, kita akan dapati bahawa solat ialah ruang untuk kita bermuhasabah diri, menzahirkan rasa syukur kepada Allah, kerana solat ialah ikatan yang paling dekat antara hamba dan Allah SWT. Begitu juga dengan zikir kepada Allah. Ucapan syukur dan puji-pujian ialah jalan untuk lebih bersyukur kepada Allah. Zikir bukan sekadar lafaz biasa “terima kasih”, namun zikir ialah lafaz yang menjadikan kita mengingati Allah, lafaz yang mengandungi peringatan untuk berfikir sejenak mengingati nikmat dan ujian yang telah Allah tetapkan buat kita.

Firman Allah SWT:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” [Surah al-Dhuha, ayat 11]

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan: “Sebarkanlah apa yang Allah SWT kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran.” [Rujuk: al-Jami' li Ahkam al-Quran, jld. 20, hlm. 102]

Zikir yang berfungsi sebagai ‘reminder’ sepanjang hari akan menjadikan kita terbiasa dalam menyedari nikmat-nikmat yang telah diberikan, sehingga sekecil-kecil perkara juga menjadi hal yang kita sangat syukuri. Pada peringkat awal, kita melihat solat dan zikir ialah ritual yang mesti dilakukan atas kapasiti ianya merupakan perintah dari agama, namun semakin lama kita melaziminya dengan hati yang ikhlas dan kesungguhan, kita akan melihat solat dan zikir sebagai sumber ketenangan dan kecukupan. Di peringkat ini, syukur bukan lagi sekadar kata-kata dan perhitungan nikmat, tapi syukur ialah state of being (keadaan diri yang sentiasa begitu). Ia bukan lagi reaksi sesaat “syukur, lega dah selesai”, tapi gaya hidup dan cara kita memandang dunia, menerima ujian, dan menggunakan nikmat dengan penuh rasa syukur dan reda.

Soalan 6

Salam, ustaz.. Soalan saya.. Bagaimana mendidik hati untuk syukur bukan hanya selepas menerima nikmat, tetapi sebelum dan semasa menanti rezeki itu tiba? Adakah syukur itu amal yang bertempoh?

Jawapan:

Syukur merupakan satu bentuk pengabdian kepada Allah SWT yang sangat dituntut dalam agama Islam. Syukur bukan hanya bererti berterima kasih kepada Allah setelah menerima nikmat, tetapi juga melibatkan pengiktirafan bahawa segala yang ada pada kita adalah dari Allah dan hakikatnya Allah berhak atas segala apa yang kita miliki. Dalam konteks ini, soalan yang diajukan berkaitan dengan bagaimana kita dapat mendidik hati untuk bersyukur bukan hanya selepas menerima nikmat, tetapi juga sebelum dan semasa menanti rezeki yang belum tiba, adalah sangat penting. Syukur, menurut pandangan Islam, adalah satu amalan yang berterusan, tidak terikat pada masa atau tempoh tertentu. Ia adalah sifat yang perlu diterapkan dalam setiap saat kehidupan seorang Muslim, baik sebelum, semasa, atau selepas menerima rezeki.

Sebelum menerima nikmat atau rezeki, seorang Muslim seharusnya telah menanam rasa syukur dalam hati dengan menyedari bahawa segala yang ada adalah milik Allah. Syukur sebelum menerima rezeki ini merujuk kepada kesedaran bahawa Allah Maha Pemurah dan setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin-Nya. Ini adalah bentuk tawakkul (berserah diri) dan pengakuan terhadap ketentuan-Nya. Syukur semasa menanti rezeki adalah kesabaran dan ketekunan dalam menunggu nikmat yang telah Allah tentukan. Dalam tempoh menanti, seorang Muslim diajar untuk memperbanyakkan doa, berusaha, dan berserah kepada Allah dengan sepenuh hati. Sesungguhnya, orang yang menunggu dengan sabar adalah orang yang sedang memupuk rasa syukur dan husnuzon dengan Allah SWT.

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” [Surah al-Baqarah, ayat 153]

Setelah menerima nikmat, syukur yang sebenar adalah dengan menggunakan nikmat tersebut di jalan yang diredhai Allah, bukan hanya dengan ucapan “Alhamdulillah” semata. Kesimpulannya, syukur dalam Islam adalah suatu amalan yang berterusan dan melibatkan hati, lisan, serta tindakan. Seorang Muslim yang bersyukur akan terus berusaha, sabar, dan bertawakal kepada Allah dalam segala keadaan. Oleh itu, syukur bukanlah amal yang bertempoh, tetapi ia adalah sebahagian daripada sifat dan adab seorang hamba yang sentiasa bergantung kepada Allah.

Soalan 7

Assalamualaikum, Ustaz. Apabila diuji oleh orang terdekat seperti keluarga atau pasangan, kadang-kadang kita rasa lebih sukar untuk bersabar dan bersyukur. Apa yang boleh kita lakukan untuk menguatkan hati dan tetap bersyukur dalam situasi tersebut?

Jawapan:

Ujian hidup datang dalam pelbagai bentuk, dan antara ujian yang paling berat adalah apabila ia datang daripada orang terdekat kita, seperti keluarga atau pasangan. Mereka adalah orang yang kita sayang dan harapkan kasih sayang dan sokongan daripada mereka. Namun, kadangkala ujian yang datang daripada mereka terasa lebih berat kerana kita merasa kecewa atau terluka apabila ia datang dari orang yang kita percayai dan cintai. Dalam Islam, kesabaran dan syukur adalah dua perkara yang sangat dituntut, terutamanya ketika menghadapi ujian yang datang daripada orang yang dekat dengan kita dan ini adalah langkah pertama dalam memahami dalam menguatkan hati untuk kekal bersyukur. Sabar adalah kemampuan untuk menahan diri dan bertindak dengan baik meskipun diuji dengan kesulitan. Syukur pula adalah mengakui segala nikmat dan rezeki sebagai pemberian daripada Allah, termasuk dalam keadaan sukar. Yang kedua, dalam situasi yang sukar, sering kali kita lupa bahawa setiap ujian yang datang membawa ganjaran yang besar jika kita bertahan dengan sabar. Allah SWT berfirman dalam Surah Az-Zumar:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas” [Surah al-Zumar, ayat 10]

Ketika diuji dengan kesulitan dari orang terdekat, kita perlu mengingatkan diri bahawa kesabaran ini akan mendatangkan ganjaran yang tidak terhingga. Allah SWT menjanjikan bahawa pahala untuk orang yang sabar itu sangat besar, bahkan tanpa batasan. Salah satu cara utama untuk menguatkan hati dalam menghadapi ujian adalah dengan berdoa kepada Allah. Doa adalah cara kita untuk mengadu dan meminta kekuatan kepada Allah. Dalam menghadapi kesulitan yang datang daripada orang terdekat, berdoalah dengan penuh pengharapan dan kesungguhan, bukan secara sambil lewa dan tidak semangat.

«لَا يَقُلْ أَحَدُكُمُ: ‌اللَّهُمَّ ‌اغْفِرْ ‌لِي ‌إِنْ ‌شِئْتَ، ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ، ارْزُقْنِي إِنْ شِئْتَ، وَليَعْزِمْ مَسْأَلَتَهُ، إِنَّهُ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ، لَا مُكْرِهَ لَهُ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang di antara kamu berkata: 'Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mahu, kasihanilah aku jika Engkau mahu, berikanlah aku rezeki jika Engkau mahu,' tetapi hendaklah dia bersungguh-sungguh dalam memohon, kerana sesungguhnya Allah melakukan apa yang Dia kehendaki, dan tidak ada yang dapat memaksa-Nya.” [HR Bukhari, 7477]

Kesimpulannya, kesabaran dan syukur adalah dua amalan yang sangat penting dalam Islam, terutamanya apabila kita diuji oleh orang yang paling dekat dengan kita. Dalam menghadapi ujian daripada keluarga atau pasangan, kita perlu mengingatkan diri bahawa setiap ujian adalah peluang untuk memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.

Scroll to Top