SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

BERSANGKA BAIK

Soalan & Jawapan: Bersangka Baik
Soalan 1
Apakah terdapat had dalam bersangka baik pada sesuatu perkara? Dan adakah sikap berhati-hati terhadap sesuatu itu menandakan kita sudah ada tanggapan negatif? Mohon pencerahan ustaz.
JAWAPAN :

Islam sememangnya suatu syariat yang menitikberatkan akan hubungan sesama manusia. Hubungan ini juga dituntut agar dipelihara sebaik mungkin.

Had dalam bersangka baik juga tentu sekali ada kerana jika sentiasa bersangka baik, maka akan sentiasa dianiaya orang. Boleh jadi dalam menghadapi suatu situasi pertama kalinya boleh disangka baik, namun jika ia berulang lagi maka itu petanda tidak baik.

Baginda SAW bersabda:

لاَ يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ
Maksudnya: “Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali.” [HR al-Bukhari, 6133 dan Muslim, 2998]

Ibnu Hajar berkata: “Seorang muslim harus terus waspada, jangan sampai lalai, baik dalam urusan agama maupun urusan dunianya.” [Fath Al-Bari, 10: 530]

Dalam menilai seseorang, hendaklah kita menjauhi sangka buruk.

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ، فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الحَدِيثِ، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَحَاسَدُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: “Jauhilah berprasangka, sesungguhnya prasangka adalah bicara hati yang paling dusta, jangan mencari-cari kesalahan dan jangan mengintai, dan jangan saling mendengki dan jangan saling membenci, dan jangan saling membelakangi (bermusuhan). Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” [HR al-Bukhari, 6064 dan Muslim, 2563]

Namun kita juga hendaklah berwaspada kerana belum mengenali dengan baik. Perbezaan antara buruk sangka dan berwaspada adalah sangka buruk tanpa bukti atau petunjuk yang jelas, manakala waspada adalah kita berhati-hati dan berjaga-jaga kerana telah ada bukti seperti seseorang telah berpesan supaya berwaspada dengan seseorang itu.

Oleh sebab itu, Allah SWT memerintahkan agar bertabayyun dalam segenap perkara:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” [Surah al-Hujurat, ayat 6]

Ibn Kathir berkata: “Allah perintahkan supaya kita thabitkan dahulu perkhabaran orang fasik sebagai ihtiyat. Ini kerana supaya seseorang tidak berhukum dengan ucapannya menyebabkan dalam keadaan begitu boleh membawa kepada dusta atau tersilap.” [Tafsir al-Quran al-'Azim, 7/370]

Maka, panduan ini adalah menunjukkan kepentingan berhati-hati dan berwaspada dalam menilai, bimbang akan mengundang kedustaan atau silap.

Soalan 2
Apakah perbezaan antara sangka baik dan sangka buruk. Adakah bersangka buruk tidak diharuskan dalam semua perkara?
JAWAPAN :

Umumnya, Islam hanya memerintahkan umatnya agar sentiasa bersangka baik dalam segala hal. Hal ini kerana sangkaan hanyalah suatu yang menjadi tanggapan atau kepercayaan ke atas sesuatu yang belum dipastikan. Bagaimana mungkin sangkaan boleh dihukumkan ke atas sesuatu sedangkan ia tidak berasas, hanya sekadar tanggapan.

Bersangka baik adalah di mana seseorang itu sentiasa melihat sudut pandang positif terhadap segenap perkara, mencari keuzuran yang boleh bagi sesuatu urusan. Adapun bersangka buruk adalah seseorang itu sentiasa melihat sudut pandang negatif, sengaja mencari kesalahan dan tidak menerima keuzuran seseorang akan sesuatu urusan.

Imam al-Nawawi berkata bahawa sangkaan buruk adalah haram seperti kata-kata (berkata buruk). Diharamkan untuk bercerita pada orang lain tentang keburukan seseorang, sebagaimana haram untuk menyebut-nyebut pada diri sendiri tentang keburukan orang lalu bersangka buruk terhadapnya. Firman-Nya di dalam Surah al-Hujurat:

يَـٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Imam Ibn Kathir mengatakan, Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya yang beriman daripada kebanyakan sangkaan, dan sangkaan di sini bermaksud tohmahan serta pengkhianatan terhadap kaum keluarga dan kerabat termasuklah orang lain, pada perkara yang tidak benar. Ini kerana sebahagian dari perkara ini merupakan dosa, maka jauhilah kebanyakan sangkaan sebagai langkah berhati-hati. [Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/352]

Imam al-Nawawi menambah lagi, hadis yang meriwayatkan makna yang sama maksudnya dengan ayat di atas ini amat banyak, antaranya riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ، فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الحَدِيثِ، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَحَاسَدُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: “Jauhilah berprasangka, sesungguhnya prasangka adalah bicara hati yang paling dusta, jangan mencari-cari kesalahan dan jangan mengintai, dan jangan saling mendengki dan jangan saling membenci, dan jangan saling membelakangi (bermusuhan). Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” [HR al-Bukhari, 6064 dan Muslim, 2563]

Walaubagaimanapun, sangkaan buruk kadangkala terlintas dalam benak jiwa manusia. Ia turut menjadi perbahasan. Sangkaan yang berdosa ini adalah iktiqad dalam hati lalu menghukum seseorang itu dengan hukum yang buruk. Adapun sekadar lintasan hati yang tidak kuat, dan orang tersebut tidak berterusan membuat sangkaan itu, maka perkara ini dimaafkan. Hal ini kerana orang tersebut tidak mampu membuat pilihan untuk tidak timbulnya lintasan hati tersebut, dan tidak ada jalan baginya untuk menghentikannya.

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا لَمْ تَتَكَلَّمْ بِهِ أَوْ تَعْمَلْ بِهِ وَبِمَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampuni untuk umatku atas sesuatu yang terlintas dalam hatinya, selama mereka tidak menzahirkannya dalam amalan atau disebutkan tentangnya.” [HR Ibn Hibban, 4334]

Para ulama menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan lintasan hati di sini adalah apa yang tidak berlaku secara berterusan. Dan sebab keuzuran ini kerana sukar untuk dielakkan lintasan hati ini, tetapi boleh untuk mengelakkan dari terus menerus bersangka buruk. Oleh itu, berterusan dan juga iktiqad hati terhadap sangkaan buruk adalah haram, dan wajib untuk menolaknya atau membuat apa jua andaian yang boleh menjauhkan kita dari bersangka buruk. [al-Azkar, hlm. 344]

Soalan 3
Dalam Peristiwa Ifki, Saidatina Aisyah difitnah. Bagaimana kisah ini menunjukkan bahaya sangka buruk dan peranan sangka baik dalam menyelamatkan maruah orang yang tidak bersalah?
JAWAPAN :

Antara peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam berkenaan dengan pertuduhan atau sangkaan buruk adalah peristiwa al-Ifki yang menimpa isteri baginda SAW, Aisyah RA.

al-Raghib al-Asfahani menyebut perkataan أَفِكَ bermaksud memalingkan iktikad yang betul kepada iktikad yang batil. Dipalingkan daripada bercakap benar kepada bercakap bohong. [Al-Mufradat Fi Gharib Al-Quran hlm 23-24]

Ianya disebutkan antaranya:

وَيْلٌ لِّكُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ
Maksudnya: “Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa.” [Surah al-Jathiyah, ayat 7]

Syeikh al-Maraghi berkata: Celaka besarlah bagi orang yang mendustakan ucapannya dan banyak melakukan perbuatan dosa. Kemudian mereka sombong apabila diperdengarkan dengan ayat tersebut. [Tafsir al-Maraghi, 13/6285]

Perkataan ini juga digunakan untuk menyifatkan berita yang dibawa oleh kaum munafik ketika mana mereka menyebarkan fitnah tentang Aisyah. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu.” [Surah al-Nur, ayat 11]

Peristiwa Al-Ifki ini berlaku pada tahun keenam hijrah setelah tamatnya perang Bani Mustoliq. Ianya merupakan satu peristiwa di mana orang-orang munafik menuduh Aisyah R.Anha melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol R.A. Perkara ini pada asasnya menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah pada ketika itu. Ada di antara sahabat yang tidak mempercayai berita tersebut. Ada juga yang tidak mengeluarkan apa-apa pendirian dan ada juga yang mempercayai bahawa Aisyah R.Anha benar-benar berzina dengan Safwan Bin Mu’attol. Di antara sahabat yang mempercayai berita ini dan terlibat dalam penyebaran ialah Mistoh Bin Uthathah, Hamnah Binti Jahsyi dan Hasan Bin Thabit. Keadaan ini berlarutan sehingga sebulan lamanya dan wahyu tertahan tidak turun. Sehinggalah kemudiannya Allah menurunkan ayat ke 11 daripada Surah Al-Nur membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).” [Surah al-Nur, ayat 11]

Sayyid Qutb dalam menjelaskan ayat ini berkata: Maksudnya, membuat fitnah itu bukannya hanya seorang sahaja dan bukan pula beberapa orang, malah mereka terdiri dari satu kumpulan yang bersatu padu dan mempunyai matlamat yang sama. Orang yang menyebarkan fitnah yang didusta itu bukannya Abdullah ibn Ubay ibn Salul seorang sahaja, tetapi dialah yang mengambil peranan yang terbesar, yang mewakili kaum Yahudi dan kaum Munafiqin yang tidak berupaya memerangi Islam secara terbuka. Mereka telah berselindung di sebalik tabir Islam untuk memusnahkan Islam secara diam-diam.

Dan cerita fitnah yang didusta itu merupakan salah satu dari rancangan-rancangan jahat mereka yang berbisa, tetapi orang-orang Islam telah tertipu dengan di'ayah (pembohongan) mereka lalu turut memperkatakan cerita fitnah itu seperti Hamnah binti Jahsy, Hassan ibn Thabit dan Mistah ibn Uthathah, sedangkan punca yang merancangkan fitnah itu berada di tangan kumpulan itu yang dipimpin oleh Abdullah ibn Ubay ibn Salul, seorang dalang yang sangat berhati-hati dan pintar. Dia tidak pernah menampakkan dirinya dalam perjuangan itu. Dia tidak menuduh secara terus terang hingga dapat ditangkap dan dikenakan hukuman hudud. Dia hanya menyebarkan fitnah itu secara berbisik-bisik di kalangan orang-orangnya yang dipercayai tidak akan menjadi saksi terhadapnya. [Tafsir fi Zilal al-Quran, 11/374-375]

Al-Qadi Iyadh menyatakan bahawa di dalam kisah ini banyak faedah dan pengajaran yang boleh kita ambil. Antaranya ialah:

  • Berhukum dengan yang zahir.
  • Sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin khususnya mereka yang terkenal dengan kebaikan dan soleh seperti Aisyah dan Sofwan bin Mu’attal.
  • Begitu juga, jangan pedulikan pembohongan yang secara terang-terangan dibuat seperti mana yang ditunjukkan oleh kebanyakan kaum muslimin ketika mana Aisyah R.Anha dituduh.
  • Beliau juga menyebut bahawa di dalam kisah ada isyarat agar segala apa yang diuji dan dituduh serahkan sepenuhnya pada Allah SWT.
  • Banyakkan berdoa dan bertaubat kepada-Nya. [Ikmal Al-Mu’lim Syarh Sahih Muslim, 8/142]

Antara lain juga, peristiwa ini menunjukkan bahawa elakkan daripada menghukum dalam bentuk bergopoh-gapah. Kelak membinasakan diri, keluarga, kaum atau negara. Tambahan pula sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, Aisyah RA dan Abu Bakar RA patut menjadi contoh yang terunggul tatkala tribulasi dan mehnah melanda seseorang.

Soalan 4
Bagaimana untuk kita melatih diri supaya bersangka baik kepada orang yang sudah mengkhianati diri atau keluarga kita?
JAWAPAN :

Kadang-kadang, pengkhianatan orang lain adalah sebahagian daripada ujian Allah untuk kita, untuk menguji kesabaran, iman, dan keikhlasan kita. Allah SWT berfirman:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
Maksudnya: “Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman,' dan mereka tidak diuji?” [Surah Al-Ankabut, ayat 2]

Ini mengajarkan kita bahawa ujian ini adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jangan hanya melihatnya sebagai kezaliman dari manusia, tetapi sebagai ujian daripada Allah yang perlu kita hadapi dengan sabar dan penuh keimanan.

Nabi Yusuf a.s. adalah contoh teladan yang luar biasa dalam menghadapi ujian, terutama pengkhianatan yang datang dari orang terdekat iaitu saudara kandungnya sendiri. Setelah melalui ujian yang berat, Nabi Yusuf diberikan kedudukan tinggi di Mesir. Ketika saudara-saudaranya datang untuk mengambil bekalan makanan akibat kelaparan, mereka tidak mengenali Yusuf, tetapi beliau mengenali mereka. Allah merakamkan di dalam Al-Quran:

لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: “Tidak ada cercaan terhadap kamu pada hari ini. Semoga Allah mengampuni kamu, dan Dialah Maha Penyayang di antara para penyayang.” [Surah Yusuf, ayat 92]

Di sini, Nabi Yusuf mengajarkan kita bahawa maaf itu lebih mulia daripada dendam, kekal dengan sikap positif, dan terus berfikiran ke hadapan untuk menempuh dunia ini.

Selepas itu, hendaklah mendoakan mereka walaupun mereka telah mengkhianati kita sebelum ini, agar mereka benar-benar berubah. Doa seseorang untuk saudaranya dalam keadaan dia tidak tahu adalah mustajab.

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ
Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab.” [HR Muslim, 4914]

Seterusnya, niatkan dalam hati untuk sentiasa berbaik sangka kepada orang lain. Lihatlah setiap orang dengan niat baik, dan cuba untuk tidak cepat menghukum atau berburuk sangka.

Kesimpulannya, ini adalah langkah-langkah yang dapat mengurangkan syak wasangka kita terhadap orang yang telah mengkhianati, dengan harapan mereka benar-benar berubah dan memperbaiki diri.

Soalan 5
Kehidupan seseorang itu tidak terlepas dari ujian hidup, namun apabila diuji dengan kehilangan orang tersayang, dia mula menyalahkan takdir. Bagaimana sikap husnuzon kepada Allah dapat menghalang seseorang daripada bersikap negatif terutamanya apabila ditimpa ujian dan musibah dalam kehidupan?
JAWAPAN :

Husnuzon kepada Allah (berbaik sangka kepada Allah) adalah salah satu sikap yang sangat penting dalam agama Islam yang dapat membantu seseorang menghadapi ujian dan musibah dengan positif.

Husnuzon membawa seseorang untuk berkeyakinan bahawa segala yang berlaku dalam hidup adalah dengan izin Allah dan terdapat hikmah di sebaliknya.

Berikut adalah beberapa alasan mengapa sikap husnuzon dapat menghalang seseorang daripada bersikap negatif apabila ditimpa ujian dan musibah:

Mengukuhkan Keyakinan kepada takdir

  • Orang yang berhusnuzon kepada Allah akan percaya bahawa apa yang ditentukan oleh-Nya adalah yang terbaik, walaupun kita mungkin tidak memahaminya pada masa itu.
  • Husnuzon mengajar kita untuk menerima bahawa segala sesuatu yang berlaku, baik atau buruk, adalah sebahagian daripada takdir Allah

Allah SWT berfirman:

قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Tidak akan menimpa kami kecuali apa yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kami; Dia adalah Pelindung kami, dan kepada Allah-lah orang-orang yang beriman bertawakal.” [Surah At-Taubah, ayat 51]

Menjauhkan dari Sikap Putus Asa

  • Sikap husnuzon mendorong seseorang untuk tetap optimis dan yakin bahawa setiap ujian ada jalan penyelesaiannya.
  • Ia menghindarkan seseorang daripada berputus asa atau berasa tertekan apabila menghadapi masalah.
  • Harus yakin setiap kesusahan ada kesenangan, Allah SWT berfirman:
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”[Surah Al-Insyirah, 5-6]

Meningkatkan Kualiti Sabar

  • Bersabar dengan ketentuan Allah SWT, Allah tidak akan menguji hambaNya lebih dari apa yang dia mampu tanggung.
  • Allah SWT berfirman:
لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” [Surah al-Baqarah, ayat 286]

Sikap husnuzon kepada Allah bukan sahaja mendorong kita untuk menerima takdir dengan lapang dada tetapi juga menjauhkan kita daripada sikap negatif seperti putus asa, kecewa, dan marah ketika menghadapi ujian hidup.

Ia mengajar kita untuk bersabar, tetap optimis, dan yakin bahawa setiap ujian mempunyai hikmah dan ganjaran dari Allah. Oleh itu, melalui husnuzon, seseorang dapat mengatasi ujian hidup dengan lebih tabah dan tenang.

Soalan 6
Apa yang sepatutnya dilakukan dengan orang yang suka bertindak atas dasar prasangka dan syak wasangka terhadap orang lain? Merasakan orang lain dengki dengannya seperti syok sendiri.
JAWAPAN :

Prasangka dan syak wasangka boleh menimbulkan fitnah yang buruk kepada diri dan orang lain yang akhirnya merosakkan akhlak dan moral.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Ibn Kathir menyebutkan larangan ini termasuk menuduh, mencurigai ahli keluarga, saudara-mara dan orang ramai tanpa sebab yang munasabah kerana sebahagiannya adalah dosa yang nyata. [Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, jld. 7, hlm. 352]

Sangkaan buruk tidak berasas, bukanlah sangkaan berdasarkan fakta yang jelas. Rasulullah SAW bersabda:

إياكم والظن فإن الظن أكذب الحديث
Maksudnya: “Jauhilah kamu daripada berprasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong percakapan.” [HR Muslim, 2563]

Persamaan prasangka buruk dengan berbohong adalah kerana ia menimbulkan persepsi yang tidak wujud dan menimbulkan dosa tanpa bukti. Berprasangka bahawa ada orang lain dengki dengan diri kita hanya akan menimbulkan permusuhan dan membuatkan kita berkhayal dengan sangkaan itu. Ia membuka pintu takabbur, ujub dan merosakkan amal.

Nasihat yang boleh diberi:

Belajar untuk bersangka baik
Sebuah atsar daripada Umar al-Khattab RA:

ولا تظنن بكلمة خرجت من أخيك المسلم إلا خيرا، وأنت تجد لها في الخير محملا
Maksudnya: “Jangan sekali-kali kamu menyangka sesuatu yang buruk terhadap satu perkataan yang keluar dari saudara Muslimmu, sedangkan kamu masih boleh mentakwilkannya kepada makna yang baik.” [Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, jld. 7, hlm. 352]

Ia merupakan tuntutan syarak untuk mengukuhkan ukhuwah dan memelihara kehormatan diri. Perlu berusaha untuk memikirkan sangkaan yang baik dan melatih hati dan minda terutamanya dalam situasi yang mudah disalah ertikan.

Muhasabah diri
Allah SWT berfirman:

فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ
Maksudnya: “Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.” [Surah al-Najm, ayat 32]

Ini termasuklah berasa dirinya bagus kerana menyangka orang lain dengki pada amalannya atau apa yang ada padanya. Jangan cepat menghukum zahir perbuatan seseorang kepada kita dan perlu jujur dengan diri kita dan sentiasa insafi diri. Sentiasa melihat diri dalam keadaan tidak cukup melakukan kebaikan dan merendah diri agar tidak sama seperti Iblis yang sombong dengan mengatakan dirinya lebih baik daripada Adam AS.

Soalan 7
Bagaimanakah cara terbaik untuk menasihati seseorang yang menganggap dirinya terlalu banyak berdosa sehingga meragui sama ada Allah masih sudi menerima taubatnya? Mohon sedikit nasihat, ustaz.
JAWAPAN :

Merasakan diri melakukan banyak dosa dan sedar akan kelemahan diri merupakan sifat yang terpuji kerana ia merendahkan hati dan jiwanya tawaduk kepada Allah SWT.

Bahkan ia merupakan sifat seorang mukim sejati seperti kata Abdullah bin Mas’ud RA:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ فِي أَصْلِ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ وَقَعَ عَلَى أَنْفِهِ، قَالَ بِهِ هَكَذَا فَطَارَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang mukmin melihat dosanya seolah-olah dia berada di dasar gunung, takut gunung itu akan runtuh menimpanya. Sedangkan orang fasik melihat dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya, lalu dia hanya menghalau (lalat itu) begitu sahaja, dan lalat itu terbang pergi.” [Rujuk: Sunan al-Tirmizi, jld. 4, hlm. 272]

Namun, perasaan ini perlu dipandu agar tidak bersedihan yang melampau dan merasakan dirinya tidak layan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Antara nasihat yang boleh diberi:

Allah SWT melarang untuk berputus asa
FirmanNya:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.” [Surah al-Zumar, ayat 53]

Allah SWT tahu akan ada dari kalangan hambaNya yang merasa seakan-akan tiada lagi pengampunan dan kasih sayangNya untuk mereka. Akhirnya mereka hanyut dalam dunia dan hanya hidup untuk menunggu kematian. Ayat ini menjadi penenang hati yang duka dan dorongan daripada Allah SWT untuk tidak putus asa kerana Allah SWT sentiasa mendengar hamba-hambaNya.

Menunjukkan betapa besarnya pengampunan Allah SWT
Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa” [Surah al-Zumar, ayat 53]

Ibn Kathir berkata Allah SWT mengampunkan semua dosa, tidak kira apa jenis dosa dan walaupun dosa itu sebanyak buih di lautan, hatta dosa syirik sekalipun, dengan syarat dia perlu bertaubat. [Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, jld. 7, hlm. 95] Sifat al-Ghaffar (Yang Maha Mengampunkan) dan al-Tawwab (Yang Maha Menerima Taubat) disebut banyak kali di dalam Al-Quran. Ia menunjukkan luasnya keampunan Allah SWT yang tidak terhingga. Ia memberi harapan kepada mereka yang berdosa untuk bertaubat dan memperbaiki diri sehingga menjadi hamba-hambaNya yang dicintai.

Allah SWT mencintai orang yang bertaubat
Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ
Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat.” [Surah al-Baqarah, ayat 222]

Allah SWT tidak meninggalkan mereka yang pernah melakukan dosa, bahkan Allah SWT menyambut mereka dengan kasih sayang dan kelembutanNya. Dalam taubat terhimpunnya kerendahan hati, keikhlasan, pengakuan atas lemahnya diri. Mustahil seorang yang bertaubat itu tidak mendapat cinta Ilahi.

Scroll to Top