ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

sEBAIK-BAIK UMAT

sebaik-baik umat
Soalan Penonton – Amar Makruf Nahi Munkar & Iman
SOALAN PENONTON

Amar Makruf Nahi Munkar & Manifestasi Iman

Susunan kemas satu halaman — tiada navigasi — tanpa membuang sebarang kandungan asal.

Tanggungjawab Dakwah: Bukan Eksklusif Ustaz

Assalamualaikum ustaz dan dai. Ramai yang rasa tugas berdakwah ni hanya tanggungjawab ustaz atau orang agama, sedangkan diri sendiri langsung tak mahu ambil peduli. Bagaimana kita nak sedarkan mereka yang bersikap begini yang hanya fikir urusan diri tanpa rasa tanggungjawab terhadap kebaikan orang lain?

Dalam masyarakat hari ini, tanggungjawab berdakwah sering disalah erti. Ramai melihat dakwah seolah-olah tugas eksklusif golongan agama seperti ustaz, pendakwah, atau mereka yang petah berbicara di mimbar. Sedangkan hakikatnya, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ialah nadi umat Islam yang ingin menegakkan kebenaran.

Fenomena yang semakin ketara dalam masyarakat hari ini ialah apabila segelintir individu menganggap bahawa tanggungjawab menyampaikan dakwah hanya terletak di bahu ustaz, guru agama, atau golongan berpendidikan tinggi dalam bidang syariah.

Pandangan ini sebenarnya menunjukkan kekeliruan terhadap konsep dakwah itu sendiri. Dakwah bukanlah amanah eksklusif bagi segelintir manusia, tetapi merupakan tanggungjawab kolektif seluruh umat Islam, sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Apabila tanggungjawab ini dipinggirkan, masyarakat akan kehilangan suara yang mengajak kepada nilai dan kebenaran, lalu ruang itu diisi oleh bisikan maksiat dan kejahilan yang semakin menular.

Kita perlu faham bahawa kesedaran tentang dakwah perlu bermula daripada kefahaman bahawa ia tanggungjawab setiap individu Muslim, bukan hak milik golongan agama semata-mata.

Setiap individu yang mengucap dua kalimah syahadah telah memikul amanah untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran mengikut kadar kemampuan.

Dakwah tidak semestinya di pentas atau mimbar, tetapi boleh berlaku dalam bentuk nasihat, teguran lembut, atau teladan yang baik.

Islam tidak pernah mengehadkan dakwah hanya kepada mereka yang mempunyai gelaran.

Setiap orang yang memahami kebaikan walau sekecil mana, memiliki tanggungjawab untuk menyampaikannya kepada orang lain.

رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” [HR al-Bukhari, 3461]

Hadis ini menunjukkan galakan dan dorongan untuk menyampaikan ilmu sama ada berbentuk amar makruf atau nahi munkar walaupun sedikit, dengan syaratnya ianya benar dan sahih. Sehinggalah setiap orang terdorong untuk saling menasihati dan berpesan-pesan dalam keimanan.

Dalam konteks moden, dakwah bukan sekadar di masjid atau pentas ceramah, tetapi boleh berlaku di tempat kerja, di media sosial, bahkan melalui akhlak seharian.

Seorang pekerja yang jujur, pelajar yang amanah, atau jiran yang penyayang, semuanya sedang berdakwah melalui teladan.

Tidak dinafikan, ramai yang merasakan dirinya tidak layak untuk berdakwah atas beberapa faktor seperti bukan pelajar atau berlatar belakangkan agama, atau merasakan diri lebih rendah berbanding orang lain.

Semua orang perlu sedar bahawa dakwah bermula dengan pembaikan diri dan akhlak peribadi.

Asas dakwah ialah niat yang ikhlas untuk menyeru kepada kebenaran bermula dari diri sendiri.

Apabila seseorang memperbaiki dirinya, mencontohkan adab yang baik, dan menjadi inspirasi kepada orang lain, dia sebenarnya telah menjalankan dakwah secara halus tetapi berkesan.

Hatta sekecil-kecil perkara seperti senyum dan memberi salam merupakan dakwah yang amat besar nilainya.

Dakwah melalui akhlak jauh lebih kuat meninggalkan kesan dalam hati manusia daripada kata-kata semata-mata.

Kita juga perlu sedar bahawa meninggalkan dakwah boleh mengundang kerosakan sosial dan kemurkaan Allah SWT.

Apabila manusia hanya memikirkan dirinya tanpa memperjuangkan kebaikan bersama, masyarakat akan dihanyutkan oleh arus maksiat dan kezaliman.

Kesedaran ini perlu ditanam agar umat tahu bahawa diam terhadap dosa bukan tanda selamat, tetapi tanda lalai.

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً

Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum).” [Surah al-Anfal, ayat 25]

Bala bukan sahaja menimpa penzalim, tetapi mereka yang melihatnya tapi tidak mencegahnya. Maka, perbuatan tidak mencegah itu merupakan kezaliman atas dirinya sendiri.

Secara praktikalnya, peranan dakwah boleh dihidupkan dengan membina budaya peduli dan saling menasihati.

Pendidikan di rumah, sekolah, dan komuniti harus menekankan bahawa setiap tindakan kecil yang membawa manfaat kepada orang lain juga dikira sebagai dakwah.

Memberi nasihat kepada rakan, menegur dengan lembut, menyebar ilmu bermanfaat di media sosial. Semuanya cara yang sesuai dengan zaman dan kemampuan masing-masing.

Bila masyarakat memahami bahawa dakwah bukan kerja eksklusif, tetapi tanggungjawab kolektif, maka umat ini akan kembali hidup sebagai khairul ummah iaitu sebaik-baik umat yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Kesedaran ini perlu dihidupkan semula agar masyarakat tidak terus bersikap acuh tak acuh terhadap pembentukan akhlak dan iman sesama insan.

Jika setiap individu mengambil peranan untuk menyeru kepada kebaikan walau sekadar dengan tutur kata dan contoh diri, masyarakat akan menjadi lebih harmoni, berakhlak dan berjiwa Islam yang sebenar.

Hanya dengan kefahaman dan keprihatinan inilah umat mampu bangkit sebagai penyampai kebenaran yang berperanan dalam memperindah dunia dengan cahaya iman.


Mengajak Dengan Gaya Memaksa: Adakah Dibenarkan?

Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada yang ajak orang buat baik, tapi mengajak seolah-olah memaksa dengan alasan “perkara ini penting”. Adakah cara itu dibolehkan dalam Islam?

Dalam usaha menyeru kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, niat seseorang mungkin lahir daripada keikhlasan dan semangat yang tinggi untuk melihat masyarakat berubah ke arah yang lebih baik.

Namun begitu, dalam semangat berdakwah itu, ada yang terlanjur mengajak dengan cara yang keras, mendesak, atau seolah-olah memaksa orang lain untuk menerima pandangannya.

Walaupun tujuan asalnya baik, namun cara yang terlalu menekan boleh menimbulkan kesan sebaliknya, bukan mendekatkan manusia kepada kebaikan, malah menjauhkan mereka. Justeru, penting untuk difahami bahawa Islam bukan hanya menitikberatkan isi dakwah, tetapi juga cara penyampaian dan hikmah dalam pendekatan.

Dakwah perlu disampaikan dengan hikmah, bukan kekerasan dan paksaan.

Dakwah yang berkesan bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi menyentuh hati. Islam menolak pendekatan yang bersifat memaksa kerana perubahan iman dan amal hanya boleh berlaku apabila seseorang menerimanya dengan rela hati.

Oleh itu, kelembutan dalam menyampaikan mesej adalah kunci untuk membuka ruang dialog dan penerimaan.

Mereka yang menyeru kepada kebaikan perlu mencontohi cara Rasulullah SAW yang bersikap tenang dan berhikmah walaupun berhadapan dengan penentangan.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” [Surah al-Nahl, ayat 125]

Menurut Imam al-Sa’di: “Setiap orang hendaklah diseru mengikut keadaan, tahap pemahaman, ucapan, dan kesediaannya untuk tunduk kepada kebenaran. … Dakwah juga perlu disampaikan dengan cara yang mudah difahami, dengan kelembutan dan kasih sayang, supaya ia lebih mudah diterima.” [Rujuk: Tafsir al-Sa’di, hlm. 452]

Islam mengajar bahawa dakwah bukan sekadar menyampaikan mesej, tetapi menyesuaikan cara dengan keadaan dan jiwa pendengar.

Seseorang yang berilmu perlu memahami bagaimana untuk menyentuh hati orang yang masih jauh daripada agama tanpa menyinggung perasaan mereka.

Rasulullah SAW sendiri menyesuaikan cara baginda ketika berdakwah kepada orang muda, orang tua, ketua kaum, atau orang awam.

Pendekatan yang sesuai dengan keadaan akan menjadikan mesej lebih berkesan dan diterima dengan lapang dada.

Pendekatan memaksa boleh menimbulkan penolakan terhadap agama itu sendiri, sedangkan Islam menuntut pendekatan yang bersifat mendidik, bukan sebaliknya.

Apabila seseorang dipaksa untuk melakukan kebaikan tanpa diberi ruang memahami sebab dan hikmahnya, dia mungkin menolak bukan kerana tidak setuju dengan kebaikan itu, tetapi kerana tersinggung dengan cara yang keras.

Ini akhirnya memberi kesan buruk kepada imej Islam, seolah-olah agama ini bersifat keras dan menghukum.

Orang yang merasa dipaksa akan melawan secara pasif atau aktif, dan akhirnya menjauh daripada kebenaran yang ingin disampaikan.

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ

Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” [Surah Ali ‘Imran, ayat 159]

Mengajak orang kepada kebaikan seharusnya disertai dengan pendidikan yang membina kefahaman.

Ini bermakna, seseorang yang berdakwah perlu memberi sebab dan hikmah di sebalik sesuatu perintah atau larangan, bukan hanya berkata “ini wajib, itu haram” tanpa penjelasan yang mendidik.

Bila manusia faham sebab di sebalik sesuatu suruhan, mereka akan melakukannya dengan rela, bukan kerana tekanan.

Sebaliknya, bila mereka hanya dipaksa, ketaatan yang lahir adalah luaran tanpa keyakinan yang kukuh di dalam hati.

Islam bukan sekadar mahu manusia “buat baik”, tetapi mahu mereka faham, yakin dan redha dalam kebaikan itu.

Orang yang melaksanakan amar makruf nahi munkar perlu memahami satu perkara, tugasnya hanyalah menyebar kebaikan dan mencegah kemungkaran, bukan memaksa perubahan dalam diri seseorang.

Hidayah adalah hak mutlak Allah SWT. Sehebat mana seseorang berdakwah, dia tidak mampu memberi petunjuk kepada hati manusia kecuali dengan izin Allah.

Maka tugas pendakwah hanyalah menyampaikan mesej dengan cara terbaik dan menyerahkan hasilnya kepada Allah.

Pendekatan memaksa bukan sahaja tidak dibenarkan, malah menunjukkan ketidakfahaman terhadap peranan sebenar seorang yang menyebarkan nasihat dan kebaikan.

Sifat sabar, istiqamah dan tawakal merupakan lambang kematangan seorang Muslim sejati dalam memberi nasihat dan teguran.

إِنَّكَ لَا تَهْدِى مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” [Surah al-Qasas, ayat 56]

Allah SWT Maha Mengetahui siapa yang inginkan hidayah dan perubahan, maka Dia yang akan beri hidayah melalui usaha kita dengan izinNya.

Dia juga Maha Mengetahui siapa yang tidak mahu hidayah dan suka untuk kekal dalam kesesatan. Maka usaha kita merupakan ibadah kepadaNya dan bakal menjadi hujah ke atas mereka di akhirat kelak.

Kesimpulannya, Islam menolak pendekatan dakwah yang bersifat memaksa kerana paksaan tidak pernah melahirkan keinsafan sejati.

Dakwah ialah seni menyentuh hati dengan hikmah, bukan seni mendesak dengan suara keras. Setiap pendakwah perlu mencontohi kelembutan Rasulullah SAW yang menyeru dengan kasih, mendidik dengan sabar, dan menegur dengan adab.

Bila seruan kepada kebaikan dilakukan dengan penuh hikmah, manusia bukan sahaja akan menerima mesej agama, malah akan jatuh cinta kepada keindahan Islam itu sendiri.


Etika Menegur Tanpa Menghukum

Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang yang nak tegur dan cegah kemungkaran, tapi dia seolah-olah menghukum orang lain. Apa etika dan adab sebenar dalam menegur supaya orang lain rasa senang dan terima dengan teguran kita?

Menegur dalam Islam bukanlah tindakan menghukum, tetapi satu bentuk tanda kasih sayang dan tanggungjawab terhadap saudara seislam.

الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya : “Agama adalah nasihat.” Mereka bertanya, “Untuk siapa (wahai Rasulullah)?” Beliau menjawab, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan umat Islam secara umumnya.” [HR Muslim, 82]

Asas utama dalam menegur ialah niat dan adab. Jika niat teguran berpunca daripada rasa ingin memalukan, menunjuk pandai atau menegakkan ego, maka teguran itu sudah hilang nilai ibadahnya. Teguran yang jujur harus lahir daripada niat untuk memperbaiki, bukannya memperkecilkan.

Pertama, periksa niat sebelum menegur. Teguran yang ikhlas bermula dari hati yang ingin mendidik, bukan hati yang ingin menang hujah. Kita menegur kerana tanggungjawab kepada Allah. Rasulullah SAW mengajar bahawa setiap nasihat mesti dilakukan dengan bijaksana dan mahir menilai situasi. Firman Allah dalam Surah Taha;

فَقُولَا لَهُۥ قَوْلًۭا لَّيِّنًۭا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

Maksudnya : “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” [Surah Taha, ayat 44]

Kedua, gunakan bahasa yang lembut dan sesuai dengan keadaan. Jangan menegur di khalayak ramai kerana ia akan menimbulkan rasa malu dan penolakan. Sebaliknya, pilih waktu yang tenang dan suasana tertutup agar hati orang yang ditegur tidak tersinggung. Dalam psikologi dakwah, apabila ego seseorang tercalar, dia akan mempertahankan diri walaupun tahu dirinya salah. Namun jika dia suka berbuat kemungkaran secara terang-terangan, maka tiada masalah untuk menegur di kalangan khalayak ramai.

وقال معمر: كان يقال: أنصحُ الناسِ لك منْ خافَ الله فيك.
وكان السلفُ أذا أرادوا نصيحةَ أحدِ، وعظوه سرًا حتى قال بعضهم: منْ وعظ أخاه فيما بينه وبينَه، فهي نصيحة، ومن وعظه على رؤوس الناس فإنما وبخه.

Maksudnya : “Mua‘mar berkata: “Orang yang paling jujur nasihatnya kepadamu ialah orang yang takut kepada Allah dalam urusannya terhadapmu.”
Dan para salaf apabila ingin menasihati seseorang, mereka menasihatinya secara rahsia, hingga sebahagian mereka berkata:
“Barangsiapa menasihati saudaranya antara dia dan saudaranya (secara tertutup), maka itulah nasihat yang sebenar; dan barangsiapa menasihatinya di hadapan orang ramai, maka sebenarnya dia sedang mempermalukannya.” [Lihat Jami’ Al ‘Ulum wa Al Hikam, jld. 1, hlm. 225]

Ketiga, hormati maruah dan latar sosial orang yang ditegur. Jika dia lebih tua, berilmu atau berjawatan, gunakan pendekatan penuh hormat tanpa nada mengancam kedudukannya. Islam tidak menegur untuk menjatuhkan, tetapi untuk menyelamatkan.

Bahkan selepas menegur, dianjurkan untuk meminta maaf bukan kerana salah menegur, tetapi untuk menenangkan hati orang yang ditegur agar tidak terasa hati. Ini adab seorang da‘i yang memahami jiwa manusia.

Kesimpulannya, teguran yang diterima ialah teguran yang disampaikan dengan kasih. Bila teguran disulami keikhlasan, kelembutan, dan doa, ia akan menembusi hati sebelum sampai ke telinga. Pepatah Melayu ada mengatakan, “Berjalan sampai ke batas, berlayar sampai ke pulau, benang jangan terputus, tepung jangan terserak”.


Nahi Munkar Pada Perkara Kecil

Assalamualaikum ustaz dan dai. Kadang-kadang orang nampak cegah kemungkaran ni pada perkara besar macam mencuri dan amik hak orang lain. Macam mana pula perkara-perkara kecil atau yang dianggap remeh?

Para sarjana Islam menjelaskan bahawa tugas amar ma‘ruf nahi munkar tidak terbatas pada dosa besar seperti mencuri, menipu atau merampas hak orang lain, tetapi turut merangkumi perkara kecil yang sering dianggap remeh.

Setiap kemungkaran, kecil atau besar, memiliki kesan langsung terhadap kebersihan hati dan kesejahteraan masyarakat. Menurut Islam, dosa kecil yang dibiarkan tanpa ditegur boleh menjadi benih bagi dosa besar kerana hati manusia perlahan-lahan akan kehilangan rasa peka terhadap salah dan benar.

إنَّ المؤمنَ يرَى ذنوبَه كأنه في أصلِ جبلٍ يخافُ أنْ يقعَ عليه وإنَّ الفاجرَ يرَى ذنوبَه كذبابٍ وقع على أنفِه قال به هكذا ، فطار

Maksudnya : “Sesungguhnya seorang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia berada di bawah kaki sebuah gunung, dan dia takut gunung itu akan runtuh menimpanya. Sedangkan orang fajir (pendosa) melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya; dia hanya mengibaskannya begini sahaja, lalu lalat itu pun terbang pergi.” [HR Tirmizi, 2497]

Mencegah kemungkaran kecil adalah bentuk sadd zara’i. Dosa kecil yang dibiarkan akan menyebabkan masyarakat mula menormalisasi dosa. Tindakan amar ma‘ruf nahi munkar bukan semata-mata untuk membetulkan orang lain, tetapi untuk memelihara hati agar tetap hidup dan sensitif terhadap dosa.

Antara contoh sadd al-zara’ie:

  • Pengharaman berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan berzina.
  • Pengharaman melihat kepada wanita bukan mahram tanpa keperluan.
  • Larangan untuk membenarkan konsert secara besar-besaran yang mengundang budaya hedonistik.
  • Larangan untuk melakukan ihtikar (monopoli), kerana ia merupakan satu jalan untuk menyempitkan urusan manusia dalam makanan asasi mereka.

Kebaikan dan kemungkaran tidak diukur dengan besar atau kecilnya perbuatan, tetapi dengan apa yang ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah. Menegur titik kecil yang bakal mengundang dosa lebih besar adalah satu bentuk usaha nahi mungkar. Contohnya seperti bermain-main dengan prinsip akidah dan agama islam.

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya : “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.” [Surah al-An’am, ayat 70]

Kesimpulannya, mencegah kemungkaran kecil bukan soal cerewet atau ekstrem, tetapi ia adalah proses tarbiyah jiwa dan pembaikan masyarakat.


“Iman di Hati” Tanpa Solat & Zakat

Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang yang tak solat dan tak bayar zakat tapi kata “biarlah, asalkan aku ada iman dalam hati”. Macam mana manifestasi iman yang sebenar? Atau memang iman itu tiada siapa yang tahu melainkan Allah SWT?

Iman bukan sekadar pengakuan di lidah atau lintasan di hati. Ia adalah nur yang hidup, menzahirkan diri melalui amal dan akhlak. Jika iman benar, pasti ia akan mendorong seseorang untuk tunduk kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Seorang mukmin sejati tidak akan tenang jika meninggalkan solat atau zakat. Kerana iman itu ibarat pokok yang hidup — akarnya di hati, batangnya adalah kata-kata, dan buahnya adalah amal. Tanpa amal, pohon iman itu akan kering dan akhirnya mati.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ، وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا، وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ. الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementar hati mereka; apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambahlah iman mereka; dan kepada Tuhan mereka bertawakal. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka.” [Surah al-Anfāl, ayat 2–3]

Dalam ayat ini, Allah sendiri mendefinisikan manifestasi iman: hati yang hidup, solat yang ditegakkan, dan zakat yang dizahirkan. Ia bukan sekadar kepercayaan dalaman, tetapi ketaatan lahiriah.

Imam Ibn Kathīr menjelaskan:

هذه صفات المؤمنين حقًّا، الذين إذا ذكر الله وجلت قلوبهم أي خافت منه، وإذا تليت عليهم آياته زادتهم إيمانًا أي تصديقًا وعملاً.

Maksudnya: “Ini adalah sifat orang beriman yang sebenar — apabila nama Allah disebut, hati mereka takut kepada-Nya, dan apabila ayat-ayat-Nya dibacakan, iman mereka bertambah — yakni bertambah dari segi keyakinan dan amal.” [Tafsīr Ibn Kathīر, jilid 2, hlm. 302]

Iman menurut Ibn Kathir ialah sesuatu yang bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat. Maka, orang yang tidak solat dan tidak menunaikan zakat sedang menghakis imannya sendiri, walau dia masih mengaku beriman.

رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang yang tidak ada amanah, dan tiada agama bagi orang yang tidak menunaikan janji.” [HR Ahmad, 12565; sahih]

Dan sabda Baginda lagi:

الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: “Perjanjian antara kami (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat. Maka sesiapa yang meninggalkannya, dia telah kufur.” [HR al-Tirmizi, 2621; sahih]

Hadis ini menunjukkan bahawa solat bukan ritual kecil — ia tanda wujudnya iman. Bila solat ditinggalkan dengan sengaja dan berterusan, maka ia menggugurkan manifestasi zahir iman seseorang.

Imam al-Nawawī menulis:

"المراد بالكفر هنا كفر النعمة، أو أنه قريب من الكفر الحقيقي، لأن ترك الصلاة استخفاف بأعظم شعائر الإسلام."

Maksudnya: “Maksud kufur dalam hadis ini ialah kufur nikmat, atau ia hampir kepada kufur hakiki, kerana meninggalkan solat bererti memandang ringan terhadap syiar terbesar Islam.” [al-Minhāj Syarh Sahih Muslim, jilid 2, hlm. 68]

Kata Imam al-Nawawi, walau seseorang belum keluar dari Islam secara hukum, namun iman dalam hatinya telah sangat lemah dan hampir mati, kerana tidak lagi memuliakan syiar Allah.

Kesimpulan: Iman bukan sesuatu yang rahsia tanpa tanda. Ia umpama api dalam hati yang memanaskan amal. Bila seseorang berkata, “Aku beriman dalam hati walau tak solat dan tak bayar zakat,” maka dia sebenarnya mengaku ada api — tetapi tiada asap, tiada panas, tiada cahaya. Itu bukan iman yang hidup, tapi iman yang sedang nazak.

Para sahabat dahulu takut kehilangan iman walaupun mereka banyak beramal. Kita pula tenang tanpa amal tetapi mendakwa beriman — ini satu bentuk ghurur (terpedaya dengan diri sendiri).

Maka, manifestasi iman sebenar ialah ketaatan yang lahir daripada hati yang takut dan cinta kepada Allah. Solat dan zakat bukan beban, tetapi bukti cinta itu masih hidup.

“Sesungguhnya iman itu bukan dengan angan-angan dan bukan pula dengan kata-kata, tetapi ia adalah sesuatu yang berakar di hati dan dibenarkan dengan amal.” [Al-Hasan al-Basrī, Hilyah al-Awliyā’, jilid 2, hlm. 135]


Iman: Urusan Diri vs Manfaat Orang Lain

Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang nampak hakikat iman itu semata-mata apa yang dilakukan untuk dirinya sendiri, bukan untuk manfaat dan kebaikan orang lain. Adakah betul perkara ni, ustaz?

Ramai menyangka iman itu hanya urusan peribadi — antara dia dan Allah. “Asalkan aku solat, aku puasa, aku jaga diri.” Tetapi Islam bukan agama yang menutup diri. Iman yang sebenar tidak berhenti di dada, ia mengalir keluar menjadi rahmat kepada manusia lain.

Iman tanpa manfaat kepada orang lain adalah iman yang kering, sepi, dan belum sempurna. Sebab itu Rasulullah SAW diutus bukan sekadar untuk menyelamatkan dirinya, tetapi rahmatan lil ‘alamin — rahmat bagi seluruh alam.

Dalil al-Quran

لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ، وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ

Maksudnya: “Bukanlah kebajikan itu hanya kamu menghadapkan wajah ke timur atau barat, tetapi kebajikan yang sebenar ialah orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab dan para nabi, serta menginfakkan hartanya — walau dicintainya — kepada kaum kerabat, anak yatim, orang miskin…” [Surah al-Baqarah, ayat 177]

Ayat ini mengajar bahawa keimanan sejati melahirkan kepedulian sosial. Ia bukan hanya kepercayaan dalaman, tetapi perbuatan yang menyalurkan manfaat kepada manusia.

Imam al-Rāzī menulis:

اعلم أن الله تعالى لما بين أن البر ليس في الظواهر المجردة، بيّن أن حقيقته في الأعمال التي يقصد بها وجه الله، وأعظمها نفع الخلق

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa Allah menjelaskan bahawa kebajikan (iman) bukan pada amalan luaran semata, tetapi hakikatnya ialah pada amalan yang dilakukan kerana Allah, dan yang paling agung daripadanya ialah memberi manfaat kepada makhluk.” [Tafsīr al-Rāzī, jilid 5, hlm. 44]

Imam al-Razi menegaskan — tanda iman yang hidup ialah apabila seseorang mendahulukan manfaat kepada manusia lain kerana Allah.

رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” [HR al-Ṭabarānī, al-Mu‘jam al-Awsat, no. 5937 – hasan]

Dan sabda Baginda lagi:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” [HR al-Bukhārī, 13; Muslim, 45]

Imam al-Nawawī mensyarah hadis di atas:

"معنى الحديث أن كمال الإيمان لا يحصل حتى يحب لأخيه من الخير ما يحب لنفسه، وذلك يشمل أمور الدنيا والآخرة."

Maksudnya: “Maksud hadis ini ialah iman seseorang tidak sempurna sehingga dia mencintai untuk saudaranya segala kebaikan yang dia cintai untuk dirinya, termasuk dalam urusan dunia dan akhirat.” [Syarh Sahih Muslim, jilid 2, hlm. 27]

Maka, orang yang beriman benar tidak akan tenang melihat orang lain dalam kesusahan, jahil, atau lapar — kerana iman menuntut kasih dan peduli.

Iman yang hanya menjaga diri sendiri tanpa mempedulikan orang lain bukan iman yang sempurna. Ia seperti mata air yang tersimpan dalam tempurung — tidak mengalir, tidak memberi hayat.

Seorang mukmin sejati akan mencari jalan untuk menyembuhkan hati manusia, menghapus lapar orang miskin, mengajar yang jahil, dan memimpin yang tersesat.

Jika imanmu hanya membuatmu selamat seorang diri, maka itu baru benih iman. Tapi bila imanmu membuatmu ingin menyelamatkan orang lain, maka itulah buah iman yang sebenar.

Imam Hasan al-basri berkata:

الإيمان ما وقر في القلب وصدقه العمل، ومن لم ينفع الناس بإيمانه فهو مدعٍ لا صادق

Maksudnya: “Iman ialah apa yang menetap di hati dan dibenarkan dengan amal. Sesiapa yang tidak memberi manfaat kepada manusia dengan imannya, maka dia hanya mendakwa, bukan orang yang benar.” [Hilyah al-Awliyā’, jilid 2, hlm. 148]


Menjaga Iman & Amar Makruf Dalam Budaya Hedonisme

Assalamualaikum ustaz dan dai. Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan godaan materialistik dan hiburan tanpa henti. Macam mana nak kekalkan iman yang tulen dan mengamalkan amar makruf nahi munkar tanpa hanyut dalam arus dunia yang melalaikan ini?

Dunia sememangnya menawarkan kita hiburan dan hidangan yang melalaikan jiwa. Bahkan hakikat dunia dan nilainya juga telah dijelaskan dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:

ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّۭا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمًۭا ۖ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ وَمَغْفِرَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌۭ ۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak, samalah seperti hujan yang menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar, selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan di akhirat ada azab yang berat dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” [Surah al-Hadid, ayat 20]

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan ketika mentafsir ayat ini bahawa kehidupan dunia ini adalah (penuh dengan) hikmah. Kehidupan dunia tidaklah tercela pada zat dunia itu sendiri, namun yang dimaksudkan dengan celaan dalam ayat ini ialah orang yang menggunakan kehidupan dunia bukan untuk ketaatan kepada Allah, tetapi untuk ketaatan kepada syaitan dan menurut hawa nafsu. [Rujuk: Mafaatihul Ghaib, jld. 29, hlm. 463]

Dari penerangan ini kiat dapat fahami bahawa dunia itu sendiri bukanlah sesuatu yang hina, bahkan kehidupan dunia merupakan jambatan untuk mendapatkan kebaikan hidup di akhirat melalui ketaataan dan amal soleh yang dilakukan di dunia. Namun, kerugian menimpa mereka yang menjadikan dunia sebagai tempat melalaikan diri dengan maksiat dan mengikut syahwat.

Dalam Al-Quran Allah telah menjelaskan bahawa manusia sentiasa diberikan dua jalan, jalan yang baik dan buruk, maka kitalah yang membuat pilihan antara dua jalan tersebut. Firman Allah SWT:

وَهَدَيْنَـٰهُ ٱلنَّجْدَيْنِ

Maksudnya: “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?” [Surah al–Balad, ayat 10]

Jika kita perhatikan, seiring peredaran zaman, media sosial lah yang membentuk nilai, hiburan mencipta budaya, dan kemewahan menjadi ukuran harga diri. Bahkan, wujud ideologi hedonisme; satu cara fikir dan cara hidup yang mengagendakan keseronokan sebagai tujuan hidup,

Dari akar ideologi tersebut menyebabkan penganut ideologi ini mengukur hakikat kebenaran berdasarkan nilai keseronokan. Apa-apa yang seruan atau ajaran yang tidak mendatangkan keseronokan, ia dianggap salah.

Ideologi ini mungkin tidak ketara jika kita melihat sekitar aktiviti hiburan yang ada di sekeliling kita. Mungkin ada yang berfikir, ‘konsert je, bukan sampai tukar tujuan hidup’. Namun, pada hakikatnya beberapa perkara memang dilakukan secara perlahan-lahan untuk menyerap masuk ideologi hedonisme.

Antara tabiat yang timbul kesan daripada penanaman cara fikir ideologi hedonisme:

  • Wujud golongan anti ilmu, kesan dari hidup yang penuh kelalaian yang menjadikan seseorang suka berfikiran singkat dan sukar untuk menjadi rasional dengan ilmu.
  • Angkuh dengan teguran dan bersikap defensif dengan kritikan yang menyentuh gaya hidup berhibur mereka.
  • Fanatik dengan budaya hidup ‘enjoy’. Maka, sebarang dorongan dan nasihat yang dianggap mengganggu keseronokan akan diabaikan.

Kesan ini boleh terkena kepada kita atau orang sekeliling kita jika tugas amar makruf nahi munkar ditinggalkan, budaya tegur-menegur dianggap asing. Firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُون

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” [Surah Ali-Imran, ayat 104]

Kekuatan amar makruf nahi munkar menjadi kayu ukur kejayaan sesebuah masyarakat. Ramai orang yang boleh mengajak orang lain melakukan kebaikan, tetapi berapa ramai yang berani dan jujur dalam mencegah kemungkaran? Hal inilah yang semakin berkurang dalam masyarakat kita sehingga wujud normalisasi pada perkara kemaksiatan.

Beberapa langkah yang mampu dilakukan begi menjaga diri dan tetap menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi munkar:

  • Bina circle yang baik dan mempunyai concern yang sama tentang akhirat. Jika tidak mampu membinanya, maka carilah circle tersebut, dan libatkan diri bersama.
  • Menyaring dunia, bukan melarikan diri daripadanya. Gunakan dunia sebagai ladang amal dan berhikmahlah dalam membezakan antara nikmat dan fitnah.
  • Bina disiplin yang membentuk rutin harian peribadi Muslim dari sudut ibadah dan ilmu. Misalnya, gunakan mutabaah amal sebagai tracker bagi membentuk rutin hidup yang baik. Ianya bukan hanya tentang bagaimana mengurus masa, tapi ia juga membantu mengekang diri dari melakukan perkara yang tidak bermanfaat atau bermaksiat.

Kesimpulannya, walaupun beredar zaman, serta bermacam-macam teknologi, kemudahan, budaya dan bentuk hiburan yang wujud, tetaplah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, kerana sesungguhnya sesiapa yang berpegang kepada keduanya tidak akan pernah sesat. Firman Allah SWT:

إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَبِيرًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” [Surah al-Isra’, ayat 9]

Disusun semula pada satu halaman, dengan font Arab yang sesuai (Amiri/Scheherazade New/Noto Naskh Arabic) — tanpa menambah atau membuang kandungan.
Scroll to Top